Monday, December 26, 2016

SHAMIKAEL


SINOPSIS

Tragedi buruk yang pernah berlaku di alam persekolahan telah meninggalkan kesan buruk dan trauma di dalam hati tiga sahabat iaitu Hasha, Arshad, dan juga Ekin. Mereka terpisah jauh, membiarkan waktu menghapuskan segala kenangan duka.

Hasha…
Di dalam setiap nafasnya ada nama Arshad walaupun ada kebencian yang wujud di tengah-tengahnya. Cinta di dalam hatinya tidak pernah berakhir walaupun jarak dan masa telah memisahkan mereka. Kemaafan yang tertangguh menjadi pertaruhan.

Mikael…
Dia menjadi pendendam kerana pengalaman ngeri yang berlaku sepuluh tahun lepas. Dia menyaksikan sendiri penderitaan seorang wanita yang bergelar isteri sampai ke akhir hayatnya. Tiada istilah kemaafan di dalam kamus hidupnya.

“Aku tak akan lupa setiap apa yang pernah dia buat pada arwah Kak Long. Biarpun dia adalah isteri kau, aku tetap akan meneruskan misi membalas dendam.” ~ Maya
“Aku akan lakukannya, Maya. Dan kau tak perlu teruskan semua ini seorang diri sebab aku dah berjanji.” ~ Mikael

Kerana janjinya kepada Maya, Mikael meneruskan misi membalas dendam.

“Apa lagi yang kau tak puas hati? Kau dah seksa hidup aku sampai macam ni sekali. Mula-mula kau rampas maruah aku. Tak cukup dengan itu, kau tinggalkan nyawa di dalam rahim aku. Lepas tu, kau biarkan aku terseksa dengan caci maki orang. Kau dah buat aku jauh dengan umi dan abah. Kau buat aku malu nak jumpa keluarga aku sendiri.” ~ Sha
“Aku tak akan pernah berpuas hati selagi tak dapat tengok kau merana seumur hidup di hadapan mata aku sendiri.” ~ Mikael

Kerana dendam Mikael, Sha terpaksa melalui liku hidup yang penuh dengan kebencian. Tidak cukup dengan itu, Sha juga dibenci oleh umi dan abahnya.

Cinta, dendam, dan kebencian, mungkinkah akan berakhir di dalam hati mereka?

Ataupun kebencian dan dendam berterusan menjadi bara yang membakar diri hingga ke akhirnya?

SHAMIKAEL - Prolog

PROLOG

Untukmu sahabat…

Assalamualaikum, Sha. Semoga kau berada di dalam kesihatan yang baik.
Pertama sekali, aku nak minta kau baca surat ini sampai ke titik penamat. Mungkin ketika kau menerima surat ini, aku sudah kembali ke rahmatullah, ataupun aku masih terlantar di atas katil hospital dan menunggu malaikat maut datang menjemput.
Aku nak minta maaf untuk semua yang telah berlaku kepada kita di zaman persekolahan yang lalu. Maaf, aku tak sempat meminta maaf dengan kau sendiri. Aku tulis surat ini di dalam keadaan yang tidak sihat. Dan mungkin kita tidak akan sempat bertemu di dunia ini lagi.



BARU beberapa baris ayat yang dibaca. Namun, air matanya sudah laju menitis ke pipi. Terbayang-bayang wajah Ekin yang kesakitan sambil mengarang surat berjumlah tiga muka surat ini.
Sha meneruskan lagi bacaan surat itu. Sungguh, dia ingin tahu semuanya. Tentang Ekin, dan juga tentang Arshad.

Sha… untuk pengetahuan kau, aku tak pernah salahkan kau. Ya, aku mengaku, pada awalnya aku memang sedih, marah, dan tidak mampu menerima kenyataan dengan apa yang telah terjadi. Aku sedih apabila dirogol oleh lelaki yang tidak dikenali. Lelaki jahat yang aku akan ingat setiap kejahatannya sampai mati. Perasaan sedih datang bertimpa-timpa apabila mengetahui ada satu nyawa haram yang mula membesar di dalam rahim aku. Tetapi kemarahan aku mula reda apabila Arshad sudi menyelamatkan maruah aku.
Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang pada waktu ditimpa musibah mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh petunjuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 156-157)
Shad selalu ulang tafsir surah Al-Baqarah itu apabila berbual dengan aku. Dia juga berusaha keras untuk menghapuskan trauma aku. Dia banyak bersusah-payah menerima hinaan orang kerana aku. Maaf sekali lagi, Sha. Aku tahu kau sukakan Shad. Aku juga tahu Shad sukakan kau. Cuma, ketika itu keadaan benar-benar terdesak. Keluarga aku memaksa Shad supaya menikahi aku kerana mereka fikir Shad yang lakukan perbuatan kejam itu kepada aku.
Kau percaya dengan takdir Tuhan, kan? Sudah tentu ada hikmah tersembunyi di sebalik apa yang berlaku, kan?
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar kamu mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu”. (Surah Muhammad, ayat 31)

Sha menghentikan bacaan tulisan tangan itu. Air mata yang menitis jatuh ke pipi disapu perlahan. Sungguh, terasa sesak nafasnya untuk terus membaca isi kandungan surat itu. Apatah lagi apabila mengetahui satu rahsia yang besar. Rahsia yang tidak pernah disebut oleh sesiapa pun termasuklah Arshad.
‘Rupa-rupanya Arshad pernah berkahwin dengan Ekin.’ Hati kecil bersuara perlahan.
Nafas ditarik sedalam mungkin. Seribu kekuatan cuba diserapkan ke dalam hati untuk kembali menatap lembaran surat itu.

Sha… Sekali lagi aku minta maaf. Tetapi aku nak kau tahu satu perkara. Selepas Shad terjaga dari koma selama sebulan, dia hilang ingatan. Tetapi dia masih ingat aku walaupun dia tak ingat apa yang pernah terjadi ketika perkhemahan itu.
Dan maaf, ketika itu Shad langsung tak ingat kau. Setiap hari aku bercerita pasal kau kepada dia. Tetapi dia masih tidak mampu mengingati semuanya termasuklah kejadian ketika perkhemahan itu. Aku mula berhenti bercerita pasal kenangan lama apabila ibu bapa Shad menasihati aku supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Kami berkahwin, Sha. Namun aku tahu, Shad tidak pernah cintakan aku. Kadang-kadang, hampir setiap malam dia bermimpi dan sebut nama kau. Tapi aku pelik, Sha. Apabila bangun keesokannya, dia langsung tak ingat yang dia mimpi dan sebut nama kau. Ketika itu aku yakin, separuh jiwanya selalu fikirkan tentang kau. Separuh jiwanya masih selalu merindui kau, Sha.

Sha menghentikan lagi bacaan surat itu. Senyuman hambar terlakar di wajahnya. Nafas sesak yang tersekat-sekat menahan sendu dihela perlahan-lahan.
‘Ekin… kalaulah kau tahu apa yang berlaku kepada aku, sudah tentu kau tak akan cakap macam ni. Dia bencikan aku, Ekin. Dia selalu meletakkan kesalahan itu di atas bahu aku seorang. Dan dia juga telah mencambahkan kebencian yang teruk di dalam hati aku.
Aku benci dia, Ekin. Dia jahat!’

Sha… jangan salahkan Shad sekiranya dia tak kenal kau bila Tuhan temukan semula kau dan dia suatu hari nanti. Jangan salahkan Shad sekiranya dia masih menyalahkan kau di atas apa yang terjadi kepada aku. Yakinlah, aku lebih tahu yang kau tidak bersalah. Tuhan lebih tahu apa sebenarnya yang terjadi ketika itu.
Sha… boleh tak aku nak minta satu pertolongan daripada kau? Aku minta tolong, jangan bagi Shad baca surat ini selagi dia tak maafkan kau. Aku tak nak kerana surat ini dia menyedari kesilapan dia. Aku nak dia maafkan kau dengan seikhlas hati. Semoga ketika itu, aku tenang ‘di alam abadi’, Sha. Janji, ya?
Perkara terakhir yang aku nak cakap adalah tentang kemaafan. Allah SWT ada berfirman dalam surah An-Nuur, ayat 22 yang bermaksud; “Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Aku mengharapkan keampunan Allah, Sha. Dan aku juga mengharapkan kemaafan daripada orang yang pernah mengenali aku. Seikhlas hati, aku sudah memaafkan semua kesilapan dan kekhilafan yang pernah terjadi di antara kita. Aku dah maafkan kau, Shad, Imran, dan juga Fatin.
Aku juga sudah memaafkan dua lelaki yang telah merogol aku suatu ketika dahulu. Dan aku benar-benar berharap yang kau juga akan memaafkan aku sepertimana aku ikhlas memaafkan kau. Tolong sampaikan juga salam kemaafan aku sekiranya kau berjumpa kembali dengan Imran dan Fatin. Juga Arshad, Sha.
Itu saja yang aku nak bagitahu. Semoga selepas ini tidak akan pernah ada kebencian atau dendam lagi di antara kau, aku, dan juga Shad.
Sha… doakan semoga aku baik-baik sahaja walau di mana sekali pun aku berada. Di dunia, ataupun di alam abadi. Doakan semoga aku dapat bertemu dengan ‘DIA’ di dalam keadaan yang baik. Insya-Allah.

Salam seribu kemaafan,
~ Ekin ~

Tersedu-sedu, esak tangis berlagu pilu setelah Sha menghabiskan bacaan surat itu. Perlahan surat itu didakap ke dada. Seandainya Tuhan masih memanjangkan umur Ekin, sudah tentu Sha akan bersungguh-sungguh merayu kemaafan daripada wanita itu.
“Ekin… seikhlas hati, aku juga telah memaafkan kau. Dan juga Arshad.
Ekin… terima kasih untuk surat ini. Sekurang-kurangnya aku tahu yang kau sudah memaafkan aku. Sekarang ini, aku perlu merayu kemaafan daripada Arshad pula, kan?
Tapi aku tak yakin Arshad dapat memaafkan aku sepertimana kau dapat memaafkan aku dengan mudah. Aku tak yakin dendam dia akan terhapus begitu sahaja,” luah Sha walaupun tahu Ekin tidak akan mampu mendengar luahannya lagi. Untuk Selama-lamanya.
Air mata disapu perlahan. Ulas bibir cuba mengait senyuman walaupun ketara kelihatan hambar.
“Ekin… aku akan cuba sedaya yang mampu. Apa yang penting sekarang, aku doakan semoga kau tenang ‘di sana’. Insya-Allah.”
Dan Arshad…
Aku harap, suatu hari nanti Arshad akan terjaga dari lenanya yang panjang. Semoga suatu hari nanti dia akan melihat kebenaran yang terpampan jelas di hadapan mata. Dan semoga dia sudi memaafkan aku dengan seikhlas hati.
‘Aku tak harapkan lebih, Shad. Aku tak harap pun cinta yang pernah berputik suatu ketika dahulu datang kembali untuk memenuhi ruang hati ini. Aku tak harap pun kau masih menyimpan perasaan yang sama.
Cuma, aku harap kau sedar dengan apa yang telah kau lakukan kepada aku selama ini. Aku harap kau sudi memaafkan aku sepertimana aku juga ikhlas memaafkan setiap perbuatan kejam kau terhadap aku.’

Ya Tuhan, hentikanlah derita ini. Hentikanlah rindu ini. Semoga selepas ini aku juga mampu menjalani liku hidup dengan lebih tenang seperti arwah Ekin. Aamiin.