Friday, July 31, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 11


BAB 11

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

BUK!
Terkejut yang teramat sangat apabila satu penumbuk singgah tepat ke mukanya. Lambat-lambat dia berpaling ke belakang. Sepasang anak matanya mencari seraut wajah yang sudah melepaskan penumbuk ke mukanya. Iqram!
“Tak guna kau, kan? Kenapa kau cari Ain lagi? Tak puas lagi dengan apa yang kau dah buat pada dia?” Seraut wajah Iqram jelas kelihatan merah menyala menahan amarah yang membuak di dalam dada. Jika diikutkan hati yang panas, bukan hanya satu! Tetapi berpuluh-puluh penumbuk yang akan singgah ke muka lelaki di hadapannya ini.
“Abang Ram… Rish nak…”
“Kau nak apa?! Kenapa kau balik, hah? Kalau macam inilah perangai kau baik kau jangan balik langsung, Rish! Aku benci betul tengok muka kau ni. Menyakitkan hati!”
Farish diam. Membiarkan sahaja Iqram menghemburkan amarahnya. Ya, dia tahu! Memang wajar Iqram marahkan dia bersungguh-sungguh. Silap dia. Dan yang menjadi mangsa adalah Iqram.
“Kau sedar tak apa yang kau dah buat selama ni, Rish? Yang jadi mangsa adalah aku! Aku yang terpaksa menghadap muka Ain. Terpaksa jadi kambing hitam. Yang dipersalahkan adalah aku! Kau dah rosakkan Ain. Lepas tu kau tinggal dia macam tu aje. Boleh pulak kau larikan diri masa majlis tu! Kau memang sengaja nak malukan mama, kan? Kau memang sengaja nak susahkan aku, kan?”
Farish
“Rish minta maaf.” Itu sahaja yang mampu diperkatakannya. Jujur, dia sendiri sudah menyesal dengan apa yang berlaku.
“Maaf?! Apa guna perkataan maaf tu sekarang ni? Lima bulan, Rish! Lima bulan baru kau nak balik ke sini? Buat apa lagi? Nak tuntut anak kau? Huh, sorrylah Rish! Ain tak mengandung anak kau! Jadi kau jangan harap boleh dapatkan Ain semula. Dia bukan barang mainan yang boleh kau tolak bila tak nak dan ambil bila kau nak.”
“Abang Ram… Rish tahu silap Rish. Tapi Abang Ram juga silap sebab tak pernah menghargai Ain. Ain tu…”
Iqram mengecilkan anak matanya. Farish tahu semua ni ke? Daripada mama? Atau Ain sendiri yang mengadu kepada Farish? Belum sempat Farish menghabiskan ayatnya, satu lagi tumbukan singgah di muka Farish.
“Ram! Rish!” Suara Puan Aryana kedengaran nyaring di muka pintu rumah.
Serentak Iqram dan Farish menoleh. Masing-masing mula terdiam kelu.
“Ya Allah… Apa dah jadi dengan kamu berdua ni? Kenapa sampai bertumbuk bagai ni? Ram… Rish ni adik kamu. Kenapa perlu bertumbuk macam ni?” Puan Aryana mula memicit kepalanya perlahan. Pening dengan kerenah dua anak lelakinya ini.
“Kenapa mama tak pernah bagitahu Ram yang Rish dah balik? Ataupun mama memang sengaja nak sembunyikan daripada pengetahuan Ram?”
“Ram… Mama bukan tak nak bagitahu Ram. Tapi mama tahu, kalau mama bagitahu Ram perkara macam ni akan berlaku. Mama tak suka tengok anak-anak mama bergaduh. Mama tak suka tengok anak-anak mama bertumbuk macam ni. Ram dan Rish dah besar panjang. Sepatutnya dah tahu fikir yang mana baik dan yang mana buruk.”
Farish diam membisu. Cuma sesekali jemarinya mengelap darah yang mengalir melalui celah bibirnya yang terluka akibat tumbukan padu Iqram. Ya, memang silapnya! Jadi memang wajar jika Iqram mengamuk macam ni. Kerana yang menjadi mangsa adalah Iqram.
“Hati Ram ni sakit sangat, mama. Bila tengok muka Rish, Ram terbayang-bayang perkara buruk yang dia lakukan kepada Ain. Tambahan pula dia berani cari Ain lagi selepas apa yang dia dah buat. Ikutkan hati Ram, nak saja Ram tumbuk muka dia sampai hancur. Sakit hati sangat!”
“Ram… Jangan macam ni. Perkara dah berlalu. Tak mungkin masa boleh diundurkan semula. Yang buruk itu jadikan pengajaran. Supaya kesilaan yang sama tidak akan berulang lagi. Jika hati Ram terluka sekali, hati mama ni lebih terluka berkali-kali Ram. Makin kecewa bila tengok anak-anak mama bergaduh macam ni.” Sekali lagi dia memicit kepala yang terasa pening. Selang beberapa saat, tubuhnya rebah. Kemudian, dia sudah tidak sedar apa-apa.
“Mama!” Serentak Iqram dan Farish melulu ke arah mama.
“Rish… Hidupkan kereta. Kita bawa mama ke hospital. Biar Abang Ram bawa mama ke kereta.”
Tanpa menunggu lama, Farish terus mencapai kunci kereta lalu meluru ke arah keretanya. Iqram pula mencepung tubuh mamanya ke kereta milik Farish.
Ya Allah… Apa yang dah aku buat ni? Aku dah buat mama risau. Aku dah buat mama jatuh sakit dengan perangai aku yang kebudak-budakkan ini. Rasa menyesal datang menjengah. Harap-harap mama tak apa-apa.


KETUKAN bertalu-talu di muka pintu biliknya membuatkan Ain tersentak. Keluhan kecil dilepaskan sebelum tangannya meletakkan novel yang baru ingin dibaca di atas meja semula. Siapa lagi yang suka ketuk pintu macam tu kalau bukan Iqram? Sudahlah tak bagi salam!
Kaki dilangkahkan ke arah pintu lalu memulas tombol. Bukannya berkunci pun! Boleh aje bukak sendiri. Tapi encik suami saya ni memang suka buat bising malam-malam macam ni! “Nak apa?”
Iqram memandang seraut wajah di hadapannya. Boleh dia tanya nak apa? Macam tak ikhlas aje soalan macam tu! “Tidur ke?”
“Baca novel.”
“Kita pergi rumah mama sekarang. Mama jatuh pengsan tadi.”
“Hah?”
“Tak payah nak nganga luas sangat. Pergi tukar baju sekarang. Lima minit! Kalau kau lambat, aku tinggal!”
Ain melepaskan keluhan kecil sebelum kakinya dilangkahkan masuk semula ke dalam bilik. Lima minit? Sempat ke? Bersiap ala kadar sudahlah! Sehelai blause yang tidak perlu digosok dicapai dari dalam almari. Sehelai skirt labuh berwarna hitam dipadankan. Simple! Tapi nampak kemas.
Selepas mengenakan tudung, Ain melangkahkan kaki ke muka pintu bilik. Belum sempat tangannya mencapai tombol pintu, daun pintu bilik itu sudah ditolak dari luar. Ain bergerak ke kanan bagi mengelakkan daun pintu terkena muka. Anak matanya bertemu pandang dengan sepasang anak mata suaminya yang jelas terkejut apabila terpandangkan kelibatnya di depan muka pintu.
“Lambat betul! Kau nak ikut ke tidak?” Sempat anak mata Iqram melirik pandang sekujur tubuh isterinya. Kerutan jelas tergambar pada dahinya. Dia pakai cantik-cantik sangat buat apa? Nak ke rumah mama aje pun!
“Belum lima minit pun.” Ain menjawab perlahan.
“Yang kau ni pakai cantik-cantik, nak ke mana? Nak melawat mama ke nak jumpa Farish? Tukar baju ni sekarang! Aku tak suka kau pakai baju ni.”
“Apesal pulak? Baju ni cuma…”
“Aku cakap tukar sekarang! Kau pekak ke? Ke nak suruh aku tolong tukarkan untuk kau? Cakap sekali tak dengar! Nak suruh aku cakap berapa kali baru nak dengar agaknya?”
Ain mengetap bibir geram. Jelingan tajam dilemparkan sebelum tangannya menutup daun pintu dengan laju. Sikit lagi nak terkena batang hidung Iqram. Kalau terkena terus pun tak apa. Menyusahkan orang betullah. Tadi cakap nak cepat. Lepas tu suruh tukar baju pulak. Padahal bukannya aku pakai baju ketat dan seksi pun. Blause simple aje! Haih, geram!
Sehelai baju kurung jenis kain cotton dicapainya dari dalam almari. Pakai baju kurung senang sikit. Tak adalah harimau jadian tu nak mengaum lagi. Tak perlu gosok kot! Tak berkedut sangat pun.
Sepantas kilat dia menyarungkan baju kurung ke tubuhnya. Mana tidaknya? Kat luar rumah dah bising dengan bunyi hon kereta Iqram. Haih, kalau macam ni gayanya, boleh sakit jantung! Semua nak cepat-cepat!
Sampai di muka pintu rumah, Ain teragak-agak untuk melangkah. Kalau aku ke rumah mama, Abang Rish akan ada kat sana ke? Macam mana dengan Iqram? Sungguh, dia risau Iqram akan marahkan dia lagi. Cukuplah sekali tangan Iqram singgah ke pipinya. Rasa sakitnya masih terasa sampai sekarang. Dan dia sudah berjanji pada diri sendiri yang dia tidak akan jumpa Farish lagi. Tapi…
“Tunggu apa lagi? Jangan nak terhegeh-hegeh sangat boleh tak?”
Tanpa menunggu lama, Ain menyarungkan sandal. Kaki dilangkahkan ke kereta. Dia berhenti di sisi pintu kereta. Cermin tingkap di sisi Iqram diketuknya perlahan.
Tanpa menunggu lama, Iqram menurunkan cermin di sisinya. “Nak apa pulak?”
“Err… malam ni kita tidur rumah mama ke?” Kalau tidur kat rumah mama, kena bawak baju spare.
“Tak payah nak mengada.”
“Tapi takkanlah nak tinggalkan mama yang tak sihat sorang-sorang?”
“Farish ada. Boleh tengok-tengokkan mama. Dah! Tak payah nak banyak cakap sangat. Naik!”
Ain melepaskan keluhan kecil sebelum menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. Kaki dilangkahkan ke arah pintu kereta lalu meloboskan diri.
“Pakai baju kurung macam ni lagi elok! Tak adalah menjolok mata.” Suaranya mengomel perlahan sahaja. Nmaun sempat didengar oleh sepasang telinga Ain.
Ain menoleh ke sisinya. Sedap-sedap dia aje mengata aku. Baju yang aku pakai tadi menjolok mata ke? Tak ketat pun! Seksi? Lagilah tak. “Tadi saya…”
“Pakai seatbelt!” Iqram terus menyampuk.
Malas mahu mulakan pergaduhan, Ain terus menarik seatbelt. Beberapa kali ditariknya, masih belum berjaya. Apa hal? Seatbelt ni pun suka buat perangai macam tuan kereta ni ke?
Iqram menoleh ke sisinya. Lembik! Tarik seatbelt pun tak boleh! “Boleh ke tidak?”
“Tak boleh!”

Melihat muncung sedepa isterinya, Iqram rasa ingin tergelak. Namun ditahan senyumnya supaya tidak jelas kelihatan. “Tepilah!” Dia menolak perlahan tubuh isterinya sebelum merapatkan tubuh untuk menarik seatbelt di sisi Ain.
Ain menahan nafas. Bau perfume Iqram terasa menusuk masuk ke rongga hidungnya. Bulat anak matanya memandang sekujur tubuh yang dekat dengan mukanya. Sengaja dia tolak macam tu, kan?
Sekali tarik sahaja, seatbelt itu sudah berjaya ditarik. Senyuman sinis terbit di bibirnya sebelum dia menoleh ke arah seraut wajah yang dekat dengan mukanya itu. “Kau memang sengaja, kan? Kau suka kalau aku dekat-dekat dengan kau macam ni, kan?”
Ain mengetap bibir geram. Apa dia ingat aku hadap sangat? Suka sangat rapat-rapat macam ni? Nonsense! Tidak menunggu lama, kedua-dua belah tapak tangannya terus menolak muka suaminya supaya menjauhi mukanya. “Jangan nak perasan sangat!”
Iqram ketawa sinis apabila tubuhnya sudah kembali berada di dalam keadaan normal. “Bukannya aku yang perasan. Tapi aku dapat dengar detak jantung kau yang kuat tu.” Dia terus menukar gear kereta dan kereta itu terus memecut laju.
Ain diam. Kepala ditoleh ke sisi tingkap. Tipulah kalau dia cakap tak berdebar. Tapi betul ke Iqram boleh dengar detak jantungnya yang berirama deras? Tak mungkinlah! Bukan bersentuhan pun!
Melihat Ain yang diam membisu, Iqram turut diam. Jujur, sebenarnya jantungnya juga turut dipalu kuat saat tubuhnya rapat dengan tubuh Ain. Ain pakai perfume jenama apa ya? Aromanya cukup memikat. Aroma yang mampu membuat bulu romanya tegak. Rasa macam… rasa macam nak peluk aje tubuh dia tadi. Tapi nasib baiklah masih boleh berfikir dengan waras. Kalau tak… tak tahulah apa akan jadi tadi!
Haih… Iqram! Kau dah gila ke apa ni?


“TAK tidur kat sini ke Ain?” Lemah suara Puan Aryana menyoal menantunya. Sempat anak matanya singgah pada raut wajah gelisah Iqram. Sudah pastilah Iqram tak akan izinkan sebab Farish juga ada di dalam rumah yang sama.
“Err… tak boleh, ma. Ain kena balik. Esok abang kerja. Baju kerja abang belum gosok lagi.” Alasan! Tapi tak menipu ya. Memang baju kerja Iqram belum digosoknya. Biasanya dia akan menggosok baju itu di awal pagi.
“Hmmm… Kalau macam tu Ain dan Ram baliklah dulu. Dah lewat malam ni. Lagipun esok Ram kerja, kan? Kesian pulak kat Ram tidur lambat.”
Ain mengerlingkan ekor matanya sekilas ke arah Iqram. Dah cakap tadi, kan? Apa salahnya tidur kat rumah mama malam ni? Mama sakit macam ni pun dia boleh nak layan cemburu buta dia ke?
Iqram yang perasankan jelingan maut itu sekadar mencemikkan muka sambil menjungkitkan kedua belah bahunya. Mujur sahaja dia membelakangi mama. Kalau tak mama memang akan nampak riak mukanya.
“Kalau Ain balik, mama okey ke?” Serba salah Ain dibuatnya.
“Mama tak apa-apalah. Lepas makan ubat nanti mama terus tidur. Bangun pagi esok eloklah ni. Lagipun Rish ada. Boleh tengok-tengokkan mama. Ain baliklah. Dah dekat pukul sebelas ni.”
“Kalau macam tu, Ram dengan Ain balik dululah mama. Kalau ada apa-apa mama suruh Rish call Ram terus ya?”
Call Ain pun boleh mama.”
Call Ain? Tak payahlah, mama. Ain ni kalau tidur memang tak ingat dunia. Bukannya dia sedar bom meletup kat tepi telinga. Inikan pula nada dering telefon.” Sengaja dia menokok tambah. Sebenarnya dia takut Farish yang akan menelefon Ain.
Ain mengerutkan muka sambil menjegilkan anak mata ke arah suaminya.
Iqram sekadar mencebik sambil menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. Sempat juga dia bersuara perlahan. “Telefon kau aku yang pegang malam ni!”
“Tak payah risaukan mama. Mama dah okey ni.”
“Kalau macam tu, Ram dengan Ain balik dululah ya, mama? Ain… tak nak balik ke?”
Kalau ikutkan hati memang tak nak balik pun! “Ain balik dulu, ma. Assalamualaikum.” Selepas menghulurkan salam, dia terus meminta diri. Maklumlah, angin orang kat sebelah ni serba tak kena! Bukannya boleh nak duduk lama-lama. Nasib badanlah, Ain.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

7 comments: