Monday, May 25, 2015

Ajari AKu Untuk Mencintaimu 2


BAB 2

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

MALAM ini, mereka empat beranak berkumpul di rumah Puan Aryana. Farish… Iqram… Ain… dan juga Puan Aryana. Kali ini mereka akan berdepan empat mata unuk menyelesaikan masalah besar yang menimpa keluarga mereka.
Ain tunduk menekur lantai. Debaran di dalam dada hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sungguh, dia benar-benar takut untuk mengangkat wajah. Dari ekor matanya, dia dapat melihat dengan jelas sepasang anak mata Iqram yang tidak lepas daripada memandangnya tajam. Dia juga dapat melihat dengan jelas riak kebencian yang tergambar pada seraut wajah Farish. Cuma mama yang sesekali bersuara menenangkan keadaan.
“Alhamdulillah… Akhirnya kita dapat berkumpul jugak malam ni. Farish… dari tadi Farish diam aje. Farish ada nak cerita apa-apa pada mama?” Puan Aryana berlagak tenang walaupun di dalam hatinya terasa hiba setiap kali memandang raut wajah Farish. Sejak balik ke rumah pagi tadi Farish diam tak berkata apa-apa. Entah apa yang cuba Farish sembunyikan, dia tidak tahu.
Diam. Nak cerita apa lagi? Dia yakin mama dah tahu perkara yang sebenarnya. Petang semalam Iqram ada datang mencari dia di rumah sewa dan bertanyakan tentang kejadian itu. Tak lain tak bukan, pasti Ain sudah mengadu kepada mama dan juga Iqram. Iqram siap menghadiahkan sebiji penumbuk ke mukanya. Katanya hadiah untuk air mata mama yang menitis jatuh.
Maafkan Rish, mama. Rish tak ada niat pun nak buat mama sedih. Rish sendiri tak sanggup tengok air mata mama yang sekian lamanya tidak menitis. Rish bencikan Ain, mama. Rish bencikan dia sangat-sangat!
“Rish… mama tanya ni?”
“Mama… Rish tahu mama dah tahu pasal perkara tu. Jadi, tak perlu Rish nak ulang banyak kali.”
Puan Aryana terdiam lama. Jadi, memang betullah perkara ini benar-benar berlaku seperti cerita Ain dan cerita Iqram? Nafasnya ditarik dalam. Mencari sedikit kekuatan di dalam hati. “Kenapa sampai jadi macam ni, Rish?”
Farish menghampiri ibunya sambil mencapai tangan kanan ibunya itu. Kepalanya ditundukkan mencium tangan itu. “Rish minta maaf, mama. Tapi… bukan salah Rish.”
“Hah, kan Ram dah cakap, mama! Bukan salah Rish! Ni mesti berpunca daripada perempuan ni. Eh, perempuan… kalau kau nakkan sangat si Farish ni, kau boleh berterus-terang dengan mama. Senang mama uruskan perkahwinan kau. Tergamak kau perangkap Farish, kan? Tak guna!”
Ain mengangkat wajah sambil menggelang kepala laju. Dia tak perangkap Farish. Farish yang perangkap dia. Farish yang buat dia jadi macam ni. “Tak… Ain tak…”
“Diam! Aku tak nak dengar suara kau pun!” Belum sempat Ain mempertahankan dirinya, Iqram sudah menjerkah kuat. Bergema satu rumah dengan suara lantangnya. Jangan sampai jiran-jiran dengar sudahlah!
“Ram… jangan macam tu. Semalam Ain dah cakap yang dia pun tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Jadi, jangan salahkan Ain seorang.” Puan Aryana masih lagi cuba mententeramkan keadaan. Iqram kelihatan terlalu marahkan Ain. Dia tidak mahu Iqram terus memarahi Ain yang masih kelihatan bersedih dan terluka. Dia nampak Ain cuba mempertahankan dirinya. Tetapi dia sendiri tidak pasti silapnya berpunca daripada siapa.
“Mama ni… percaya sangat kat dia. Dia memang ada niat nak perangkap Rish. Ram kesiankan Rish. Rish tak salah, mama. Yang salahnya, budak tak tahu diuntung ni.” Amarahnya masih membuak. Tetapi kali ini nada suaranya diperlahankan. Tidak mahu mama berada dalam keadaan tertekan.
Ini semua disebabkan perempuan tu! Sebab dia mama sedih sampai macam ni sekali. Macam mana aku tak benci dia kalau macam tu perangai dia? Sejak dulu lagi perempuan itu memang tidak sudah-sudah menyusahkan mama dan semua orang dalam keluarga ini. Kalaulah waktu yang berlalu tu boleh diundurkan semula, pasti awal-awal lagi dia sudah menghalang mama daripada mengambil Ain sebagai anak angkatnya.
“Macam nilah… Mama dah buat keputusan. Perkara ni dah jadi sampai macam ni. Mama ingat… mama nak nikahkan Rish dengan Ain.”
What???” Serentak ketiga-tiga mereka menyoal dengan riak terkejut. Farish… Iqram… dan juga Ain.
“Ya… mama dah buat keputusan tu.” Puan Aryana menjelaskan lagi kenyataannya sebentar tadi. Dia tahu ketiga-tiga anaknya terkejut. Tetapi apa yang ada dalam fikiran dia, hanya itu jalan penyelesaian yang terbaik untuk keluarga ini.
“Mama… jangan buat keputusan terburu-buru. Ini masa depan Rish.” Farish terlebih dahulu mempertahankan dirinya. Tak mungkin! Dia tak akan kahwin dengan Ain. Ya, dia memang pernha cintakan Ain. Tetapi dendamnya pada Ain melebihi segalanya. Tak mungkin dia mampu untuk hidup dengan Ain sebagai pasangan suami isteri. Semua ini merepek!
“Mama tahu, Rish… Sebab tu mama fikirkan keputusan macam tu.”
“Mama… Ram tak setuju! Kenapa pulak Rish kena kahwin dengan dia? Bukan salah Rish. Dia sendiri yang gatal dan tak tahu malu!” Kali ini Iqram pula menyatakan ketidak puashatian dia. Jujur, keputusan mama itu menyakitkan hatinya. Yang jadi mangsa adalah Farish. Bukan Ain!
“Ram… Tolong dengar cakap mama. Kalau Ram rasa Rish tak salah, mama pun rasa Ain tak salah. Tak adil keputusan Ram menyalahkan Ain seratus peratus. Dalam hal ini Ain dan Rish… dua-dua salah.” Puan Aryana menyambung lagi. Risau sungguh hatinya dengan amarah Iqram. Risau jugak dengan bantahan Farish. Jika kedua-dua mereka menghalang, apa lagi pilihan yang dia ada untuk menyelamatkan maruah Ain?
“Mama… Ain tak nak kahwin dengan Abang Rish.” Suara emas Ain yang sejak tadi membisu membuat tiga pasang mata itu serentak menoleh ke arah Ain.
“Hah, baguslah kalau macam tu! Kau ni balik ke sini untuk mneyusahkan semua orang kat dalam rumah ni. Kau balik ke sini nak susahkan hati mama. Kalau macam tu baik kau jangan balik terus. Menyakitkan hati betullah kau ni!” Laju mulutnya berbicara seperti bertih jagung. Ingin sahaja dia menghemburkan amarah semahunya di sini juga. Tetapi dia tidak sampai hati untuk meninggikan suara di hadapan mama.
“Ram… Jangan cakap macam tu. Apa-apa pun yang dah berlaku, Ain tetap anak mama. Adik Ram. Jangan cakap yang bukan-bukan pada dia.”
“Mama, Ain…” Ayatnya tergantung di situ apabila anak matanya menangkap air mata yang menitis jatuh ke pipi mama. Ingin membantah. Tetapi air mata mama sudah mampu untuk mendiamkan bibirnya. Saat ini, air matanya turut laju menuruni pipi mulusnya.
Iqram juga diam membisu apabila dia juga perasankan benda yang sama. Mama menangis lagi. semua ni pasal Ain! Kalau bukan Ain yang buat perangai, mama tak akan pernah menitiskan air matanya di depan anak-anak! Tak guna kau, Ain!
Puan Aryana menyapu air mata di pipi sebelum menghampiri Ain. Sepasang tangan anak perempuannya dicapai lalu digengam erat. Kalau Ain tak setuju, keadaan akan menjadi bertambah teruk. “Ain… Mama buat semua ni untuk masa depan Ain. Juga untuk masa depan keluarga kita. Macam mana kalau Ain mengandung? Lagi teruk, kan? Lebih baik Ain dengan Rish kahwin dulu sebelum keadaan menjadi semakin teruk.”
“Ram tetap tak setuju, mama!”
“Rish pun tak setuju, mama!”


BARU sahaja langkah kaki ingin diatur ke bilik, tiba-tiba tangannya ditarik seseorang. Ain menoleh laju ke sisinya. Tidak dapat tidak, langkah kakinya terpaksa melangkah mengekor tarikan kuat itu.
“Abang Ram… Sakitlah! Kenapa dengan Abang Ram ni?” Dia berusaha keras melepaskan gengaman tangan lelaki itu. Namun tidak berjaya.
Iqram menarik tangannya sampai ke bilik lelaki itu. Pintu bilik dikunci sebelum tubuhnya dihempas kasar ke dinding. Ain mengaduh kesakitan. “Abang Ram, Ain…”
Belum sempat dia bersuara, satu tamparan kuat mengenai pipinya. Terdiam terus Ain dibuatnya. Lambat-lambat air matanya menitis jatuh ke pipi. Rasa sakit di pipi. Juga rasa terkejut apabila ditampar begitu.
“Tak guna kau, kan? Dua bulan kau hilang macam tu aje. Balik pula bawa berita yang bukan-bukan! Kenapa kau muncul semula dalam hidup mama aku? Kenapa?!” Jerkahnya kuat. Mujur sahaja biliknya berada di sudut paling hujung. Kalau tidak, sudah pasti mama akan mendengar tempikan kuatnya.
Ain diam menikus. Sungguh, dia takut jika penangan Iqram hinggap lagi ke pipinya. Tersedu-sedu dia menahan tangis yang berlagu dengan hebatnya. Bukan salah ain, abang. Salah Abang Rish! Kenapa abang dan Abang Rish letakkan kesalahan itu dibahu Ain seorang? Bukan kehendak Ain semua ini terjadi. Abang Rish yang buat Ain jadi macam ni. Bukan salah Ain!!
Diikutkan hati mahu sahaja dia menjerit kuat dan mempertahankan diri daripada berterusan dituduh. Tetapi semua itu tak mungkin. Tak mungkin dia akan menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marah. Tidak mahu tangan Iqram sekali lagi naik ke mukanya.
“Aku bercakap dengan kau! Bukan dengan tunggul kayu!”
Sekali lagi Ain menikus. Takut melihat kemarahan lelaki itu. “Ain… Ain… minta maaf.”
“Kalau dah tahu diri tu kotor macam sampah masyarakat, tak payahlah balik ke sini. Kau tahu tak yang kau dah buat mama aku sedih! Mama tunggu kau balik berhari-hari. Tapi ini balasan kau pada mama? Eee… kau ni! Kalau ikutkan hati aku ni, nak aje aku cincang kau sampai lumat. Sakit betul hati aku!”
“Ain… Ain bukan nak menyusahkan mama. Tapi… Abang Rish dah…”
“Kau bohong! Kau tipu! Farish tak akan buat benda mengarut macam tulah! Aku kenal adik aku tu siapa. Baik kau cakap betul-betul dengan aku, siapa jantan keparat yang buat kau jadi macam ni?!”
“Abang Rish…”
Sakit hatinya mendengar jawapan dari seulas bibir Ain. Kaki diatur rapat ke arah Ain. Kedua-dua belah bahu Ain dihentak ke dinding sekali lagi. “Tak! Bukan Farish! Siapa?!”
“Auch!!” Sekali lagi Ain mengaduh kesakitan. Mama… tolong Ain. Abang Iqram jahat. Dia pukul Ain, mama.
“Cakap Ain, sebelum tangan aku ni naik ke muka kau sekali lagi!”
Jawapan apa lagi yang aku ada? Memang tak ada orang lain lagi. Memang Farish yang buat macam tu.
Ketukan di muka pintu biliknya membuatkan Iqram dan Ain tersentak.
“Ram… Mama ni. Mama cari Ain tak jumpa, Ram. Ain ada kat sini tak?” Suara mama kedengaran perlahan di sebalik daun pintu bilik Iqram.
Ain memandang Iqram. Mengharapkan Iqram memberitahu mamanya yang dia berada di sini. Di dalam biliknya. Mama… Ain kat sini! Abang Ram pukul Ain, mama. Tolong Ain.
Iqram menghantar amaran melalui pandangan mata. “Kalau kau bersuara, siap kau! Aku akan buat perkara lebih teruk daripada apa yang Farish dah buat pada kau.”
Ain diam. Membiarkan air mata menitis jatuh ke pipi. Tangan naik menekup mulut sendiri. Tidak mahu suara tangisnya sampai ke pendengaran mama. Sudahnya, dia jatuh terduduk ke lantai bilik air apabila Iqram menolaknya kuat sebelum menutup pintu bilik air itu. Tidak mahu mama mengesan Ain di dalam biliknya.
Kaki dilangkahkan ke arah pintu. “Mama tanya apa tadi? Ram tak dengarlah. Ada dalam bilik air tadi.”
“Ain… mama tak tahu Ain kat mana. Tak ada dalam bilik dia.”
“Entahlah, ma. Pergi cari Farish agaknya.”
“Ram… Tolong jangan cakap benda yang merepek macam ni. Mama percayakan Ain. Ain tak buat perkara yang tak elok. Tapi Farish yang paksa dia.”
Iqram melepaskan keluhan berat. Sejak semalam lagi… Mama tak habis-habis berpihak kepada Ain. Nampaknya mama lebih percayakan orang lain berbanding anak sendiri. “Kenapa mama suka menangkan dia sangat? Mama tahu tak yang dia tu dah pijak kepala kita? Dia ambil kesempatan pada kebaikan keluarga kita.”
“Ram… Jangan cakap mengarut. Mama datang ke bilik Ram untuk cari Ain. Kalau Ain tak ada tak apa. Mama akan cari Ain kat bawah.” Malas mahu mendengar Iqram mengarut, Puan Aryana terus melangkahkan kaki meninggalkan anak sulungnya itu.
“Mama… Ram minta maaf.”
Puan Aryana menghentikan langkah. Seraut wajah bersalah anaknya dipandang sebelum mengukirkan senyuman kecil. “Mama maafkan Ram. Tapi tolong jangan biar mama ulang benda yang sama. Jangan salahkan Ain lagi. Mama tak sampai hati tengok Ain menangis sampai macam tu sekali.”
Iqram mengangguk kecil sebelum memeluk tubuh mamanya. Langsung terlupa pada Ain yang masih berada di dalam biliknya.


HAMPIR sahaja dia tertidur di dalam bilik air yang berada di dalam bilik Iqram. Deringan telefon bimbit di dalam poket seluar memeranjatkan dia. Terkebil-kebil anak matanya memerhati sekeliling. Kali ini barulah dia teringat yang dia berada di dalam bilik air di bilik Iqram.
Dia bangun. Dari celahan pintu bilik air itu dia mengintai kelibat Iqram. Eh, amboi? Berkerut mukanya apabila melihat sekujut tubuh Iqram yang sudah terlentang di atas katil. Siap berselimut bagai. Dia terlupa ke yang aku maish kat dalam bilik air? Takkanlah lupa!
Yang aku ni pun satu! Sempat lagi terlelap sambil tersandar pada tab mandi, kan? Ini semua salah Iqram. Siapa suruh dia letak wangian yang aromanya boleh buat orang terlena dalam bilik air tu? Agak-agaknya sebelum ni dia sempat tidur sambil berendam dalam tab mandi?
Melihat line clear, Ain menapak perlahan, penuh berhati-hati untuk keluar dari bilik air itu. Kalau boleh dia tidak mahu mengejut Iqram. Apatah lagi untuk mengejutkan semua makhluk dalam rumah ni.
Mama… Kesian mama. Mesti mama tercari-cari aku, kan? Aku nak jawab apa pada mama? Takkan nak bagitahu tertidur kat dalam bilik air Iqram? Tak mungkinlah!
Terperanjat Ain apabila sekali lagi deringan telefon bimbitnya berkumandang memainkan lagu ‘Salahkah’ nyanyian Hafiz dan Dato’ Rossa.
Walaupun deringan itu cukup perlahan, tetapi sudah mampu membuatkan Iqram terjaga dari tidurnya. Laju kepalanya ditoleh ke arah bunyi asing itu. Terperanjat bukan main apabila melihat Ain tercegat macam Pontianak harum sundal malam kat tepi bilik airnya.
“Hoi, kau buat apa tu?” Dia menjerkah perlahan. Tidak mahu suaranya sampai ke luar.
Terperanjat Ain bukan main lagi. Terlepas telefon bimbit yang cuba dimatikan sebentar tadi. Berderai jatuh ke atas mozek. Laju dia menoleh sambil meletakkan jari telunjuk ke bibir sendiri. “Jangan bising! Nanti mama dengar!” Perlahan suaranya seakan-akan berbisik.
Iqram melangkah menghampiri Ain. Tajam anak matanya menikam seraut wajah yang sedikit pucat itu. “Kau buat apa kat sini? Tak cukup kau goda Farish, kau nak goda aku pulak? Kau ni memang jenis perempuan tak tahu malu, kan? Kau ingat aku akan tergoda dengan perangai tak bermaruah kau tu?”
Ain mengangkat wajah. Sepasang anak matanya menikam perlahan seraut wajah yang lebih tinggi berbandingnya itu. Tak habis-habis lagi mengata aku? Masuk ke bilik ni sebab nak goda dia? Dah hilang ingatan ke apa dia ni? Siapa yang tarik aku masuk ke bilik ni? Siapa yang humban aku ke bilik air dia? Salah aku jugak ke?
“Kenapa? Tak puas hati? Keluar!” Laju telunjukkan menghala ke arah pinti bilik sendiri. Makin lama Ain di biliknya, makin panas berbahang rasanya.
Tanpa menunggu lama, Ain terus menapak keluar. Sempat anak matanya melirik ke arah telefon bimbitnya yang berkecai di lantai. Nak kutip balik takut kena jerkah lagi. Takut kena tuduh yang bukan-bukan lagi. Biarlah telefon tu kat situ. Tak penting pun!
Selepas kelibat Ain menghilang, Iqram terus menghampiri pintu biliknya lalu mnegunci kemas. Bimbang Ain akan masuk menggodanya sekali lagi.
Sejenak dia termenung di atas katil. Ain masuk bilik ni nak goda dia? Kau ni dah gila ke apa, Iqram? Bukan kau ke yang tarik Ain masuk bilik ni tadi? Lepas tu terlupa yang kau dah humban dia ke bilik air sebab mama panggil?
Ya Allah… Entah apa kenalah dengan aku ni! Asal tengok muka dia aje, naik berang! Kau ni menyusahkan aku betullah, Ain!
Perlahan kakinya menapak ke arah handphone Ain yang berkecai di atas lantai. Dikutipnya lalu cuba dipasang semula. Dah pecah! Tak boleh nak pasang semula.
Macam ni perasaan Ain? Pecah berderai? Tak boleh nak cantum balik? Macam ni perasaan Farish? Sakit dan hancur? Macam ni ke perasaan mama? Perasaan aku? Perasaan aku lebih teruk daripada kehancuran telefon bimbit ni!
Laju tangannya mencampakkan telefon bimbit yang sudah berderai itu ke dalam tong sampah! Esok-esok, aku akan campak kau macam ni, Ain! Buang kau dalam tong sampah! Jangan harap aku izinkan kau hancurkan masa depan Farish! Jangan mimpi pun nak kahwin dengan dia. Aku tak akan pernah izinkan!


# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

Wednesday, May 6, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 1




BAB 1

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

TIDAK lepas sepasang anak matanya melemparkan pandang ke arah seraut wajah seorang perempuan yang lecun dengan air mata. Sebentar tadi senyuman menghiasi bibirnya tatkala mendengar loceng rumah ditekan seseorang.
Ya, dia pasti yang muncul di hadapan rumahnya itu adalah Ain. Setelah dua bulan meninggalkan rumahnya, Ain balik juga. Ya Allah… Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia rindukan anaknya itu.
Namun, sebaik sahaja memandang seraut wajah yang basah dengan air mata itu, segala keceriaan dan kegembiraan berganti duka dan sedih. Puan Aryana terus terduduk sebaik sahaja mendengar satu berita buruk yang baru sampai ke telinganya.
Tidak berkelip anak matanya memandang seraut wajah gadis yang sedang teresak-esak menangis tidak jauh dari duduknya. Rasa sakit datang mencengkam jiwa. Rasa kecewa dan hampa. Semuanya bersatu di dalam jiwa.
Sampai hati anak-anak buat dia macam ni?
“Ma…Ain minta maaf, ma.” Dia sudah memeluk lutut mamanya sambil menangis teresak-esak.
 “Ain tak tahu, ma. Ain tak buat. Tapi Abang Rish…” Ayatnya tergantung di tengah jalan. Rasa sebak mencengkam jiwa. Melihat seraut wajah tua yang jelas kecewa itu, semakin hatinya diruntun rasa pilu. Makin dihempap dengan rasa bersalah yang membuak-buak.
“Ma… Ain… Ain…” Dia masih ingin bersuara. Tetapi seperti ada sesuatu yang menghalang kotak suaranya. Air mata yang meniis di pipi mama semakin membuatkan lidahnya kelu.
Dia sudah menceritakan segala-gala yang berlaku kepada mama. Sekarang ini, terpulang kepada mama sama ada ingin percayakan dia ataupun percayakan Farish. Dia buntu! Ini sahaja jalan yang dia ada. Harapan menggunung di dalam dada semoga mama memaafkan segala kesilapan yang telah dilakukannya.
“Mama… Maafkan Ain.”
Sebaik sahaja membuka pintu rumah, dia mendengar suara tangisan di ruang tamu. Iqram melajukan langkah kakinya ke ruang tamu. Suasana suram dan sepi itu membuatkan hatinya tertanya-tanya.
“Mama…” Sepatah perkataan itu disebut apabila melihat seorang gadis sedang memegang erat kaki mamanya yang sedang membelakanginya saat itu. Terkejut apabila melihat seraut wajah yang basah dengan air mata sebaik sahaja mamanya menoleh.
“Mama… kenapa?” Laju kakinya dilangkahkan menghampiri sekujur tubuh itu. Saat itu dia terpandangkan seraut wajah gadis yang sedang melutut sambil memeluk kaki mamanya itu. Dia?? Seraut wajah itu juga sedang dipenuhi dengan air mata dan esakan halus. Jadi dia yang menangis sampai dengar ke pintu tadi?
“Kenapa mama?” Siapa yang buat mama menangis sampai macam ni? Takkanlah perempuan ni? Mencerlung pandangan matanya ke arah perempuan yang langsung tidak mendongakkan wajah ke arahnya.
Sejak dulu lagi dia memang bencikan perempuan ini. Sejak dulu lagi, perempuan ini selalu membawa masalah dalam keluarganya. Entah apalah yang membuat mama terlalu sayangkan dia.
“Rish…” Hanya sepatah kata itu sahaja yang mampu dituturkannya.
Berkerut seribu dahinya apabila mama menyebut sepatah nama adiknya. Anak mata sempat melilau mencari kelibat Farish. Tak ada! Tapi kenapa pula mama sebut nama dia? “Kenapa dengan Farish, mama?” Perasan ingin tahu membuak-buak di dalam dadanya.
“Rish… dia dah buat perkara yang tak elok pada Ain.” Puan Aryana memilih untuk berterus-terang. Selain Iqram, siapa lagi tempat mengadunya? Nak mengharapkan Farish memang payah!
What?!” Kuat suaranya bergema memenuhi ruang tamu. Kali ini tajam pandangan matanya menikam seraut wajah yang masih menunduk itu. Oh, patutlah dia beria sangat menangis teresak-esak sampai macam tu sekali? Farish buat dajal pada dia? Tak mungkinlah! Aku kenal siapa Farish tu! Jangan-jangan perempuan ni sengaja buat cerita tak?
“Mana Farish, mama?”
“Mama tak tahu.”
Jawapan mama yang diselangi tangisan itu membuatkan dia melepaskan keluhan kasar. “Ram tak percaya Rish buat perkara macam tu, mama. Entah-entah… perempuan ni sengaja buat cerita. Entah-entah… bukan Farish. Tapi dia tuduh Farish.”
Ain mendongakkan mukanya. Terkejut mendengar patah kata yang terlafaz dari seulas bibir lelaki itu. Sampai hati dia cakap macam tu? “Abang… Ain tak tipu. Abang Rish yang…”
“Kau diam! Aku tak nak dengar sepatah pun perkataan keluar daripada mulut kau! Huh, aku tak tahulah apa masalah kau ni! Sejak kau muncul dalam keluarga aku, macam-macam hal jadi! Kau ni memang pembawa bala, tahu tak? Tak guna betullah!” Laju tangannya menumbuk dinding berhampiran, melepaskan rasa geram dan amarah yang yang membuak di dalam dada.
“Ram! Kenapa cakap Ain macam tu? Bukan salah Ain. Salah Rish!”
“Mama… Kenapa mama percayakan sangat budak ni? Ram tak percaya yang Rish akan buat perkara terkutuk tu. Ram kenal adik Ram macam mana orangnya. Perempuan ni… Dia sengaja buat cerita, mama!”
Laju Ain menggeleng kepalanya. Tak! Dia tak tipu! “Mama… Ain tak tipu, mama. Kalau mama tak percaya, mama tanya Abang Rish sendiri. Ain minta maaf, mama. Ain tahu… Ain dah banyak menyusahkan mama dan keluarga mama. Abang Farish… dan juga… Abang Iqram.”
“Kau jangan sebut nama aku, boleh tak? Kau tu memang menyusahkan aku pun!” Sekali lagi suara itu bergema kuat. Angin betul apabila perempuan itu berani menyebut namanya!
“Ram… jangan cakap macam tu. Jangan tinggikan suara pada Ain. Mama tak suka. Ain… bangunlah. Dari tadi lagi Ain macam ni. Mama tahu Ain tak salah. Mama percayakan Ain.”
Iqram mengetap bibir kuat. Sakit hati apabila mama seolah-olah terlalu percayakan patah kata perempuan itu. “Mama… Kenapa dengan mama ni? Dia ni dah memburukkan nama keluarga kita. Mama boleh nak bercakap baik-baik dengan dia lagi? Kenapalah mama suka sangat bela dia? Ram tak faham betullah!”
“Sebab dia anak mama. Sama macam Rish dan Ram.”
“Dia bukan anak mama! Dia cuma anak angkat! Anak pungut yang selalu menyusahkan keluarga kita!”
Ain mengetap bibir kuat. Setiap patah kata Iqram menusuk masuk tajam ke dalam dadanya. Ya, memang sejak dulu lagi Iqram tidak pernah menerima kehadirannya di dalam keluarga ini. Sejak dulu lagi Iqram memang suka cakap bukan-bukan tentang dirinya.
“Ram!! Mama dah cakap, kan? Jaga mulut, Ram. Mama tak suka Ram cakap bukan-bukan pasal Ain.”
Keluhan kasar dilepaskan. Sakit sungguh hatinya dengan perempuan di hadapannya itu. Kalaulah hukum membunuh itu tak berdosa, pastinya dia sudah membunuh dan mencincang lumat perempuan itu! Biar lenyap terus dari muka bumi ini. Tak adalah nak menyusahkan orang!
“Ram nak pergi cari Farish.” Dia terus mengatur langkah dan berkira-kira untuk keluar mencari Farish.
“Ram nak cari kat mana?”
“Tak tahu!”


AIN menyandarkan tubuh di atas katil. Anak matanya langsung tidak mahu lelap. Otak kecilnya pula berterusan berfikir. Memikirkan tentang nasibnya akan datang. Ya Allah… ampunilah segala dosa yang pernah aku lakukan. Sama ada sengaja ataupun tidak sengaja.
Sekali lagi… Untuk sekian kalinya, air mata jatuh lagi ke pipi. Satu persatu gambaran wajah ahli keluarganya terlayar di ruang mata.
Seraut wajah mama yang jelas kelihatan sedih. Air mata mama yang pertama kalinya dilihat mengalir pada seraut wajah itu. Maafkan Ain mama. Ain tak sengaja. Dan Ain tak sangka yang Abang Rish sanggup buat Ain sampai macam ni sekali.
Abang Rish… Kenapa abang buat Ain macam ni? Apa salah Ain pada abang? Sebab Ain tolak cinta abang, abangs anggup jatuhkan maruah Ain sampai macam ni sekali? Macam mana dengan masa depan Ain, abang? Pernah tak Abang Rish fikir?
Abang Iqram… Sungguh, dia benar-benar gerun untuk menyebut sepatah nama itu. Amarah Abang Iqram langsung tidak dijangkanya. Ya, Abang Iqram memang tidak pernah sukakan kehadirannya di dalam rumah itu. tetapi tadi, itu adalah kali pertama dia melihat riak kemarahan yang menyinga di wajah itu.
Ya, memang dia silap! Silap kerana melarikan diri daripada masalah sampai dua bulan lamanya. Melarikan diri daripada mama. Daripada Abang Iqram dan juga Abang Rish.
Sungguh, dia tidak berniat untuk lari daripada masalah. Keadaan yang membuatkan dia jadi seperti itu. Ketakutan dalma diri membuatkan dia takut untuk pulang ke rumah.
Salah Ain ke, mama?
Salah Ain ke, Abang Iqram?
Salah Ain ke, Abang Rish?
“Mama tak izinkan Ain keluar dari rumah ni selagi Iqram tak jumpa Farish. Mama nak kita berempat bertemu muka dan selesaikan perkara ni dengan kadar segera sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.”
“Ain tak faham. Apa maksud mama?”
“Kita selesaikan semua ni sebelum perut Ain nampak. Mama takut Ain mengandung.”
Ain memicit kepalanya perlahan. Pening! Pening bila teringatkan kata-kata mama itu. Jujur, dia juga risaukan perkara yang sama. Sebab itulah dia kembali semula ke rumah ini. Jika diikutkan hatinya yang terluka, mahu sahaja dia lenyap dan tidak kembali lagi ke sini.
Maafkan Ain, mama. Ain bukan suka-suka nak pindah keluar dari rumah mama. Ain pindah keluar bersebab. Ain benci Abang Rish. Dia jahat, mama!
Peristiwa lama terulang tayang kembali diingatannya. Walau sekuat mana dia cuba melupakan peristiwa itu, tetapi tetap terulang tayang. Sampai dia malu pada diri sendiri. Sampai dia rasa seperti tidak sanggup untuk hidup di muka bumi ini lagi.
“Ain… aku nak kahwin dengan kau!”
Tiba-tiba sahaja lelaki itu memeluk tubuh Ain yang sedang meletakkan gelas di atas rak. Ain pantas berpaling. Ya, dia memang kenal dengan pemilik suara itu. Pemilik suara mabuk yang suka pulang lewat malam. Sungguh, kalau dia tahu Farish akan balik ke rumah malam itu, memang dia tidak akan turun ke dapur.
“Kenapa dengan Abang Rish ni? Lepaslah!” Laju dia menolak tubuh lelaki itu. Bau pelik menusuk rongganya. Sungguh, dia tidak percaya yang Farish mabuk. Setahunya, Farish tak akan pernah minum arak walaupun dia selalu ke kelab malam.
Farish senyum. Di ruang matanya cuma ada Ain, Ain dan Ain. “Ain… aku nak peluk kau!” Sekali lagi Farish memeluk tubuh Ain.
Berkali-kali dia menolak tubuh itu, tidak berjaya juga. Sudahnya dia membiarkan sahaja Farish memeluk tubuhnya. Mungkin betul Farish cuma ingin memeluknya untuk seketika.
Tetapi dia silap. Tidak lama selepas itu, tangan Farish meliar. Meliar menyentuh seluruh tubuhnya. Puas dia mengelak. Tetapi pelukan Farish terllau kuat. Yang paling dia terkejut, Farish bertindak mencium seulas bibirnya.
Terkejut dengan tindakan lelaki itu, dia terus memijak kaki Farish. Apabila pelukan Farish longgar, dia terus menolak tubuh itu dan berlari meninggalkan Farish yang jatuh terduduk di atas lantai.
Rahsia malam itu tersimpan kukuh di dalam dadanya seorang. Tidak sanggup untuk mengaibkan diri sendiri jika mama dan Abang Iqram tahu tentang itu. Mulai hari itu juga, dia mula menumpang tinggal di rumah sewa kawannya. Pulangnya cuma sekejap-sekejap. Leteran mama dan Abang Iqram langsung tidak diendahkannya.
Bila Abang Iqram menghalaunya, dia terus bertindak untuk tidak pulang ke rumah mama. Sungguh, dia takut untuk berhadapan dengan Farish. Dia juga takut jika Farish ingat apa yang berlaku pada malam itu dan membocorkan rahsia itu kepada mama dan Abang Iqram.
Dua bulan dia tidak pulang ke rumah mama. Menangis mama dengan perangainya yang begitu. Telinganya pula bercupak-cupak mendengar leteran dan amarah Abang Iqram. Bila dia bercadang untuk pulang, dia terserempak lagi dengan Abang Farish di universiti.

Dan Abang Farish… Farish jahat! Farish dan rampas maruah dia. Dia bencikan lelaki itu!
Penat dia berfikir. Penat dia bertanya pendapat Syaf. Akhirnya, setelah dua bulan, dia memberanikan diri untuk pulang dan berterus-terang dengan mama.
Air matanya menitis jatuh lagi.
Syaf… Apa yang akan jadi pada aku nanti? Macam mana kalau kata-kata mama betul? Macam mana kalau aku mengandung, Syaf? Apa aku nak buat? Kahwin dengan Farish? Dia tak mungkin akan terima aku selepas apa yang jadi.
Kahwin dengan Yazid? Tak mungkin! Nak bagitahu dia tentang perkara ini pun aku takut. Apatah lagi nak ajak dia kahwin. Dia tak mungkin dapat terima buah yang sudah ditebuk tupai, Syaf.
Ya Allah… Apa yang akan jadi lepas ni? Aku benar-benar takut, Ya Allah. Takut dengan hukuman yang bakal aku terima di akhirat sana. Takut dengan kemungkinan yang akan berlaku. Takut dengan masa depan sendiri.
Apa pilihan yang aku ada, Ya Allah?

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

Tuesday, May 5, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu



MINI NOVEL: 
AJARI AKU UNTUK MENCINTAIMU


SINOPSIS

Kerana dia adikku, aku terpaksa berkorban untuk kebahagiaan semua orang.
Bukan kerana cinta. Tetapi kerana tanggungjawab.
~ Muhammad Iqram Haziq ~

Kerana aku adiknya, aku menerima semuanya dengan hati yang ikhlas.
Bukan kerana terpaksa. Tetapi kerana sayang.
~ Nurul Ain Insyirah ~

Kerana dia perempuan itu, aku membenci dan menyakiti hatinya.
Bukan kerana rindu. Tetapi kerana dendam.
~ Muhammad Farish Hazim ~

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu