Sunday, June 16, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 28



Dua Puluh Lapan

HAI... Pagi-pagi dah termenung? Merenung masa depan ke?”
Hana tersentak dan berpusing ke belakangnya mencari pemilik suara itu. Senyuman diukirkan di bibirnya. “Dari mana..?”
“Dari bilik Encik Nordin. Termenung apa?”
“Tak adalah. Penat! Rehat sekejap aje.” Hana terus menuangkan air ke dalam cawannya yang masih kosong sejak tadi.
“Amboi... Dah dapat cuti tiga hari, penat lagi ke?”
Hana sekadar tersenyum. Terasa malas mahu berbicara. Perkara semalam biarlah berlalu pergi.Tidak perlu diungkit-ungkitkan lagi! Kata orang, lebih baik mendiamkan diri daripada membicarakan perkara yang menyakitkan hati dan perasaan. “Nak air?”
“Erm... Boleh jugak!”
Hana menuangkan secawan lagi air untuk Nazrin.
Buat seketika masing-masing mendiamkan diri seolah-olah tiada apa yang hendak dibualkan. Sedangkan, di fikiran Nazrin bermacam-macam persoalan yang ingin dipersoalkan kepada Hana. Tapi, berbeza dengan Hana.
Di kala ini, Hana ingin sahaja cepat-cepat menghabiskan minumannya dan mahu kembali meneruskan kerjanya. Bukan kerana terlalu banyak kerja yang mahu disiapkan, tetapi Hana tidak mahu Nazrin mempersoalkan banyak persoalan kepadanya. Hana tahu, sejak tadi Nazrin seperti mahu bertanyakan sesuatu kepadanya. Tetapi Hana selalu aje mengelak!
Nazrin merenung seraut wajah Hana sekejap. “Hana...”
Belum sempat Nazrin menyoal, serentak itu pintu bilik pantry dibuka dari luar. Kelibat Ramzam muncul dari sebalik daun pintu itu.
“Oh, ada orang curi tulang ya..?!”
“Banyaklah curi tulang! Tak nampak tengah minum air..?” Nazrin sedikit marah yang sengaja dibuat-buatnya.
“Oh, minum air ke? Ingatkan tengah dating tadi!”
Nazrin mencebik. “Dating apa ke bendenya? Apa class dating kat bilik pantry. Bukan macam kau!”
Ramzam membulatkan matanya. “Eh, mulut hang... Elok-elok sikit ya..? Tak mainlah aku dating kat office ni...”
Hana tergelak kecil. Sudah! Budak dua orang ni, kalau perang mulut, sampai esok pun tak akan habis! Masing-masing nak menang sendiri! Tak mahu mengalah! Aku yang kat tengah-tengah ni, sakit telinga mendengarnya! “Zam... Nak air tak?”
“Boleh jugak. Ini yang buatkan aku sayang pada kau, Hana! Tahu-tahu aje aku nak minum air. Kau ni, memang bestlah, Hana!”
“Iyalah... Setahu aku memang orang masuk ke pantry ni nak minum air. Takkan nak melepak pulak!” Sekali lagi Nazrin menyampuk.
Ramzam mencebik dan berniat ingin memprotes lagi. Tetapi cepat-cepat Hana mendahului percakapan Ramzam. “Zam.. Tadi Ila ada kat luar tak?”
Ramzam menjungkitkan bahunya. “Entah. Ada kot!”
“Hana... Tengah hari nanti keluar makan tak?” Nazrin terus bertanya apabila dilihatnya Hana sudah mula mengatur langkah mahu keluar daripada bilik pantry itu.
“Tak. Sorry ya? Tak ada selera.” Hana cuba tersenyum dan mahu mengatur langkah beredar dari situ.
“Patutlah kau tak besar-besar, Hana. Kau tak makan rupa-rupanya! Agaknya bilalah kau nak besar ya?” Sempat lagi Ramzam memerli Hana.
“Dah nasib badan, Zam. Terima ajelah! Hana keluar dulu.” Hana terus melangkahkan kakinya keluar. Memang itu yang dikurniakan Allah kepadanya. Sepatutnya dia perlu bersyukur dengan kurniaan Allah kepadanya itu.
Nazrin turut menghabiskan minumannya. Sesekali timbul rasa geram di hatinya dengan sikap dingin Hana pada hari ini. Bukannya dia tidak perasan, sejak tadi Hana seolah-olah cuba mengelakkan diri daripadanya. Kenapa dengan dia..?
Fazy pula tak habis-habis dengan sibuknya! Kalau tidak, boleh juga mintak Fazy tengok-tengokkan dan bertanyakan khabar Hana. Hana... Kenapa dengan kau..? Ah, perempuan... Apa-apa ajelah! Susah benar nak faham hati perempuan!


HANA kembali semula ke mejanya. Bukan Fazila yang dicarinya, tetapi dia cuba mengelak untuk berbual panjang dengan Nazrin. Biarlah! Buat sementara waktu ini dia perlukan ketenangan. Dia tidak mahu berada di dalam keadaan tertekan lagi! Sebenarnya, hati kecilnya sedang dilanda kebimbangan. Bimbang untuk menanti petang yang bakal muncul nanti.
Petang nanti, Hana bercadang untuk ke rumah Fazrul. Dia perlukan barang-barang keperluannya. Sudah empat hari dia tidak pulang ke sana. Baju kurung yang dipakainya pada hari ini adalah merupakan baju lama yang sengaja ditinggalkan di rumah Kay Tee untuk keadaan terdesak ataupun untuk digunakan ketika dia singgah sekali sekala di rumah sahabatnya itu.
Semalam, Hana sudah berbincang dengan Kay Tee, Salina dan Nurimah. Hana bercadang untuk menyewa bersama mereka di rumah itu. Alhamdulillah, mereka bersetuju. Cuma... Hana bimbangkan Fazrul. Entah Fazrul akan mengizinkannya ataupun tidak..?!
Tetapi Hana tekad! Dia tekad untuk tidak tinggal bersama Fazrul lagi. Dia bimbang hati wanitanya tidak kuat untuk mengharungi hidup dan masa depannya yang masih belum tentu kesudahannya. Entah bagaimana mahu berhadapan dengan Fazrul petang nanti..? Ya Allah... Kuatkanlah hatiku untuk menempuhi apa juga dugaan daripadaMu.
“Hello, assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam.”
“Sibuk ke?”
“Tak adalah sibuk sangat. Kat mana ni?”
“Kat ofislah.”
Hana tergelak kecil. Terlupa bahawa sekarang adalah waktu pejabat. “Ops... Lupa pulak! Dah makan dah?”
“Dah! Dah kenyang pun. Hana dah makan..?”
“Erm... Hana makan petang nanti.” Teragak-agak juga Hana mahu menjawabnya.
“Dah agak dah! Hana... Petang nanti Amir nak jumpa Hana boleh?”
“Petang nanti..? Err... Petang nanti tak bolehlah Amir! Hana ada hal sikit yang perlu diselesaikan.” Seboleh-bolehnya Hana tidak mahu Amir mengetahui keadaannya pada ketika ini. Biarlah dia menghadapi semua masalahnya dengan Fazrul sendiri.
“Sibuk sangat ke Hana?”
Persoalan Amir membuatkan Hana rasa bersalah. “Bukan macam tu... Tapi petang ni, Hana betul-betul tak boleh. Kalau esok macam mana..? Lepas waktu kerja?”
“Erm... Iyalah, esok Amir jumpa Hana.”
“Err... Tapi... Amir jemput Hana boleh?”
“Okey. Amir jemput Hana. Hana sambunglah kerja Hana. Take care ya? Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Hana mematikan talian. Ada senyuman yang terukir pada wajahnya. Hatinya terasa tenang kerana dapat mendengar suara Amir. Syukurlah. Amir pun dah dapat meneruskan kerjanya di Kuala Lumpur tanpa perlu berhijrah lagi. Hampir dengannya. Tidaklah dia terasa keseorangan sangat. Kalau nak balik kampung sekalipun, tidak perlu menyusahkan Kay Tee lagi.
“Hai, Hana! Senyum sorang-sorang nampak? Buah hati telefon ya?”
Hana menoleh. Tidak sedar pula, bila masanya Fazy sudah berada di sisinya. Sekuntum senyuman dilemparkan. “Tak adalah. Dari mana?”
“Dari mejalah. Saja datang sini, nak borak-borak dengan Hana.”
Hana senyum. Memang menjadi satu kepelikan apabila tidak berbual dengan Fazy ataupun Nazrin dalam sehari! Apatah kini, sudah masuk empat hari tidak berbual bersama-sama.
“Hana cuti tiga hari, pergi mana?”
Hana senyum lagi. Dia tahu, Fazy dan Nazrin tentukan risaukan dia. Sepanjang dia bercuti, dia langsung tidak sempat untuk menghuungi teman-temannya itu. Padahal, kalau selama ini, kalau salah seorang bercuti, pasti ada saja pesanan yang ditinggalkan. “Tak ke mana-mana pun. Rehat kat rumah aje.”
Kat rumah? Apa maksud Hana? Dua hari berturut-turut dia dan Nazrin ke rumah Hana. Tetapi pintu di kunci dari luar. Atau... adakah mungkin Hana menyembunyikan sesuatu daripada mereka..? “Tapi... Sebenarnya, Fazy dan Naz ada ke rumah Hana. Kenapa pintu rumah Hana berkunci dari luar?” Keraguannya membawa Fazy untuk terus bertanyakan soalan itu kepada Hana.
Hana kelihatan sedikit tersentak. Namun, di dalam hatinya dia memanjatkan kesyukuran. Mujurlah pintu berkunci. Kalau tidak... Tentu sahaja Fazy dan Nazrin akan terserempak dengan Fazrul. Jangan-jangan angin Fazrul masih tak elok lagi..?! Habislah!! Fuh, lega!
“Oh, Hana bukan kat rumah Hana. Hana kat rumah Kay Tee. Badan Hana tak sihat. Itu yang ke rumah Kay Tee. Tak larat nak duduk sorang-sorang kat rumah!” Hana memberitahu perkara sebenarnya. Harap-harap Fazy tidak mencurigainya lagi.
“Hana demam..? Kenapa tak cakap? Kalau tidak, Fazy boleh tolong jenguk-jengukkan.” Lega hatinya mendengar penjelasan Hana.
Hana senyum. “Tak apalah, Fazy. Kebetulan Kay Tee datang rumah Hana masa tu. Hana terus ikut dia balik.” Kali ini Hana berbohong. Dia terpaksa berbohong! Maafkan aku Fazy!
“Erm... Tak mengapalah kalau macam tu. Lain kali kalau nak mintak tolong apa-apa, cakaplah. InsyaAllah Fazy akan tolong.”
Hana sekadar tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Biarlah! Buat sementara waktu ini, Fazy dan Nazrin tidak perlu tahu mengenai dia dan Fazrul. Tunggulah keadaan menjadi tenang dahulu. Mungkin suatu hari nanti akan tiba harinya untuk Hana berterus terang kepada teman-temannya itu.


KAY TEE menjemput Hana lebih kurang jam enam petang. Pada mulanya Kay Tee mengajak Hana makan terlebih dahulu kerana dia tahu, Hana masih belum sempat makan. Tetapi Hana menolak. Hana mahu pulang dahulu dan menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu.
Sebenarnya, di hati Hana di bimbang. Kalau dia sampai di rumah lewat, Fazrul akan sampai di rumah itu terlebih dahulu! Harap-harap dia tidak akan terserempak dengan Fazrul. Bukan kerana dia membencii lelaki itu, tetapi, dia bimbang dia tidak akan kuat untuk berhadapan dengan lelaki itu. Biarlah dia sekadar meminta keizinan Fazrul melalui talian telefon.
Sungguh, sebenarnya dia takut hatinya tidak kuat untuk menerima setiap kata-kata yang mungkin Fazrul hemburkan kepadanya sekali lagi. Bukan niat hatinya untuk terus mengelak. Tetapi, biarlah mereka tidak bersua buat sementara waktu ini. Tunggulah keadaan menjadi tenang dahulu.
Sampai di rumah Fazrul, pintunya masih berkunci kemas. Mujurlah Fazrul tiada di rumah! Diambilnya kunci pendua, dan pintu rumah itu dibuka perlahan. Kakinya terus melangkah menuju ke biliknya. Beberapa pasang baju dicapainya dan beberapa keperluan lain dimasukkan ke dalam sebuah beg pakaian.
Anak matanya terpandang ke arah sebuah Al-Quran di atas meja soleknya. Al-Quran itu adalah hantaran perkahwinan yang diberikan oleh Fazrul sewaktu hari perkahwinannya dulu. Tangannya mencapai Al-Quran itu dan membalutnya dengan sehelai kertas sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaiannya itu. Hanya itu sahaja kenangan yang dia ada sepanjang bergelar isteri kepada Fazrul. Tiba-tiba hatinya diruntun perasaan sedih! Inikah suratan takdir yang telah tersuarat untuk aku..? Mak... Ayah... Maafkan Hana!
Pintu biliknya dibuka dan beg itu diangkat ke luar bilik. Untuk kali terakhir, dia memandang seluruh ruang bilik itu. Seketika, anak matanya terhenti pada sekeping frem gambar di atas meja solek. Frem gambar yang memuatkan gambarnya kenangannya bersama Fazrul sewaktu dia tunduk mencium tangan Fazrul semasa hari perkahwinannya dulu. Biarlah frem gambar itu di situ. InsyaAllah, jika ada kesempatan lagi, dia akan datang lagi ke sini. Perlahan pintu bilik itu ditutupnya.
Baru sahaja ingin berpusing dan melangkah, anak matanya terpandang ke arah sesusuk tubuh yang sedang merenungnya berdiri betul-betul di hadapannya. Hana tersentak sendiri dan mematikan langkah yang baru sahaja ingin diaturnya itu.
Tiba-tiba jantungnya terasa berdegup kencang. Kenapa lelaki ini harus muncul di saat ini..? Lidahnya kelu tanpa bicara! Tidak tahu apa yang perlu dituturkannya pada ketika ini. Nampaknya dia terpaksa berterus terang denan Fazrul pada ketika ini juga.
Hana semakin tertekan apabila Fazrul juga tetap di situ tanpa sepatah kata. Haruskah dia yang memulakan bicaranya..? Marahkah Fazrul kerana aku menjejakkan kaki ke rumahnya..? Ya Allah... Berikanlah aku seribu kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki ini.
“Nak ke mana?”
Serius dan tegas kata-kata yang dikeluarkan oleh Fazrul. Hana menguatkan hati, menahan rasa gementar. Seraut wajah itu cuba dipandangnya, tetapi dia tidak berani untuk terus memandang ke arah raut wajah yang serius itu. “Err... Fazrul. Maafkan saya... Saya...”
“Aku tak izinkan!”
Hana tersentak sendiri dan terus mengangkat kepalanya memandang lelaki itu. Dia belum menyudahkan ayatnya, tetapi ayat itu telah dipotong ole baris kata Fazrul. “Tapi saya...”
“Aku tak mengizinkan kau ke mana-mana!”
Suara itu kedengaran tegas dan kuat. Cukup menakutkan hati Hana. Hatinya terasa sakit dengan sikap Fazrul! Kenapa Fazrul harus menghalangnya? Kenapa dia tidak mengizinkan aku ke mana-mana? “Fazrul... Awak tak berhak buat saya macam ni!”
“Aku berhak! Aku suami kau!”
“Saya tak nak jadi isteri awak!” Hana turut memprotes dengan suara yang kuat apabila Fazrul meninggikan suara kepadanya.
“Aku tak akan lepaskan kau!”
Sebaris ayat itu, cukup membuatkan hati Hana terasa ingin menangis. Hana, sabarlah! Sabar itu sebahagian daripada Iman. Anak matanya memandang lama ke arah Fazrul. “Kenapa awak buat saya macam ni, Fazrul? Tak puas lagikah awak untuk menyakitkan hati saya? Tak habis lagikah dendam ciptaan awak itu?” Lirih sahaja suara yang dituturkannya.
Fazrul memandang tajam ke arah perempuan di hadapannya itu. “Selagi aku tidak berpuas hati, selagi itulah aku tak akan membenarkan kau hidup dengan senang!”
Hati Hana terasa tercalar mendengar patah kata itu. Kalau itu yang Fazrul inginkan, dia tidak mahu lagi meneruskan bicaranya. Untuk apa merayu kepada seorang lelaki yang penuh dengan dendam di dalam hatinya?! Dia tahu, semakin dia berkata-kata, semakin dia akan menaikkan marah Fazrul.
Dia tidak mahu menerima penghinaan Fazrul lagi. Apatah lagi, kini di antara mereka, Kay Tee sedang menunggunya di bawah. Dia tidak mahu membiarkan Kay Tee mendengar dirinya dihina oleh suaminya ini.
Hana menarik nafas sedalam-dalamnya. Semoga hati ini akan kuat dan teguh! “Suka hati awaklah, Fazrul. Buatlah apa yang awak mahu buat. Tapi, saya tak mahu tinggal di sini. Saya akan tinggal bersama Kay Tee.”
“Tidak!! Aku tidak akan mengizinkannya!” Kali ini, giliran Fazrul yan memprotes kuat.
Hana tersentak dengan jeritan suara yang kuat itu. Matanya menentang sepasang anak mata Fazrul. “Suka hatilah! Awak mengizinkannya atau tidak, saya tetap akan ke rumah Kay Tee!” Hana Terus melangkahkan kaki untuk meninggalkan Fazrul.
Tetapi, tiba-tiba tangan Fazrul cepat bertindak mencengkan pergelangan tangan Hana. “Seorang isteri yang keluar rumah tanpa izin suami, hukumnya berdosa besar!” Perlahan sahaja kata-kata itu, tetapi cukup kedengaran tegas dan sinis.
Hana yang agak terkejut, terus merentap tangannya daripada pegangan tangan kasar Fazrul. “Kalau macam tu, lepaskan saja saya. Kahwin dengan seribu Marlisa yang boleh jadi isteri terbaik untuk awak! Saya tak nak jadi isteri awak!” Kuat sekali kata-kata yang dituturkannya kerana perasaan sakit hati yang membuak-buak di dalam dadanya. Hana sudah benar-benar tidak dapat mengawal kemarahannya lagi. Jangan sampai air mata ini menitis lagi di hadapan lelaki angkuh seperti Fazrul!
Fazrul tergelak kecil. “Lepaskan kau..? Tidak sesekali, Hana! Sekali lagi aku tegaskan... Aku tak akan lepaskan kau selagi aku tidak berpuas hati!”
“Sudahlah, Fazrul! Sudah!! Saya tak nak terlibat lagi dengan permainan dendam gila awak ni!”
“Kenapa..? Dah mengaku kalah?” Fazrul tiba-tiba naik angin dan menolak bahu Hana ke belakang menyebabkan Hana terundur ke belakang.
Hana tersenyum sinis ke arah Fazrul. “Saya tak akan mengaku kalah dengan awak, Fazrul! Walau sekalipun awak cuba menolak saya ke dalam curam yang dalam!”
“Dah tu? Kenapa hentikan permainan di tengah jalan..? Dah tak mampu untuk bertahan?” Sekali lagi tangan kasarnya menolak bahu Hana ke belakang.
Hana terundur lagi. Air matanya terasa ingin terhembur keluar. Hatinya sakit dengan kata-kata Fazrul. Sangat-sangat sakit! Fazrul benar-benar sudah berubah! Kay Tee... Tengoklah! Fazrul bukanlah seperti mana yang selalu kau katakan. Dia adalah seorang lelaki yang benar-benar menguji perasaan wanita aku!
“Sudahlah, Fazrul. Kalau awak nak teruskan permainan awak, awak teruskanlah. Tetapi, saya tetap akan ke rumah Kay Tee!” Hana melangkah ke depan dan merempuh bahu Fazrul yang menghalang laluannya.
Tiba-tiba tangannya ditarik kasar. Fazrul menarik Hana dan terus menolak Hana ke dalam biliknya. Pintu bilik terus dikunci dari dalam.
Hana yang terkejut, terasa sakit pada pergelangan tangannya. Sakit juga akibat berpaut pada rak buku. Mujur sahaja tubuhnya yang ringan itu tidak tercampak ke arah almari. Kalau tak, mahu sahaja patah riuk tulang belulangnya dengan tolakan kuat itu. Bulat anak matanya memanah sepasang mata Fazrul. “Fazrul.. Awak ni kenapa? Dah gila ke apa..?” Akhirnya kata-kata kesat itu terkeluar daripada mulutnya. Dia benar-benar rasa sakit hati dengan sikap Fazrul yang melampau itu.
“Memang aku dah gila! Aku jadi gila sebab kau yang buat aku gila!!” Fazrul menengking Hana kuat.
Terasa tersentap jantungnya bagaikan ingin luruh ke bumi di saat suara kuat Fazrul menusuk masuk ke corong telinganya. Sungguh, hatinya takut dengan suara lantang itu!
Fazrul mencapai telefon bimbitnya dan nombor Kay Tee ditekannya. “Kay Tee, Hana tak akan pulang dengan kau. Aku tak akan izinkan! Kau boleh balik sekarang!”
Hana geram mendengar ungkapan keras Fazrul itu. Terus dia merempuh Fazrul dan cuba menolak daun pintu yang berada di sebalik tubuh sasa Fazrul itu. Dia mahu pergi bersama Kay Tee. Dia sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan sikap Fazrul seperti ini!
Tetapi, Fazrul lebih bertindak pantas, memegang kuat kedua-dua belah tangan Hana.
“Lepaslah! Saya tak nak tinggal sini! Saya nak ikut Kay Tee balik!” Hana cuba melawan dan tangannya meronta-ronta kuat, cuba melepaskan diri daripada gengaman tangan Fazrul.
No way!” Fazrul tidak mampu melawan rontaan kuat itu. Akhirnya satu tamparan kuat hinggap di pipi Hana!
Hana terdiam dan terus berhenti meronta-ronta. Tangannya terus direntap dan menekup pipi kirinya yang terasa pedih! Sangat-sangat pedih! Entah sejak bila, dia terasa air matanya menitis ke pipi itu. Seraut wajah Fazrul dipandangnya sekejap dan Hana terus melangkahkan kakinya, duduk di tepi katil. Tidak berani untuk melawan lagi. Bimbang tangan kasar Fazrul akan mengasarinya lagi. Dia takut!
Janjinya untuk tidak menangis di hadapan Fazrul, terpaksa dimungkirinya! Dia benar-benar tidak dapat menahan rasa takut dan sakit sekaligus menyebabkan air matanya menitis. Semakin laju dan semakin laju mengalir ke pipinya.
Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Sebelah tangannya pula menekup mulutnya supaya bunyi tangisannya tidak terlalu kuat sehingga terdengar di telinga Fazrul. Tetapi, bahunya sudah terhenjut-henjut menahan tangisan yang semakin berlagu di hatinya itu. Fazrul... sampai hati awak buat saya macam ni!!
Fazrul terdiam sendiri! Sungguh, dia tidak menyangka dia akan menampar pipi halus itu! Langsung dia tidak dapat menahan kesabaran dengan sikap keras hati Hana! Terasa tangannya kebas dan perit. Sudah tentu pipi Hana lebih terasa keperitannya. Hana... Aku... Aku tak sengaja! Tetapi, kata-kata itu hanya terkeluar di dalam hatinya sahaja!

p/s: ni bab terakhir kat blog... peace 

Ku Rela Menanti Pasti 27



Dua Puluh Tujuh

KADANG kala hidup ini sangat sukar untuk dimengertikan. Adakalanya seribu kemanisan menerjah dalam kehidupan kita dan adakalanya seribu kepahitan pula yang menerpa-nerpa. Semua anugerah itu sebenarnya datang daripada Allah untuk menguji kita, sebagai hambaNya.
Baik buruknya tidak dapat kita menduganya. Cuma... hidup memerlukan pengorbanan! Dan disebalik apa yang didugaNya itu, sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi.
Tetapi... hati manusia... Seteguh manapun hati kita... Setinggi manapun kesabaran yang dimiliki... Hati ini tidak mungkin akan tegar apabila terus menerus diuji kekuatannya. Apatah lagi sekeping hati wanita! Terlalu sukar untuk dimengertikan! Tidak juga seteguh karang di lautan untuk menempuhi ombak dugaan yang melanda sekeping hatinya!
Betul juga kata orang, apabila kita mencintai seseorang, sebenarnya kita telah merelakan hati kita untuk dilukai. Dan apabila kita menyayangi seseorang, sesungguhnya kita telah membenarkan diri kita untuk dibencii.
Erm.. betul! Kerana menyayangi Fazrul, aku telah membenarkan diri ini untuk dibenciinya. Benci..? Biarlah! Fazrul... benciilah aku sebanyak mana sekali pun. Aku tetap tidak akan mengalah! Aku bukanlah seperti sepohon bunga... Jika tidak disiram pasti akan layu! Aku akan menjadi seperti sepohon kaktus di padang pasir! Walau panas mentari seperit mana sekalipun... walau ketandusan air sekali pun... aku akan tetap mampu berdiri untuk diriku sendiri!
Betulkah, Hana?? Betulkah dirimu sekuat itu..? Hana melepaskan keluhan berat. Kali ini entah untuk yang ke berapa kali dia mengeluh, dia sendiri tidak pasti! Yang pasti, air matanya sudah kering untuk menangis. Dirinya sudah tidak mampu menagisi nasib dan masa depannya yang masih panjang.
Biarlah air mata yang dirembeskan dua malam lepas menjadi air mata terakhir untuk meratapi rasa kekesalan terhadap apa yang dilakukan oleh Fazrul terhadap dirinya. Dia rela andai itu telah tersuarat sebagai dendam Fazrul terhadap dirinya.
Langsung dia tidak menyangka bahawa Fazrul akan meninggalkannya di tengah-tengah malam itu di tepi jalan yang laluannya tidak dilalui oleh sebarang kenderaan awam. Sampai hati Fazrul membiarkan dia sendiri di situ!
Selepas ditinggalkan Fazrul, Hana terduduk di tepi jalan itu. Air matanya mengalir laju. Entah untuk apa, dia tidak pasti. Tetapi yang pasti, dia mengalami luka di hati yang sangat teruk pada malam itu. Hatinya benar-benar dilanda kesedihan yang tidak terhingga! Hati wanitanya cukup kecewa dengan apa yang diperkatakan oleh suaminya itu terhadapnya!
Kata-kata Fazrul itu masih terngiang-ngiang di telinganya sehingga sekarang. Dia cuba untuk melenyapkan patah kata itu, tetapi akal dan fikirannya tidak mahu melupakannya walau sepatah perkataan.
“Sekali kau tak mahu jadi isteri aku, berkali-kali aku tidak mahu menjadi suami kau!”
Pedih sekali kata-kata itu menusuk hatinya. Di saat itu juga, segala hinaan yang pernah dilemparkan oleh Kamarul kepadanya menggamit dirinya. Di saat itu, Fazrul dirasakan seolah-olah Kamarul yang sewenang-wenangnya melemparkan hinaan kepadanya!
Lantas, untuk apa Fazrul memperisterikannya..? Kerana dendam..? Teruskanlah, Fazrul! Teruskanlah dengan dendam yang tiada kesudahannya itu! Ya Allah... Engakau tabahkanlah hatiku untuk terus mengharungi dugaan daripadaMu!
Malam itu, Hana duduk di bahu jalan tanpa kata. Dalam diam, hatinya mengharapkan Fazrul kembali semula untuk membawanya pulang ke rumah. Namun, dia hampa! Fazrul tidak mungkin akan kembali menjemputnya!
Renyai-renyai hujan yang mula turun semakin laju membasahi bumi bersama air matanya yang laju mengalir ke pipinya. Sungguh, dia tidak tahu ke mana arah yang perlu ditujunya. Telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri sejak tadi. Niatnya untuk menelefon Kay Tee terhenti di situ dan anak matanya hanya mampu memandang kosong ke arah telefon bimbitnya yang sudah mati itu.
Hampir setengah jam Hana termanggu di situ keseorangan. Yang menemaninya hanya bunyi unggas malam dan bunyi kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu. Bukannya hati wanitanya tidak diserang perasaan takut di tengah-tengah malam itu, tetapi dia cuba berlagak tenang, memberanikan dirinya seolah-olah dia bukan ditinggalkan di situ!
Ketika itu, hanya satu harapannya, bertawakkal kepada Allah S.W.T. Fikirannya teringatkan satu ayat Al-Quran daripada surah Al-Maaidah ayat 56 yang bermaksud ‘Dan barang siapa yang mengambil Allah dan Rasulnya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah pasti menang!’
Dengan itu, Hana berserah dengan menjadikan Allah sebagai penolongnya dikala ini. Semoga kemenangan akan berpihak kepadanya.
Hana menundukkan wajah memandang jalan di hadapannya. Fikirannya buntu! Sudah tiada lagi jalan lain untuknya selain meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Tapi... mampukah dia? Sedangkan dia sendiri tidak tahu ke mana halanya! Untuk berjalan mencari public phone pun takut, apatah lagi untuk berjalan mencari jalan seorang diri di tengah kepekatan malam itu!
Zairil menghentikan kereta yang dipandunya di bahu jalan. Kalau tak silap... perempuan yang duduk di bahu jalan tadi... Kepalanya ditoleh semula ke belakang mencari kelibat perempuan yang dilihatnya sedang duduk di bahu jalan seperti sedang menangis. Entah kenapa, sewaktu melintasi perempuan itu tadi, dia terasa mahu melihat apa yang dibuat perempuan itu sendirian di tengah malam ini seorang diri sedangkan hari kelihatan seakan-akan mahu hujan.
Hana..? Apa yang dia buat sorang-sorang kat situ? Malam-malam macam ni..? Kepalanya di dongakkan ke dada langit yang mula menitiskan hujan renyai-renyai yang semakin melebat. Sekejap itu, anak matanya beralih semula ke arah perempuan itu. Apa hal minah ni? Dah terkena penyakit gila ke? Tapi... dia menangis!
Ditinggalkan kekasih..? Tapi, bukankah dia sudah bersuami? Takkanlah suaminya pulak yang tinggalkan dia kat situ? Kay Tee..? Tak mungkin pulak Kay Tee yang rapat dengannya sanggup tinggalkan dia sorang-sorang kat situ tengah malam macam ni? Apa kes?
Persoalan demi persoalan yang menerjah ke fikirannya membuatkan dia berfikir sekejap di dalam keretanya. Pandangan terus dilemparkan pada cermin sisi pandang belakang. Perempuan itu kelihatan masih tidak berganjak. Sah! Dia memang Hana! Apa hal dia ni? Pakai cantik-cantik, lepas tu duduk kat tepi jalan macam tu..? Perlukah aku pergi menegurnya..? Matanya memandang rintik hujan yang kian melebat itu.
Jantung Hana semakin berdegup kencang! Dia dapat merasakan bunyi tapak kaki yang sedang menapak itu menuju ke arahnya. Tetapi Hana terus menunduk. Dia langsung tidak berani untuk mengangkat wajahnya untuk melihat gerangan yang sedang melangkahkan kaki menghampirinya itu.
Sungguh, dihatinya tidak lepas-lepas berdoa supaya dia selamat daripada segala bencana yang bakal menimpa. Ya Allah... Selamatkanlah aku... Mak... Ayah... Air matanya menitik lagi! Semakin deras mengikuti rentak hujan yang semakin mula melebat membasahi dirinya.
“Hana..? Buat apa kat sini? Kenapa duduk kat tengah-tengah hujan ni?”
Satu sapaan memeranjatkan Hana. Namanya dikenali..?! Hana menyapu matanya perlahan. Kepalanya diangkat untuk memandang seraut wajah yang mengenali dirinya itu. Seorang lelaki tegak berdiri di hadapannya itu. Fazrul ke..? Matanya memandang tepat ke arah seraut wajah itu. Tekaannya silap. Bukan Fazrul yang berdiri di hadapannya, tetapi... Zairil!
Hana terkedu untuk seketika waktu. Kenapa harus Zairil..? Kenapa tidak Fazrul yang berpatah balik untuk menjemputnya? Kenapa bukan Fazrul..? Hatinya menangis sedih! Sunnguh, hatinya mengharapkan agar suaminya yang datang menjemputnya semula. Tetapi, hati Fazrul sekeras batu! Dendamnya tidak mungkin akan terpadam!
Sedaya upaya di menahan hatinya supaya tidak menangis di hadapan Zairil. Lelaki yang pernah menjadi sahabatnya, dan juga lelaki yang pernah melemparkan cemuhan kepada dirinya. Hati Hana bergetar hebat! Jangan di saat ini lelaki ini pula yang menghinanya! Dia sudah tidak sanggup untuk menerima penghinaan daripada sesiapa pun!
Hana menarik nafasnya dalam. Kepalanya sekadar ditundukkan memandang bumi. Tidak berani mendongak utuk memandang lelaki itu. Bimbang air matanya akan gugur lagi di hadapan lelaki itu. Biarlah Zairil tidak tahu apa yang berlaku kepadanya. Tetapi... bagaimanakah untuk dia amenyembunyikan kesedihannya pada ketika ini..? Sungguh, hatinya benar-benar sedih dengan sikap Fazrul terhadapnya pada hari ini!
“Hana..?”
Hana tersentak daripada lamunannya yang sekejap itu. Terlupa, lelaki di hadapannya ini adalah Zairil! Seaya upaya Hana cuba menenangkan diri daripada perasaan sedihnya. “Err... Zairil... Dari mana?” Entah apa yang ditanyakannya dia sendiri sudah tidak pasti. Tetapi, dia tiada idea yang sewajarnya untuk berkata-kata. Persoalan Zairil tadi, dijawabnya dengan persoalan juga!
Zairil mengerutkan dahinya. Suara Hana jelas kedengaran serak-serak basah. Memang betul, perempuan itu baru lepas menangis. Sangkaannya tidak silap! Sekali lagi mata Hana ditatapnya. Merah! Memang sah dia menangis! Tapi... Kenapa..?
“Dari rumah kawan. On the way nak balik rumah.”
Hana sekadar mengangguk dan mendiamkan diri. Sunnguh, mukanya terasa tebal berinci-inci kerana malu! Kenapa di saat sebegini dia harus terserempak dengan Zairil! Kenapa harus lelaki ini? Kenapa Zairil yang berada di sini, di saat dirinya berada di dalam kesusahan seperti ini..?
“Hana... Hujan makin lebat. Jomlah berteduh di kereta saya dulu.” Merasakan hujan yang semakin lebat jatuh ke kepalanya, Zairil mengambil keputusan untuk mengajak Hana berteduh di keretanya. Dia yakin... Hana bukan sedang menunggu sesiapa pun! Tetapi, dia ditinggalkan oleh seseorang!
“Err... Tak apalah!” Hana menolak. Hatinya terasa benar-benar ingin menangis. Dia tidak mahu menerima simpati daripada Zairil! Dia tidak mahu dihina lagi! Cukuplah! Hana tidak mahu dihina lagi! Dirinya sudah tidak mampu bertahan untuk menerima sebarang hinaan daripada sesiapa pun. Apatah lagi, dirinya baru sahaja dihina oleh Fazrul, suaminya sendiri! Hatinya tidak kuat pada tika dan saat ini.
Zairil... tolong jangan lakukannya lagi! Terasa maruahnya diletakkan di tahap paling rendah oleh lelaki-lelaki yang pernah disayanginya! Kenapa..? Kenapa hari ini..? Kenapa begini..? Air matanya menitis perlahan. Sunnguh, dia tidak mampu menahan kesedihan hatinya tatkala ini!
“Hana... Awak okey?”
Sapaan lembut Zairil membuatkan hatinya semakin diserang hiba. Hana masih menunduk menahan sendu, tetapi dia masih mampu menganggukkan kepalanya.
“Hana… Jom ke kerata saya. Hujan dah semakin lebat! Tak elok untuk kesihatan.” Tangan Hana ditarik perlahan menuju ke keretanya yang terletak tidak jauh dari situ.
Hana tersentak, tetapi entah kenapa kakinya hanya menurut langkah Zairil menuju ke kereta lelaki itu. Dia tahu, dia sudah tiada pilihan lain. Betul... dia memang sudah tiada pilihan lain!
Zairil tidak banyak soal. Sangkaan Hana silap. Zairil tidak menghinanya seperti Fazrul. Zairil sekadar mendiamkan diri dan meminta persetujuan Hana untuk menghantar Hana ke rumah Kay Tee. Hana diam tanpa kata.
Akhirnya tanpa sedar, dia sudah selamat sampai di perkarangan rumah Kay Tee. Jelas di ruang matanya, sekujur tubuh Kay Tee sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya. Tanpa sebarang ucapan terima kasih, Hana terus mengatur langkah keluar daripada kereta itu dan terus menerpa ke arah Kay Tee.
Hidup tanpa sahabat, tiada maknanya! Di saat gentir sebegini, selain mak dan ayah, sahabatlah yang sebenarnya menjadi peneman suka dan duka! Kay Tee adalah seorang sahabat yang sanggup menerimanya seadanya. Sebenarnya itulah erti sahabat yang sebenar-benarnya. Menerima baik buruk kita walau dalam apa jua keadaan! Hanya Kay Tee!


HANA..? Buat apa sorang-sorang kat dapur ni?”
Sapaan Kay Tee memeranjatkan Hana yang sudah jauh tenggelam dalam lamunannya sebentar tadi. Hilang segala bayangan Fazrul..! Hilang segala bayangan Zairil..! Kini, di hadapannya seraut wajah seorang sahabat yang sangat disayanginya.
Sudah hampir tiga hari dia berada di rumah Kay Tee. Alhamdulillah... Selapas dua hari demam, hari ini badannya tidak lagi selemah dua hari ang lepas. Dia tahu, dia kuat. Dia perlu menghadapi dugaan ini dengan hati yang tabah dan kuat. InsyaAllah dia mampu bertahan!
Senyuman dilemparkan kepada sahabatnya itu. “Minum air. Awal balik..?”
“Erm… Balik sekejap. Lepas maghrib nanti, keluar balik. Kau dah okey? Muka kau pucat lagi ni..! Dah makan ubat?” Seraut wajah Kay Tee menunjukkan raut wajah kerisauan.
Hana tersenyum. Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana menganugerahkan seorang sahabat sebaik Kay Tee. “Aku dah okey dah. Baru aje lepas makan ubat.”
“Betul ke dah okey? Aku tak percayalah..! Tengok muka pucat macam ni, aku rasa kau belum okey ni..!” Tangannya diletakkan pada dahi Hana. Masih terasa kehangatan badannya yang masih belum sihat sepenuhnya lagi.
“Kan aku cakap, belum okey ni! Pergilah berehat dulu!”
Hana melemparkan senyuman. Memanglah dia belum sihat sepenuhnya, tetapi dia sudah tidak selemah dua hari yang lepas.
“Hana... Sorry! Aku tak sempat nak beli apa-apa tadi. Kau tunggu Salina balik ya? Tadi aku dah pesan pada Salina favourite kau pada dia.”
“Tak apalah, Kay Tee. Aku dah makan tadi.”
Kay Tee menoleh ke arah Hana dengan dahi yang berkerut. “Makan..? Kau makan apa..? Kau masak..?”
Hana tersenyum. “Favourite aku.”
“Meggi..?”
Hana menganggukkan kepalanya. Memang Kay Tee sudah pandai mengagaknya!
“Kau ni Hana... Tak habis-habis tabiat lama! Meggi tu tak baik untuk kesihatan! Nanti kau makanlah dengan Salina, ya? Aku nak naik mandi sekejap.”
“Kay Tee... Thanks!”
Kay Tee tersenyum ke arah Hana. “No hallah! Kau tu… Rehatlah dulu. Biar cepat sembuh!”
Hana tersenyum dan menganggukkan kepalanya perlahan. Anak matanya dibiarkan mengekori langkah Kay Tee yang mula menuju ke tingkat atas.
Sementara waktu, bolehlah dia menumpang di sini dengan izin dua lagi rakan serumah Kay Tee, Salina dan Nurimah. Selepas ini, entah ke mana hala tujunya, dia sendiri tidak pasti! Ke rumah ayah dan mak... Sudah tentu tak mungkin! Ayah tentu akan lebih kecewa jika mengetahui perkara sebegini berlaku kepadanya. Jangan biarkan ayah kecewa sepertimana dirinya yang mengalami kekecewaan yang teramat sangat ini. Biarlah hanya dia yang menangung segala lara hati ini. Hanya dirinya..!