Friday, February 12, 2016

Mencintai Satu Nama - Prolog



PROLOG

“CIK Nur Dahlia binti Abdul Rahman.”
Sebaik sahaja namanya dipanggil, Dahlia melangkah tenang ke arah bilik temuduga. Hari ini Dahlia menghadiri temuduga untuk jawatan Pembantu Peribadi kepada salah seorang bos di bangunan pejabat itu. Sesuailah dengan Ijazah yang diambil oleh Dahlia ketika di UiTM.
Dengan lafaz bismillah, Dahlia melangkah masuk ke bilik temuduga. Senyuman ikhlas dihulurkan kepada makhluk Allah yang juga berada di dalam bilik temuduga itu.
Lima orang panel temuduga di hadapannya dipandang satu persatu. Semuanya lelaki. Apa dah pupus ke orang perempuan? Sudahlah calon temuduga semuanya perempuan. Haih, kalau dapat ni memang kebetulan sajalah!
Tiba giliran Dahlia, soalan demi soalan diajukan oleh panel temuduga yang pertama kepadanya. Alhamdulillah, Dahlia dapat menjawab dengan baik. Begitu juga dengan panel temuduga yang kedua, ketiga dan keempat.
Tetapi yang menjadi kepelikkannya adalah panel temuduga kelima. Sudahlah tak reti senyum. Lepas tu, tanya soalan yang pelik-pelik. Semuanya berkaitan dengan hal peribadi.
Apa masalah dia sebenarnya?
“Dah kahwin?”
“Belum,” jawab Dahlia tenang.
Sempat anak mata Dahlia melirik pandang pada sebaris nama yang tertera di atas meja panel temuduga itu.
Encik Muhammad Zafiy bin Azman.
Jadi, inilah orangnya? Hmm, memang nampak sesuai nama dengan jawatan yang disandangnya.
“Ada perancangan untuk berkahwin?”
“Setakat ini belum lagi.”
“Dah ada calon suami?”
Erk? Soalan macam ni perlu ke? Ada kaitan dengan jawatan yang bakal disandang ke?
“Belum, encik.” Dahlia masih tenang menjawab soalan demi soalan yang diutarakan kepadanya.
“Kenapa tak ada? Boyfriend tak ada juga?”
“Belum ada.”
“Bagi saya tiga alasan kenapa awak belum ada boyfriend.”
Dahlia menghelakan nafas sekejap. Haih, pak cik ni macam saja-saja nak tahu hal peribadi aku saja? Sebelum ni aku ada juga pergi temuduga di tempat lain. Syarikat besar macam ni pun ada. Tapi tak ada pula mereka tanya soalan mengarut macam ni.
“Pertama, tak berminat nak bercinta. Kedua, hanya nak tumpukan perhatian kepada kerjaya. Ketiga, nak bercinta selepas nikah.” Dahlia masih lagi menjawab dengan tenang.
“Wah, bagus! Tapi saya nak tanya satu soalan lagi.”
“Banyak pun tak apa, encik,” perli Dahlia. Mana tidaknya? Tadi pun cakap satu lagi soalan! Ini pun cakap satu lagi soalan!
“Adakah anda tidak berminat dengan lelaki?”
Soalan yang bersama senyuman seperti menjegek itu membuatkan hati Dahlia menggelegak. Gila! Soalan apa yang dia tanya ni? Pelik betullah. Langsung tak ada kena mengena dengan kerja.
“Maksud encik?” tanya Dahlia kembali.
“Maksud saya, kalau lelaki orang panggil ‘gay’. Dan kalau perempuan orang panggil ‘lesbian’.”
Penjelasan itu benar-benar menghancur-lumatkan kesabaran di dalam hati Dahlia. Sampai macam tu sekali fikiran panel ini? Apa dia ingat aku tak tahu hukum agama ke?
Dahlia melebar senyuman sebelum menjawab, “alhamdulillah… saya dibesarkan dengan didikan agama yang baik. Dan syukur juga kepada Allah kerana tidak memesongkan hati saya ke jalan yang salah.”
Kelihatan kepala panel itu mengangguk kecil. Seraut wajahnya masih lagi kelihatan serius seperti ketika Dahlia menapak masuk ke dalam bilik temuduga itu.
“Soalan seterusnya, adakah anda tidak berminat untuk melahirkan anak?”
“Setiap wanita pasti ada keinginan untuk mendapatkan anak. Tak terkecuali saya juga. Dan alhamdulillah, sehingga sekarang saya dah ada sepuluh anak,” jawab Dahlia sambil menguntum senyum. Senyum yang kelihatan seperti dibuat-buatnya.
Hampir terngadah kelima-lima panel temuduga apabila mendengar ayat terakhir dari ulas bibir Dahlia.
What? Tadi awak cakap belum kahwin, kan?” Jelas seraut wajah panel kelima menunjukkan riak tidak berpuas hati.
“Ya, belum berkahwin. Tapi saya ada sepuluh ekor anak kucing.”
Serentak itu, keempat-empat panel temuduga ketawa kuat kecuali panel temuduga yang kelima itu. Masam sungguh air mukanya. Dah macam tercekik jeruk mempelam.
“Awak ingat saya main-main?”
Soalan serius itu membuatkan bilik temuduga tiba-tiba sahaja sunyi sepi. Mati semua ketawa dan senyuman yang baru sahaja terlakar.
Dahlia pula sudah ketar kepala lutut. Naik gerun pula apabila melihat pandangan tajam sepasang anak mata panel temuduga itu.
Hesy, yang aku pergi jawab macam tu kenapa? Kau ni memang sengaja cari penyakit ke, Dahlia?
Dah mamat tu yang tanya soalan pelik-pelik. Aku pun bagilah jawapan macam tu. Apa dia ingat dia seorang saja yang bijak? Aku pun bijak jugalah!
“Maaf, encik. Saya tak main-main. Tapi encik…” Belum sempat Dahlia menghabiskan ayatnya, panel kelima itu sudah bersuara.
Then, saya dah malas nak dengar apa-apa lagi. So, boleh keluar sekarang kerana keputusan dah ada. Maaf, awak gagal dalam temuduga ini.”
“Tapi encik…”
“Nak suruh saya ulang berapa kali baru nak keluar?”
Kali ini kesabaran Dahlia semakin menipis. Sempat Dahlia menghelakan nafas panjang sebelum menutup fail di hadapannya.
“Eleh, saya pun tak hadaplah nak kerja kat sini! Sudahlah encik tanya soalan di luar bidang tugas. Tak profesional langsung. Baik encik letak jawatan juga. Encik tak layaklah nak pegang jawatan yang encik pegang sekarang ni.”
Hah, ambik kau! Kan dah kena! Main-main lagi!
You!!”
Jerkahan kuat panel yang kelima itu Dahlia jawab dengan cebikan kecil. Marah ke? Lantaklah! Kau yang sengaja buat aku hilang sabar!
“Jangan marah-marah, encik. Nanti terkena darah tinggi. Kalau masuk hospital tak apa lagi. Saya bimbang terus ‘k.o’ tanpa sempat minta maaf dengan saya,” perli Dahlia lagi. Kali ini dia mengenyitkan sebelah mata ke arah panel yang kelima itu. Sengihannya juga sudah mula lebar sampai ke telinga.
“Keluar sekarang!”
“Ya, nak keluarlah ni!” Dahlia bangun dari kerusinya. Namun, sempat lagi dia tersengih ke arah panel yang kelima itu. “By the way, saya dah maafkan encik. Bimbang pula kalau encik betul-betul tak sempat nak minta maaf dengan saya.”
Tidak menunggu lama, Dahlia terus mengatur langkah keluar dari bilik temuduga itu. Haih, nak buat macam mana? Bukan rezekilah tu!
Mulut inilah, cabul sangat! Kan dah melepas!

#UnedditedVersion

Mencintai Satu Nama


TERBITAN MEI 2017

Tajuk : Mencintai Satu Nama
Penulis : Rose Aleyna
Penerbit : Penerbitan Bes Q
ISBN : 978-967-2052-16-6
Harga : RM 28 SM/ RM 31 SS

BLURB

Tujuan Dahlia masuk ke syarikat milik keluarga Zafiy adalah untuk melunaskan dendam  kepada seseorang yang telah menyebabkan kakaknya lumpuh.

Lain pula yang terjadi apabila Dahlia kerap kali bertemu muka dengan Najman. Mengenali lelaki itu membuatkan hati Dahlia terusik. Najman, di dalam marahnya, ada sayangnya. Dia bukanlah seorang yang mementingkan pangkat, kedudukan, ataupun harta. Dia sudi menerima Dahlia seadanya.

“Seumur hidup, saya cuma akan mencintai satu nama. Hanya Nur Dahlia.” ~ Najman
“Lupakan dendam yang pernah wujud dan maafkan segala kesilapan mereka. Itu saja cara untuk melepaskan perasaan sakit di dalam hati. Supaya suatu hari nanti tidak ada hati yang akan terluka lagi.” ~ Jasmin

Cinta Najman dan nasihat Kak Jasmin memadamkan api dendam Dahlia.

Namun, ketika dia mula meletakkan cinta Najman di dalam hatinya, keluarganya pula dihancurkan oleh orang yang menyebabkan Kak Jasmin lumpuh. Malah, Dahlia juga hampir-hampir dibunuh oleh tangan yang sama.

“Aku ulang sekali lagi, tujuan aku adalah untuk menghancurkan keluarga kau sampai kau datang melutut depan kaki aku.”
“Hoi, betina! Aku tak akan melutut depan kaulah! Dan aku harap kau yang akan datang melutut depan kaki aku. Senang sikit aku nak sepak kau.”

Dendam telah menghancurkan dua buah keluarga. Dendam juga telah memusnahkan dua hati yang saling mencintai.

Apakah kuasa cinta mampu memadamkan api dendam di dalam hati Dahlia?
Mampukah Dahlia mencintai satu nama setelah apa yang terjadi kepada keluarganya?
Atau terus sahaja melupakan lelaki itu sampai bila-bila?