Tuesday, June 9, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 3






BAB 3

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

“AKU terima nikahnya Nurul Ain Insyirah binti Amirul Hadi dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai.”
Air matanya menitis jatuh ke pipi sebaik sahaja tok kadi dan juga saksi-saksi menyebut perkataan ‘sah’. Bukan air mata kegembiraan… tetapi air mata kesedihan. Dengan sekali lafaz sahaja dia sudah bergelar isteri kepada lelaki yang tidak mencintainya. Lelaki yang menyimpan benci kepadanya.
“Ain… hulurkan tangan tu, sayang. Suami Ain nak sarungkan cincin.”
Tersentak apabila ada tangan yang menyentuh lembut bahunya. Ain mengangkat kepala sambil menoleh ke sisinya. “Mama…”
Puan Aryana mengukirkan senyuman. Sedih hatinya melihat air mata yang turun dengan lebatnya di pipi anaknya itu. Dia tahu Ain sedih. Dan dia tahu Ain masih terkejut dengan apa yang berlaku.
Kedua-dua tapak tangannya diangkat lalu menyapu air mata yang masih mahu mengalir di pipi mulus itu.  Bibirnya cuba menguntum senyuman bahagia. “Jangan menangis, sayang. Hulurkan tangan tu. Suami Ain nak sarungkan cincin.”
Berkerut dahinya sekejap. Perlahan kepalanya ditoleh ke sebelah apabila mama membuat isyarat mata. Hah, bila masa pulak dia datang ke sini? Tak perasan pun? Melihat pandangan tajam sepasang anak mata itu, jantungnya berdegup pantas. Ya, dia tahu… lelaki ini memang benar-benar marah kepadanya. Walau macam mana pun, aku sudah sah menjadi isteri dia.
“Pandang apa? Tangan!” Kasar suara itu menuturkan patah kata. Namun kedengaran perlahan sahaja kerana bimbang tetamu-tetamu yang hadir perasankan kedinginan antara pengantin perempuan dan pengantin lelaki.
Liurnya diteguk perlahan. Perlahan tangan kirinya diangkat. Terketar-ketar! Takut dan berdebar silih berganti.
Pantas sahaja dia menyambar tangan itu lalu menyarungkan cincin itu secepat mungkin. Langsung tiada senyuman yang menghiasi seulas bibirnya. Cuma yang ada, hanya pandangan tajam yang seolah-olah ingin menelan gadis itu hidup-hidup. Marah dan sakit hati!
Kau tak akan bahagia, Ain! Aku janji… aku akan buat hidup kau sengsara! Kerana penderitaan kami dua beradik! Kerana kesedihan mama! Kerana kehancuran keluarga ini!
“Hah, tunggu apa lagi? Ciumlah dahi isteri kamu tu. Cameraman dah bersedia tu.”
Dia membuat riak tidak berpuas hati. Namun bila menyedari ada banyak mata yang memandang, disabarkan juga hatinya. Takpe! Untuk saat ini aje! Acuh tak acuh sahaja dia mencium dahi itu.
“Bang… sekali lagi, bang. Tak sempat nak tangkap gambar.”
Dia menjeling tajam. Nak tangkap gambar buat apa? Ini bukan kenangan bahagia. Tetapi ini kenangan duka! Ataupun mungkin kenangan derita dalam hidup aku!



IQRAM merebahkan tubuh di atas katil itu. Perlahan tangan merayap pada dahi sendiri lalu dipicitnya perlahan. Walaupun cuma majlis kecil-kecilan, penatnya memang terasa. Penat fizikal… dan juga mental!
Farish… kau menghilang ke mana? Kenapa saat ini? Kenapa di ketika ini? Saat kami sekeluarga perlukan kau!
Sakit hatinya membuak-buak apabila dia terpaksa menggantikan tempat Farish yang sudah menghilangkan diri entah ke mana. Sejak semalam dia mencari kelibat adiknya itu. Namun masih tidak ditemui. Farish menghilang sehari sebelum majlis mereka berlangsung.
“Ram… Tolong mama. Tolong teruskan perkahwinan ni. Mama nak Ram kahwin dengan Ain.”
What? Apa mama merepek ni? Mama… tolong jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak?”
“Mama janji! Kalau betul Ain tak mengandung, Iqram boleh lepaskan Ain kalau Iqram setuju.”
“Mama ingat kahwin ni main-main ke?”
“Tak! Tapi mama nak jaga maruah Ain. Maruah Farish, maruah Iqram dan juga maruah mama.”
“Mama tahu tak yang mama sedang mempertaruhkan masa depan Ram dan Ain? Mama nak ke masjid yang baru terbina ni terhenti setengah jalan? Dalam masa yang terdekat? Hanya sebab mama nak majlis ini diteruskan?”
Kerana ingin menjaga maruah keluarga, dia terpaksa menggantikan tempat adiknya. Tak guna kau, Farish! Sudahnya aku juga yang kena jadi pak sanggup! Mati-mati aku pertahankan kau, ini balasan kau kepada aku?
Dia sudah menjalankan kursus perkahwinannya bukan untuk berkahwin dengan perempuan kotor itu. Tetapi dia bersedia untuk berkahwin dengan tunangnya. Hancur musnah harapannya apabila mama menyuruh dia mengantikan tempat Farish. Berkali-kali dia menolak. Sungguh, dia benar-benar tidak sampai hati apabila melihat mutiara jernih yang laju menuruni pipi mamanya.
Kelam kabut dia membuat persiapan dalam masa satu hari demi majlis yang sudah diwar-warkan kepada jiran tetangga. Mahu atau tidak, dia tetap terpaksa menggantikan Farish yang hilang entah ke mana. Terpaksa menjadi suami kepada manusia yang paling dibencinya.
“Untuk pengetahuan kau, aku memang berdendam dengan kau! Aku bersumpah, Ain! Aku akan hancurkan hidup kau sepuas hati aku! Sampai kau rasa tak sanggup lagi nak hidup! Aku akan seksa hidup kau, Ain! Atas segala kesusahan yang kau berikan kepada aku dan mama! Atas kehancuran hidup aku!”
Tubuh dipusingkan ke kanan. Nafas dihelakan kasar. Itu patah kata yang dilemparkan kepada Ain selepas perempuan itu sah bergelar isterinya.
Aku bencikan kau, Ain! Kau dah musnahkan impian aku untuk hidup bersama tunang aku. Kalau Dhiya tahu tentang perkahwinan ni macam mana?
Ya Allah… Berserabutnya kepala otak aku ni! Kerana Nurul Ain Insyirah semuanya jadi macam ni!
Mendengar pintu bilik yang dibuka perlahan, hatinya semakin diserang rasa sakit yang membuak-buak. Amarah datang meruap-ruap.
“Ram… Mama tahu, Ram masih tak bersedia untuk semua ini. Tapi mama nak Ram janji dengan mama yang Ram akan jaga Ain baik-baik. Dan tolong… jangan marah-marah Ain. Mama nak Ram hidup dengan Ain baik-baik. Mama nak hubungan Ram dengan Ain kekal hingga hujung nyawa.”
“Tapi mama…”
“Tak ada tapi-tapi lagi Ram. Untuk malam ni dan malam seterusnya, tolong izinkan Ain tidur kat bilik Ram. Untuk malam ini dan malam seterusnya, tolong belajar untuk jaga hati Ain. Tolong belajar untuk menyayangi dan mencintai Ain sebagai isteri Ram.”
Sungguh, dia tidak boleh menerima setiap patah kata mama itu. Jaga kau, Ain! Kau buat hidup aku merana! Tapi aku akan balas merana itu kepada kau beratus kali ganda!
Ain menelan liur perlahan. Sungguh, kakinya rasa terkaku di depan muka pintu bilik. Melihat sekujur tubuh yang sedang meniarap di atas katil, hati kecilnya terusik. Abang Iqram… Ain minta maaf.
Sedar Ain masih berdiri di depan pintu biliknya, Iqram bingkas bangun. Langsung tidak memandang seraut wajah kaku itu. Malam ini dia penat. Penat untuk segala-galanya yang berlaku. Jadi malam ini dia tidak akan memulakan pergaduhan.
Sebiji bantal dan selimut miliknya dicapai lalu kaki dilangkahkan menghampiri pintu bilik.
“Abang nak ke mana?” Takut-takut Ain menyoal juga. Pesanan mama silih berganti dibenak fikirannya.
Laju Iqram menoleh sambil mencerlung tajam seraut wajah di sisinya. “Don’t you dare to call me ‘abang’. Aku bukan abang kau! Dan aku bukan suami kau sesungguhnya! Aku tak hadap pun nak panggil kau tu dengan panggilan ‘isteri’.”
Tersentak sungguh dia dengan jerkahan kuat itu. Terasa mahu menangis. Tetapi dikuatkan hati untuk berhadapan dengan kerenah suaminya.
“Er… awak nak pergi mana?” Pelik apabila melihat suaminya sudah memeluk bantal dan selimut. Nak tidur kat luar ke? Tapi mama pesan jangan tidur asing-asing!
“Suka hati akulah.” Baru sahaja ingin membuka daun pintu, satu ketukan kedengaran di muka pintu bilik itu. Sepantas kilat, Iqram mencampakkan bantal dan selimutnya semula ke katil. Mama! Pasti mama! Sempat anak matanya dijegilkan ke arah Ain, menghantar amaran senyap sebelum membuka pintu.
“Mama? Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Cuma mama nak hantar bantal ni. Takut tak cukup bantal untuk kamu berdua.” Sebenarnya dia ke sini untuk melihat kalau-kalau suami isteri itu bertekak. Bukannya dia tidak perasan perubahan air muka Iqram sejak awal pagi tadi. Bimbang juga kalau Iqram menghemburkan amarah kepada Ain walaupun mereka sudah sah menjadi suami isteri.
“Oh, terima kasih mama.” Senyuman dihulurkan kepada mamanya sebelum tangan menyambut huluran dua biji bantal.
“Ain mana? Dah tidur?”
“Ada. Tengah tengok tv.”
Puan Aryana mengangguk kecil. Hati kecilnya tidak percayakan jawapan Iqram. Hati kecilnya juga yakin Iqram baru sahaja memarahi Ain. Tetapi didiamkan sahaja. Belum masanya untuk mencampuri urusan anak-anaknya. “Hmm… Kalau macam tu, mama masuk ke bilik mama dulu.”
“Baiklah, mama.”
“Ram…”
“Ya, mama?”
Sepasang anak mata anaknya dipandang penuh kasih. “Jangan sia-siakan Ain. Dia dah jadi isteri Ram. Tanggungjawab Ram untuk menjaga dan melindungi dia. Suatu hari nanti mama yakin Ram akan nampak segala kebaikkan Ain yang selama ini Ram butakan.”
Iqram sekadar diam dan menganggukkan kepalanya.
Puan Aryana mengukirkan senyuman kecil sebelum melangkahkan kaki meningglkan bilik itu. Jauh di sudut hatinya, dia mendoakan kebahagiaan Iqram dan Ain. Jauh di dasar hati juga bimbang dengan penerimaan Iqram terhadap Ain.
Kalau Ain, rasanya Ain lebih matang. Ain lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Ain pasti boleh terima Iqram sebagai suaminya. Tapi kalau Iqram… berat sungguh hati kecil ini untuk mengatakan hati Iqram boleh jadi macam hati Ain.

Apa-apa pun, mama tetap akan berdoa kepada DIA Yang Satu semoga hubungan Iqram dan Ain akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. InsyaAllah.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

No comments:

Post a Comment