Lapan
HANA masih tidak
menghentikan tangisannya. Kali ini tangisannya sangat lebat sepertimana hujan
yang juga sedang turun dengan lebatnya di luar rumah! Kesedihan begitu
menguasai hatinya sejak kejadian semalam! Malam tadi Hana terpaksa bermalam di
lokap. Begitu juga dengan Fazrul, lelaki yang baru sahaja dikenalinya malam
tadi. Tetapi, awal-awal pagi lagi Fazrul sudah dijemput oleh seorang lelaki
yang dikenali sebagai abangnya. Hana pula terpaksa menunggu mak dan ayahnya
yang baru dimaklumkan pada awal pagi tadi. Kesian mak dan ayah. Terpaksa datang
dari jauh untuk menemui anaknya, hanya kerana perkara yang memalukan keluarga.
Mak... Hana tak bersalah..!
Selepas menjamin Hana di balai polis, ayah
masih belum mahu berhenti membebel dan memarahi Hana. Yang paling menyedihkan
lagi, ayah sanggup menuduh anaknya sendiri yang tidak tahu malu dan sanggup
memalukan nama baik keluarga! Berkali-kali Hana cuba menjernihkan keadaan dan
menyatakan bahawa dia tidak bersalah dalam perkara itu. Namun, sia-sia sahaja
air liur yang dikeluarkannya. Ayah dan emak langsung tidak mempercayai walau
sepatah pun perkataan yang dituturkannya. Hanya Alia, adik perempuannya yang
tidak putus menyabarkan dan menenangkan Hana yang dalam kesedihan itu.
Sesungguhnya, walaupun Hana sedaya upaya
menyatakan bahawa dia tidak bersalah dalam perkara yang terjadi, hati Rasyid
sangat terluka dengan perbuatan Hana, selaku anak sulungnya ini. Hana adalah
anak sulung daripada lima orang adik beradiknya. Hana masih mempunyai dua orang
lagi adik beradik perempuan yang masih bersekolah. Inikah contoh teladan yang
harus ditunjukkan oleh Hana, sebagai seorang kakak kepada adik-adiknya? Entah
bagaimana harus meletakkan muka memandang orang kampung. Tentu sahaja banyak
mata yang memandang serong dan mengata di belakang.
Kali ini Hana telah mencontengkan arang ke
muka keluarga mereka. Sungguh, hatinya sangat terluka kerana Hana! Inikah
caranya untuk Hana membalas jasa kedua-dua orang tuanya...? Bukankah selama ini
dialah anak yang beria-ria dan bersungguh-sungguh mahu membalas jasa ibu
bapanya...? Hana... kenapa begini di akhirnya...?
Melihat kesayuan pada raut wajah ibunya
juga membuatkan semakin bertambah sedih. Air matanya semaik laju menitis jatuh
ke bumi. Mak... Hana tak bersalah langsung! Hana tak tahu pun siapa Fazrul!
Hana tak kenal dia..! Tiba-tiba dia datang ke rumah Hana untuk mencari Kay Tee.
Hana jemput dia masuk, sebab Hana tahu dia memang kawan Kay Tee. Tambahan
pulak, kat luar hujan lebat sedangkan Hana dan lelaki tu masing-masing belum
menunaikan solat maghrib. Lepas tu, semua ni berlaku! Mak... percayalah pada
Hana...!
“AYAH
tak kira! Apa-apa pun berlaku, ayah nak Hana kahwin dengan Fazrul!”
Pantas sahaja Hana menoleh ke arah ayahnya
yang berwajah serius itu. Terasa jantungnya seperti tersentap mendengar
kata-kata keramat yang dituturkan oleh ayahnya. Apa...? Kahwin dengan Fazrul?
Fazrul yang tak pernah aku kenal tu? Semata-mata kerana perkara ni? “Ayah...
Mana boleh macam tu! Hana ni anak ayah! Masa depan Hana masih jauh, ayah. Hana
dah ada Kamarul! Hana tak nak kahwin dengan Fazrul.” Perlahan sahaja kedengaran
kata-kata Hana yang penuh dengan nada kesayuan itu.
Kamarul... Entah apa pula yang difikirkan
Kamarul nanti. Padahal, kami sudah merancang untuk bertunang dua minggu selepas
Kamarul balik dari seminarnya nanti!
“Sebab Hana anak ayahlah, ayah nak Hana
bernikah dengan Fazrul! Kalau Hana tak bernikah dengan Fazrul sekarang, entah
apa lagi yang akan Hana lakukan! Ayah tak pernah ajar anak-anak ayah buat
perkara yang dilarang oleh Allah! Berdosa besar, Hana!”
Hana memandang sayu pada ayahnya.
Kata-kata ayah bagaikan sembilu menusuk tajam ke hati! Hati Hana tersentuh
dengan setiap bait kata yang menerjah masuk ke telinganya. Sampai hati ayah
cakap Hana macam tu! Tangisannya terasa semakin kuat kerana hatinya yang sudah
mempunyai kesabaran yang menipis di dalam hati. Dia takut, dia sudah tidak
mampu mempertahankan dirinya lagi! Dia takut, dia sudah tidak kuat untukk
menepis segala penghinaan lagi!
Kepalanya disembamkan ke dada Alia, adik
perempuannya yang berumur kurang tiga tahun daripada umurnya. Hana menangis
semahunya di situ. Rasanya, Alia cukup matang untuk menilai apa yang berlaku
kepadanya di saat ini.
Alia terasa ingin menangis melihat
kesedihan kakak sulungnya itu yang masih tidak terhenti-henti sedari tadi dan
semakin menjadi-jadi apabila ayah terus berkata-kata kepadanya. Di dalam
hatinya, dia yakin Hana tidak bersalah. Sepanjang dia hidup, belum pernah dia
melihat Hana menangis seperti ini. Dia juga belum pernah melihat kemarahan ayah
pada kakaknya seperti ini. Kali pertama dalam hidupnya perkara-perkara seperti
ini berlaku di hadapan matanya sendiri. Perlahan kepala kakaknya diusap-usap.
Harap-harap, Hana akan merasa sedikit ketenangan.
“Ayah... Hana tak mahu kahwin dengan
Fazrul...” Hana masih merayu mengharapkan sedikit pengertian daripada ayahnya.
“Tidak! Ayah tetap dengan keputusan ayah!
Kalau kau masih tak mahu setuju, ayah rasa ayah rela jadi pembunuh, Hana! Kalau
tak ayah bunuh kau... Ayah bunuh si Fazrul tu..! Payah-payah sangat biar ayah
aje yang mati! Kalau ayah mati, kau bolehlah buat sesuka hati kau, kan?!”
Kerana sakit hati yang teramat sangat, Rasyid sudah melepaskan kata-kata yang
berada di luar akal dan fikirannya.
“Ayah...!!” Serentak Hana dan Alia
membantah kata-kata ayahnya itu. Tidak sanggup rasanya untuk membuatkan ayah
marah, sampai sanggup melakukan perkara sebegitu.
“Abang... Kenapa cakap bukan-bukan ni...”
Semakin lebat tangisan Hana mendengar
suara lirih seorang ibu. Mak... maafkan Hana!
“Kalau abang tak cakap perkara macam ni,
tu...” Mulutnya diajukan menunjuk ke arah Alia yang sedang menyabarkan Hana. “Bakal
mengikut kakaknya melakukan perkara-perkara yang diharamkan!”
“Ayah... Hana tak buat macam tu! Alia tak
akan buat apa yang Hana tak buat!” Hana mempertahankan adiknya yang sudah
dikaitkan dengan kesalahannya.
“Ayah...
Kenapa cakap macam tu?” Giliran Alia
pula yang menyedarkan ayahnya daripada perasaan amarah yang tidak terhingga
itu.
“Kau diam Alia! Kau tu mentah lagi! Orang
lelaki tak apa! Habis madu, sepah dibuang! Nanti dah tak ada siapa nakkan kakak
kau. Masa tu, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah! Ayah tak mahu
perkara-perkara macam tu berlaku! Tu, kat kampung tu..! Mana ayah nak sorok
muka ayah ni? Kalau Hana tak kahwin sekarang, banyak mulut yang akan mengata di
belakang! Satu kampung heboh!”
Hana dan Alia terdiam dan hanya mendengar
amarah demi amarah yang diperkatakan oleh ayahnya. Emak tidak berkutik! Baginya
diam lebih baik daripada berkata-kata mengenai perkara yang dah berlaku.
“Ayah tak kira! Fazrul mesti
bertanggungjawab pada Hana! Hana mesti kahwin dengan Fazrul!” Suara itu
kedengaran tegas sekali seolah-olah tidak mahu lagi ada suara yang menyangkal
patah perkataannya lagi!
“ALONG
rasa cakap pak cik Rasyid tu betul, Fazrul! Elok benar rasanya kamu berdua
kahwin sebelum keadaan menjadi semakin buruk.”
“What..?? Apa ni, along! Along ingat
kahwin tu perkara main-main ke? Yang kena kahwin, Fazrul! Bukan along atau
sesiapa!! Fazrul tak pernah sukakan dia. Dan juga tak mungkin akan sukakan dia! Fazrul bencikan dia! Sampai
bila-bila pun Fazrul akan bencikan dia!” Fazrul mejerit lantang kerana perasaan
marah yang membuak-buak di dalam hatinya.
Namun, kata-kata itu sempat menusuk masuk
ke telinga Hana. Cukup merobek-robekkan hati wanitanya. Baguslah tu!! Fazrul...
sekali kau bencikan aku, berkali-kali aku bencikan kau! Suara hatinya
menjerit-jerit sendirian.
“Fazrul... Tolong bertenang sekejap.
Dengar dulu apa yang nak dicakap. Pasal denda, biar along yang settlekan. Tapi, along nak Fazrul kahwin
dengan Hana! Sebelum ayah dengan ibu pulang, baik Fazrul bertindak dulu. Kalau
tidak, keadaan akan menjadi semakin keruh. Kalau apa-apa berlaku pada Hana,
anak Hana tetap anak Fazrul!” Tegas sekali kata-kata itu keluar daripada mulut
Farish.
Apa anaknya pulak..?! Fazrul terasa
marahnya semakin menjadi-jadi dengan kata-kata abangnya itu. Dia meraup
wajahnya sekejap dan menarik nafas panjang. “Along cakap apa ni..?! Kan Fazrul
dah cakap, Fazrul dengan Hana tak buat apa-apa dalam rumah tu! Fazrul tak
‘buat’ dia..!”
Sekejap itu, anak matanya beralih ke arah
kakak iparnya, dengan harapan kakak iparnya akan memahaminya dan akan
menyokongnya.
Aisya menarik nafas sekejap sebelum
bersuara. “Kak long tak tahu apa yang harus kak long cakap. Tapi yang pasti...
Kak long juga seorang perempuan. Kalau kak long di tempat Hana, kak long juga
akan rasa masa depan kak long gelap gelita. Dan sebagai seorang perempuan, kak
long setuju dengan pendapat along. Bimbang perkara yang akan berlaku pada Hana.
Apa-apa pun, suatu hari nanti Fazrul akan tetap perlu bertanggungjawab! Kalau
betul Fazrul tak melakukan perkara sebegitu, kenapa Fazrul banyak dalih dan
tidak bersetuju untuk dikahwinkan dengan Hana? Atau... Fazrul sanggup terima
Natasya?”
Aisya sekadar mengingatkan adik iparnya
itu. Tetapi baginya dia juga bersetuju dengan pendapat suaminya. Fazrul dan
Hana perlu dinikahkan! Apatah lagi sebelum mertuanya pulang daripada bercuti.
Aisya sudah masak dengan sikap mertuanya yang agak tegas dalam kehidupan
anak-anaknya. Selain itu, keluarga mertuanya itu sangat mementingkan dan
menjaga nama keluarga di mata masyarakat. Sudah tiga tahun dia menjadi
sebahagian daripada keluarga itu. Dia sudah masak dalam menilai sesuatu perkara
yang disukai atau tidak disukai.
Fazrul
terdiam untuk seketika waktu. Fikirannya
mula memikirkan perkara yang sama seperti mana yang difikirkan oleh kaka
iparnya itu. Natasya..! Mungkin juga perkahwinan antara aku dan Hana boleh
mengelakkan diri daripada Natasya! Ah, tidak!! Aku tak mahu kahwin dengan Hana!
Tapi... aku juga tak nak kahwin dengan Natasya! Aku hanya cintakan Marlisa
sorang aje!!
Hey, Fazrul! Come on lah! Kau kan lelaki. Lelaki boleh kahwin sampai empat, tau.
Lagipun, bukannya kau tak berkemampuan untuk kahwin lebih daripada seorang
perempuan. Tiba-tiba hati kecilnya berkata-kata jahat, mempengaruhi mindanya.
Tapi...
Okey, aku akan kahwin dengan dia! Tapi,
tak bermakna aku cintakan dia! Dia buat semua orang seperti menyalahkan aku
seratus peratus. Sekarang, biar dia rasa pulak apa itu rasa susah! Padan muka
kau! Nanti, kau sendiri akan kenal siapa Fazrul sebenarnya!!
Fazrul mengangkat wajah memandang satu
persatu wajah di hadapannya. Matanya memandang raut wajah along dan sekejap itu
anak matanya beralih memandang ke arah kakak iparnya pula. Seketika itu, anak
matanya beralih memandang ke arah keluarga Hana yang turut berkumpul di ruang
tamu rumahnya.
Selepas keluar daripada balai polis tadi,
along dan ayah Hana mahu berbincang. Along memutuskan untuk berbincang di
rumahnya. Kini, wakil kedua-dua keluarga ada di sini. Anak mata Fazrul sempat
menangkap seraut wajah sayu Hana. Sedih... atau sebenarnya gembira? hatinya
tertanya sinis. Kemudian tersembul pula wajah Kay Tee yang penuh dengan rasa
bersalah. Fazrul cukup sakit hati memandang wajah itu. Kerana Kay Tee semua ini
terjadi!
Tapi... perkara ini semua tidak akan
terjadi kalau perempuan itu tidak berada dalam keadaan mencurigakan! Dah lah
pakai baju tidur. Muka baru bangun tidur. Dengan tuala kat atas kepala! Eee...
benci benar aku! Teringat kata-kata salah seorang daripada pencegah maksiat
yang bersungguh-sungguh mengatakan mereka melakukan perkara tersebut
semata-mata kerana keadaan dirinya dan diri Hana yang tidak terurus dan
mencurigakan pada ketika itu.
LANGKAH Kay Tee yang menghampirinya dipandang
tajam. Entahlah! Pada ketika ini, Fazrul sendiri tidak pasti, siapakah yang
harus dipersalahkan. Tapi, entah kenapa hatinya kuat mengatakan bahawa Hana
adalah pesalah besar yang menyebabkan perkara ini berlaku! Tambahan pula,
ketika kejadian, Hana dalam keadaan serabai dan kusut masai!
Kay Tee mendongak memandang Fazrul yang
sedang merenung tajam ke arah. Di dalam hatinya terasa begitu takut dengan
pandangan tajam itu. Sebelum ini, dia langsung tidak pernah nampak wajah Fazrul
yang sedang marah sampai di tahap ini. “Fazrul... Aku minta maaf. Aku tak sangka
semua ni akan berlaku dalam sekelip mata! Aku minta maaf!” Kay Tee
melutut di hadapan Fazrul membawa bersama linangan air mata. Sungguh, dia
betul-betul terkejut sebaik sahaja sampai di rumah, tiada kereta sesiapa yang
tersadai di hadapan halaman rumah.
Beberapa
saat selepas itu, jeritan telefon bimbitnya menjawab semua persoalan yang
bermain difikirannya sekejap tadi. Sungguh, seribu penyesalan menerjah benak
fikiran apabila mendengar berita bahawa Fazrul dan Hana ditangkap basah! Dia
betul-betul yakin bahawa kedua-dua sahabatnya itu tidak akan pernah melakukan
perkara tersebut. Dia tidak boleh menjadi saksi, walaupun dia cuba untuk
mempertahankan kedua-dua mereka. Sungguh, hatinya menyesal sangat-sangat!
“Dahlah,
Kay Tee. Kau tak bersalah. Perempuan tu yang bersalah!” Keras kata-kata Fazrul, melepaskan kemarahannya.
“Fazrul... Jangan cakap macam tu! Hana
perempuan yang baik.”
“Habis tu..? Kau cakap aku yang bersalah?”
Suaranya kedengaran tegang. Bengang apabila kata-kata Kay Tee seperti
menunjukkan dia yang bersalah menyebabkan kejadian itu.
“Bukan... Bukan macam tu! Dalam hal ni,
kau dan Hana tak bersalah! Aku yang bersalah! Aku mintak maaf
banyak-banyak! Suara Kay Tee diselang
seli dengan tangisannya. “Tapi... Cuma satu perkara yang nak aku cakap pada
kau... Aku tak mahu korang berdua mempersia-siakan masa depan korang. Fikirlah
sebetul-betulnya sebelum membuat suatu keputusan!” Sempat dia memberikan
pandangannya walaupun dalam tangisan. Sungguh, dia sayangkan kedua-dua sahabat
baiknya itu. Tidak mahu kedua-dua mereka, atau salah seorang daripada mereka
kecundang dalam membuat keputusan!
“Sudahlah,
Kay Tee. Aku sudah buat keputusan! Aku
akan kahwin dengan dia! Tapi, jangan harap aku akan mencintai dia seumur hidup
aku! Sampai mati pun, tidak akan!!”
Kay Tee tersentap sendiri. Bulat matanya
memandang ke arah Fazrul. Begitu kejamkah Fazrul..? Sampai begitu sekali
marahnya pada Hana! Padahal, Hana juga tidak bersalah dalam hal ini. Kalau nak
teruskan perkahwinan ini, tentu sahaja ada hati yang akan terluka! Dan Hana...
Kamarul...? “Fazrul... Jangan...”
“Dah! Keputusan ni dah muktamad! Sekarang
semua orang cakap aku yang rosakkkan perempuan tu. Alang-alang dah kena cakap
yang bukan-bukan, biar aku terus kahwin dengan dia, dan biar dia betul-betul
rosak di tangan aku!”
“Fazrul..!!” Kay Tee sakit hati mendengar
setiap patah ucapan yang diperkatakan oleh Fazrul. Kenapa dalam sekejapan
waktu, sikap Fazrul berubah mendadak?! Fazrul yang pernah dia kenal, bukanlah
Fazrul yang tidak berhati perut seperti Fazrul yang sedang berdiri di
hadapannya ini.
Kay Tee menarik nafas panjang. Rasa
bersalah semakin bermukim dalam hatinya terhadap Hana. “Fazrul, tolonglah...”
Kay Tee masih lagi mahu berkata-kata dan membetulkan keadaan. Tetapi, kata-kata
itu mati apabila Fazrul sudah mengangkat kedua-dua tangannya sebagai petanda
bahawa dia tidak mahu mendengar patah bicara lagi!
Lantas, Fazrul melangkah kaki ke arah
keluarga Hana yang berada tidak jauh daripada tempat dia berdiri. Semua mata
tertumpu ke arahnya. Suasana yang tadinya tegang, senyap sunyi untuk seketika
waktu.
Matanya memandang tepat ke arah lelaki
yang sudah berada di hadapannya itu. Ayah Hana! “Pak cik Rasyid! Saya akan
berkahwin dengan anak pak cik! Dan saya nak semua orang tahu bahawa saya
bukanlah seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab!” Keras suara itu,
menjadikan suasana di situ semakin menyepi.
Hana tersentak sendiri dengan patah kata
lelaki itu. Alia yang berada di sebelah Hana turut tersentak dengan keputusan
yang tidak disangka itu. Pandangan kedua-dua beradik itu dilemparkan ke arah
raut wajah ayah mereka yang kelihatan begitu tenang sekali. Mungkin sahaja
hatinya tenang dengan keputusan Fazrul. Hana menghalakan pandang ke arah emak
yang sedari tadi diam membisu tanpa sepatah perkataan.
“Tidak!! Saya tak nak kahwin! Saya
cintakan Kamarul. Dan saya hanya akan kahwin dengan Kamarul!” Lantang suara
Hana membantah keputusan Fazrul. Tiada lagi tangisan. Hanya yang ada adalah
sekeping hati wanita yang kuat demi membela diri yang seolah-olah sedang
diperkotak katikkan oleh orang lain!
“Diam, Hana!” Nyaring suara Rasyid memecah
kesunyian yang menerpa.
“Ayah...! Hana tak nak kahwin! Daripada
Hana kahwin dengan dia, baik Hana tak payah kahwin sampai bila-bila!” Hana
masih berkeras dengan keputusannya.
“Hana, jangan membantah!” Sekali lagi
suara tegas itu dihalakan ke arah Hana.
“Hana tetap akan tidak setuju.”
Rasyid geram sendiri dengan kedegilan anak
sulungnya itu. Terasa kesabaran di dalam hatinya goyah kerana kedegilan dan
perangai anak sulungnya itu.
Pang!! Satu tamparan terkena pipi Hana.
Tamparan pertama ayah terhadap dirinya. Alia yang terkejut terus mendapatkan
Hana. “Ayah...” Menitis air matanya dengan sikap kekerasan ayah terhadap
kakaknya itu.
“Abang..!” Ramlah yang turut terkejut mula
bersuara apabila suaminya itu sudah bertindak di luar kawalan akal. Serius
sekali raut wajah suaminya itu. Cepat-cepat Ramlah mendapatkan Hana dan memeluk
anaknya itu. Kepala Hana diusap-usap perlahan.
Hana yang terkejut terdiam! Seumur
hidupnya, tidak pernah sekali pun dia ditampar oleh ayahnya. Air mata yang
tadinya disimpan teguh di dalam hati, menitis setitis dan terus menitis lagi.
Pipinya terasa pedih! Tetapi, hatinya bertambah pedih dengan sikap ayahnya.
Sampai hati ayah! Sampai hati ayah tampar Hana depan orang ramai! Hana terus
terdiam membisu. Tidak mahu penampar ayah, sekali lagi hinggap di pipinya.
Kamarul... Maafkan aku! Betapa hancurnya
sekeping hati ini, Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Impian untuk sama-sama
membina mahligai indah di kayangan bersama Kamarul relai begitu sahaja. Kini,
dia terpaksa membina sebuah mahligai air mata yang diciptakan oleh Fazrul!
Ya Allah... begitu kuatkah dugaan yang
Engkau berikan kepada seorang perempuan, seorang anak seperti aku..? Andai ini
sudah tertulis dalam suratan takdirMu... Aku pasrah menerima segalanya dengan
adanya! Aku redha... Aku terima dengan rela hati...! Mungkin, dari saat ini,
akan bermulanya epilog cinta luka dalam kamus hidup aku! Mungkin juga,
bermulanya saat ini, bermulanya juga elergi sepi di hatiku..! Ya Allah... Hanya
kepadaMu aku berserah segala-galanya...!