Monday, April 22, 2013

Cinta Aku Untuk Dia - Prolog II

PROLOG II

PANDANGAN dilontarkan jauh ke dasar akuarium besar. Memandang ikan-ikan yang bergerak bebas tanpa sedikit pun bersusah-payah memikirkan masalah kehidupan.
Namun, gembirakah ikan-ikan di dalam kurungan ini?
Pagi-pagi lagi, Sya sudah menapak ke sini. Berjalan seorang diri tanpa arah tujuan. Jujur, Sya benar-benar memerlukan ketenangan.
Menerima kad undangan perkahwinan Wan Haikal dan Nurul Damia semalam, menambahkan lagi lara di hati Sya. Baru sebulan yang lepas mereka mengikat ikatan pertunangan. Cepatnya masa berlalu, dua minggu lagi mereka akan diijab kabulkan pula.
Kerana janji harus ditepati, Sya setia dengan cintanya. Kerana kesetiaan itu mahal harganya, hatinya pula digores luka. Dan luka itu sangat menyakitkan apabila dilukai oleh orang yang dia sayang.
Mutiara jernih yang bertakung di dalam kolam mata sudah cuba dihapuskan. Namun, semakin mengaburkan pandangan.
Hati tersayat luka. Perasaan sedih bertimpa-timpa di dalam dada.
Ya Tuhan, titipkanlah sedikit kekuatan di dalam diriku untuk berhadapan dengan ujian-Mu ini. Sesungguhnya aku benar-benar telah ikhlaskan hatiku untuk segala ketentuan-Mu ini.
Ralit melayan perasaan, tiba-tiba tubuhnya dirempuh oleh sesusuk tubuh sasa. Tiba-tiba sahaja tubuhnya terpelanting ke belakang. Sya cuba menyeimbangkan badan. Mujurlah tangannya sempat memaut tangan seseorang. Jika tidak, memang tubuhnya akan terhempas ke lantai.
“Maaf, saya tak sengaja. Are you okay?”
Mendengar suara seorang lelaki, Sya mendongakkan kepala. Sepasang anak matanya cuba memandang wajah seseorang. Namun, silauan cahaya lampu menghalang pandangannya.
Eh, lelaki?
Tindakan di luar kawal, Sya terus melepaskan pegangan tangannya. Haram! Tak berlapik!
Buk!
Apa lagi? Terjatuh macam nangka busuklah. Sya terjatuh kerana melepaskan pegangan tangannya sebentar tadi.
Serba salah lelaki itu apabila melihat wanita di hadapannya terjatuh ke lantai. “Err… maaf! Kenapa lepaskan tangan? Saya cuma nak tolong saja.”
Suara itu langsung tidak sampai ke corong telinga Sya. Yang dia tahu, ada rasa sakit di pinggang dan tapak tangannya. “Adoi, sakitnya!”
“Awak tak apa-apa ke? Boleh bangun tak? Nak saya tolong?”
Err… saya tak apa-apa. Saya boleh bangun sendiri,” jawab Sya sambil membetulkan duduk.
“Kalau macam tu, saya minta maaf sekali lagi.”
Sya cuma mengangguk sambil menghantar pandang sesusuk tubuh itu dari arah belakang. Terkial-kial Sya bangun. Anak mata singgah pada kedua-dua tapak tangan yang terasa pedih. Melecet rupanya. Patutlah rasa sakit.

Sudahnya, Sya membuat keputusan untuk pulang. Langkah terus diatur keluar walaupun baru sekejap dia di sini. Tak mengapalah. Lain kali boleh datang lagi.

Sunday, April 7, 2013

Cinta Aku Untuk Dia


SINOPSIS

CINTA AKU UNTUK DIA

Sya Azlynaz, dia pernah terluka kerana terlalu setia dengan cinta pertama. Adam Hazreyl pula, cinta pertamanya kecundang setelah dikhianati oleh perempuan yang dia cintai.

Takdir menemukan mereka berdua. Dan mereka bersetuju memilih perkahwinan untuk mengubati luka di hati masing-masing. Tetapi sayang, hati Hazreyl tidaklah seteguh hati Sya. Setelah Nur Liyana kembali merayu kasihnya, Hazreyl lebih tegar untuk melukakan hati seorang wanita yang baru sahaja sah menjadi isterinya.

 “Saya rasa perkahwinan kita ni adalah satu kesilapan besar.” ~ Adam Hazreyl
“Saya ikhlas menerima perkahwinan ini kerana saya terlalu yakin awak tidak akan melukai saya sepertimana dia melukakan hati saya.” ~ Sya Azlynaz

Kehadiran Hazreyl bukanlah untuk membalut luka di hati Sya. Malah, menyebabkan luka hati Sya semakin parah apabila dilukai oleh insan yang bergelar suami.

“Jadi, kaulah perempuan yang rampas Hazreyl daripada aku?” ~ Nur Liyana
“Saya tak akan berhenti dengan mudah. Sekalipun saya dianggap perampas. Sebab yang bakal saya rampas itu adalah suami saya sendiri.” ~ Sya Azlynaz
“Macam mana kalau saya yang hentikan status itu?” ~ Adam Hazreyl

Kerana terlalu mencintai suaminya, Sya berusaha mempertahankan cinta yang hanya bertepuk di sebelah tangan. Sya bersungguh-sungguh mempertahankan rumah tangganya yang kian retak menanti belah.

Namun, akan bertahankah rumah tangga mereka jika hati kerap kali terluka dan disakiti? Akan bertahankah rumah tangga mereka jika Nur Liyana tetap menjadi penghalang ikatan suci mereka?
  

Cinta Aku Untuk Dia - Prolog I

PROLOG I

PANDANGAN dilemparkan jauh ke kaki langit. Kelihatan mentari senja mula bersembunyi di kaki langit. Suasana petang yang begitu hening. Sunyi sepi setelah hujan mencurahkan air ke bumi.
Sudah sepuluh minit, masing-masing saling mendiamkan diri. Membiarkan hati saling berbicara tanpa ada jawapan untuk persoalan demi persoalan yang menjengah fikiran.
Kepala ditoleh ke sisi. Anak matanya mencuri pandang ke arah seraut wajah bening yang menunduk pandang ke tanah. Wajah ini, yang selalu aku mimpikan. Wajah ini, yang bakal aku rindukan.
“Sya…”
Terhenti lamunan. Wajah diangkat lalu sepasang anak matanya bersabung pandang dengan sepasang anak mata itu. Tiada suara yang dilontarkan keluar dari kotak suara.
“Kita akan jumpa lagi, kan? Janji dengan Wan yang Sya tak akan pernah berpaling daripada cinta Wan, ya?”
Keluhan kecil dilepaskan. Kemudian, pandangan matanya dilarikan semula ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapan mata.
‘Apa jawapan yang Sya ada, Wan?’ Soalan itu bergema di dalam hati Sya.
Kepala ditoleh ke sisi. “Wan… perjalanan hidup kita masih panjang. Sekarang kita masih di usia remaja. Bila dewasa, kita akan lebih matang dalam membuat pilihan. Waktu itu, kita tak tahu siapa yang akan menjadi pilihan hati kita.”
“Ya, Wan tahu. Tapi Wan benar-benar cintakan Sya. Wan berjanji akan setia mencintai Sya sampai hujung nyawa. Tak akan pernah ada cinta lain yang akan menghapuskan cinta Wan untuk Sya.”
“Kita hanya mampu merancang, Wan. Tuhan yang menentukan segalanya. Mungkin waktu yang berlalu itu akan menemukan Wan dengan seorang perempuan yang lebih baik berbanding Sya. Begitu juga dengan Sya.”
“Tak! Walau sebaik mana pun perempuan yang Wan akan temui, Wan akan setia mencintai Sya. Wan nak Sya berjanji bahawa Sya tidak akan pernah menggantikan cinta Wan dengan cinta yang lain.”
Keluhan kecil meniti ulas bibir Sya. “Wan kena faham…”              
“Wan tak nak faham! Walau apa pun berlaku Wan tetap cintakan hanya seorang Sya Azlynaz. Hari ni satu Muharam, Sya. Bila Wan dah tamatkan pengajian nanti, satu Muharam yang sama, Sya tunggu Wan kat sini. Kita jumpa!” Bersungguh-sungguh Wan Haikal mengungkapkan janjinya.
Sya memandang wajah Wan Haikal lama. Bicaranya tiba-tiba mati.
Cinta…
Janji…
Setia…
Sejujurnya, Sya terlalu cintakan Wan Haikal. Tetapi, mereka masih muda. Perjalanan hidup masih panjang. Ketika diuji di dalam perjalanan, mampukah aku dan dia berpegang pada janji yang dilafazkan?
“Sya… masa tu kita masing-masing sudah dewasa. Ketika itu, Wan akan lamar Sya. Wan akan terima apa sahaja jawapan Sya. Jawapan yang baik, ataupun sebaliknya.”
 “Macam mana kalau Sya tak datang?” Sya sekadar menduga.
“Wan tetap akan tunggu. Jika mentari sudah melabuhkan layarnya, Wan akan faham, bahawa Sya sudah mempunyai pengganti Wan.”
“Tak boleh macam tu, Wan.”
“Wan akan tunggu sampai Sya datang,” tekad Wan Haikal bersungguh-sungguh.
“Macam mana kalau Wan yang tak datang? Maksudnya, Wan yang dah ada pengganti Sya?”
“Tak mungkin, Sya! Wan akan datang. Wan janji!”

Tuesday, April 2, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 22



Dua Puluh Dua

HANA melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sejak tadi, kedua-dua insan di dalam kereta itu hanya mendiamkan diri. Masing-masing membawa fikiran masing-masing. Di fikiran Hana, hanya satu perkara yang difikirkannya. Fazrul!
Malam tadi, Fazrul tidak pulang ke rumah. Dia langsung tidak tahu ke mana Fazrul pergi. Sihatkah dia..? Sibukkah dia..? Apa yang berlaku sebenarnya..? Kenapa dia tak telefon langsung..? Kenapa?? Pelbagai persoalan menerjah masuk. Tetapi, satu pun tidak terjawab!
Kini di sisinya Kay Tee yang diam membisu! Apa pulak masalahnya..?! Dari awal tadi, Kay Tee nampak tidak ceria! Mulutnya juga seolah-olah berat untuk bertanya khabar seperti selalu. Kenapa..? Apa yang berlaku..? Hatinya betul-betul keliru!!
“Hana, kau okey?” Satu pertanyaan akhirnya terlontar daripada mulut Kay Tee.
Hana menoleh sekilas dan kemudian menganggukkan kepalanya perlahan.
Kay Tee sekadar mendiamkan diri setelah melihat anggukan Hana. Namun, jauh di sudut hatinya, dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada Hana. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang menganggu fikiran Hana. Dan sebenar-benarnya, kini fikirannya juga sedang bercelaru!
“Erm... Kay Tee... Sebenarnya malam tadi Fazrul tak balik rumah.” Akhirnya Hana meluahkan perasaan yang menggangu hatinya sejak pagi tadi.
Fikirannya sarat dengan pelbagai persoalan. Dia tahu, semua itu hanya akan diluahkan kepada Kay Tee seorang sahaja. Teman yang sedia mendengar dan menerima baik buruk dirinya seadanya. Hana memandang lama ke arah Kay Tee. Kelihatan seraut wajah itu selamba sahaja. Langsung tiada riak muka yang menunjukkan perasaan terkejut.
Kay Tee menganggukkan kepalanya perlahan. Tumpuan terus diberikan kepada jalan raya yang kelihatan agak sesak ketika itu. Kepalanya ditolah sekilas ke arah Hana. “Hana... Sebenarnya malam tadi aku nampak Fazrul dan Marlisa. Jalan-jalan kat sekitar KLCC.”
Perlahan nafasnya ditarik sedalamnya sebelum meneruskan kata-katanya. Bimbang juga hati Hana akan terluka dengan setiap kata-kata yang mahu dituturkannya. Jauh di sudut hatinya, dia langsung tidak ingin memberitahu perkara ini kepada Hana. Tetapi hatinya mengatakan bahawa Hana perlu tahu tentang kisah sebenarnya!
“Mula-mula aku tak pasti betul atau tidak. Tetapi entah macam mana, boleh terserempak dengan dia kali kedua. Kali itu jelas di mata aku memang Fazrul dan Marlisa.” Kay Tee menghentikan ayatnya di situ. Tidak sanggup untuk dia memberitahu Hana bahawa dia ternampak Fazrul dan Marlisa sangat mesra seperti orang yang sedang bercinta. Tidak sanggup rasanya untuk memusnahkan kepercayaan Hana terhadap Fazrul.
Sejak akhir-akhir ini dia dapat mengesan cahaya cinta yang mula bersinar pada seraut wajah Hana. Hana seolah-olah gembira dengan perubahan sikap Fazrul akhir-akhir ini. Sebenarnya, begitu juga dengan aku! Dapat merasakan kebahagiaan apabila melihat kebahagian sahabat baikku ini!
Namun... peristiwa malam tadi mengelirukan hati aku! Entah kenapa, hati kecil ini merasakan seperti Fazrul tidak ikhlas bersama Hana. Jauh di sudut hatinya, dia bimbang kalau-kalau Fazrul sekadar mempermainkan Hana!
Hana nampak terkejut dengan berita yang baru sampai ke telinganya itu. Tetapi, Hana seolah-olah cuba mengawal perasaannya. Tidak mahu Kay Tee perasan dengan perubahan air mukanya. Sungguh, di saat itu dia tidak tahu apa yang patut diperkatakannya. Hana sekadar mendiamkan dirinya.
Padahal, sejak kebelakangan ini perasaan sayangnya terhadap Fazrul semakin hari semakin bercambah. Kali ini, hatinya sanggup menafikan kata-kata Kay Tee sebentar tadi. Tetapi tidak diluahkannya kepada Kay Tee. Bimbang sahabatnya itu terasa hati dengan penafiannya itu. Dia yakin, Fazrul juga sudah mula menyayangi dirinya. Mana mungkin Fazrul kembali lagi bersama Marlisa!
Kay Tee menoleh sekilas ke arah Hana yang diam membisu di sebelahnya itu. Tiada sebarang tindak balas yang diterimanya daripada Hana. “Hana... Kau ada apa-apa nak cakap?” Sedaya upaya dia cuba untuk mengetahui gelodak hati sahabatnya itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Hana memendamkan segala perasaannya seorang diri. Dan yang penting... dia bimbang Hana ditipu oleh Fazrul!
Hana sekadar menggelengkan kepalanya dan melemparkan senyuman kelat kepada Kay Tee. “Tak mengapalah, Kay Tee. Atau mungkin mereka sekadar berjumpa sebagai seorang kawan..? Sabtu nanti Fazrul dah confirm nak ajak aku jumpa mak dan ayah dia.”
Jika itu yang dikata Hana, apa lagi yang mampu diperkatakannya..? Kay Tee sekadar mengeluh kecil dan kemudian mengangukkan kepalanya. Mungkin Hana betul-betul yakin dan mempercayai Fazrul. Dia hanya mampu berdoa kepada Allah S.W.T supaya apa yang difikirkan Hana itu adalah betul.


PETANG itu, Hana pulang bersama Nazrin dan Fazy. Selepas tamat waktu pejabat tadi, Nazrin beria-ria  mengajak Hana makan bersama dia dan Fazy. Hana bersetuju memandangkan kerjanya sudah diselesaikan lebih awal dan tidak terlalu banyak untuk disiapkan. Lagipun hari ini dia terpaksa balik menaiki teksi. Kay Tee perlu bekerja lebih masa petang nanti.
Petang itu, Nazrin membawa Hana dan Fazy makan di salah sebuah restoran di Wangsa Maju. Sebelum itu, Nazrin ada singgah di sebuah kedai berhampiran. Katanya mahu belikan sesuatu. Tetapi, apabila ditanya tentang apa yang mahu dibelinya, tidak pula diberitahu! Hari ini, Nazrin dan Fazy seolah-olah ada rahsia yang disembunyikannya daripada pengetahuan Hana.
“Ai..? Nampaknya korang berdua mahu berahsia dengan aku hari ni..?!” Hana melepaskan keluhan kecil yang sengaja dibuat-buatnya untuk meraih simpati kedua sahabatnya itu.
Fazy tersenyum dan tergelak kecil dengan telatah Hana. “Sabarlah, Hana... Sekejap lagi kita orang bagitahulah kat kau. Sabar sikit lagi ya..?” Fazy menepuk-nepuk perlahan bahu Hana.
“Erm... Iyalah tu. Jangan sampai aku tumbuh janggut menunggu sudah..!” Hana berpura-pura merajuk.
“Ai..? Sampai tumbuh janggut? Ala... ala... Tua-tua pun nak merajuk ke mak cik..?” Fazy mengusik Hana.
Hana mengerutkan dahinya. “Mak cik kau panggil aku..?”
Fazy tergelak kecil. “Iyalah... tadi cakap jangan sampai tumbuh janggut. Dah tua lah tu!”
Hana mencebik.
“Hana merajuk..? Aku ni Hana... tak reti nak pujuk orang tua. Kalau pujuk budak-budak bolehlah! Sayang... sayang! Bucuk... bucuk! Jangan merajuk ya? Nanti uncle belikan aiskrim.” Kali ini giliran Nazrin pula yang sengaja mengusik Hana.
“Hey, banyaklah kau punya aiskrim! Aku bukan budak-budak tau!” Hana tergelak besar.
Pecai derai ketawa ketiga-tiga mereka dengan kerenah sesama sendiri. Nazrin terus membelokkan keretanya ke tempat meletakkan kereta di kawasan berhampiran.
Selepas makanan yang dipesan terhidang di meja mereka, Hana cepat-cepat bertanya. “Cepatlah cakap. Apa yang korang rahsiakan sangat ni..? Dah tak sabar nak dengar ni?”
“Hisy... kau ni... Buruk lantak betul! Tak sabar-sabar!”
Hana mencebik. “Iyalah... Dari tadi aku sorang aje yang tertanya-tanya apa yang korang sorok-sorokkan daripada aku. Apa yang surprise sangat ni?” Hana mengaru-garu dahinya yang tidak gatal itu.
Serentak Nazrin dan Fazy saling berpandangan dan kemudian tergelak. Sebenarnya sengaja mereka mahu mengenakan Hana dengan membuat Hana tertanya-tanya. Tetapi, ada saja telatah Hana yang membuatkan mereka terasa ingin ketawa. Lagipun, bukan senang nak tengok Hana merajuk macam ni!
“Kejap! Kejap! Kita makan dulu okey? Sambil-sambil makan nanti kita orang bagitahu.”
Hana melepaskan keluhan kecil. “Encik Nazrin... Nenek saya cakap, masa makan tak baik borak-borak. Hah, apa lagi? Cakap sekaranglah!” Wajah Hana sudah mula mencuka. Geram betul apabila dipermainkan oleh kedua-dua sahabatnya ini. Tadi bukan main lagi si budak dua orang ni ajak aku keluar makan. Alih-alih budak-budak ni main-mainkan aku. Eee...geramnya!
Fazy tergelak lagi apabila melihat mimik muka Hana yang seperti nenek kebayan itu. “Iyalah tu! Selama ini kau tak pernah borak-borak masa makan ye? Tapi, bukankan kau orang yang paling kuat bercakap masa makan?”
“Memang pun.” Perlahan sahaja suaranya menjawab.
Nazrin dan Fazy tergelak lagi.
“Okey... okey..! Hana... Baca doa makan.” Nazrin memberi arahan.
Hana mengerutkan dahinya. “Apa pulak..? Orang lelakilah yang patut jadi ketua untuk baca doa!” Sengaja Hana membantah kerana geram.
Nazrin tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. “Tak bolah! Kau tetamu istimewa kami. Jadi... kau baca doa... Bacalah!”
“Iyalah, aku baca ni! Tadah doa semua...” Hana berlagak seperti pelajar tadika yang mengarahkan rakan-rakannya membaca doa dan dengan perlahan doa makan dibacanya.


HANA terus menanti dengan sabar. Nampaknya dua orang budak ini memang nak permainkan aku hari ni! Okey... aku tak akan tanya lagi! Aku rela menanti pasti! Kalau korang nak cerita, ceritalah..! Kalau tak nak cerita, sudah! Dah merajuk hati ni..! Hatinya membebel sendiri.
Hana terus menyuapkan makanan ke mulutnya sambil anak matanya melilau ke persekitaran restoran yang mula dipenuhi dengan orang ramai itu. Biasalah... baru lepas waktu kerja. Pasti ramai yang singgah untuk minum atau makan. Lebih-lebih lagi pasangan bercinta! Memang ramai pun! Yang datang cuci mata pun ramai jugak!
Pandangan dilemparkan ke sisi kanannya. Tiba-tiba anak matanya terhenti ke arah pasangan lelaki dan seorang perempuan yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi berhampiran dengan meja yang didudukinya. Jantungnya terasa tersentap dan berdegup dengan kencang.
Terhenti suapannya seketika apabila jelas di matanya lelaki yang baru melabuhkan punggung di hadapannya itu adalah Fazrul. Anak matanya beralih ke arah perempuan yang sedang tersenyum mesra yang juga baru melabuhkan punggungnya di sebelah lelaki itu. Marlisa!
“Hana... aku cakap sekarang ya?”
Hana yang masih dalam keterperanjatan itu memandang Nazrin sekejap. Kepalanya dianggukkan dan kemudian tangannya menarik gelas di hadapannya itu. Minuman itu disedutnya perlahan. Namun terasa seperti tersekat dikerongkongnya.
“Okeylah, aku cakap sekarang ni. Sebenarnya, aku dan Fazy akan bertunang.” Nazrin memulakan bicaranya membawa bersama senyuman di bibirnya.
Hana sekadar mendengarnya. Dia tidak mampu membalas kata-kata itu. Bukannya dia tidak gembira dengan berita yang didengarinya itu, tetapi hatinya terasa pedih apabila mendengar gelak tawa daripada meja yang diduduki oleh Fazrul dan Marlisa tadi.
Tiba-tiba hatinya terasa sebak. Apa yang berlaku sebenarnya..? Fazrul... sampai hati awak buat saya macam ni! Kolam matanya sudah mula digenangi air mata yang sudah tidak mampu ditahan-tahannya. Hana menyedut lagi minuman dihadapannya. Tanpa disangkanya, dia tersedak dan terbatuk-batuk kecil.
Fazy menepuk-nepuk perlahan belakang Hana. “Hana... Kau okey..?”
“Itulah, orang tak sabar memang selalu macam ni..!” Sempat Nazrin memerli Hana yang sudah memerah matanya menahan rasa sakit kerana tersedak.
Hana melemparkan pandangan sekejap ke arah Nazrin. Rasanya dia tidak mampu bertahan untuk terus berada di situ. Hatinya betul-betul terasa seperti mahu menangis. “Erm... aku nak ke toilet kejap ya?” Sedaya upaya dia cuba mengawal perasaannya. Punggungnya diangkat dan langkah kaki terus diatur menuju ke tandas berhampiran.
Fazy dan Nazrin saling berpandangan antara satu sama lain. Di dalam fikiran masing-masing ada persoalan yang tidak tertanya oleh mereka.
“Naz... Kenapa dengan Hana? Dia tak suka ke?” Fazy mula bertanya apabila langkah Hana sudah agak jauh daripada meja mereka. Jelas kelihatan di matanya raut wajah Hana yang berubah secara tiba-tiba itu.
Nazrin yang turut terpinga-pinga itu menjungkitkan bahunya.
“Entah-entah Hana...” Fazy mula membuat andaiannya tersendiri. Tujuan mereka membawa Hana ke sini, sekadar untuk memberitahu Hana sebagai sahabat pertama yang mengetahui perihal pertunangan mereka. Bukan untuk menyakitkan hati Hana. Dia terasa hatikah..?
Nazrin mengerutkan dahinya. Fazy tidak menyudahkan ayat seterusnya. “Kenapa, Fazy..?”
Seraut wajah Nazrin dipandangnya lama. “Entah-entah, Hana sukakan awak..?” Terlontar juga andaian yang berada difikirannya sekejap tadi.
“Hisyh... Ada pulak cakap macam tu?!” Cepat sahaja Nazrin menyampuk.
Keadaan menjadi tegang! Fazy telah membuat andaian yang bukan-bukan. Raut wajah Fazy juga sudah hilang keceriaannya. Sekarang, seorang lagi yang mula merajuk kerana Nazrin cuba membela Hana dan menafikan andaian bakal tunangnya itu. Tetapi Nazrin yakin, Hana tiada apa-apa perasaan pun terhadapnya.
“Naz... hati orang, kita tak dapat nak teka.”
“Fazy... Jangan cakap lagi. Nanti Hana dengar pulak. Kita bincang lain kali.” Nazrin tidak mahu keadaan semakin teruk dengan andaian-andaian seperti itu.
Raut wajah Fazy yang tiba-tiba berubah muram, meletakkan Nazrin dalam keadaan serba salah. Dua-dua mereka adalah diantara mereka yang disayanginya. Sebolehnya dia tidak mahu menimbulkan masalah dalam persahabatan mereka yang sudah lama terjalin itu.
Seketika itu, Hana kembali semula ke meja mereka. Fazy memandang seraut wajah itu. Jelas di matanya, mata Hana merah. Hana menangiskah..? Sekejap itu, anak matanya beralih memandang ke arah Nazrin semula.
Nazrin memandang Fazy sekilas dan kemudian mengalihkan pandangan ke arah Hana. Kenapa dengan Hana. Kenapa tiba-tiba jadi macam ni..?
Hana melemparkan senyuman kepada teman-temannya itu. Sungguh, dia tidak mampu mengawal perasaan hatinya sebentar tadi. Kehadiran Fazrul dan Marlisa di situ cukup menghiris hatinya. “Sorry... Tersedak tadi. Tahniah! Bila korang berdua nak bertunang?” Suaranya cuba diceriakan.
Sekejap itu, anak matanya beralih sebentar ke arah Fazrul dan Marlisa. Memang mereka kelihatan seperti pasangan kekasih! Hatinya benar-benar tercalar. Tetapi, dia perlu mengawal dirinya pada ketika ini. Apatah lagi di hadapan Fazy dan Nazrin, bukannya Kay Tee untuk dia mengadu.
“Akhir bulan depan. Hana... kalau kau nak tahu, kau adalah orang pertama yang tahu. Dan kau juga orang pertama yang kita jemput.” Nazrin memandang ke arah Fazy yang sudah mula diam membisu.
“Oh, patutlah berahsia sangat! Sampai aku pun hampir-hampir merajuk! Dalam diam-diam ya... Rupa-rupanya tekaan aku selama ni tak silaplah! Akhirnya gosip-gosip korang menjadi jugak.” Hana tergelak kecil. Gelakan yang sengaja dibuat-buatnya.
Nazrin tersenyum dengan usikan Hana. Tetapi, jauh di dalam hatinya dia tidak tenang melihat kedua-dua wajah di hadapannya itu. “Saja nak surprisekan kau! Apa pendapat kau..?”
“Eh... mestilah aku happy! Aku senang sangat dengar korang dah nak bertunang. Nanti cepat-cepatlah makan nasi minyak ya?” Hana melemparkan pandangan ke arah Fazy.
Dia mula terperasankan sesuatu. Kenapa Fazy tiba-tiba diam dan hanya menundukkan wajah dan buat-buat seperti menyedut minuman. Sekejap itu anak matanya beralih pula ke arah Nazrin. Jelas kelihatan raut wajah Nazrin juga tidak seceria awal-awal tadi.
Kenapa pulak dua orang ni..? Gaduh ke..? Ai, takkanlah dalam jangka masa aku ke toilet beberapa minit tu, diaorang ni gaduh..? Kata dah nak bertunang... apa pulak gaduh-gaduh ni..? Aduh... dugaan betullah!
“Oit... Apasal diam aje?” Hana mencuit lembut bahu Fazy di sebelahnya itu.
Fazy tersenyum kecil. Namun, senyumannya itu kelihatan hambar sahaja. Hana memandang ke arah Nazrin sekejap. Ada perasaan tidak senang pada seraut wajah itu. Hana jadi keliru sendiri. Sekejap anak matanya memandang Nazrin dan sekejap itu anak matanya beralih memandang ke arah Fazy. Sekejap itu, anak matanya melirik ke arah Fazrul dan Marlisa yang jelas nampak mesra dan tergelak-gelak. Sakit hatinya memandang Fazrul seperti itu. Terasa dirinya dipersenda-sendakan oleh lelaki itu.
“Hana... aku baru teringat. Aku ada hal! Aku perlu balik sekarang. Kita borak lain kali ya? Naz, saya balik dulu.” Fazy tiba-tiba meminta diri dan tanpa menunggu jawapan rakan-rakannya itu, dia terus mengangkat punggungnya dan terus beredar.
Hana yang kebingungan memandang ke arah Nazrin yang juga seolah-olah terperanjat dengan tindakan Fazy itu.
“Fazy...” Hanya satu patah perkataan itu sahaja yang dituturkan oleh Nazrin.
Fazy terus melangkah tanpa sepatah kata lagi.
Hana bingung dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya ini. Matanya memandang lama  ke arah Nazrin yang kelihatan serba salah itu. “Kenapa, Naz?”
Nazrin menoleh ke arah Hana sekejap dan kemudian melemparkan pandang ke arah langkah Fazy yang semakin laju meninggalkan dia di situ bersama Hana. “Entahlah.” Ringkas sahaja jawapan Nazrin.
“Laa... pergilah pujuk! Takkan nak biar Fazy balik sorang-sorang!” Hana memberikan jawapan terbaik kepada Nazrin. Dia tahu, lelaki itu dalam keadaan serba salah. Mengejar Fazy atau meninggalkan dia sendiri di situ?!
Nazrin memandang ke arah Hana meminta kepastian dan seolah-olah meminta maaf dengan apa yang berlaku. Hana yang seolah-olah memahami keadaan itu, menganggukkan kepalanya dan melemparkan senyuman.
Sepantas itu, Nazrin terus melangkahkan kakinya untuk menjejaki Fazy yang dirasakan sudah berkecil hati dengannya.
Pemergian Nazrin dan Fazy membuatkan Hana semakin sayu apabila anak matanya melihat kemesraan Fazrul dan Marlisa di hadapan matanya. Dengan seribu perasaan, punggungnya terus diangkat dan kakinya dilangkahkan tanpa arah tujuan. Air matanya dirasakan seperti mengalir lagi!
Fazrul... terima kasih kerana melukakan hati saya!

Ku Rela Menanti Pasti 14



Empat Belas

SUDAH  tiga hari Fazrul seolah-olah orang yang kehilangan arah dan hala tujuan. Pusing ke kiri tidak kena, pusing ke kanan pun tidak kena. Semua kerja yang dilakukannya tidak menjadi. Semuanya kerana seorang wanita bernama Marlisa. Wanita yang paling dipujanya dan paling dicintainya.
Sudah tiga tahun berlalu hubungan cinta antara mereka. Jarang sekali berlakunya pertengkaran ataupun salah faham. Cuma sesekali adanya adegan raju merajuk. Tetapi kata orang, merajuk-merajuk sayang. Ya, Marlisa sememangnya seorang wanita yang sensitif. Namun sikap manja yang terdapat pada dirinya membuatkan sayang Fazrul terhadap Marlisa tidak pernah pudar sehingga kini.
Walaupun pada masa ini dia telah beristerikan seorang perempuan yang bernama Hana, tetapinya cintanya pada Marlisa tidak pernah sekalipun goyah. Tetapi.. Marlisa belum mengetahui hubungannya dengan Hana. Kalaulah Malisa tahu.... Tetapi, sampai bila Fazrul harus menyembunyikan rahsia perkahwinannya daripada pengetahuan Marlisa? Bukankah itu, tidak jujur namanya?
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini bayangan Marlisa sangat sukar untuk di jejak. Sudah banyak kali Fazrul berusaha menelefon dan mencari Marlisa tetapi usahanya langsung tidak membuahkan sebarang hasil. Ke mana dia? Bukankah selama ini Marlisa tidak pernah tidak memberitahunya  ke mana dia pergi. Aduh...! sakit kepala ini memikirkannya! Kay Tee...! mungkinkah Kay Tee tahu ke mana menghilangnya Marlisa.
Sejak dulu lagi, Kay Tee selalu menjadi orang tengah di antara dia dan Marlisa sekiranya berlaku pertengkaran di antara mereka. Namun, sejak akhir-akhir ini, Kay Tee tidak seperti dulu lagi! Bukannya dia tidak perasan semua itu, tetapi dia membutakan matanya! Dia tahu, sejak berkahwin dengan Hana, memang payah untuknya bercerita sesuatu tentang Marlisa. Aku tahu, dia dah macam peribahasa,’ditelan mati emak, diluah mati bapak! Roomatenya Hana, sahabatnya tempat kerjanya Marlisa! Mungkin dia tersepit di antara aku, Marlisa dan Hana!
Sejak kecil, dialah sahabat suka duka aku! Dialah perawat duka yang terpendam! Fazrul mengenali Marlisa juga melalui Kat Tee. Sejak aku jatuh cinta dengan Marlisa dan dia sendiri sudah mempunyai teman lelaki, kami tetap berhubung bila masing-masing memerlukan bantuan! Tapi, itu dulu! Sekarang semuanya berubah dalam sekelip mata! Seribu alasan yang di berikan bila di ajak berjumpa!
Tetapi, tidak bolehkah dia memberikan sedikit ruang untuk aku membantu aku, sahabatnya! Dia dah banyak berubah! Jarang benar dapat bertemu dengannya! Kalaupun Fazrul menelefon dia, bermacam-macam alasan yang timbul! Tidak macam dulu lagi! Dulu, semua alasannya di ketepikan untuk membantu aku! Aku tahu, seorang sahabat sepertinya sangat mementingkan persahabatan! Semuanya berubah kerana seorang perempuan bernama HANA!
Masih segar dalam ingatannya beberapa hari sebelum dia berkahwin dengan Hana, dan sewaktu hari dia diijabkabulkan dan sah menjadi suami kepada Hana. Kay Tee ada bersama. Hana banyak menangis bersama Kay Tee. Tentu sahaja Hana sudah banyak berceritakan tentang apa yang berlaku kepada Kay Tee. Atau mungkin di sebabkan itu, Kay Tee pulak seperti menyalahkan aku! Padahal dalam kisah cerita ini, yang bersalah adalah Hana!!
Argh...!! kali ni, aku dah tak nak kira apa-apa! Yang pasti, aku perlu mencari Kay Tee, dan perlu berjumpa dengannya untuk mencari di mana Marlisa! Aku tidak akan dapat hidup, kalau kehilangan seraut wajah Marlisa!! Aku menyayangi dia sepenuh hatiku! Aku cintakan dia!!


KAY TEE… Tolonglah! Aku perlu jumpa kau! Aku dah betul-betul jadi gila macam orang gila kehilangan anak! Kay Tee... Tolong aku!” Bersungguh-sungguh Fazrul menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan sahabatnya itu.
“Fazrul, maaflah! Aku sibuk sangat ni! Aku betul-betul sibuk!” Kay Tee mencari alasan lagi!
Sejak dia melihat dengan matanya sendiri, Fazrul dan Marlisa berpeluk-pelukan di hadapan umum, dia menjadi renggang dengan Fazrul. Jauh di sudut hatinya tidak mahu memusnahkan persahabatan yang telah lama tercipta itu! Namun, sebagai seorang perempuan, dia tahu apa erti terluka dan di lukai!
Sememangnya Hana adalah teman rapatnya yang juga seorang sahabat yang sering mengambil berat akan dirinya walau di mana sahaja dirinya berada. Seorang sahabat yang banyak membantu dan memberikan pertolongan di saat dia sangat-sangat memerlukan pertolongan! Seorang sahabat yang banyak memberi nasihat kepadanya dan mengajarnya apa yang baik dan apa yang buruk. Hana, seorang sahabat yang sangat banyak berjasa dengannya sejak awal pertemuannya dengan gadis itu.
Marlisa juga merupakan seorang sahabatnya di tempat sekerja. Rakan sekerja! Walaupun tidak seberapa rapat, tetapi dia adalah rakan sekerja! Apatah lagi selepas Marlisa couple dengan Fazrul. Dialah yang membantu menjadi orang tengah dalam kisah cinta mereka. Sejak itu juga dia mulai rapat dengan Marlisa. Walaupun Marlisa adalah seorang sahabat yang banyak menyakitkan hatinya, tetapi Marlisa seorang sahabat yang baik. Kerana itu juga, dia masih sanggup membantu mereka berdua!
Tetapi semua itu telah berubah! Dan sekarang, akulah mangsa keadaan! Aku berada di tengah-tengan antara mereka! Kalau aku mampu terbang, sudah lama aku terbang ke langit biru dan mencari ketenangan di sana! Kalau di beri pilihan antara menjdi sebatang pokok dengan menjadi seorang manusia, tentu sahaja aku memilih untuk menjadi sebatang pokok yang hidupnya tidak perlu memikirkan masalah orang lain! Tapi, semua itu adalah mustahil!
“Kay Tee, tolonglah! Aku perlukan pertolongan kau sekarang! Kau masih sahabat aku kan?”
Kay Tee mengeluh kecil. Dalam hatinya, hanya Tuhan yang maha mengetahui apa yang sedang berkecamuk! Fazrul... Kau buat aku serba salah! Aku bukannya bencikan kau... Tapi, kenapa jadi macam ni... Kenapa semua ini harus terjadi seperti ini...! Kalau betul sayangkan Marlisa, kenapa setuju berkahwin dengan Hana...? Dua-dua itu itu adalah perempuan... Dan perempuan-perempuan itu adalah di antara mereka yang aku sayang...
Pernah Kay Tee membayangkan dirinya berada di tempat Hana. Sememangnya hati wanitanya akan terluka dengan sikap suami yang sebegini rupa! Isteri mana yang tidak akan terluka kalau melihat suaminya berpeluk-pelukan dengan perempuan lain di hadapan umum! Tapi, Hana... begitu tabah hati perempuannya bila berhadapan dengan dugaan seperti itu!
Marlisa... Aku yakin, Marlisa masih belum mengetahui perihal perkahwinan Fazrul dengan Hana! Dah berkali-kali Fazrul berpesan supaya tidak membocorkan rahsia perkahwinannya kepada Marlisa! Sekalipun dia di tempat Marlisa, dia sendiri tidak rela di tipu oleh seorang lelaki yang amat disayanginya! Apatah lagi untuk merebut suami orang!
Dan Fazrul... Kenapa sukar benar untuk membuat pilihan yang terbaik...? Kalau cintakan Marlisa, lepaskanlah Hana! Biarkanlah Hana mencari kebahagiaannya yang seharusnya di cari sejak dulu...! Masa yang berlalu tidak akan menunggu kita, masa hanya membuatkan kita semakin tua! Jangan sampai masa menuakan kita, baru kita ingin tersedar daripada mimpi yang panjang!
“Kay Tee... Tolonglah! Aku tahu, semua tu hanya alasan saja untuk tidak mahu bertemu aku kan? Kau sengaja melarikan diri daripada aku kan...? Kenapa macam tu...? Kalau ada aku tersalah kata, dan buatkan hati kau terasa, kau cakaplah... Kalau kau tak cakap, diam macam ni, macam mana aku nak tahu apa dalam hati kau...” Fazrul menghabiskan kata-katanya! Tidak tahu apa agi yang perlu di perkatakannya!
Kay Tee masih membisu di hujung talian!
“Kay Tee, cakaplah apa saja yang dah aku buatkan kau tidak berpuas hati. Aku akan menerimanya. Aku sayangkan persahabatan kita! Untuk apa sahabat, kalau tidak dapat mendengar luahan hati sahabatnya!”
Kay Tee diam lagi! Aku juga sayangkan persahabatan kita!
“Kay Tee, kau dengar tak..? Kay Tee...? Hello...?”
“Ya, aku dengar ni! Kalau macam tu kata kau, kita jumpa!” Akhirnya Kay Tee memutuskan kata!


KAKI dilangkahkan masuk ke dalam restoran seperti yang dijanjikan. Matanya melilau mencari kelibat Kay Tee diruang legar restoran yang agak luas. Setelah raut wajah itu berjaya ditemuinya, Fazrul mengukirkan senyuman dan kakinya dilangkahkan mengahala ke arah Kay Tee yang mungkin sudah lama menunggunya.
Kay Tee melambai-lambai ke arah Fazrul supaya Fazrul tidak tercari-cari kelibatnya. Mana tahu..sesat kot! Panas punggung aku tunggu, baru dia nak sampai! Matanya mengekor langkah Fazrul yang mula melangkah ke arah meja yang didudukinya itu. Dia boleh senyum pulak..? Aku tak boleh lama-lama ni!
“Dah lama tunggu?” Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi yang berhadapan dengan kerusi Kay Tee duduki.
“Fazrul... kau selalu lambat! Perangai buruk kau ni, bila kau nak ubah! Selalu aje buat orang tertunggu-tunggu!” Sempat Kay Tee memerli lelaki dihadapannya itu! Sejak dulu lagi, apabila diajak keluar, Fazrul selalu aje lambat, sedangkan dia selalu menepati masa. Sampai pada masa seperti yang dijanjikan! Inilah satu-satunya tabiat yang sangat sukar dikikis oleh Fazrul!
Sorrylah Kay Tee... Aku lambat sebab...”
“Jalan jem...” Belum sempat Fazrul menyudahkan ayatnya, Kay Tee terlebih dahulu meneruskan ayat itu! Memang itu alasan yang akan Fazrul berikan.
“Eh, mana kau tahu?” Fazrul membuat muka tidak bersalah.
“Dah lah Fazrul... Dari dulu, memang itu alasan kau kan?”
Fazrul hanya tersengih mendengar perlian Kay Tee.
“Kau nak cakap apa? Aku tak boleh lama-lama ni! Kawan aku tengah tunggu dalam kereta! Ringkaskan seringkas yang mungkin!”
“Kenapa tak ajak dia datang sini sekali? Kesian dia menunggu sorang-sorang dalam kereta!”
“Tak apalah! Aku dah cakap dengan dia, aku jumpa kau sekejap aje! Apa halnya..?” Air oren dihadapannya disedut perlahan.
“Kau tak nak makan dulu?”
“Maaflah, Fazrul... kan aku dah cakap, kawan aku tunggu dalam kereta. Lain kali, panjang umur murah rezeki, kita makan sama-sama! Cepatlah cakap...!”
“Sebenarnya aku nak cakap pasal Marlisa! Kau ada jumpa dia...?”
Patah perkataan yang dituturkan Fazrul menyentapkan hati Kay Tee. Sebentar tadi, dia bersetuju untuk keluar berjumpa dengan Fazrul semata-mata Fazrul memberi alasan mengenai Hana! Tapi, dia tersilap! Fazrul, memang pandai kalau dalam perkara macam ni! Matanya yang membulat sebentar tadi dikecilkan semula. ”Fazrul... kau masih bersama Marlisa...?”
Fazrul menundukkan wajahnya. Pertanyaan itu sekadar dijawab dengan anggukan.
Kay Tee menarik nafas panjang! Kepalanya digelengkan beberapa kali..! Kesal dengan sikap sahabatnya itu! “Habis tu...? Kau dah berterus terang dengan dia..?” Macam penyiasat yang diiktiraflah pulak! Apa-apa ajelah! Jangan sampai budak ni naik lemak sudahlah! Kay Tee membebel sendiri di dalam hatinya!
Fazrul diam lagi, dan sekejap itu dia menggelengkan kepalanya.
Kay Tee memicit-micit kepalanya beberapa kali. “Fazrul... kenapa jadi macam ni..” Pening sungguh kepalanya melayan kerenah Fazrul yang bermacam-macam ini.
Fazrul diam lagi!
“Hana...?”
“Hana tak perlu tahu!” Cepat sahaja Fazrul memintas dengan ayat yang ringkas dan mengangkat kepalanya memandang ke arah perempuan di hadapannya itu.
Kay Tee mengeluh lagi...! Terasa sesak nafasnya dengan kata-kata Fazrul! Kenapa Fazrul jadi macam ni...? Kenapa Fazrul menjadi seorang yang kejam seperti ini...? Fazrul yang sedang duduk di hadapannya ini bukanlah Fazrul yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu! “Fazrul... apa dah jadi ni..? Kenapa kau buat Hana macam tu... Kalau kau tak sukakan Hana, kau lepaskanlah dia... biarkan dia dalam kebebasan seperti kau... ”
“Tidak..!! Aku tak akan lepaskan dia! Aku tidak akan sesekali bebaskan dia! Kalau sekalipun aku bebaskan dia, aku nak sayapnya patah! Supaya dia tidak akan dapat terbang seperti dulu! Macam aku yang sedang kepatahan sayap ketika ini! Aku nak dia rasa apa yang aku rasa! Dia dah banyak buat silap pada aku! Tidak semudah itu aku akan melepaskan dia! Selama ini, bukankah semua orang menuduh aku merosakkan dia...? Sekarang aku nak dia rasa apa itu keperitan hidup! Aku nak dia rasa apa itu siksa! Aku tak akan sekalipun biarkan dia bersama kekasihnya, Kamarul!”
Begitu kejam setiap patah kata yang dituturkan oleh Fazrul! Adakah dia betul-betul sebegitu kejam...? Atau, kerana disebabkan oleh apa yang menimpanya kebelakangan ini..? Aku tahu dia banyak kecewa! Tetapi perlukah dia sekejam itu..? “Kenapa perlu melibatkan Kamarul..? Fazrul... tolong jangan buat Hana macam tu...!”
“Sudahlah Kay Tee... Aku nak tanya kau pasal Marlisa... Dah tiga hari aku cuba call dia, tapi satu pun tak dapat! Batang hidung dia pun, langsung aku tak nampak! Kau tahu dia ke mana..? ”
Kay Tee terdiam seketika! Badannya disandarkan ke kerusi. Kepalanya terasa sangat berserabut! Dia bingung sendiri! Di kirinya Hana, dan di kanannya Fazrul... Dan di tengah pula, dia dan Marlisa...! Ditelan mati emak, diluah mati bapak! Manakah jalan yang sepatutnya dipilihnya...? Tetapi, di saat ini, rasa kasihan di pihak Hana sangat mengunung! Lagipun, selama mana dia berkawan dengan Hana, dia dapat melihat ketabahan hati seorang perempuan dalam mengharungi dugaan hidup! Terlalu tabah! Tidak seperti dirinya!
Apabila Fazrul memandang tepat anak matanya dengan satu pandangan seperti mengharapkan sesuatu, Kay Tee menggelengkan kepalanya. “Entahlah, Fazrul... Aku sendiri pun tak tahu di mana Marlisa. Dah beberapa hari aku tak jumpa dia kat office. Semalam Faizah ada cakap, dia mintak cuti lama. Ada jugak aku tanya, cuti sakit ke? Tapi, Faizah cakap dia pun tak tahu... Apa yang terjadi sebenarnya, Fazrul..?” Kay Tee masih prihatin terhadap Fazrul.
Walaupun Fazrul telah banyak menyakitkan hati Hana, tetapi Fazrul tetap seorang sahabatnya. Selama ini, dialah  tempat mengadu Fazrul... Tak mungkin, di saat Fazrul perlukan seseorang untuk bercerita pada ketika ini, dia pla bertindak menyakitkan hati sahabatnya itu. Tak  mungkin juga untuk membiarkan Fazrul berseorangan berhadapan dengan masalah yang dihadapinya pada saat dan waktu ini.
Kali ini Fazrul pula yang menarik nafas panjang! “Entahlah, Kay Tee... Aku sendiri jadi bingung memikirkan semua ini! Minggu lepas, ada jugak aku berjumpa dengan dia. Tapi, semuanya masih okey. Masa last aku jumpa dia pun, dia nampak okey! Aku tak faham kenapa tiba-tiba dia menghilang macam ni! Nak kata aku buat salah, rasanya tidak! Dia ada cerita apa-apa pada kau..?” Dahi Fazrul berkerut panjang memikirkan kemungkinan-kemungkinan kesilapan yang telah dilakukannya sehingga Marlisa menghilang seperti ini! Mungkin ada kesilapan pada pihaknya yang tidak nampak di mata sehingga Marlisa merajuk seperti ini! Fazrul memandang Kay Tee sekali lagi.
“Tak ada pulak dia cerita apa-apa. Aku tak tahu apa-apa pasal dia kebelakangan ni. Lagipun aku dengan dia kan dah tak satu jabatan. Ayah dia tak sihat agaknya.”
“Betul ke...?” Fazrul bertanya dengan nada bersungguh ingin tahu!
“Aku main agak aje...!” Kay Tee mencebik!
Fazrul mengerutkan dahinya. “Tapi biasanya, kalau dia nak balik, atau apa-apa berlaku kat rumah dia, bukankah aku orang pertama yang dia jumpa..? Tak ada apa-apa pun dia beritahu aku..! Isyhh… Aku betul-betul risau ni… ” Jelas wajah Fazrul menunjukkan kerisauannya.
Kay Tee merenung seraut wajah di hadapannya itu untuk seketika waktu! Masing-masing mendiamkan diri dan seolah-olah sedang berfikir tentang satu masalah besar yang dihadapi oleh negara ini. Bagus tu!
Kay Tee berfikir sekejap. Dah lama dia ingin bertanyakan sesuatu pada Fazrul, tetapi bimbang Fazrul naik angin pulak! Tapi, kali ini, nak tanya jugak! Lantak kau lah, nak naik angin ke ribut ke, aku dah tak kisah! Yang penting aku nak kepastian tentang satu perkara! “Fazrul... Err... Kau hanya risaukan Marlisa aje..? Pernah tak sekali pun dalam hidup kau terfikir atau risaukan walaupun satu perkara sahaja tentang Hana...?” Teragak-agak juga Kay Tee mahu bertanya. Tetapi, dia nak tahu banyak perkara tentang Fazrul dan Hana! Tak salah kalau sekali sekala nak uji keikhlasan Fazrul! Hehehee...
“Kenapa kau tanya macam tu?” Fazrul menyoal dengan nada yang sinis dan disertai senyuman sinisnya!
“Saja... Nak tahu..!” Kay Tee bersahaja apabila Fazrul dengan riak kesombongannya!
Fazrul mengeluh kuat. Matanya tajam merenung seraut wajah Kay Tee yang nampak tenang sambil menghirup air di hadapannya itu. “Kau nak tahu atau Hana nak tahu?” Sekali lagi soalan sinis diutarakannya!
Kali ini giliran Kay Tee pula yang memandang Fazrul tajam! Bukan main sinis lagi kau sekarang Fazrul! Kau dah banyak berubah! “Aku yang nak tahu! Hana tak ada kaitan tentang soalan aku!” Kay Tee menjawabnya dengan tegas dengan harapan Fazrul tahu, dia pun mahu bertegas sekarang! Dia teruji dengan kesinisan Fazrul! Fazrul...ingatlah, keangkuhan tidak akan membawa kebaikan! Malahan akan membawa kesengsaraan kepada mereka yang angkuh!
“Baiklah! Kalau kau nak tahu, aku akan bagi tahu sekarang! Untuk pengetahuan kau, aku tak sukakan Hana! Dalam hati aku tidak pernah sekalipun mahu terdetik bahawa aku risaukan atau mengambil berat, memikirkan, atau terfikir tentang seorang perempuan bernama Hana! Tak Pernah! Dan kalau kau nak tahu lagi... Aku langsung tak akan mencintai perempuan itu sampai mati! Aku paling benci dengan perempuan yang menyusahkan seperti dia!” Kuat dan tegas kata-kata itu dituturkan dalam nada yang bersungguh-sungguh! Lega hatinya dapat melepaskan kata-kata sebegitu di hadapan Kay Tee!
Serentak itu, seorang perempuan yang baru muncul berhampiran dengan meja yang di duduki Fazrul dan Kay Tee, tergamam! Langkahnya mati dengan kata-kata kesat daripada mulut seorang lelaki yang berhadapan dengan Kay Tee. Dia kenal suara itu. Dia terdiam tanpa sepatah kata!
Kay Tee yang baru terpandang ke arah seraut wajah yang berdiri berhampiran meja yang di dudukinya itu, ternganga sekejap! Fazrul yang melihat ketergamaman Kay Tee menoleh ke arah pandang pelik yang menampakkan Kay Tee seolah-olah terkejut. Kali ini, giliran Fazrul pula yang terkejut sebaik sahaja terpandang ke arah seraut wajah sayu Hana yang berdiri berhampiran dengan meja mereka! Jantungnya terasa tersentap! Masing-masing terdiam tanpa sepatah kata untuk seketika waktu.
Hana terasa ingin menangis! Setiap patah kata yang dituturkan oleh Fazrul beberapa minit yang lalu, terasa seolah-olah menyentap hati dan perasaan Hana! Segalanya mengalir masuk ke seluruh urat nadi Hana! Hatinya terasa sakit tiba-tiba! Begitu sekalikah pandangan Fazrul terhadapanya selama ini...? Betulkah aku seorang perempuan yang menyusahkan...? Adakah aku pernah menyusahkan dia selama ini...? Fazrul... sampai hati cakap aku macam tu...!
Kolam matanya digenangi air mata! Namun, cepat sahaja ditahannya dan disabarkan hatinya supaya tidak menangis di situ! Beberapa kali matanya dikerdipkan supaya air mata akan menghilang daripada kolam matanya. Hati... tabahlah!
“Kay Tee, sorry... Aku bukan nak ganggu kau. Tiba-tiba aku terasa haus! Aku ingat nak beli air sekejap. Kebetulan lalu kat sini...” Hana tersenyum dalam keterpaksaan. Dia perlu bersuara untuk tidak membiarkan keadaan seolah-olah sedang mengasihani dirinya! Biarlah dia terluka, bukan semua orang terluka kerana dia!
Fazrul yang masih dalam rasa terkejut, memandang ke arah seraut wajah Hana yang nampak tenang! Betulkah begitu tenang...? Dia dengar..? Nampak lain, tapi masih dalam keadaan yang tenang dan suara yang masih dengan nada keceriaan yang dibuat-buat!
Sedikit pun Hana tidak menoleh ke arah Fazrul! Sungguh! Hati wanitanya terasa hati dan tersangat tersentuh dengan kata-kata Fazrul! Kalau selama ini dia adalah seorang perempuan yang selalu menyusahkan Fazrul, kenapa Fazrul tidak melepaskannya...?
Kelihatan Kay Tee penuh dengan keadaan serba salah! Sekejap matanya beralih memandang ke arah Fazrul, dan sekejap matanya beralih memandang ke arah Hana. Dan sekejap itu beralih semula ke arah Fazrul yang masih merenung seraut wajah Hana. Kesian Hana! Hana langsung tidak tahu bahawa dia ke sini dan meminta Hana menunggunya agak lama itu, adalah kerana dia ingin berjumpa dengan Fazrul!
Petang tadi, selepas waktu kerja, Kay Tee terus mengambil Hana di tempat kerjanya seperti rutin hariannya. Kay Tee singgah ke restoran ini dan memberitahu Hana bahawa dia mahu berjumpa dengan seorang kawannya. Tidak dinyatakan pula siapa kawannya itu. Katanya, sekejap sahaja. Tetapi, dia membiarkan Hana menunggu selama hampir empat puluh lima minit! Pada mulanya, Kay Tee mengajak Hana turun bersamanya, tetapi Hana menolak. Malas, katanya! Tapi sekarang.... “Hana... aku...”
“Eh, tak ape. Teruskanlah perbincangan kau. Aku tunggu kat kereta ya?” Hana mengukirkan senyuman dan kakinya terus melangkah ke pintu restoran, berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku di situ. Padahal, hakikatnya hati kecilnya sudah menangis dan perjalanan menuju ke pintu keluar restoran itu dirasakan sangat jauh dan menyakitkan dengan membawa bersama seribu satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan!
Fazrul terdiam! Matanya hanya mampu mengekor setiap langkah Hana menuju ke arah pintu keluar restoran. Entah kenapa, pada ketika ini, perasaan bersalah semakin menggunung dan bersarang di hatinya! Ya Allah... Kenapa ku boleh terlepas cakap sampai macam tu sekali..?
Selepas langkah Hana melepasi pintu restoran, Kay Tee memandang ke arah Fazrul dengan seribu penyesalan. Fazrul hanya tunduk, diam seribu bahasa. Ada riak kekesalan di situ. Untuk apa...? Terlajak perahu boleh diundur, Fazrul... Tapi terlajak kata, badan binasa!
“Fazrul... Aku rasa sekarang kau dah berpuas hati kan...? Agaknya, kat rumah, entah apa lagi yang kau cakapkan di hadapan dan di belakang Hana kan...? Kalau macam tu boleh buat kau suka... tak mengapalah! Kau teruskanlah dengan dendam dan keegoan kau yang tak pernah habis tu! Aku doakan agar kau cepat-cepat dapat kahwin dengan Marlisa!”
Sinis ungkapan itu kedengaran di telinga Fazrul! Tetapi, dia hanya mampu mendiamkan diri bersama rasa bersalah yang melangit di dalam hatinya itu.
“Fazrul... Aku dah nak balik ni. Tak sampai hati pulak nak biarkan Hana tunggu lama sorang-sorang. Jumpa lagi! Assalamualaikum.” Kay Tee terus bangun dan mengatur langkah meninggalkan Fazrul yang masih termenung dan termanggu di kerusi yang didudukinya itu.
Kata-kata perli dari mulut Kay Tee hanya menyapa telinganya untuk seketika waktu sahaja. Kini, fikirannya hanya memikirkan Hana! Jauh menyimpang kata-kata yang dilontarkannya di hadapan Kay Tee sebentar tadi, dengan apa yang sebenarnya dirasakan di dalam hatinya ini!
Tidak pernah memikirkan Hana...? Betulkah aku tak pernah sekalipun berfikir tentang dia...? Ah, sesungguhnya Fazrul telah menipu dirinya sendiri! Padahal, bukankah sudah kerap kali hatinya berfikir tentang seorang perempuan bernama Hana itu...? Bukankah berkali-kali hatinya menyebut-nyebut nama itu di ruang hatinya...? Bukankah dia pernah berkata di dalam hatinya untuk cuba mengenali siapa Hana...? Argh!! Betul kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa! Aku telah membinasakan diri sendiri dengan kata-kata sendiri!