Sunday, August 18, 2013

CERPEN: MAAF AKU MENCINTAIMU

CERPEN: MAAF AKU MENCINTAIMU




POTRET itu ditatap bersama senyuman di bibir. Potret hari raya Aidilfitri dua tahun yang lepas. Semua balik raya kat rumah papa. Seronok sangat masa tu. Ada Fea! Tengok tu! Comel kan, Fea? Masa tu Fea baru setahun setengah. Tak sabar nak tunggu dia balik raya sini lagi tahun ni.
Telefon bimbitnya dicapai. Satu nombor didail. “Assalamualaikum, Qis.”
“Waalaikumussalam, Lia. Amboi... tak sabar nak tunggu aku balik ke? Lagi seminggu aje pun!”
Dahlia mencebik. “Eleh, sorry sikit! Aku bukan tak sabar nak tunggu kau balik. Tapi tak sabar nak jumpa Fea. Rindunya dekat dia. Dua tahun tau aku kena tunggu dia balik!”
“Fea aje yang kau rindu? Aku?”
“Ala kau takpe! Bila-bila pun aku boleh call kau. Fea susah sikit. Kalau dia baru bangun tidur, dia tak nak cakap dengan aku.”
“Yelah... Fea anak kau jugak, kan? Nanti kalau aku pergi jauh-jauh kau tolong tengok-tengokkan Fea, tau?”
“Hah? Kau nak pergi jauh lagi ke? Ala... kau tak kesian ke dengan Fea tu? Dah dua tahun di kat negara orang. Tak naklah jauh-jauh lagi lepas ni.”
“Aku cakap kalau tadi kan?”
“Yelah! Yelah! Kimi mana?”
“Mandi.”
“Ok la. Nanti kau kirim salam pada Kimi. Fea sekali. Bye, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Dahlia tersenyum senang. Mengikut kata Balqis, lagi seminggu mereka akan pulang ke tanah air. Balqis merupakan kembar seirasnya yang merantau di Jepun kerana menyambung pelajarannya. Sebenarnya, semester akhir dah habis minggu ni. Tapi mereka sekeluarga bercadang untuk bercuti terlebih dahulu sebelum pulang ke Malaysia.
Tak kisahlah! Asalkan mereka jadi balik Malaysia. Tahu tak yang aku ni rindu sangat dengan kembar aku tu? Cuma malas nak cakap depan dia aje. Satu lagi... Fea! Anak saudara yang sangat comel dan cute tu! Rindu sangat nak main dengan dia.


“MA, persiapan raya macam mana?”
Puan Dinie tersenyum sendiri melihat anak daranya itu. Tak sabarlah tu! “Patutnya mama yang tanya Lia, kan?” Puan Dinie mengusik.
“Bahagian Lia dah siap. Tunggu malam raya eje nak potong bawang. Lepas tu pagi raya. Buat nasi dagang. Balqis suka sangat la nasi dagang tu.” Dia sudah tersenyum-senyum. Mana mungkin dia lupakan makanan kegemaran adik kembarnya itu.
“Hmm... Balqis dengan kamu tu sama aje. Dua-dua sukakan nasi dagang.”
“Mama agak Fea suka tak nasi dagang?”
“Manalah mama tahu. Dulu masa diorang sekeluarga ke Jepun tu umur Fea baru setahun setengah. Sekarang dah masuk empat tahun dah. Entah-entah dia tak suka masakan orang Malaysia, tak? Asyik diberi makanan Jepun aje!”
Dahlia mengerutkan dahi. “Mana boleh lupa? Dia kan lahir kat Malaysia. Balik raya ni pun dah balik terus Malaysia. Tak gi Jepun dah. Mama dan papa dia dah habis belajar. Kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik hujan batu, kan?”
Puan Dinie tergelak kecil. Ha’ah... backup la sangat, kan? Balqis dan Dahlia dua kembar seiras. Dahlia lahir awal sepuluh minit daripada Balqis. Tapi, Balqis yang kahwin dulu. Si Dahlia pulak, tak nak kahwin-kahwin lagi walaupun umur dah nak masuk 27 tahun. Entah apa yang ditunggunya, Puan Dinie tidak tahu.
“Eleh, padahal dia tu tak sabar-sabar nak tunggu Balqis balik!”
“Memanglah, ma. Dua tahun tu tak jumpa dia!”
“Yela... mama pun sama, rindukan dia jugak.”
Fea


2 bulan berlalu...
“FEA, jom sayang.”
“Mama... kita nak pergi tengok papa ke?”
Senyuman manis dihulurkan kepada gadis berusia empat tahun itu. “Ya sayang.”
“Papa tak nak jumpa Fea lagi ke mama?”
Seraut wajah sedih itu ditatapnya bersama senyuman. Anak kecil ini sangat sukar mempamerkan riaknya. Kadang-kadang sukar untuk dia membaca apa yang ada dalam hati anak kecil itu. “Fea... papa kan sakit? Kita tunggu papa sembuh dulu, ya?”
“Bila papa sembuh, Fea nak ajak papa gi jalan-jalan. Boleh kan, ma?” Dia sudah ketawa kecil.
“Boleh sayang. Ke mana pun Fea nak pergi, mama dan papa akan bawakan.”
“Janji, tau?”
“Ya, mama janji.”
Fea... mama pun tak tahu bila papa akan bangun. Mama tak tahu sama ada papa Fea akan sembuh ataupun tidak. Tapi takpe! Kalau papa tak ada pun, mama tetap akan bawak Fea ke mana sahaja Fea nak pergi. Mama akan jaga Fea seumur hidup mama sebagaimana janji mama pada mama kandung Fea. Mama akan tunaikan selagi termampu.
Selepas kemalangan yang meragut nyawa Balqis, Dahlialah orang bertanggungjawab menjaga Fea. Itu janji dia sebelum Balqis menutup matanya. Akibat kemalangan itu juga, Hakimi masih dalam keadaan koma sampai ke hari ini. Kerana wajahnya yang seiras Balqis, Fea menganggap Dahlia adalah Balqis. Panggilan mama sebati dalam diri Dahlia. Dia redha sekiranya menjadi seorang ibu walaupun belum tiba masanya lagi.
Hampir menitis air matanya apabila melihat Hakimi masih belum sedarkan diri. Sepanjang hari dia berdoa. Siang dan malam tak pernah putus. Doanya semoga Hakimi sembuh. Harapannya agar Hakimi sudah membuka mata sebaik sahaja dia melawat Hakimi.
Ditahan air matanya daripada terus menitis di hadapan Fea. Sungguh, dia tak sanggup melihat kesedihan pada seraut wajah Fea. Pernah sekali dia menangis kerana berputus harap. Tetapi tangaisannya mengundang kesedihan Fea. Mulai detik itu, dia bertekad untuk tidak menangis lagi di hadapan Fea.
“Fea... tengok tu! Papa asyik tidur aje! Bila papa nak bangun ni?” Dia berpura-pura gelak.
“Mama... papa kan sakit. Biarlah papa rehat.”
Dahlia tergelak besar. Pandai pulak si budak kecik ni bercakap, ya? Dia sekadar mengangguk perlahan.
“Fea... Fea temankan papa sekejap ya? Mama nak lawat kawan mama ke bilik sebelah tu kejap.”
“Okey, ma. You don’t have to worry.
Ceh, anak mat salih ni... Perasan nak jadi orang besar la tu! “Ma... tolong tengokkan Fea kejap ya? Lia nak lawat kawan Lia kejap.”
“Yelah. Pergilah. Fea memang suka duduk sini. Lama pun tak apa.”
Hakimi

BARU sahaja dia ingin melangkah masuk ke bilik itu, dia terdengar esakan kecil. Dahlia menghentikan langkahnya. Perasaan ingin  tahu menyebabkan dia mengintip di celah pintu bilik itu.
“Papa... bangunlah. Bila papa nak bangun? Papa tak kesiankan Fea ke? Papa tak kesiankan mama? Fea kesian sangat dekat mama. Fea tahu... mama penat jaga Fea sorang-sorang. Fea tahu... mama yang Fea ada sekarang bukan mama Balqis. Tapi mama Dahlia.”
“Papa nak tahu tak? Walaupun mama Fea yang sebenarnya dah pergi jauh, Fea tak sedih. Sebab Fea ada mama yang baru. Mama Dahlia baik sangat, papa.”
“Papa tak rindu Fea? Fea rindu papa sangat-sangat. Fea selalu doakan papa cepat-cepat bangun. Cepat-cepat sembuh. Fea rasa... mama pun selalu doakan perkara yang sama. Sebab Fea pernah nampak mama menangis lepas solat.” Fea menyapu air mata di pipinya. Nafas ditarik dalam. Riak wajah yang sedih berganti senyuman.
“Papa tahu..? Fea selalu senyum macam ni depan mama. Fea tak nak mama sedih. Fea tak nak tengok mama menangis. Fea kesiankan mama.”
Tubuhnya tersandar lesu pada dinding. Betapa luhurnya hati seorang kanak-kanak yang masih kecil itu. Saat ini, hatinya benar-benar tersentuh. Hatinya benar-benar terusik. Setiap kata-kata Fea menusuk masuk ke tangkai hatinya.
Fea... jangan bimbang sayang... Sekali pun papa Fea tak bangun-bangun, mama akan tetap jadi mama Fea. Walaupun untuk seumur hidup mama. Jika papa Fea bangun pun, mama tetap mama Fea. Selamanya.
“Lia...”
Sentuhan lembut di bahunya menyebabkan Dahlia membuka kelopak matanya. Seraut wajah yang nampak sedih itu dipandangnya. Cepat-cepat dia menyapu air matanya yang masih mengalir di pipi. Cukuplah hanya dia seorang yang menanggung kesedihan seperti itu.
“Mama...” Bibirnya menguntumkan senyuman.
“Sabarlah, Lia... Dia masih kecil lagi. Sebab tu dia fikir yang bukan-bukan. Banyak benda yang ada dalam kepalanya. Sebab tu dia keluarkan apa yang ada dalam kepalanya.”
Rupa-rupanya mama juga mendengar luahan hati Fea. “Ma... Lia sedih sangat tengok Fea macam tu. Lia tahu... Fea rindukan arwah. Fea rindukan papa dia.”
“Hmm... mama tahu. Sebenarnya, mama dah pernah dengar Fea mengadu macam ni sebelum ni. Fea takkan mengadu jika Lia ada. Mama tahu, Fea sayangkan Lia sebanyak dia sayangkan arwah. Jadi... Lia kena kuat sayang. Jangan biarkan perasaan menguasai hati. Sabar... banyakkan istighfar, banyakkan berdoa. Ingat Allah, Lia.”
Dahlia mengangguk perlahan. Dia tahu... itulah yang setiasa meniti bibir mamanya setiap kali melihat dia bersedih. Dia juga tahu, bukan dia seorang sahaja yang sedih dengan musibah yang menimpa itu, tetapi mama juga... Fea juga... dan Kimi juga...
Dahlia

FEA mengukirkan senyuman apabila melihat kelibat mamanya yang menapak masuk ke dalam bilik serba putih itu.
“Papa... tengok tu! Mama datang.”
“Fea... tengok papa tu! Asyik tidur aje! Bila papa nak bangun ni?” Dahlia menceriakan suaranya.
“Papa... bangunlah! Mama janji dengan Fea nak bawak Fea jalan kat Cameron Highland lepas papa sembuh. Fea tunggu papa sembuh tau!”
“Papa... Fea tahu papa dengar. Fea harap papa akan bangun jugak. Papa tak kesian tengok mama jaga Fea sorang-sorang?”
“Fea... kenapa cakap macam tu, sayang? Mama sayangkan Fea. Mama tak kisah pun kena jaga Fea sorang-sorang. Tapi... kalau papa ada kan best?”
Menitis air mata Hakimi apabila mendengar bait kata yang dituturkan oleh dua beranak itu. Fea... maafkan papa... Dahlia... terima kasih kerana sudi menjaga Fea. Terima kasih kerana menganggap Fea seperti anak sendiri.
Maaf, Kimi... Aku tak sengaja nak buat kau sedih macam ni. Aku tahu kau dengar semuanya. Kau dengar luahan hati Fea. Aku harap kau akan kuatkan diri untuk bangun, Kimi. Demi Fea!
“Fea... jom ikut nenek kejap, sayang. Nenek nak belikan air.”
“Jom!”
“Assalamualaikum, Kimi...” Dahlia menghulurkan salam. Biarpun Hakimi tidak menunjukkan sebarang reaksi, namun dia tahu Hakimi mendengar.
“Kimi... aku nak minta maaf banyak-banyak pasal Fea. Aku langsung tak ada niat nak ambil Fea daripada kau. Aku tahu kau akan sembuh jugak suatu hari nanti.”
“Kimi... Fea dah anggap aku mama dia sejak mula-mula jumpa dulu. Masa kat hospital hari kemalangan dia dah panggil aku dengan panggilan mama. Mula-mula aku keliru... Sebab masa tu aku tak biasa ada anak dan aku pun tak pernah ada anak sendiri. Tapi kau tahu kan... aku sayangkan Fea. Sejak dulu lagi aku dah anggap dia macam anak aku sendiri.”
“Kau jangan bimbang, Kimi. Aku selalu ceritakan pada dia pasal mama kandung dia. Aku juga pernah bawak dia ke kubur arwah. Tapi... dia tetap tak nak percayakan aku.”
“Bangunlah, Kimi... Dah lama sangat kau tidur. Kau tak nak tengok perkembangan Fea ke? Dia dah pandai baca dengan baik, tau? Dia pandai macam arwah. Kimi... kalau boleh, esok aku datang sini aku nak tengok kau dah bangun, tau? Buat surprise pada Fea. Boleh, kan? Aku tahu kau boleh, Kimi.” Dahlia senyum. Dia tahu, hari-hari dia cakap benda yang sama. Harap-harap Kimi akan dengar.


BERITA kehilangan Hakimi benar-benar melemahan segala kekuatan yang ada pada dirinya. Tugu kesabaran yang dibinanya sekian lama, lumpuh rebah ke bumi.
“Ma... apa yang Lia patut buat, ma?” Air matanya menitis lagi jatuh ke pipi gebu itu. Entah untuk kali berapa, dia sudah tidak tahu! Apa yang pasti, setiap kali teringatkan Fea dan Hakimi, air matanya akan jatuh ke bumi!
Puan Dinie terus memeluk bahu anaknya. “Lia... sabar, sayang. Ingat Allah!”
“Ma... macam mana dengan Fea? Macam mana dengan Lia? Luqman...”
“Lia... Dahlia masih ada mama. Ada Allah. Fea masih ada Lia. Ada mama. Ada Allah. Luqman tetap ada Lia. Jika ini yang Hakimi mahu, kita perlu redha. Teruskan hidup kita yang masih panjang. Terima takdir Allah, Lia. Allah tak akan menguji hambaNya yang tidak mampu. Allah hanya akan menguji sesuai dengan kemampuan hambaNya.”
Dahlia menganggukkan kepala perlahan. “Lia tahu ma... Tapi Lia risaukan Fea. Macam mana Fea nak hadapi hidupnya tanpa seorang bapa, ma? Dia masih kecik lagi. Umur dia baru empat tahun, ma!”
“Lia... Lia kena ingat sayang... Hakimi cuma menghilangkan diri. Bermaksud Fea masih ada peluang untuk bertemu papanya kembali kerana papanya masih hidup. Cuba Lia fikir, bagaimana dengan keadaan anak kecil yang telah kematian bapanya ketika usianya seperti Fea. Dia tidak akan ada peluang lagi untuk bertemu bapanya.”
Dahlia memeluk mamanya. Sungguh, dia bukanlah sekuat yang orang sangkakan! Hatinya cuma sekeping hati wanita biasa!
“Pasal Luqman... Lia berbincanglah elok-elok dengan dia. InsyaAllah dia akan faham keadaan Lia.”
Ini satu lagi masalahnya. Kenapa Luqman masih tak nak faham keadaan dirinya? “Macam mana kalau dia tak boleh nak terima Fea?”
“Cinta sejati pasti akan menerima baik buruk pasangannya.”


TERMENUNG. Sejak kebelakangan ini dia kerap termenung. Apa yang dimenungkan? Bukankah tabiat termenung itu satu tabiat yang tidak elok? Membuang masa dengan perkara yang sia-sia.
“Lia... Lia okey?”
Dahlia berpaling ke belakang apabila mendengar suara ibunya. “Mama... dari mana, ma?”
Puan Dinie tersenyum. “Dari dapur. Nah, air.”
Thanks, ma.”
“Hmm... Lia masih fikirkan Hakimi?”
Dahlia tersenyum hambar. Mustahil untuk dia terus melupakan lelaki itu. “Lia dah terima semuanya dengan hati yang ikhlas, ma. Dah lebih sebulan kita cari dia. Lia dah redha dengan ketentuan Allah. Jika ini yang Allah tetapkan terbaik untuk Lia, Lia terima dengan hati yang ikhlas, ma.”
“Macam mana dengan Luqman?”
“Luqman? Lia redha ma. Jika dia tidak boleh menerima kehadiran Fea, maksudnya Lia juga tidak boleh terima dia. Lia tak akan berkahwin selagi Fea tak besar. Fea akan bersama dengan Lia. Selamanya, ma.”
“Lia... Lia sedar kan, sayang? Lia sedang mempertaruhkan masa depan Lia. Impian Lia?”
Dahlia tersenyum hambar. “Lia redha dengan takdir Allah.”
“Itu bukan redha namanya, Lia! Itu pasrah! Dua perkara yang berbeza. Redha itu ikhlas, pasrah itu berserah!”


DIA menggaru kepalanya yang tidak gatal. Betul ke apa yang aku nampak ni? Langkah kakinya diatur mengekori langkah lelaki itu. Tiba di kaunter pembelian tiket, Dahlia terpinga-pinga sendiri. Aku nak buat apa kat sini? Bukan tadi aku dah nak balik ke? Tapi lelaki tu...
Tanpa sedar, dia turut melangkah masuk ke ruang menunggu LRT dengan menggunakan kad Touch ‘n’ go. Aku nak pergi mana ni? Ikut dia? Tapi... dia nak gi mana? Dahlia... ingat sikit, kau tu sorang-sorang! Dia tu lelaki! Macam mana kalau dia tu bukan Kimi? Tak ke menempah maut namanya?
Kakinya dilangkahkan masuk ke gerabak yang sama dengan lelaki itu. Daripada jarak semeter itu, dia dapat melihat dengan jelas seraut wajah milik lelaki itu. Betul ke apa yang aku nampak ni? Wajah yang sama. Ketinggian yang sama. Tapi jika dibandingkan, lelaki itu nampak lebih berisi. Ada sedikit janggut di dagunya. Bukan ke Kimi tak suka simpan janggut? Anak matanya beralih pula pada rambut lelaki itu. Kelihatan lebat dan kehitaman. Namun disimpan sedikit panjang membuatkan seraut wajahnya terlindung. Dah macam Izzul Islam dalam cerita Hantu Kapcai pulak! Tapi... Kimi tak suka rambut panjang. Betul ke lelaki ni Hakimi?
LRT berhenti di stesen KLCC. Melihat lelaki itu melangkah keluar, cepat-cepat Dahlia mengatur langkah keluar daripada perut LRT. Eh, mana dia? Dia tercari-cari seraut wajah itu. Melihat seorang lelaki berbaju biru yang berjalan dengan laju tidak jauh darinya, cepat-cepat Dahlia berlari anak mengejar lelaki itu.
“Kimi!” Laungnya.
Lelaki itu meneruskan perjalanan tanpa menoleh ke belakang.
Dahlia mengetap bibir geram. Oh, buat tak tahu ya? “Kimi! Awak Hakimi, kan?” Cepat sahaja dia berlari dan menghalang langkah lelaki itu.
Lelaki itu mengerutkan dahinya apabila melihat seorang perempuan yang tercungap-cungap tiba-tiba sahaja berdiri di hadapannya. “Sorry, saya rasa awak salah orang.”
“Tak! Saya yakin awak Hakimi.”
“Maaf, saya bukan Hakimi.”
Berkerut dahinya memandang lelaki di hadapannya itu. Tapi... suara dia pun dah macam Hakimi. Lama dia meneliti seraut wajah itu. Mana mungkin dia perasankan seraut wajah itu. Dia jarang bertemu dengan lelaki itu. Sejak Hakimi berkahwin dengan Balqis, mereka tinggal di Kuantan. Tak lama selepas itu meraka menyambung pelajaran di luar negara pula. Kerana itu dia tidak mengenali lelaki itu dengan lebih dekat.
Melihat kediaman wanita di hadapannya, dia mengambil keputusan untuk beredar. Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar terkesan dengan kemunculan wanita ini di hadapannya. Wajah yang sangat seiras isterinya itu benar-benar mengacau bilaukan hatinya. Dua bulan dia bertahan untuk tidak terserempak dengan perempuan itu. Tapi hari ini...
“Kimi... ” Dahlia bersuara. Dia perlu bersuara kerana hatinya yakin bahawa lelaki yang ditemuinya itu adalah Hakimi, papa Fea.
Langkahnya terhenti. Suara itu menusuk masuk ke dasar hatinya. Sama seperti suara arwah Balqis. Suara yang sama menemaninya tatkala dia terlantar lama di hospital. Kenapa Dahlia? Kenapa kau bersusah payah cari aku balik?
“Kimi... saya tahu awak Hakimi. Baliklah, Kimi... Fea rindukan awak.”
Diam. Tiada jawapan yang diterimanya. Lelaki itu masih kaku berdiri membelakangi dirinya.
“Kalau betul awak adalah Hakimi yang saya cari… Saya harap sangat awak balik temui Fea. Dia rindukan awak. Setiap hari dia tunggu papa dia balik. Kalau betul awak sayangkan Fea, awak baliklah. Terangkan perkara sebenar pada dia. Walaupun dia masih kecil, tetapi dia boleh mengerti, Kimi. Dia akan faham.”


MATA bertentangan mata. Hati masing-masing saling berdetak hebat. Mati senyuman yang sejak tadi menguntum di bibirnya. Benarkaah apa yang aku lihat sekarang? Benarkah? Tiba-tiba sahaja ada perasaan kurang enak bermain di ceruk hatinya. Bagaimana dengan Fea? Apakah dia kembali ke sini untuk mengambil Fea dari aku? Liurnya diteguk perlahan. Terasa payah untuk melalui keronkongnya! Sungguh, dia sedang risaukan kemungkinan itu! Apakah dia sanggup berpisah dengan Fea?
“Lia…”
Suara itu menusuk sampai ke jantungnya. Ya, benar! Matanya tidak menipu! Ini adalah Hakimi! Papa Fea!
“Lia… aku datang nak ambil Fea.”
Hampir terjatuh tubuhnya mendengar sebaris ayat itu. Menitis air matanya satu persatu. Sungguh, dia tidak sanggup mendengar baris ayat itu. Kenapa, Kimi? Kenapa setelah dua tahun?
“Lia, kenapa ni?” Puan Dinie yang baru muncul cepat-cepat menyambut tubuh Dahlia yang hampir-hampir rebah itu. Pandangannya jatuh pada seraut wajah. Terkejut hatinya bukan kepalang! Hakimi? “Kimi?” Dia menyoal perlahan.
Hakimi mengangguk perlahan. “Boleh saya jumpa anak saya?”
Puan Dinie mengetap bibir perlahan. “Sebelum tu boleh mama bercakap dengan Kimi sekejap?”
Hakimi tersenyum dan mengangguk. Seraut wajahnya langsung tidak mempamerkan perasaan bersalahnya.
“Luq… tolong bawa Lia masuk kejap.”
Luqman yang baru sampai terpinga-pinga sendiri. Namun, dia sekadar mengikuti arahan Puan Dinie tanpa banyak soal.


LAMA masing-masing mendiamkan diri. Walaupun sejuta persoalan bermain di minda, satu pun tak mampu diluahkan.
Melihat kediaman Puan Dinie, Hakimi memilih untuk bersuara. “Kimi minta maaf, mama.”
“Bukan pada mama. Pada Dahlia!” Ringkas jawapannya.
Keluhan kecil dilepaskan. Ada sesuatu yang sedang menyesakkan dadanya. Dan dia perlu berjumpa empat mata dengan Dahlia. “Kalau mama izinkan, boleh saya bercakap dengan Dahlia sekejap?”
Puan Dinie mengetap bibir perlahan. Sakit hatinya membuak-buak pada menantunya itu. Kenapa baru sekarang Hakimi datang mencari Fea? Sedangkan Dahlia telah korbankan segalanya untuk membesarkan Fea! Dua tahun! Bukan satu jangka masa yang sekejap! “Mama izinkan.” Bibirnya tetap mengizinkan. Apa-apa pun Hakimi dan Dahlia tetap perlu berbincang.
Perlahan kakinya menapak masuk ke bilik itu. Kelihatan kelibat Dhlia sedang berbaring di situ sambil memicit kepalanya. Ya, dia tahu Dahlia risaukan Fea. Dua tahun! Sepanjang dua tahun itu dia mengekori jejak Fea dan Dahlia. Sepanjang dua tahun itu dia mengambil tahu perkembangan Fea dan Dahlia. Sungguh, dia telah jatuh cinta dengan kasih sayang yang Dahlia hulurkan kepada Fea. Ataupun dia telah jatuh cinta dengan kebaikan Dahlia sejak dia terlantar di hospital lagi! Pengorbanan Dahlia untuk Fea tak pernah dilupakan walaupun sedikit. Dan dia juga tahu, Dahlia pernah menolak pinangan lelaki yang dicintainya kerana Fea. Besarnya pengorbanan gadis itu!
“Lia…”
Dahlia menoleh ke arah pintu biliknya. Cepat-cepat dia bingkas bangun dan duduk di birai katil apabila terpandangkan seraut wajah itu. Terasa kepalanya kembali berdenyut. Dia menundukkan kepalanya. “Kenapa kau datang, Kimi? Kenapa baru sekarang?” Lantang suaranya memenuhi ruang bilik itu.
Hakimi menapak masuk ke bilik itu dan melabuhkan duduknya di sebelah Dahlia. “Aku… aku minta maaf, Lia.”
Dahlia tersenyum sinis. Baru sekarang dia datang untuk meminta maaf? Untuk apa? Untuk aku melepaskan Fea kepadanya? Tak mungkin, Kimi! Aku sayangkan Fea melebihi nyawa aku sendiri! Aku takkan lepaskan Fea pada kau dengan mudah! Hatinya memberontak hebat! “Kenapa kau larikan diri, Kimi?” Lain yang ingin diperkatakan, lain pula yang meniti bibirnya.
“Lia… Aku tahu aku bersalah besar pada kau. Bukan niat aku untuk melarikan diri. Tapi…” Dia menghentikan ayatnya sebentar. Namun dia tahu… dia perlu jelaskan semua keraguan!
“Tapi… aku takut! Bayangan Balqis ada bersama kau, Lia! Aku takut akan melihat kau sebagai Balqis. Raut wajah yang seiras… sikap yang hampir serupa… kenakalan yang sama…” Dia menarik nafas perlahan. Berat sungguh nafas yang ditariknya itu.
Dahlia mendiamkan diri. Dia memberikan ruang sepenuhnya untuk Hakimi menjelaskan semuanya. Kerana itu yang dia mahukan sebelum ini! Sejak dua tahun yang lepas lagi!
“Aku… aku takut jika aku terjatuh cinta pada kau! Kau terlalu baik, Lia! Kasih sayang yang kau berikan pada Fea terlalu banyak! Sejak aku terlantar di hospital lagi! Walaupun masa tu aku tak dapat bangun dan melihat… tapi aku boleh mendengar, Lia! Dan aku dengar segalanya. Masa tu… aku… aku dah jatuh sayang dengan kasih sayang kau.”
Satu persatu air matanya menitis jatuh ke pipi. Ya, dia tahu! Doktor ada memberitahunya bahawa Kimi boleh merasa dan mendengar! Sebab itulah dia selalu memberikan semangat dan sokongan kepada Hakimi.
“Bukan dengan cara melarikan diri, Kimi. Kau tahu tak? Betapa Fea mengharapkan kau sembuh. Betapa Fea menunggu kau balik?” Tersekat-sekat suaranya menahan sendu.
“Ya, aku tahu! Tapi… aku takut sangat! Bila aku sedar dari koma, aku akan kehilangan kau sekali lagi! Macam aku pernah kehilangan Balqis!”
Takut kehilangan aku? Apa maksud dia? Tiba-tiba hatinya berdebar perlahan. “Kenapa kau tak berterus terang? Masa aku jumpa kau dekat KLCC… itu kau, kan? Kenapa kau tak balik, Kimi? Kenapa?” Dia menyoal lagi mahukan kepastian.
“Ya, memang aku. Aku tak sanggup nak balik, Lia! Kalau aku balik, aku terpaksa tinggalkan kau. Padahal hati aku masa tu terlalu sayangkan kau! Aku tak nak lepaskan kau, Lia! Kalau aku balik masa tu, apa jawapan kau? Apa yang akan kau buat kalau aku berterus terang?”
Apa maksud dia? Dahlia bingung!
Hakimi menghela nafas perlahan. Dia perlu berterus terang! “Aku takut sangat, Lia! Aku takut orang yang aku cinta tinggalkan aku sekali lagi. Macam Balqis tinggalkan aku! Maaf, Lia… Aku sukakan kau! Aku sukakan kau lebih daripada seorang kakak ipar. Sejak aku koma lagi. Sejak aku tahu kau terlalu ambil berat pasal aku dan Fea.”
Dahlia meneguk liur perlahan. Sepasang anak mata itu dipandangnya lama. Dia cuba mencerna kata-kata itu. Tetapi dia masih lagi keliru!
Hakimi memandang sepasang anak mata itu. “Maaf, Lia… Aku cintakan kau!”
Dahlia masih terkebil-kebil sendiri. Tidak percaya dengan apa yang baru sahaja menusuk masuk ke telinganya. Aku tak mimpi, kan?
Hakimi mengangguk kepala perlahan. Anak matanya masih tidak lepas memandang sepasang mata cantik berwarna coklat itu. Hanya itu yang membeza Dahlia dan Balqis. Warna anak mata mereka. “Dua tahun aku pendamkannya. Tapi sekarang… aku luahkan semuanya! Aku tak sanggup memendam rasa lagi! Aku terlalu cintakan kau! Apatah lagi pengorbanan yang kau lakukan untuk Fea sepanjang dua tahun ini, Lia! Aku tahu segalanya. Dan aku nampak segalanya!”
“Lia?! Apa semua ni?”
Satu suara di hadapan pintu biliknya memeranjatkan Dahlia dan Hakimi. Dua pasang anak mata itu terus berpaling ke arah pintu biliknya. Luqman??


DI pagi yang indah itu, dia bangkit dari katilnya. Kakinya diaturkan ke jendela. Tingkap dibukanya dan langsir diselaknya. Sepoi-sepoi angin sejuk menusuk masuk dan terus meresap ke dalam tulangnya. Wah, sejuknya…
Bibirnya menguntumkan senyuman. Indah sungguh permandangan pagi di Cameron Highland ini. Kabus pagi menyeliputi hampir keseluruhan ruang. Cahaya matahari malu-malu untuk menampakkan wajahnya. Dari atas bukit dia dapat melihat dengan jelas permandangan matahari terbit. Indah sungguh alam ciptaan Yang Maha Berkuasa ini!
“Assalamualaikum, sayang.”
Terperanjat dirinya apabila ada tangan sasa yang melingkar lembut di pinggangnya. Senyuman diukirkan. Perlahan kepalanya ditoleh ke belakang. “Waalaikumussalam. Awal abang bangun?”
Lelaki itu tersenyum lebar sambil mencium lembut pipi isterinya itu. “Abang bangun awal sebab sayang tak ada kat sebelah abang. Kenapa tak kejutkan abang?”
“Kesian kata bang. Bagi masa untuk abang tidur lama sikit.”
“Hari ni kita nak ke mana?”
“Lia nak bawak Fea jalan-jalan dekat Strawberry Farm.”
“Bawak Fea je? Abang?”
“Abang pun.”
Hakimi tersenyum lebar. Cepat sahaja bibirnya singgah di pipi isterinya itu. “I love you so much, sayang.”
Dahlia tersenyum bahagian. “Lia pun.”
“Apa yang Lia pun?”
“Er… hmm… sama macam abanglah.” Kali ini dia sudah menggelabah sendiri.
“Apa yang sama?” Hakimi masih ingin mengusik isterinya itu. Tak sangka pulak yang Dahlia ni rupanya pemalu sangat. Nampak kuat! Namun di suatu sudut dalam hatinya ada tersimpan sifat pemalunya yang ketara sangat. Apatah lagi dengan dia. Walaupun dah enam bulan mereka mendirikan rumah tangga, Dahlia tetap malu-malu dengannya. Sikapnya yang satu ini sangat berbeza dengan arwah. Sikap ini jugalah yang menambahkan rasa sayangnya terhadap Dahlia.
“Er… hmm…”
“Cakaplah. Abang nak dengar sekali aje! Please…
“Er… tapi… tak naklah! Segan!”
Pelukannya diperkemaskan lagi. Pipi isterinya itu dicium lagi. “Kalau Lia tak nak cakap, abang tak nak lepaskan Lia. Cancel ajelah date kita dengan Fea.”
“Apa abang ni? Mana boleh macam tu? Nanti apa pulak cakap mama!” Puan Dinie sangat faham keadaan mereka berdua. Mereka memilih dua bilik. Mama dan Fea satu bilik. Dahlia dan Hakimi satu bilik. Katanya nak bagi peluang pada pengantin baru! Buat malu orang aje mama ni!
Just say it. Please…
“Tapi…” dapat dirasakan pipinya sudah mula membahang. Terasa sangat malu untuk menuturkannya. Apatah lagi bila suaminya itu merenung jauh ke dalam matanya. Dia meneguk liur perlahan.
“Sekali aje… Kalau tak nak cakap, abang kiss Lia.”
“Hah? Er… tapi…” Belum sempat Dahlia menghabiskan ayatnya, bibir suaminya sudah mendarat pada seulas bibirnya. Kelu lidahnya tidak terkata. Dahlia memejamkan matanya. Membiarkan kehangatan bibir suaminya itu. Sungguh, dia benar-benar bahagia bersama Hakimi.
I love you too, abang.” Berjaya juga dia menuturkannya sebaik sahaja suaminya itu melepaskan bibirnya.
Senyuman Hakimi meleret sampai ke telinganya. Bahagia hatinya tidak terkira. Pelukan sayang dan cinta dihadiahkan kepada isterinya itu. “Abang pun sayangkan Lia sangat-sangat!”
Dahlia tersenyum bahagia. Sungguh, dia benar-benar bahagia. Ada Hakimi bersamanya… Ada Fea bersama… Ada sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang bersamanya…
Qis… Terima kasih untuk semua ni. Walaupun dia kini bergelar isteri Hakimi, namun dia tidak pernah terlupa untuk membawa Hakimi dan anaknya itu melawat kubur arwah setiap hari Jumaat. Kerana Balqislah dia bahagia seperti ini sampai sekarang.
Luqman… dia redha dengan ketentuan Allah. Jodohnya bukan bersama Dahlia. Sekarang dia dah bertunang. Dengan Suhaila. Kawan sekolah yang paling dibencinya dulu. Tak sangka bencinya akan bertukar kepada sayang. Tahniah, Luq…
Fea… gembira betul dia bila Dahlia setuju dengan lamaran papanya. Terlompat-lompat sampai nak runtuh katil dibuatnya! Untuk pengetahuan Fea, mama pun gembira sayang. Dapat berada di sisi sayang untuk selamanya.
Puan Dinie… thanks, mama… Sebab banyak sangat bagi sokongan pada Lia. Orang yang sentiasa ada dengan Lia saat suka dan duka. Orang yang selalu menyuntikkan semangat untuk Lia. Sebab cadangan mama juga, dia dan Hakimi sampai ke tahap ini. Perkahwinan yang dirancang oleh mama. Terima kasih sangat-sangat untuk mama!
Abang… Maaf, Lia juga mencintai abang! Sampai hujung nyawa Lia, hanya abang yang aka nada dalam hati Lia. Terima kasih untuk cinta ini.
Kata orang, bahagia ada bersama mereka yang mencintai cinta. Cintailah cinta. Kerana cinta yang akan membawa bahagia hingga ke akhirnya. Kepada mereka yang masih belum menemui cinta, carilah cinta! Kerana cinta adalah sesuatu yang paling indah!

Bahagia ada bersama mereka yang mencintai cinta ...

~ TAMAT  ~

No comments:

Post a Comment