Thursday, July 30, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 10


BAB 10

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

“KAU ni dah kenapa? Kalau dulu mulut kau macam bertih jagung. Siap boleh minta aku ajarkan kau untuk mencintai aku. Sekarang ni bisu pulak? Masih kecewa sebab tak mengandungkan anak Farish? Huh, beranganlah kau sorang-sorang. Aku tak akan izinkan kau kahwin atau mengandungkan anak Farish! Apatah lagi anak aku. Aku tak akan biarkan perkara tu jadi.”
Ain berterusan diam. Lantaklah dia nak cakap apa pun. Yang pasti, bibirnya memang malas mahu berbual panjang-panjang dengan suaminya. Sejak peristiwa dia mendengar Iqram berbual dengan mamanya, hatinya jadi beku. Ditambah lagi pada malam hari yang sama, dia mendengar pula Iqram berbual dengan Dhiya. Bualan yang benar-benar merobekkan hatinya. Ucapan yang benar-benar meranapkan cintanya sehingga hancur berkecai.
Farish memang jahat. Tetapi Iqram lebih jahat.
Farish merampas maruahnya. Tetapi Iqram melumatkan perasaan cintanya.
Jahat! Dua beradik ini jahat! Benci! Kalaulah aku boleh meluahkan benci itu, dah lama aku luahkan.
Sejak hari itu juga Ain menjadi seorang pendiam. Tak banyak cakap. Apatah lagi bila dengan suaminya. Lagilah malas suaranya ingin dilontarkan. Dia tahu dia sudah mula cintakan Iqram. Tetapi Iqram langsung tidak mencintainya. Jika begitu, harus bagaimana lagi untuk dia mengajar hatinya untuk mencintai suaminya. Sekarang, dia sedang berusaha mengajar hatinya supaya tidak berharap. Supaya membuang perasaan cinta dan sayang jauh-jauh. Biarkan berlalu dibawa angin lalu.
“Ain tak mengandung. Saya boleh kahwin dengan awak, Dhiya. Lepas ni saya akan lepaskan Ain. Kita kahwin ya, Dhiya?”
Suara ceria itu benar-benar merobekkan hati Ain. Patah kata itu benar-benar membuatkan hatinya berkecai berkeping-keping. Tak tahu nak sambungkan dan nak ubati macam mana lagi. Iqram jahat! Saya benci awak, Iqram. Benci!
“Agaknya aku ni tengah bercakap dengan tunggul kayu? Senyap sunyi macam ni.”
Ya, abang! Memang dari dulu lagi abang anggap Ain ni macam tunggul kayu, kan? Sejak Ain menapak masuk ke rumah mama, abang langsung tak pernah panggil Ain dengan panggilan adik. Abang tak pernah terima Ain sebagai adik, kan? Apatah lagi untuk terima Ain sebagai isteri abang.
“Ain…”
Panggilan lembut itu menyentakkan lamunan Ain. Ain mengangkat wajah. Sepasang anak matanya menyapa seraut wajah di hadapannya. Kenapa Dhiya nak jumpa aku? Ada apa sebenarnya? Nak minta kebenaran aku untuk berkahwin dengan Iqram?
Ya Allah… Kuatkan hati ini. Tabahkanlah hati ini untuk menerima ketentuanMu, Ya Allah.
“Dhiya… Duduklah.”
“Dah lama Ain tunggu?”
“Ain baru sampai. Ada apa Dhiya nak jumpa Ain?” Ain melepaskan keluhan kecil. Gaya aku dan dia bercakap bagai kami berdua dah lama kenal. Padahal ini adalah kali pertama aku dan dia bertemu muka.
Tidak menunggu lebih lama, dia terus menyampaikan tujuannya mengajak Ain berjumpa. Hampir setengah jam mereka berdua berborak. Ain lebih banyak diam daripada bersuara. Sesekali dia mengukirkan senyuman kecil. Sesekali kepalanya diangguk dan digeleng.

Luahkanlah, Dhiya. Luahkanlah semuanya. Supaya Ain tahu segala-galanya.
Selesai meluahkan segalanya, Dhiya terus meminta diri. Ada urusan lain yang perlu diselesaikannya. Dan Ain… terus memakukan duduk di kerusi itu. Terasa berat tubuhnya ingin bangun. Terasa lemah langkahnya untuk melangkah. Tiada air mata yang mengalir di pipinya. Tetapi hujan air mata lebat di dalam jiwanya.
Rupa-rupanya Iqram sudah merancang segala-galanya. Lagi dua bulan mereka berdua akan berkahwin. Selepas hari raya Aidilfitri.
Sampai hati Iqram tak cakap apa-apa dengannya tentang perkara ini. Jika dia tidak keluar berjumpa Dhiya, dia tidak akan tahu apa-apa tentang rancangan mereka. Iqram… Betul ke awak akan lepaskan saya? Seperti apa yang mama cakap? Habis tu saya macam mana, Iqram? Saya nak mengadu kepada siapa lagi? Saya nak menumpang kasih sayang dengan siapa lagi? Ke mana saya harus tuju selepas awak berkahwin dengan Dhiya? Awak tak kesiankan saya ke Iqram?
Ya Allah… Aku benar-benar buntu untuk memikiran apa lagi.


FARISH merenung lama seraut wajah itu. Kesian Ain. Tak pasal-pasal jadi mangsa keadaan. Terpaksa berkahwin dengan orang yang tidak menyukai dia. Iqram… Sejak dulu lagi Iqram memang tidak pernah sukakan Ain. Sejak kecil lagi. Ada sahaja yang tak kena tentang Ain di mata Iqram.
Rambutnya diraup perlahan. Nafas juga kedengaran dihelakan kuat. Ain… Aku minta maaf. Aku dah buat hidup kau huru-hara. Bermula peristiwa malam tu. Lepas tu aku malukan kau dengan melarikan diri daripada majlis perkahwinan. Aku dah buat kau terpaksa berkahwin dengan Iqram.
Kau bahagia, Ain?
Iqram tak pernah sukakan kau. Mama langsung tak cerita apa-apa tentang majlis tu. Sungguh, aku benar-benar pelik bila dapat tahu Iqram gantikan tempat aku untuk berkahwin dengan kau. Macam mana Iqram boleh setuju pula? Sedangkan selama ini dia memang tak pernah rapat dengan kau. Tak pernah menerima kau sebagai adiknya.
“Ain… Aku sukakan kau. Aku nak kahwin dengan kau, Nurul Ain Insyirah.”
Dia pernah meluahkan perasaan cintanya kepada Ain. Tetapi Ain menolaknya mentah-mentah tanpa memberikan peluang kepadanya langsung.
“Apa yang Abang Rish merepek ni? Kahwin dengan Ain? Abang Rish dah gila ke? Ingat sikit, Ain ni adik Abang Rish. Mana boleh kahwin dengan Abang Rish.”
“Kau bukan adik aku, Ain. Kau tu anak angkat mama. Bukan juga adik beradik satu susuan dengan aku. Tak ada benda yang menghalang untuk aku kahwin dengan kau. So, aku nak kau kahwin dengan aku. Esok aku bagitahu mama yang aku nak kahwin dengan kau.”
“Abang Rish! Jangan merepek boleh tak? Ain tak sukakan Abang Rish. Abang Rish cuma seorang abang pada Ain. Dan Ain tak boleh cintakan Abang Rish walaupun Ain ni bukan adik kandung Abang Rish.”
Sejak peristiwa cintanya ditolak Ain, dia menjadi pendendam. Kebencian mula menguasai diri setiap kali terpandangkan seraut wajah Ain. Bermacam-macam cara dilakukan supaya Ain dapat malu.
Mulai saat itu juga, dia menjadi kaki mabuk. Pulang lewat malam. Kadang-kadang pagi baru sampai rumah. Bukannya dia tidak tahu yang mama selalu menangis kerana perangai gilanya. Cinta membuatkan dia jadi begitu. Cinta membuatkan dia jadi gila dan hampir-hampir memusnahkan hidup Ain. Cinta membuatkan dia lupa pada Pencipta Yang Maha Esa.
Ain… Aku minta maaf. Aku banyak dosa pada kau, kan? Aku minta maaf, Ain. Maafkan aku!
Langkah kaki diatur menghampiri seorang perempuan yang sedang duduk di salah sebuah kerusi di dalam restoran itu.
“Ain…”
Ain mengangkat wajah apabila mendengar suara seorang lelaki menyebut namanya. Terkejut apabila terpandangkan seraut wajah itu. Jadi, dia memang ada kat Malaysia? Dia dah balik ke rumah mama ke? Bila? Kenapa aku tak tahu langsung? Dan macam mana pula dia boleh ada kat sini?
“Bila Abang Rish balik?” Bersahaja. Tanpa riak. Namun di dalam hati, Tuhan sahaja yang mengetahui betapa dia takutkan lelaki itu. Betapa hatinya sakit di saat terpandangkan seraut wajah yang selamba melabuhkan duduk di hadapannya.
“Dah seminggu.”
“Macam mana Abang Rish tahu Ain kat sini?”
“Abang ikut Ain.”
Ain diam. Anak matanya memandang lama seraut wajah itu. Kenapa? Tak sudah-sudah lagi dengan peristiwa dulu? Kenapa selepas lima bulan perkahwinan aku dan Iqram, baru dia balik cari aku?
“Ain…” Serba salah dia ingin melontarkan patah kata apabila melihat riak kurang senang pada wajah Ain. Dia berdosa dengan Ain. Sepanjang lima bulan ini, selepas dia meninggalkan perkahwinan itu, hatinya kerap kali dihempap dengan perasaan bersalah. Seringkali dihantui dengan bayangan Ain dan Iqram. Sungguh, dia takut Ain tak bahagia hidup bersama dengan Iqram.
“Ain tak mengandung, Abang Rish.” Ain memilih untuk berterus-terang. Biar lelaki ini tahu. Biar lelaki ini tidak menuntut apa-apa lagi dengannya. Jujur, dia sangat bersyukur apabila mendapat tahu yang dia tidak mengandungkan anak luar nikah. Anak Farish.
“Abang tahu.”
Anak mata Ain memandang seraut wajah itu. Dia tahu? Macam mana dia tahu? Takkanlah dia ikut aku dan Iqram ke klinik? Nampaknya Farish sedang memerhatikan aku dan Iqram. Agaknya dah berapa lama dia memerhatikan aku dan Iqram? Dia tahu tentang Dhiya jugak ke?
“Ain dah nak balik.” Dia terus bangun dan bercadang untuk meninggalkan lelaki itu. Sungguh, jauh di sudut hatinya dia takut rahsia antara dia dan Iqram terbongkar di hadapan Farish. Dan dia tidak mahu mama juga tahu tentang rahsia ini.
“Nanti dulu, Ain!” Laju sahaja tangannya mencapai pergelangan tangan gadis itu.
Pantas juga Ain menolak. “Abang nak cakap apa?” Nada suaranya masih lagi kedengaran tenang walaupun di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sakitnya… Pedihnya… Pilunya… Semua orang menuduh aku! Abang Iqram… Sampai mama sendiri pun dah tak percayakan aku. Sedangkan aku tak tahu langsung apa yang jadi malam tu. Semuanya salah Farish! Semuanya berpunca daripada dia!
“Abang… Abang…”
“Kalau Abang Rish nak minta maaf pasal perkara yang lepas tu, Ain dah maafkan. Dua-dua. Kejadian malam tu, dan juga hari majlis. Ain dah lama maafkan Abang Rish. Ain nak balik.” Sekali lagi kakinya cuba melangkah untuk meninggalkan Farish.
“Ain, abang…”
“Abang Rish… Please jangan ungkit lagi pasal tu. Ain dah tak nak dengar apa-apa. Yang berlalu tu, biarkanlah. Ain dah ada hidup Ain sendiri. Dan Ain tak nak ingat satu benda lagi pasal tu.”
“Ain, abang… Abang rasa bersalah, Ain.”
Senyuman kecil terkoyak di bibir. Jelas kelihatan hambar. “Tak ada apa yang nak rasa bersalah lagi, abang. Ain gembira dengan apa yang Ain ada sekarang. Walaupun Abang Iqram tak sukakan Ain… Walaupun Abang Iqram sanggup menduakan Ain… Ain dah redha. Ain terima segalanya dengan hati yang ikhlas.”
“Abang minta maaf.”
“Ain dah lama maafkan. Cuma… Ain harap Abang Rish boleh mendoakan kebahagiaan Ain dengan Abang Iqram. Itu aje.”
Saat ini, dia benar-benar diserang dengan perasaan bersalah. Menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Iqram menduakan Ain sebab tak sukakan Ain. Aku yang menyebabkan Ain terpaksa menerima Iqram sebagai suaminya. Tanpa sedar, dia terus meraih tubuh Ain lalu memeluk seeratnya. “Abang minta maaf, Ain. Abang berdosa dengan Ain.”
“Abang Rish… Please jangan macam ni. Kita berdua bukan adik beradik kandung. Tak halal untuk bersentuh-sentuhan macam ni. Berdosa, Abang Rish.” Perlahan dia menolak tubuh itu.



BARU sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik, tiba-tiba ada tangan menyambar kasar sepasang tangannya. Terkejut Ain bukan kepalang. Namun dia tak mampu berbuat apa-apa. Sedar tak sedar, tubuhnya sudah dihempaskan kasar ke dinding. Sakitnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu!
Kelopak matanya diluaskan. Anak matanya singgah pada seraut wajah di hadapannya. Terkebil-kebil sekejap. Awak… kenapa awak buat saya macam ni? Saya ni isteri awak. Kenapa awak berkasar dengan saya? Kenapa awak langsung tak ada belas kesian kepada saya? “Awak… kenapa…”
Shut up!” Bergema suara itu memenuhi ruang rumah itu.
Terkejut sungguh Ain mendengar suara lantang itu. Menggeletar seluruh tubuhnya. Sudahnya dia memalingkan wajah sambil memejamkan kelopak matanya. Takut! Dia benar-benar takut! Muka garang itu jelas tergambar di ruang matanya. Kenapa?
“Pandang sini, Ain!!”
Ain masih mengeraskan tubuh. Tak mahu! Saya tak nak tengok awak! Saya takut tengok awak macam ni! Kenapa awak marah saya?
Melihat kedegilan isterinya, laju sahaja tangan kanannya mencengkam muka Ain, lalu dipalingkan menghadapnya.
Ain memejamkan kelopak matanya kejap. Awak… jangan berkasar dengan saya. Saya tahu awak baik. Awak tak pernah berkasar dengan orang lain. Tapi… kenapa awak perlu berkasar dengan saya? Apa salah saya, awak?
“Buka mata tu, Ain! Pandang mata aku ni!”
“Tak nak!” Suara terketar-ketar itu jelas menunjukkan rasa takutnya.
“Kenapa kau selalu buat aku sakit hati, hah? Kau faham tak yang kau tu isteri aku! Isteri aku, Ain!”
Perlahan kelopak matanya dibuka. Kenapa dia tiba-tiba mengaku aku isterinya? Bukan ke selama ini memang dia menidakkan semua itu. Kolam mata yang digenangi air mata itu memandang sepasang anak mata suaminya. “Kenapa… awak…”
“Kenapa kau jumpa dia, Ain? Kenapa?!”
Sekali lagi suara itu bergema kuat dan sekaligus menambahkan rasa takutnya. Saat ini tubuhnya sudah menggeletar hebat. “Si... siapa?”
“Jangan buat tak tahu, Ain! Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri! Kenapa kau jumpa Farish?”
Jadi, itulah sebabnya? Dia nampak? Macam mana dia boleh ada kat situ? “Di.. dia.. kan adik awak… Adik… Adik ipar saya… juga…” Menggigil! Suaranya menggigil. Seluruh anggota badannya juga kelihatan menggigil ketakutan.
“Kau tipu, Ain! Siap peluk-peluk tu apa? Kau jumpa dia sebab cinta lama kau, kan? Baik kau mengaku sebelum aku lebih berkasar dengan kau.”
Menitis air matanya satu persatu. Pegangan kejap di tangan kanan dan di mukanya benar-benar menyakitkan. Hatinya… Lagilah terasa sakitnya! Kenapa Iqram masih tak sudah-sudah nak menuduh aku? Sejak dulu lagi!
“Jangan nak berpura-pura dengan air mata kau tu, Ain! Aku benci dengan kau! Aku benci kau!” Cengkaman pada muka Ain dilepaskan kasar. Tetapi kali ini tubuh Ain pula dihempas kasar ke dinding.
“Ain minta maaf… Ain tak…”
“Tak perlu kau nak minta maaf dengan aku! Aku tak akan maafkan segala dosa kau dengan aku. Isteri jenis apa kau ni? Hidup kau hanya menyusahkan aku semata-mata! Kau penghancur kebahagiaan aku! Kau pengkhianat! Sanggup kau menduakan suami kau, kan? Perempuan jahanam!”
“Ain tak…”
“Tipu!”
“Betul! Ain tak…”
Pang! Laju tangannya menampar pipi Ain. Amarahnya dilempiaskan juga ke pipi Ain. Sakit hati bila Ain berterusan menidakkan apa yang telah dilakukan.
Ain terdiam! Berjuraian air mata jatuh ke pipi. Hancur berkecai sekeping hatinya. Sakit di pipi bukan main lagi. Tetapi sakit di hati, lebih teruk lukanya. Sampai hati awak tampar saya. Sampai hati awak berkasar dengan saya macam ni.
Melihat air mata yang berderaian di pipi Ain, Iqram terus terkaku. Ya Allah… Apa aku dah buat ni? Kenapa aku sanggup naikkan tangan ke muka Ain? Anak matanya singgah tepat pada pipi yang jelas berbekas kemerahan.

Untuk beberapa minit, masing-masing masih terdiam kaku. Sudahnya Iqram mengangkat kaki meninggalkan Ain yang masih menitiskan Ain mata. Tangannya terasa kebas. Bagaimana pula dengan pipi Ain? Pasti sakit! Rasa bersalah datang menyerang tangkai hati. Tetapi perasaan sakit hati lebih bermaharajalela. Tanpa ucapan maaf atau pujukan, dia terus mencapai kunci kereta lalu meninggalkan rumah.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

6 comments:

  1. Sambung please....

    Please writer...

    ReplyDelete
  2. ya ALLAH, kesiannya AIn. tak sudah2 rumah tangganya diuji. :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. setiap yang bernama manusia pasti akan diuji, kan? =) tq

      Delete
  3. Hmmm. Sambung pls. Geram tak hbis dgn iqram nih.

    ReplyDelete