Tuesday, June 9, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 4




BAB 4

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

“AWAK… boleh tak saya nak keluar pergi beli tudung dengan Syaf?”
Diam.
Keluhan kecil dilepaskan. Bercakap dengan dia, seolah-olah bercakap dengan tunggul kayu. Bukannya dia nak dengar pun. Kalau dengar sekalipun, dia memang sengaja buat-buat tak dengar. Karang Allah bagi telinga tu pekak betul, baru dia tahu!
“Awak… saya minta izin dengan awak ni? Awak izinkan tak?”
“Yang kau ni beria mintak izin dengan aku, kenapa? Pergilah! Ada aku kisah! Kau nak hidup ke… Kau nak gi mampus ke… Tak payah nak mintak-mintak izin dengan aku! Benci betullah aku dengar suara kau ni!”
Tengok! Macam inilah selalunya. Sejak mereka pindah ke rumah yang dibeli Iqram. Sejak awal perkahwinan mereka lagi Iqram tidak pernah ikhlas menerimanya. Selalu mengherdik dan melemparkan amarah. Kadang kala telinganya dihidangkan dengan kata-kata kesat. Iqram memang suka sangat marah-marah walaupun soalannya cuma sepatah.
Keluhan kecil dilepaskan. Bibir cuba menguntum senyum walaupun hati kerap kali terusik dan tersentuh. Jujur, dia sedang cuba menerima ketentuan Allah untuknya. Dia sedang berusaha untuk mencintai dan menyayangi seorang lelaki yang bernama suami.
Kadang-kadang, rasa dah muak mendengar herdikan dan cemuhan suaminya. Kadang-kadang hati dan jiwa sekadar membiarkan sahaja amarah dan kencian suaminya menghempap jiwa.
Sekali lagi bibirnya cuba menguntum senyum walaupun diherdik sebegitu. Orang tanya aje pun. Karang kalau tak minta izin, cakap isteri derhaka pulak!
Tak apalah, abang. Ain akan setia menanti. Ain akan sabar dengan semuanya. Walau macam mana sekali pun abang benci, Ain tetap sukakan abang. Ain tetap akan sayangkan abang. Abang nak tahu kenapa? Sebab abang adalah suami Ain. Itu aje.
“Saya ada masak tadi. Kalau awak lapar, awak makanlah.”
“Kau ingat aku nak…”
“Kalau tak nak tak apa. Saya akan habiskan bila saya balik nanti.” Pantas dia menyambung. Dah tahu apa yang ingin diperkatakan suaminya. Ayat yang sama berulang kali.
Dia terus bingkas bangun lalu melangkah menghampiri pintu bilik dan segera meninggalkan suaminya yang masih mentalakan pandangan tajam ke arahnya. Sempat juga dia menghulurkan senyuman kecil kepada suaminya yang beku. Beku macam ais. Lebih beku daripada ais. Bilalah agaknya nak cair? Hmmm, entahlah!
Di luar pintu bilik, Ain terus menyandarkan tubuhnya pada dinding berhampiri. Nafas ditarik panjang. Keluhan juga kedengaran panjang. Tangan di bawa ke dada lalu mengusap dada yang terasa sakit di dalamnya.
Ya Allah… Kuatkanlah hati hambaMu ini untuk menerima segala kata-kata suamiku. Kuatkanlah hati aku untuk berhadapan dengan dia yang penuh dengan kebencian, Ya Allah.
Kolam matanya mula digenangi dengan mutiara jernih. Orang selalu cakap, kesabaran itu ada batasannya. Tapi bagi Ain… kesabaran itu langsung tiada batasannya. Selagi termampu, dia akan terus bersabar dengan suaminya. Meski sakit hati ini diperlakukan begitu, dia akan tetap bersabar.
Air matanya menitis satu persatu. Beginilah selalunya. Setiap kali, ada sahaja kata-kata kesat yang dilemparkan kepadanya. Ada sahaja hemburan amarah walaupun dia sendiri tidak tahu apa kesilapan dia.
Pernah suatu ketika, seawal perkahwinan mereka Iqram marah teruk apabila dia mengajak suaminya makan.
“Awak… saya masak. Awak makanlah sikit.” Beria dia meminta resepi daripada mama untuk memasakkan lauk kegemaran Iqram. Tapi Iqram… Langsung tak menghargai penat lelahnya.
“Kau ni kenapa? Main paksa-paksa pulak?”
“Saya bukan paksa. Tapi… penat saya masak.”
“Ada aku suruh? Tak ada, kan? Kau tu yang pandai-pandai masak! Berlagak macam baik sangat. Kalau dah nama perempuan kotor tu, tak payahlah nak berlagak suci sangat! Menyakitkan hati dan jiwa aje! Menyesal betul aku kahwin dengan kau!”
Hati mana yang tak terusik dengan kata-kata seperti itu? Terasa hati dengan penolakan suaminya. Juga terasa hati dengan kata-kata kesat yang dilemparkan kepadanya. Bukan dia minta semua ini terjadi. Dia telah menerima semuanya dengan hati yang ikhlas. Mungkin ini cumalah ujian Allah untuk menguji keimanan hambaNya.
Harus bagaimana lagi, abang? Ain dah bingung macam mana nak dapatkan kemaafan dari abang. Ain bukan berlagak baik, abang. Ain sedar diri Ain kotor. Ain cuma jalankan tanggungjawab Ain sebagai seorang isteri. Salah ke? Berdosa ke Ain buat semua tu?
“Kalau abang tak nak makan, tak apalah. Tapi kalau abang lapar, abang ambillah kat dalam periuk tu, ya?”
Kenapa Ain? Kenapa kau masih teruskan semua ni?
Kerap kali hati kecilnya bertanyakan soalan yang sama. Tetapi hati kecilnya juga berkata, sebab dia suami aku. Sebab dia sudi menerima aku yang dah hilang maruah ni. Sebab dia sudi menikahi aku yang telah ditinggalkan oleh Farish.
Jika bukan kerana Iqram, sudah pasti manusia di sekeliling menghinanya. Kalau dia mengandung macam mana? Lagilah akan memalukan diri sendiri dan keluarga mama.
Awak… Kalau awak nak tahu, sebab semua nilah saya bertahan sampai sekarang. Walaupun awak selalu meninggikan suara dengan saya, saya tetap bersabar. Sebab awak dah menyelamatkan saya daripada tomahan manusia.
“Awak… Kalau saya ada buat salah, awak ajarlah saya betulkan kesalahan saya. Kalau saya tak tahu, awak tunjukkanlah. Awak suami saya. Dan awak berhak untuk ajari saya untuk mencintai awak.”
“Ajar kau untuk mencintai aku? Jangan mimpilah! Aku tak akan izinkan kau jatuh cinta pada aku! Aku benci kau! Selamanya aku akan benci kau!”
Awak… Suatu hari nanti saya akan ubah kebencian awak tu kepada rasa kasih dan sayang. Saya doakan suatu hati nanti akan ada perasaan cinta dan kasih sayang awak untuk saya.


DIA menyandarkan tubuh pada kerusi sofa di ruang tamu. Panjang menungannya. Sewaktu dia keluar membeli barang tadi, dia ternampak suaminya dengan seorang perempuan cantik. Siapa dia? Dan kenapa Abang Iqram nampak mesra sangat dengan dia.
Terasa lelah otaknya berfikirkan tentang apa yang dilihatnya. Sesaat, otak kecilnya mula teringatkan sesuatu. Jangan-jangan… perempuan tadi tu, adalah perempuan yang sama seperti yang aku nampak dalam album gambar dia? Bekas tunang dia?
Tudung ditanggalkan. Kakinya dilangkahkan ke tingkat atas. Pintu bilik yang dihuni suaminya dibuka perlahan. Alhamdulillah… tak berkunci.
Kaki dilangkahkan ke almari yang berhampiran dengan katil. Rak album gambar itu diperhatikan lama. Anak matanya tercari-cari satu album gambar berwarna biru. Dia masih ingat lagi. Itu satu-satunya album yang berwarna biru. Album yang dipenuhi gambar suaminya dan seorang perempuan.
Menggigil tubuhnya di saat terpandangkan album yang berwarna biru itu di atas katil suaminya. Bersebelahan dengan bantal suaminya. Ya Allah… Jadi, dia tidur bertemankan album gambar tu? Ya Allah… Apakah suami aku benar-benar mencintai gadis itu?
Terketar-ketar tangannya mencapai album gambar itu. Dengan hati yang sedih dan kolam mata yang sudah berkaca, dia membelek sehelai demi sehelai album gambar itu. Menitis satu persatu air matanya. Jadi, tekaannya memang betul. Perempuan di dalam gambar ini, adalah perempuan sama yang dilihat bergelak tawa dengan suaminya tadi. Ya Allah… benarkan mereka berdua pernah bercinta? Lalu… bagaimana dengan aku? Apakah aku akan ditinggalkan kerana perempuan itu?
“Hoi, kau buat apa kat bilik aku ni?” Jerkahnya kuat lalu meluru ke arah Ain. Album gambar di tangan Ain dirampasnya. Tubuh itu ditolak kasar menjauhinya.
Mencerlung tajam matanya apabila melihat album kesayangannya yang dipegang Ain tadi. “Kau jangan nak pandai-pandai nak sentuh barang aku. Keluar!!”
“Awak… yang saya nampak tadi… dia, kan?”

“Kau nampak apa, hah? Kalau kau nampak sekali pun, kau tak perlu nak menyebok pasal aku! Keluar!”
Kakinya masih lagi terkaku di situ. Anak matanya masih memandang suaminya. “Awak… saya tak ada niat nak menyebok hal awak pun. Cuma… saya nak awak tahu, dan saya nak awak ingat yang saya ni isteri awak. Tak boleh ke awak jaga hati saya sikit? Saya tak harap banyak pun. Sikit pun jadilah.”
“Kau isteri aku? Pergi mampuslah dengan status isteri kau tu. Sekali pun kau tu isteri aku, aku ada hak untuk berkahwin lain. Aku ada hak untuk lenyapkan status yang kau angungkan snagat tu. Buat apa aku nak jaga hati kau? Kau tu bukan siapa-siapa pun bagi aku! Kau pekak ke? Keluar aku kata!”
“Awak memang ada hak! Tapi… jujur saya cakap, saya memang terasa hati dengan sikap awak pada saya. Saya rasa kecewa dengan apa yang saya nampak. Sampai hati awak buat saya macam ni.” Selepas meluahkan rasa hatinya, dia terus mengorak langkah meninggalkan bilik yang dihuni suaminya. Ya, dia perlu meluahkan perasaannya. Supaya lain kali, suaminya tidak akan menyakiti hatinya lagi.
Iqram meraup wajahnya kasar. Sakit sangat hatinya kerana tidak dapat membalas kata-kata akhir isterinya itu. Jika diikutkan hati yang jahat ini, mahu sahaja dia mengheret lengan isterinya dan menjawab semahunya kata-kata isterinya itu. Biar dia rasa macam mana sakitnya hati aku ini bila terpaksa menerima dia sebagai isteri.
Ain menyandarkan tubuhnya pada daun pintu. Kali ini lututnya sudah lemah untuk berdiri. Dia jatuh terjelopok di atas lantai. Menangis dan terus menangis. Jujur, hatinya terluka dengan setiap kata-kata suaminya. Dia dihempap perasaan kecewa yang teramat apabila ternampak gambar wanita itu.

Ya Allah… Jika begini, harus bagaimana lagi untuk hambaMu ini mengumpulkan seribu kekuatan di dalam jiwa ini? Harus bagaimana lagi untuk aku bertahan dan mempertahankan rumah tangga yang terbina bukan di atas dasar cinta ini?

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

6 comments: