Sunday, June 21, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 7


BAB 7

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

“PETANG nanti saya nak keluar dengan Syaf ya?”
Iqram mengangkat wajah, memandang seraut wajah yang sedang mengukirkan senyuman. Ain ni kalau senyum memang cantik. Tapi sorrylah. Aku tak tergoda. Hati aku langsung tak tercuit. Betul ke tak tercuit, Iqram? Peristiwa dua hari lepas kembali terlayar di rang fikirannya. Fuh, naik semput juga nafas ni bila teringatkan kejadian yang tidak disengajakan itu!
“Kau ni tak ada kerja lain ke? Asyik merayap aje kerja kau, kan?”
“Asyik merayap? Ehem! Pembetulan. Mana ada saya yang asyik merayap. Bukan ke awak tu manusia yang suka merayap entah ke mana-mana? Lepas tu balik pulak, lagi tak tengah malam, mana ada nak nampak batang hidung. So, saya ke awak yang suka merayap?”
Iqram mengecilkan anak matanya. Satu jelingan tajam hinggap pada seraut wajah itu. Bukan main menjawab lagi sekarang ni, kan? Sepatah aku cakap, berpatah-patah dia menjawab. Suka buat aku naik angin, kan?
“Eh, kejap! Tadi tu saya cuma cakap aje. Biasanya awak tak bagi saya bagitahu awak kalau nak ke mana-mana, kan? So, saya cuma nak cakap yang saya nak keluar makan dengan Syaf nanti.” Tanpa menunggu jawapan suaminya, dia menyambung patah katanya. Sempat pula dia mengukirkan senyuman manis sebelum mengatur langkah untuk meninggalkan suaminya yang sudah merah padam mukanya. Menahan amarah barangkali.
“Ikut suka kaulah! Kau ingat aku kisah kau nak keluar dengan siapa?”
“Iya, saya tahu!” Sempat juga menjawab sambil melambaikan tangan sebelum menghilang ke anak tangga.


“ABANG… buat apa kat sini?”
Sapaan itu membuatkan dia menoleh. Terkejut apabila melihat seraut wajah yang sedang berdiri di belakangnya sambil menghulurkan senyuman manis. Dia ikut mengukirkan senyuman. Jelas, keresahan yang dibawanya tadi hilang begitu sahaja apabila terpandangkan seraut wajah putih bersih itu.
Niat di hati tadi ingin mencari isterinya di sini. Tetapi niat itu terus terbatal apabila terserempak dengan Dhiya. “Dhiya? Buat apa kat sini?”
“Kan Dhiya yang tanya abang dulu?” Dhiya yang lemah lembut. Dhiya yang penuh sopan. Tutur kata yang selalu mencuit hati.
“Oh, er… cari baju. Dhiya?” Kelam kabut juga Iqram mahu menjawab. Tidak mahu kantoi yang dia sedang mencari isterinya.
“Hmm… mestilah cari baju jugak. Sini kan memang tempat orang cari pakaian. Abang seorang ke?”
“Dhiya nampak?”
Dhiya ketawa kecil. “Memanglah Dhiya nampak abang seorang. Tapi manalah tahu isteri abang datang sekali ke?”
Hancur hatinya setiap kali perkataan ‘isteri’ muncul di bibir Dhiya. Ya, Dhiya dah tahu semuanya. Dan dia juga tak sanggup untuk membohongi Dhiya. Nasibnya baik. Dhiya menerima semua ini dengan hati terbuka walaupun dia tahu yang Dhiya masih mengharapkan sesuatu daripadanya.
“Tak. Dia tak ikut abang. Dia kan memang suka buat hal dia sendiri. Mana ada dia nak hiraukan abang.” Kepada Dhiyalah tempat dia selalu mengadu. Mama? Tak mungkin! Mama selalu marah bila dia buruk-burukkan Ain.
“Isy, abang ni. Tak baiklah cakap macam tu. Apa-apa pun dia tetap isteri abang tau? So, dah jumpa baju yang abang cari?”
Iqram senyum sambil menjungkitkan kedua-dua belah bahunya sebelum menggeleng. “Tak ada yang berkenan.”

“Hah, itulah! Dhiya pun pelik jugak. Biasanya abang memang tak akan beli baju seluar abang kat kedai macam ni, kan? Tiba-tiba abang datang ke sini. Memanglah tak berkenan. Dhiya tahu taste abang macam mana.”
“Abang saja nak tengok-tengok tadi. Dah kebetulan lalu kat sini. Itu yang singgah. Rupa-rupanya ada Dhiya kat sini. Sebab tu kot hati abang tergerak untuk masuk ke sini.”
Dhiya ketawa kecil. “Ada-ada ajelah abang ni! Lepas ni abang nak pergi mana?”
“Tak ada ke mana-mana. Dhiya?”
“Kalau macam tu, Dhiya nak ajak abang makan dulu boleh tak?”
“Eh, mestilah boleh. Nak makan kat mana?”
“Makan kat mulutlah. Takkan makan kat hidung pulak?” Sempat lagi Dhiya membuat lawak. Itulah… tanya lagi soalan yang tak logik macam tu.
Iqram ketawa kuat mendengar usikan Dhiya. Sejak akhir-akhir ini dia jarang ketawa macam ni. Orang yang mampu buat dia ketawa cuma Dhiya. Tunangnya sebelum Ain menjadi isterinya. Aku benci kau, Ain!
“Abang tahulah makan kat mulut. Maksud abang kita nak pergi makan dekat mana? Restoran mana? Kedai mana?”
“Dhiya tahulah, bang. Dhiya saja aje. Tengok abang termenung jauh sangat tadi. Teringatkan isteri abang ke apa?”
“Jangan sebut lagi pasal dia boleh tak?”
“Okey. Okey. Jom kita pergi kat restoran depan tu. Dengar kata nasi ayam dia sedap. Kita try kat situ, ya?” Dhiya terus memaut lengan Iqram ke lengannya supaya beriringan dengannya.
Terhenti langkahnya. Anak matanya masih elok terpaku ke arah pasangan yang sedang bergelak tawa sejak tadi. Kali ini tangkai hatinya terasa makin tersentak apabila melihat perempuan itu memeluk erat lengan suaminya. Hati isteri mana yang tak terguris? Hati isteri mana yang tak terluka?
Iqram… sampai hati awak buat saya macam ni, kan? Saya tahu yang saya ni cuma seorang isteri yang tak dianggap. Tapi tak boleh ke awak jaga perasaan saya walaupun sedikit?
“Ain … Kau okey tak ni?” Syaf pelik apabila Ain tiba-tiba menghentikan langkah. Makin pelik jadinya bila tiba-tiba air mata Ain menitis jatuh ke pipi. Anak matanya diarahkan ke arah pandangan mata Ain. Terkejut bukan kepalang apabila melihat suami Ain sedang beriringan dengan perempuan lain. Yang paling membuatkan dia terkejut, apabila melihat pautan tangan yang erat dan gelakan yang mesra itu.
“Ain… Jom. Kita balik ya?”
“Kejap. Aku tak nak balik lagi. Aku nak tengok suami aku dan perempuan tu pergi mana.”
“Ain… Jangan macam ni. Jangan sakitkan hati sendiri lagi. Jangan seksa perasaan kau macam ni.”
“Syaf… Kalau kau nak balik dulu, baliklah. Aku nak ikut diorang sekejap.”
Syaf melepaskan keluhan berat. Sudahnya dia mengalah juga. Untuk membiarkan Ain bersendirian, itu tidak mungkin. “Yelah… Yelah… Aku ikut kau. Tapi janji dengan aku lepas ni kita balik, ya?”
Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Hanya langkah kakinya sahaja mula diatur mengekori langkah suaminya dan wanita cantik itu. Ya, memang cantik! Jauh lebih cantik jika dibandingkan dengannya.
Laju air matanya menitis apabila melihat suaminya makan berdua-duaan dengan perempuan tadi. Paling menyakitkan hatinya apabila suaminya dan perempuan itu saling menyuap antara satu sama lain.
Awak… Awak tak ingat ke yang awak ada seorang isteri yang sedang menanti awak?
“Ain, tolong macam ni! Makin lama kau kat sini, hati kau makin terluka Ain. Anggap aje yang kau tak pernah tengok semua ni. Jom, balik?” Syaf cuba menghalang pandangan mata Ain. Dia cuba untuk menasihati sahabatnya.
Ain mengukirkan senyuman hambar. “Syaf… Aku akan ikut kau balik. Tapi sebelum tu… Tolong jangan halang aku buat satu benda.”
“Apa maksud kau ni, Ain?”
“Kau tunggu sini kejap ya? Sumpah! Aku janji… Sekejap aje!”
“Kau nak buat apa ni, Ain? Tolong jangan buat perkara yang mengarut.” Sekali lagi dia cuba menghalang langkah Ain. Dia tahu, Ain cuba bertindak untuk menyapa suaminya dan perempuan itu.
“Aku janji tak akan buat perkara mengarut. Please, Syaf! Sekejap aje. Tolong jangan halang aku.”
Tidak dapat tidak, Syaf memang tak akan mampu menghalang. Sudahnya, dia sekadar membiarkan langkah Ain yang mula menghampiri meja yang diduduki suaminya dan seorang perempuan yang tidak dikenalinya.


“AIN! Keluar kau! Berani kau buat macam tu, kan?” Berkali-kali dia mengetuk pintu bilik Ain. Bagai mahu roboh rumah ini dengan ketukan dan tumbukan kuat pada muka pintu bilik.
“Tak guna! Kau dah buat Dhiya merajuk dengan aku!” Masih tiada sahutan. Dia yakin, Ain berada di dalam biliknya.
“Ain, keluar aku kata! Keluar!” Makin lantang jeritannya.
Peristiwa tengah hari tadi terulang tayang di mindanya. Sakit sungguh hatinya dengan permainan gila Ain.
 “Assalamualaikum.” Salam dihulurkan sambil bibirnya menguntumkan satu senyuman manis.
Serentak Iqram dan Dhiya mengangkat wajah. Seraut wajah Iqram jelas kelihatan terkejut apabila anak matanya menyapa seraut wajah yang selamba melabuhkan duduk di sisinya.
“Tak baik tak jawab salam, abang. Berdosa hukumnya.” Sekali lagi senyuman yang dibuat-buatnya dihulurkan. Kali ini khas untuk suaminya. Tidak lepas anak matanya memandang mata suaminya yang tidak berkelip memandangnya.
“Abang datang sini tak ajak Ain pun? Kenapa abang makan sikit aje ni?”
“Kau buat…”
“Oh, lupa pulak! Petang ni Ain masak tau? Abang balik makan kat rumah petang nanti ya? Ain masakkan lauk kegemaran abang.” Cepat-cepat dia menyampuk apabila melihat bibir suaminya ingin menuturkan patah kata. Senyum lagi.
“You ni… isteri Iqram?” Akhirnya, Dhiya bersuara. Sungguh, hatinya tidak betah apabila melihat tingkah laku manja perempuan di sisi Iqram. Dia dapat mengagak yang perempuan itu adalah isteri Iqram.
“Bukan!” Laju Iqram menjawab.
Ain senyum. “Abang ni… selalu tak nak mengaku bila depan perempuan cantik, kan?” Dia buat-buat ketawa. Anak mata memandang wanita di hadapannya. “Erm, kalau tak silap saya, awak ni bekas tunang suami saya, kan? Saya pernah tengok gambar awak dalam album gambar suami saya. Hmmm, memang tak sangka. Rupa-rupanya awak ni lagi cantik berbanding gambar.”
“Ain!!” Kuat suara Iqram menyebut sepatah nama itu. Tangan kiri di bawah meja sudah mencengkam kuat tangan kanan Ain yang sedang memegang beg plastik.
Sakit! Tetapi hatinya lagi sakit. Kepala ditoleh ke sisi. Senyum lagi. “Abang… hari tu abang cakap nak kahwin dengan dialah, kan? Siapa ya nama dia? Kalau tak silap, Dhi…”
“Dhiya. Nama saya Dhiya. Tunang tak jadi Iqram.”
“Hmmm, betul pun! Kalau macam tu, Ain tak nak kacau abang makanlah. Abang kan dah lama tak jumpa tunang abang ni. Ain balik dululah. Nanti Ain tunggu abang kat rumah.” Dia bangun. Anak mata dialihkan ke arah tangan Iqram yang masih mencengkam kuat. Bibir menguntum senyum.
“Abang… malulah orang tengok. Boleh tolong lepaskan tangan Ain?”
Lambat-lambat Iqram melepaskan cengkaman tangannya. Tak guna kau, Ain! Boleh kau main-main depan Dhiya, kan? Balik nanti siaplah kau!
Ain senyum dan berlagak mesra. Sempat juga tangannya mencapai tangan kanan suaminya lalu diciumnya lama. Sengaja membuahkan cemburu perempuan bernama Dhiya itu. “Ain balik dulu, abang. Assalamualaikum.”
Berang sungguh hatinya dengan apa yang berlaku tengah hari tadi. Gila! Ain memang gila! Sengaja dia buat macam tu untuk menghancurkan hubungan aku dengan Dhiya.
“Ain! Keluar kau sekarang!” Kuat tangannya mengetuk pintu bilik Ain. Macam nak roboh dibuatnya.
Ain diam membeku. Kepalanya pening. Tak larat nak bangun. Mungkin sebab terlalu banyak menangis selepas balik ke rumah tadi. Dibiarkan sahaja suaminya mengetuk pintu biliknya. Kalau nak roboh pun, robohlah. Kalau nak pecah pun, pecahlah!
Geram dengan perangai Ain yang langsung tidak mengendahkan arahannya, Iqram terus melangkah ke bilik untuk mencari kunci pendua bilik isterinya.
Sakit sungguh hatinya bila nampak Ain tidur di atas katil sampai tak ingat dunia. Laju kakinya dilangkahkan ke arah Ain lalu menarik kasar lengan isterinya. “Bangun! Kau buat aku macam tunggul kayu, kan? Boleh kau buat dek aje bila aku suruh bukak pintu?”
Ain cuba membuka kelopak matanya yang terasa sangat berat. Seraut wajah suaminya kelihatan berbalam-balam di hadapan mata. Dia nak apa? Dia tak nampak ke aku tak sihat ni? Rasa pening turun ke perut. Dia mula rasa loya dan nak termuntah. Dengan lemah dia menolak tangan suaminya. Kaki terus dilangkan ke bilik air. Memuntahkan segala isi perut.
Iqram kaget sendiri. Terkejut sebenarnya. Kenapa Ain macam tu? Siang tadi bukan main lagi dia berlagak depan aku dan Dhiya? Demam ke? Tapi kenapa muntah-muntah pulak? Jangan-jangan… dia mengandung?
Bulat anak matanya memandang kelibat isterinya dari celah pintu bilik air. Ain kelihatan terbongkok-bongkok memuntahkan isi perutnya. Ain mengandung? Betul ke Ain mengandung?
Rasa lega apabila dapat memuntahkan isi perut. Selepas membasuk mulut dan muka, Ain melangkah lemah ke katil. Suaminya yang tercegat macam tugu negara dibiarkan sahaja. Malas mahu melayan kerenah lelaki itu di saat dia tidak sihat.
Belum sempat Ain melabuhkan duduk di atas katil, terasa tangannya ditarik kasar sehingga tubuhnya terdorong ke arah dada bidang suaminya. Sungguh, dia benar-benar lemah untuk menolak tubuh itu.
“Baik kau cakap betul-betul, Ain… Kau mengandung, kan?”
Tersentak sungguh dengan soalan itu. Kepala yang pening terasa semakin pening. Rasa nak pitam saat ini jugak. Tapi… jangan-jangan… betul aku mengandung? Ya Allah… Apa yang berlaku ni? Jadi, kejadian hari tu… memang betul-betul berlaku? Ain memicit kepalanya perlahan. Langsung anak mata suaminya tidak ditatap. Takut dengan kemungkinan yang akan berlaku.
Melihat muka terkejut isterinya, amarahnya tiba-tiba datang membuak-buak. Jangan-jangan Ain pun dah tahu yang dia mengandung? Jangan-jangan Ain memang sengaja nak sembunyikan tentang ini daripada pengetahuan aku? “Aku nak kau gugurkan kandungan tu. Itu bukan anak aku!” Jerkahannya bergema kuat.
Gugurkan? Dia ni dah gila ke? Tak tahu mana dosa mana pahala? Lambat-lambat kepalanya didongak memandang suaminya. “Sampai hati awak cakap macam tu! Sekali pun saya betul-betul mengandung, anak ni anak saya. Saya tak akan gugurkan.”
Panas sungguh hatinya mendengar patah kata Ain. Jadi dia memang mengharapkan dia akan mengandungkan anak Farish? Tak guna kau, Ain! Tubuh Ain yang melekat erat di tubuhnya ditolak kasar. “Kau jangan degil sangat boleh tak? Aku benci betullah tengok muka kau ni! Konon berlagak baik mengalahkan malaikat. Tapi perangai sebenar, mengalahkan syaitan nirrajim!”
Tidak dapat mengimbangkan tubuh, Ain terjatuh. Tak sengaja, kepalanya terkena bucu meja. Kepalanya terasa semakin pening. Tak sampai lima saat, terasa tubuhnya terjatuh sendiri. Kemudian dia sudah tidak sedar apa yang berlaku.
Terkejut Iqram bukan main lagi. Makin terkejut apabila melihat kepala Ain berdarah dan kelihatan tubuh itu tidak bergerak. Ya Allah… apa aku dah buat ni? “Ain?” Perlahan langkah kakinya diatur menghampiri isterinya.
“Ain, kau jangan main-main dengan aku! Takkanlah aku tolak macam tu aje kau dah pengsan macam ni? Kau okey tak ni?” Tubuh isterinya digoncang kuat. Masih lagi tidak bergerak. Panik! Dia terus mencapai kunci kereta lalu mencepung tubuh isterinya ke kereta. Ya Allah… Apa aku dah buat ni? Ain… tolong jangan mati sekarang. Apa aku nak jawab pada mama nanti?

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

3 comments:

  1. ya ALLAH, menyampah betul dengan Dhiya tu. gedik la. dah tahu iqram laki orang lagi la dia nak menyendeng. urghh! best2. setakat mana dah awak taip. dah fikir nak antar ke pub mana?

    ReplyDelete
  2. Hmm. Next n3 pls. Tak suka dgn cara iqram nih. Rsa nk baling dia jauh2.

    ReplyDelete