Friday, December 25, 2015

Cerpen : Doa Seorang Kekasih



DOA SEORANG KEKASIH

KELAM kabut dia berlari mengejar pintu train LRT yang akan tertutup beberapa saat sahaja lagi. Dengan lafaz bismillah dia melompat masuk ke muka pintu yang hampir-hampir tertutup. Mujurlah ada sepasang tangan yang sempat menarik tubuhnya ke dalam sedikit. Jika tidak, sah-sahlah hidungnya akan terkepit pada pintu.
Hehe! Nasib baik sempat!
Tanpa memandang seraut wajah yang berdiri di belakangnya, Zahra mengucapkan terima kasih sambil melepaskan nafas lelah. Peluh dingin terasa memercik ke dahi akibat berlari sekejap tadi. Perlahan tangannya dikibaskan ke muka bagi menghilangkan rasa panas. Jika dilihat di dalam cermin, sudah pasti seraut wajah yang keputihan miliknya itu sudah bertukar warna kemerah-merahan.
“Kenapa tak tunggu train lain aje? Bahaya awak buat macam tu.”
Zahra menoleh ke sekilas ke belakang. Oleh kerana ruang yang sempit dan ramai orang, dia tidak dapat melihat dengan jelas seraut wajah yang menegurnya. Mungkin lelaki yang menegurnya itu adalah orang yang menariknya ketika dia masuk ke dalam train sebentar tadi.
“Saya dah lambat. Lagipun saya dah janji dengan tunang saya.”
“Oh... Bila majlis kahwin?”
“Mungkin awal tahun depan.”
“Kenapa mungkin?”
“Sebab kita orang tak tetapkan tarikh lagi. Tapi dah merancang untuk buat majlis lepas Chiness New Year awal tahun depan.”
Zahra mencari tisu di dalam begnya. Butang matanya sekejap. Alamak! Dah habislah! Tinggal plastik aje? Bukan biasanya ada spare dua tiga bungkus tisu ke kat dalam ni? Dia mencari lagi.
Selang beberapa saat, anak matanya sempat menangkap satu huluran sapu tangan. Lama dia merenung sapu tangan itu. Siapa mamat kat belakang ni? Kenapa dia tiba-tiba buat baik dengan aku? Rasa was-was untuk mengambil sapu tangan itu.
“Ambillah. Sapu tangan saya. Tapi saya ikhlas hulurkan untuk awak.”
Sejuk hatinya mendengar perkataan ‘ikhlas’ itu. Bibirnya menguntumkan senyuman sebelum mencapai sapu tangan yang dihulurkan. Apabila sampai di stesen KL Sentral, ramai yang berpusu-pusu meroboskan diri untuk masuk dan keluar dari gerabak itu. Tertolak-tolak tubuh kecilnya akibat ditolak oleh orang yang berpusu-pusu.
Hampir-hampir tubuhnya terjatuh ke arah seorang lelaki asing apabila sekali lagi dia ditolak oleh seorang mak cik bertubuh gempal. Belum sempat tubuhnya terjatuh, ada sepasang tangan menarik bahunya dari arah belakang sebelum tubuhnya ditolak perlahan ke arah satu ruang kosong di tepi dinding train.
Zahra tertoleh-toleh ke belakang untuk melihat gerangan lelaki yang seolah-olah sedang cuba melindungi dirinya daripada kesesakkan.
“Pandang depan. Karang jatuh lagi.”
Suara garau itu kedengaran dekat dengan telinganya. Zahra mengalihkan pandangan ke hadapan. Dalam diam, dia menguklirkan senyuman kecil. Ada ke makhluk Allah yang baik hati macam ni? Jangan-jangan, mamat ni saja nak ambil kesempatan? Mati senyumannya dan kemudian berganti dengan wajah cuak.
Apabila tubuhnya sudah terlepas daripada kesesakan, Zahra memusingkan tubuh untuk memandang lelaki tadi. Berkerut seribu dahinya apabila melihat seorang lelaki sebaya Fadz sedang mengepung tubuhnya. Kedua-dua belah tangan lelaki itu diletakkan di sisi kiri dan di sisi kanan Zahra.
Zahra menapak ke belakang setapak. Merapatkan tubuhnya pada dinding dan cuba menjauhkan jarak antara dia dan lelaki itu. Kali ini dia sudah mampu melepaskan nafas kelegaan. Sekurang-kurangnya tidaklah tertolak-tolak lagi.
Selang beberapa saat, Zahra mendongak ke arah seraut wajah yang sedang mengukirkan senyuman di hadapannya.
“Jangan salah faham. Saya cuma nak melindungi awak daripada bersentuhan dengan lelaki lain.”
Makin berkerut dahinya dengan penjelasan lelaki itu. Melindungi aku? Aku bukan awek dia pun! Bukan isteri dia dan bukan tunang dia pun. Apesal dia nak buat baik dengan aku pulak?
Senyuman kecil lelaki itu menyejukkan hatinya yang keliru. Sudahnya dia cuma diam dan menundukkan wajah. Segan sangat bila berada dalam kepungan tangan lelaki itu. Kalau Fadz tak apalah jugak. Hehe!
“Cantik rambut awak,” tegurnya tanpa sedar.
Zahra kembali mendongakkan wajah bersama kerutan yang semakin bertaut. Mamat ni apa hal pulak? Suka hati dia aje nak tegur rambut aku! “Baru lepas pergi salon.” Selamba jawapannya. Dia tidak menipu. Memang disebabkan pergi salon, rambutnya yang lurus kelihatan ikal dan berombak cantik.
“Oh, tapi saya rasa awak akan nampak lebih cantik kalau bertudung.”
Sesuka hati nampak? Dia siapa nak tegur aku macam tu? Ibu dan ayah pun tak pernah nak tegur sampai macam tu sekali. Apabila train berhenti di tempat yang ingin ditujunya, laju sahaja dia merempuh lengan lelaki itu dan meloloskan diri keluar dari gerabak train.
Di dalam hatinya sudah timbul ombak ganas yang terasa semakin ganas. Geram dan sakit hati dengan teguran lelaki yang tidak dikenalinya itu. Tahulah dia simpan janggut seciput macam ustaz. Tapi tak payahlah nak tegur macam tu! Hisy, geramnya!


SAMBIL merenung makanan, sambil itulah dia mengeluh. Seraut wajah yang sedang tenang menikmati makanan di hadapannya dipandang lama. “Fadz…” serunya perlahan.
Hmmm?” soal Fadz sambil menyuap nasi ke mulut.
“Rambut saya ni buruk sangat ke?”
Pertanyaan itu membuatkan Fadz mendongak wajah. Anak matanya memerhatikan rambut wanita di hadapannya. “Taklah. Elok aje. Kenapa tanya macam tu?”
Keluhan berat dilepaskan. “Tak adalah. Tadi ada orang gila tegur pasal rambut saya ni.”
“Orang gila? Siapa?”
“Entah! Tak kenal.”
Fadz mengerutkan wajah. Pandai-pandai aje mengata orang! Kalau terserempak dengan orang gila betul, pasti awal-awal lagi dia dah lari sebab takut. “Dia tegur apa?”
“Dia cakap, saya akan nampak lagi cantik kalau bertudung. Betul ke Fadz?”
Baris ayat itu membuatkan Fadz ketawa. “Itulah, kan dah lama Fadz suruh Zahra bertudung. Tapi Zahra pulak yang tak nak. Masih tak bersedialah, apalah! Kan dah kena tegur. Padan muka!”
“Awak ni jahatlah, Fadz! Bukannya nak tolong back up kita pun! Mengutuk kita lagi adalah!” rajuknya pula. Sedepa muncung ditariknya. Geram!
“Ustazah mana yang tegur Zahra tadi?”
“Ustaz…” Dia berfikir sejenak. Kalau aku cakap ustaz, mesti Fadz kecil hati sebab lelaki yang tegur rambut aku. Habis tu? Nak cakap apa?
“Ustaz?”
“Bukanlah. Ustazah yang pakai tudung labuh. Geramlah dengan dia tu.”
“Oh, betullah perempuan yang tegur?”
“Betullah! Kenapa? Tak percaya?” Ada debaran yang menyerang jantungnya kerana menipu. Bukan ustazah yang pakai tudung labuh. Tapi ustaz yang ada janggut sejemput.
“Percaya. Tapi kalau lelaki yang tegur, Fadz akan cubit mulut dia sampai berdarah.”
“Cemburu ke?”
Hmmm… memanglah cemburu. Zahra Aisyah ni kan buah hati kesayangan Fadz.”
“Eleh, itu pun nak cemburu!”
So, bila Zahra nak mula?”
Berkerut seribu dahinya dengan pertanyaan yang seolah-olah tergantung itu. Seraut wajah Fadz dipandangnya lama. “Mula apa?”
“Mula pakai tudung? Fadz pun rasa Zahra makin cantik kalau bertudung.”
“Fadz ni… kan saya dah cakap belum sedia lagi. Saya kan dah janji dengan awak yang saya akan bertudung penuh selepas kita kahwin nanti.”
“Janji tau?”
“Iya, janji! Awak tak percayakan saya ke?”
“Percaya! Cuma, Zahra mengambil masa terlalu lama.”
“Mana ada lama. Lagi beberapa bulan, kan?”
“Okey, Fadz pegang kata-kata Zahra ni.”


TARRA!”
Tidak berkelip anak matanya memandang seraut wajah itu. Tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Betul ke perempuan yang berdiri di hadapannya itu adalah Zahra Aisyah?
“Cantik tak saya?” soalnya sambil membuat muka comel.
“Cantik! Cantik sangat! Macam bidadari yang baru turun dari Syurga,” pujinya ikhlas. Sungguh, dia benar-benar tergamam apabila melihat seraut wajah cantik di hadapannya ini mengenakan tudung di kepala.
“Ala… tak payahlah puji macam tu. Seganlah!”
“Kan Fadz dah kata, Zahra lagi manis kalau bertudung. So, kata nak tunggu lepas nikah?”
“Itulah, kan? Tapi saya memang geram bila ada orang tegur pasal rambut saya hari tu. Jadi, saya dah tekad untuk pakai tudung lebih awal. Sebelum kita berkahwin. Awak suka tak?”
“Mestilah Fadz suka. Nampak anggun macam isteri solehah.”
“Habis tu, selama ni saya tak solehahlah ya?”
“Zahra tetap seorang solehah dalam hati Fadz. Sampai bila-bila pun. Cuma, Zahra nampak lagi solehah bila pakai tudung macam ni.”


KELAM kabut dia berlari ke anak tangga. Dari jauh dia dapat dengar bunyi train yang menuju ke stesen. Zahra! Zahra! Pakai tudung dah elok. Cuma, bila berlari macam ni nampak macam bukan solehah pulak. Ah, lantaklah! Yang penting aku nak sampai rumah awal. Tak nak tertinggal solat Maghrib.
Nafas kelegaan dihelakan sebaik sahaja kakinya dapat menapak masuk ke dalam train. Hehe! Aku ni kalau bab kejar train, memang powerlah!
“Oh, mak kau!” Latahnya apabila tidak sengaja, dia terpijak kaki seseorang. Laju kepala didongak memandang gerangan yang dipijaknya. “Maa…”
Ucapan maaf terhenti sebaik sahaja terpandangkan seraut wajah. Ustaz ni? Walaupun ini adalah kali kedua pertemuannya dengan lelaki ini, namun dia dapat mengingat dengan jelas seraut wajah itu. Apatah lagi dengan janggut ciputnya. Memang tak pernah luput dari ingatan.
Situasi yang sama di gerabak yang sama. Satu kebetulan yang langsung tak dijangka.
Bibirnya menguntumkan senyuman manis apabila terpandangan gadis yang sama. “Saya maafkan,” ucapnya walaupun gadis itu belum sempat menghabiskan ucapan maafnya.
Zahra melemparkan jelingan sambil mencebik. Kaki dilangkahkan berhampiran pintu lalu menyandarkan tubuh pada dinding. Nasib baik kali ini tak ramai orang. Takut pulak peristiwa hari tu berulang lagi. Mamat ni nampak peliklah! Kat mana ada aku, pasti ada dia jugak!
Dia turut menyandarkan bahu pada palang yang berhadapan dengan pintu gerabak. Senyuman masih meniti bibirnya walaupun jelas seraut wajah itu kelihatan masam mencuka. Oh, rupanya, dia masih ingat wajah aku? “Saya pernah cakap yang awak nampak manis bila bertudung. Dan sekarang awak memang nampak cantik bila bertudung macam ni.”
“Hello? Saya bertudung bukan sebab awak. Tapi sebab tunang saya.”
Sekali lagi senyuman meniti bibirnya. Kali ini senyuman itu kelihatan ikhlas dan bermakna. “Tapi lagi elok kalau awak bertudung kerana Allah. Bukan niat kerana manusia.”
. Hari tu dia tegur aku sebab tak bertudung. Hari ni dia tegur lagi sebab aku cakap bertudung kerana tunang aku. Apa hal dengan ustaz ni? Dia nak apa sebenarnya? Anak matanya dikecilkan memandang lelaki itu. Namun lelaki itu tetap tersenyum.
“Hei, awak dengar sini baik-baik ya? Awak tu seorang lelaki yang langsung tak ada kena mengena dengan kehidupan saya. Jadi, lebih baik awak buat hal awak dan saya buat hal saya. Jangan nak menyibuk hal orang sangat boleh tak?”
“Boleh. Cuma, awak adalah salah seorang yang terpilih. Rasanya tak salah untuk saya nasihat dan menasihati sesama manusia. Jika awak salah, saya boleh tegur. Dan kalau saya salah, awak juga berhak untuk menegur.”
Yup, memang awak salah! Awak salah sebab suka sangat menyibuk hal saya. Tu, tengok sana tu! Berlambak lagi perempuan yang tak pakai tudung. Kenapa awak tak tegur diorang sekali? Kenapa saya seorang aje awak nak tegur dan nak nasihat menasihati sesama manusia? Hmmm?” Zahra menghemburkan amarahnya. Namun nada suaranya masih tidak meninggi. Dia masih sedar yang saat ini mereka berada di khalayak ramai.
“Kan saya dah cakap tadi. Awak adalah salah seorang perempuan yang terpilih. By the way, awak betul-betul nampak cantik bila mengenakan tudung. Cuma, saya harap awak ubahlah niat awak. Bertudung kerana Allah. Bukan kerana manusia. Sebab saya rasa, kalau awak niat kerana Allah, hati awak akan lebih ikhlas.”
Satu persatu kata-kata lelaki itu menusuk masuk ke dalam telinganya dan terus sampai ke lubuk hati yang paling dalam. Sudahnya, dia hanya diam membisu.
Posisi berdirinya dibetulkan. Sekali lagi senyuman manis penuh ikhlas dihulurkan kepada perempuan di hadapannya itu. “Saya harap saya akan dapat jumpa awak sekali lagi. Assalamualaikum.”
Terpinga-pinga Zahra apabila ustaz di hadapannya menghulurkan salam seolah-olah sudah mahu beredar. Namun dia kembali semula ke alam nyata apabila mendengar suara perempuan yang menyebut destinasi ketibaan. Dah sampai? Oh, jadi memang dia ingatlah kat mana aku turun? Ataupun, dia tu memang Mr. Stalker?
Zahra membetulkan beg sandangnya lalu mengorak langkah. Sebelum melangkah turun, dia menoleh semula ke arah lelaki itu. “Waalaikumussalam. Dan saya harap, saya tak akan jumpa awak lagi.” Selepas berkata-kata, dia terus mengorak langkah lalu keluar dari gerabak itu.
Sempat mulutnya mengumam perlahan. Apa ustaz tu nak sebenarnya? Pelik betullah aku dengan dia? Kenapa dia suka sangat tegur kesilapan aku? Salah seorang yang terpilih, konon! Padahal ramai lagi manusia yang boleh dia tegur, kan?
Apabila train mula bergerak, Zahra melemparkan pandang ke arah lelaki yang digelar sebagai ustaz itu. Jelas, lelaki itu tersenyum sambil melambaikan tangan kepadanya.
Apa nama ustaz tu? Ustaz Akil Haiy? Uztaz Azhar Idrus? Atau, Imam Muda Asyraf?
Ah, lantaklah! Buat apa aku nak ambil tahu pasal nama ustaz tu? Buang masa ajelah!


KAKINYA dilangkahkan ke dalam train yang sama. Kepalanya tertoleh-toleh mencari kelibat seorang lelaki. Lelaki yang dipanggilnya sebagai ustaz ‘no name’ sebab sampai sekarang pun dia masih belum tahu nama lelaki itu.
Masih lagi hampa. Sudah seminggu dia mencari kelibat lelaki itu. Tetapi masih belum muncul-muncul.
Zahra Aisyah… Kenapa kau bersungguh sangat cari dia?
Entahlah! Tapi cuma ada satu niat. Mahukan penerangan tentang apa yang tidak faham.
Betul ke? Bukan sebab kau rindukan dia?
Taklah! Dalam hati ini cuma ada seorang lelaki. Fadz Ismail.
Keluhan kecil dilepaskan sambil tubuhnya disandarkan pada dinding berhampiran pintu. Seperti biasa. Sebuah novel dikeluarkan daripada beg lalu dibacanya.
“Perempuan Lindungan Kaabah?”
Berkerut seribu dahinya apabila seorang lelaki menyebut tajuk novel yang dibaca. Siapa pula kali ini? Dia langsung tidak mengalihkan anak mata sambil meneruskan bacaan. Malas mahu mengulangi kesilapan yang sama sewaktu pertemuannya dengan ustaz ‘no name’ itu.
“Alhamdulillah… Ada perubahan lain.”
Tumpuannya terus beralih apabila dia mula mengecam ucapan sinis itu. Tapi suara dia lain. Selsema ke? Demam? Oh, patutlah aku tak dapat cari dia dalam masa seminggu ni!
Novel ditutup lalu anak matanya singgah pada seraut wajah. Ustaz ‘no name’. Lega! Kerana apa yang dicarinya muncul juga setelah seminggu dia menjadi penanti yang setia. Namun reaksi yang ditunjukkan berbeza seratus peratus daripada apa yang ada di dalam hatinya.
“Ustaz… kalau awak ada niat nak perli saya, baik awal batalkan niat awak tu.”
“Saya bukan ustaz.”
“Habis tu? Yang awak suka sangat bagi ceramah free dekat saya tu, kenapa? Saya sedarlah saya ni siapa dan awak tu siapa.”
“Saya siapa?”
“Uztaz berjanggut ciput dengan gelaran nama ‘no name’ yang suka sangat perli saya dan ganggu kehidupan saya.” Panjang lebar penjelasannya.
Kali ini dia melepaskan tawa. “Wah, panjangnya gelaran yang awak bagi pada saya?!”
“Suka hatilah!”
“Nama saya bukan ustaz ‘no name’. Nama saya Zahran Afizi.”
Zahran Afizi? Melopong mulutnya sekejap. Anak matanya memandang seraut wajah itu tidak berkelip. Beribu-ribu kali hatinya menyebut dua patah nama itu. Hampir serupa!
“Zahra Aisyah, right?”
Soalan lelaki itu membuatkan dia terperanjat. “Mana awak tahu nama saya? Selama ni awak skodeng saya ke?”
“Taklah. Tu…” Jari telunjuknya dihalakan ke arah key chain yang berada di beg Zahra.
Zahra ikut memandangnya. Cis, buat malu aku ajelah!
“Sejak pertemuan kedua dengan awak, saya dah tahu nama awak. Beg yang sama, kan?”
“Habis tu, kenapa awak tak cakap yang nama awak hampir serupa dengan nama saya?”
“Tak serupa, tapi hampir sama. Zahra Aisyah dan Zahran Afizi. Ada beberapa huruf yang membezakan nama kita. Yang sama adalah huruf di hadapan dua patah nama itu. Z.A dan Z.A. Macam berjodoh, kan?”
“Eee… tak ada masa! Saya dah bertunang!”
“Saya tahu. Awak dah pernah bagitahu saya.”
“Habis tu? Kenapa cakap pasal jodoh?”
“Jodoh pertemuan, ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Jika dia bukan jodoh awak, awak tak akan bersama dengannya.”
How dare you! Awak mendoakan keburukkan untuk saya!”
“Saya bukan mendoakan keburukan. Tetapi memang itu hakikatnya.”
“Tapi kata-kata tu kan satu doa juga!”
Bibirnya menguntum senyuman kecil. Zahra dah semakin pandai. Baguslah! “Once again! Satu lagi saya dapat. Saya sukakan perubahan awak, Zahra.”
“Saya berubah bukan kerana awak. Tapi saya berubah kerana All…” Ayatnya termati tiba-tiba. Sudah! Apa aku dah buat ni? Takkanlah aku nak berterus-terang depan dia? Sudahlah dia pernah mengenakan aku dengan kata-kata macam ni.
“Berubah kerana?” Dia menjungkitkan kening sambil tersenyum. Jauh di sudut hati, dia sudah dapat mengagak ayat seterusnya. Tetapi dia sengaja bertanya untuk menguji Zahra.
“Seboklah!”
“Kerana Allah, kan?”
“Tepilah! Nak keluar ni!” Dengan selambanya bahunya merempuh bahu lelaki itu. Sakit hati bercampur amarah membuatkan dia sengaja menyakiti lelaki itu. Awal-awal lagi dia tahu, lelaki itu sudah dapat mengagak jawapannya.
Kaki terus dilangkahkan keluar daripada perut train.
Sekali lagi, perbuatan yang sama, dia sempat memandang lelaki itu melalui cermin tingkap train dan lelaki itu juga memandangnya dengan senyuman manis sambil melambaikan tangan kepadanya.
Hati Zahra mula tersenyum. Dalam diam, dia sudah mula sukakan lelaki itu. Suka yang tidak lebih daripada suka sebagai seorang kawan. Kerana dia sudah ada Fadz untuk dicintainya.


“WEH, korang! Tengok tu!” Jari telunjuk Adira sudah terarah kepada seorang perempuan yang sedang melangkah ke arah kumpulan mereka. Jujur, dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya saat ini. Betulkah itu Zahra Aisyah?
Jeritan Adira membuatkan beberapa pasang mata yang ada di situ menoleh ke arah yang ditunjukkan. Masing-masing saling terngadah. Masing-masing saling terkejut dengan perubahan seorang sahabat mereka. Perubahan mengejut ni!
Berkerut seribu dahi Zahra. Wajah-wajah di hadapannya dipandang satu persatu. “Apesal? Korang pandang aku macam nampak hantu aje?”
Are you really Zahra Aisyah?”
“Iya, memang akulah!”
“Eh, mana perginya rambut berombak, beralun kau tu? Kau pakai apa ni, babe? Tak sesuailah dengan kau!” Kali ini Wana pula yang menambah. Rasa jelik dengan perubahan Zahra yang mendadak. Sejak bila pulak Zahra pandai pakai tudung dan baju labuh ni?
Zahra mengukirkan senyuman. Sebenarnya, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku. “Aku dah tinggalkan semua tu. Aku dah mula berhijab. Doakan semoga aku terus istiqamah dengan niat aku.”
“Sejak bila, weh? Kenapa kita orang tak tahu pun? Kau dah jumpa ustaz mana ni? Ataupun kau dah kena ubat guna-guna Fadz? Bahaya ni!”
“Tak ada jumpa mana-mana ustaz dan bukan sebab ubat guna-guna Fadz. Aku berubah dan berniat kerana Allah. Ini tanggungjawab aku sebagai seorang Islam. Dan sekarang aku nak tunaikan tanggungjawab aku dengan hati yang ikhlas.”
“Wah, takut! Takut! Zahra Aisyah dah bertukar jadi ustazahlah. Meremang bulu roma aku dengar patah kata yang yang keluar dari mulut dia.”
Kata-kata Adira cuma dibalas dengan satu senyuman ikhlas. Cakaplah apa orang nak cakap. Aku boleh terima dengan hati yang ikhlas. Bukan senang nak berubah. Jika mudah melatah, pasti akan terpesong lagi. Cukuplah sekali dia tersasar jauh.


“KENAPA dengan awak ni? Masam aje hari ni?”
Zahra tidak menoleh. Walaupun tidak menoleh, tetapi dia sudah tahu siapa gerangan yang melabuhkan duduk di sebelahnya. Tiba-tiba sahaja keluhan kecil dilepaskan. Diikutkan hati, mahu sahaja dia menyoal seribu soalan kepada lelaki ini. Dia tahu, lelaki ini lebih arif tentang hal agama. Agak-agak, kalau aku tanya dia, dia akan gelakkan aku tak?
Are you okey?”
Nope.”
“Ada apa-apa yang awak nak cerita?”
“Kenapa semua orang tak nak faham saya? Saya dah ikhlaskan hati saya untuk berhijrah ke jalan Allah. Bukan kerana manusia, tetapi saya berhijrah sekarang kerana Allah. Kenapa manusia susah sangat nak terima perubahan?”
Zahran tersenyum. Dia nampak perubahan itu. Kalau dulu, Zahra bertudung dan ada kalanya memakai baju berlengan pendek dan dress yang ketat. Tapi sekarang, Zahra dah jauh berubah. Pakaiannya tiada lagi yang ketat. Kadang-kadang berjubah. Dia dapat rasa yang Zahra lakukan semua tu kerana Allah.
“Biarlah diorang, Zahra. Memang dipermulaan, syaitan akan menggoda dan menggugat keimanan seseorang hambaNya yang ingin berhijrah. Banyak dugaan yang akan datang kepada kita. Tapi lama kelamaan, diorang akan senyap dengan sendirinya. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; “Sesiapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan nescaya Allah mengujinya.” Hadis Riwayat al-Bukhari.”
“Tapi saya tak yakin, awak. Saya rasa macam diorang tu menghina saya.”
“Astaghfirullahalazim. Jangan tuduh melulu, Zahra.”
“Saya bukan tuduh. Tapi itu hakikatnya!”
“Zahra… Mujahidah itu pahit kerana Syurga itu manis. Awak pernah dengar atau terbaca kat mana-mana tak ayat macam ni? Syurga itu manis. Biarlah kita menempuh pahit di dunia ini. Butakan mata, pekakkan telinga! Saya yakin, lambat laun mereka akan terima perubahan awak.”
Zahra terdiam lama. Kerana Syurga itu manis! Hati kecilnya mengulangi ayat yang sama. “Tapi saya tak boleh nak pekakkan telinga dan butakan mata lagi. Hati saya sakit. Semangat saya untuk berhijrah hampir-hampir jatuh merudum. Rasa putus asa!”
“Zahra… awak kena tetap pendirian. Istiqamah dengan apa yang telah awak lakukan. Berhijrah itu bukan bermaksud awak perlu berjubah setiap hari. Mungkin mereka takut nak dekat dengan awak sebab awak berjubah hitam macam ‘gotic’. Mulakan secara perlahan. Lama kelamaan akan menjadi kebiasaan dan akan menjadi satu amalan.”
Kali ini Zahra diam. Dia memilih untuk mendengar nasihat yang diberikan kepadanya.
“Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud; “Jika kita mengejar dunia, dunia akan lari meninggalkan kita. Tetapi jika kita mengejar akhirat, dunia akan sujud kepada kita.”
Allah s.w.t juga telah berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 159 yang bermaksud; ‘Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”.”
Entah kenapa, kali ini air matanya tanpa segan silu menitis jatuh ke pipi, di hadapan Zahran. Rasa sedih! Rasa sukar untuk melalui liku hidup yang penuh cabaran dan dugaan.
Zahran menarik nafas panjang. Dalam diam, dia turut merasa kesedihan dan susah payah yang dialami gadis itu. Bukan senang nak berhijrah kerana Allah. Sebab syaitan itu wujud. Yang selalu mengganggu dan menghasut kita adalah syaitan yang direjam. Sehelai sapu tangan dihulurkan kepada gadis itu.
Zahra mengangkat wajah memandang seraut wajah lelaki itu. Huluran sapu tangan itu tetap bersambut. “Ini sapu tangan ketiga.”
Senyuman terukir indah di bibirnya. Rupa-rupanya Zahra juga perasan yang ini adalah sapu tangan ketiga yang dihulurkan kepada gadis itu. Perlahan kepala diangguk. “Saya tahu.”
“Terima kasih.”
“Sama-sama.”
“Kenapa awak seorang saja yang boleh nampak apa yang saya nak, Zahran? Orang lain tak nampak. Termasuklah Fadz juga.”
Siapa Fadz? Tunang dia? “Lambat laun, mereka akan nampak. Lambat laun mereka akan faham. Atau mungkin, apabila melihat perubahan awak, orang lain akan ikut sama berubah. Jadi, awak akan membawa kebaikan kepada orang lain.”
Zahra mengangguk perlahan. Dia juga pernah mengharapkan perkara yang sama. Zahran Afizi… Lelaki itu adalah penguat semangatnya. Lelaki itu banyak membantu dalam fi sabilillahnya. “Terima kasih, awak.”
“Untuk?”
“Sebab selalu bagi saya semangat.”
“Sebenarnya bukan saya yang selalu bagi awak semangat dan kekuatan jiwa. Tapi semua itu dari Allah, Zahra. Tanpa Dia, kita tak akan dapat semangat dan kekuatan begitu.”


TERKETAR-KETAR tangannya mendail satu nombor telefon. Mujur sahaja lelaki itu ada memberikan nombor telefonnya kepada Zahra sewaktu pertemuan mereka dua bulan yang lepas. Siapa lagi yang boleh membantunya? Dia cuma ada lelaki itu untuk membantunya.
Bibirnya menguntum senyuman apabila melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Zahra! Gadis itu sudah lama menyepi dan tidak menghubunginya. Dan dia juga masih belum berkesempatan untuk bertemu muka dengan gadis itu setelah kejadian dulu. Sewaktu Zahran, Zahra, dan Fadz bertekak hari tu.
Fadz benar-benar marah apabila mengetahui Zahra berubah dan mengenakan tudung setelah ditegur olehnya. Bukan ustazah seperti yang Zahra bagitahu sebelum ini. Fadz datang bersama Zahra untuk berjumpa dengannya.
Ya, Fadz betul-betul melempiaskan amarahnya terhadap Zahran. Apatah lagi setelah mengetahui tentang nama penuh Zahran yang hampir sama dengan nama penuh Zahra. Zahran menjauhkan diri demi kerana cinta Fadz dan Zahra. Biarlah dia mengalah. Dia kan mendoakan kebahagiaan Fadz dan Zahra aisyah.
Nafas ditarik panjang sebelum menjawab panggilan. “Assalamualaikum, Zahra.”
Suara memberi salam di hujung talian menghadirkan perasaan sebak dalam dadanya. Air mata yang sudah berhenti mengalir tadi kembali mengalir laju sehingga ada sendu yang berlagu.
“Zahra? Are you okay?” Zahran menyoal apabila telinganya menangkap sendu perlahan di hujung talian. Gadis itu juga cuma diam tanpa suara.
“Awak…”
Hmmm?”
“Teman saya ke hospital?”
“Kenapa pula?”
“Fadz… kemalangan.”
Astaghfirullahalazim! Dia beristighfar panjang di dalam hati. “Awak kat mana? Nanti saya ambil awak?”
“Kat rumah.”
Sudah! Aku mana tahu rumah dia kat mana. “Sebut alamat rumah awak sekarang?”
Zahra menyebutnya satu persatu bersama sendu yang berlagu. Semakin pilu apabila mendengar suara lelaki yang menyuruhnya beristighfar dan memohon doa kepada Yang Esa.
“Awak tunggu, ya? InsyaAllah, kejap lagi saya sampai.”


DARI luar bilik rawatan rapi itu, dia memerhatikan tingkah laku Zahra. Sayu hatinya apabila melihat Zahra mengeluarkan surah Yaasin daripada begnya lalu mengalunkan bacaan Yaasin.
Selepas kemalangan itu, Fadz koma. Sudah tiga hari dan masih belum menunjukkan apa-apa reaksi. Jika mata yang melihat itu rasa sedih, pasti hati yang merasa lagi sedih. Lagi empat belas hari akan berlangsungnya majlis perkahwinan mereka. Dan Fadz pula masih kaku di atas tilam putih itu.
“Zahra tak rasa Fadz akan bangun daripada tidurnya.”
Itu kata Zahra sewaktu dia menemui Zahra pagi tadi.
“Kenapa Zahra cakap macam tu?”
“Sebab sampai sekarang Fadz masih tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Kata doktor pula, peluang untuk Fadz sedar sangat tipis.” Air matanya yang menitis dilapnya dengan lengan baju kurungnya.
Zahran mengukirkan senyuman tipis apabila melihat reaksi itu. Satu sapu tangan di dalam poket seluarnya dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Zahra.
Seperti biasa, Zahra akan menyambut huluran itu. Sapu tangan kelima. Yang keempat adalah sewaktu menghantar dia ke hospital pada hari Fadz kemalangan.
“Jangan cakap macam tu, Zahra. Ajal maut itu ketentuan Allah. Dan jika Dia berkata ‘kun fayakun’, semuanya akan terjadi, Zahra. Peluang untuk Fadz sedar masih ada.”
“Saya takut sangat, Zahran. Macam mana kalau Allah cukupkan umur Fadz cuma setakat ini? Macam mana dengan majlis saya nanti. Pasti majlis itu akan bertukar kepada majlis tahlil.”
“Jangan cakap yang bukan-bukan, Zahra. Banyakkan berdoa kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar rintihan dan rayuan hambaNya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.”


DI tanah perkuburan Islam itu, dia merenung dari jauh kubur yang masih kemerahan. Baru sahaja disemadikan dua jam yang lepas. Tidak putus-putus doanya semoga roh arwah dicucuri rahmat Yang Maha Esa.
Sapu tangan diangkat lalu menyapu air mata yang masih ingin menitis ke pipi. Sapu tangan keenam yang diberikan oleh Zahran pagi tadi. Sewaktu arwah meninggal, dia tiada di sisi arwah. Kebetulan, dia pergi menunaikan solat Subuh di surau berhampiran.
Apabila dia kembali semula, bilik itu sudah suram dan sepi. Terasa lemah tubuhnya untuk berdiri di saat terpandangkan sekujur tubuh yang sudah diselimuti kain putih. Tidak sempat dia menapak masuk ke bilik itu, seorang lelaki menegur di sisinya.
Innalillah hiwainna illahiraji’un. Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali.”
Akhirnya, air matanya menitis jatuh ke pipi.
Tidak menunggu lama, Zahran terus menghulurkan sapu tangannya kepada Zahra. “La tahzan, Zahra. Jangan bersedih. Setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati. Yang membezakannya adalah antara cepat atau lambat. Banyakkan bersabar, Zahra.”
Kata-kata itu lebih kepada memujuk. Doanya semoga hati Zahra tenang. Semoga Zahra redha dengan pemergian arwah bakal suaminya.
Angguk. Tiada patah kata yang mampu dituturkan. Mulutnya ditekup dengan sapu tangan milik Zahran supaya tangisnya tidak kedengaran kuat.
“Allah lebih sayangkan arwah. Saya harap awak akan redhakan hati awak untuk melepaskan awrah pergi. Redhakan perjalanan arwah untuk menemui Penciptanya.”
Tidak putus kata-kata nasihat yang didengarinya sejak awal pagi tadi. Dan kata-kata itu terus meresap masuk ke dalam jiwanya. Menyuntik sedikit kekuatan di dalam jiwa yang lemah.
“Zahra… Jom balik?”
Zahra menoleh. Seraut wajah itu dipandang lama. Seawal pagi tadi sehinggalah ke saat ini, lelaki ini masih setia di sisinya. Sewaktu arwah meninggal, lelaki ini yang berada di sisi arwah. Alhamdulillah, arwah Fadz sempat diajar mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir. Solat jenazah tadi juga lelaki ini yang mengimamkannya.
Siapa dia? Dan kenapa dia sentiasa ada di sisi aku di saat aku bersedih seperti ini?
“Kenapa pandang saya macam tu? Awak masih marahkan saya?” Sebenarnya, dia tidak tahu apa silapnya. Cuma, sejak awal pagi tadi, gadis ini tidak bercakap sepatah pun dengannya.
Geleng. “Saya tak marahkan awak pun. Jomlah balik.”
Zahran mengukirkan senyuman. Suara yang dinanti akhirnya kedengaran juga.


HARI ini genap tiga hari arwah Fadz meninggal dunia. Alhamdulillah, hatinya sudah mampu menerima ketentuan Allah dengan ikhlas. Dia sudah meredhakan segalanya.
Cuma, sepanjang tiga hari ini, ada perkara yang membuatkan hatinya tidak tenteram dan keliru. Zahran! Siapa Zahran? Kenapa Zahran selalu muncul dalam hidupnya?
Selepas pulang daripada kubur arwah, Zahra ke bilik air untuk mencuci sapu tangan yang mungkin sudah penuh dengan hingus dan air matanya. Seperti kebiasaannya, sapu tangan itu akan dijemur di tempat biasa. Tempat di mana lima lagi sapu tangan sudah tergantung elok di sidaian.
Bibirnya menguntum senyuman sambil memerhatikan satu persatu sapu tangan yang digantung di tempat yang sama. Tidak sampai seminit, dahinya sudah berkerut seribu sambil anak matanya meneliti satu persatu huruf yang tertera pada sapu tangan itu.
Pada setiap sapu tangan ada satu huruf. Awal-awal lagi dia sudah perasankan tentang huruf-huruf itu. Sebelum sapu tangan terakhir itu diberikan, dia sudah berjaya menyambungkan kelima-lima sapu tangan yang diberikan kepadanya.
Z.A.H.R.A.
Tetapi apabila satu lagi sapu tangan yang lelaki itu berikan kepadanya digantung di sebelah sapu tangan kelima, perkataan itu sudah berubah. Bukan lagi Z.A.H.R.A, tetapi Z.A.H.R.A.N!
Huruf yang keenam itu adalah ‘N’. Kenapa Zahran? Kenapa bukan Zahra?
Sampai hari ini, dia masih tertanya-tanya tentang huruf-huruf itu. Selepas sapu tangan keenam, dia masih belum berkesempatan untuk bertemu muka dengan lelaki itu. Jujur… sehingga sekarang, hatinya masih tertanya-tanya tentang huruf-huruf pada sapu tangan yang Zahran berikan kepadanya.
Selepas solat Isyak, dia meneruskan dengan solat sunat hajat. Sesungguhnya hati ini tidak tenteram. Dan dia mahukan petunjuk daripada Yang Maha Esa.


AWAL-AWAL pagi lagi dia sudah berada di stesen LRT. Doanya tidak pernah putus. Semoga dia dapat bertemu dengan lelaki itu. Sejak tiga hari yang lepas dia cuba menghubungi Zahran. Tetapi taliannya tidak dijawab.
Sudah empat hari arwah meninggal. Sejak itu juga dia tidak nampak kelibat Zahran. Juga tidak dapat menghubungi lelaki itu. Hari ni dia cuma tawakal. Manalah tahu kalau Allah memakbulkan doanya supaya bertemu dengan lelaki itu.
Hampa! Dia benar-benar hampa! Jarum jam sudah menunjukkan angka tujuh malam. Dan dia masih tercongok dan berulang-alik di stesen LRT seperti orang gila. Apatah lagi dia tidak boleh solat. Memang di situ sahaja tempatnya sehari suntuk tanpa makan dan minum.
“Zahra Aisyah…”
Terasa sakit dalam dadanya di saat seseorang menyebut namanya. Sungguh, air matanya terasa ingin menitis. Siapa? Kenapa bukan Zahran? Kenapa aku tidak diberikan kesempatan untuk jumpa dia lagi?
Setangkai jantungnya terasa berdebar. Betapa dia merindui gadis itu. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang ada jauh di lubuk hatinya yang paling dalam. Punggung dilabuhkan di sebelah gadis itu. Dia tidak tahu kenapa Zahra di stesen ini. Di tempat yang selalu dia turun. Dan seraut wajah itu cuma menunduk memandang lantai.
“Redha itu ikhlas, dan pasrah itu adalah menyerah. Dua perkara yang berbeza Zahra.”
Kali ini dahinya berkerut seribu. Dia kenal suara yang dekat dengan telinganya itu. Dia cam bau tubuh yang dekat di sisinya itu. Pantas kepalanya ditoleh ke sisi. Sebaik sahaja terpandangkan seraut wajah itu, air matanya menitis jatuh tanpa henti.
Zahran mengukirkan senyuman walaupun terasa sakit di dalam dada apabila melihat air mata yang menitis di pipi Zahra. Perkara yang sama seperti kebiasaannya, sapu tangan di dalam poket dikeluarkan. Belum sempat dihulurkan, gadis itu sudah bersuara.
“Kenapa ‘Zahran’?”
Berkerut seribu dahinya. Tidak faham dengan apa yang dipersoalkan oleh gadis itu.
“Saya dah berjaya cantumkan enam sapu tangan itu. Kenapa ‘Zahran’?”
Kali ini dia mula faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Zahra. Bibirnya menguntumkan senyuman. Pandangan matanya dialihkan dan langsung tidak berani memandang gadis itu lagi. “Akhirnya… awak cantumkan jugak, kan? Saya ingat, awak cuma akan basuh dan simpan sapu tangan tu.”
“Kenapa ‘Zahran’?” soalnya sekali lagi.
Zahran menoleh ke sisi. Senyuman yang tadi lebar kelihatan semakin mengecil. “Jadi, awak tunggu saya kat sini untuk soalan itu?”
“Tolong jawab, kenapa ‘Zahran’? Kenapa bukan ‘Zahra’?”
“Pertama sekali saya nak minta maaf pada awak. Saya tak berniat apa-apa pun. Cuma, sewaktu pertama kali saya pandang awak, hati saya terusik. Dan terdetik dalam hati saya, awak adalah pemilik tulang rusuk yang saya pinjamkan. Kebetulan yang saya tak jangka, saya bertemu dengan seorang Zahra Aisyah yang namanya hampir serupa dengan nama saya.”
Tidak berkelip kelopak matanya memandang seraut wajah lelaki itu. Dia cuma diam. Dan dia mahu mendengar penjelasan seterusnya.
“Kali kedua saya jumpa awak, jantung saya berdegup tak berhenti. Bila tengok awak bertudung, hati saya makin kuat menyatakan awak adalah bakal isteri saya.”
“Walaupun awak dah tahu saya bertunang?”
Yup! Masa pertama kali jumpa lagi awak dah bagitahu yang awak tunang orang. Tapi jantung saya ni tak nak berhenti berdegup. Hati saya tiba-tiba terdetik untuk menjaga dan melindungi awak sehingga ke hujung nyawa.”
“Walaupun awak tahu itu adalah mustahil?”
“Ya, saya tahu itu adalah mustahil. Apatah lagi bila awak cakap akan berkawin dengan Fadz lagi beberapa bulan. Ingat tak, masa tu kita tak berjumpa dalam satu jangka masa yang lama?”
Angguk. “Kenapa?”
“Masa tu, saya sudah terbangkan cinta saya ke angin lalu. Biarkan berterbangan dan abadi di dalam udara yang saya hirup. Saya tanamkan rasa cinta itu ke dalam tanah. Biar bercambah menjadi benih cinta untuk orang lain. Saya ikhlaskan hati untuk berkata, Zahra Aisyah bukan pemilik tulang rusuk saya.”
“Habis tu, kenapa awak menghilangkan diri selepas arwah meninggal?”
“Saya minta maaf, Zahra. Mungkin salah saya yang terlalu banyak berfikir. Saya ingat awak marahkan saya sebab orang yang berada di sisi sewaktu arwah meninggal adalah saya. Dah berkali-kali awak cakap yang awak nak ada di sisi dia sewaktu dia meninggal. Tapi takdir Allah telah menentukan saya yang berada di sisinya sewaktu dia meninggal.”
“Zahran… Sebenarnya saya tak marahkan awak. Saya pelik sangat bila awak tiba-tiba menghilang. Saya rasa takut bila awak tak ada di sisi saya. Saya rasa kehilangan bila awak langsung tidak menjawab panggilan saya. Rasa rindukan seseorang. Dan saya tahu, sebenarnya saya perlukan seorang Zahran Afizi untuk berada di sisi saya.”
Terkedu dia mendengar baris ayat yang baru sahaja menyapa telinganya itu. Zahra Aisyah perlukan Zahran Afizi untuk berada di sisinya? Betulkah?
“Zahran Afizi… Boleh tak awak kahwin dengan saya?”
“Maksud awak… jadi pengganti arwah Fadz?”
Hmmm… Awak sudi tak?”
“Saya sudi. Cuma, saya risaukan awak. Awak tak cintakan saya, Zahra.”
“Cinta itu boleh dipupuk, kan? Awak pun pernah cakap dengan saya, bercinta selepas kahwin adalah lebih nikmat.”
“Ya, saya memang pernah cakap macam tu. Tetapi saya tak nak awak nampak saya sebagai arwah Fadz.”
“Tak. Saya memang cintakan Fadz. Tapi bila ikatan kita dah sah, saya cuma akan cintakan suami saya seorang. Dan saya nak awak jadi zauji fi jannah untuk saya.”
“Suami dalam Syurga untuk awak?” soalnya dengan riak tidak percaya. Betulkah? Aku tak salah dengar, kan?
Hmmm, suami di dunia dan suami di dalam Syurga kelak. Boleh, kan?”
Zahran mengukirkan senyuman sambil mengangguk kecil. Sudah tentulah boleh. “Terima kasih, sebab awak pilih saya untuk jadi suami di dunia dan akhirat.”
“Sama-sama.”

Ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hambaMu ini
Jangan Engkau biarkan ku sendiri
Agar ku bisa bahagia walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang, tumbuhkan yang telah patah
Ku ingin bahagia di dunia dan akhirat
PadaMu Tuhan ku mohon segala


DI tanah perkuburan Islam itu, dia masih duduk di atas tikar. Anak kecil di sebelahnya sudah mula merengek. Mungkin kepanasan. Senyuman dihulurkan kepada anak kecil itu. Seperti memahami senyuman ibunya, anak kecil itu turut tersenyum.
“Zahrin… Jom balik?” Bibirnya tersenyum manis ke arah seorang anak kecil yang baru mula bertatih itu. Ini satu-satunya harta peninggalan arwah. Dan harta yang satu ini akan aku jaga ssampai aku menutup mata.
Dua bulan selepas pertemuan mereka di stesen LRT itu, Zahra Aisyah sah menjadi isteri kepada Zahran Afizi. Ya, dia bahagia! Terlalu bahagia sehingga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Yang Esa kerana menghadirkan seorang Zahran Afizi untuk menyempurnakan hidup seorang Zahra Aisyah.
Tetapi, janji Allah itu pasti. Setiap yang bernyawa sudah pasti akan dijemput pulang. Selepas dua tahun, Zahran juga dijemput kembali ke rahmatullah.
Abang… Zahra sudah kehilangan abang. Tapi syukur kepada Dia Yang Satu. Sekurang-kurangnya Zahra masih ada Zahrin untuk menemani sisa hidup Zahra. Untuk menemani mimpi-mimpi indah bersama Zahra.
Seperti arwah Fadz, suaminya juga meninggal dalam kemalangan jalan raya. Cuma bezanya, suaminya meninggal di atas pangkuannya. Dan syukur ke hadrat Allah s.w.t, suaminya sempat menyebut dua kalimah syahadah setelah dibisikkan ke telinganya.
Meninggal dalam keadaan tenang. Meninggal bersama cinta yang disemaikan bersama seorang Zahra Aisyah.
Abang… Tunggu Zahra di pintu Syurga. Ya Allah, aku mohon kepadaMu, satukanlah kami semula di SyurgaMu kelak sebagai pasangan suami isteri yang kekal abadi. Amin…


30 tahun berlalu…
“ASSALAMUALAIKUM, nenek.”
Kepalanya ditoleh ke arah suara di muka pintu rumah itu. Bibirnya menguntumkan senyuman apabila terpandangan seraut wajah cucunya. “Waalaikumussalam. Bila sampai? Nenek tak dengar bunyi kereta pun?”
Laju kakinya berlari ke arah neneknya, mencium tangan tua itu sebelum memeluk sekujur tubuh yang sudah berumur. “Baru aje. Nenek sihat?”
“Nenek sihat, sayang. Ammar mana?”
“Ada kat bawah dengan umi dan abah. Jannah awal-awal lagi dah pecut naik ke rumah nenek. Jannah rindu sangat dengan nenek.” Pipi tua itu diciumnya berkali-kali.
“Assalamualaikum.”
Suara memberi salam itu membuatkan mereka berdua menoleh ke arah pintu rumah. Zahra mengukirkan senyuman apabila terpandangkan wajah cucu dan anak menantunya. “Waalaikumussalam. Masuklah.”
“Nenek…” Kali ini Ammar pula yang berlari ke arah neneknya lalu memeluk tubuh tua itu. “Ammar rindu sangat dengan nenek.”
“Nenek pun rindu sangat dengan cucu-cucu nenek ni.”
“Ai, umi? Rindu kat cucu-cucu umi aje ke? Anak menantu umi ni macam mana? Tak rindu?” sapa Zahrin apabila uminya sibuk memeluk cium anak-anaknya.
Bibirnya menguntumkan senyuman lebar. “Umi cuma ada seorang anak dan seorang menantu Zahrin. Mana tak rindunya? Mestilah umi rindu.” Tangannya menyambut huluran tangan anaknya dan kemudian menyambut huluran tangan menantunya juga.
Hmmm… kalau umi nak tahu, Abang Zahrin ni hari-hari duk cerita pasal umi kepada anak-anak. Walaupun baru seminggu tak datang ke sini, anak-anak dah mula rindukan neneknya. Umi sihat ke?”
“Umi sihat. Umi pun rindu sangat cucu-cucu dan anak menantu nenek ni. Terima kasihlah sebab susah payah datang ke sini.”
Isy, mana ada susah! Umi ni…”
Umi tahu, sayang. Alhamdulillah… Walaupun tanpa abi, umi dapat mendidik anak umi menjadi seorang hamba Allah yang soleh. Tak lupa juga kepada menantu umi yang solehah.
Abang… Zahra dah ada dua orang cucu, tau?
“Ammar… Jannah…” Kedua-dua cucunya dipanggil perlahan.
“Ya, nenek?” Serentak mereka menjawab.
“Pagi tadi Acik Man ada panjat pokok duku. Ada dalam bakul kat atas meja kat dapur. Pergilah ambil.”
“Wah, bestnya! Jannah suka sangat buah duku.”
“Ammar pun.”
“Kalau nenek tahu kamu nak datang, nenek suruh Acik Man panjatkan rambutan sekali. Tak apalah, nanti nenek suruh abah kamu panggilkan Acik Man. Tak pun suruh abah kamu aje yang panjat pokok rambutan nanti.”
“Nenek… Ammar nak panjat sekali boleh?”
Bibirnya menguntumkan senyuman sambil mengangguk. Perangai Ammar sikit pun tak lagi daripada perangai Zahrin sewaktu kecil. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, kan? Abang… Agak-agak, abang pun masa kecil macam ni juga tak? Sebab itu anak cucu menurun perangai abang.
“Boleh. Tapi Ammar jangan panjat tinggi-tinggi, tau? Nenek takut Ammar jatuh nanti.”
“Jannah, nenek? Jannah pun nak panjat jugak.”
Serentak Zahrin dan Syahila tergelak dengan permintaan anak daranya yang baru berumur lima tahun itu.
“Jannah tak boleh, sayang. Jannah kan perempuan. Mana boleh panjat-panjat.”
“Oh, kalau perempuan memang tak boleh panjat eh?”
“Tak elok perempuan memanjat. Biar lelaki aje yang panjat. Orang perempuan tunggu kat bawah dan kutip masuk dalam bakul.”
“Iyalah! Iyalah!”


DARI jauh, dia dapat melihat dengan jelas seraut wajah tua yang sedang termenung jauh ke luar tingkap. Dia nampak beberapa titis air mata jatuh di pipi tua itu.
Umi… Zahrin selalu risaukan umi. Sebab tu Zahrin beria sangat suruh Acik Man dan isterinya tinggal kat sini. Boleh mereka tengok-tengokkan umi. InsyaAllah, selepas permohonan pertukaran Syahila lulus, Zahrin dan Syahila akan jaga umi sampai hujung nyawa.
Sejak dia kecil lagi, Acik Man dan isterinya sudah berceritakan tentang kisah cinta umi dan abinya. Sejak kecil juga, tak pernah sekali pun dia bertanyakan tentang abi kepada uminya.
Cuma, ketika ulang tahun kelahirannya yang ke dua puluh lima, umi mula membuka mulut dan bercerita kepadanya tentang kisah Zahra dan Zahran. Seminggu, air matanya tidak kering kerana teringatkan cerita kisah umi dan abi.
Alhamdulillah… Semakin dewasa ini, dia semakin matang dan sudah mampu menerima semuanya. Sejak berkahwin dengan Syahila juga, dia sudah berjanji untuk mengembirakan hati uminya. Juga hati isteri dan anak-anaknya.
Zahrin dan Syahila mempunyai impian yang sama. Mahu kekal bahagia hingga ke Syurga kelak. Mahu setia hingga ke hujung nyawa. Sama seperti janji umi kepada abi.
Perlahan kakinya dilangkahkan menghampiri uminya yang duduk di kerusi yang berhampiran dengan tingkap. Sempat anak matanya menangkap satu coretan di atas kertas yang agak usang.
Buat seorang kekasih, nantikanku di pintu Syurga. ~ Zahra Aisyah.
Nampaknya, umi masih membaca diari lamanya. Diari yang penuh dengan kisah cinta Zahra dan Zahran. Diari yang penuh dengan luahan kerinduan seorang Zahra Aisyah buat seorang Zahran Afizi.
“Umi…” panggilnya perlahan. Tidak mahu umi terus hanyut dibelenggu kenangan bersama arwah abi.
Sentuhan lembut pada bahunya membuatkan dia tersentak. Kepala ditoleh ke belakang. Air mata di pipi cepat-cepat disapu. Bibirnya cuba mengukirkan senyuman walaupun terasa payah. “Zahrin…”
“Umi… jom kita pergi melawat pusara arwah abi?”
“Betul ke Zahrin nak bawak umi ke sana?”
“Umi… Zahrin kan memang selalu bawak umi ke pusara arwah abi kalau Zahrin datang ke sini? Zahrin pun rindu juga nak melawat pusara arwah abi.”
“Terima kasih, Zahrin.”
“Sama-sama.”


 “ASSALAMUALAIKUM, Fadz. Zahra datang melawat Fadz. Semoga roh Fadz dicucuri rahmat Yang Maha Esa. Semoga Fadz tenang di alam sana.” Surah Yaasin yang berada di tangan dibuka lalu bacaan surah Yaasin itu beralun lembut di pagi yang sunyi itu.
Dia mengukirkan senyuman apabila selesai mengalunkan bacaan surah Yaasin dan doa di pusara arwah Fadz. Riak wajahnya setenang air di kolam. Menyimpan perasaan rindu, dan mendoakan yang baik-baik sahaja.
“Umi… dah ke?” soalnya apabila melihat uminya termenung lama.
Kepalanya ditoleh ke arah Zahrin. “Dah, Zahrin.”
Kali ini Zahrin memimpin uminya ke satu lagi pusara. Pusara yang dihiasi dengan dua batu nisan berwarna putih serta sepohon bunga kemboja. Zahrin memandang pusara itu lama. Sempat anak matanya dilirikkan ke arah uminya.
Jika dia menyimpan perasaan rindu yang mendalam kepada abi, apatah lagi umi?! Umi terlalu sayangkan arwah. Sampai ke tua pun, sayangnya tak pernah berubah.
“Assalamualaikum, abang. Zahra datang melawat abang. Semoga roh abang dicucuri rahmat Yang Maha Esa. Semoga roh abang tenang di alam sana. Abang… Zahra terlalu rindukan abang. Dan Zahra juga tidak akan penat berdoa semoga kita dipertemukan semua di sana. Zahra tak akan berhenti berdoa supaya abang akan kekal menjadi suami Zahra ‘di sana’ nanti.”
Zahrin menyapu air mata yang semakin laju menitis di pipi. Kerinduan uminya kepada arwah abi terlalu mendalam. Sehingga dia juga turut merasakan kerinduan yang sama. Umi… Zahran akan doakan perkara yang sama. Amin.
Sebenarnya, dia sudah kalis dengan sikap uminya setiap kali melawat pusara arwah. Umi akan ulang perkataan yang sama. Umi akan menguntumkan senyuman indah. Tiada setitis pun air mata yang menitis saat berada di pusara arwah abi.
Zahra Aisyah… Uminya adalah setabah-tabah wanita yang pernah ditemuinya.
Alunan bacaan surah Yaasin itu berlagu indah dan kedengaran sayup-sayup sahaja. Ikhlas, lahir daripada hati yang paling dalam. Doa dibacakan panjang lebar. Juga tidak lupa doa untuk dipertemukan semula di Jannah kelak.
Zahrin membiarkan uminya termenung untuk seketika. Jauh di sudut hati, dia cuba merasai apa yang sedang umi rasai.
“Abang… Jika kerinduan itu boleh ditulis di atas kertas, pastinya sudah beratus-ratus ribu helaian kertas yang Zahra tuliskan. Jika kerinduan itu mampu diungkapkan dengan kata-kata, seribu tahun pun Zahra sanggup mengucapkan kerinduan itu. Jika kerinduan itu boleh dirasai dan disentuh, Zahra mahu kerinduan itu menjadi udara yang Zahra dapat hirup setiap saat.”
Air mata Zahrin menitis lagi.
“Ya Allah… Engkau telah pertemukan Zahra dan Zahran di dunia ini. Walaupun hanya sementara, tetapi cinta Zahra dan Zahran sangat indah dan bermakna. Engkau juga telah pisahkan kami di dunia ini. Walaupun perpisahan ini adalah jangka masa yang lama, tetapi Zahra yakin, hikmahnya pasti hebat. Mungkin Engkau ingin pertemukan Zahra dan Zahran di Syurga kelak untuk selama-lamanya.
Ini doa cinta Zahra dan Zahrin, Ya Allah. Makbulkanlah doa ini dan kekalkanlah kami di Syurga nanti sebagai suami dan isteri yang kekal abadi.”
Air matanya disapu walaupun masih terasa ingin menitis. Jika dibiarkan, pasti umi akan hanyut dalam impian dan angannya. Zahrin mengambil keputusan untuk mengajak uminya balik. “Umi… jomlah balik?”
“Abang… Zahra akan datang lagi. Selagi hayat Zahra masih ada, Zahra tak akan lupakan Zahran. Cinta Zahra dan Zahran akan kekal selamanya. Assalamualaikum, abang. Jumpa lagi.”
Cinta umi dan abi sangat kuat walaupun sudah tiga puluh tahun abi meninggalkan umi. Zahrin akan turut sama mendoakan semoga Zahra akan bertemu Zahrannya di Syurga kelak. Dan Zahrin juga mahu bertemu Zahra dan Zahrannya di Syurga nanti.
Firman Allah s.w.t bermaksud; “Dan orang-orang yang beriman, berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam Syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun pahala amal (kebajikan) mereka.” (Surah Ath-Thur, ayat 21)


“ABANG… umi mana?”
“Umi? Tak keluar lagi ke? Abang ingat umi ada kat dapur dengan Ila. Ila tunggu dulu, abang panggil umi.”
“Iyalah.”
Terkaku tubuhnya di saat terpandangkan sekujur tubuh yang sedang sujud ke lantai. Bibirnya menguntumkan senyuman. Umi solat Dhuha agaknya? Tapi tak awal sangat umi solah Dhuha? Biasanya pukul sepuluh baru umi solat Dhuha.
Dia menunggu lagi. Hampir lima minit uminya sujud ke lantai. Zahrin mula tidak sedap hati. Ada debaran yang mula berirama di dalam dada. “Umi?”
Masih tiada sahutan dan tubuh itu masih kaku bersujud kepada Yang Maha Esa.
“Umi…” Kali ini dengan debaran di dada, dia menghampiri sekujur tubuh itu lalu menyentuh bahu uminya. Masih tiada reaksi. Dua jarinya terus diletakkan ke leher uminya yang masih bertelekung.
Innalillah hiwainna ilahiraji’un.
“Abang? Mana umi?” Terkejut apabila melihat seraut wajah yang tiada riak itu.
“Umi dah tak ada Ila.”
Terdiam sekejap. “Maksud abang…”
Zahrin menganggukkan kepalanya perlahan.
Innalillah hiwainna ilahiraji’un.”
Jenazah diuruskan dan di semadikan pada hari itu juga. Hari Khamis malam Jumaat. Sama seperti abi. Disemadikan juga di sebelah kiri pusara abi. Semuanya diuruskan oleh Zahrin, satu-satunya permata hati Zahra dan Zahran.
Di tanah perkuburan Islam itu, dia masih ralit memerhatikan kedua-dua pusara di sisi kiri dan kanannya. Pusara umi dan abi. “Ila…”
Syahila menoleh ke arah suaminya. “Ada apa, bang?”
“Masa arwah umi meninggal, abang ada ambil Al-Quran di sisi arwah. Mungkin dia solat selepas baca Yaasin untuk arwah abi. Tak pernah putus doa umi untuk arwah abi. Abang doakan semoga Zahra akan dipertemukan dengan Zahran di Syurga kelak.”
“Ila pun mendoakan perkara yang sama. Dan Ila juga mendoakan semoga cinta Zahrin dan Syahila juga akan kekal hingga ke Syurga.”
“Amin.”

“Ya Tuhan  kami, masukkanlah mereka ke dalam Syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang soleh di antara nenek moyang mereka, isteri-isteri dan anak keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”
(Surah Ghafir, ayat 8)


 p/s: 
Penutup tahun 2015 (Jumaat terakhir di tahun 2015). 
Mohon ampun dan maaf untuk semua kekurangan. Doakan semoga semua urusan dipermudahkan. Doakan semoga impian bakal termakbul. Doakan juga semoga semuanya baik-baik sahaja. Terima kasih kepada sahabat yang sudi membaca karya tidak seberapa ini. <3 <3 <3

~Rose Aleyna ~ 
25.12.2015