Tuesday, July 28, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 8


BAB 8

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…
NAFAS kelegaan dilepaskan apabila Ain mula sedar selepas disuntik dan dimasukkan sebotol air. Kata doktor, isterinya lemah sebab demam. Suhu badannya tidak terlalu tinggi. Jadi, dia dibenarkan pulang malam ini juga.
Ain diam sepanjang perjalanan pulang. Ya, tubuhnya rasa segar sedikit selepas disuntik dan dimasukkan sebotol air. Tetapi kepalanya masih terasa pening sekali-sekali. Tubuh disandar ke belakang. Kelopak matanya dipejam rapat.
“Baik kau cakap betul-betul, Ain… Kau mengandung, kan?”
“Aku nak kau gugurkan kandungan tu. Itu bukan anak aku!”
Bergenang kolam matanya di saat teringatkan semula patah kata yang dilafazkan oleh suaminya sebelum dia jatuh pengsan tadi. Sampai hati Iqram cakap macam tu, kan? Kalau bukan anak dia sekalipun, kenapa perlu gugurkan? Tak tahu ke yang hukum menggugurkan anak dengan sengaja tu berdosa? Sekalipun dia benci aku, tak perlulah dia bencikan anak aku sekali.
Aku benci dia! Mama… Abang Iqram jahat!
Dah puas hati dia agaknya? Sudah pasti dia dah tanya doktor tadi sama ada aku mengandung ataupun tidak.
Iqram menoleh sekilas ke sisinya. Dilihatnya Ain seperti sedang terlena. Kereta dihentikan di salah sebuah farmasi berhampiran. Dia mahukan kepastian sama ada Ain betul-betul mengandung ataupun tidak.
Di hospital tadi, dia tidak berani bertanya kepada doktor sama ada isterinya benar-benar mengandung ataupun tidak. Juga bimbang dia tidak mampu mengawal emosinya ketika di hospital.
Ain… Please jangan mengandung! Kalau kau betul-betul mengandung, aku tak tahu nak buat apa, Ain. Aku takut aku sendiri yang akan hilang kewarasan disebabkan kau!
Ain membuka kelopak matanya apabila terasa kereta berhenti dan menangkap bunyi pintu kereta di tutup. Anak matanya menjeling ke sisi. Kelibat suaminya tiada. Kali ini pandangan dihalakan ke luar tingkap kereta.
Farmasi!
Ain mengangkat kepala. Anak matanya melemparkan pandang ke arah suaminya yang sedang menapak masuk ke dalam farmasi. Kenapa? Dia tak sihat ke? Tak mungkinlah! Nampak elok aje.
Jangan-jangan… Dia tak percayakan kata doktor? Dia singgah farmasi untuk beli alat uji kehamilan?
Terasa kolam matanya panas tiba-tiba. Ya Allah… Betul ke dia beli benda tu? Dia tak percayakan aku? Dia tetap nak aku gugurkan kandungan ke? Iqram… Sampai hati awak buat saya macam ni, kan?
Air mata jatuh satu persatu. Rasa sakit di dalam dada dengan sikap suaminya yang benar-benar menyakitkan hati. Melihat kelibat Iqram yang mula keluar dari pintu farmasi, Ain mengelap air matanya sebelum memejamkan kembali kelopak mata.
Saya benci awak Iqram! Awak jahat dengan saya! Awak jahat!


MUNDAR-MANDIR dia menanti di dalam bilik Ain. Lamanya? Dia test kehamilan ke dia betapa dalam tandas? Haih, geram pulak aku dengan perempuan ni! Suka buat aku tertanya-tanya macam ni, kan?
“Mama janji! Kalau betul Ain tak mengandung, Iqram boleh lepaskan Ain kalau Iqram setuju.”
“Mama ingat kahwin ni main-main ke?”
“Tak! Tapi mama nak jaga maruah Ain. Maruah Farish, maruah Iqram dan juga maruah mama.”
“Mama tahu tak yang mama sedang mempertaruhkan masa depan Ram dan Ain? Mama nak ke masjid yang baru terbina ni terhenti setengah jalan? Dalam masa yang terdekat? Hanya sebab mama nak majlis ini diteruskan?”
Kata-kata mama dan Iqram datang silih berganti dibenaknya. Ain menyandarkan tubuh ke pintu bilik air. Ya, dia memang tahu yang suaminya sedang menanti. Sengaja dia melengah-lengahkan masa. Jujur, dia benar-benar sakit hati dengan perangai suaminya.
Telahannya betul! Iqram singgah di farmasi untuk membeli alat menguji kehamilan. Iqram tidak percaya dengan apa yang disampaikan kepadanya.
Sejak turun dari kereta selepas pulang dari hospital lagi dia dah bagitahu yang dia tidak mengandung. Suaminya tetap tidak percayakan dia. Kenapa Iqram? Kenapa awak susah sangat nak percayakan saya?
Kalau pun betul saya mengandung, anak itu tak salah! Saya pun tak salah. Semuanya salah Farish! Awak dan Farish sama aje, Iqram! Awak pun jahat macam Farish. Saya dah boleh maafkan Farish. Tapi awak…? Entahlah! Saya tak rasa yang saya boleh maafkan awak. Awak terlalu kejam dengan saya.
 “Ain? Dah ke belum? Kau tidur ke dalam tab mandi tu?”
Suara Iqram kedengaran dari dalam biliknya. Ain melepaskan keluhan berat sebelum kakinya melangkah keluar dari bilik air.
Iqram terus meluru mendapatkan Ain. “Ain… macam mana? Kau mengandung tak?”
Seraut wajah suaminya dipandang lama bersama muka tanpa riak. Dia cuba membaca riak muka yang terpampan di hadapan mata. Kalau saya mengandung, apa awak nak buat? Dan kalau saya tak mengandung, apa pula yang awak nak buat?
“Jangan buat aku tertanya-tanya boleh tak? Apa keputusannya?”
Anak matanya masih belum berganjak dari memandang seraut wajah itu. Sudah pasti dia adalah orang yang paling gembira bila dapat tahu yang aku tak mengandung.
“Ain! Aku tanya kau ni!” Kali ini suaranya kedengaran agak meninggi. Sakit hati dengan kediaman isterinya itu. Dia ni… memang suka tengok aku resah gelisah macam ni, kan?
Terkejut sungguh dia dengan jerkahan kuat itu. Yang dia nak marah-marah tu, kenapa? Tak sabar sangat? Gembira sangat? Lambat-lambat, dia menggelengkan kepala sambil menundukkan wajah. Sungguh, dia tidak mahu melihat riak kegembiraan suaminya. Pastinya dia gembira, kan?
“Kau tak mengandung?”
Geleng lagi.
“Betul kau tak mengandung?”
Angguk.
Yes!” Pantas sahaja dia menarik tubuh isterinya ke pelukan. Tanpa sedar, dia sudah mencium pipi perempuan di hadapannya itu. Perempuan yang dibencinya sejak dari mula lagi. “Thank you, Ain. Thanks, sebab tak mengandung.”
“Itu bukan kuasa saya. Itu kuasa Allah.”
Terdiam Iqram sekejap. Saat ini, barulah dia tersedar yang dia sudah bertindak melampaui batas. Perlahan, pelukannya dileraikan. “Sorry, tak sengaja.”
Diam.
“Kenapa kau diam? Kecewa?”
Diam lagi.
Seraut wajah Ain direnung lama. Makin lama, makin tajam renungan matanya. “Jadi, memang betullah kau nak mengandungkan anak Farish? Kau ni memang tak tahu diuntung, kan? Kau tu isteri aku! Bukan isteri Farish! Kenapa kau pulak yang sebok nak mengandungkan anak dia?” Kali ini kemarahannya membuak-buak.
Bukan sebab tu! Saya kecewa sebab awak tak akan ada alasan lagi untuk terus bersama saya. Lepas ni awak dah boleh lepaskan saya kan? Macam janji mama pada awak. Awak ingat saya tak tahu tentang semua tu ke? Saya dengar, Iqram! Saya dengan apa yang mama janji dengan awak!
Awak… jangan tinggalkan saya. Saya takut awak akan tinggalkan saya. Dhiya… bekas tunang awak sedang tunggu awak, kan? Dia sedang menunggu untuk bersama dengan awak semula, kan? Tanpa sedar air matanya menitis jatuh ke pipi. Laju!
Stop it, Ain! How dare you! Jangan kau nak menangis dengan perkara tak masuk akal macam tu! Sepatutnya kau bersyukur sebab tak mengandungkan anak luar nikah!” Sakit sungguh hatinya melihat air mata yang menitis jatuh di pipi isterinya. Gila! Dia menangis sebab tak mengandung? Sepatutnya dia bersyukur!
“Ataupun… kau sebenarnya memang nak mengandungkan anak Farish? Supaya bila Farish balik nanti, kau nak kahwin dengan Farish? Huh, bodohlah kalau kau fikir macam tu, Ain! Aku tak akan lepaskan kau walaupun seribu Farish datang meminta kau semula!” Alat uji kehamilan di tangan dihempaskan kasar ke lantai hingga pecah berderai. Laju kakinya diatur meninggalkan Ain berseorangan di biliknya.
Ain jatuh terduduk. Kedua-dua belah lututnya dipeluk erat sebelum tangisan dihemburkan semahunya. Ya Allah… Kuatkanlah hati aku dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku pada hari-hari akan datang.
Sekarang ni aku dah tak mengandung. Jadi tiada alasan lagi untuk dia memikul tanggungjawab. Betul ke dia sanggup lepaskan aku bila sampai masanya nanti? Sebab perempuan tu? Dia nak kahwin dengan bekas tunang dia?


MENDENGAR pintu biliknya dibuka dari luar, Ain terus memejamkan kelopak matanya. Berpura-pura tidur. Langsung tidak sempat menyapu air mata yang masih bersisa di pipi.
Dia nak apa lagi masuk ke sini? Dia dah tak perlu nak kisahkan tentang hal aku. Aku bukan sesiapa pun kepada dia. Hanya seorang isteri yang langsung tak dianggap.
Kaki dilangkahkan ke arah katil. Anak matanya memandang sekujur tubuh yang sedang tidur. Segelas susu yang dibancuhnya tadi diletakkan di atas meja yang berhampiran katil. Punggung dilabuhkan di birai katil.
Ain... Betul ke kau sedih sebab tak mengandung anak Farish? Betul ke kau pernah  buat perkara terkutuk macam tu?
Hati aku sakit sangat, Ain! Sakit sebab perbuatan kau dan Farish yang langsung tak bermaruah macam tu. Hati aku sakit sangat bila kesudahannya aku terpaksa menggantikan tempat Farish dan terpaksa menjadi suami kau.
Kau tahu tak, Ain? Aku dah jadi seorang pak sanggup!
Kenapa kau buat aku macam ni, Ain? Kenapa?
Jujur, Ain! Aku happy sangat bila kau tak mengandung. Beban yang aku tanggung selama dua bulan ini terasa ringan. Kepala aku yang berserabut tentang hal kau dan Farish juga dah mula boleh berfikir dengan baik. Lega sangat!

Tapi bila aku tengok kau mengangis bagai nak rak sebab kau tak mengandungkan anak Farish, kepala otak aku ni kembali berserabut. Berserabut sebab fikirkan pasal kau!
Kau nak aku lepaskan kau ke, Ain? Tapi kalau aku lepaskan kau, pasti kau akan meraih cinta Farish semula, kan? Farish pula… Aku tak yakin Farish akan terima kau. Apatah lagi bila kau dah memegang status janda. Bekas isteri aku!
Dia membetulkan selimut yang membaluti tubuh Ain. Dah pukul enam setengah pagi. Agak-agak Ain dah bangun solat subuh ke belum?
Baru sahaja tangannya ingin menyentuh bahu Ain untuk mengejutkan isterinya, anak matanya terpandangkan sisa air mata di pipi dan kelopak mata isterinya. Ain menangis? Ain tak tidur? Sejak balik dari hospital tadi lagi ke?
Nafas dihelakan kasar sebelum bersuara. “Ain... Kau tak tidur, kan? Bangunlah. Kau tak solat subuh lagi. Aku ada buatkan susu. Atas meja ni ya? Nanti kau minum susu tu dulu. Alas perut. Dari malam tadi kau tak makan apa-apa, kan?”
Diam. Ain dengar. Tetapi dia tetap mendiamkan diri dan masih berpura-pura tidur. Terasa air matanya bagai ingin menitis saat itu juga. Dikuatkan hatinya supaya tidak mengalirkan air matanya sementara suaminya masih di sini.
“Ain... Aku nak pergi beli sarapan ni. Aku tahu kau tak sihat lagi, kan? Kalau kau larat, kau bangunlah mandi dulu. Nanti aku bawa sarapan naik atas.”
Makin jiwanya dicengkam rasa sebak. Rasanya, ini adalah kali pertama suaminya bercakap dengan nada yang baik. Dengan nada yang penuh prihatin. Menyerlah kasih sayang di sebalik patah kata yang dihulurkan.
Awak... Kalau awak benci saya sangat-sangat, tak perlulah awak buat baik dengan saya macam ni. Selama ini pun saya uruskan diri saya sendiri. Dua bulan saya tak tinggal dengan mama. Dua bulan itulah saya cuba berdikari sendiri. Sakit dan demam saya bersusah payah sendiri.
Tanpa sedar, air matanya menitis lagi.
Iqram perasankan air mata yang mengalir itu. Entah kenapa, hatinya tersentuh lagi. Ain... tolonglah jangan menangis lagi. Kau buat aku risau sangat! Tanpa menunggu lama, dia bangun dan melangkah ke pintu bilik.


# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

4 comments:

  1. thanks bg n3 lama sgt tunggu n3 ni huhu Iqram ni aduilah rasa nak hempuk kepala dia. sesuka hati je tuduh ain mcm tu huh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. maaf, xsempat nk bukak blog...terima kasih sudi tunggu

      Delete
  2. Hmmm. Akhirnyaaa. Srius rsa nk tembak je iqram nih.

    ReplyDelete