Google+ Followers

Monday, July 29, 2013

CERPEN: MENCINTAIMU SAMPAI MATI




CERPEN: MENCINTAIMU SAMPAI MATI



3 hari yang lepas…

“Ann... temankan aku jumpa Nuar?”
Dia berpaling ke arah suara yang menegurnya itu. “Hah? Er... tapi Add Math aku belum siap lagi la.”
“Ala... aku pun! Kita kan satu kelas. Malam nanti kita buat la sama-sama.”
“Hmm.” Akhirnya Ann bersetuju untuk menemani Zya.
Di bawah pohon rendang itu kelihatan seorang lelaki sedang duduk di atas sebuah bangku. Di sawah padi inilah Zya dan Nuar declare sebagai pasangan kekasih. Dan di sini juga hatinya terluka.
Ann memandang lama seraut wajah lelaki itu. Nuar... kalaulah kau tahu betapa aku cintakan kau? Tiba-tiba Zya datang menerpa lalu duduk bersebelahan dengan Nuar. Nuar tersenyum bahagia. Hmm... dia nampak sangat gembira bila bersama Zya. Ann tersenyum hambar. Dia bukan untuk aku!
“Hai, Ann! Sihat?” Tegur Nuar.
Ann senyum. “Kau nampak?” Soalan berbalas soalan.
“Aku nampak kau makin sihat. Bahagia betul kau, kan? Kau makan nasi beras cap ape, ek?” Nuar memerli Ann.
Senyuman dihulurkan sebagai jawapan. Kakinya diatur melangkah ke arah bendang. Batas bendang dilalui dengan berhati-hati. Saat ini fikirannya dipenuhi dengan kenangan-kenangan lalu yang tidak pernah sekalipun dilupakan.


3 tahun yang lalu...

“Weh, budak gemuk! Kau apehal pandang-pandang aku macam tu? Aku tahulah aku ni handsome. Tapi tak payahlah kau tenung aku sampai nak keluar biji mata kau tu!”
Dia mencebik. “Perasan! Siapa pandang kau?”
“Huh, kau jangan buat-buat tak tahu okey? Untuk pengetahuan kau, aku sangat-sangat bencikan budak gemuk yang perasan comel macam kau ni!” Tempelak lelaki itu lagi.
Haha! Ann buat-buat tergelak! “Aku yang perasan comel atau aku dah semulajadi dianugerahkan muka yang comel? Sebab tu kau cakap aku comel, kan?”
Dia mengetap bibir geram. “Kau ni kan… manusia yang tak reti nak bersyukur, kan? Bangga! Riak dengan anugerah Ilahi.”
“Siapa yang riak? Kau yang cakap aku comel tadi, kan?”
“Mana ada aku cakap kau comel? Aku cuma cakap kau budak gemuk yang perasan comel!”
Waaa… Rasa macam nak nangis aje dengan kutukan-kutukan yang macam gitu! Namun ditabahkan hatinya. Walau apa pun cakap orang, butakan mata dan pekakkan telinga! Lambat laun, orang pasti akan penat untuk mengata lagi!


3 bulan berlalu...

Bulat anak matanya memandang kelibat perempuan di hadapannya itu. Berseorangan? Mana Zya? Kenapa Zya tak ada sekali dengan minah ni? “Ann? Mana Zya?” Dia menyoal ingin tahu.
Sorry, Nuar! Zya tak dapat datang. Pagi tadi mama dia ajak pergi pekan. So, dia tak balik lagi.”
“Dia wakilkan kau?” Soalnya mahukan kepastian.
“Hmm.” Sepatah jawapannya.
“Dia ada kirim apa-apa?”
“Zya kirim ni.” Sampul surat bersaiz A4 itu dihulurkan kepada Nuar.
“Apa ni?” Nuar menyambut dengan wajah tersenyum. Takkanlah Zya tulis surat cinta pulak? Tak pernah-pernah pun tulis surat?
“Ntah, Ann tak tahu.”

~ Setiap malam aku memikirkan tentang dia.
Bila dekat, jantung ini terasa seperti terhenti berdenyut.
Sungguh... aku cinta dia!! ~ an_an

Nuar tersenyum sendiri. Sejak bila pulak Zya  pandai jiwang karat ni? Dah dua tahun bercinta! Tapi dia tak pernah tahu yang Zya boleh bermadah seperti ini. Nuar baca lagi.

~ Bagai pungguk rindukan bulan.
Aku sentiasa merinduimu.
Namun kau jauh di atas sana.
~ an_an

Baris ayat itu mengelirukan dia. Jika dibaca dan terus dibaca, bukan Zya yang menulis bait kata seperti ini. Zya tak pandai bermadah! Dan ini... bukan tulisan Zya. Siapa an_an? Anak mata dilarikan lagi membaca helaian yang seterusnya.

~ Cinta dia untuk Zya melebihi segalanya.
Aku cuma mencintai dia dalam diam.
Nuar... andainya kau tahu...
Ann <3Anuar
~an_an

Ann dan Anuar? Apa ke merepeknya? Zya yang bagi semua ni? Penipu! Takkanlah Zya nak bagi semua ni? Untuk apa Zya bagi semua ni? Jangan-jangan... minah gemuk ni yang bagi sendiri sebab nak bagitahu yang dia cintakan aku? Sengaja menggunakan nama Zya untuk menutup salahnya?
Lama dia memandang seraut wajah itu. Sakit hati… benci… Semuanya bersatu di dalam hatinya saat ini. Tajam pandangannya seolah-olah ingin menusuk masuk menembusi jantung wanita di hadapannya itu. “Kenapa kau datang sini?” Serius soalannya.
Ann berpaling ke belakang sambil mengerutkan dahi sendiri. Kenapa dia tanya soalan macam tu pulak? Bukan tadi aku dah cakap ke yang Zya minta aku datang sini? Kenapa muka dia serius sangat tu? Ada yang tak kena ke? Beribu soalan bermaharajalela di kotak fikiran. “Zya minta Ann datang jumpa Nuar.”
“Huh, alasan! Maafkan aku, Ann! Aku tak akan pernah sukakan kau! Apatah lagi cintakan kau!” Dia sudah merengus kasar.
Berkerut seribu dahinya memandang seraut wajah itu. Tak suka aku? Bukan ke dah lama aku tahu yang dia tak sukakan aku? Cuma aku yang syok sendiri sukakan dia. Lelaki ini cuma sukakan Zya seorang sahaja. Dia hanya cintakan Zya. “Apa maksud Nuar?”
Helaian kertas itu dicampakkan ke muka Ann.
Ann mengerutkan dahi. Terkejut dengan tindakan drastic itu.  Perlahan dia menunduk mengutip helaian kertas yang bertaburan itu. Satu persatu ayat yang tertera itu dibacanya. Hampir menitis air matanya apabila membaca bait kata yang terpapar pada helaian kertas itu. Tulisan aku... Tapi, kenapa ada pada Nuar? Zya bagi pada Nuar? Tapi... Zya dapat dari mana? Maksudnya... Zya tahu pasal ni?
Perlahan kepalanya didongakkan memandang seraut wajah yang kelihatan serius, menahan marah itu. Nuar marahkan aku? “Nuar... aku tak maksudkan...”
“Perempuan tak sedar diri! Sanggup kau rampas kekasih sahabat baik kau sendiri? Perempuan jenis apa kau ni? Dah la badan gemuk! Muka cubby! Kau budjet kau cantik sangat ke? Balik nanti kau cermin diri kau depan cermin! Tanya pada diri kau, sesuai tak kau dengan aku? Tak padan langsung!” Tanpa sempat Ann membela dirinya, Nuar terus menghemburkan amarahnya.
“Nuar... aku...”
“Dah lah! Aku menyampah tengok muka kau. Lepas ni, aku tak nak jumpa kau lagi!” Sekali lagi dia memotong ucapan Ann. Kali ini langkah kakinya sudah diatur meninggalkan perempuan gedik yang terhegeh-hegeh itu. Cuma ada satu cinta dalam hatinya. Hanya Zya! Hanya Zya!



3 tahun berlalu...

“Alhamdulillah... Nuar dah sedar pun.” Puan Azlina mengucapkan rasa syukur yang tak terhingga kepada Ilahi. Sudah seminggu anaknya terlantar di hospital itu setelah menjalani pemindahan hati. Baru hari ini Nuar mencelikkan matanya.
Nuar memandang satu persatu wajah di hadapannya. Ya, dia sudah sedar daripada lena yang panjang! Dia mengucapkan syukur di dalam hatinya. “Ma... siapa yang bagi hati dia, ma? Nuar nak jumpa dia.”
Puan Azlina tersenyum hambar. “Nuar… banyakkan bersabar ya? Penderma hati itu merahsiakan namanya. Mama sendiri pun tak tahu siapa dia.”
Nuar mengeluh hampa. Tangan kanannya singgah pada dada sendiri. Di dalam ini ada hati milik seorang penderma yang bermurah hati. Namun, dia tidak dapat mengenali siapa pemilik hati itu.
“Zya… Nuar nak mintak tolong Zya. Hakim doktor, kan? Nuar nak mintak pertolongan Hakim. Boleh kan, Zya?”
Zya mengangguk perlahan. Ya, suaminya itu memang seorang doktor. Tapi dapatkah Hakim mencari penderma hati itu sedangkan penderma sendiri menyembunyikan maklumat dirinya? “InsyaAllah, Nuar. Zya cuba. Tapi… Zya tak janji.”
“Nuar tak kisah. Asalkan Nuar dapat ucap terima kasih pada dia dah cukup untuk Nuar.”


3 bulan berlalu…

Langkah kakinya diatur lemah ke arah meja solek. Sekilas, dia memerhatikan diri sendiri. Seraut wajah yang pucat itu dipandang lama. Ya Allah, pucatnya muka aku? Perlahan tangannya mencapai bedak compact. Disapunya ke muka perlahan. Secalit lipstick turut disapukan pada seulas bibir yang kelihatan pucat itu. Lama dia memerhatikan diri sendiri. Hmm… dah tak nampak pucat! Lebih elok berbanding tadi.
Walaupun terasa lemah, digagahkan juga dirinya untuk menapak ke bilik Nuar. Sudah tiga bulan dia menanti. Hari ini tubuhnya terasa agak sihat berbanding hari sebelumnya. Keinginan untuk mengetahui keadaan Nuar membuatkan dia gagahkan kaki untuk melangkah.
Sudah dua hari Nuar dimasukkan ke wad hospital ini kerana demam yang melarat. Namun baru hari ini dia terasa sihat untuk bergerak.
“Assalamualaikum.”
Nuar berpaling ke arah pintu bilik. Melihat seraut wajah itu, hatinya membuak-buak menahan marah. Kenapa perempuan ini muncul di sini? Pada saat ini? Kenapa bukan tiga bulan yang lalu? “Kenapa kau datang sini? Kau tahu kan yang aku bencikan kau sangat-sangat? Aku benci kau, Ann!” Nuar memegang dada sendiri. Tiba-tiba sahaja dadanya terasa sakit. Ya, Allah… kenapa dengan aku ni?
Peristiwa di bawah pohon rendang itu menggamit kembali. Selepas pertengkaran dengan Ann, dia mencari Zya. Zya menjelaskan semuanya kepadanya. Rupanya Ann cintakannya sejak di bangku sekolah lagi. Tiga bulan berlalu, dia dan Zya masing-masing memutuskan untuk berpisah kerana tidak serasi. Zya memilih cinta lain dan dia masih sendiri sehingga kini.
Ann tersenyum menahan rasa hati. Dia tidak mahu bersedih di hadapan Nuar. Kerana dia tahu hati dia ada bersama Nuar. Itu sudah memadai baginya. “Nuar… Ann datang untuk minta maaf.”
“Maaf? Untuk apa lagi, Ann? Aku pernah cakap pada kau yang aku tak akan pernah memaafkan kau, kan? Dah lupa?”
Ann senyum lagi. Mana mungkin dia lupa? “Nuar… saya sukakan awak. Dan sampai matipun saya tetap cintakan awak. Jawapan yang masih sama seperti dulu. Saya tahu awak tak pernah suka saya. Tapi… saya bahagia sangat tengok awak sihat macam ni, Nuar.”
Huh! Nuar mengeluh berat. “Kau bukan datang sini untuk melihat aku sihat, Ann! Kau datang sini untuk menyakitkan aku lagi, kan?” Dia memegang dada sendiri yang terasa sangat sakit dengan kata-katanya itu.
“Terima kasih, Nuar… Sebab sudi terima saya dalam hati awak.”
Terima dia? “Apa yang kau merepek ni? Bila masa pulak aku terima kau?”
Ann senyum. Walaupun awak tak faham apa-apa, saya redha! “Hidup baik-baik, Nuar. Saya bahagia sangat sebab ada bersama awak.”
“Apa yang kau merepek ni?”
“Tak ada apa-apalah. Sekali lagi saya nak minta maaf pada awak.”
“Tak! Aku dah cakap kan… yang aku tak akan pernah maafkan kau!”
“Tak apalah. Saya harap suatu hari nanti awak akan sudi maafkan saya supaya saya dapat pergi dengan tenang. Dan juga… saya akan terus mencintai awak sampai mati.”
Nuar buat-buat tergelak mendengar baris ayat itu. Nampaknya dia masih cintakan aku lagi! “Huh, aku harap kau akan mati dengan mata terbuka kerana kempunan untuk dapat cinta aku!”
Ann tersenyum hambar. “Benci betul awak pada saya, kan?”
“Ya, aku memang bencikan kau! Sampai kau mati sekalipun!”



Sebulan kemudian…

Puas berdiri, dia duduk kembali. Pening kepalanya memikirkan sesuatu. Kenapa aku asyik mimpi dia aje? Dah tiga malam berturut-turut pun. Ingatan aku ni… asyik ingat dia aje! Kenapa ya? Aku rasa macam… aku rindu dia! Kau biar betul Nuar? Dulu bukan main kau tak sukakan dia! Bencikan dia! Sampai tergamak doakan yang bukan-bukan pada dia!
Hari ini rawatan susulannya di hospital itu. Alang-alang tiba di sini, dia berjumpa Zya untuk mengetahui perkembangan pencariannya. Seraut wajah di hadapannya itu dipandang lama. “Zya… dah jumpa penderma hati tu?”
Zya tertunduk sekejap. Tiba-tiba sahaja perasaan sebak mencucuk hatinya. Ann… Sepatah nama itu tersebut di hatinya. Ann berkeras tak nak Nuar tahu perkara yang sebenarnya. Kerana berpegang pada janji insan yang sedang menanti hari, dia tidak berterus terang pada Nuar. “Maaf, Nuar… Masih tak ada jawapan.”
“Tak apalah, Zya. Allah masih belum tunjuk. InsyaAllah, aku akan jumpa dia jugak suatu hari nanti.”
Zya mengangguk perlahan. Nuar… saya tak rasa awak sempat jumpa dia lagi. Sebab dia sedang menantikan saat terakhir dia. Dia sedang bertarung nyawa, Nuar! Akibat pemindahan hati itu, hatinya terkena jangkitan kuman yang tak dapat dikesan sejak awal. Bila tahu, jangkitan itu telah merebak ke lain-lain organ dalamannya. Banyak organ yang rosak dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Panggilan telefon bimbitnya membuatkan dia cemas. “Maaf, Nuar! Saya dah kena pergi. Lain kali kita jumpa lagi.” Cepat-cepat Zya beredar dari situ tanpa menunggu jawapan Nuar.
Nuar memegang dada sendiri. Sakitnya dada ni. Tadi masa jumpa doktor elok aje! Kenapa sekarang tiba-tiba sakit pulak? Nuar mencari tempat rehat. Entah mengapa, dia membatalkan niatnya dan berjalan mengikut kata hatinya.
“Ann… mengucap, sayang. Ingat Allah!”
Ann melemparkan senyuman. “Ann gembira sangat, ma. Walaupun Ann akan pergi jauh daripada dia dan tak akan jumpa dia lagi, hati Ann ada bersama dengan dia. Bersatu dengan hatinya.”
Nuar terngadah sendiri. Dadanya dipegang kuat. Baris ayat itu cukup membuatkan dia tersentak. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan sesuatu. “Terima kasih, Nuar… Sebab sudi terima saya dalam hati awak.” Sebaris ayat itu terngiang-ngiang di fikirannya.
“Ann… terus teranglah dengan dia. Dia nak sangat jumpa pendermanya. Zya takut dia tak sempat jumpa Ann lagi.”
“Zya… Ann dah tak cukup masa. Boleh Zya tolong Ann?”
Zya mengangguk perlahan. Sebak hatinya mendengar nafas Ann yang tersekat-sekat itu.
“Ann hutang satu kemaafan daripada Nuar. Nuar masih belum maafkan Ann. Dan Ann mintak tolong Zya cakap pada Nuar… Izinkan hati Ann ada dalam hatinya.”
Menitis air mata di pipinya apabila mendengar kata-kata Zya. Penderma? Ann, kah? Kenapa Ann tak pernah bagitahu dia? Kenapa Ann sembunyikannya daripada dia? Nuar menarik nafas. Dia sudah terlambat. Dan dia perlu perbetulkan semuanya. Perlahan Nuar menapak masuk ke bilik itu.
Terperanjat! Terkejut apabila melihat Nuar yang sedang menapak masuk ke bilik serba putih itu. Kenapa Nuar ada di sini? Dalam keadaannya yang tak sempurna ini? Wajah aku pasti nampak pucat sangat. Aku dah tak mampu bangun untuk berpura-pura sihat di hadapan Nuar lagi. Aku hanya mampu memandang langkah dia. Dia menahan air matanya daripada menitis jatuh ke pipi.
Ann pura-pura senyum. “Awak dah maafkan saya, Nuar?” Soalan sama masih dipersoalkan.
“Tak! Aku tak pernah maafkan kau.”
Ann senyum lagi. Namun kali ini senyumannya sudah bersama air mata yang mula menitis ke pipi. “Awak… saya dah nak pergi jauh ni. Tapi takpe! Saya akan selalu ada bersama awak. Sebab hati saya milik awak.”
“Aku benci kau, Ann! Kenapa kau tak pernah berterus terang? Kenapa?” Soalnya mahukan kepastian.
“Sebab saya cintakan awak, Nuar. Sampai matipun saya akan cintakan awak. Saya minta maaf, Nuar.” Walaupun nafasnya terasa sempit, namun dia cuba meluahkan apa yang dipendamnya selama ini. Dan Nuar perlu tahu semuanya.
Nuar sudah menerpa ke arah Ann. Tangan itu dicapai dan digengamnya erat. “Kenapa kau perlu berkorban sampai macam ni? Kenapa bagi hati kau pada aku? Aku lebih rela mati daripada tengok kau macam ni!”
“Sebab saya tak nak tengok awak mati. Terima kasih pada Zya. Zya selalu cerita yang awak selalu sakit dada. Hari tu, saya ternampak ujian darah awak dan tahu penyakit awak. Bila awak perlukan hati yang sesuai, saya mencuba nasib. Alhamdulillah hati saya sesuai untuk awak.”
“Kenapa hilangkan diri, Ann? Tahu tak yang aku selalu fikir pasal kau? Selalu rasa rindu nak jumpa kau! Tapi kau tak muncul-muncul!”
Ann senyum. “Sebab saya tak larat, Nuar. Saya dah tak ada masa. Saya nak cintakan awak sampai mati biarpun saya tak pernah dapat cinta awak, Nuar.”
“Ann… sebenar-benarnya aku juga sudah lama cintakan kau. Tapi aku pendamkan sebab segan nak bagitahu kau. Aku pernah tolak cinta kau, kan? Dan aku sangat-sangat menyesal kerana terlalu lama memendamkannya.”



3 bulan berlalu…

Hari ini genap tiga bulan Ann kembali ke rahmatullah. Nuar mengukirkan senyuman. Ann… kalau awak nak tahu, saya gembira sangat! Walaupun awak tak ada di sisi saya, tapi hati awak ada bersama saya. Ke mana sekalipun saya pergi.
Ann… awak dengar tak dengupan jantung saya? Rupanya cinta saya untuk awak lebih banyak berbanding cinta saya untuk Zya. Dulu pun saya pernah sukakan awak. Cuma waktu tu saya tak pernah sedar. Saya selalu minta Zya bawak awak untuk temankan dia. Padahal saya suka tengok muka awak yang cubby tu! Kalau tak nampak awak, mesti saya tak selesa.
Awak tak kisah, kan kalau saya masih cintakan awak? Walaupun tak dapat bersama di dunia, InsyaAllah kita akan bersama di akhirat kelak. Saya selalu berdoa kepada Yang Maha Esa moga hati ini akan bertemu semula pemiliknya di alam bazarkh kelak. Terima kasih untuk hati ini. Terima kasih untuk cinta ini. Aku akan terus mencintaimu sampai mati.


Sebulan berlalu…

Di tanah perkuburan Islam yang masih merah itu, dia mengalunkan bacaan Surah Yaasin. Semoga roh si mati berada dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh kepada Allah Yang Esa. Semoga rohnya tenteram di alam sana.
Selesai mengaminkan doa, Hakim memaut bahu isterinya yang masih menahan sendu. “Zya… sabarlah. Sesungguhnya yang hidup itu pasti akan kembali kepadaNya. Doakan semoga rohnya dicucuri rahmat Yang Maha Esa.”
Zya mengangguk perlahan. Suaminya itu sangat-sangat memahami dirinya. Terima kasih Hakim, kerana hadir dalam hidup saya. Perlahan tubuhnya diangkat dan melangkah menghampiri Puan Zalina yang sedang menanti di bawah pohon rendang itu.
Zya menyapu air matanya yang berebut-rebut ingin jatuh ke pipi lagi apabila terpandangkan ibu arwah. Sungguh, dia terkejut dengan berita yang baru sahaja didengarinya itu. “Innalillah… Nuar sakit apa, aunty?”
Puan Azlina masih menahan air mata. “Aunty tak pasti. Dia meninggal selepas solat Subuh pagi tadi.” Perlahan tangannya menyapu air mata yang menitis jatuh ke pipi. “Semalam dia ada cakap yang dia nak jumpa pemilik hatinya.”
Zya menahan sendu. Betapa cinta sejati akan mencari cintanya semula. Walaupun bukan di dunia, mungkin di akhirat. Cinta Ann untuk Nuar sangat kuat sehingga mampu mencintai Nuar sampai ke akhir hayatnya. Dan Nuar pula… sama seperti Ann. Mencintai Ann sampai ke akhir hayatnya.
“Doakan semoga roh mereka tenteram di alam sana.” Hakim bersuara sambil memandang isterinya.
Perlahan tangannya mencapai tangan suaminya. “Abang… Zya juga akan mencintai abang hingga hujung nyawa Zya.”
“Abang pun. Akan mencintai Zya hingga hujung nyawa abang.”

~ TAMAT ~

No comments:

Post a Comment