Wednesday, May 6, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 1




BAB 1

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…

TIDAK lepas sepasang anak matanya melemparkan pandang ke arah seraut wajah seorang perempuan yang lecun dengan air mata. Sebentar tadi senyuman menghiasi bibirnya tatkala mendengar loceng rumah ditekan seseorang.
Ya, dia pasti yang muncul di hadapan rumahnya itu adalah Ain. Setelah dua bulan meninggalkan rumahnya, Ain balik juga. Ya Allah… Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia rindukan anaknya itu.
Namun, sebaik sahaja memandang seraut wajah yang basah dengan air mata itu, segala keceriaan dan kegembiraan berganti duka dan sedih. Puan Aryana terus terduduk sebaik sahaja mendengar satu berita buruk yang baru sampai ke telinganya.
Tidak berkelip anak matanya memandang seraut wajah gadis yang sedang teresak-esak menangis tidak jauh dari duduknya. Rasa sakit datang mencengkam jiwa. Rasa kecewa dan hampa. Semuanya bersatu di dalam jiwa.
Sampai hati anak-anak buat dia macam ni?
“Ma…Ain minta maaf, ma.” Dia sudah memeluk lutut mamanya sambil menangis teresak-esak.
 “Ain tak tahu, ma. Ain tak buat. Tapi Abang Rish…” Ayatnya tergantung di tengah jalan. Rasa sebak mencengkam jiwa. Melihat seraut wajah tua yang jelas kecewa itu, semakin hatinya diruntun rasa pilu. Makin dihempap dengan rasa bersalah yang membuak-buak.
“Ma… Ain… Ain…” Dia masih ingin bersuara. Tetapi seperti ada sesuatu yang menghalang kotak suaranya. Air mata yang meniis di pipi mama semakin membuatkan lidahnya kelu.
Dia sudah menceritakan segala-gala yang berlaku kepada mama. Sekarang ini, terpulang kepada mama sama ada ingin percayakan dia ataupun percayakan Farish. Dia buntu! Ini sahaja jalan yang dia ada. Harapan menggunung di dalam dada semoga mama memaafkan segala kesilapan yang telah dilakukannya.
“Mama… Maafkan Ain.”
Sebaik sahaja membuka pintu rumah, dia mendengar suara tangisan di ruang tamu. Iqram melajukan langkah kakinya ke ruang tamu. Suasana suram dan sepi itu membuatkan hatinya tertanya-tanya.
“Mama…” Sepatah perkataan itu disebut apabila melihat seorang gadis sedang memegang erat kaki mamanya yang sedang membelakanginya saat itu. Terkejut apabila melihat seraut wajah yang basah dengan air mata sebaik sahaja mamanya menoleh.
“Mama… kenapa?” Laju kakinya dilangkahkan menghampiri sekujur tubuh itu. Saat itu dia terpandangkan seraut wajah gadis yang sedang melutut sambil memeluk kaki mamanya itu. Dia?? Seraut wajah itu juga sedang dipenuhi dengan air mata dan esakan halus. Jadi dia yang menangis sampai dengar ke pintu tadi?
“Kenapa mama?” Siapa yang buat mama menangis sampai macam ni? Takkanlah perempuan ni? Mencerlung pandangan matanya ke arah perempuan yang langsung tidak mendongakkan wajah ke arahnya.
Sejak dulu lagi dia memang bencikan perempuan ini. Sejak dulu lagi, perempuan ini selalu membawa masalah dalam keluarganya. Entah apalah yang membuat mama terlalu sayangkan dia.
“Rish…” Hanya sepatah kata itu sahaja yang mampu dituturkannya.
Berkerut seribu dahinya apabila mama menyebut sepatah nama adiknya. Anak mata sempat melilau mencari kelibat Farish. Tak ada! Tapi kenapa pula mama sebut nama dia? “Kenapa dengan Farish, mama?” Perasan ingin tahu membuak-buak di dalam dadanya.
“Rish… dia dah buat perkara yang tak elok pada Ain.” Puan Aryana memilih untuk berterus-terang. Selain Iqram, siapa lagi tempat mengadunya? Nak mengharapkan Farish memang payah!
What?!” Kuat suaranya bergema memenuhi ruang tamu. Kali ini tajam pandangan matanya menikam seraut wajah yang masih menunduk itu. Oh, patutlah dia beria sangat menangis teresak-esak sampai macam tu sekali? Farish buat dajal pada dia? Tak mungkinlah! Aku kenal siapa Farish tu! Jangan-jangan perempuan ni sengaja buat cerita tak?
“Mana Farish, mama?”
“Mama tak tahu.”
Jawapan mama yang diselangi tangisan itu membuatkan dia melepaskan keluhan kasar. “Ram tak percaya Rish buat perkara macam tu, mama. Entah-entah… perempuan ni sengaja buat cerita. Entah-entah… bukan Farish. Tapi dia tuduh Farish.”
Ain mendongakkan mukanya. Terkejut mendengar patah kata yang terlafaz dari seulas bibir lelaki itu. Sampai hati dia cakap macam tu? “Abang… Ain tak tipu. Abang Rish yang…”
“Kau diam! Aku tak nak dengar sepatah pun perkataan keluar daripada mulut kau! Huh, aku tak tahulah apa masalah kau ni! Sejak kau muncul dalam keluarga aku, macam-macam hal jadi! Kau ni memang pembawa bala, tahu tak? Tak guna betullah!” Laju tangannya menumbuk dinding berhampiran, melepaskan rasa geram dan amarah yang yang membuak di dalam dada.
“Ram! Kenapa cakap Ain macam tu? Bukan salah Ain. Salah Rish!”
“Mama… Kenapa mama percayakan sangat budak ni? Ram tak percaya yang Rish akan buat perkara terkutuk tu. Ram kenal adik Ram macam mana orangnya. Perempuan ni… Dia sengaja buat cerita, mama!”
Laju Ain menggeleng kepalanya. Tak! Dia tak tipu! “Mama… Ain tak tipu, mama. Kalau mama tak percaya, mama tanya Abang Rish sendiri. Ain minta maaf, mama. Ain tahu… Ain dah banyak menyusahkan mama dan keluarga mama. Abang Farish… dan juga… Abang Iqram.”
“Kau jangan sebut nama aku, boleh tak? Kau tu memang menyusahkan aku pun!” Sekali lagi suara itu bergema kuat. Angin betul apabila perempuan itu berani menyebut namanya!
“Ram… jangan cakap macam tu. Jangan tinggikan suara pada Ain. Mama tak suka. Ain… bangunlah. Dari tadi lagi Ain macam ni. Mama tahu Ain tak salah. Mama percayakan Ain.”
Iqram mengetap bibir kuat. Sakit hati apabila mama seolah-olah terlalu percayakan patah kata perempuan itu. “Mama… Kenapa dengan mama ni? Dia ni dah memburukkan nama keluarga kita. Mama boleh nak bercakap baik-baik dengan dia lagi? Kenapalah mama suka sangat bela dia? Ram tak faham betullah!”
“Sebab dia anak mama. Sama macam Rish dan Ram.”
“Dia bukan anak mama! Dia cuma anak angkat! Anak pungut yang selalu menyusahkan keluarga kita!”
Ain mengetap bibir kuat. Setiap patah kata Iqram menusuk masuk tajam ke dalam dadanya. Ya, memang sejak dulu lagi Iqram tidak pernah menerima kehadirannya di dalam keluarga ini. Sejak dulu lagi Iqram memang suka cakap bukan-bukan tentang dirinya.
“Ram!! Mama dah cakap, kan? Jaga mulut, Ram. Mama tak suka Ram cakap bukan-bukan pasal Ain.”
Keluhan kasar dilepaskan. Sakit sungguh hatinya dengan perempuan di hadapannya itu. Kalaulah hukum membunuh itu tak berdosa, pastinya dia sudah membunuh dan mencincang lumat perempuan itu! Biar lenyap terus dari muka bumi ini. Tak adalah nak menyusahkan orang!
“Ram nak pergi cari Farish.” Dia terus mengatur langkah dan berkira-kira untuk keluar mencari Farish.
“Ram nak cari kat mana?”
“Tak tahu!”


AIN menyandarkan tubuh di atas katil. Anak matanya langsung tidak mahu lelap. Otak kecilnya pula berterusan berfikir. Memikirkan tentang nasibnya akan datang. Ya Allah… ampunilah segala dosa yang pernah aku lakukan. Sama ada sengaja ataupun tidak sengaja.
Sekali lagi… Untuk sekian kalinya, air mata jatuh lagi ke pipi. Satu persatu gambaran wajah ahli keluarganya terlayar di ruang mata.
Seraut wajah mama yang jelas kelihatan sedih. Air mata mama yang pertama kalinya dilihat mengalir pada seraut wajah itu. Maafkan Ain mama. Ain tak sengaja. Dan Ain tak sangka yang Abang Rish sanggup buat Ain sampai macam ni sekali.
Abang Rish… Kenapa abang buat Ain macam ni? Apa salah Ain pada abang? Sebab Ain tolak cinta abang, abangs anggup jatuhkan maruah Ain sampai macam ni sekali? Macam mana dengan masa depan Ain, abang? Pernah tak Abang Rish fikir?
Abang Iqram… Sungguh, dia benar-benar gerun untuk menyebut sepatah nama itu. Amarah Abang Iqram langsung tidak dijangkanya. Ya, Abang Iqram memang tidak pernah sukakan kehadirannya di dalam rumah itu. tetapi tadi, itu adalah kali pertama dia melihat riak kemarahan yang menyinga di wajah itu.
Ya, memang dia silap! Silap kerana melarikan diri daripada masalah sampai dua bulan lamanya. Melarikan diri daripada mama. Daripada Abang Iqram dan juga Abang Rish.
Sungguh, dia tidak berniat untuk lari daripada masalah. Keadaan yang membuatkan dia jadi seperti itu. Ketakutan dalma diri membuatkan dia takut untuk pulang ke rumah.
Salah Ain ke, mama?
Salah Ain ke, Abang Iqram?
Salah Ain ke, Abang Rish?
“Mama tak izinkan Ain keluar dari rumah ni selagi Iqram tak jumpa Farish. Mama nak kita berempat bertemu muka dan selesaikan perkara ni dengan kadar segera sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.”
“Ain tak faham. Apa maksud mama?”
“Kita selesaikan semua ni sebelum perut Ain nampak. Mama takut Ain mengandung.”
Ain memicit kepalanya perlahan. Pening! Pening bila teringatkan kata-kata mama itu. Jujur, dia juga risaukan perkara yang sama. Sebab itulah dia kembali semula ke rumah ini. Jika diikutkan hatinya yang terluka, mahu sahaja dia lenyap dan tidak kembali lagi ke sini.
Maafkan Ain, mama. Ain bukan suka-suka nak pindah keluar dari rumah mama. Ain pindah keluar bersebab. Ain benci Abang Rish. Dia jahat, mama!
Peristiwa lama terulang tayang kembali diingatannya. Walau sekuat mana dia cuba melupakan peristiwa itu, tetapi tetap terulang tayang. Sampai dia malu pada diri sendiri. Sampai dia rasa seperti tidak sanggup untuk hidup di muka bumi ini lagi.
“Ain… aku nak kahwin dengan kau!”
Tiba-tiba sahaja lelaki itu memeluk tubuh Ain yang sedang meletakkan gelas di atas rak. Ain pantas berpaling. Ya, dia memang kenal dengan pemilik suara itu. Pemilik suara mabuk yang suka pulang lewat malam. Sungguh, kalau dia tahu Farish akan balik ke rumah malam itu, memang dia tidak akan turun ke dapur.
“Kenapa dengan Abang Rish ni? Lepaslah!” Laju dia menolak tubuh lelaki itu. Bau pelik menusuk rongganya. Sungguh, dia tidak percaya yang Farish mabuk. Setahunya, Farish tak akan pernah minum arak walaupun dia selalu ke kelab malam.
Farish senyum. Di ruang matanya cuma ada Ain, Ain dan Ain. “Ain… aku nak peluk kau!” Sekali lagi Farish memeluk tubuh Ain.
Berkali-kali dia menolak tubuh itu, tidak berjaya juga. Sudahnya dia membiarkan sahaja Farish memeluk tubuhnya. Mungkin betul Farish cuma ingin memeluknya untuk seketika.
Tetapi dia silap. Tidak lama selepas itu, tangan Farish meliar. Meliar menyentuh seluruh tubuhnya. Puas dia mengelak. Tetapi pelukan Farish terllau kuat. Yang paling dia terkejut, Farish bertindak mencium seulas bibirnya.
Terkejut dengan tindakan lelaki itu, dia terus memijak kaki Farish. Apabila pelukan Farish longgar, dia terus menolak tubuh itu dan berlari meninggalkan Farish yang jatuh terduduk di atas lantai.
Rahsia malam itu tersimpan kukuh di dalam dadanya seorang. Tidak sanggup untuk mengaibkan diri sendiri jika mama dan Abang Iqram tahu tentang itu. Mulai hari itu juga, dia mula menumpang tinggal di rumah sewa kawannya. Pulangnya cuma sekejap-sekejap. Leteran mama dan Abang Iqram langsung tidak diendahkannya.
Bila Abang Iqram menghalaunya, dia terus bertindak untuk tidak pulang ke rumah mama. Sungguh, dia takut untuk berhadapan dengan Farish. Dia juga takut jika Farish ingat apa yang berlaku pada malam itu dan membocorkan rahsia itu kepada mama dan Abang Iqram.
Dua bulan dia tidak pulang ke rumah mama. Menangis mama dengan perangainya yang begitu. Telinganya pula bercupak-cupak mendengar leteran dan amarah Abang Iqram. Bila dia bercadang untuk pulang, dia terserempak lagi dengan Abang Farish di universiti.

Dan Abang Farish… Farish jahat! Farish dan rampas maruah dia. Dia bencikan lelaki itu!
Penat dia berfikir. Penat dia bertanya pendapat Syaf. Akhirnya, setelah dua bulan, dia memberanikan diri untuk pulang dan berterus-terang dengan mama.
Air matanya menitis jatuh lagi.
Syaf… Apa yang akan jadi pada aku nanti? Macam mana kalau kata-kata mama betul? Macam mana kalau aku mengandung, Syaf? Apa aku nak buat? Kahwin dengan Farish? Dia tak mungkin akan terima aku selepas apa yang jadi.
Kahwin dengan Yazid? Tak mungkin! Nak bagitahu dia tentang perkara ini pun aku takut. Apatah lagi nak ajak dia kahwin. Dia tak mungkin dapat terima buah yang sudah ditebuk tupai, Syaf.
Ya Allah… Apa yang akan jadi lepas ni? Aku benar-benar takut, Ya Allah. Takut dengan hukuman yang bakal aku terima di akhirat sana. Takut dengan kemungkinan yang akan berlaku. Takut dengan masa depan sendiri.
Apa pilihan yang aku ada, Ya Allah?

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

2 comments: