Thursday, June 18, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 6


BAB 6

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

SEJAK awal jam enam pagi tadi lagi dia sudah turun ke dapur. Bukan main awal lagi, kan? Mana tidaknya... jam lima setengah mama dah ketuk pintu suruh bangun solat. Belum azan subuh pun! Dengan sejuta perasaan malas, dia bangun juga. Sempat anak matanya singgah pada seraut wajah yang lena di atas katil.
Mengingatkan pergaduhannya dengan suaminya malam tadi, Ain melepaskan keluhan berat. Awak... Kalau boleh, hari-hari saya nak macam ni. Bila saya buka mata, perkara pertama yang saya nampak adalah muka awak. Tapi saya tahu. Awak tak akan pernah mengizinkan semua tu.
Malam tadi, dia berkeras untuk tidur di atas katil bersama suaminya. Tetapi suaminya juga berkeras tidak mahu dia tidur di atas katil itu. Sudahnya, selamba sahaja suaminya menolak tubuhnya jatuh dari katil.
Mengalah lagi!
Sampai bila kau harus mengalah macam ni, Ain? Entahlah! Selagi termampu aku akan terus bertahan. Abang... Jangan biar Ain terus mengalah macam ni. Ain doakan semoga suatu hari nanti, hati abang akan terbuka juga untuk melihat siapa Ain di mata abang.
“Ain … pergi panggil suami kamu tu.”
Arahan mama memeranjatkan dia daripada lamunan. Panggil dia? Mampus! Sah-sah kena jerkah lagi nanti. Otak kecilnya masih belum lupa peristiwa dia mengejutkan suaminya dari tidur pada hari pertama perkahwinan mereka. Bukan main lagi amarah yang dihemburkan kepadanya.
“Dah! Dah! Yang ni tinggal aje. Nanti mama buatkan. Pergi panggil Iqram.”
Ain sengih kecil sebelum mengangguk. Kaki dilangkahkan perlahan ke tingkat atas. Lama dia termenung di hadapan pintu bilik sambil berfikir panjang. Berfikir sama ada ingin memanggil suaminya turun ataupun tidak.
Dengan lafaz bismillah, dia memulas tombol pintu. Anak matanya mengintai ke dalam bilik. Berkerut dahinya apabila melihat suaminya tiada di atas katil. Daun pintu dilebarkan. Mana dia?
“Kau cari apa?”
Terkejut Ain bukan main lagi apabila suara itu kedengaran dekat dengan telinganya. Laju kepala ditoleh lalu mengurut dadanya perlahan. “Awak ni... terkejut saya!”
Iqram sekadar mencebik sebelum membetulkan rambutnya yang sudah siap disikat rapi. Langsung tidak menghiraukan kehadiran isterinya.
Ain turut mencebik. Ingat handsome ke buat rambut ala-ala K-Pop macam tu? Itu bukan K-Pop namanya! Tapi kapak! Tak handsome langsung! “Awak… mama panggil makan.”
Iqram buat-buat tak dengar.
Boleh dia buat-buat tak dengar, ya? Malas mahu bertekak dengan suaminya, Ain terus melangkahkan kaki untuk turun semula. Aku dah bagitahu dia supaya turun makan. Lantak dialah kalau dia tak nak turun.
“Ain? Mana Ram? Tak panggil lagi ke?”
“Dah… Tapi dia buat tak tahu aje.” Jujur jawapan Ain.
“Lah, pergi panggil sekali lagi.”
Malaslah, ma... Kalau Ain yang ajak, mesti dia buat tak tahu aje. Ain malas nak bercakap dengan tunggul yang tak ada perasaan macam tu. Dia ingat dia bagus sangatlah buat macam tu? Eee.. geramnya!
Puan Aryana melepaskan keluhan kecil. “Ain... Hidup berumah tangga ni, seorang isteri kena banyak mengalah. Mama tahu Iqram tu keras kepala. Tapi mama juga tahu yang Ain boleh jadi air untuk memadamkan api kemarahkan Iqram. Ain boleh jadi isteri yang boleh melembutkan hati seorang suami bernama Iqram.”
Tak boleh, mama! Ain dah cuba untuk jadi seorang isteri yang boleh melembutkan hati dia. Tetapi dia tetap memilih untuk menjadi seorang suami yang paling keras hatinya! Boleh ke Ain sabar dengan setiap kekerasan dan kekasaran dia? Boleh ke, mama?
“Ain??”
“Er... Ya, ma! Kejap, Ain pergi panggil dia.”
Sekali lagi kaki dilangkah untuk naik ke tingkat atas. Nafas dihelakan kasar sebaik sahaja anak matanya menyapa seraut wajah di atas kerusi ruang tamu. Tanpa salam, dia terus menghemburkan amarahnya.
“Awak… awak ni pekak ke? Mama panggil makan.” Suara amarahnya cuba dikawal supaya tidak kedengaran sampai ke dapur.
“Kau ke aku yang pekak? Suka-suka hati kau aje cakap aku pekak.”
“Dah awak tu yang tak dengar. Dah dekat seratus kali saya panggil. Awak boleh buat dek aje!”
“Ain? Ram? Kenapa pulak ni? Mama dengar macam kamu bergaduh aje?”
Pantas Iqram melompat dari sofa dan berdiri di sebelah isterinya. Sempat dia tersengih ke arah mama yang baru muncul di ruang tamu itu. “Mana ada, mama. Gaduh-gaduh sayang. Ni… Ain ni… merajuk pulak.”
“Bila masa pulak saya merajuk?” Ain yang masih sakit hati, terus memprotes. Tangan Iqram yang mula menyentuh pinggangnya ditepis kasar.
Iqram menyeringai sekejap sambil melemparkan jelingan maut dalam diam. Dia ni kan… tak reti nak berlakon sikit depan mama! “Yang tadi tu… awak memang merajuk, kan? Sebab awak panggil saya makan tapi saya buat tak tahu aje. Hah, sebab tulah awak merajuk.”
Puan Aryana menggelengkan kepalanya sekejap. “Kamu berdua ni… kamu kan dah kahwin. Apa salahnya bahasakan diri tu baik-baik sikit. Saya dan awak tu macam panggilan untuk sahabat aje.”
“Er… hmm… Ain ni, ma! Dia tak nak panggil Ram abang.”
“Saya pulak? Awak tu yang…” Termati kata-katanya. Takkanlah nak cakap depan mama yang Iqram tak bagi dia guna panggilan ‘abang’?
“Sudah! Sudah! Jom makan.”


“LEPAS makan nanti mama terus balik, tau? Rasa macam dah lama sangat duduk kat rumah kamu ni. Mengganggu privasi Ain dan Ram aje.”
“Lah, cepatnya ma? Baru dua hari mama kat sini, kan?”
“Hmmm, iyalah. Kalau ikutkan rasa tu memang tak puas. Tengoklah nanti lain kali kalau free mama datang lagi ke sini. Kamu berdua ni bukan boleh berkira sangat. Karang tak pasal-pasal bergaduh pulak.”
“Eh, mana ada, mama!” Iqram merapatkan tubuh ke arah isterinya lalu memeluk pinggang Ain. Senyuman bahagia dihulurkan.
Ain menjeling tajam. Dia ni kan... kalau tak ambil kesempatan memang tak sah.
Iqram buat-buat tak faham dengan jelingan maut itu. “Kita orang ni cuma gaduh-gaduh manja aje, mama. Bukan betul-betul bergaduh pun. Kan, sayang?”
Melihat anak mata mama yang menanti jawapannya, Ain mengukirkan senyuman kecil sambil mengangguk. “Hmmm, betullah tu. Lagipun Ain memang suka kalau mama tinggal kat rumah kami. Boleh jugak Ain manja-manja dengan mama.”
“Manja-manja dengan mama buat apa? Suami kamu kan ada. Boleh manja-manja dengan suami kamu.”
“Entah, sayang ni! Manja-manja dengan abang sudahlah.” Sempat bibirnya singgah ke pipi isterinya.
Ain ketap bibir sambil menjeling tajam. Suka hati dia aje cium pipi aku, kan? Aku ni cuma isteri tak dianggap aje. Tak payahlah nak berlakon lebih-lebih. Ain menolak kasar tubuh Iqram apabila mama pula melangkah ke dapur.
“Awak ni dah melampau, kan?” Laju sahaja telunjuknya naik dekat dengan batang hidung suaminya.
Iqram menepis kasar tangan kecil itu. Sedap-sedap dia aje main tunding jari macam tu. “Kau ni kenapa? Datang bulan, eh?”
“Saya yang datang bulan ke awak yang datang bulan? Jangan pegang-pegang boleh tak? Saya tak suka awak cium pipi saya macam tadi.”
“Bukan luak pun! Suka hatilah!”
Bibirnya diketap geram. Oh, suka hati ya?! Sipalah awak! Laju kaki dilangkah ke dapur, membantu mama menghidangkan lauk dan nasi.
Selepas Iqram duduk di atas kerusinya, tangan Ain mengambil mangkuk yang berisi sambal udang dan petai lalu disudukan ke dalam pinggan suaminya. “Abang suka makan sambal udang dan petai, kan? Nah, ambil ni! Makan banyak sikit.” Sengaja dia mengenakan suaminya. Biar padan muka! Balasan untuk ciuman dengan sengaja tadi.
Puan Aryana mengerutkan dahi. “Bukan Ram tak suka petai ke? Udang tu…” Bukan ke anak kau alergi dengan udang? Dah okey ke lepas kahwin? Confident aje Ain letak udang dalam pinggan Iqram?
Iqram perasankan pandangan pelik mamanya. Sudah! Aku nak cakap apa ni? Sah-sahlah mama tahu aku alergi dengan udang! Tapi… macam tak logik pulak kalau isteri tak tahu apa yang suami dia tak boleh makan? Lantaklah! Apa nak jadi pun jadilah!
Lambat-lambat dia tersengih lalu menyuapkan juga udang ke dalam mulutnya.
Ain melopong sekejap. Alamak! Kenapa dia makan jugak? Dia kan… alergi dengan udang? Sebab malu dengan mama? Sebab serba salah dengan mama? Sudah! Lepas ni… kalau dia gatal-gatal macam mana? Apa aku nak buat ni? “Abang nak tambah nasi lagi?”
Iqram menggeleng. Kali ini dia sudah terdiam apabila rasa gatal mula merayap ke tubuhnya. Ini semua Ain punya pasal!
“Laa… tak habis ke nasi ni?” Selamba sahaja dia mencapai pinggan Iqram lalu mengaut semua nasi dan lauk ke pinggannya. Dia tahu, Iqram baru makan sikit. Tapi… dia kesian bila melihat ada bintik-bintik merah di lengan suaminya.
Iqram terpinga-pinga sekejap. Namun dia sekadar membiarkan Ain mengambil kesemua nasi dan lauknya. Tapi… tak ape ke? Dia makan bekas aku tu!
“Ram okey ke?” Puan Aryana menyoal apabila melihat seraut wajah Iqram mula berpeluh-peluh.
“Hah? Okey je! Kenapa mama tanya?”
“Bukan ke Ram tak makan udang?”
“Tu dulu, mama. Lepas kahwin ni Ram makan okey aje. Kalau gatal pun tak teruk. Kan, Ain?”
“Er… Ya, mama. Ain ada simpan ubat gatal tu. Nanti Ain tolong sapukan kalau abang rasa gatal.”


SELEPAS kelibat mama menghilang ke dalam kereta dan kereta mula membelah jalan raya, Iqram terus menanggalkan bajunya. Kali ini dia sudah tergaru-garu macam Kera kena belacan. Gatal sangat-sangat!
Selepas kelibat kereta mama menghilang, Ain menutup pintu lalu mencari kelibat Iqram. Sungguh, dia risau kalau Iqram gatal-gatal disebabkan udang yang dimakannya tadi.
Terkejut bukan main apabila melihat belakang tubuh suaminya sudah dipenuhi dengan bintik-bintik merah. Suaminya pula sedang mangaru ke sana sini. “Awak… awak okey ke?”
“Okey mendanya? Ni semua kau punya pasal! Kau yang paksa aku makan udang tadi, kan?” Jerkahnya agak kuat. Sakit hati bila Ain buat main benda macam ni.
“Saya minta maaf. Habis tu… awak yang main-mainkan saya dulu tadi. Manalah saya nak ingat yang awak alergi dengan udang. Yang saya tahu, awak tak makan petai! Niat saya cuma nak bagi petai tu aje.”
“Sudahlah kau! Kau memang suka berniat bukan-bukan”
“Nak pergi klinik tak?”
“Tak nak!”
“Ubat ada tak?”
“Jangan menyibuk boleh tak?”
“Awak… saya cuma nak tolong awak aje! Kalau awak tak nak saya tolong tak apa. Tapi lepas ni kalau berlaku apa-apa jangan salahkan saya. Lagi satu… nanti kalau mama tanya, saya cakap…”
“Dalam laci meja tepi katil!” Dia memintas apabila telinga bingit mendengar leteran isterinya.
Ain tersenyum dalam diam. Tahu pulak nak mengalah. Haha! Orang cuma nak pancing dia aje tadi! Ain melangkahkan kaki ke tingkat atas lalu mencari ubat.

Perlahan… lemah lembut dan penuh perihatin dia menyapu ubat ke seluruh badan suaminya. Segan juga sebenarnya. Tapi… dia perlu lakukan semua itu. Tidak sampai hati apabila melihat suaminya tergaru-garu macam tu.
Sempat anak matanya memandang seraut wajah redup yang sedang menyapu ubat dengan penuh berhati-hati ke seluruh tubuhnya.
Tiba di kawasan muka, jantungnya tiba-tiba terasa berdebar. Berdebar apabila Ain memandang mukanya satu persatu. Rasa seperti sedang diperhatikan. Padahal, isterinya cuma ingin menyapu ubat ke mukanya.
Ain menahan perasaan. Jujur, jantung berdebar seperti ingin luruh. Melihat sepsang anak mata redup yang sedang memandang matanya, semakin jantungnya berdebar. “Pejam mata awak. Takut ubat ni masuk mata pulak.”
Iqram sekadar menurut. Sebenarnya dia takut untuk menentang sepasang anak mata yang sedang memandang mukanya.
Ain tersenyum kecil apabila Iqram menurut sahaja. Berdebar-debar jantungnya bila jari telunjuknya mula menyetuh pipi suaminya.
Iqram… dia benar-benar sempurna. Sepasang anak mata coklat cairnya itu benar-benar memukau. Hidung dia… mancung! Pipi dia… bersih! Tak ada jerawat pun. Bibir dia… terletak elok. Ada belahan kecil pada dagunya. Ya, kekacakkannya memang sempurna. Sebab itulah Dhiya pun boleh sukakan dia.
Hatinya terasa sesak di saat menyebut sepatah nama itu. Ya Allah… Kenapa aku selalu rasa sakit apabila menyebut sepatah nama itu. Iqram… awak betul-betul nak lepaskan saya kerana Dhiya? Awak betul-betul nak kahwin dengan Dhiya?
“Kat mana lagi?”
Terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba itu. “Apa?”
“Kat mana lagi nak sapu ubat ni?”
“Dah! Tak payah! Tempat lain aku boleh sapu sendiri.”
Ain tersenyum hambar sebelum mengangkat punggung dan berkira-kira untuk meninggalkan suaminya.
“Ain…” Iqram memanggil sepatah nama itu. Untuk apa, dia tidak pasti. Apa yang dia tahu, hati kecilnya tidak mahu Ain meninggalkan dia saat dan ketika ini.
“Hmm?” Dia menoleh semula.
“Tolong garukan belakang aku jap!”
Ain gelak kecil. Lah, ingatkan apalah tadi! Kaki dilangkahkan semula menghampiri suaminya. “Nak garu kat mana?”
Iqram tahan ketawa di dalam hati. Dia sengaja sebenarnya. Bukanlah gatal sangat pun. Kan dah sapu ubat. Tapi dia betul-betul rasa senang apabila Ain berada di sisinya. Terasa dekat dan… rasa terbawa-bawa perasaan bahagia.
“Sini ke?” Dia menggaru perlahan kat kawasan yang kelihatan merah.
“Bawah sikit.”
“Sini?”
“Atas sikit.”
“Sini ke?”
“Hah, kat situ! Garu kuat sikit. Tak rasalah.”
Ain mengerutkan muka sekejap. Rasanya dah kuat ni? Takkanlah tak rasa lagi? Kulit manusia ke kulit biawak ni? “Macam ni okey ke?”
“Kuat sikit lagi.” Bibirnya sudah tersengih lebar. Diikutkan hatinya, mahu sahaja dia meledakkan ketawa kuat. Tetapi ditahannya juga.
Ain mula perasankan sesuatu yang pelik. Dia ni sengaja main-mainkan aku ke apa? Bibirnya diketap geram sebelum jemarinya bertindak menggaru belakang tubuh suaminya dengan kuat. Nak kuat sangat, kan?
“Adoi!” Laju Iqram menoleh sambil kedua-dua belah tangannya menangkap kedua-dua belah pergelangan tangan isterinya. “Kau ni ikhlas ke tidak? Itu bukan garu namanya. Tapi cakar! Sudahlah kuku tu tajam macam kuku harimau!”
Anak matanya dikecilkan. Sepasang anak mata di hadapannya direnung tajam. Kuku harimau ya? Habis tu, kulit awak tu apa? Kulit biawak? “Kuku harimau ni hanya sesuai untuk menggaru kulit biawak, tahu tak? Sikit-sikit tak rasa. Buat macam tu baru rasa? Hmm?”
Iqram mencebik kecil. “Tak ikhlas langsung! Macam ni ke nak jadi isteri mithali?”
“Ya, memang tak ikhlas pun. Ikhlas tu dah terbang melayang bila orang tu sengaja nak main-main.” Kedua-dua belah tangannya cuba dirungkaikan daripada gengaman tangan suaminya.
Iqram mengemaskan gengaman tangannya. Tanpa sedar, kedua-dua belah tangan itu tertarik kuat ke arahnya apabila Ain juga berusaha keras untuk melepaskan gengaman tangan suaminya.
Ain yang tidak bersedia langsung dengan tindakan drastik itu terus terdorong rapat ke arah suaminya. Iqram pula, tanpa sedar memaut erat pinggang isterinya yang seakan-akan ingin terjatuh. Badannya bersentuhan rapat antara satu sama lain. Muka? Lagi satu inci nak bibir Iqram akan tercium pipi isterinya.
Kedua-dua pasang anak mata itu saling bersabung lama. Bertaut erat sehingga dada masing-masing diserang debaran yang menggila secara tiba-tiba. Tidak pernah! Dan ini adalah kali pertama mereka berdua berada dalam jarak yang dekat seperti ini.
Ain menelan liurnya perlahan. Takut! Jujur, hatinya takut. Takut terjatuh cinta dengan pandangan redup sepasang anak mata yang sedang memanah tepat pada sepasang anak matanya.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu



6 comments:

  1. amboi, hati mula berbunga cinta nampak. cakap pun dah mula lembut ni ngeee :)

    @rose aleyna ada awak ada fb tak? selalu sy share link AAUM ni. sebab best. ngeee next n3 please. serius best :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks sudi baca & komen.. =)
      Huhu...AAUM biasa2 saje... Thanks sangat2 sebab sudi share link kat fb...
      Tapi, maaf saya tak ada fb... =(

      Delete
    2. ala, yeke? erm xpelah mcm tu ngeee janji friend kat sini je. heee. nanti tag bila dah update yg baru ya

      Delete
    3. =)
      InsyaAllah... nanti bila update saya tag... tq

      Delete