Tuesday, June 16, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 5


BAB 5

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

IQRAM kelam kabut sendiri setelah mendapat panggilan telefon daripada mamanya. Kaki terus dilangkahkan ke tingkat atas. Berkali-kali dia melaungkan nama isterinya. Tak juga menyahut.
Pintu bilik yang dihuni Ain diketuknya berkali-kali. “Ain! Ain! Kau dengar tak? Ke dah mati kering kat dalam ni?”
Masih tiada sahutan.
Geram dengan perangai Ain yang mematukan diri, Iqram bergegas mencari kunci pendua. Tidak sampai dua minit, pintu bilik Ain berjaya dibukanya. Anak matanya tercari-cari kelibat isterinya.
“Hisy, mana pulak perempuan ni?” Dia mendengus perlahan. Sekejap itu, anak matanya singgah ke pintu bilik air. Mandi ke? Macam tak dengar bunyi air pun? Dia menapak perlahan menghampiri pintu bilik air.
“Ain? Kau ada kat dalam ke tak?”
Terkejut Ain bukan main lagi. Mujur tak terselam dalam tab mandi. Bulat anak matanya memandang ke arah pintu bilik air. Eh, tadi aku kunci tak pintu bilik air ni? Macam tak aje! Alamak, habislah! Kalau Iqram masuk dalam bilik air ni macam mana?
“Ain! Kau dengar ke tidak? Jangan sampai aku bukak pintu bilik air ni!” Sempat lagi Iqram mengugut.
“Iya! Dengar! Tengah mandi ni! Nak apa?” Bukan tadi aku kunci pintu bilik ke? Macam mana pulak dia boleh masuk dalam bilik ni? Cepat-cepat Ain membersihkan diri sebelum menyarungkan tuala ke tubuh.
“Kau keluar sekarang boleh tak? Aku ada benda nak bagitahu ni.”
“Tak boleh! Belum siap mandi. Ada apa? Bagitahu ajelah!”
“Tak boleh bagitahu macam ni. Nanti kau tak dengar. Kau mandi cepat sikit boleh tak? Aku tunggu kau kat dalam bilik ni.”
Erk? Tunggu kat dalam bilik? Habis tu… aku nak keluar macam mana kalau dia tunggu kat dalam bilik? Keluar pakai tuala macam ni? Memang taklah! Tak pernah aku pakai seksi-seksi depan dia sebelum ni! “Tunggu kat luar bilik boleh tak?”
“Tak boleh! Cepatlah sikit.”
“Tapi saya tak…” Ayatnya termati di situ. Tak ada baju nak pakai. Nak keluar macam mana?
“Kau ni kan… banyak songeh betullah!” Iqram melangkah ke arah almari milik isterinya lalu mencapai sehelai t-shirt. Sempat bibirnya mengukirkan senyuman kecil apabila melihat gambar yang terpampam pada t-shirt kecil itu. Pink Panther! T-shirt macam ni pun kau pakai, kan? Macam budak-budak!
“Awak? Awak dah keluar ke belum?”

Iqram mencebik mendengar pertanyaan isterinya. Takutlah tu nak keluar. Macamlah aku hadap sangat nak terkam dia kalau keluar dengan pakai tuala sahaja. Tanpa menunggu lama Iqram menghampiri pintu bilik air dan berniat untuk menghulurkan t-shirt kepada isterinya.
Belum sempat dia mengetuk pintu bilik air dan memanggil isterinya, Ain sudah membuka pintu bilik air itu dari dalam.
“Makk!!” Ain terjerit kuat apabila tubuhnya sudah merempuh satu tubuh di hadapannya. Terkebil-kebil anak matanya memandang dada Iqram yang dilindungi sehelai t-shirt.
Iqram pula terdiam seribu bahasa. Sepasang tangan sejuk itu sedang menyentuh kedua-dua belah lengannya. Kepala isterinya terletak betul-betul di bawah dagunya. Bau wangian sabun mandian dan syampu yang dipakai isterinya menusuk masuk sampai ke dalam dada. Terasa nafasnya sesak tiba-tiba.
Menyedari khilafnya, cepat-cepat Ain melepaskan pegangan tangannya lalu menyusup ke belakang tubuh suaminya. Konon nak menyorok sebab malu sangat. Memang malu pun! Hisy, apa pasallah dia berdiri tegak macam tugu negara kat depan ni?
“Jangan pandang belakang!” Menyedari suaminya seakan-akan ingin berpusing ke arahnya, cepat-cepat dia mengarah suaminya supaya jangan pandang ke belakang.
Iqram sekadar menurut. Tangannya dihulurkan ke belakang, menghulurkan sehelai t-shirt kepada isterinya. “Jangan nak salah faham sangat. Aku cuma nak bagi t-shirt ni pada kau.”
Ain mencebik. Iyalah sangat! Kalau tuala ni terlondeh tadi macam mana? Hisy, tak hormat privasi orang langsung! Tidak menyambut huluran t-shirt dari tangan suaminya, Ain terus mencapai comforter yang terbentang di hujung katil lalu menyelimut seluruh tubuhnya.
Sakit hatinya bila isterinya langsung tak menyambut t-shirt yang dihulurkan. Tanpa menunggu lama, Iqram terus memusing tubuh ke belakang. Bulat anak matanya apabila melihat isterinya sudah berbungkus dengan comforter. Apa hal pulak?
Kepala didongak memandang suaminya sebelum dia menyeringai kecil. Selamat! Nasib baik dah sempat selimut satu badan sebelum dia menoleh. Sudahlah tak bagi warning langsung nak menoleh ke belakang. “Ada apa?”
“Kemas barang kau sekarang.”
“Hah?” Terkebil-kebil dia sekejap. Dia nak halau aku ke? Tanpa sedar, comforter yang menyelimut tubuhnya jatuh ke lantai. Nasib baik tuala yang dipakainya tidak ikut melurut ke lantai. Kolam matanya mula dipenuhi dengan mutiara jernih.
Tidak menunggu lama, dia terus meluru lalu memeluk tubuh suaminya. “Awak… please… jangan halau saya. Kalau awak halau saya, saya nak tinggal kat mana? Kesiankanlah saya. Saya tak ada sesiapa lagi selain awak dan mama. Please…” Tiba-tiba sahaja air matanya jatuh berjuraian ke pipi.
“Kau ni dah kenapa? Ada aku cakap nak halau kau ke?” Bersusah payah dia cuba meleraikan pelukan yang ketat itu. Sungguh, ada debar halus yang bermukim di saat tubuhnya bersentuhan dengan tubuh isterinya yang hanya memakai sehelai tuala.
Perlahan dia melepaskan pelukan itu. Berkerut dahinya memandang suaminya. “Habis tu? Kenapa awak suruh saya kemaskan barang saya? Awak nak halau saya, kan?”
“Kau ni memang gila, kan? Suka fikir mengarut! Mama nak datang malam ni. Kau kena pindahkan semua barang kau masuk ke bilik aku. Kau nak mama tahu ke yang selama ni kita tak tidur sebilik?” Peluh dingin di dahi disapu perlahan. Lama-lama dengan aku sekali yang akan jadi gila.
“Hah? Er… tapi… awak…”
“Aku tak nak dengar sepatah soalan pun keluar dari mulut kau. Kau dengar apa aku nak cakap ni. Bila mama datang nanti, kau kena berlakon jadi isteri aku yang sempurna.”
“Maksud awak? Saya tak faham.”
“Apa ke bengapnya kau ni? Berlakon! Kau tak faham ke berlakon tu apa?”
Berlakon? Aku bukannya pelakon. Manalah reti nak berlakon! “Tak nak! Saya tak pandai berlakon.”
“Nak ke… Tak nak ke… Kau tetap kena berlakon depan mama! Full stop!”
Ain mencebik. Kalau dah cakap ‘full stop’ tu memang tak boleh nak buat apa dah! Naik menyampah pulak aku dengan mamat ni. “Tapi awak kan…” Tidak jadi menghabiskan ayatnya bila anak matanya menangkap anak mata suaminya yang sudah menjalar ke seluruh tubuhnya. Ain memandang diri sendiri. Ya Allah! Sungguh, dia terlupa! Dan dia langsung tak sedar bila masa comforter yang menyelimut tubuhnya tadi terjatuh. Laju dia merampas baju dari tangan suaminya lalu menyarungkan baju tu di depan suaminya. Lantaklah kalau tak pakai apa-apa kat dalam pun. Asalkan jangan seksi sangat. Bahaya! Kucing mana yang tak terliur bila tengok ikan! Cucuk mata tu karang, baru tahu!
Iqram melarikan anak matanya apabila sedar yang anak matanya telah jauh menjalar. “Kau kemas semua ni sebelum Maghrib nanti. Mama mungkin sampai lepas Maghrib.” Tanpa menunggu lama, dia terus mengorak langkah untuk meninggalkan bilik isterinya.
“Eh, awak! Tunggu kejap!”
Iqram menoleh bersama kerutan pada dahi. Kening diangkat sebagai pertanyaan.
Ain menggaru kepalanya perlahan. Tak gatal pun. Tapi… erm… tak tahu nak cakap macam mana. Kalau aku bagitahu, agak-agak dia akan marah tak? Tak cuba tak tahu kan, Ain? “Er… boleh tak awak tolong saya kemas sekali? Rasanya kalau nak kemas sorang ni tak sempat.”
Bibirnya mengukirkan senyuman sinis. “Kau yang pandai-pandai kemas bilik ni mengarut macam ni, kan? So, sila pandai-pandai kemas sendiri!” Kakinya terus dilangkahkan keluar bilik. Padan muka!
Selepas suaminya keluar dari biliknya, Ain terus merapati pintu bilik lalu menguncinya dari dalam. Pelik! Macam mana dia boleh masuk bilik ni? Bukan aku dah kunci siap-siap sebelum mandi tadi? Memang selalu macam tu, kan? Jangan-jangan… dia guna kunci pendua?
Haih, tak boleh jadi ni! Aku kena cari kunci pendua bilik ni dan sembunyikan dari pandangan mata dia. Macam-macam boleh jadi! Bahaya!


TEPAT-TEPAT jam lapan malam, mama sampai di rumah. Misi lakonan dimulakan. Sungguh, dia benar-benar cuak untuk berlakon begitu di hadapan mama. Itu adalah mamanya. Dan dia memang rasa bersalah untuk menipu mama.
“Apa jeling-jeling?” Iqram terus menyoal apabila anak matanya menangkap dengan jelas beberapa jelingan yang dilotarkan kepadanya.
“Suka hatilah! Penyebok!” Ain malas mahu bertekak dengan lelaki itu. Sudahnya, dia masuk ke dalam rumah dan mengekori langkah mamanya.
Berdebar sungguh jantungnya bila anak mata mama meliar ke seluruh rumah. Tidak cukup di ruang tamu, mama buat sportcheck kat dapur pulak. Berbakul-bakul juga leteran mama. Yang menjadi pendengar setia adalah Ain. Suaminya pula enak bergoyang kaki di hadapan televisyen.
“Mama nak naik rehat dululah. Rasa sengal-sengal badan pulak. Dah lama sangat mama tak memandu jauh-jauh macam ni.”
Ain sudah mampu melepaskan nafas kelegaan bila mama meminta diri ke bilik. “Kalau macam tu, biar Ain bawa beg mama ke bilik.”
“Eh, tak payah! Dalam rumah ni ada orang lelaki. Biar dia yang buat. Pergi suruh suami Ain bawa beg mama ke atas.”
Ain meneguk liur perlahan. Mama ni... Kalau itu kata dia, memang itu jugak yang disuruhnya. Mahu atau tidak, Ain melangkahkan kaki ke ruang tamu. Serba salah juga untuk bersuara. Sesekali anak matanya menjeling ke arah belakang. Bimbang mama menangkap gerak-gerinya yang kekok semacam.
“Abang…” Takut-takut Ain bersuara juga. Sebenarnya, Abang Iqram memang marah dia memanggil lelaki itu dengan gelaran ‘abang’ sejak mereka berkahwin. Tapi dia yang nak aku berlakon, kan?
Iqram menjegilkan anak matanya. Sempat anak matanya mencari kelibat mama sebelum bersuara. “Jangan panggil aku abang. Kau faham tak? Geli telinga aku ni dengar!” Suaranya kedengaran cukup perlahan, tetapi tegas.
“Habis tu? Awak cakap suruh saya berlakon, kan?” Ain ikut memperlahankan suaranya. Diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggikan suara. Tetapi tak mahulah mama dengar mereka berdua bertekak macam ni.
“Aku suruh kau berlakon, tapi bukan nak suruh kau jadi pelakon terbaik pun.”
“Awak dengki sangat dengan saya ni, kenapa? Suka hati sayalah nak jadi pelakon terbaik ke apa!” Dia nekad! Nekad untuk meraih cinta suaminya. Lantaklah kalau Iqram nak maki hamun dia sekalipun! Dan dia juga nekad! Nekad untuk tidak menyakiti hati mama untuk sekali lagi. Cukuplah sekali! Dia tidak akan ulang perkara yang sama lagi.
“Mama suruh abang angkat beg mama naik atas.”
“Kau angkatlah sendiri! Saja nak menyusahkan aku, kan?”
“Mama yang suruhlah!” Hisy, geram betullah aku dengan dia ni! Bercakap dengan dia memang menyakitkan hati. Ada aje yang tak kena. Tanpa menghiraukan muka suaminya yang merah padam itu, Ain terus melangkahkan kaki meninggalkan suaminya.


# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

2 comments:

  1. best. hai bilalah Iqram ni nak jadi Mr sweet pula ye? heeee next n3 please dear.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks... Entahlah si Iqram ni kan... hehe...

      Delete