Sunday, March 10, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 8


Lapan

HANA masih tidak menghentikan tangisannya. Kali ini tangisannya sangat lebat sepertimana hujan yang juga sedang turun dengan lebatnya di luar rumah! Kesedihan begitu menguasai hatinya sejak kejadian semalam! Malam tadi Hana terpaksa bermalam di lokap. Begitu juga dengan Fazrul, lelaki yang baru sahaja dikenalinya malam tadi. Tetapi, awal-awal pagi lagi Fazrul sudah dijemput oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai abangnya. Hana pula terpaksa menunggu mak dan ayahnya yang baru dimaklumkan pada awal pagi tadi. Kesian mak dan ayah. Terpaksa datang dari jauh untuk menemui anaknya, hanya kerana perkara yang memalukan keluarga. Mak... Hana tak bersalah..!
Selepas menjamin Hana di balai polis, ayah masih belum mahu berhenti membebel dan memarahi Hana. Yang paling menyedihkan lagi, ayah sanggup menuduh anaknya sendiri yang tidak tahu malu dan sanggup memalukan nama baik keluarga! Berkali-kali Hana cuba menjernihkan keadaan dan menyatakan bahawa dia tidak bersalah dalam perkara itu. Namun, sia-sia sahaja air liur yang dikeluarkannya. Ayah dan emak langsung tidak mempercayai walau sepatah pun perkataan yang dituturkannya. Hanya Alia, adik perempuannya yang tidak putus menyabarkan dan menenangkan Hana yang dalam kesedihan itu.
Sesungguhnya, walaupun Hana sedaya upaya menyatakan bahawa dia tidak bersalah dalam perkara yang terjadi, hati Rasyid sangat terluka dengan perbuatan Hana, selaku anak sulungnya ini. Hana adalah anak sulung daripada lima orang adik beradiknya. Hana masih mempunyai dua orang lagi adik beradik perempuan yang masih bersekolah. Inikah contoh teladan yang harus ditunjukkan oleh Hana, sebagai seorang kakak kepada adik-adiknya? Entah bagaimana harus meletakkan muka memandang orang kampung. Tentu sahaja banyak mata yang memandang serong dan mengata di belakang.
Kali ini Hana telah mencontengkan arang ke muka keluarga mereka. Sungguh, hatinya sangat terluka kerana Hana! Inikah caranya untuk Hana membalas jasa kedua-dua orang tuanya...? Bukankah selama ini dialah anak yang beria-ria dan bersungguh-sungguh mahu membalas jasa ibu bapanya...? Hana... kenapa begini di akhirnya...?
Melihat kesayuan pada raut wajah ibunya juga membuatkan semakin bertambah sedih. Air matanya semaik laju menitis jatuh ke bumi. Mak... Hana tak bersalah langsung! Hana tak tahu pun siapa Fazrul! Hana tak kenal dia..! Tiba-tiba dia datang ke rumah Hana untuk mencari Kay Tee. Hana jemput dia masuk, sebab Hana tahu dia memang kawan Kay Tee. Tambahan pulak, kat luar hujan lebat sedangkan Hana dan lelaki tu masing-masing belum menunaikan solat maghrib. Lepas tu, semua ni berlaku! Mak... percayalah pada Hana...!


AYAH tak kira! Apa-apa pun berlaku, ayah nak Hana kahwin dengan Fazrul!”
Pantas sahaja Hana menoleh ke arah ayahnya yang berwajah serius itu. Terasa jantungnya seperti tersentap mendengar kata-kata keramat yang dituturkan oleh ayahnya. Apa...? Kahwin dengan Fazrul? Fazrul yang tak pernah aku kenal tu? Semata-mata kerana perkara ni? “Ayah... Mana boleh macam tu! Hana ni anak ayah! Masa depan Hana masih jauh, ayah. Hana dah ada Kamarul! Hana tak nak kahwin dengan Fazrul.” Perlahan sahaja kedengaran kata-kata Hana yang penuh dengan nada kesayuan itu.
Kamarul... Entah apa pula yang difikirkan Kamarul nanti. Padahal, kami sudah merancang untuk bertunang dua minggu selepas Kamarul balik dari seminarnya nanti!
“Sebab Hana anak ayahlah, ayah nak Hana bernikah dengan Fazrul! Kalau Hana tak bernikah dengan Fazrul sekarang, entah apa lagi yang akan Hana lakukan! Ayah tak pernah ajar anak-anak ayah buat perkara yang dilarang oleh Allah! Berdosa besar, Hana!”
Hana memandang sayu pada ayahnya. Kata-kata ayah bagaikan sembilu menusuk tajam ke hati! Hati Hana tersentuh dengan setiap bait kata yang menerjah masuk ke telinganya. Sampai hati ayah cakap Hana macam tu! Tangisannya terasa semakin kuat kerana hatinya yang sudah mempunyai kesabaran yang menipis di dalam hati. Dia takut, dia sudah tidak mampu mempertahankan dirinya lagi! Dia takut, dia sudah tidak kuat untukk menepis segala penghinaan lagi!
Kepalanya disembamkan ke dada Alia, adik perempuannya yang berumur kurang tiga tahun daripada umurnya. Hana menangis semahunya di situ. Rasanya, Alia cukup matang untuk menilai apa yang berlaku kepadanya di saat ini.
Alia terasa ingin menangis melihat kesedihan kakak sulungnya itu yang masih tidak terhenti-henti sedari tadi dan semakin menjadi-jadi apabila ayah terus berkata-kata kepadanya. Di dalam hatinya, dia yakin Hana tidak bersalah. Sepanjang dia hidup, belum pernah dia melihat Hana menangis seperti ini. Dia juga belum pernah melihat kemarahan ayah pada kakaknya seperti ini. Kali pertama dalam hidupnya perkara-perkara seperti ini berlaku di hadapan matanya sendiri. Perlahan kepala kakaknya diusap-usap. Harap-harap, Hana akan merasa sedikit ketenangan.
“Ayah... Hana tak mahu kahwin dengan Fazrul...” Hana masih merayu mengharapkan sedikit pengertian daripada ayahnya.
“Tidak! Ayah tetap dengan keputusan ayah! Kalau kau masih tak mahu setuju, ayah rasa ayah rela jadi pembunuh, Hana! Kalau tak ayah bunuh kau... Ayah bunuh si Fazrul tu..! Payah-payah sangat biar ayah aje yang mati! Kalau ayah mati, kau bolehlah buat sesuka hati kau, kan?!” Kerana sakit hati yang teramat sangat, Rasyid sudah melepaskan kata-kata yang berada di luar akal dan fikirannya.
“Ayah...!!” Serentak Hana dan Alia membantah kata-kata ayahnya itu. Tidak sanggup rasanya untuk membuatkan ayah marah, sampai sanggup melakukan perkara sebegitu.
“Abang... Kenapa cakap bukan-bukan ni...”
Semakin lebat tangisan Hana mendengar suara lirih seorang ibu. Mak... maafkan Hana!
“Kalau abang tak cakap perkara macam ni, tu...” Mulutnya diajukan menunjuk ke arah Alia yang sedang menyabarkan Hana. “Bakal mengikut kakaknya melakukan perkara-perkara yang diharamkan!”
“Ayah... Hana tak buat macam tu! Alia tak akan buat apa yang Hana tak buat!” Hana mempertahankan adiknya yang sudah dikaitkan dengan kesalahannya.
“Ayah... Kenapa cakap macam tu?” Giliran Alia pula yang menyedarkan ayahnya daripada perasaan amarah yang tidak terhingga itu.
“Kau diam Alia! Kau tu mentah lagi! Orang lelaki tak apa! Habis madu, sepah dibuang! Nanti dah tak ada siapa nakkan kakak kau. Masa tu, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah! Ayah tak mahu perkara-perkara macam tu berlaku! Tu, kat kampung tu..! Mana ayah nak sorok muka ayah ni? Kalau Hana tak kahwin sekarang, banyak mulut yang akan mengata di belakang! Satu kampung heboh!”
Hana dan Alia terdiam dan hanya mendengar amarah demi amarah yang diperkatakan oleh ayahnya. Emak tidak berkutik! Baginya diam lebih baik daripada berkata-kata mengenai perkara yang dah berlaku.
“Ayah tak kira! Fazrul mesti bertanggungjawab pada Hana! Hana mesti kahwin dengan Fazrul!” Suara itu kedengaran tegas sekali seolah-olah tidak mahu lagi ada suara yang menyangkal patah perkataannya lagi!


ALONG rasa cakap pak cik Rasyid tu betul, Fazrul! Elok benar rasanya kamu berdua kahwin sebelum keadaan menjadi semakin buruk.”
What..?? Apa ni, along! Along ingat kahwin tu perkara main-main ke? Yang kena kahwin, Fazrul! Bukan along atau sesiapa!! Fazrul tak pernah sukakan dia. Dan juga tak mungkin akan sukakan dia! Fazrul bencikan dia! Sampai bila-bila pun Fazrul akan bencikan dia!” Fazrul mejerit lantang kerana perasaan marah yang membuak-buak di dalam hatinya.
Namun, kata-kata itu sempat menusuk masuk ke telinga Hana. Cukup merobek-robekkan hati wanitanya. Baguslah tu!! Fazrul... sekali kau bencikan aku, berkali-kali aku bencikan kau! Suara hatinya menjerit-jerit sendirian.
“Fazrul... Tolong bertenang sekejap. Dengar dulu apa yang nak dicakap. Pasal denda, biar along yang settlekan. Tapi, along nak Fazrul kahwin dengan Hana! Sebelum ayah dengan ibu pulang, baik Fazrul bertindak dulu. Kalau tidak, keadaan akan menjadi semakin keruh. Kalau apa-apa berlaku pada Hana, anak Hana tetap anak Fazrul!” Tegas sekali kata-kata itu keluar daripada mulut Farish.
Apa anaknya pulak..?! Fazrul terasa marahnya semakin menjadi-jadi dengan kata-kata abangnya itu. Dia meraup wajahnya sekejap dan menarik nafas panjang. “Along cakap apa ni..?! Kan Fazrul dah cakap, Fazrul dengan Hana tak buat apa-apa dalam rumah tu! Fazrul tak ‘buat’ dia..!”
Sekejap itu, anak matanya beralih ke arah kakak iparnya, dengan harapan kakak iparnya akan memahaminya dan akan menyokongnya.
Aisya menarik nafas sekejap sebelum bersuara. “Kak long tak tahu apa yang harus kak long cakap. Tapi yang pasti... Kak long juga seorang perempuan. Kalau kak long di tempat Hana, kak long juga akan rasa masa depan kak long gelap gelita. Dan sebagai seorang perempuan, kak long setuju dengan pendapat along. Bimbang perkara yang akan berlaku pada Hana. Apa-apa pun, suatu hari nanti Fazrul akan tetap perlu bertanggungjawab! Kalau betul Fazrul tak melakukan perkara sebegitu, kenapa Fazrul banyak dalih dan tidak bersetuju untuk dikahwinkan dengan Hana? Atau... Fazrul sanggup terima Natasya?”
Aisya sekadar mengingatkan adik iparnya itu. Tetapi baginya dia juga bersetuju dengan pendapat suaminya. Fazrul dan Hana perlu dinikahkan! Apatah lagi sebelum mertuanya pulang daripada bercuti. Aisya sudah masak dengan sikap mertuanya yang agak tegas dalam kehidupan anak-anaknya. Selain itu, keluarga mertuanya itu sangat mementingkan dan menjaga nama keluarga di mata masyarakat. Sudah tiga tahun dia menjadi sebahagian daripada keluarga itu. Dia sudah masak dalam menilai sesuatu perkara yang disukai atau tidak disukai.
Fazrul terdiam untuk seketika waktu. Fikirannya mula memikirkan perkara yang sama seperti mana yang difikirkan oleh kaka iparnya itu. Natasya..! Mungkin juga perkahwinan antara aku dan Hana boleh mengelakkan diri daripada Natasya! Ah, tidak!! Aku tak mahu kahwin dengan Hana! Tapi... aku juga tak nak kahwin dengan Natasya! Aku hanya cintakan Marlisa sorang aje!!
Hey, Fazrul! Come on lah! Kau kan lelaki. Lelaki boleh kahwin sampai empat, tau. Lagipun, bukannya kau tak berkemampuan untuk kahwin lebih daripada seorang perempuan. Tiba-tiba hati kecilnya berkata-kata jahat, mempengaruhi mindanya. Tapi...
Okey, aku akan kahwin dengan dia! Tapi, tak bermakna aku cintakan dia! Dia buat semua orang seperti menyalahkan aku seratus peratus. Sekarang, biar dia rasa pulak apa itu rasa susah! Padan muka kau! Nanti, kau sendiri akan kenal siapa Fazrul sebenarnya!!
Fazrul mengangkat wajah memandang satu persatu wajah di hadapannya. Matanya memandang raut wajah along dan sekejap itu anak matanya beralih memandang ke arah kakak iparnya pula. Seketika itu, anak matanya beralih memandang ke arah keluarga Hana yang turut berkumpul di ruang tamu rumahnya.
Selepas keluar daripada balai polis tadi, along dan ayah Hana mahu berbincang. Along memutuskan untuk berbincang di rumahnya. Kini, wakil kedua-dua keluarga ada di sini. Anak mata Fazrul sempat menangkap seraut wajah sayu Hana. Sedih... atau sebenarnya gembira? hatinya tertanya sinis. Kemudian tersembul pula wajah Kay Tee yang penuh dengan rasa bersalah. Fazrul cukup sakit hati memandang wajah itu. Kerana Kay Tee semua ini terjadi!
Tapi... perkara ini semua tidak akan terjadi kalau perempuan itu tidak berada dalam keadaan mencurigakan! Dah lah pakai baju tidur. Muka baru bangun tidur. Dengan tuala kat atas kepala! Eee... benci benar aku! Teringat kata-kata salah seorang daripada pencegah maksiat yang bersungguh-sungguh mengatakan mereka melakukan perkara tersebut semata-mata kerana keadaan dirinya dan diri Hana yang tidak terurus dan mencurigakan pada ketika itu.


LANGKAH Kay Tee yang menghampirinya dipandang tajam. Entahlah! Pada ketika ini, Fazrul sendiri tidak pasti, siapakah yang harus dipersalahkan. Tapi, entah kenapa hatinya kuat mengatakan bahawa Hana adalah pesalah besar yang menyebabkan perkara ini berlaku! Tambahan pula, ketika kejadian, Hana dalam keadaan serabai dan kusut masai!
Kay Tee mendongak memandang Fazrul yang sedang merenung tajam ke arah. Di dalam hatinya terasa begitu takut dengan pandangan tajam itu. Sebelum ini, dia langsung tidak pernah nampak wajah Fazrul yang sedang marah sampai di tahap ini. “Fazrul... Aku minta maaf. Aku tak sangka semua ni akan berlaku dalam sekelip mata! Aku minta maaf!” Kay Tee melutut di hadapan Fazrul membawa bersama linangan air mata. Sungguh, dia betul-betul terkejut sebaik sahaja sampai di rumah, tiada kereta sesiapa yang tersadai di hadapan halaman rumah.
Beberapa saat selepas itu, jeritan telefon bimbitnya menjawab semua persoalan yang bermain difikirannya sekejap tadi. Sungguh, seribu penyesalan menerjah benak fikiran apabila mendengar berita bahawa Fazrul dan Hana ditangkap basah! Dia betul-betul yakin bahawa kedua-dua sahabatnya itu tidak akan pernah melakukan perkara tersebut. Dia tidak boleh menjadi saksi, walaupun dia cuba untuk mempertahankan kedua-dua mereka. Sungguh, hatinya menyesal sangat-sangat!
“Dahlah, Kay Tee. Kau tak bersalah. Perempuan tu yang bersalah!” Keras kata-kata Fazrul, melepaskan kemarahannya.
“Fazrul... Jangan cakap macam tu! Hana perempuan yang baik.”
“Habis tu..? Kau cakap aku yang bersalah?” Suaranya kedengaran tegang. Bengang apabila kata-kata Kay Tee seperti menunjukkan dia yang bersalah menyebabkan kejadian itu.
“Bukan... Bukan macam tu! Dalam hal ni, kau dan Hana tak bersalah! Aku yang bersalah! Aku mintak maaf banyak-banyak!  Suara Kay Tee diselang seli dengan tangisannya. “Tapi... Cuma satu perkara yang nak aku cakap pada kau... Aku tak mahu korang berdua mempersia-siakan masa depan korang. Fikirlah sebetul-betulnya sebelum membuat suatu keputusan!” Sempat dia memberikan pandangannya walaupun dalam tangisan. Sungguh, dia sayangkan kedua-dua sahabat baiknya itu. Tidak mahu kedua-dua mereka, atau salah seorang daripada mereka kecundang dalam membuat keputusan!
“Sudahlah, Kay Tee. Aku sudah buat keputusan! Aku akan kahwin dengan dia! Tapi, jangan harap aku akan mencintai dia seumur hidup aku! Sampai mati pun, tidak akan!!”
Kay Tee tersentap sendiri. Bulat matanya memandang ke arah Fazrul. Begitu kejamkah Fazrul..? Sampai begitu sekali marahnya pada Hana! Padahal, Hana juga tidak bersalah dalam hal ini. Kalau nak teruskan perkahwinan ini, tentu sahaja ada hati yang akan terluka! Dan Hana... Kamarul...? “Fazrul... Jangan...”
“Dah! Keputusan ni dah muktamad! Sekarang semua orang cakap aku yang rosakkkan perempuan tu. Alang-alang dah kena cakap yang bukan-bukan, biar aku terus kahwin dengan dia, dan biar dia betul-betul rosak di tangan aku!”
“Fazrul..!!” Kay Tee sakit hati mendengar setiap patah ucapan yang diperkatakan oleh Fazrul. Kenapa dalam sekejapan waktu, sikap Fazrul berubah mendadak?! Fazrul yang pernah dia kenal, bukanlah Fazrul yang tidak berhati perut seperti Fazrul yang sedang berdiri di hadapannya ini.
Kay Tee menarik nafas panjang. Rasa bersalah semakin bermukim dalam hatinya terhadap Hana. “Fazrul, tolonglah...” Kay Tee masih lagi mahu berkata-kata dan membetulkan keadaan. Tetapi, kata-kata itu mati apabila Fazrul sudah mengangkat kedua-dua tangannya sebagai petanda bahawa dia tidak mahu mendengar patah bicara lagi!
Lantas, Fazrul melangkah kaki ke arah keluarga Hana yang berada tidak jauh daripada tempat dia berdiri. Semua mata tertumpu ke arahnya. Suasana yang tadinya tegang, senyap sunyi untuk seketika waktu.
Matanya memandang tepat ke arah lelaki yang sudah berada di hadapannya itu. Ayah Hana! “Pak cik Rasyid! Saya akan berkahwin dengan anak pak cik! Dan saya nak semua orang tahu bahawa saya bukanlah seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab!” Keras suara itu, menjadikan suasana di situ semakin menyepi.
Hana tersentak sendiri dengan patah kata lelaki itu. Alia yang berada di sebelah Hana turut tersentak dengan keputusan yang tidak disangka itu. Pandangan kedua-dua beradik itu dilemparkan ke arah raut wajah ayah mereka yang kelihatan begitu tenang sekali. Mungkin sahaja hatinya tenang dengan keputusan Fazrul. Hana menghalakan pandang ke arah emak yang sedari tadi diam membisu tanpa sepatah perkataan.
“Tidak!! Saya tak nak kahwin! Saya cintakan Kamarul. Dan saya hanya akan kahwin dengan Kamarul!” Lantang suara Hana membantah keputusan Fazrul. Tiada lagi tangisan. Hanya yang ada adalah sekeping hati wanita yang kuat demi membela diri yang seolah-olah sedang diperkotak katikkan oleh orang lain!
“Diam, Hana!” Nyaring suara Rasyid memecah kesunyian yang menerpa.
“Ayah...! Hana tak nak kahwin! Daripada Hana kahwin dengan dia, baik Hana tak payah kahwin sampai bila-bila!” Hana masih berkeras dengan keputusannya.
“Hana, jangan membantah!” Sekali lagi suara tegas itu dihalakan ke arah Hana.
“Hana tetap akan tidak setuju.”
Rasyid geram sendiri dengan kedegilan anak sulungnya itu. Terasa kesabaran di dalam hatinya goyah kerana kedegilan dan perangai anak sulungnya itu.
Pang!! Satu tamparan terkena pipi Hana. Tamparan pertama ayah terhadap dirinya. Alia yang terkejut terus mendapatkan Hana. “Ayah...” Menitis air matanya dengan sikap kekerasan ayah terhadap kakaknya itu.
“Abang..!” Ramlah yang turut terkejut mula bersuara apabila suaminya itu sudah bertindak di luar kawalan akal. Serius sekali raut wajah suaminya itu. Cepat-cepat Ramlah mendapatkan Hana dan memeluk anaknya itu. Kepala Hana diusap-usap perlahan.
Hana yang terkejut terdiam! Seumur hidupnya, tidak pernah sekali pun dia ditampar oleh ayahnya. Air mata yang tadinya disimpan teguh di dalam hati, menitis setitis dan terus menitis lagi. Pipinya terasa pedih! Tetapi, hatinya bertambah pedih dengan sikap ayahnya. Sampai hati ayah! Sampai hati ayah tampar Hana depan orang ramai! Hana terus terdiam membisu. Tidak mahu penampar ayah, sekali lagi hinggap di pipinya.
Kamarul... Maafkan aku! Betapa hancurnya sekeping hati ini, Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Impian untuk sama-sama membina mahligai indah di kayangan bersama Kamarul relai begitu sahaja. Kini, dia terpaksa membina sebuah mahligai air mata yang diciptakan oleh Fazrul!
Ya Allah... begitu kuatkah dugaan yang Engkau berikan kepada seorang perempuan, seorang anak seperti aku..? Andai ini sudah tertulis dalam suratan takdirMu... Aku pasrah menerima segalanya dengan adanya! Aku redha... Aku terima dengan rela hati...! Mungkin, dari saat ini, akan bermulanya epilog cinta luka dalam kamus hidup aku! Mungkin juga, bermulanya saat ini, bermulanya juga elergi sepi di hatiku..! Ya Allah... Hanya kepadaMu aku berserah segala-galanya...!