Sunday, September 7, 2014

Cerpen: Istikharah Cinta Seorang Lelaki




ISTIKHARAH CINTA SEORANG LELAKI

LAMA dia berdiri di hadapan pintu bilik. Anak matanya terpandangkan seraut wajah yang sedang khusyuk menghadap komputer di salah sebuah meja. Staf baru ke student praktikal? Langkah kaki diatur menghampiri meja Kak Su.
“Kak Su… Siapa awek tu?”
“Awek mana pulak ni?” Kak Su mengalihkan pandangan dan turut tercari-cari ‘awek’ yang dimaksudkan oleh lelaki itu.
“Tu, yang pakai tudung belit-belit warna pink tu!”
Kak Su mengukirkan senyuman apabila anak matanya sudah menangkap seorang ‘awek’ yang dimaksudkan oleh lelaki di hadapannya itu. Ai, dik? Kak Su tak pernah nampak kamu teruja macam tu bila nampak staf baru? Dia ni susah sikit kalau bab perempuan. Apatah lagi kalau staf baru.
“Oh, itu Dhea. Staf baru yang ganti Shamilah. Tapi tak adalah baru sangat. Dah tiga minggu jugak Dhea dah kerja kat sini.”
Berkerut dahinya sambil memandang Kak Su. “Kenapa saya tak tahu pun?”
“Dah kamu cuti lama sangat! Manalah nak tahu!”
“Ala, Kak Su! Kalau bukan sebab excident, tak adanya saya nak cuti lama-lama. Apa nama dia tadi, Kak Su?”
“Dhea.”
“Dhea… Cantik nama dia.” Secantik wajahnya juga. Bibirnya menguntumkan senyuman kecil. Teringat pula peristiwa seorang gadis terlanggar tubuhnya di hadapan pintu lif awal pagi tadi. Dhealah orangnya! Dia nampak cantik dengan tudung belit-belit macam tu.
Sorry! Sorry! Saya tak sengaja.” Kelam kabut dia mengutip handphone seorang lelaki yang sudah berkecai akibat kecuaiannya.
“Tak apalah. Saya tahu awak tak sengaja.” Dia turut mengutip sisa-sisa handphone yang sudah berkecai. Baru minggu lepas beli. Handphone dulu pun berkecai juga. Juga disebabkan kemalangan. Bezanya yang dulu kemalangan jalan raya, yang ini kemalangan dengan seorang gadis cantik.
Tangannya menghulurkan saki baki handphone itu. “Maaf ya, awak.”
Kepalanya diangguk perlahan sambil mendongakkan kepala. Ini bukan mimpi, kan? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Cantiknya dia! Tak pernah nampak pun sebelum ni? Siapa dia?
Dhea mengerutkan dahinya. Kenapa mamat ni pandang lain macam aje? “Err… awak? Saya minta maaf ni?”
“Ya, saya dah maafkan.”
Dhea mengoyakkan senyuman kecil. Fuh, lega! “Terima kasih, ya. Saya jalan dulu.”
Dia turut mengukirkan senyuman. Beria gadis itu meminta maaf. Padahal kesalahan dia bukanlah besar mana pun. Handphone itu boleh dipasang semula. Tak rosak pun!
“Kenapa pandang Dhea macam tu? Sudah jatuh cinta pada pandangan pertama ke?” soal Kak Su sambil tersengih-sengih. Tak mustahil kalau ada lelaki yang jatuh cinta pandangan pertama apabila memandang seraut wajah Dhea. Dhea tu cantik sangat. Sopannya mengalahkan perempuan melayu terakhir.
Anak matanya dikalihkan ke arah Kak Su. “Saya ada terserempak dengan dia pagi tadi. Dan sebenarnya, saya dah lama kenal dia.” Dalam mimpi saya, Kak Su.
“Oo… jadi, betullah dah jatuh cinta pada pandangan pertama ni?”
Soalan Kak Su hanya dijawab dengan senyuman kecil. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Kaki dilangkahkan semula ke biliknya. Ini bukan jatuh cinta pada pandangan pertama, Kak Su. Saya dah pernah jatuh cinta pada dia sebelum ini. Dalam mimpi saya!


TUBUHNYA terus melompat ke atas katil apabila telefon bimbitnya berdering menyanyikan irama lagu ‘Salahkah’ nyanyian Hafiz dan Dato’ Rossa. Bibirnya menguntumkan senyuman sebaik sahaja terpandangkan nama yang tertera. Ya Allah, rindunya aku pada dia. Padahal, baru seminggu aku tak jumpa. Inikah yang dinamakan cinta?
“Hai, pakwe!”
“Hai, awek!”
“Kau sihat?”
“Sihat. Kau pula?”
Hmmm, samalah! Sihat juga. Weh, bila kau nak datang sini? Bukan minggu lepas kau janji nak datang ke sini ke?” Dia sudah memuncungkan mulutnya tanda merajuk. Ek eleh, macamlah lelaki kat sana tu boleh nampak rajuknya!
“Hah, itulah! Tak boleh datanglah minggu ni. Tak sempat.”
“Oh, habis tu kenapa kau tak bagitahu aku? Kau tahu tak yang aku tunggu kau datang?”
“Hah, iya ke? Sorry! Sorry! Terlupalah!”
Haha! Mana ada! Aku tipu ajelah. Aku tak tunggu kau pun.” Jawapannya bertentangan dengan apa yang ada di dalam hatinya. Jujur, dia memang tertunggu-tunggu kedatangan lelaki itu. Jauh di sudut hatinya, dia rindukan lelaki yang bernama Amir Farhan itu. Apakah dia juga rindukan aku? Dan aku harap dia juga rindukan aku seperti aku rindukan dia.
“Ceh, aku ingat betul-betul tadi! Awek, kau ada tengok tak whatsapp yang aku bagi tu?”
Dhea tergelak kecil. “Ada. Kau ni mat jiwanglah pakwe! Kau rindukan aku, eh?”
“Mestilah. Kau kan awek aku. Memanglah aku rindukan kau.”
Dhea gelak lagi. Awek yang tidak disahkan. Awek yang cuma sekadar panggillan mengusik sahaja. Bukan awek yang betul-betul. “Aku pun rindukan kau jugak, pakwe.”
“Minggu depan aku confirm datang sana. Kali ni kau wajib kena tunggu aku datang.”
Hmmm, aku akan tunggu kau,” dan untuk selamanya pun aku sanggup tunggu kau, Pa’an. Sambungnya di dalam hati sahaja. Sungguh, dia benar-benar tidak berani untuk berterus-terang tentang perasaannya kepada lelaki itu.


“ZUL… Kenapa awal sangat bangun ni?” tegur Puan Mawar apabila melihat kelibat anaknya yang termenung di luar pintu gelangsar.
Kepalanya ditoleh ke belakang. Senyuman menghiasi wajahnya. Macam mana tak terjaga awal, umi? Zul nampak dia sekali lagi. “Zul ingat nak berjemaah dengan umi.”
“Tak pergi masjid hari ni?”
“Tak. Memang dah niat nak berjemaah dengan umi.”
Hmmm, bagus juga. Umi pun dah lama tak berjemaah dengan Zul. Kalau macam tu, umi nak naik mandi dulu. Tunggu umi kat bilik solat, ya?”
Dia sekadar senyum sambil menganggukkan kepala. Permandangan hening subuh diperhatikan lagi. Ya Allah… Apa sebenarnya yang Engkau ingin tunjukkan kepada aku? Dalam setiap istikharah ku, aku nampak dia. Rupa-rupanya, dia betul-betul wujud dalam alam realiti. Aku dah terjumpa dia. Apakah ini satu petunjukMu, Ya Allah?
Kaki dilangkahkan ke tingkat atas. Solat Subuh belum ditunaikan. Mungkin sahaja umi sedang menantinya untuk solat berjemaah.
Usai solat, Zul mengalunkan doa yang panjang lebar. Tidak lupa juga doa di dalam hatinya. Selepas mengaminkan doa, Zul memusingkan tubuh ke belakang lalu menghulurkan salam kepada uminya.
“Zul… Are you okay?”
Berkerut dahinya sekejap. “Kenapa umi tanya macam tu?”
“Tadi masa solat Zul ada fikirkan sesuatu ke? Surah Al-A’laa yang Zul baca tadi tersekat-sekat.”
“Zul minta maaf umi.”
“Kenapa? Ada yang tak kena ke?”
Seraut wajah uminya dipandang lama. Kali ini dia memilih untuk bercerita. Tidak mahu hati uminya tertanya-tanya lagi. “Umi… ingat lagi tak Zul pernah cerita pasal istikharah Zul?”
“Ingat. Zul nampak seorang perempuan kan? Tapi Zul tak kenal dia.”
Dia senyum sambil menganggukkan kepalanya. “Umi… Sebenarnya Zul dah jumpa dia di alam realiti.”
Are you serious, Zul?” soalnya tidak percaya.
Hmmm… Yang lebih mengejutkan, dia kerja di pejabat yang sama dengan Zul.”
Kebetulan yang tidak disangka, kan? Puan Mawar mengucapkan syukur kepada Allah Yang Satu. “Syukurlah. Umi harap mimpi Zul tu akan jadi realiti.”
“Tapi, umi…”
“Tapi?”
“Dia mencintai orang lain.”


DI hadapan panggung wayang itu, masing-masing ralit memerhatikan skrin yang tertera senarai wayang yang akan ditayangkan.
“Kau nak tengok cerita apa?” soal Dhea sambil otak kecilnya masih berkira-kira untuk menonton cerita apa. Banyak sangat pilihan ni. Tak tahu nak pilih yang mana satu.
“Entah! Cerita hantu kot,” balas Pa’an yang juga masih berfikir.
Dhea menoleh ke sisinya sambil memuncungkan wajah. “Ala, tak naklah! Cerita lain ya? Takutlah tengok cerita hantu.”
“Boleh. Tapi tak nak cerita jiwang.”
“Jom tengok Polis Evo? Belum tengok lagi cerita tu, kan?”
Hmmm, boleh juga. Macam menarik juga tu!”
Sudahnya mereka memilih filem Polis Evo seperti yang Dhea cadangkan.
Bibirnya menguntumkan senyuman apabila melihat kepala Dhea sudah ke kiri ke dan ke kanan. Kepalanya digeleng perlahan. Dhea beria-ia ajak menonton filem Polis Evo. Sudahnya, selepas sepuluh minit tayangan, Dhea sudah terlentok sana sini.
Amir Farhan menarik kepala Dhea lalu disandarkan ke bahunya. Biar kepala itu tidak terlentok ke bahu lelaki di sisi Dhea. Biar tidur gadis itu lena dibahunya.
Dhea menyeringai sendiri. Apabila tersedar, kepalanya enak sahaja menyandar pada bahu Pa’an. Adoi, apesal dia tak kejut aku?! Buat malu betullah!
“Dah puas tidur? Satu jam lebih kau tidur.”
Bibirnya diketap geram. Tak payahlah nak tanya macam tu! Kepala digerakkan ke kiri dan ke kanan. “Adoi, sakit betullah kepala ni! Bahu kau keras sangatlah Pa’an.” Dia terus bangun apabila orang ramai sudah berpusu-pusu keluar dari panggung wayang itu.
Amir Farhan tersenyum kecil. Nak cover malulah tu! Dia ikut mengekor di belakang Dhea. Apabila melihat Dhea tertolak-tolak oleh manusia yang berpusu-pusu itu, cepat-cepat dia menarik bahu Dhea ke arahnya lalu memeluk erat bahu itu. Tidak mahu tubuh kecil Dhea tertolak ke sana sini lagi.
Dhea menoleh ke sisinya. “Pa’an? Kau…”
“Pandang depan! Karang terlanggar orang lain pulak!”
Dhea tersenyum senang. Dia suka Pa’an yang baik. Dia juga suka Pa’an yang sayangkan dia dan selalu melindungi dia. Terima kasih, Pa’an. Aku sayangkan kau, tau!


HAMPIR tersadung dibuatnya apabila tersepak kaki seseorang. Namun ada tangan yang menarik lengannya, menghalang tubuhnya daripada jatuh menyembah lantai. Lambat-lambat kepalanya diangkat. Tajam pandangan matanya apabila terpandangkan satu wajah.
“Kau?! Jadi, kau yang…” Kata-katanya terhenti di situ! Tahulah Dhea yang lelaki itu memang sengaja meletakkan kaki di laluannya supaya dia terjatuh.
Lelaki itu tersengih lebar. “So, kau tak nak ucapkan terima kasih kepada aku? Kalau bukan sebab aku, pasti muka kau yang cantik tu dah tersembam ke lantai.”
Dhea mengetap bibir geram. Dia tahu, mamat psiko ni sengaja menghalang laluannya tadi dengan niat mahu menjatuhkan dia. Lepas tu, tolong balik. Tangannya yang masih berada di gengaman lelaki itu ditarik kuat. “Gila! Buat apa aku nak ucap terima kasih pada kau? Kau yang menyebabkan aku tersadung tadi!”
Isy! Isy! Isy! Kesian pulak aku tengok kau ni. Muka dah cantik. Tapi mulut kau tak berapa nak cantik.”
“Suka hatilah! Yang kau menyebok sangat tu kenapa?” Dhea tak faham. Dia betul-betul tak faham dengan lelaki ini. Selalu cari pasal dengannya. Kadang-kadang lelaki itu sengaja mengenakan dia.
“Aku memang suka menyebok hal kau. So, kau nak buat apa?”
“Gila! Psiko! Pergilah main jauh-jauh! Macamlah tak ada manusia lain lagi yang kau nak cari pasal. Dengan aku jugak kau nak cari pasal, kan? Pergi sana!” Dhea menghalau lalu melangkah meninggalkan lelaki gila itu.
Tiba di pejabat, Dhea menghempaskan duduknya di kerusi milik Nuriz. Turun naik nafasnya menahan marah. Mamat psiko tu memang gila! Kesian, sudahlah psiko, gila pulak tu! Sekali lagi dia kenakan aku, tahulah aku nak buat apa dengan dia!
Kak Su mengerutkan dahi lalu mengangkat kening ke arah Nuriz yang sedang menyusun fail. Nuriz pula menjungkitkan bahu tanda dia tidak tahu sebab musabab Dhea marah macam tu.
Kak Su menghampiri Dhea lalu menegur. “Kenapa macam marah sangat ni?”
“Tu! Mamat psiko tu! Sakit betullah hati Dhea ni!”
Kak Su tergelak bila nampak Zul Huzaimi menapak masuk ke pejabat mereka dengan wajah yang tersengih-sengih. Tahulah dia sebab musabab kenapa Dhea nampak marah sangat. Zul… Zul… Kalau suka, cakaplah suka!
Zul Huzaimi mencebik. Dia melangkah selamba menghampiri tiga wanita itu lalu menarik kerusi yang diduduki Dhea ke belakang.
Hampir terpelanting Dhea dibuatnya. Mujur sahaja dia tidak terjatuh apabila Zul bertindak cepat membetulkan semula kerusi yang diduduki itu.
“Hoi, gila! Kau nak suruh aku mati kat sini ke, hah?” Lantang suaranya memarahi Zul Huzaimi yang sudah ketawa berdekah di belakangnya. Dia ingat benda macam ni boleh dibuat main agaknya?! Nasib baik aku pakai seluar hari ni! Kalau tak, mahu terselak tadi!
“Bukan aku yang gila! Kau tu yang gila!” Zul terus meloloskan diri ke dalam pejabatnya sambil melepaskan ketawa kuat. Suka benar bila dapat kenakan Dhea lagi.
“Eee… geramnya! Dari bawah lagi perangai dia tu hampeh semacam! Ada saja nak buat orang sakit hati! Gila! Psiko!”
Nuriz ketawa apabila mendengar amukan Dhea.
Kak Su pula cuba menahan tawa sambil menggelengkan kepala. Dah masak sangat dengan perangai Zul yang memang suka mengusik Dhea. Kadang-kadang memang sengaja cari pasal. Mungkin Zul nak tarik perhatian Dhea. Dengan cara macam tu aje dia boleh selalu terserempak dengan Dhea. “Tak elok terjerit-jerit macam tu. Dia tak sengaja agaknya.”
“Kak Su… Dia memang sengaja! Kak Su tengoklah tadi. Dia sengaja tarik kerusi Dhea! Geram betullah! Kat bawah tadi, dia sekat kaki Dhea. Masa tu Dhea tengah tengok kertas sambil berjalan. Memang hampir-hampir tersadung tadi!”
“Dhea ada lebam kat mana-mana tak?” Kak Su buat-buat terkejut. Dah banyak kali hal tersadung ni terjadi kepada Dhea. Tapi tak pernah pula ada lebam-lebam. Sebab kalau tersadung pun, pasti ada yang membantunya. Zul cuma nakal dengan Dhea seorang sahaja.
“Tak ada! Dia sempat tarik Dhea sebelum Dhea terjatuh. Lepas tu, siap suruh cakap terima kasih pada dia. Memang taklah!”
Kak Su tergelak. “Dhea… Dhea… Cuba bukak mata tu sikit! Kak Su rasa Zul sukakan Dhea. Sebab tu dia suka sangat mengusik Dhea.”
“Nuriz setuju Kak Su. Nuriz pun rasa macam tulah,” sampuk Nuriz sambil ketawa.
“Mengarut! Mamat menyakitkan hati tu tak sukakan Dhea! Sebab tu dia suka cari pasal. Perangai dia tu, mengalahkan perangai Ali Setan! Menyakitkan hati sangat!”
“Dhea… Jangan terlalu membenci seseorang. Kelak kalau terjatuh suka tanpa sengaja macam mana? Kata orang tua, kalau kita membenci seseorang, kelak kita akan menyukai orang yang kita benci.
Dalam Al-Quran pun ada sebut pasal tu, Dhea. Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” sambung Kak Su lagi.
Nuriz menganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata Kak Su. “Maksudnya Dhea, jangan benci sangat pada Zul tu. Nanti tersuka tanpa sengaja pula.” Nuriz ketawa mengekek.
Hahaha! Dhea buat-buat ketawa. “Sampai mati pun Dhea tak akan sukakan lelaki psiko macam dia tu! Kalau Dhea ni gajah, Dhea dah pijak dia sampai mati! Tak adalah menyusahkan hidup orang lagi.”
Kak Su sekadar menggelengkan kepalanya. Dia tahu, mamat psiko tu suka Dhea. Sebab itulah ada sahaja yang nak diusiknya. Dhea tak nampak Zul Huzaimi sebab Dhea dah sukakan orang lain. Amir Farhan!


“DHEA…”
Suara yang menyapa ke telinganya kedengaran gemersik. Aku suka betul dengar suara dia. Sejuk hati yang panas ini. Berbunga satu taman hati ini. “Hmmm?” soalnya sepatah.
“Aku dipindahkan ke Pulau Pinang.”
“Hah? Err… Bila?” Hilang segala taman bunga, hilang segala suara gemersik. Yang ada cuma riak terkejut dan tanda soal yang memenuhi otak kecilnya.
“Bulan depan.”
“Cepatnya?” Kali ini dia sudah tidak senang duduk. Kalau lelaki ini dipindahkan ke Pulau Pinang, macam mana dengan dia? Dia akan keseorangan tanpa ditemani lelaki ini. Jarak yang jauh itu pasti akan menimbulkan kerinduan di hatinya. Awak, jangan pergi. Please….
Hmmm, itulah! So, macam mana?”
“Macam mana apa?”
Haih, dia ni! Tak faham-faham ke? Cakaplah yang kita nak bertunang dulu sebelum aku ke Pulau Pinang. Kot-kotlah Dhea dikebas orang bila aku tak ada kat sini nanti. “Tak ada apa-apalah. Weh, nanti kau rindu-rindukan aku ya?”
Aku sayangkan kau, Pa’an. Aku akan sentiasa rindukan kau. Setiap saat, setiap detik, pasti nama kau seorang aje yang ada dalam hati ini. “Kau pun.”
“Meh sini telefon kau sekejap.”
Dhea mengerutkan dahi. “Nak buat apa? Kau kan dah ada nombor telefon aku.”
“Banyak cakaplah kau ni! Bak sini sekejap.”
Dhea menghulurkan telefon bimbitnya. Dia masih terpinga-pinga apabila Amir Farhan mengambil gambar diri sendiri dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.
“Hah, tengok ni! Handsome tak aku?”
Dhea mencebik sambil memerhatikan gambar selfie itu. Tapi memang kau handsome pun. Buatlah macam mana pun mimik muka kau, tetap nampak handsome di mata aku.
“Dhea…” Serunya perlahan. Sebaik sahaja Dhea menoleh, dia terus menangkap gambar Dhea dengan telefon bimbitnya pula.
Terkejut Dhea bukan kepalang. “Weh, mana aci ambik gambar curi!” Tangannya cuba merampas handphone milik Pa’an. Tetapi tidak berjaya apabila Pa’an sudah sembunyikan di bawah ketiaknya.
“Aci kat Indialah.”
“Bak sini! Delete balik.”
“Tak nak! Nak buat peneman rindu bila aku kat sana nanti.”
Dhea senyum. Sudahnya dia membiarkan sahaja Pa’an menyimpan gambar candid itu. Oh, patutlah dia tangkap gambar tu tadi! Kau jangan risau Pa’an, aku memang akan selalu rindukan kau walaupun kau tak ada depan mata aku.
“Dhea…”
Hmmm?”
“Kalau sebelum aku ke Pulau Pinang, aku masuk minang kau dulu boleh?”
Berkerut dahinya. Masuk meminang? Wah, bestnya! Aku akan jadi buah hati Pa’an untuk selama-lamanya. “Tak muda sangat ke?” Lain yang ada di dalam hati, lain pula yang terkeluar di bibirnya.
Amir Farhan melepaskan tawa kuat. “Aku acah ajelah.” Dhea… sebenarnya aku memang ada niat nak meminang kau sebelum pergi sana. Tapi aku tak tahu apa perasaan kau pada aku. Aku bimbang jika aku bertepuk sebelah tangan sahaja.
Dhea mengetap bibir kuat. Nasib baik aku tak bagi jawapan teruja tadi. Kalau tak, memang malu seribu tahunlah jawabnya. Sempat jarinya mencubit lengan lelaki itu. Geram betullah! Kalau betul-betul pun tak salah, Pa’an. Lagipun, aku memang sukakan kau. Cuma, aku tak tahu apa yang ada dalam hati kau.


“ASSALAMUALAIKUM, sayang.”
“Waalaikumussalam, abang.” Dhea juga menjawab dengan usikan. Dah tahu dah. Farhan memang suka mengusik.
Tak sampai seminit masing-masing sudah melepaskan tawa. Rasa lucu apabila menukar panggilan seperti itu. Dah macam suami isteri betullah!
“Dhea… macam best guna panggilan macam tadi tu.”
Best apanya? Gedik adalah! Lainlah kalau dah kahwin. Memanglah best.”
“Kau nak kahwin dengan aku tak?”
Berdebar jantung Dhea dengan soalan yang berbaur usikan itu. Apa jawapan yang dia ada? Memanglah nak!
“Dhea… Bila kau nak datang Penang? Kau tak rindukan aku ke?” Cepat-cepat Farhan mengalihkan topik perbualan sebelum Dhea menjawab. Bimbang jawapan Dhea akan mengecewakan hatinya.
“Mestilah rindu. Asyik duk dengar lagu Encik Mimpi aje hari-hari. Kaulah balik ke sini. Aku susahlah nak pergi sana. Kau tahu kan ayah aku macam mana. Memang dia tak akan izinkan aku ke mana-mana sendirian.”
Hmmm, itulah! Aku nak simpan cuti. Nanti kalau cuti aku nak cuti panjang sikit. Boleh jumpa kau. Dhea…”
Hmmm?”
“Rindu-rindukanlah diriku, sepanjang hari-harimu.” Amir Farhan menyanyi kecil.
Dia ketawa kecil. Ada rasa bahagia yang menyelit di hatinya. Pa’an, kalaulah kita betul-betul bercinta, akulah wanita yang paling bahagia dalam dunia ini.


“HAI, Dhea!”
Alamak, mamat psiko tulah! Buat apalah dia datang ke sini? “Nak apa?” jawabnya kasar. Malas sungguh mahu menjawab pertanyaan ‘Ali Setan’ itu!
“Garangnya, mak cik? Datang bulan ke?”
“Kalau iya pun, kenapa? Hmmm?”
“Oh, patutlah garang sangat! Nah!” Satu bungkusan dihulurkan kepada gadis dihadapannya itu.
Dhea mengerutkan dahi. Bungkusan itu tidak bersambut. Sepasang anak matanya singgah pada sepasang anak mata dihadapannya. “Kau ni apa hal? Hari ni bukan hari jadi akulah.”
“Hello? Bukan aku yang bagi! Ada orang kat bawah tu bagi! Macamlah aku hadap sangat nak bagi hadiah pada kau!” Tangan kanan Dhea dicapainya sebelum meletakkan hadiah tersebut di atas tapak tangan kecil itu.
Terpinga-pinga Dhea sekejap. Kepala yang tidak gatal digarunya. Hisy, aku ni pun satu! Selalu salah faham kat mamat tu. Betullah! Dia tu memang betul-betul psiko! Ada sahaja yang hendak digaduhkannya. Kaki terus dilangkahkan ke meja kerjanya. Hadiah itu diletakkan diatas meja dan langsung tak diusik.
Penat menghadap komputer, dia melangkah ke pantry lalu membuat satu cawan nescafe.
“Hoi, aku punya tu!”
Hampir tersembur nescafe yang baru dihirupnya apabila mendengar satu jerkahan kuat. Sudahlah panas. Mahu melecur lidah aku ni! Dia berpaling ke belakang. Bibirnya diketap geram sebaik sahaja terpandangkan seraut wajah. Huh, mamat ni memang nak suruh aku mati ke apa? Ali Setan! “Kau kenapa? Terjerit-jerit! Macamlah aku ni pekak.”
Zul Huzaimi mengecilkan anak matanya sambil menapak ke arah Dhea. “Aku, kenapa? Kau tu yang kenapa?! Yang kau minum tu, air aku!”
“Hah, air kau ke?” Cawan itu diletakkan semula di atas meja. Fuh, patutlah panas semacam! Mana pernah aku buat air letak air panas semua.
“Buat-buat tak tahu pulak kau ni, kan?”
“Eh, tapi… Aku pun buat air tadi? Mana perginya air nescafe aku?” Kepala di sebalik tudung digarunya perlahan. Otak kecilnya berfikir sekejap. Cawan yang sama, kan?
“Dhea!”
Satu laungan dari luar pantry membuatkan dia menoleh.
Thanks. Aku curi air kau!” Selamba Nuriz melambaikan tangan sambil menayangkan cawan yang dipegangnya sebelum melangkah meninggalkan Dhea yang masih terpinga-pinga.
Lambat-lambat dia mendongakkan wajah sambil menyeringai. “Sorry, aku tak tahulah pulak ni air kau. Cawan sama!”
Sorry naik lorrylah! Buatkan aku air lain!” arahnya selamba.
Dhea mengetap bibir geram. Kembang kempis hidungnya menahan amarah. Cis, tak guna betullah mamat ni! Selamba badak aje nak arah-arah aku! Dengan hati yang tidak ikhlas, dia membuatkan satu cawan nescafe untuk lelaki itu.
Zul Huzaimi tersenyum. Dhea ni baik sebenarnya. Cepat rasa bersalah. Sudahlah cantik. Macam mana tak jatuh hati? Kalau bukan aku sekali pun, sudah pasti lelaki lain pun akan jatuh hati dengan sikap dan kecantikan dia.
Selesai membuat nescafe, cawan itu dihulurkan kepada lelaki yang masih setia menunggu sambil memerhatikan setiap gerak langkahnya sejak tadi.
Zul Huzaimi tersenyum sekejap. “Kau ni baik, kan?”
Berkerut dahinya. Apa hal pula? Tak pernah dia puji aku sebelum ni? Jangan-jangan, ada udang di sebalik mee? “Kau apa hal?”
Masih lagi tersenyum. “Thanks, sudi buatkan air untuk aku. Tapi…” Tangannya mencapai cawan yang sudah diminum Dhea tadi. “Aku tak nak air tu. Aku nak air ni.” Selamba dia menghirup nescafe di dalam cawan yang sudah diminum Dhea tadi.
Bulat mata Dhea memandang lelaki itu. “Hoi, air tu aku dah minumlah senget!”
Tidak menoleh, dia terus melangkah meninggalkan Dhea yang masih menggelabah sorang-sorang!


BARU sahaja dia mengatur langkah untuk memasuki lif, tubuhnya terlanggar seseorang. Zaira? Seraut wajah di hadapannya ditatap lama. Dia kenal dengan gadis ini. Teman satu sekolahnya. “Zaira, kan?”
Zaira menoleh apabila seorang lelaki menyebut namanya. Bulat mata Zaira memandang seraut wajah itu. Betulkah dia? Lelaki yang pernah aku suka dulu? “Amir? Amir Farhan?”
“Ha’ah, akulah ni!”
“Ya Allah… Lamanya tak jumpa kau, Mir! Dah lebih sepuluh tahun, kan? Lepas habis form three, kita langsung tak jumpa.”
Amir Farhan mengukirkan senyuman sambil mengangguk perlahan. Zaira sudah banyak berubah. Budak nerd masa sekolah dulu dah semakin cantik. Nampak bergaya sekarang. Kaca matanya pun dah tak ada. Pakai contact lense kot! “Iyalah. Kau kan pelajar pintar. Sambung form four kat MRSM.”
“Kau tu apa kurangnya. Kau sambung kat sekolah teknik, kan?”
“Kau tahu?”
“Mestilah. Aku ambil tahu semua perkara pasal kawan-kawan aku. Eh, aku dengar Dhea pun sambung sekolah teknik sekali dengan kau, kan? Lepas tu korang dapat sambung UiTM yang sama, kan?”
“Ha’ah. Jadi, kau memang ambil tahu pasal akulah ya?” Dia cuba meneka.
Zaira tergelak kecil. Mestilah aku ambil tahu. Sampai sekarang pun aku masih sukakan kau, Amir. “Mestilah. Lama betul aku tak jumpa Dhea. Kau mesti hari-hari jumpa dia, kan?”
“Boleh dikatakan macam tu jugak. Kau nampak makin cantik Zaira.”
“Iyalah sangat. Kau pun dah banyak berubah. Dah macam ayah orang pun iya jugak. Kau dah kahwin ke?”
“Hello? Belum kahwin okey! Kau dah kahwin?”
“Belum. Muda lagi nak kahwin. Lagipun, aku tak jumpa kau. Macam mana nak kahwin.” Dia berterus-terang. Kali ini dia tidak akan sia-siakan peluang yang ada macam dulu. Cukuplah sekali dia kehilangan cinta hatinya. Kali ini dia akan mengengam cinta itu seeratnya.
Amir Farhan memandang lama seraut wajah itu. Ayat terakhir yang dituturkan gadis itu tadi membuatkan dia berfikir sejenak.
Menyedar khilafnya, Zaira cepat-cepat melarikan anak mata dan mengalihkan topik perbualan. “Kau kerja kat sini ke, Mir?”
“Ha’ah, baru transfer dua minggu kat sini. Kau?”
“Aku dah dekat dua tahun kat sini. Mungkin jodoh kita berjumpa kat sini kot?” Sekali lagi dia terlepas cakap. Iya, dah lama dia sukakan Amir Farhan. Sejak tingkatan satu lagi. Tapi masa tu Amir Farhan ramai peminat. Jadi dia tak berani untuk meluahkannya.
Amir Farhan tersenyum sambil mengangguk. “Jom makan sekali?”
Hmmm, boleh jugak.”


“HAI, awek!”
“Hai, pakwe! Lamanya tak dengar khabar.” Dia meluahkan perasaannya. Hampir seminggu dia menunggu Amir Farhan menelefonnya. Fikirnya, Amir Farhan sibuk. Jadi, dia tak mahu mengganggu.
Amir Farhan tergelak. “Dhea… Guess what? Teka aku jumpa siapa kat sini?”
“Kau jumpa siapa? Awek ke?”
Of courselah awek. Tekalah!”
Tiba-tiba hatinya terusik. Amir Farhan macam teruja aje? Aku rindukan dia. Tapi dia macam tak teruja pun dapat bercakap dengan aku. “Malaslah nak teka. Kau jumpa siapa?”
“Zaira. Nur Zaira Liyana.”
“Hah?” Terlopong mulutnya sekejap. Nur Zaira Liyana? Kawan sekolah dulu? Bukan ke… Zaira tu beria-ia sukakan Pa’an dulu? Cuma, Pa’an buat tak layan aje sebab Pa’an sukakan orang lain.
“Kau ingat lagi tak? Geng kita masa tingkatan satu sampai tingkatan tiga. Lepas PMR, dia masuk MRSM.”
Angguk. “Ingat. Kat mana kau jumpa dia?”
“Hah, itulah! Tak sangka, kan? Rupa-rupanya dia dah dua tahun kerja kat tempat aku kerja sekarang. Dah jodoh agaknya.”
Dhea terasa hati. Dah jodoh? Takkanlah dia tak tahu yang aku tunggu dia? “Iyalah. Kalau dah jodoh kau dengan dia pastinya tak ke mana, kan? Cepat-cepat pinang dia sebelum dia dipinang orang lain. Kalau benar jodoh, dia akan jadi milik kau juga.”
“Doakan aku ya, Dhea.”
Telefon bimbit itu dipandang lama. Terasa kolam matanya panas akibat menahan air mata daripada menitis jatuh. Pa’an… takkanlah sekali pun kau tak rasa apa yang aku rasa? Takkanlah kau tak nampak apa yang aku buat selama ni? Takkanlah sekali pun kau tak dengar apa yang pernah aku ucapkan?
Aku sukakan kau, Pa’an. Suka yang melebihi suka sebagai seorang kawan. Aku cinta kau Pa’an. Kenapa kau tak pernah melihat semua itu dengan mata hati kau? Apakah cinta kau akan beralih arah kepada Zaira?


“DHEA…”
Kepala ditoleh sekilas. Ya Allah… Kenapalah aku harus terserempak dengan mamat ni lagi? Langkah kakinya diteruskan tanpa memandang lelaki itu. “Nak apa?” jawabnya hendak tak hendak sahaja.
“Nah, untuk kau!” Sejambak bunga dihulurkan.
Dhea menghentikan langkah. Tajam pandangannya dilemparkan kepada lelaki itu. “Kau jangan pandai-pandai nak cakap orang lain kirim sekali lagi! Kau yang kirim sendiri, kan?” Teringat pula peristiwa dua minggu yang lepas. Lelaki ini menyatakan ada orang yang mengirimkan hadiah itu untuk dia. Tetapi sebenarnya, hadiah itu memang daripada lelaki itu sendiri.
“Betul! Kali ni memang aku tak tahu! Tapi kalau betul kau tak nak bunga ni, aku nak kasi kat orang lain.” Jujur, dia juga cemburu jika ada lelaki lain yang mengirimkan Dhea bunga.
“Betul kau tak tahu ni?” Dhea mula percaya apabila lelaki itu menunjukkan riak serius.
Angguk.
“Kalau bukan kau, aku akan terima. Thanks!” Dia menyambut huluran itu bersama senyuman di bibir.
Zul Huzaimi mencebik. Ambil jugak! Itu pun aku yang bagilah! Selepas Dhea mengambil bunga itu daripada tangannya, Zul Huzaimi terus mengorak langkah. Sempat dia berpaling sambil tersenyum. “Dhea, thanks! Jangan buang tau? Berdosa tolak pemberiaan orang. Apatah lagi menolak rezeki.” Tanpa menunggu jawapan Dhea, dia terus mengorak langkah.
Dhea mengetap bibir geram. Nampaknya aku terkena sekali lagi! Sempat dia menampar perlahan bunga ditangannya. Nak buang memang sayanglah! Nampaknya, dia memang tahu aku sukakan bunga. Apatah lagi kalau bunga tulip dan bunga mawar. Entah-entah, bunga mawar yang minggu lepas pun dia yang bagi?


“DHEA… Lamanya aku tak jumpa kau!” Zaira pantas meluru lalu memeluk sahabatnya itu. Setelah hampir sepuluh tahun mereka tidak berjumpa.
Dhea terdiam kaku. Semalam Amir Farhan ada menelefonnya dan menyatakan bahawa dia akan balik ke Kuantan. Teruja betul hatinya. Malam tadi, sewaktu dia menelefon Amir Farhan, lelaki itu menyuarakan hasrat untuk bertemu dengannya pada hari ini. Sungguh, dia tak menyangka yang Amir Farhan balik bersama Nur Zaira Liyana.
“Dhea… Kau nampak tembam sikit berbanding zaman sekolah dulu. Makin cantik pulak aku tengok.”
Dhea mengukirkan senyuman. Senyuman yang kelihatan langsung tidak ikhlas. “Kau pun nampak makin cantik. Tubuh pun dah nampak macam model.”
Hmmm, sebab itulah orang tu suka.” Sempat dia melirikkan anak mata ke arah Amir Farhan.
Berkerut dahinya. Tak faham! Tapi dia cuba buat-buat faham. “Kau balik rumah siapa kat sini?” Setahunya keluarga Zaira di Jerantut.
“Aku balik rumah family Amir. Nak kenal-kenal dengan keluarga dia. Hari Sabtu nanti, Amir pulak nak pergi rumah family aku. Nak kenal-kenal dengan family aku.”
Kenal-kenal? Apa maksud Zaira? Dia memandang dua wajah itu silih berganti. Amir Farhan lebih banyak diam dan tidak memandang Dhea. Pa’an, kenapa dengan kau? Kau dah tak rindu-rindukan aku lagi ke? Kau dah ada orang lain untuk dirindu-rindukan ke? Tapi Pa’an, aku betul-betul rindukan kau. Mustahil kalau kau tak tahu apa yang ada di dalam hati aku.
Tiba-tiba dia terasa hati. Sikap endah tidak endah Amir Farhan yang cuma sesekali menegur membuatkan hatinya tersentuh. Pa’an, apa makna semua ni? Aku tak faham!


ANAK mata memerhatikan sekeliling yang nampak asing baginya. Ya, memang diakui, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke negeri ini. Kerana rindu dendam yang  bertamu di dalam hatinya, dia menerima sebulatnya apabila diminta menghadiri kursus di kawasan ini.
“Dhea? Kenapa kau datang ke sini?”
Dhea senyum. Sebulan aku tak nampak kelibat dia. Sudah pasti aku terlalu merindui lelaki ini. Apakah dia juga menyimpan rindu dendam untuk aku seperti aku merinduinya? Mungkinkah? “Hai, pakwe!”
“Hai! Kenapa kau datang ke sini?”
Aik, tak boleh ke? Untuk pengetahuan kau, aku kursus kat sini seminggu. Esok start.  Bolehlah aku selalu jumpa kau. Kau sibuk ke? Jom keluar makan? Aku belanja.”
“Hah? Err… Tapi aku tak bolehlah. Aku ada hal.” Seraut wajah Amir Farhan kelihatan serba salah.
Dhea mengerutkan dahi. Dia perasankan perubahan seraut wajah itu. Telinganya juga tidak menipu apabila mendengar suara yang jelas kedengaran bergetar. “Oh, iya ke? Kalau macam tu, lepas kau habis kerja nanti kita keluar ya? Aku rindu kaulah, pakwe.”
“Eh, Dhea ke?”
Suara seorang perempuan menyapa telinganya. Dia kenal suara itu. Laju kepalanya menoleh ke belakang. “Hai, Zaira!”
“Oh, jadi betullah Dhea! Dhea buat apa kat sini?”
“Datang jumpa pak…” Ayatnya tergantung di situ. Ya, memang kebiasaannya dia memanggil lelaki itu dengan panggilan ‘pakwe’. Tetapi apabila melihat seraut wajah yang kelihatan serba tidak kena itu, dia menghentikan kata-katanya.
“Dhea kursus kat area ni seminggu,” sampuk Amir Farhan secara tiba-tiba. Bimbang kalau Dhea sebut perkataan ‘pakwe’ di hadapan Zaira.
“Oh, really? Wah, tiga sekawan dah ada dalam kawasan yang sama! Seronoknya! Bolehlah kita luangkan masa sama-sama. Abang… jom! Kata nak lunch sama? Dah lewat ni.”
Abang? Terkebil-kebil Dhea sekejap. Sejak bila pulak Amir Farhan jadi abang Zaira? Sebenarnya, dia sudah dapat menghidu sesuatu yang tak kena antara Pa’an dan Zaira. Tetapi dikeraskan hati demi cinta di dalam hatinya.
Serba salah Amir Farhan jadinya. Macam mana ni? Pasti Dhea dah syak sesuatu. Tadi aku cakap ada kerja.
“Dhea… Jom join kita orang lunch?” ajak Zaira sambil mencapai kedua-dua belah tangan sahabatnya itu.
Anak matanya memandang dua pasang anak mata di hadapannya silih berganti. Sepasang anak mata Zaira jelas kelihatan teruja. Tetapi sepasang anak mata Pa’an pula seolah-olah tidak senang dengan kehadirannya. Pa’an, apa sebenarnya? Kenapa kau tak berterus-terang dari awal lagi? Kenapa biarkan aku ternanti-nanti macam ni? Kalau benci, kata benci Pa’an. Kalau suka, katalah suka. Jujur, dia memang terasa hati dengan sikap Amir Farhan terhadapnya.
“Boleh tak?” soalnya sekali lagi apabila Dhea cuma mendiamkan diri.
Dhea mengukirkan senyuman sambil menggeleng perlahan. Maafkan aku, Zaira. Jujur, aku memang rindukan Pa’an dan ingin bersembang lama-lama dengannya. Tetapi pandangan mata Pa’an seolah-olah tidak menyenangi kehadiran aku di sini. “Err… takpelah. Lain kali ya? Aku ada hal.”
“Ala… Kenapa tak boleh pulak? Jomlah! Lagipun Dhea cuma seminggu kat sini. Kalau Dhea selalu sibuk, macam mana kita nak keluar lunch sama-sama. Betul tak, abang?”
Abang… Sepatah perkataan itu benar-benar menghancur luluhkan hatinya. Wahai hati… sabarlah! Jangan sesekali menitiskan air mata di sini. Di hadapan dua manusia ini.
“Aku minta maaf. Tapi aku rasa tak sempat. Lagipun kelas aku akan mula jam dua nanti. Kau pergilah dengan Pa’an, ya? Pa’an… Aku balik dulu. Jumpa lagi.” Dia cuba memandang ke dalam anak mata lelaki itu, tetapi lelaki itu cuma membuang pandang dan langsung tidak memandang matanya.
Tahulah dia yang selama ini dia cuma bertepuk sebelah tangan. Atau sebenarnya, cinta Pa’an berubah apabila bertemu Zaira di sini?
Pa’an… Sesungguhnya aku benar-benar cintakan kau. Harus bagaimana lagi? Ya Allah… Ikhlaskanlah hati aku untuk menerima ketentuanMu ini.


SETELAH pulang dari Pulau Pinang, hatinya benar-benar tidak tenteram. Rasa sakit di situ. Rasa kecewa di situ. Sesekali, dia juga kelihatan termenung dan tidak bermaya.
Otak kecilnya tidak pernah habis daripada memikirkan tentang seorang Amir Farhan dan seorang Nur Zaira Liyana.
Anak matanya melihat kelibat seseorang di pantry. Nampak termenung aje kebelakangan ini? Apa yang dia fikirkan? Niatnya untuk mengusik gadis itu dibatalkan. Kali ini dia cuma berniat untuk menegur.
“Kenapa? Masam aje hari ni?”
Melihat sahaja seraut wajah itu, kepalanya terasa semakin berserabut. “Boleh tak jangan ganggu? Tak ada moodlah hari ni!”
“Okey. Aku tak nak kacau kau hari ni. So, macam mana Penang? Kau jumpa buah hati kau tak?”
Fikirnya, Zul Huzaimi sudah bangun meninggalkan dia bersendirian. Tetapi dia tetap juga mendengar persoalan. Mungkin orang lain yang menyapanya. Kepalanya diangguk perlahan.
“Wah, mesti kau happy, kan? Kau kan dah lama tak jumpa dia.”
Geleng. Entah kenapa kali ini dia berterus-terang tentang perasaannya kepada lelaki di sisinya. Perasaan sedihnya kembali mengganggu jiwanya. Apa yang harus aku buat?
“Hah? Aku tak faham. Sekejap kau angguk. Sekejap kau geleng. Yang mana satu ni?”
Keluhan kecil dilepaskan. “Aku tak sedap hatilah. Aku rasa dia dan Zaira ada apa-apa.” Langsung dia tak perasan kepada siapa dia meluahkan perasaannya.
“Apa-apa? Maksud kau… buah hati kau dah ada buah hati lain?”
Tiba-tiba sahaja telinganya terasa berdesing. Macam ada terdengar suara mamat psiko tulah? Tersentak apabila melihat mamat psiko yang selalu mengganggunya tiba-tiba ada di depan matanya.
“Kau buat apa kat sini? Tak ada kerja ke?” marahnya tiba-tiba lalu bangun dari kerusi.
Zul Huzaimi tersenyum. Dah agak dah! Mesti dia tak perasan aku kat sebelah dia, kan? Dia ikut berdiri sambil menyaingi langkah Dhea. “Kalau kau ada masalah, cerita ajelah. Pendam sorang-sorang pun, boleh jadi gila jugak!”
“Lebih baik gila daripada psiko macam kau!”
Dia melepaskan ketawa kecil. Gila pun aku, psiko pun aku, Ali Setan pun aku! Dhea… Dhea… Bilalah kau nak panggil aku dengan nama baik-baik, kan? “Kau ni kan, tak habis-habis cakap aku psiko. Aku psiko dengan kau aje. Sebab kau cute.”
“Dah kau memang psiko! Perangai kau lagi teruk jika dibandingkan dengan Ali Setan!”
“Oh, sebab tu kau set nama aku ‘Ali Setan’ kat handpone kau, kan?”
“Mana kau tahu?!”
“Aku pasang spy.”
Dia menjeling tajam. Memang padan sangat kau dengan Ali Setan. Dua-dua setan! Dhea melangkah ke sinki lalu mengambil cawan untuk membuat nescafe.
“Buatkan untuk aku satu.”
“Tak ada masa! Buat sendiri!”
“Sombong betul kau ni, kan? Oh, ya! By the way, air yang kau minum hari tu makin best bila aku pulak yang minumnya.”
Dhea mengetap bibir geram sambil melemparkan jelingan tajam kepada lelaki di sebelahnya. Macamlah aku tak faham maksud dia tu! “Kau ni memang psiko, kan?”
Hisy, tak baik mengata aku macam tu!”
Cawan yang sudah siap berisi nescafe 3 in 1 itu dikacaunya dengan sudu. Baru sahaja dia ingin mengambil cawan itu, tiba-tiba ada tangan lain yang mendahului tangannya.
Thanks! Aku blah dulu.” Dengan selamba dia mencapai cawan itu lalu berlalu meninggalkan Dhea.
Eee… geramnya!! Macam manalah aku boleh kerja satu bumbung dengan mamat gila tu? Sabar ajelah Dhea, oi!


“HAI, Dhea!”
Kepalanya ditoleh sekilas apabila mendengar suara yang dikenalinya. Tidak jadi melangkah masuk ke kereta, dia mengukirkan senyuman lalu menyapa gadis di hadapannya. “Hai, Zaira!”
“Aku nak jemput kau datang rumah aku esok.”
“Esok? Ada apa kat rumah kau?”
“Kau tak tahu? Aku nak bertunang dengan Amir. Takkanlah Amir tak bagitahu kau. Korang berdua kan kawan baik sejak sekolah lagi.”
Terkejut! Hancur berderai hatinya. Pa’an… sampai hati kau! Sikit pun kau tak bagitahu aku. Pa’an, aku tak faham! Jadi, memang selama ini kau cuma anggap aku sebagai kawan aje ke? Ucapan sayang kau tu cuma mainan? Tapi aku ambil serius, Pa’an. Aku sukakan kau. Atau lebih tepat, aku cintakan kau!
“Datang ya? Amir pun harap kau datang. Dia kirim salam kat kau.”
Dhea mengukirkan senyuman hambar sambil mengangguk kepala. “InsyaAllah.”


“KENAPA kau buat aku macam ni, Pa’an?” Soalan yang dipendamnya sekian lama akhirnya terluah juga. Tahukah Pa’an yang hatinya hancur seperti kaca berderai?
“Aku… Aku minta maaf Dhea. Aku minta maaf kalau selama ni aku dah bagi kau harapan.”
“Ya, memang kau dah bagi aku harapan palsu. Aku dah lama sukakan kau. Aku dah lama jatuh hati kat kau. Tapi akhirnya, aku yang terluka sendiri.”
“Dhea… Aku minta maaf. Mula-mula memang aku sayangkan kau. Aku juga rasa yang aku cintakan kau. Tapi aku tak tahu sejak bila Zaira bertakhta di hati aku menggantikan tempat kau, Dhea. Dan sekarang aku yakin, aku cintakan Zaira. Bukan kau.”
Dhea tersenyum hambar. Mudahnya ucapan seperti itu dituturkan daripada seulas bibir seseorang yang bernama lelaki. Tapi bagi seorang perempuan, jika sekali cinta pasti untuk selamanya. Pa’an, aku tak tahu macam mana aku nak kikis perasaan aku pada kau.
“Dhea… please jangan diam macam ni. Cakaplah sesuatu.”
Masih diam. Dia bimbang, jika dia bercakap lagi, pasti air matanya akan mengalir di hadapan lelaki ini. Sedaya upaya dia cuba memujuk hati supaya tidak menangis.
“Dhea… aku jatuh cinta pada Zaira sebab dia selalu dekat dengan aku. Dia selalu ambil berat pasal aku. Dia baik, dan dia sayangkan aku. Jadi, aku dah jatuh cinta pada dia.”
Sekali lagi Dhea tersenyum hambar. “Tak apalah, Pa’an. Aku faham. Aku terima semua ni sebagai takdir Allah. Yang dah tersurat dan tersirat sejak azali lagi takkan mampu dilawan.”
“Dhea… aku minta maaf.”
“Aku maafkan kau.”
“Semudah itu?”
“Habis tu? Kau nak macam mana lagi?” Kali ini suaranya agak meninggi. Dia dah cuba sabarkan hatinya. Tetapi soalan demi soalan daripada lelaki itu membuatkan dia rasa semakin sakit. Sakit sangat dalam dada ni!
Errthanks, Dhea.”
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, hanya air mata yang menemaninya. Laju menuruni lekuk pipinya seperti hujan. Kecewa menghambat jiwa. Hanya Tuhan sahaja yang tahu sakitnya perasaan apabila dilukai oleh orang yang kita sayang. 


“ASSALAMUALIKUM, Kak Su. Dhea mana?”
“Amboi, Zul? Baru dua hari Dhea mc, Zul dah rindu dia ke? Setiap jam datang tanya Dhea?” usik Kak Su sambil tersengih-sengih.
Err… Zul memang rindu dialah, Kak Su. Nak datang melawat kat rumah dia, takut makin bertambah demamnya sebab terkejut. Kak Su ada melawat dia ke?”
Hmmm… Ada! Teruk jugak demam dia, Zul. Demam terkejut kot.”
“Terkejut? Kenapa pulak?”
“Buah hati dia nak bertunang dengan kawan satu sekolah dia. Kak Su kesian betul tengok Dhea. Bengkak muka dia sebab menangis hari-hari.”
“Kak Su… Macam mana kalau Zul datang melawat di rumah dia?”
“Tak payahlah, Zul. Kak Su bimbang demam Dhea bertambah teruk nanti. Petang ni Kak Su nak melawat dia. Nanti Kak Su kirimkan salam Zul pada Dhea.”
“Terima kasih, Kak Su.”
“Kalau suka, kenapa tak luahkan aje, Zul?” Kak Su sengaja ingin mengorek rahsia Zul. Manalah tahu, Zul nak bercerita dengannya.
“Tak boleh nak luahkan. Lagipun, Dhea dah ada buah hati.”
“Habis tu? Yang Zul asyik menyakat Dhea, kenapa? Kesian Kak Su tengok dia.”
Zul Huzaimi tersenyum lebar. “Cuma itu sahaja cara untuk buat Dhea rindukan saya, Kak Su. Setiap hari saya akan usik Dhea. Sebab saya tahu, setiap hari Dhea akan fikirkan tentang usikan saya tu. Sekurang-kurangnya nama saya ada juga dalam hati Dhea.”
“Nampaknya Zul memang betul-betul sukakan Dhea, kan?”
Kepalanya diangguk perlahan. Kalau Kak Su nak tahu, dialah perempuan yang selalu hadir dalam istikharah saya. Saya cuba untuk tidak percaya. Tetapi semakin hari, semakin hati saya rasa dekat dengan dia. Semakin hari, saya semakin sukakan Dhea.


“ZUL… Aku nak jumpa kau boleh?”
Dia mengukirkan senyuman lebar. Satu keajaiban yang tidak pernah berlaku di dalam hidupnya. “Wow, what’s the surprise? Tak pernah pun kau call aku. Tiba-tiba call dan cakap nak jumpa. Kecil tapak tangan, kapal titanic aku tadahkan.”
“Aku serius ni!” Nada suaranya benar-benar menunjukkan yang bicaranya serius. Bukan main-main.
“Okey! Sekarang ke?”
“Masa rehat nanti kau ada kat pejabat, kan? Aku tunggu kau kat taman belakang bangunan ni.”
“Okey!”


“AKU nak kahwin dengan kau.”
Sebaris ayat itu benar-benar membuatkan dia terngadah. Terkejut! Aku tak salah dengar, kan? “What?! Butwhy? Kenapa tiba-tiba aje?”
“Aku tahu kau sukakan aku. Jadi, aku nak kahwin dengan kau.”
Terlopong mulutnya! Masih tidak percaya dengan apa baru sahaja didengarinya daripada mulut Dhea sendiri. “Aku tak faham! Kenapa tiba-tiba kau jadi macam ni? Takkanlah sebab kau dah tahu yang aku sukakan kau, kau ambil keputusan nak kahwin dengan aku?”
“Ya, memang sebab tu!”
“Tapi aku juga tahu yang kau dah ada pilihan hati kau sendiri.”
“Ya, memang pernah ada. Tapi aku bertepuk sebelah tangan. Dia dah ada orang lain.”
“Jadi, apa kaitannya dengan kau nak kahwin dengan aku secara tiba-tiba macam ni?”
“Sebab… hati aku sakit bila dapat tahu diorang nak bertunang. Jadi, aku nak tunjukkan pada diorang yang aku juga dah ada pilihan hati aku sendiri. Bukannya terus menunggu dan mengharapkan dia seorang sahaja.” Kali ini suaranya berubah sebak. Rasa nak menangis lagi.
Keluhan kecil dilepaskan. Sedih hatinya melihat Dhea sedih sebegitu. “Dhea… Jujur aku cakap yang selama ni memang aku sukakan kau. Sebab tu aku selalu cari pasal dengan kau. Sebab tu aku suka sangat sakitkan hati kau. Tapi aku tak nak kau terima aku sebab kekecewaan hati kau. Itu namanya tak ikhlas, Dhea.”
“Tapi aku ikhlas nak kahwin dengan kau. Memilih orang yang sayangkan kita adalah lebih baik daripada memilih orang yang kita sayang. Orang yang kita sayang belum tentu mampu sayangkan kita seperti kita sayangkan dia. Orang yang sayangkan kita, kita dah tahu yang orang tu memang betul-betul sayangkan kita. Betul tak, Zul?”
Keluhan berat dilepaskan. Ya, dia tahu tentang itu. Dia juga bersetuju dengan kata-kata Dhea itu. “Tapi… Aku takut kau akan menyesal, Dhea. Aku ni jahat. Perangai buruk macam Ali Setan. Selalu sakitkan hati kau. Selalu buat hati kau tak senang. Selalu…”
“Kau baik, Zul. Kau buat semua tu sebab nak tarik perhatian aku aje. Aku dah lama tahu pasal tu. Sebelum aku tanya Kak Su lagi. Bunga-bunga tu semua yang yang hadiahkan pada aku. Hadiah tu semua pun kau yang hadiahkan pada aku.”
Zul Huzaimi meneguk liur perlahan. Nampaknya, Kak Su sudah memecahkan rahsianya kepada Dhea! Mahu malu seribu tahun ni! “Dhea… aku…”
“Zul… Aku tak harapkan jawapan kau sekarang. Kau ambillah seberapa banyak masa untuk fikir. Aku akan tunggu jawapan kau.” Dhea pantas menyampuk. Jujur, dia takut untuk mendengar alasan lelaki itu lagi.
Zul Huzaimi merenung sepasang anak mata Dhea. Dia nampak keikhlasan kata-kata gadis itu. Dhea, aku tahu kau ikhlas. Tapi aku takut kalau aku terima kau, kau akan lebih terluka sebab kau sayangkan dia.
“Zul… aku nak ucapkan terima kasih pada kau.”
“Untuk?”
“Sebab kau sudi sayangkan aku dan cintakan aku dalam diam.”
Zul terdiam lama. Tak sangka dengan patah kata yang menyapa telinganya. Jujur, hatinya berbunga senang walaupun patah kata itu cuma ucapan terima kasih.


“DHEA… jangan macam ni. Sejak Dhea jumpa Pa’an hari tu, mak nampak Dhea makin kurus. Jangan ikutkan hati sangat Dhea.”
Seminggu Dhea demam selepas tahu Amir Farhan nak bertunang dengan Zaira. Sedihnya terbawa-bawa. Sampai ditahan di wad beberapa hari.
“Mak… Dhea cintakan dia. Dhea tak sanggup tengok dia kahwin dengan orang lain. Dalam hati Dhea, cuma ada dia. Cuma dia seorang sahaja.”
“Dhea… jangan macam ni, ya? Mungkin Dhea berjodoh dengan lelaki yang lebih baik berbanding dia?”
Ketukan di muka pintu rumah membuatkan Dhea dan emaknya saling berpandangan.
“Pergilah buka pintu. Ayah balik kot.”
“Ala, malaslah! Mak tolonglah.”
“Dhea… mak tengah masak ni!” Puan Diana sudah mencekak pinggang. Hisy, anak siapalah yang pemalas sangat ni?!
“Iyalah! Iyalah!” Malas-malas kakinya diatur ke muka pintu. Terkejut apabila melihat sekujur tubuh yang berdiri sambil tersenyum di depan pintu rumahnya.
“Assalamualaikum, Dhea. Maaf ya, aku mengganggu kau pagi-pagi macam ni.”
“Eh, taklah! Masuklah.”
“Aku datang sekejap aje, Dhea. Nah, untuk kau! Aku harap kau boleh hadir ke majlis kami nanti, ya?”
Ucapan itu membuat tubuhnya bergetar. Lambat-lambat, tangan yang bergetar itu menyambut huluran tangan Zaira. Kad undangan perkahwinan. “InsyaAllah.”
“Kalau macam tu, aku minta diri dulu. Assalamualaikum.”
“Dhea? Siapa yang datang?” laung emak dari dapur.
Dhea diam. Suaranya termati untuk menuturkan patah kata. Kakinya juga masih kaku ditempat dia berdiri. Tangan yang menggeletar itu membuka sampul kad undangan perkahwinan di tangan. Berkaca kolam matanya apabila melihat patah nama yang tertera.
“Dhea? Kenapa sayang?” Terkejut Puan Diana apabila melihat Dhea yang sudah terduduk sambil menangis teresak-esak di muka pintu rumah.
Dhea tidak menjawab. Kakinya terus dilangkah ke dalam rumah lalu mengambil kunci kereta. Tudung Fareeda dicapai lalu disarungkan ke kepala.
“Dhea… Nak ke mana?”
“Dhea keluar sekejap ya, mak?”
Pelik! Sungguh pelik dia melihat perangai Dhea yang berubah tiba-tiba. Baru sahaja dia ingin melangkah ke dapur, anak matanya terpandangkan satu kad undangan perkahwinan. Laju tangannya mencapai kad itu lalu membacanya.
Amir Farhan dan Nur Zaira Liyana?
Ya Allah… Patutlah Dhea menangis teresak-esak tadi! Risau hatinya kerana membiarkan Dhea pergi. Ke mana? Dia juga tidak tahu! Harap Dhea baik-baik sahaja.


“DHEA… makan ubat dulu.” Sedih hatinya melihat keadaan Dhea. Selepas Dhea excident, keadaan Dhea makin bertambah teruk. Penyakit muramnya semakin menjadi-jadi. Apatah lagi apabila diberitahu yang Dhea mungkin akan lumpuh akibat kemalangan itu.
Hati mana yang tak terusik? Dhea kemalangan selepas menerima kad undangan majlis perkahwinan Amir Farhan dan Zaira. Mungkin kerana emosinya yang tidak stabil, dia tidak mampu menumpukan perhatian kepada pemanduannya.
Geleng.
“Dhea… Jangan macam ni. Aku tahu kau kecewa. Tapi aku juga akan rasa sakit kalau kau sakit macam ni, Dhea. Kau tahu kan yang aku sayangkan kau?” Jujur, dia memang risaukan gadis ini. Sejak Dhea sedar, gadis itu selalu menangis. Makan pun tak mahu.
Menangis lagi.
Tangannya menyapu air mata di pipi Dhea. Senyuman kecil dihulurkan. “Menangislah kalau itu yang boleh buat hati kau lega. Dan aku nak kau tahu, yang aku akan sentiasa berada di sisi kau di saat kau senang atau susah. Aku pun nak kau ingat, yang aku sayangkan kau lebih dari segalanya.”
Dhea menyembamkan mukanya ke bahu Zul Huzaimi. Tangisan dihemburkan semahunya. “Aku… Aku dah tak boleh berjalan, kan?”
“Dhea…”
“Doktor cakap, mungkin aku akan lumpuh, kan?”
“Dhea… Itu semua ujian Allah. Dan doktor juga cakap, kalau kau kuat kau akan boleh berjalan semula. Aku nak kau kuat, Dhea. Banyak-banyakkan bersabar.”
“Kalau aku lumpuh seumur hidup, kau masih nak berkawan dengan aku, Zul? Kau masih sudi nak sayangkan aku macam dulu?”
“Aku akan sentiasa sayangkan kau, Dhea. Apa juga keadaan kau, aku akan sentiasa ada di sisi kau. Dhea… Kau pernah bagitahu aku yang kau nak ke majlis dia, kan? Jadi, aku nak kau kuatkan diri untuk berjalan semula. Tabahkan hati kau, Dhea. Aku yakin kau boleh berjalan semula suatu hari nanti.”


“ASSALAMUALAIKUM.”
Suara memberi salam di muka pintu membuatkan dia menoleh. Senyuman dihulurkan kepada lelaki itu. Dia baru sahaja mengenali lelaki itu seminggu. Tetapi dia sudah dapat mengagak yang lelaki itu sukakan Dhea.
“Waalaikumussalam. Masuklah.”
“Mak cik sihat? Dhea macam mana hari ini?”
Seraut wajah lelaki itu ditatapnya sekejap. Inilah Zul Huzaimi yang selalu Dhea cerita. Inilah Zul Huzaimi yang selalu risaukan Dhea. Inilah Zul Huzaimi yang mendermakan darah dan menjaga Dhea sepanjang Dhea berada di hospital ini.
Selepas tahu Dhea kemalangan, Puan Diana terus ke hospital bersama suaminya. Dia tidak terfikir langsung untuk menghubungi kawan-kawan Dhea. Cuma, lelaki yang bernama Zul Huzaimi ini kerap menelefon anaknya. Seawalnya dia tidak tahu nama lelaki ini Zul Huzaimi kerana yang tertera pada skrin telefon anaknya adalah ‘Ali Setan’.
“Hello? Ali Setan ke?”
Terkejut Zul Huzaimi mendengar suara lain yang menyebut namanya sebagai ‘Ali Setan’. “Err… Assalamualikum. Ni mak Dhea ke? Nama saya Zul. Zul Huzaimi. Bukan Ali Setan.”
Pada ketika itu, barulah dia tahu yang lelaki ini bukan bernama Ali Setan. Tetapi bernama Zul Huzaimi.
“Mak cik sihat. Dhea pun nampak okey hari ni. Nasib baik Zul datang. Mak cik ingat nak balik sekejap. Bolehlah Zul tolong tengok-tengokkan Dhea, ya?”
“Boleh mak cik. Mak cik balik lama pun tak apa. Saya akan jaga Dhea.”
Seraut wajah itu dipandangnya lama. Umi dah kenal Dhea. Dan umi juga dah berkenan dengan Dhea walaupun sekadar memandang seraut wajah yang terlantar di atas katil hospital ini. Perbualan antara dia dan uminya tadi membuatkan bibirnya menguntum senyum. Terima kasih umi, sebab redhakan Zul.
“Jadi, inilah gadis dalam istikharah Zul?”
Bibirnya menguntum senyuman sambil mengangguk perlahan. Tubuhnya masih lemah akibat mendermakan dua botol darah untuk Dhea. “Macam mana umi tahu?”
Puan Mawar menguntumkan senyuman. “Umi tahu, Zul. Cara Zul pandang dia dan cara Zul jaga dia menunjukkan Zul cintakan dia. Umi nampak.”
“Apa pendapat umi tentang Dhea?”
“Jika Dhea adalah petunjuk Allah dalam istikharah Zul, sudah pastinya Dhea adalah jodoh yang terbaik untuk Zul. Walaupun umi tak kenal hati budi Dhea dan hanya dengan memandang wajahnya, umi yakin dia adalah calon yang terbaik untuk Zul. Cuma, umi harap Zul jangan terlalu berharap. Umi bimbang Dhea tiada cinta untuk diberikan kepada Zul.”
“Zul tahu, umi. Walaupun Dhea dah tak nak Zul lagi selepas ni, Zul akan redhakan. Sekurang-kurangnya Zul dah dapat kenal dia. Itu sudah memadai untuk Zul.”
Puan Mawar tersenyum lagi. “Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik, Zul. Umi yakin, dia adalah jodoh Zul.”
Jika Tuhan mengizinkan, sudah pasti dia akan menjadi makmum untuk Zul, umi.


DIA terjaga daripada lena apabila terasa sesuatu yang berat menindih lengannya. Rasa kebas. Dhea membuka kelopak matanya perlahan. Anak matanya beralih memandang lengannya. Rupa-rupanya, kepala seseorang telah menindih lengannya.
Zul Huzaimi.
Dhea mengukirkan senyuman kecil. Sebelum ini, dialah lelaki yang paling aku benci. Sebelum ini, dialah lelaki yang selalu aku gelar dengan perkataan Ali Setan, gila dan psiko. Tetapi, mamat psiko inilah yang selalu ada di sisi aku. Lelaki yang aku benci inilah yang selalu menjaga dan melindungi aku sepanjang aku terlantar di sini.
Nafas leganya berubah kepada nafas sedih apabila teringatkan Amir Farhan. Lelaki yang dicintainya separuh mati. Dia kemalangan kerana tertekan dengan pemberian kad undangan perkahwinan oleh Zaira. Anak matanya dapat melihat dengan jelas nama yang tertera pada kad itu. Nur Zaira Liyana dan Amir Farhan. Hatinya dirundum perasaan sedih yang tidak terhingga. Tanpa sedar, kereta yang dipandunya bertembung dengan kereta lain. Kemalangan ini hampir-hampir menyebabkan dia cacat.
 Zul Huzaimi… Selain ayahnya, cuma Zul Huzaimi seorang sahaja lelaki yang menjaganya sepanjang dia berada di hospital ini. Lelaki itu sanggup bersusah payah untuknya. Lelaki itu yang mendermakan banyak darah untuknya. Lelaki itu yang sanggup bersekang mata kerananya. Lelaki itu sanggup menjaga dan melindunginya dalam apa jua keadaan.
Kenapa Zul Huzaimi? Kenapa bukan Amir Farhan? Sebab Amir Farhan sudah bahagia menanti hari-hari bahagianya. Sebab Amir Farhan sudah ada seorang perempuan untuk dilindungi dan dijaga. Juga untuk dikasihi dan disayangi.
Pa’an… Aku terima semuanya dengan hati yang ikhlas. Aku redhakan pilihan kau. Sebab aku bukan sesiapa untuk kau. Kau bukanlah jodoh yang ditetapkan Allah untuk aku.
Zul Huzaimi terjaga apabila terasa kepalanya bergerak-gerak. Pantas dia bingkas bangun apabila melihat Dhea sudah terjaga dan memandangnya. “Kau okey? Nak apa-apa tak? Nak air?”
Dhea mengukirkan senyuman kecil sambil menggelengkan kepalanya perlahan. Kepalanya terasa masih sakit dan masih berbalut kemas. “Tangan…”
Terkejut Zul Huzaimi apabila melihat tangan yang sudah berbekas dan kemerah-merahan itu. Aku tidur atas tangan dia? Betul ke? “Errsorry. Tertidur tadi.”
“Tak apa. Terima kasih sebab sudi jaga aku.” Tangan kanannya yang masih terasa kebas itu digengam dan dibuka beberapa kali. Rasa sakit. Tetapi tidak mengapa. Asalkan lelaki yang menjaganya itu selesa.
“Aku buat kau terjaga ke?” soalnya dengan riak bersalah.
“Taklah. Aku memang dah lama tidur. Sejak masuk hospital ni, makan tidur aje kerja aku. Bosan betul!”
“Tapi tak gemuk jugak, kan? How are you today? Rasa sihat sikit?”
Hmmm, rasa lebih sihat sebab kau jaga aku dengan baik sekali. Terima kasih.”
Zul Huzaimi mengukirkan senyuman. Aku akan sentiasa jaga kau, Dhea. Kalau boleh, aku nak jaga kau seumur hidup aku. Sampai hujung nyawa!
“Zul… Boleh tak kau bawak aku berjalan belakang hospital ni?”
“Tapi kau larat ke?” Dhea selalu membuat permintaan itu. Dan sungguh, dia benar-benar risaukan kesihatan Dhea. Melihat Dhea menanggung sakit akibat memaksa diri untuk berjalan, hatinya juga turut terasa sakitnya.
“Tak larat sangat. Tapi kau kan ada. Kalau aku jatuh, kau akan tolong, kan?”
Dia mengukirkan senyuman. Lambat-lambat, kepalanya diangguk juga. “Tapi aku risaukan kau, Dhea. Aku takut kau cedera lagi.”
“Zul… Aku nak berjalan. Dan aku nak hadir majlis diorang.”
“Aku tak yakin kau kuat untuk berhadapan dengan mereka, Dhea.”
“Kau percayakan aku, kan? Aku tak nak kelihatan lemah di mata Pa’an. Aku nak kelihatan kuat. Jadi, kau kena tolong aku. Aku nak cepat sembuh. Dan aku nak cepat-cepat boleh berjalan. Kau temankan aku ke majlis diorang ya?”
Angguk lagi. “Kan aku pernah cakap yang aku akan sentiasa ada di sisi kau? Aku nak kau jadi kekasih aku untuk selama-lamanya.”
Thanks, Zul. Dan aku nak kau tahu, aku dah tak benci kau lagi. Aku dah mula sukakan kebaikan kau pada aku.”
Thanks, Dhea. Aku harap kau akan sukakan aku lebih. Aku harap kau akan jadi kekasih aku untuk selama-lamanya.”
Dhea ketawa perlahan. “Tamaklah kau ni!”
Biar tamak, Dhea. Asalkan aku dapat tengok kau ketawa. Itu sudah memadai bagi aku.


SERAUT wajah itu ditatapnya lama. Jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia tidak yakin untuk melepaskan gadis itu pergi bersendirian. Dia benar-benar risaukan Dhea. Dhea… aku tak nak kau terluka lagi kerana dia.
Berkali-kali dia melarang Dhea menghadiri majlis perkahwinan ini. Tetapi berkali-kali juga Dhea berkeras untuk menghadirkan diri.
“Kau dah sedia, Dhea?” soalnya walaupun ragu-ragu. Aku harap kau kuat. Aku harap kau terus bertahan untuk tidak menunjukkan kelemahan kau.
Bibirnya menguntumkan senyuman. Siapa sangka, lelaki gila, mamat psiko yang selalu dikutuknya dulu adalah lelaki yang sangat banyak berjasa kepadanya. Lelaki ini juga yang menjaganya siang dan malam. Terima kasih, Zul. “InsyaAllah, Zul. Doakan aku, ya?”
Jangan risau, aku akan sentiasa doakan kau, Dhea. Walaupun tidak kau minta, aku tetap akan mendoakan kau. “Dhea…”
Hmmm?”
“Aku nak kau tahu yang aku akan sentiasa ada di sisi kau. Kalau kau rasa tak kuat, kau boleh bersandar pada aku. Kalau kau rasa lemah, aku akan pimpin kau. Kalau kau rasa sedih, aku boleh pinjamkan hati aku untuk kau.”
Dhea senyum. Sungguh, dia terharu dengan ucapan itu. Dia faham apa yang ingin disampaikan kepadanya. Zul… kau adalah lelaki gila yang paling baik pernah aku temui. Mamat psiko yang sentiasa ada di sisi aku, dan sentiasa melindungi aku. Aku tahu semua tu.
Zul Huzaimi membalas senyuman itu. “Aku tunggu kat sini. Apa pun yang berlaku, kau datang ke sini ya? Kalau kau tak larat nak berdiri, call aku. Aku akan datang ambil kau.”
“Terima kasih, Zul.”
“Sama-sama.”
Perlahan langkah kaki yang terhinjut-hinjut itu menghampiri pengantin lelaki. Dia sudah berusaha keras untuk menghadiri majlis ini. Dan dia perlu berjumpa lelaki itu untuk menunjukkan yang dirinya tidak selemah yang disangkakan.
“Hai, Pa’an!”
Amir Farhan berpaling apabila mendengar suara yang amat dikenalinya. Seraut wajah itu dipandangnya lama. Tak percaya!. Tetapi itulah kenyataannya. Dhea dah boleh berjalan? Bukan ke doktor pernah bagitahu yang Dhea mungkin tak boleh berjalan lagi? “Dhea?”
“Ya, aku. Tahniah untuk kau dan Zaira. Aku bawakan hadiah untuk kau. Nah!”
“Dhea aku…” Suaranya tersekat-sekat. Jujur dia memang kesiankan Dhea. Dia langsung tidak melawat Dhea di hospital setelah Dhea kemalangan.. Dia bimbang, hatinya akan berubah kerana kesiankan Dhea.
Bila Dhea disahkan lumpuh, dalam hatinya turut mendoakan semoga Dhea tidak akan dapat berjalan untuk selamanya. Kenapa? Sebab dia tidak mahu Dhea berharap kepadanya lagi. Kerana cintanya cuma satu. Cuma Zaira seorang!
“Ikut aku!” Tangannya menarik tangan Dhea supaya mengekor langkahnya.
Terkejut dengan tarikan itu, Dhea terpaksa melangkah. Kakinya terasa sakit akibat dipaksa berjalan dengan pantas. Walau sakit macam mana sekalipun, dia bertahan untuk mengekor langkah kaki lelaki yang sedang mengheretnya itu. “Pa’an, kenapa ni?”
Tangan itu dilepaskan kasar sehingga tubuh Dhea tercampak ke dinding berhampiran.
Jujur, Dhea tidak mampu mengimbang badannya kerana kakinya yang tidak mampu berdiri dengan baik. Laju kepalanya diangkat memandang lelaki itu. Dia tahu aku masih belum sembuh sepenuhnya, kan? Kenapa dia buat aku macam ni?
“Kenapa kau datang ke sini? Aku tak jemput kau pun!”
Suara lantang itu memenuhi corong telinganya. “Tapi Zaira yang jemput aku. Tak salah kalau aku datang ke majlis kahwin kawan baik aku, kan?”
“Aku nak kau dengar sini baik-baik. Mulai saat ini, aku tak ada kawan baik yang bernama Dhea lagi. Dan aku tak nak perempuan yang bernama Dhea itu muncul depan mata aku dan isteri aku lagi! Faham?!”
Dhea mengetap bibir perlahan. Jujur, kakinya terasa lemah untuk berdiri. Jujur, dia terasa mahu terjatuh di situ juga. “Kenapa, Pa’an? Kenapa kau buat aku macam ni?”
“Sebab kau bakal memusnahkan rumah tangga aku dan Zaira!”
“Aku langsung tak ada niat nak buat macam tu.”
“Memang! Tapi Zaira dah tahu tentang hubungan aku dan kau beberapa hari sebelum kami kahwin. Kalau bukan kau yang bagitahu dia, siapa lagi? Kau bakal memusnahkan hubungan kami berdua! Aku benci kau, Dhea!”
Terkejut Dhea mendengar suara lantang itu. “Pa’an, aku tak pernah bagitahu Zaira tentang hubungan kita dulu. Lagipun, hubungan itu cuma hubungan sebagai kawan baik. Sama ada kau ataupun aku, masing-masing tak pernah menyuarakan isi hati masing-masing.”
“Tapi kau pernah menyuarakannya sebelum majlis pertunangan aku.”
“Ya, tapi masa tu dah terlambat. Kau dah nak bertunang dengan Zaira. Dan kau akan jadi milik Zaira. Aku meluahkan semuanya masa tu sebab aku nak kau tahu apa yang ada dalam hati aku. Aku nak kau tahu yang kau dah bagi aku harapan pada aku dan kau juga yang memusnahkan harapan itu.”
“Kenapa kau tak mati aje masa excident tu?”
Soalan itu benar-benar menghancur luluhkan hatinya. Pa’an harap aku mati masa tu? “Apa kau cakap ni, Pa’an? Sampai hati kau mendoakan aku mati.” Air yang yang terasa hangat di kelopak mata cuba ditahan supaya tidak menitis. Jujur, hatinya benar-benar terasa hati dengan setiap patah kata lelaki itu.
“Ya, memang aku mendoakan kau mati. Supaya kau tak ganggu hubungan aku dan Zaira. Aku mendoakan supaya kau lumpuh seumur hidup. Supaya kau tak akan mampu untuk jumpa aku ataupun Zaira lagi. Aku tak sangka kau boleh jadi kuat macam ni. Kau kuat semangat sebab nak rampas aku daripada Zaira, kan? Dan aku mengharapkan setiap kata-kata aku ini akan melumpuhkan kaki kau semula. Biar kau tak mampu berjalan untuk seumur hidup kau lagi!”
Hati menangis hebat. Sampai hati dia mendoakan keburukan untuk aku. Inikah lelaki yang pernah aku suka dulu? Inikah lelaki yang aku pernah sayang? Inikah lelaki yang pernah aku cinta itu?
“Terima kasih, Pa’an. Sebab mendoakan yang buruk-buruk untuk aku. Untuk pengetahuan kau, aku kuat semangat dan mampu berdiri macam ni bukan sebab kau Pa’an. Tetapi sebab seorang lelaki yang jujur dan ikhlas mencintai aku. Seorang lelaki yang bernama Zul Huzaimi. Bukan Amir Farhan!”
Terkejut bukan main apabila mendengar sepatah nama itu. Siapa Zul Huzaimi? Pelakon? Penyanyi? Peguam? Doktor? Hebat sangatkah lelaki yang bernama Zul Huzaimi itu?
“Dan untuk pengetahuan kau, aku tak pernah menyesal bila kau pilih Zaira. Disebabkan kau memilih Zaira, hati aku terbuka untuk menerima seorang lelaki yang betul-betul sayangkan aku.” Sedikit bergetar suaranya menahan perasaan sedih.
“Pa’an, terima kasih untuk persahabatan kita selama ini. Di hari bahagia kau ni, aku mendoakan semoga kau dan Zaira akan bahagia hingga ke akhir hayat. Aku mendoakan semoga kau mendapat anak yang soleh dan solehah. Aku pergi dulu.”
Sempat dia mengukirkan senyuman ikhlas sebelum mengatur langkah yang terhinjut-hinjut akibat rasa sakit pada lulut dan pergelangan kakinya. Pa’an, terima kasih juga dengan setiap kesakitan yang pernah kau berikan. Sekurang-kurangnya semua itu mengajar aku erti ikhlas dan jujur.


“DHEA!”
Cepat sahaja dia mengatur langkah lalu menyambut tubuh yang kian tumbang itu. Terasa lega di dalam hatinya apabila dia dapat menyambut tubuh yang nampak begitu lemah. “Dhea… Kenapa ni? Kenapa kau macam ni?”
Perlahan kelopak matanya dibuka. Sebaik sahaja kelopak matanya dibuka, dia terpandangkan seraut wajah yang banyak memberi semangat kepadanya sehingga dia mampu berdiri lagi di muka bumi Allah ini.
Tanpa sedar, bibirnya mengukirkan senyuman sambil air matanya menitis satu persatu. “Zul… Kenapa Allah tak ambil aje nyawa aku masa aku kemalangan hari tu?”
“Ya Allah, Dhea! Apa yang kau cakap ini? Sepatutnya kau bersyukur kerana Allah masih belum mengambil nyawa kau. Skeurang-kurangnya kau boleh menambahkan amal ibadat kepadaNya sepanjang hidup kau.”
“Aku benci dia, Zul! Dia jahat! Dia mendoakan supaya aku mati masa kemalangan itu.”
Astaghfirullahalazim! Dia beristighfar panjang di dalam hati. Sanggup Amir Farhan sanggup mendoakan macam tu? “Dhea… bangunlah! Kau perlu kuat. Walau macam mana pun kau benci dia, kau perlu kuat. Buktikan kepada dia yang kau mampu hidup tanpa dia.”
Bibirnya tersenyum lagi. “Zul… terima kasih. Kalau bukan sebab kau, aku tak akan mampu berdiri lagi. Aku tak akan mampu berjalan ke rumah dia dan aku tak akan mampu mendengar luahan hatinya yang sebenar-benarnya.”
“Berterima kasihlah kepada Allah. Bukan aku yang menyembuhkan kaki kau. Tapi semua yang berlaku itu adalah dengan izin Allah. Ucaplah syukur kepadaNya. Kerana dialah yang menentukan ajal maut dan jodoh pertemuan.”
Sepasang anak mata itu ditatap lagi. Makin lebar senyumannya. Sebenarnya inilah yang dia cari. Seorang lelaki yang mampu menunjuk ajarnya tentang keimanan kepada Allah s.w.t. Zul… aku rasa, kau adalah jodoh aku yang sebenarnya.
“Zul… Kita kahwin, ya?”
Bibirnya mengukirkan senyuman apabila mendengar soalan itu. Dhea… Gadis itu memang susah untuk didekati. Tetapi dia akan mempertahankan cintanya walau apa juga keadaan. Bila cintanya telah mengecewakan hatinya, dia memilih mamat psiko ini. “Kau tak kisah kahwin dengan mamat psiko macam aku?”
Dhea melepaskan tawa kecil. “Walaupun kau psiko, tapi hati kau baik. Seorang calon suaminya yang mempunyai ciri-ciri yang aku idamkan. Bakal imam yang akan menyempurnakan hidup seorang Dhea.”
“Macam mana dengan perasaan kau kepada Amir Farhan?”
Sepasang anak mata redup itu dipandangnya bersama senyuman di bibir. “Perasaan cinta aku untuk dia telah mati sebaik sahaja dia melafazkan akad nikahnya dengan seorang Nur Zaira Liyana. Perasaan cinta itu semakin padam dengan kehadiran seorang Zul Huzaimi yang hari demi hari mengusik hati seorang Dhea. Terima kasih. Sebab sudi hadir dalam hidup Dhea. Terima kasih kerana sudi mencintai seorang Dhea walaupun hanya di dalam diam.”
Kepalanya diangguk perlahan sebelum tersenyum manis. “Terima kasih untuk Dhea juga. Sebab memakbulkan istikharah cinta seorang Zul Huzaimi.”
Berkerut dahinya sekejap. “Tak faham!” Dia memilih untuk berterus-terang.
“Dhea adalah istikharah cinta seorang Zul Huzaimi. Dhea adalah seorang wanita yang selalu disebut dalam doa cinta Zul Huzaimi. Terima kasih kerana sudi memakbulkan doa cinta seorang Zul Huzaimi.”
“Jadi sebenarnya, awak dah lama cintakan saya?”
Dia tersenyum lagi. Bila Dhea membiasa diri dengan panggilan begitu, hatinya berbunga indah. Rasa bahagia datang tanpa dipinta. “Saya dah lama cintakan awak, Dhea.”
“Kenapa awak sukakan saya? Sedangkan selama ini saya selalu menyakiti hati awak.”
“Sebab… awak adalah orang yang selalu hadir dalam istikharah saya.”
Dhea mengerutkan dahi. Masih tak faham.
“Tak percaya, kan? Tetapi percayalah, perempuan yang selalu hadir dalam istikharah saya adalah awak, Dhea. Hanya awak seorang.”


“ASSALAMUALAIKUM, bakal suami Dhea.”
Bibirnya mengukirkan senyuman sebelum menjawab salam yang dihulurkan. “Waalaikumussalam, bakal isteri Zul Huzaimi.”
“Awak…” Serunya perlahan.
Hmmm?”
“Saya nampak awak.”
Dia mengerutkan dahi sambil memusingkan tubuhnya mencari seraut wajah. Aku kat rumah, kan? Macam mana dia boleh nampak aku pulak? Dia datang ke sini? “Awak datang rumah saya ke? Bukan kita dah janji tak akan berjumpa sebelum majlis akad nikah tu?”
Dhea tergelak kecil. “Awak ni, saya akan tepati janji sayalah. Cuma…”
“Cuma?” soalnya ingin tahu. Makin keliru apabila Dhea tidak menyambung bicaranya.
“Saya nampak awak dalam mimpi saya. Dalam istikharah cinta saya.” Dia menyambut ayat yang tergantung sejak tadi.
Zul Huzaimi tersenyum lebar. “Akhirnya awak nampak juga, kan?”
Sebulan yang lalu, dia menyarankan supaya Dhea melakukan solat istikharah. Tetapi jawapan Dhea tetap mengecewakan. Dhea tidak pernah nampak wajah lelaki yang selalu hadir dalam istikharahnya. Dan hari ini, nampaknya Dhea dah nampak siapa pemilik tulang rusuk yang dia pinjam itu.
“Baru malam tadi ke?” soalnya mahukan kepastian.
“Malam tadi adalah malam ke tujuh.”
Are you serious?
Yes, I am!”
“Tapi awak tak pernah bagitahu saya pun?”
“Mak saya cakap, tunggu sampai tujuh hari. Kalau betul awak adalah bakal imam saya, saya akan nampak awak.”
“Alhamdulillah…” Akhirnya Dhea nampak juga siapa pilihan hatinya.
HmmmBut you should thanks to Allah. Sebab dia yang menentukan jodoh kita.”
Syukran, Ya Rabbi. Alhamdulillah,” sambung Zul Hauzaimi cepat-cepat.
“Dhea minta maaf.”
“Sebab?”
“Sebab Dhea lambat nampak awak.”
It’s okey. Lambat atau cepat, itu takdir Allah. So, majlis itu akan diteruskan, kan?”
“Awak ni… kan saya pernah cakap dengan awak. Walaupun saya tak nampak awak dalam istikharah saya, majlis minggu depan akan tetap berlangsung. Walau apa pun terjadi, majlis perkahwinan kita akan diteruskan juga. Faham?”
“Ya, faham! Terima kasih, Dhea. Saya sayang awak, bakal isteriku.”
Hmmm… saya pun sayangkan awak, bakal suamiku.”


ALHAMDULILLAH… Dengan izin Yang Maha Esa Lagi Maha Berkuasa, majlis perkahwinan mereka selamat dilangsungkan.
Selepas melafazkan akad dan Tok Imam mengesahkan perkahwinan mereka, Dhea dan Zul Huzaimi menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum membatalkan air sembahyang.
“Selamat pengantin baru, isteriku,” ucapnya selepas mereka berdua menunaikan solat sunat perkahwinan.
Dhea menguntumkan senyum. “Selamat pengantin baru untuk awak juga, suamiku.”
Tangan dihulurkan kepada isterinya. Dhea pula menyambut huluran tangan itu dengan hati yang berbunga indah. Sepasang tangan lelaki itu diciumnya penuh kasih sayang.
Selepas bersalam, Zul Huzaimi mencium ubun-ubun kepala isterinya. Menitis air mata Dhea kerana terharu. Cincin disarung sebagai tanda. Tujuh dulang hantaran tersusun indah di hadapan pelamin yang serba putih. Semoga Allah s.w.t meredhai perkahwinan ini.
“Tunggu!! Perkahwinan ini perlu dibatalkan!!”
Suara seorang lelaki menjerit di muka pintu membuatkan semua mata yang berada di situ berpaling ke arah pintu.
Bulat mata Dhea memandang seraut wajah itu. Terkejut!
Zul Huzaimi mengerutkan dahi. Namun seraut wajahnya kelihatan tenang dan bersahaja.


“ASSALAMUALAIKUM, sayang.”
Dhea menoleh ke belakang sambil mengukirkan senyuman. Pastinya dia sangat kenal dengan suara itu. “Waalaikumussalam, abang.” Tangan terus dihulur untuk bersalam.
Dia mengukirkan senyuman. Sejak mereka melafazkan akad nikah satu tahun yang lalu, Dhea banyak berubah. Maksud berubah itu bukan kepada keburukan. Tetapi kepada kebaikan.
“Terima kasih Dhea. Sebab sanggup berubah untuk abang.”
“Dhea berubah bukan semata-mata untuk abang. Tetapi kerana Allah juga.”
Itu kata isterinya. Dhea yang hari ini sudah boleh berjalan dengan baik. Tidak lagi terhinjut-hinjut seperti dulu. Dhea yang hari ini semakin bertambah cantik dan sudah boleh digelar sebagai isteri solehah. Sopan santunnya menyentuh tangkai hati suaminya. Kebaikannya semakin menyerlah.
“Anak abah sihat ke?” Dia menundukkan wajah lalu mencium perut isterinya.
Dhea tersenyum sambil mengusap kepala suaminya. “Anak abang ni mestilah sihat. Tengok uminya pula. Dah tembam macam tong drum.”
Dia ketawa kecil. “Tembam macam kapal titanic pun tak apa, sayang. Abang masih sanggup pikul sayang.”
“Larat ke?’
“Dengan izin Allah, pastilah larat.” Sempat dia mencium dahi isterinya sebelum melabuhkan duduk di sisi isterinya.
“Terima kasih sayang, sebab sudi bersusah-payah mengandungkan anak kita.”
“Tak ada susah pun. Selagi abang ada di sisi Dhea, Dhea tak akan rasa susah.” 
Sewaktu awal-awal mengandung, suaminya banyak bersusah-payah kerana alahan yang teruk. Kesian encik suami saya. Dia pulak yang alahan dan mengidam bukan-bukan.  Mengalahkan orang mengandung. Dhea pula cuma muntah pada waktu pagi.
Bila kandungannya sudah menginjak ke lima bulan, dia tidak lagi muntah-muntah. Cuma sesekali rasa sakit belakang. Kesian encik suami. Terpaksa ikut berjaga malam-malam dan membantu puan isteri mengurut pinggang dan kaki.
“Abang… Dhea tak akan pernah lupa jasa abang pada Dhea. Terima kasih, abang.”
“Sama-sama. Abang pun tak akan pernah lupa jasa sayang pada abang. Terima kasih, sayang.” Pipi isterinya diciumnya dengan penuh kasih sayang. “Sayang…”
Hmmm?”
“Ingat tak masa majlis akad nikah kita dulu?”
“Ingat. Dan tak mungkin akan dilupakan.”
“Abang takut sangat, sayang.”
“Kenapa pulak?”
“Abang takut sangat kalau Dhea meluru ke arah Amir Farhan dan peluk Amir Farhan depan semua orang. Sedangkan masa tu kita baru sahaja selesai akad nikah dan membatalkan air sembahyang.”
Dhea ketawa kuat. Macam-macamlah encik suami saya ni. Oh, dulu tak nak mengaku! Sekarang baru nak mengaku, ya? “Abang ni… Banyak sangat tengok cerita pelik-pelik, kan? Sebab tulah abang boleh terfikir macam tu. Dhea percayakan kepada petunjuk Allah. Dan Dhea tak akan berpaling daripada cinta seorang lelaki yang selalu mendoakan kesejahteraan Dhea. Abang adalah lelaki terbaik yang pernah Dhea jumpa. Dan Dhea pernah berjanji pada diri sendiri yang Dhea tak akan pernah mensia-siakan pengorbanan abang. Dhea sayang abang. Hari ini, esok, dan untuk selamanya.”
“Terima kasih, sayang. Abang pun sayangkan Dhea untuk selama-lamanya.”
Pada hari kejadian, Amir Farhan tiba-tiba meluru di muka pintu rumah mereka. Dengan seraut wajah yang tidak terurus dia menyuarakan cinta kepada Dhea di hadapan semua orang.
“Dhea! Pa’an cuma cintakan Dhea seorang saja!”
“Jangan macam ni, Farhan. Ini majlis Dhea. Jangan ganggu majlis dia.” Sempat ayah Dhea mententeramkan Amir Farhan.
“Pak cik… Dhea cuma milik saya seorang! Dia tak boleh kahwin dengan mana-mana lelaki! Dhea cuma akan kahwin dengan saya seorang sahaja.”
“Maaf, Pa’an. Awak dah terlambat. Dhea dah jadi milik seorang lelaki yang sangat mulia hatinya. Dhea dah jadi isteri kepada Zul Huzaimi.” Dhea menyampuk apabila melihat seraut wajah yang kusut masai itu.
“Dhea… Pa’an cuma cintakan Dhea seorang. Pa’an tak cintakan Zaira!” Amir Farhan melulu ke arah Dhea dan bertindak mahu memeluk gadis itu.
“Maaf, Dhea isteri saya. Dan cuma saya seorang sahaja yang boleh sentuh Dhea.”
Semua mata yang memandang terkejut apabila Zul Huzaimi pantas berdiri di hadapan Dhea lalu memeluk tubuh isterinya.
Dhea juga terperanjat amat sangat. Tetapi dia benar-benar bersyukur kerana suaminya sempat menghalang lelaki itu. Melindungi dia daripada disentuh oleh lelaki bukan mahramnya.
“Abang… Dhea lupa nak tanya! Kenapa muka abang time tu tenang sangat? Abang tak takut ke Pa’an ambil Dhea balik?”
“Gila tak takut? Nak pecah dada abang ni tahan rasa takut. Tapi abang percayakan isteri abang. Sebab tu abang nampak tenang. Abang percaya, cinta Dhea tak akan beralih arah dengan mudah.”
“Terima kasih abang. Sebab percayakan Dhea.”
“Terima kasih untuk Dhea juga. Sebab pilih abang untuk menjadi imam Dhea. Semoga cinta kita akan kekal hingga ke Syurga.”
Hmmm… Dengan izin Allah, pasti kita akan dipertemukan di semula di ‘sana’.”
Alhamdulillah… Amir Farhan boleh menerima kenyataan ini seadanya. Nasib baiklah Zaira tidak cepat mengalah. Dia yang memujuk Amir Farhan dan dialah orang yang banyak memberi semangat kepada Amir Farhan.
“Abang juga akan sentiasa mendoakan semoga Amir Farhan bahagia dengan Nur Zaira Liyana.”
Hmmm… Dhea pun mendoakan semoga cinta mereka kekal hingga ke Syurga.”


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya;  “Di antara kebahagiaan anak Adam ialah Solat Istikharah (minta pilih) daripada Allah Taala dalam segala urusannya dan di antaranya kecelakaan anak Adam ialah meninggalkan solat Istikharah daripada Allah pada segala urusannya.” (https://shafiqolbu.wordpress.com


Bersaksi cinta di atas cinta

Dalam alunan tasbih ku ini
Menerka hati yang tersembunyi
Berteman di malam sunyi penuh doa

Sebut nama Mu terukir merdu
Tertulis dalam sajadah cinta
Tetapkan pilihan sebagai teman
Kekal abadi hingga akhir zaman


Istikharah cinta memanggilku

Memohon petunjukMu
Satu nama teman setia
Naluriku berkata


Di penantian luahan rasa

Teguh satu pilihan
Pemenuh separuh nafasku
Dalam mahabbah rindu


Di istikharah cinta

ISTIQARAH CINTA - SIGMA


~ TAMAT  ~