Sunday, October 25, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 16


BAB 16

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…


SERAUT wajah lena isterinya ditatap lama. Sesekali muncul senyuman kecil di bibirnya. Melihat wajah polos yang sedang terlena itu, hatinya diserang bunga-bunga bahagia. Betapa selama ini aku tak pernah memerhatikan dia seperti hari ini.
Betapa selama ini aku tidak menyedari yang dia adalah secantik-cantik wanita yang pernah aku temui. Dan dia adalah isteriku yang paling terbaik.
“Ain… Abang minta maaf. Sebelum ni abang suka tuduh Ain yang bukan-bukan, kan? Sampai abang sanggup suruh Ain gugurkan kandungan Ain. Abang ni jahat kan, Ain? Jahat sangat. Abang butakan mata untuk melihat berlian yang terselit di antara ribuan kaca yang tidak bernilai.”
Sedaya upaya Ain cuba menahan sebak yang tiba-tiba menjengah ke tangkai hati apabila patah kata suaminya menyinggah ke telinganya. Sebenarnya dia sudah lama terjaga dari lenanya. Dia sedar suaminya masih berada di sisi. Sejak dia terjaga tadi dan sehinggalah sekarang. Namun dia cuba pejamkan kelopak mata. Berpura-pura tidur dan tidak menyedari kewujudan suaminya di sisi.
Abang… hati Ain sakit sangat. Ain benar-benar terluka dengan apa yang Ain dengar. Sampai hati Abang Rish buat Ain macam ni. Abang pun sama. Ain sedar, abang dan Abang Rish sebenarnya tidak pernah sukakan kehadiran Ain dalam keluarga ini. Ain sedar diri Ain ni siapa, abang.
Baru sahaja dia ingin melayan hatinya yang terluka, terasa tangan kanannya diraih lalu digengam erat oleh sepasang tangan kasar. Tangan siapa lagi kalau bukan tangan suaminya. Selang beberapa saat, terasa sesuatu yang sejuk singgah ke jemari halusnya. Ain cuba mencuri intai. Ya, benar telahannya. Suaminya sedang menggengam erat tanganya lalu dibawa ke bibir. Menciumnya dengan penuh kasih sayang.
Abang… Jujur, Ain memang sayangkan abang sangat-sangat. Sejak awal perkahwinan kita lagi. Tapi sayang Ain ni cuma bertepuk di sebelah tangan sahaja. Sakit sangat perasaan tu, abang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana sakitnya.
“Ain… bangunlah. Abang ada benda yang nak dibincangkan dengan Ain. Abang ada benda yang nak diberitahu kepada Ain. Kalau Ain masih tak bangun, abang nak cakap macam mana? Bangunlah, Ain.” Dia cuba memujuk walaupun dia tahu isterinya tidak akan mendengar pujukannya itu.
Ain tak nak bangun. Kalau Ain bangun, abang akan sakitkan hati dan perasaan Ain lagi. Cukuplah, abang! Sampai bila abang nak sakitkan hati Ain? Sampai bila? Masih tak puas hatikah dengan apa yang dah terjadi kepada Ain?
Abang jahat! Abang Rish pun sama!
Deringan telefon bimbitnya, mematikan segala lamunan dan angan-angan yang tercipta indah. Nama yang tertera membuatkan dia melepaskan keluhan kecil. Di sana menanti, di sini menunggu. Apa pilihan yang aku ada? Haruskah aku memilih kedua-duanya?
Dia membiarkan deringan itu mati begitu sahaja. Namun, selang beberapa minit sekali lagi deringan nada dering nyanyian Hafiz dan Dato’ Rossa sekali lagi menjerit nyaring. Akhirnya, keputusannya adalah menjawab panggilan.
“Assalamualaikum, Dhiya.”
Sepatah nama yang baru menyapa corong telinganya membuatkan hati Ain sekali lagi terguris. Dhiya, Dhiya, dan Dhiya. Abang… Abang harus memilih. Kalau abang dah pilih Dhiya sebagai permaisuri hati abang, tolong lepaskan Ain. Jangan sakiti hati Ain lagi. Cukuplah! Tak perlu ajari Ain untuk mencintai abang lagi. Tak perlu!
“Waalaikumussalam, abang. Abang sihat? Suara abang dengar macam lemah aje?”
Suara Dhiya yang penuh prihatin membuatkan dia terdiam sejenak. Seraut wajah Ain dipandang lagi. Ain, abang sayangkan Ain. Tapi abang juga perlukan Dhiya. Dan sekarang abang dah buat pilihan. Pilihan yang terbaik untuk kita bertiga.

Kaki dilangkahkan menjauhi katil Ain. Kalau boleh, dia tidak mahu Ain terjaga apabila mendengar suaranya berbual di telefon. “Abang sihat. Abang nak jumpa Dhiya boleh?”
Ain dapat mendengar dengan jelas butir bicaKolam matanya terasa panas. Terasa mutiara jernih sudah mula ingin mencemari ruang mata. Hati, bersabarlah. Jangan biarkan Iqram melihat titisan air mata ini.
“Boleh. Apa sahaja untuk abang, semuanya boleh.”
“Kalau macam tu, kita jumpa kat tempat biasa. Setengah jam dari sekarang.”
“Okey. Dhiya bersiap sekejap. Jumpa abang kat sana nanti. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Selepas mematikan talian, Iqram menoleh sepintas llau ke arah Ain yang masih kelihatan seperti nyenyak dibuai mimpi. Tidak menunggu lama, tangannya terus mencapai dompet dan kunci kereta. Sempat bibirnya singgah pada dahi Ain sebelum kakinya melangkah meninggalkan bilik yang dihuni Ain.
Di anak tangga terakhir, dia sempat bertembung dengan mama. Apa lagi, memang berleterlah Puan Aryana. “Ram? Nak ke mana ni?”
“Mama… Ram nak Dhiya sekejap.”
Puan Aryana melepaskan keluhan panjang. Naik pening kepalanya dengan perangai Iqram. Dalam keadaan Ain yang masih tak sihat, dia boleh pergi jumpa dengan kekasih hatinya lagi? “Dah malam ni, Ram. Kalau jumpa esok tak boleh ke?”
“Mama… Ram janji. Sekejap sahaja.”
“Ram… Ain tu tak sihat lagi. Dia lebih memerlukan Ram di sisi dia dalam keadaan dia macam tu. Tak boleh ke Ram bertolak ansur sikit dengan Ain. Tak boleh ke Ram kesiankan Ain?”
“Ram minta maaf, ma. Tapi Ram perlu jumpa Dhiya. Ada perkara yang ingin dibincangkan.”
“Suka hati Ramlah. Mama dah malas nak memujuk rayu. Lepas ni, kalau jadi apa-apa pada Ain, Ram tak payah masuk campur lagi. Ain ni anak mama. Bukan isteri Ram, kan?” Patah kata Puan Aryana seperti sudah merajuk. Penat sangat melayan kerenah Iqram.
“Mama… Jangan cakap yang bukan-bukan. Ram janji. Sekejap saja.”
“Pergilah.” Sepatah jawapannya. Tidak menunggu lama, menonong sahaja langkahnya meninggalkan Iqram yang sudah melepaskan keluhan berat.


“DHIYA… Abang minta maaf. Abang… Abang tak boleh kahwin dengan Dhiya.” Iqram memilih untuk berterus-terang. Dia sudah berjanji dengan mama yang dia hanya akan jumpa Dhiya sekejap sahaja.
Terdiam. Baris kata itu benar-benar membuatkan Dhiya terdiam kelu. Lambat-lambat, anak matanya mencari sepasang anak mata lelaki yang dicintainya separuh mati itu. “Apa maksud abang? Kenapa tiba-tiba macam ni?”
“Sebab… Ain.”
Dhiya melepaskan ketawa kecil. Ketawa yang sengaja dibuat-buatnya. Dulu cakap benci sangat. Sekarang? Dah jatuh cinta? Ataupun… sebenarnya dia memang dah usik Ain? “Jadi, abang nak cakap yang abang dah jatuh cinta pada Ain? Macam tu?”
“Tak, Dhiya. Bukan sebab cinta. Tapi abang kesiankan Ain.” Bukan sebab cinta? Betul ke? Sikit-sikit, hati ini sudah mula jatuh sayang kepada seorang Nurul Ain Insyirah. Cintakah begitu?
“Habis tu… abang tak kesiankan Dhiya ke?”
Diam. Apa jawapan yang dia ada? Jujur, dia kesiankan Dhiya. Tapi jika dia terus kesiankan Dhiya, hati isterinya akan terus terluka. Dan sejujurnya, dia tidak mahu melukakan hati Ain lagi. Dia sudah bnar-benar menyesal dengan kekhilafan diri sendiri. Cukuplah dengan apa yang pernah dilakukan kepada Ain dulu. Cukuplah!
“Maaf, Dhiya. Abang terpaksa memungkiri janji-janji abang kepada Dhiya. Abang terpaksa lepaskan Dhiya kerana Ain. Maaf.” Usai berkata-kata Iqram terus mengorak langkah meninggalkan Dhiya yang mungkin sedang kecewa dengan patah katanya. Melangkah dengan seribu perasaan bersalah. Melangkah dengan hati yang serba salah. Maafkan abang, Dhiya. Abang dah bagi Dhiya harapan. Dan abang juga yang memusnahkan semuanya. Maafkan abang.


LAMA Iqram termenung di dalam keretanya. Satu persatu perbualan antara dia dan Dhiya terulang tayang di benak fikiran.
“Bukan sebab cinta. Tapi abang kesian Ain.”
Ya Allah… Betul ke sebab kesian? Tapi jauh di sudut hati aku cakap yang aku juga sudah mula sukakan Ain. Suka bukan yang biasa-biasa sahaja. Tetapi sebenarnya… aku dah jatuh cinta ada Ain.
“Jadi, abang nak cakap yang abang dah jatuh cinta pada Ain?”
Ya, Dhiya. Abang dah jatuh cinta pada Ain. Tapi abang tak sanggup nak mengaku depan Dhiya. Bimbang hati Dhiya terluka. Bimbang hati Dhiya terguris.
Perlahan kakinya menapak turun dari kereta. Menonong sahaja langkahnya diatur ke bilik yang dihuni Ain. Tubuh yang yang masih terbaring itu dipeluknya erat. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja ada mutiara jernih yang menitis jatuh ke pipinya.
“Maafkan abang, Ain. Maafkan segala dosa yang pernah abang lakukan kepada Ain. Ain… Abang…” abang sayangkan Ain. Jika Ain sedang mendengar kata hati abang ini, pasti Ain akan gelakkan abang, kan? Dulu abang beria bencikan Ain. Macam-macam tuduhan abang lemparkan kepada Ain. Abang mengaku… semua itu adalah silap abang. Berpunca daripada cemburu buta. Berpunca daripada kekhilafan abang.
Ain terjaga apabila terasa sesuatu yang berat menghempap tubuhnya. Tangannya yang lemah cuba untuk menolak sesuatu yang berat itu, tetapi tenaganya tidak cukup kuat. Sudahnya, Ain mencelikkan kelopak mata.
Terkejut! Dia benar-benar terkejut apabila terpandangkan seraut wajah yang dekat dengan mukanya. “A… awak…” Dia bersuara perlahan. Apa kena dengan dia ni? Dia ingat aku Dhiya ke? Tadi pergi jumpa Dhiya. Sekarang peluk aku pula? Kenapa perangai awak macam ni, Iqram? Saya tak suka! Tak suka!


MALAM itu, tepat jam satu pagi, Ain melangkahkan kaki meninggalkan rumah besar itu. Jujur, dia tidak sanggup untuk mendengar ungkapan ‘cerai’ dari bibir suaminya.
Awak… Saya dah penat dengan semua ni. Saya cintakan awak. Terlalu cintakan awak. Tapi saya sedar, saya cuma bertepuk sebelah tangan. Tak akan berbunyi kan, awak? Cinta yang bertepuk di sebelah tangan benar-benar menyakitkan, awak.
Hati saya sakit.
Jiwa saya resah.
Apa yang perlu saya buat, awak? Cuma ini sahaja jalan yang mampu saya lakukan. Saya tahu… awak tak akan halalkan setiap langkah saya. Tapi, saya perlu pergi. Saya tak nak awak sedih sebab saya lagi. Saya tak nak awak menderita lagi.
“Pergi naik atas! Mulai saat ini, aku haramkan kau keluar ke mana-mana. Aku tak izinkan selangkah pun kaki kau melangkah keluar dari bilik.”
Lagipun, awak pernah cakap, saya ni cuma seorang yang menyusahkan hidup awak. Awak… saya minta maaf kerana sudah banyak menyusahkan awak.
“Dia bukan anak mama! Dia cuma anak angkat! Anak pungut yang selalu menyusahkan keluarga kita!”
“Tak perlu kau nak minta maaf dengan aku! Aku tak akan maafkan segala dosa kau dengan aku. Isteri jenis apa kau ni? Hidup kau hanya menyusahkan aku semata-mata! Kau penghancur kebahagiaan aku! Kau pengkhianat! Sanggup kau menduakan suami kau, kan? Perempuan jahanam!”
Awak juga pernah cakap yang saya ni perampas kebahagiaan awak dengan bakal tunang awak. Kali ini saya tak nak menjadi penghalang cinta awak dan Dhiya lagi, Iqram. Saya lepaskan awak untuk orang yang awak sayang. Orang yang mencintai awak. Saya lepaskan awak kepada Dhiya.
“Sebelum Ram buat keputusan setuju berkahwin dengan Ain, Ram dah janji dengan Dhiya. Dhiya masih tunggu Ram, mama. Ram tak sanggup sia-siakan penantian Dhiya. Dhiya terlalu baik untuk dilukai. Dhiya terlalu telus untuk disakiti.”
“Ram ada impian Ram sendiri. Impian untuk hidup bahagia dengan seorang wanita yang bergelar isteri. Impian untuk memiliki khalifah kecil yang soleh dan solehah. Apa yang pasti, wanita yang Ram impikan itu bukan Ain, mama. Tapi Dhiya. Dhiya impian Ram. Dhiya masa depan Ram. Dhiya segala-galanya buat Ram. Ram minta maaf, mama.”
Perbualan antara Iqram dan mamanya terulang tayang lagi di minda. Cukup untuk membuatkan air matanya menitis jatuh lagi. Bukan saya kan? Tapi Dhiya!
“Ain tak mengandung. Saya boleh kahwin dengan awak, Dhiya. Lepas ni saya akan lepaskan Ain. Kita kahwin ya, Dhiya?”
“Kali ini abang tekad, Dhiya! Mama setuju atau tak, Ain setuju atau tak, abang akan serahkan Ain kepada Farish semula. Cukup-cukuplah. Lagipun, antara abang dan Ain perasaan cinta tu tak wujud. Kami tak pernah bersama macam pasangan suami isteri yang lain. Jadi untuk apa perkahwinan ni? Perkahwinan ini cuma satu beban, kan?”
Bibirnya menguntumkan senyuman kecil. Senyuman yang penuh dengan kehampaan. Lepas ni, saya tak akan membebankan awak lagi. Saya akan lepaskan awak. Saya izinkan awak bahagia bersama orang yang awak sayang. Bersama Dhiya!
Sempat bibirnya mencium tangan suaminya dengan penuh berhati-hati sebelum melangkah meninggalkan rumah agam itu.

Selamat tinggal, awak. Semoga awak akan bahagia dengan bahagia yang awak cari.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...



#Corat-coret

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…

Alhamdulillah…
Dengan izin Allah s.w.t, segala urusan dipermudahkan. Terima kasih, Ya Allah.

1. Antologi Cerpen CAK
Antologi Cerpen Cinta Anugerah Kehidupan CAK sedang berada dipasaran. Terima kasih kepada yang sudi membeli dan membaca CAK. Terima kasih juga untuk Penerbitan Layar Pena kerana sudi memilih hasil karya saya.

2. Ajari Aku Untuk Mencintaimu/ Mencintaimu, Nurul Ain Insyirah
Nak cerita sikit pasal Mini Novel Ajari Aku Untuk Mencintaimu. Buat masa sekarang, mungkin saya belum berkesempatan untuk terus upload sambungan novel ini dan lain-lain novel yang masih tertangguh.
Untuk pengetahuan semua pembaca, pengomen, followers, silent readers, dan semua yang sudi menyokong dari jauh, mini novel Ajari Aku Untuk Mencintaimu akan disambung dalam bentuk novel. Masih lagi memerlukan beberapa bab untuk mengukuhkan jalan cerita dan akan disiapkan dengan tajuk Mencintaimu, Nurul Ain Insyirah. InsyaAllah, jika tiada halangan, novel ini juga akan dihantar ke penerbit untuk dinilai. Doakan semoga perjalanan novel Mencintaimu, Nurul Ain Insyirah dipermudahkan dan lulus penilaian penerbit.

3. Novel Cinta Aku Untuk Dia
Tak lama lagi CAK akan dapat adik baru. Novel Cinta Aku Untuk Dia bakal menyusul ke naskah cetak. Terima kasih kepada mereka yang telibat dengan Novel Cinta Aku Untuk Dia. Bila bakal diterbitkan? InsyaAllah, akan datang tak lama lagi. Penerbit mana? Bakal dimaklumkan tak lama lagi.
Sekarang, saya sedang upload bab/ teaser novel Cinta Aku Untuk Dia di Fb Rose Aleyna dan Group Fb @ Rose Aleyna. Jemput singgah dan join untuk baca bab/teaser yang bakal diupload dari masa ke masa. Doakan semoga perjalanan novel Cinta Aku Untuk Dia berjalan dengan lancar dan berjaya muncul dalam naskah cetak.

4. Terima kasih
            Jutaan terima kasih saya hadiahkan buat yang terlibat. Tidak lupa juga ribuan terima kasih kepada pembaca dan pembeli. Dan kepada yang sudi menjengah blog, mengomen dan membaca walau sebaris ayat, thank you so much. Terima kasih kerana sokongan anda untuk karya yang tidak seberapa ini.  
Doakan yang terbaik untuk saya. Doakan semoga perjalanan manuskrip lain bakal lulus penilaian dan bakal diterbitkan dalam naskah cetak.

Lot of love,

Rose Aleyna
<3 <3 <3