Thursday, August 6, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 12


BAB 12

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

HAMPIR-HAMPIR dia terlelap. Terasa perjalanan ke rumah terlalu lama. Apesal si Iqram ni bawak kereta macam siput? Tadi bukan main lagi pecut macam ribut! Kelopak matanya dibuka apabila terasa kereta yang dipandu Iqram tidak bergerak.
“Ain… kau tunggu kat sini kejap. Aku nak jumpa kawan.”
Jumpa kawan? Oh, patutlah beria sangat nak balik cepat tadi? “Tunggu sini?” Ain memandang sekelilingnya sekejap. Gelap! Sunyi pulak tu! Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Dah dekat pukul dua belas. “Saya ikut tak boleh? Gelap kat sini. Takutlah!”
“Tak payah nak mengada-ada! Takut apanya? Bukannya ada hantu pun. Tunggu aje kat sini.”
 “Lama ke?”
“Kau peduli apa lama ke tidak? Kunci pintu tu!” Tanpa menunggu jawapan Ain, dia terus melangkah turun dari kereta.
Lima minit menanti, kelibat suaminya masih belum muncul. Panas berada di dalam kereta, Ain melangkah turun dan menyandarkan tubuh pada kereta. Puas berdiri, kakinya dilangkahkan ke arah kedai 7Eleven yang berhadapan dengan kereta yang diparkir Iqram. Nak beli airlah. Tadi makan kat rumah mama tak sempat minum air pun. Iqram punya pasallah! Menjeling sampai nak terkeluar biji mata. Kelakar betul! Nak cemburu buat apa? Aku ni isteri dia. Bukan isteri Farish pun!
“Tak boleh, Dhiya! Abang dah tak boleh nak bersabar lagi.”
Dhiya? Macam suara Iqram aje? Kaki dilangkahkan menghampiri satu tiang besar yang berhampiran. Kepala dijengahkan, mencuri intai. Manalah tahu kalau suara itu betul milik suaminya?
Anak matanya menangkap kelibat seorang lelaki yang duduk membelakanginya. Eh, memang baju Iqramlah! Kali ini anak matanya diangkat memandang sekujur tubuh yang duduk bersebelahan dengan suaminya. Dhiya! Betul ke Dhiya?
Kedudukan perempuan itu juga membelakanginya. Seraut wajah itu langsung tidak dapat diperhatikannya. Kali ini dia memilih untuk mencuri dengar perbualan suaminya. Betul ke suaminya sedang berbual dengan Dhiya? Bekas tunangnya?
“Dhiya… Kita kahwin?”
Dhiya mengerutkan mukanya. Kenapa tiba-tiba? Ada yang tak kena ke? “Kenapa tiba-tiba, abang?”
Iqram meraup mukanya kasar. Berserabut betul kepalanya. Babak-babak drama di rumah mama kembali terulang tayang di kepala. Pandangan mata Farish kepada isterinya. Ain pulak… sukalah tu Farish pandang macam tu! Tak sedar diri betul!
“Farish…” Sepatah nama itu terkeluar lemah daripada kotak suara.
“Kenapa dengan Farish?”
“Dia dah balik ke rumah mama.”
Dhiya terdiam sekejap. Patutlah muka Iqram tegang sangat. Rupa-rupanya sebab Farish. “Maksud abang… Farish nak Ain semula?”
“Tak. Dia tak ada sebut macam tu pun. Tapi abang yang nak serahkan Ain kepada Farish. Biar Farish belajar erti tanggungjawab. Abang tak nak Ain jadi beban kepada abang lagi. Disebabkan Ain, kita tak jadi kahwin. Jadi, bila abang dah lepaskan Ain, abang boleh kahwin dengan Dhiya. Mama tak akan marah lagi. Lagipun Farish dah ada untuk jaga Ain.”
Ain diam membisu di sebalik tiang batu itu. Telinganya mendengar dengan jelas setiap patah perkataan yang dituturkan oleh suaminya. Ain ni membebankan abang ke?
“Abang dah hilang sabar, Dhiya. Sakit hati abang bila tengok diorang tu main mata. Bukannya abang tak tahu yang Farish rindukan Ain sangat-sangat. Ain pun dua kali lima aje!”
Dhiya mengukirkan senyuman kecil. “Abang cemburu ke tengok Ain dan Farish?” Dia cuba menguji isi hati Iqram.
Nonsense! Nak cemburu buat apa? Meluat adalah! Kali ini abang tekad, Dhiya! Mama setuju atau tak, Ain setuju atau tak, abang akan serahkan Ain kepada Farish semula. Cukup-cukuplah. Lagipun, antara abang dan Ain perasaan cinta tu tak wujud. Kami tak pernah bersama macam pasangan suami isteri yang lain. Jadi untuk apa perkahwinan ni? Perkahwinan ini cuma satu beban, kan?”
Tanpa sedar, air matanya menitis jatuh ke pipi. Setiap patah kata yang didengarinya umpama sembilu tajam menghiris luka di hati. Ya, kali ini dia benar-benar terluka. Tidak sanggup lagi untuk mendengar luahan hati suaminya, Ain mengorak langkah semula ke kereta. Punggung dilabuhkan lalu matanya dipejam rapat. Membiarkan air mata menitis semahunya.
Abang… Perasaan cinta itu wujud di antara kita. Ain cintakan abang. Cuma abang sahaja yang tidak belajar mencintai Ain. Tidak pernah membuka ruang untuk cinta Ain masuk ke dalam hati abang.
Ain ni memang membebankan abang ke? Kalau abang nak kahwin dengan Dhiya, abang kahwinlah. Tapi Ain minta tolong dengan abang… jangan serahkan Ain kepada Abang Rish. Ain tak cintakan dia. Ain cuma cintakan abang. Lelaki yang Ain dambakan bukan dia, tapi abang. Lelaki yang Ain sayang bukan Abnag Rish, tapi abang.
Ya Allah… Beginikah kesudahannya? Dan kesudahannya aku yang parah!


SELESAI memasak untuk makan tengah hari nanti, Ain melangkahkan kaki ke tingkat atas untuk menunaikan solat zohor empat rakaat. Selesai menunaikan solat, Ain berkira-kira untuk turun ke bawah untuk menyediakan makanan.
Belum sempat kakinya melangkah turun, telefon bimbitnya pula yang bordering meminta diangkat. Tidak jadi untuk turun ke bawah, dia mencapai telefon bimbitnya. Satu nombor yang tidak dikenalinya tertera. Ain melepaskan keluhan kecil sebelum menolak butang hijau.
“Assalamualaikum, Ain.”
Belum sempat Ain memulakan sapaan, suara di hujung talian sudah menghulurkan salam. Berkerut dahi Ain sekejap. Abang Iqram ke? Sebelum ni tak pernah pulak dia telefon. Tapi suara dia pun macam suara…  “Waalaikumussalam. Ab… Abang?”
“Abang Rish.”
Oh, Abang Rish rupa-rupanya! Patutlah dengar macam lain sikit. Jangan nak berangan sangatlah, Ain. Dia tak akan telefon kau. Selama ini pernah ke dia telefon kau? Tak pernah, kan? Jadi, jangan nak berharap dia akan telefon kau. Suara mereka hampir sama. Tapi kalau nak tahu bezanya, suara Abang Rish ni romantik sikit. Suara Iqram? Macam harimau mengaum. Hehe…
“Ain… Abang nak jumpa Ain sekejap boleh?”
“Tak boleh!” Dengan pantas Ain menjawab.
“Kenapa? Abang Iqram tak bagi?”
“Hmm…” Kepalanya diangguk kecil sebelum kembali bersuara. “Dan Ain pun memang tak nak jumpa abang. Kalau ada apa-apa abang boleh cakap sekarang. Ain boleh dengar sekarang.”
“Tapi kalau boleh abang nak jumpa Ain. Rasa macam tak sesuai nak berbual kat dalam telefon.”
Keluhan kecil dilepaskan. Tak boleh, Abang Rish. Kalau Abang Iqram tahu, teruk Ain kena marah nanti. Bukannya Abang Rish tak tahu perangai Abang iqram tu macam mana.
Luahannya hanya terluah di dalam hati sahaja. “Ain minta maaf, Abang Rish. Tapi Ain memang tak boleh jumpa Abang Rish. Abang Rish nak cakap apa?”
Kali ini suara di hujung talian pula yang melepaskan keluhan kecil. Susahlah kalau macam ni. Ya, dia tahu Iqram tak akan izinkan Ain jumpa dia lagi. Tapi dia perlu jumpa Ain. Ada sesuatu yang ingin diluahkan kepada Ain. Dan Ain perlu tahu duduk perkara yang sebenarnya.
Ain mula tidak sedap hati. Kebisuan itu membuatkan dia rasa serba salah. “Abang Rish… Ain rasa kita…” Tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, tiba-tiba dia mendengar pintu bilik dibuka.
Bulat anak matanya sebaik sahaja terpandangkan kelibat suaminya yang baru menapak masuk ke bilik. Awalnya dia balik? Tak cakap pun nak balik makan tengah hari kat rumah?
Selang beberapa saat, otak kecilnya mula teringatkan sesuatu. Ya Allah… Aku tengah berbual dengan Abang Rish. Kalau Abang Iqram tahu ni… Dia diam membisu walaupun suara di hujung talian seperti mengucapkan sesuatu. Satu habuk pun tak mampu di dengarinya. Terkejut dengan kemunculan suaminya. Juga bimbang akan kemarahan suaminya.
“Err, Ain letak telefon dulu. Assalamualaikum.” Kelam kabut dia menghulurkan salam. Mana tidaknya, suaminya sudah menapak menghampirinya. Pasti dia akan bertanya aku bercakap telefon dengan siapa.
“Kau bergayut dengan siapa?”
Kan betul? Dia memang akan tanya punya! Tengok muka dah merah semacam tu. Marah agaknya? “Mama!” Menipu Ain? Kalau Iqram tahu aku berbual dengan Abang Rish tadi, habislah!
“Mama? Kenapa mama call tengah hari buta macam ni?”
“Tak ada apa-apa. Cuma tanya khabar dan tanya Ain masak apa.” Menipu lagi! Ya Allah… Ampunilah dosa-dosaku! Terdesak sangat ni. Takut dia marah.
“Habis tu, kau masak apa hari ni?” Tak tanya pun kenapa aku balik awal? Dia ni dah kenapa? Nampak macam pucat aje? Ke dia ada buat apa-apa yang tak baik kat belakang aku?
“Masak ikan tiga rasa.” Sungguh, dia benar-benar tidak selesa apabila suaminya mula memandangnya lain macam. Bimbang terkantoi. “Kenapa pandang macam tu?” Dia menyoal bagi menghilangkan rasa gugupnya. Telefon bimbit terus dimasukkan ke dalam poket baju.
“Yang kau tercegat kat situ, kenapa? Nak jadi tugu negara ke?”
Tugu negara? Merepek! “Err… kenapa awak balik awal?”
“Kenapa? Aku tak boleh balik awal ke?” Soalan berbalas soalan. Ada riak keraguan yang beraja di dalam hati sebaik sahaja melihat seraut wajah cuak itu. Betul ke dia bergayut dengan mama tadi?
“Bukan tak boleh. Cuma… pelik!” Perkataan ‘pelik’itu kedengaran perlahan sahaja. Bimbang juga akan menimbulkan kemarahan suaminya. “Awak dah makan ke? Kalau belum, saya boleh siapkan makanan untuk awak sementara awak mandi dan solat.”
“Hmmm.” Sepatah jawapannya sebelum kaki dilangkahkan ke bilik air.
Ain cuma memandang sebelum menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. ‘Hmmm’ aje? ‘Hmmm’ tu apa? Nak ke tak nak? Susah betul bercakap dengan patung bernyawa macam tu. Tidak menunggu lama, kakinya terus dilangkahkan ke dapur untuk menyiapkan makanan.


LAMA dia berdiri di muka pintu dapur. Memerhati dan terus memerhati setiap gerak geri isterinya. Ke hulu, ke hilir… entah apa yang dicarinya? Selang beberapa saat, bibirnya menguntumkan senyum. Sedikit sebanyak sikap Ain mencuit hatinya.
Ain menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Kat mana pulak aku letak cawan tu? Rasanya kat bawah aje.” Sekali lagi dia menghulurkan tangan ke atas almari lalu meraba sesuatu. Hah, ada pun!
Dengan ketinggian yang cuma 155 cm, manalah sampai nak ambil cawan yang terletak tinggi macam ni. Hari tu letak kat bawah ni. Siapa pulak yang pandai-pandai letak kat atas. Iqram ke? Tak mungkin kot.
Iqram menggelengkan kepalanya perlahan sebelum kakinya dilangkahkan ke belakang Ain. Belum sempat Ain menolak cawan itu jatuh, sepasang tangan Iqram terlebih dahulu mendahului dan menyambut cawan kaca itu. “Dah tahu ketinggian kau tu tak tinggi mana, tak payahlah letak tinggi-tinggi.”
Ain diam. Tiba-tiba sahaja tubuhnya terasa seram sejuk. Kedudukan Iqram terasa rapat di belakangnya. Nak bergerak rasa tak mampu. Nak memalingkan kepala pun rasa tak berani.
Dalam diam, Iqram mengukirkan senyuman kecil. Takutlah tu nak bergerak. Sengaja dia berdiri lama-lama di belakang Ain. Sengaja buat Ain rasa serba salah dengan kedudukan yang rapat seperti itu. Sekali-sekali mengusik, tak salah kan?

“Err…” Nak bersuara, tetapi tidak tahu apa yang ingin dituturkannya.
“Apa ‘err’?” Mengusik lagi. Bukannya dia tidak nampak yang seraut wajah Ain mula berubah kemerahan. Mungkin malu bila dia sengaja merapatkan tubuhnya ke tubuh Ain.
“Nak bergerak.” Lambat-lambat Ain menuturkan patah katanya.
“Bergeraklah. Siapa yang halang?”
“Tapi awak…”
“Aku apa?”
“Err… tak ada apa-apa.” Mengalah lagi. Iqram ni macam saja nak mengusik, kan? Dia tak tahu ke yang jantung aku berdebar bagai nak gila bila dia berdiri rapat-rapat macam ni. Sudahnya dia membiarkan sahaja Iqram berdiri macam tugu negara di belakang tubuhnya.
Iqram menyimpan senyum. Otak kecilnya masih ingin mengusik isterinya, namun sepasang anak mata lebih mendahului otak kecilnya. Elok sahaja anak matanya singgah pada telefon milik Ain yang berada di atas meja. Hatinya kembali tertanya-tanya tentang gerangan yang menelefon Ain sebentar tadi. Siapa? Betul ke mama?
Laju sahaja Iqram melangkahkan kaki lalu mencapai telefon bimbit milik Ain. Bulat mata memandang tingkah suaminya. Laju juga langkahnya menghampiri Iqram lalu cuba merampas telefon bimbit miliknya dari pegangan suaminya.
“Awak… Bagilah! Buat apa awak ambil telefon saya tu?” Dia berusaha keras untuk merampas semula telefon bimbitnya.
Iqram buat tak tahu. Tangannya cuba membuka kunci telefon bimbit Ain. Tiga kali mencuba, barulah dia berjaya membuka kunci itu. Apa lagi? Senyuman lebar terus menghiasai bibirnya. Kening dijungkit, sengaja memandang sinis ke arah Ain. Kau ingat kau kuat sangat ke? Kudrat kau tak akan mampu melawan kudrat akulah!
Ain diam. Sepasang anak matanya memandang kosong ke arah seraut wajah yang jelas kelihatan sinis itu. Alamak, habislah! Macam mana kalau dia tahu Abang Farish yang call aku tadi? Tapi aku tak save nombor tu. Tu nombor baru Abang Farish. Harap-harap dia tak tahu.
Perkara pertama yang dicari sepasang tangan Iqram adalah mesej. Berkali-kali telefonnya itu ditolak ke atas dan ke bawah. Satu persatu mesej di peti masuk dibuka. Taka da mesej yang pelik pun melainkan mesej dari mama. Kali ini tangannya bergerak ke arah panggilan masuk. Ada satu nombor pelik yang menelefon beberapa minit yang lepas. Mama? Bila pulak mama tukar nombor baru.
Satu pandangan pelik dilemparkan ke arah Ain. Ain pula meneguk liur perlahan. Sedaya upaya dia cuba untuk menunjukkan riak wajah yang biasa. Sebolehnya dia tidak mahu menunjukkan riak wajah kelam-kabut atau ketakutan.
“Siapa call tadi?”
Soalan itu umpama satu tembakan mengena dirinya. Ain diam. Kalau cakap nama mama lagi, pasti dia akan cuba call mama. Habis tu? Nak cakap nama siapa? Awal-awal tadi dah bagitahu nama mama, kan? Ya Allah… Inilah akibat menipu, Ain. Lain kali menipulah lagi.
Sakit hati dengan kediaman Ain, Iqram terus mendail nombor telefon yang tidak tertera apa-apa nama itu.
Ain resah sendiri. Bimbang kalau Farish akan menjawab panggilan itu. Bimbang terkantoi sekali lagi. Bimbang dimarahi sekali lagi.
“Hello, assalamualaikum, Ain.”
Diam. Suara Iqram di hujung talian diam membisu. Dia kenal dengan suara yang menjawab panggilan itu. Sepasang anak matanya menikam tajam sepasang anak mata Ain.
Ain pula menundukkan wajah. Gelisah dan tak senang duduk. Melihat pandangan tajam itu, dia sudah dapat mengagak yang Abang Farish sudah menjawab panggilan.
“Ain? Kenapa ni? Ada yang tak kena ke? Abang minta maaf kalau abang ada tersalah cakap tadi. Abang cuma nak…”
Malas mahu mendengar bicara selanjutnya, Iqram terus mematikan talian. Sakit betul hatinya. Boleh pulak Ain menipu dia dengan menggunakan nama mama, kan? Tak guna! Dalam diam, rupa-rupanya Ain masih berhubung dengan Farish lagi.
“Err… awak… saya…” Tergagap-gagap Ain mahu berbicara.
“Kau ingat aku nak percaya dengan semua cakap kau? Sebelum ni pun, satu pun perkataan yang keluar daripada mulut kau aku tak percaya.” Usai berkata-kata, dia terus mengorak langkah. Meninggalkan Ain yang masih diserang perasaan bersalah.

Ain diam. Hanya anak matanya sahaja yang mengekor langkah suaminya. Ya, memang salah Ain sebab menipu suaminya tadi. Hilang kelibat suaminya, anak matanya melemparkan pandang ke arah meja makan. Makanan yang dimasaknya belum berusik. Setiap kali pun memang begini, kan? Dia tak pernah nak makan apa yang aku masak. Dan sebenarnya, hari ini aku yang merosakkan mood dia yang baru ingin cuba berbaik-baik dengan aku.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu