Tuesday, February 26, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 5


Lima

SELEPAS membancuh secawan milo panas, Hana melangkahkan kakinya menuju ke kamar tidurnya. Jarum jam sudah menunjukkan angka sebelas malam. Mana minah ni pergi? Tak reti-reti nak balik ke? Sudah dua kali dia cuba menelefon Kay Tee. Tetapi, satu pun panggilan tidak dijawab. Hujung-hujung minggu macam ni pun dia nak balik lambat jugak ke? Tak reti nak rehat ke perempuan ni? Hatinya membebel sendirian kerana terlalu banyak persoalan yang muncul di kepalanya.
Kerana terlalu bosan, Hana mencapai laptopnya yang diletakkan di dalam laci. Apa khabar agaknya peterpan? Sudah dua hari dia tidak mengirimkan emailnya. Sibuk ke dia? Kamarul pun sama! Langsung tak call. Takkanlah hujung minggu macam ni pun sampai tak ada masa nak call langsung, walaupun sekejap? Pesanan ringkas sms yang dihantarnya sebentar tadi pun tidak berbalas.
Tak mengapalah, Kamarul. Hana faham... Kamarul sibuk! Sengaja Hana memujuk hatinya sendiri dengan mengatakan bahawa Kamarul sibuk. Tetapi, jauh di sudut hati, hanya Allah saja yang tahu betapa dia cukup merindui Kamarul. Kamarul sememangnya seorang lelaki yang terlalu mementingkan kerjanya. Hara-harap, lepas kahwin nanti, dia akan berubah dan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga. Kamarul... tak rindu pada Hana ke? Tiba-tiba, hati wanitanya tersentuh.
Buat seketika waktu, bibirnya mengukirkan senyuman apabila nama peterpan muncul pada skrin komputernya. Ada juga teman yang boleh diajak berbual di saat aku kebosanan dan memerlukan seorang teman seperti ini. Terima kasih, peterpan.

‘HR... Dua hari ku menanti dikau muncul pada skrin komputerku! Tapi nampaknya, hatimu sekeras batu! Betul ke keras macam batu...?’

Hana tergelak kecil seorang diri. Entah apa-apa aje si peterpan ni. Ada aje yang nak dibuat lawaknya! Malam-malam macam ni pun dia boleh jiwang karat?! Sakit perut aku nak gelakkan dia ni!

‘Hai peterpan... Malam2 macam ni pun awak nak jiwang karat ke? Sorry... coz HR betul2 sibuk… Agak2 peterpan pun sama kan?’

Tidak sampai beberapa minit menanti, emailnya sudah berbalas.

‘Erm... mungkin... Tapi, saya selalu aje rindukan HR... hehee...’

Hana mencebik sendiri. Banyak la kau punya rindu! Mulut manis macam madu! Penipu betul!!

‘Peterpan.... Apa yang awak akan lakukan bila awak rindukan seseorang...?’

‘Kenapa HR..? Awak sedang rindukan seseorang ke..? Agak2 nya siapakah orang yang bertuah itu..? Sudah tentu bukan saya kan? Kalau saya lah... Saya akan sebut nama dia sebanyak mana yang saya mahu! @ pun, bila saya rindukan HR, saya akan tengok gambar HR berkali2 & saya akan terus hantarkan email @ berborak dengan HR semahu-mahunya...’

Hana mengerutkan dahinya. Gambar? Bila masa pulak aku bagi gambar kat dia?

‘Gambar..?’

Sepatah perkataan dipertanyakan kepada peterpan.

‘Ha..ha..haa... Dah takut ya...? Gambar tweety & gambar kucing comel...’

Hana tergelak besar membaca ayat yang dihantar oleh peterpan. Budak ni... nakal betul!!

‘Awak ni... ada-ada aje!’

‘Tapi gambar tu memang betul2 comel... Tapi kan HR, orang kata... kalau kita kat sini rindukan seseorang, orang kat sana pun sebenarnya turut rindukan kita... X percaya..? Tunggulah! Kejap lagi orang yang rindukan awak tu akan call awak..’

Hana sekadar senyum. Tersentuh hati kecilnya. Peterpan memang seorang penasihat yang baik. Dia juga pandai mengambil hati orang dan juga pandai menenangkan orang yang dalam keresahan. Semoga suatu hari nanti, kami akan dapat bersua dan berbual bersama-sama face to face.

‘Peterpan… awak memang seorang sahabat yang baik. Awak tahu…? Tadi saya betul2 rasa resah! Sangat2 resah. Tapi bila dapat berbual dengan awak, saya dah ok. Cuma saya harap sangat, orang yang saya rindukan itu betul2 akan call saya nanti…’

‘HR, ‘dia’ betul2 seorang yang bertuah kerana dapat memiliki awak. Sebagai seorang sahabat, saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan sahabat saya ini. Tapi, naik pelamin nanti, jangan lupa jemput saya tau… Okeylah! Sekarang, saya ada kerja… Ada masa nanti, kita sembang lagi ya..? Selamat malam… Jumpa lagi… Miss u…’

Hana tersenyum seorang diri. Kemudian jemarinya bergerak semula menaip di keyboard.

‘Terima kasih… Selamat malam… Have a nice sleep…=)’

Hana mengeluh sekejap. Kenapa hari ni, cepat benar dia keluar malam ni? Tak macam selalu, bertanya itu dan ini sampai aku sendiri tak terlarat mahu menjawabnya. Ah, apa-apa pun dia memang seorang sahabat yang baik.
Beberapa minit selepas itu, Hana terdengar seperti jeritan telefon bimbitnya yang sedang menyanyi enak. Kat mana ya? Barulah dia teringat, telefon bimbitnya diletakkan berhampiran televisyen di ruang tamu. Terus sahaja kakinya berlari-lari anak dari bilik atas menuju ke anak tangga untuk ke ruang tamu. Tetapi, belum sempat dijawabnya panggilan itu telah mati. Ada tiga panggilan tidak dijawab.
Untuk sekejapan waktu, bibirnya mengukirkan senyuman setelah membaca nama yang tertera pada telefon bimbitnya itu. Betul kata-kata peterpan. Orang yang kita sedang rindu sebenarnya juga sedang merindukan kita. Baru sahaja tangannya mahu mendail semula nombor telefon Kamarul, telefon bimbitnya berbunyi nyaring sekali lagi.
“Hello, assalamualaikum.” Lebar senyuman di bibirnya sebaik sahaja mendengar suara Kamarul.
“Waalaikummussalam. Hana, kenapa lambat angkat phone? Pergi mana?”
“Hana baru sudah solat Isyak. Telefon ada kat bawah. Tak sempat nak lari-lari.” Hana menarik nafas sekejap. Penat berlari turun dati tingkat atas.
“Lewatnya solat. Tengah buat apa?”
Ada nada kemusykilan pada suara Kamarul. Erm… sememangnya Kamarul seorang yang kuat cemburu! Hana tersenyum seketika. Kata orang, cemburu tandanya sayang! Sayang lah tu…!
“Tak ada buat apa-apa pun. Saja duk baring-baring. Tunggu Kay Tee balik.” Sengaja Hana tidak menceritakan mengenai peterpan kepada Kamarul. Fuh, nak mampus kalau Kamarul tahu?! Biarlah hal itu menjadi rahsia antara kami. Lagipun, Hana sudah berjanji pada dirinya sendiri, selepas dia bertunang dengan Kamarul, tamatlah perhubungan antara HR dan peterpan.
Bukan mahu memutuskan hubungan siraturahim antara manusia, tetapi untuk menjaga hati mana-mana pihak yang terlibat. Hana sudah berjanji untuk terus menjadi Hana yang setia… Setia pada cintanya terhadap tunang dan bakal suaminya. Iya..! Hanya Kamarul satu-satunya insan yang amat dicintainya.
Maafkan aku peterpan… Aku tahu, kau memang seorang sahabat yang baik. Jasa dan kebaikkan mu akan sentiasa aku kenangi dalam memori aku selamanya. Harapan dan doaku, semoga kau juga berbahagia bersama insan yang kau sayangi.
            “Hana… Saya tanya awak ni…”
Hana tersentak seketika apabila mendengar suara garau itu. Ya Allah… Aku mengelamun apa pulak ni..?! “Apa? Apa awak tanya tadi? Saya tak berapa dengarlah! Line tak clear rasanya!”
“Saya tanya awak, selalu ke Kay Tee balik lambat?”
Hana tersengih-sengih sendiri. Kesian Kamarul! Entah apa-apa aje aku ni! “Oh… tak jugak! Tapi, dia memang seorang yang suka kerja kuat. Awak sendiri kan tahu, dia seorang pekerja yang rajin.” Seketika, telinga Hana menangkap bunyi deruan kereta dan cahaya lampu kerata yang menyusur di hadapan rumahnya. Sekejap itu, terdengar pula bunyi pintu pagar dibuka. Jam di dinding ditoleh sekilas pandangan. Sudah jam 12.20 pagi.
“Kamarul… Agaknya Kay Tee dah balik ni. Sekejap ya, Kamarul. Saya nak bukak pintu sekejap.”
“Erm… tak mengapalah, Hana. Kamarul pun dah mengantuh dah ni. Esok ada meeting. Okeylah, jaga diri elok-elok. Yang penting, jangan lupa rindukan Kamarul, ya? Miss you so much! Good nite.”
Hana sedikit terpinga-pinga. Cepatnya Kamarul ingin mengundur diri. Rasa-rasanya, belum terubat lagi rindu yang terpendam di hati ini. Tapi… Tak mengapalah! Hana faham. “Hmm… Okeylah Kamarul. Kalau tak busy, call Hana ya? Hana pun rindukan Kamarul. Have a nice sleep. Take care. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”
Buat seketika, Hana hanya mampu berdiri kaku memandang telefon bimbitnya. Hati kecilnya berusaha memujuk diri sendiri yang terasa tersinggung sebentar tadi. Tak apalah, Hana..! Kamarul memang sibuk! Jangan risau sangat. Tak lama lagi, kami akan tetap bersama membina hidup bahagia! Hana tersenyum sendiri.
Sekejap itu, barulah dia teringatkan Kay Tee yang sedang berada di luar rumah. Terus kakinya dilangkahkan laju membuka pintu rumah. Terjengul seraut wajah kepenatan Kay Tee. Erm… betul-betul nampak penat! “Penat..? Lambatnya balik… Nak air?”
Kay Tee menoleh sekilas. Sedaya upaya, senyuman cuba diukirkan kepada Hana. “Tak tidur lagi?” Terus sahaja punggungnya dilabuhkan di sofa berhampiran untuk melepaskan penat untuk berapa ketika. Dia betul-betul penat hari ini!
            Hana turut melabuhkan punggungnya di sebelah Kay Tee yang sudah memejamkan matanya sekejap. “Tadi, tak mengantuk. Itu yang tidur lambat. Kau nak air?”
            Kay Tee membuka matanya sekejap dan kemudian menggelengkan kepalanya. “Aku dah minum air tin tadi.”
            “Kau nampak penat semacam aje..?” Hana sekadar bertanyakan sahabatnya yang nampak penatnya yang teramat sangat itu.
            Kay Tee membuka matanya sekali lagi, memandang Hana. “Hana... Aku laparlah! Ada apa-apa yang boleh dimakan tak?”
            Hana membulatkan matanya sekejap. “Kau belum makan lagi? Aku tak masak apa-apa pun! Tapi... meggi ada. Kau pergi mandi dulu. Nanti aku masakkan meggi.”
Kay Tee tergelak kecil sekejap. Perempuan ni... Tak habis-habis dengan meggi! “Meggi pun meggilah! Perisa ayam, tau! Special!”
            “Aku tahu...!” Hana sudah masak benar dengan meggi kegemaran teman serumahnya itu, perisa ayam. Setiap kali buat meggi, dah pasti nak meggi perisa ayam. Berbeza dengan dirinya yang hanya menggemari meggi berperisa tom yam. Tidak pernah jemu! Sebab itulah stok meggi di rumah mereka lebih banyak yang berperisa ayam dan tom yam. Biasalah... Orang bujang! Kalau malas nak masak makanan yang berat-berat, meggi pun bolehlah!
            Hana terus melenyap ke dapur, sementara Kay Tee pula terus melangkah ke biliknya untuk membersihkan dan menyegarkan badannya yang kepenatan!  

Friday, February 22, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 4


Empat
                                                                                           
TALIAN telefon bimbitnya dimatikan. Satu pandangan kosong yang langsung tidak memberikan apa-apa makna itu dilemparkan ke arah telefon bimbit di tangannya. Kemudian, telefon bimbitnya itu di letakkan semula di atas meja. Sesekali, hati wanitanya terasa tersentuh dan berkecil hati. Sibuk benarkah dia? Begitu sibukkah?
Sudah hampir lima hari Kamarul langsung tidak menghubunginya. Pernah beberapa kali Hana cuba menelefon telefon bimbit Kamarul. Tetapi, semuanya hampa! Kadang-kadang taliannya sibuk. Ada juga Kamarul seperti sengaja mematikan talian. Entahlah! Mungkin dia benar-benar sibuk. Tetapi... tiadakah sekelumit rindu di hatinya terhadap aku..?
Jarak yang jauh menyebabkan dirinya terasa betul-betul jauh daripada Kamarul. Dua minggu, bukan satu jangka masa yang singkat! Betul kata orang, penantian itu suatu penyiksaan! Ah, tak mengapalah! Dua bulan nanti, dia akan sentiasa berada di samping Kamarul sebagai isterinya.
Alangkah bahagianya hidup di alam berumah tangga! Dan nanti... aku akan melahirkan anak-anak yang comel-comel dan baik hati. Ah… bahagianya! Hana mula tersenyum-senyum sendiri apabila memikirkan kebagiaan yang akan dikecapinya tidak lama nanti. Hidup bersama orang yang dicintai dan mempunyai keluarga yang bahagia sepanjang hayat! Betul tu! Kalau nak bahagia, dalam percintaan kita haruslah berfikiran positif kepada orang yang kita cintai. Jangan cepat berprasangka kepadanya! Tak mengapalah Kamarul... Hana tahu, Kamarul sibuk...! Sengaja dipujuk sendiri hati wanitanya.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     
“Hana, tak keluar makan ke?”
Hana sedikit tersentak dengan lamunanannya apabila ditegur oleh satu suara. Kepalanya dipusingkan ke arah orang yang sedang menegurnya itu. Secalit senyuman terukir di bibirnya apabila memandang raut wajah itu. “Kejap lagi lah. Mana Fazy?” Hana menggerakkan anak matanya melilau mencari seraut wajah Fazy. Biasanya, di mana ada Nazrin, di situlah juga ada Fazy. Kedua-dua teman satu pejabatnya ini seringkali digosipkan kerana keakraban meraka berdua.
“Fazy pun cakap, kejap lagi. Berpakat ke?” Nazrin melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan meja Hana.
Hana sekadar tersenyum memandang sahabatnya. “Kalau macam tu, duduklah dulu, Naz. Kita tunggu Fazy dulu ya?”
Nazrin sekadar mengangguk perlahan. Tangannya sudah bermain-main di atas meja Hana. Sebatang pen dicapai, dan menulis sesuatu pada kertas kosong yang diambilnya daripada kotak berhampiran.
Hana yang memandang tingkahlaku Nazrin menggeleng-gelengkan kepalanya. Nazrin... Nazrin... Tangan tu memang tak boleh nak duduk diam! Ada saja bende yang nak dipegangnya!
Sekejap itu, Nazrin menghulurkan kertas yang dicontengnya tadi ke arah Hana. Hana mengangkatkan keningnya, bertanya. Tangannya tetap menyambut huluran kertas yang dihulurkan oleh Nazrin itu dan terus membacanya.

‘Abg awk blom balik lg ke?’

Hana tersenyum memandang kertas itu dan kemudian memandang ke arah Nazrin sekejap. Ooh, nak main sms melalui kertas ya! Okey, no hal! Tangannya mencapai sebatang pen yang tersusun elok di dalam bekas yang terletak di atas mejanya. Terus sahaja dia mencoretkan sesuatu pada kertas itu.

‘Sy anak sulong… jd sy x ada abg.’

Nazrin menyambut semula huluran kertas daripada Hana dan membaca coretan yang ada pada kertas itu. Terbit gelakan kecil di bibirnya.

‘Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu... Iya, sy tahu awk anak sulong. Abg Kamarul blom balik lg ke? Lamanya kat overseas...! x takut kena kebas org ke?’

Dihulurkan semula kertas itu kepada Hana.
Hana mengerutkan dahinya sekejap. Tetapi, dia tetap membalas coretan kertas itu.

‘Overseas...?’

Nazrin tersenyum-senyum sendiri. Tangannya laju semula menulis sesuatu pada ketas yang sama.

‘Iyalah, overseas... Pulau Pinang kan overseas jugak..=)’

Hana tergelak membaca patah perkataan itu. “Sudahlah, Naz! Awak ni, ada-ada aje nak kenakan orang!”
Nazrin mengerutkan dahinya dan berpura-pura membuat muka tidak bersalah. “Isyh, mana ada! Saya tanya aje.”
“Pandailah awak!” Hana sekadar menjeling ke arah Nazrin.
“Memang saya pandai pun. Kalau tidak, macam mana dah lepas universiti dengan cemerlang!” Nazrin tersengih-sengih memandang Hana. Saje nak puji diri sendiri! Kalau kita tak puji diri sendiri, siapa lagi yang nak memuji kita..?!
Hana tergelak kecil. Macam-macam! Cakap, tak pernah nak mengalah!
“Hai, seronok berborak?”
Sapaan suara itu membuatkan kedua-dua mereka menoleh serentak. Sebaik sahaja memandang seraut wajah itu, Hana terus sahaja mematikan senyuman dan mengalihkan pandangannya ke arah skrin komputer di hadapannya. Sungguh, hatinya tidak suka dengan lelaki ini. Siapa tak kenal dengan Anuar, playboy besar dalam ofis ni! Pada mulanya, Hana tidak kisah untuk bertegur sapa dengan Anuar.
Tetapi sejak kebelakangan ini, pandangan dan lirikan mata lelaki itu menimbulkan rasa takut dalam dirinya. Ditambah lagi, matanya sendiri pernah beberapa kali menyaksikan perkara yang tidak senonoh dilakukan oleh lelaki itu. Lagilah hatinya tidak dapat menerima lelaki itu sebagai seorang kawan! Pernah beberapa kali Hana ternampak Anuar bercumbuan dengan wanita bukan muhrim di dalam keretanya sewaktu Hana menuju ke tempat parking di bahagian belakang bangunan tempat kerjanya. Kalau Kay Tee terlambat, biasanya dia akan menunggu di situ. Peliknya, wanita yang bersama Anuar itu, bukanlah wanita yang sama. Lain hari, lain orangnya!
Kerana perkara-perkara seperti itu, Hana membuat tafsiran sendiri bahawa lelaki ini tidak ikhlas dengan perhubungan yang dijalinkan. Hana paling benci pada lelaki yang berkelakuan seperti itu!
“Tak ada apa pun yang dibualkan. Borak-borak kosong sebelum keluar makan.”
Nazrin yang sememangnya seorang peramah, menjawab pertanyaan Anuar yang sudah mula bertenggek di meja Hana. Anuar menganggukkan kepalanya dan sesekali mengetuk-ngetuk permukaan meja. Beberapa kali, anak matanya dilirikkan ke arah sekujur tubuh Hana yang seolah-olah langsung tidak sudi memandang ke arahnya.
“Naz, saya nak ke toilet kejap. Nanti tunggu kat bawah ya?” Tanpa menunggu jawapan Nazrin, Hana terus mencapai handbag dan terus melangkah meninggalkan meja itu. Hatinya meluat dengan pandangan tajam Anuar! Benci!!


HANA menoleh sekilas ke arah jam di pergelangan tangannya. Alamak! Dah pukul 4.45 petang dah! Lupa... hari ni, Kay Tee akan menjempunya lebih awal sepertimana yang dijanjikan. Cepat sahaja Hana mengemas barangnya dan menutup suis komputernya.
Biasanya, Hana akan melangkah keluar dari pejabatnya dalam lingkungan jam enam petang kerana tidak mahu bersesak berebut-rebut lif dengan orang ramai yang turut sama mahu pulang ke rumah. Biarlah lambat. Asalkan tidak tersempit di tengah-tengah orang ramai macam tu. Dahlah bersama-sama dengan bermacam-macam bau yang kurang menyenangkan! Eee... tak sanggup aku!i ni, nak tak nak terpaksa jugak. Takkan nak biarkan Kay Tee menunggu lama-lama kat bawah tu. Dia pun ada kerja yang nak dibuatnya! Nasib badanlah!
Malang! Memang betul-betul malang! Sebaik sahaja kaki kanannya melangkah masuk ke perut lif, sepang lagi kaki turut melangkah memasuki lif yang sama. Hana mendongak seketika ke arah raut wajah itu. Satu senyuman yang dipaksa-paksa, dilemparkan jua kepada lelaki itu. Sungguh, dia pantang benar dengan lelaki ini. Betul-betul tak suka!
Keadaan di dalam perut lif yang sesak itu, dirasakan semakin sesak dengan kehadiran Anuar di sisi kanan Hana! Memang terlalu rapat. Hana benci dengan keadaan seperti itu! Waktu yang berlalu pada ketika itu dirasakan sangat lambat berlalu! Sesekali anak matanya melirik tajam ke arah lelaki itu dengan harapan semoga lelaki itu memahami keadaannya dan mengetahui bahawa dia tidak suka diperlakukan seperti itu! Namun, hati lelaki itu terlalu keras dan langsung tidak mahu memahami dirinya. Hati Hana terasa semakin sakit apabila melihat renungan tajam yang dilemparkan oleh lelaki itu kepadanya. Apatah lagi ada senyuman nakal yang terbit di bibir lelaki itu. Bencinya aku..!
Hana semakin rimas apabila lelaki itu seolah-olah melangkah rapat ke arahnya. Di dalam hati, Hana berdoa sendiri semoga Allah melindunginya daripada sebarang perkara buruk. Sekejap itu, Hana mendongakkan kepala apabila terasa tangan lelaki itu sudah berani berlingkar di pinggangnya. Memang Anuar dah betul-betul gila! Hendak ditepis, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia tersepit di tengah-tengah orang ramai itu!
Sebaik sahaja pintu lif terbuka luas, Hana terus menghayungkan kakinya melangkah keluar daripada kesesakan itu. Dia mempercepatkan langkah apabila terasa seolah-olah ada langkah kaki yang sedang menapak mengikutinya. Namun, Anuar turut mempercepatkan langkahnya seiringan dengan Hana.
“Hana... Kenapa laju sangat ni? Nak kejar apa?”
Hana sekadar membisu dan semakin mempercepatkan langkahnya. Dia benci lelaki ini. Sebenarnya, dalam hatinya lebih kepada rasa takut yang meruap-ruap! Matanya melilau-lilau di persekitaran di hadapannya dengan harapan dapat mencari wajah-wajah yang dikenalinya. Tetapi, dia hampa! Di situ, tiada siapa-siapa yang dikenalinya! Apa aku nak buat sekarang...?
“Hana... Kita keluar makan sama-sama boleh?”
Hana mencebik! Keluar makan dengan kau? Jangan harap, Anuar! Aku bukan seorang perempuan yang senang-senang untuk diajak ke hulu ke hilir seperti perempuan lain. Apatah lagi keluar dengan buaya darat macam kau! Lagilah, tak akan! Namun, kata-kata itu hanya berada di dalam hatinya. Biarlah ia terbuku di situ!
“Maaflah, Anuar. Saya sibuk!” Hana langsung tidak menoleh ke arah Anuar, sebaliknya terus meneruskan perjalanannya.
Patah kata yang dituturkan oleh Hana menimbulkan rasa geram dalam hati Anuar. Sejak dulu, Hana selalu bersikap acuh tak acuh terhadapnya. Dia sendiri tidak pasti, kenapa Hana kelihatan terlalu membenciinya walaupun dia sedaya upaya cuba berbaik dengan perempuan itu.
Tiba-tiba Hana terasa tangannya ditarik kasar. Hana menoleh ke arah Anuar dan cuba merentap semula tangannya daripada gengaman lelaki itu. Tetapi, tangan itu dipegang kemas sehingga menyakitkan pergelangan tangannya.
“Hana, kenapa kau sombong sangat dengan aku?”
Walaupun tidak kuat, tetapi nada suara Anuar jelas kedengaran keras di telinga Hana. Hana tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya terus cuba melepaskan gengaman tangan itu.
“Jawab soalan aku, Hana!”
“Kau ni kenapa, Anuar?” Suara Hana mula meninggi kerana sakit hati dengan tingkah laku Anuar. Sesuka hati dia aje nak pegang tangan anak dara orang! Sememangnya dia paling benci dikasari seperti itu!
“Sepatutnya, aku yang tanya kau, kenapa?!”
Pandangan tajam Anuar terhadapnya, menimbulkan debaran yang kuat di dalam hati Hana. Hana mengalihkan pandangan dan sekali lagi dia mencari-cari raut wajah yang dikenali atau yang boleh dipercayai. Untuk sekejapan waktu, anak matanya tertangkap ke arah seorang lelaki yang kebetulannya sedang melangkah menuju ke arah pintu yang bertentangan dengannya. Nampak macam muka baik! Hati Hana tersenyum kelegaan.
“Dah lah, Anuar. Saya nak balik dengan kawan saya. Tangannya meleraikan pegangan tangan Anuar yang sudah longgar itu dan kakinya terus dilangkahkan dua langkah ke arah lelaki yang sedang melalui sebelah mereka itu. Dia bertindak berani dengan menarik lengan lelaki itu perlahan. Walaupun begitu, anak matanya langsung tidak memandang ke arah lelaki yang tidak dikenalinya itu. Bimbang juga, kalau-kalau dia disalah ertikan oleh lelaki itu. Niatnya cuma untuk mengelak daripada Anuar. Hati Hana tersenyum sendiri apabila melihat lelaki yang kelihatan agak terkejut itu sekadar mengikut arah kakinya.
“Anuar... Ni Fazrul, kawan saya. Saya akan balik dengan dia. Maafkan saya. Kami balik dulu. Assalamualaikum.” Sempat lagi Hana berlagak baik memberi salam kepada Anuar. Fazrul..? Biar benar aku! Tu kan nama kawan Kay Tee... Apasal pulak aku boleh sebut nama tu? Tapi... apa nama lelaki ni? Lantaklah! Hari ni, nama awak Fazrul, okey? Jangan marah...! Tangannya masih lagi menarik tangan lelaki yang berkemeja lengan panjang itu mengikut langkahnya.
Bila terasa jaraknya dengan Anuar agak jauh, Hana menoleh semula ke belakang. Dilihatnya, Anuar sedang berbual-bual dengan seorang perempuan. Entah siapa perempuan itu, Hana tidak tahu. Huh, dasar buaya darat! Tetapi, ketika ini Hana sudah terasa lega apabila terlepas dari mulut buaya! Sekurang-kurangnya dia tidak menjadi mangsa Anuar. Kesian perempuan tu! Harap-harap dia tidak tertipu dengan janji manis Anuar.
Sekejap itu, barulah dia teringat bahawa dia sedang memegang tangan seorang lelaki. Perlahan-lahan, dia melepaskan pegangan tangannya pada lengan lelaki itu. Takut-takut dia mendongak memandang raut wajah yang belum sempat ditengoknya dengan teliti sekejap tadi. Berdebar-debar hati Hana apabila lelaki itu tidak berkelip memandang ke arahnya. Harap-harap, dia seorang lelaki yang baik hati. Atau... adakah dia marah dengan tindakan aku memegang tangannya tadi? Apatah lagi, aku dah bagi nama Fazrul pada dia! Perlahan-lahan Hana mengalihkan pandangannya bersama wajah pucatnya itu.
“Err.. Maaf! Terima kasih, sebab encik sudi tolong saya.” Hana semakin tidak keruan apabila lelaki itu terus diam membisu dan masih merenung raut wajahnya. Hana semakin serba salah! Tapi... aku rasa aku macam pernah jumpa lelaki ni. Tapi di mana, ya? Segaknya dia!
Anak mata lelaki itu menusuk tepat ke dalam anak matanya. Kenapa pandang saya macam tu? Hana bertanya kepada hatinya sendiri! Tiba-tiba jantung Hana terasa berdetak lebih pantas. Bukannya debaran yang disebabkan ketakutan. Tetapi, debaran yang disebabkan oleh perasaan asing yang tiba-tiba menerpa ke hatinya! Ya Allah... Kenapa dengan aku ni?
“Erm... Terima kasih, ya? Jumpa lagi!” Hana bingung! Tidak tahu apa lagi yang patut diperkatakannya. Akhirnya, dia terus berlalu meninggalkan lelaki yang kelihatan masih leka merenungnya itu. Kenapa renung aku macam tu? Cantik Sangat ke aku ni? Ada macam muka Siti Nurhaliza? Tak pun, macam muka Maya Karin ke? Kalau ada macam tu, bertuahnya aku.
Tak betul agaknya! Hana menjungkit bahunya sendiri. Sekejap itu, dia tersenyum sendiri! Sekarang aku pulak yang jadi tak betul!! Nasib kaulah Fazrul... Aku pinjam nama kau! 

Ku Rela Menanti Pasti 3


Tiga

JAM pada dinding ditoleh sekilas, 9.45 malam. Selepas solat Isyak dan melipatkan telekung sembahyang, Hana mengatur langkah ke dapur. Anak matanya tercari-cari meggi tom yam kegemarannya yang selalu sahaja diletakkannya di dalam kabinet tinggi di dapur itu. Daun pintu kabinet kecil itu diselak dan matanya mencari meggi yang dicarinya tadi. Alamak! Dah habis rupanya. Hana memandang semula ke arah perutnya dan kemudian perutnya itu digosok-gosok perlahan. Dari tadi, perut ni asyik berbunyi meminta diisikan dengan sedikit makanan.
Nak masak? Petang tadi, Kay Tee dah pesan supaya jangan memasak petang ini. Katanya, dia akan belikan makanan. Lambat pulak minah ni balik! Nasib baik aku tak ikut kau balik tadi. Kalau tidak... dengan aku sekali akan balik rumah lambat macam ni! Dahlah esok, pagi-pagi lagi udah nak balik ke Kuantan! Lambat-lambat macam ni, perut aku boleh kempunan tau! Sekarang ni pun, perut ni bukan main enak lagi berlagu menyanyaikan lagu warkah berlagu pilu kerana pilu tidak mendapat sebarang makanan yang diisi oleh tuannya! Kesian kau perut... Sabar ajelah ya? Hatinya membebel-bebel sendiri apabila Kay Tee tidak menepati janjinya untuk balik awal pada hari ini.
Selepas membuat secawan milo, kakinya dilangkahkan semula ke arah biliknya. Laptop di atas meja dicapainya dan dihidupkan. Seperti biasa, sebaik sahaja laptopnya dipasang, anak matanya akan sibuk mencari kiriman email daripada sahabat internetnya. Tak lain tak bukan, itu pastilah ‘peterpan’. Namun, dia hampa! Peterpan langsung tidak mengirimkan email kepadanya pada hari ini.
Sibuk benarkah dia? Hana berfikir sendirian. Nak hantar email...atau tak perlu hantar? Dia berkira-kira sendiri sama ada mahu bertanyakan khabar peterpan ataupun tidak. Argh..tak payahlah! Kalau dia ingatkan aku, dia akan hantar juga emailnya walau sesibuk manapun dia.
Itulah sikap yang ada pada Hana. Dia tidak suka memulakan bicaranya terlebih dahulu. Tetapi, dia bersedia untuk menerima bicara orang lain terlebih dahulu. Ataupun, dengan kata yang betul tidak mahu menganggu ketenteraman orang lain. Betul ke tu..? Betullah agaknya! Mungkin peterpan sedang sibuk benar... Macam Kamarul...!
Kamarul...? Erm... sibuk benar dia sampai langsung tak sempat nak hantar mesej walaupun sekadar sapatah kata. Terbit keluhan kecil di bibir Hana. Sesekali hati wanitanya tersentuh dengan sikap Kamarul yang kadang-kadang semacam senjaga membiarkan dirinya menanggung beban rindu yang teramat sangat seorang diri.
Tapi Hana faham! Sedaya upaya, Hana cuba memujuk hati kecilnya dengan mengatakan bahawa Kamarul sedang sibuk dengan kerjanya. Sudah dua hari Kamarul berada di Pulau Pinang. Sudah dua hari juga Hana langsung tidak mendengar sebarang khabar darinya. Entahlah! Moga Kamarul selamat dan sihat-sihat saja di sana.  
Selepas membalas beberapa email yang diterimanya daripada rakan-rakan, Hana terus menutup laptopnya. Terus sahaja badannya direbahkan di atas katil. Untuk seketika waktu, dia memandang lama ke arah telefon bimbitnya yang berada di atas meja kecil berhampiran dengan katilnya. Tangannya mencapai telefon itu dan anak matanya mula membaca beberapa mesej lama yang dikirmkan oleh Kamarul. Entah kenapa, di saat bersendirian seperti ini, hatinya terasa seperti sangat merindukan Kamarul. Membaca mesej-mesej lama dapat mengubatkan sedirkit penyakit rindu yang bermukim di hati. Ada senyuman kecil terukir pada bibir kecil itu.


HAI, assalamualaikum.”
            Hana meletakkan buku yang dipegangnya di atas meja dan kemudian kepalanya ditoleh ke arah suara yang memberi salam. Untuk sekejapan waktu, anak matanya bertembung dengan sepasang mata yang sejak akhir-akhir ini seringkali menganggu dan menggetarkan hati wanitanya. Tiba-tiba terasa degup jantung mula berdetap-detap, mahu berdegup dengan lebih pantas. Semakin kencang debaran di dada apabila panahan mata lelaki itu tepat menerjah ke dalam matanya.
Apa tidaknya... Inilah jejaka yang selalu dipujanya dalam diam! Ya, memang selama ini dia sedang memendam perasaan terhadap lelaki itu. Tiba-tiba, tanpa disangka, jejaka itu sedang berdiri di hadapannya dan sedang memberi salam kepadanya.
Selama ini dia langsung tidak pernah mengenali lelaki itu, walaupun dia belajar di universiti yang sama. Cuma, satu kebetulan yang kerap kali terjadi, mereka sering kali terserempak di perpustakaan. Selalu sahaja matanya dan anak mata lelaki itu bertaut pandang.
Pernah suatu perkara yang membuatkan diri dan jantungnya bergetar hebat, lelaki itu telah menyelamatkan Hana ketika terjatuh dari tangga sewaktu sedang bertolak-tolak berebut-rebut menaiki bas. Ketika itu, Hana sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Apa yang dirasakannya adalah badannya akan jatuh gedebuk macam nangka busuk di atas bumi.
Namun, tanpa disangkanya, ada tangan kasar yang pantas sahaja memaut bahunya dan menyelamatkan dirinya daripada tunduk menyembah bumi. Di saat itu, anak matanya terpaku lama memandang ke arah lelaki yang telah menyelamatkannya. Dan lelaki itu adalah lelaki yang sama, yang juga kerap kali terserempak di perpustakaan. Sedar tidak sedar, dia sudah berada di dalam pelukan lelaki itu.
“Awak okey?”
Pertanyaan itu membuatkan Hana terpinga-pinga untuk sekejapan waktu. Apa kes aku ni... Kenapa pandang dia lama-lama?! Takkanlah jatuh cinta pandang pertama. Eh, bukan pandang pertama ni. Dah banyak kali terpandang masa kat perpustakaan. Darah panas terasa menyerbu ke mukanya. Malunya aku! Ketika itu, Hana sekadar mengangguk dan terus melangkah semula ke arah bas tanpa mengucapkan terima kasih kepada lelaki yang telah menyelamatkannya itu. Mungkin kerana perasaan terkejut dan perasaan malu bercantum menjadi satu, membuatkan Hana tidak mampu berfikir dengan baik.
Kali ini lelaki itu sedang berada di hadapan matanya. Hana gugup sendirian. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus menerus memandang lelaki itu. Dia cuma tersedar apabila lelaki itu mengangkat sebelah keningnya seperti bertanya sesuatu.
“Boleh saya duduk sini?” Lelaki itu masih memandang dalam ke dalam anak matanya.
“Err... Duduklah.” Hana mengalihkan pandangan ke arah bukunya. Waduh... Lagaknya macam malu-malu kucing! Yang membingungkannya, satu habuk isi kandungan buku itu tidak sampai ke otaknya. Kenapa dengan aku ni? Macam mana aku boleh jadi kalut macam ni? Kenapa gementar semacam aje ni? Sedaya upaya Hana cuba berlagak tenang dan pada masa yang sama dia berusaha menenangkan dirinya sendiri. Selepas kejadian lalu, dalam diam Hana mula menyimpan perasaan kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu. Yang tahu, hanya Hana dan Kay Tee.
Hana memandang sekejap ke arah lelaki yang sudah mula melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengannya. Tepat pada masa itu, lelaki itu sedang asyik merenungnya. Hana semakin resah dan gelisah! Panahan mata yang kuyu itu, membuatkan Hana tidak keruan. Hanya senyuman yang mampu diukirkan kepada lelaki itu. Bertambah getaran di dadanya apabila lelaki itu membalas senyumannya dengan suatu senyuman yang manis. Argh, aku memang sudah angau! Hana menundukkan wajahnya dan berpura-pura membaca buku yang sedang dipegangnya di atas meja itu.
Study apa?”
“Hah..? Err... tak... cari bahan untuk assignment. ” Tergagap-gagap Hana menjawab pertanyaan lelaki itu.
Lelaki itu mengangguk dan tersenyum manis sekali lagi. “Lepas ini, boleh jumpa saya kat cafe bawah tak?”
“Hah..? Err... Ermm..” Hana menganggukkan kepalanya perlahan. Entah kenapa, tiba-tiba senang benar dia menerima perlawaan lelaki itu. Padahal, selama ini bukankah dia adalah seorang perempuan yang payah nak keluar dengan mana-mana lelaki, kecuali berteman? Entahlah..! Mungkin kerana dia menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Kerana itu, senang sahaja dia bersetuju.
Ketika di cafeteria, tanpa disangkanya, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Kamarul itu meluahkan perasaan kepadanya. Berbicara tentang hati dan perasaan! Pada mulanya, memang Hana terperanjat besar dengan pengakuan berani mati yang dituturkan oleh lelaki itu. Mana tidaknya... Dia sendiri sudah lama memendam rasa terhadap lelaki itu. Cuma, dia tidak berani untuk meluahkan walau sepatah perkataan pun. Waa... Indahnya... sepertinya aku berada di kayangan...
Tapi ketika itu, dia keliru sendiri! Maklumlah... Hana bukanlah secantik Siti Nurhaliza atau semanis Preety Zenta. Kalau nak dibandingkan dengan Kamarul yang tampan dan digilai ramai itu, memang macam gagak di rimba dengan merak di kayangan. Gagak? Eh, tak adalah macam gagak! Aku ni berkulit cerah, bukan gelap macam gagak tu.
Seminggu Hana mengambil masa untuk berfikir tentang perkara itu, sama ada mahu menerima, ataupun menolak! Namun, sokongan Kay Tee dan gerak hatinya sendiri mengatakan bahawa dia sepatutnya menerima Kamarul. Sejak itu, hubungan Hana dan Kamarul berkekalan sehinggalah sekarang. Alhamdulillah... Sudah hampir tiga tahun hubungan itu berjalan lancar.
Aduh...!! Rindunya pada Kamarul... Sehari rasanya macam setahun menanggung kerinduan!!


PINTU bilik yang terbuka secara tiba-tiba memeranjatkan Hana yang sedang tersenyum-senyum sendiri di atas katilnya. Tersembul wajah Kay Tee bersama sengihannya dan seraut wajah yang agak kepenatan. Apa hal pulak minah ni? Tersengih-sendih macam kerang busuk.
“Weh, bila kau sampai? Dahlah masuk bilik orang tak reti ketuk pintu! Buat orang terperanjat aje!” Hana bingkas bangun daripada pembaringannya.
Kay Tee melabuhkan punggung di sisi Hana dan kemudian melemparkan jelingan ke arah temannya itu. “Eleh, dia yang berangan... cakap orang pulak yang tak ketuk pintu! Agak-agak kalau pencuri masuk pun kau tak sedar kan? Berangan apa? Nak kahwin dengan anak raja eh?”
“Hisy.. ada pulak nak kahwin dengan anak raja! Kalau aku kahwin dengan anak raja, mana aku nak buang Kamarul?”
“Alah... campak aje kat dalam laut tu! Apa yang payah sangat?! Biar Kamarul kesayangan kau tu kena makan dengan ikan jerung. Kan senang!” Kay Tee ketawa kecil dengan usikannya itu. Dia tahu, Hana menyayangi Kamarul lebih daripada segalanya. Sebab itulah dia berani mengusik seperti itu.
“Amboi... Amboi... Mulut tak ada insurans eh..?”
“Eh, Hana? Apasal tadi kau tinggalkan aku macam tu aje? Kesian aku sorang-sorang tau! Fazrul kirim salam pada kau. Dia cakap, entah bilakah masanya dia akan bertemu dengan puteri impian yang sudah lama ingin ditemuinya. Payah benar kau dan dia nak bertemu. Pasti ada saja halangan yang menerpa.” Kay Tee tidak menjawab persoalan Hana. Sebaliknya, dia mengalihkan topik perbualan mengenai perihal Fazrul.
Hana tergelak kecil mendengar celoteh Kay Tee. “Sorrylah, Kay tee... Bukan niat aku nak blah macam tu aje. Tapi alang-alang Najwa datang sorang-sorang. Apa lagi, menyembanglah lama-lama. Lepas tu, aku temankan dia beli barang sikit. Kau tahu, Kay Tee? Baby dia comel sangat-sangat. Geram betul aku tengok pipi dia yang debab tu. Comel sangat!”
Kay Tee menjuihkan bibirnya dan kemudian tersenyum-senyum sambil mengangkat sebelah keningnya. “Eleh, kalau dah geram sangat tengok baby, tak reti-reti nak kahwin? Buat baby sendiri kan senang!”
Hana membulatkan matanya memandang Kay Tee. “Amboi... sedapnya mulut! Mengata orang aje lebih! Awak tu pun sama aje cik Kay Tee, oii..! Kay Tee, agak-agak bila ya, aku dapat tengok kau naik pelamin?” Hana membuat muka seposen bertanyakan Kay Tee. Sengaja dia mengenakan Kay Tee semula.
Itulah... mengata aku lagi! Bibirnya mengukirkan senyuman yang entah apa-apa dan anak matanya melirik tajam ke arah Kay Tee. Padahal, dia sudah masak benar dengan perangai teman serumahnya itu yang sukar didekati lelaki. Sampai sekarang pun tak ada boyfriend. Mungkin juga Kay Tee takut dikecewakan.
Pernah suatu ketika dahulu, cinta pertamanya tidak kesampaian dan terputus di tengah jalan. Kerana itu juga, Kay Tee tidak berani untuk menjalinkan sesuatu hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki. Begitulah hebatnya penangan cinta pertama dalam hidupnya!
“Dah lah, Hana! Aku nak tengok kau naik pelamin dulu, barulah aku pulak yang menyusul naik pelamin.”
Hana mengerutkan dahinya dan merenung Kay Tee sekejap. “Eh, apa pulak kaitannya diri aku dengan kau?!”
“Dah! Dah! Tadi aku ada belikan nasi bungkus. Jom makan! Aku dah lapar benar ni.” Kay Tee mengalihkan topik perbualan. Dia tahu, dia dan Hana, masing-masing mahu menang! Kalau macam tu, sampai esok pun belum habis berdebat!
“Ha’ah! Perut aku pun dah dari tadi asyik menyanyi lagu yang entah apa-apa, meminta diisi. Jom!” Hana menggosok-gosokkan perutnya beberapa kali, seolah-olah perutnya itu sudah terlalu lapar.
Kay Tee tersenyum-senyum sekejap ke arah Hana. “Hah, bab makan cepat aje kau ya? Makan banyak, tapi badan tak besar-besar pun!”
Hana sekadar melemparkan sengihan kepada Kay Tee. Betul tu! Aku ni memang makan banyak. Tapi, badan aku ni macam ni jugak. Tak nak naik! Bilalah agaknya aku nak jadi gemuk? Erm.. lepas kahwin kot! Hehehee... Hana tersenyum sendiri di dalam hatinya.

Ku Rela Menanti Pasti 2


Dua

AWAL-AWAL pagi lagi Hana telah bangun. Malam tadi tidurnya tidak seberapa lena. Entahlah! Macam-macam mimpi yang mejelma di dalam lenanya! Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, Hana kerap kali mimpikan Kamarul dan diselangi dengan ayahnya. Padahal, kalau diikutkan, antara mak dan ayah, Hana tidak seberapa rapat dengan ayahnya, tetapi sangat rapat dengan emaknya.
Mimpi-mimpi yang mendatang itu pula bukanlah sebarang mimpi! Tapi mimpi yang yang sangat menakutkannya! Pagi tadi, dia bermimpi lagi! Jam ditoleh sekilas. Jarum jam menunjukkan angka 5.30 pagi. Kerana mimpi yang membuatkan dia terasa takut itu, dia tidak jadi untuk menyambung tidurnya, terus bangun, mandi dan bersedia untuk solat subuh. Entahlah! Kata orang, mimpi hanya mainan tidur! Betul ke mainan tidur? Dalam tidur pun boleh main ke? Tapi... mimpi tu... macam betul-betul la!
Selepas solat subuh, Hana terus turun ke dapur, memasukkan baju kotor ke dalam mesin basuh, mengemas dapur, dan kemudian menyediakan sarapan pagi. Sementara menunggu Kay Tee bangun, Hana menyibukkan diri dengan mengemas rumah. Biasalah... Hujung-hujung minggu macam ni, nak nampak batang hidung Kay Tee bangun awal, jangan haraplah! Terongkang macam bongkang pecah! Ha ha...
Setelah semuanya selesai dikerjakannya, dia berehat di kerusi sofa menghadap siaran televisyen. Apa cerita yang ada pagi-pagi macam ni? Tak bestlah! Bosannya...! Nak kejutkan Kay Tee, tak sampai hati la pulak! Dah lah malam tadi dia tidur lambat. Biar ajelah dia tidur lagi! Hana melayan angannya sekejap! Kali ni nak berangan tentang apa ye? Putera katak lagi? Tak naklah! Zaman tok kaduk tu! Berangan apa ye? Hah! Kahwin dengan putera raja! Okey jugak ni! Tapi... kalau kahwin dengan putera raja, macam mana dengan Kamarul? Nak campak kat mana? Olah ke main campak-campak? Tak boleh! Tak boleh!
Argh...! Nak buat apa ni? Fikirannya sudah buntu untuk berbuat apa-apa! Sungguh, dia tidak boleh duduk diam! Dia bosan dengan suasana seperti ini!! Eh, bukan ke aku tak sidai baju lagi? Boleh lupa pulak! Kakinya terus di langkahkan ke bilik air, kemudian meletakkan pakaian yang sudah siap berbasuh ke dalam bakul. Selepas mengenakan tudung, Hana mengangkat bakul yang berisi pakaian itu ke ampaian yang berada di luar rumah.
Matanya menangkap ke arah pasu bunga yang tersusun di tepi pagar rumah sewanya itu. Hah..! Ada pun kerja yang masih belum buat. Selepas menyidai pakaian, Hana melangkah ke arah pasu-pasu bunga itu. Eee.. ada ulat! Ulat ni suka menyibuk kat bunga aku! Kau makanlah daun lain, jangan makan bunga aku ni! Daun kat rumah sebelah ke... He hee... Macam mana rumah aku nak cantik kalau kau makan bunga-bunga ni! Dicabutnya rumput-rumput yang tumbuh meliar di dalam pasu-pasu yang cantik itu sesambil mulutnya menyanyi kecil.
“Hai, assalamualaikum.”
Hana sedikit terkejut dengan sapaan yang mengejut itu. Kepalanya didongakkan mencari seraut wajah yang menegurnya itu. Siapa? Berkerut dahinya. Bila nampak tuan punya tubuh yang menyapa, barulah dia mengukirkan senyuman.
“Waalaikumussalam. Aik, awal bangun?” Agak pelik! Selama ini kalau hujung minggu, bukankah paling-paling awal pun pukul 11 pagi, baru anak bujang ini akan bangun!
Zairil adalah salah seorang jiran yang bersebelahan dengan rumahnya dan juga seorang jiran yang seringkali mengambil berat mengenai jirannya. Pendek kata, selalu ambil berat tentang dia dan Kay Tee. Lelaki inilah orang pertama yang menegur dia dan Kay Tee sewaktu awal perpindahan mereka ke rumah teres ini lima bulan yang lepas. Mungkin juga disebabkan rumah mereka bersebelahan, Zairil selalu menegur mereka. Lelaki ini dikenalinya sebagai seorang yang peramah dan baik hati budinya.
Rumah teres Hana dan Kay Tee adalah rumah yang berada di tengah-tengah di antara rumah Zairil dan rumah di sebelahnya ini. Jiran sebelah kirinya ini pula, langsung tidak pernah menegur mereka dari awal perpindahan sehinggalah sekarang.
Pernah juga Hana dan Kay Tee bertegur sapa dengan mereka, tetapi dibalasnya dengan jelingan maut dan katanya, jangan menyibuk hal orang lain! Fuh! Memang pedas ayat itu! Sejak itu, Hana dan Kay Tee tidak lagi berani menegur jirannya yang berada di sebelah kiri rumah mereka itu. Sekadar melemparkan senyuman. Tapi, senyuman yang dilamparkan mereka langsung tidak berbalas. Entahlah!
“Saya tak lena tidurlah malam tadi. Perut saya ni, sejak petang semalam lagi buat hal. Asyik nak berulang alik pergi tandas aje! Tersilap makan agaknya! Hana tengah buat apa tu?” Zairil menjengulkan kepalanya ke pagar yang menjadi pemisah antara rumah sewanya dengan rumah sewa Hana.
Hana berdiri sambil menyapu-nyapu tangannya yang sudah dipenuhi pasir-pasir. “Tak ada buat apa pun. Saja tengok-tengok bunga ni. Lama dah tak tengok-tengokan bunga-bunga ni. Ada ulat. Dah pergi klinik?”
 Zairil memandang Hana dengan sengihannya. “Err...em...tak apalah. Kejap lagi baiklah ni.” Tergagap jugak Zairil menjawabnya.
Hana mengerutkan dahinya. Sah! Lelaki ini mesti takut nak makan ubat ni! Tak pun takut jumpa doktor! Takut kena cucuk dengan jarum! Ha ha... Lawaknya! Ada lagi tua-tua macam ni pun taku nak gi klinik! Hana tergelak sendiri di dalam hatinya. “Zairil.... Awak ni.... Besar-besar macam ni pun takut nak makan ubat? Tak mati pun makan ubat beberapa bijik tu! Nanti, kalau dah kahwin, anak-anak pun mengikut perangai awak yang takut makan ubat! Siapa yang susah? Awak jugak kan.”
Zairil tersengih. “Mana ada takut makan ubat. Cuma malas nak pergi klinik aje.” Zairil berdalih. Padahal dia paling enci makan ubat. Pahit! Tak tertelan rasanya!
Hana sekadar tersenyum apabila lelaki itu cuba menyangkal kata-katanya. Eleh, tipulah! Macamlah aku tak dapat nak agak! Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan etinanya! Erk? Tahu ke? Tak logik langsung!
“Kenapa senyum...? Tak percaya ke?”
Hana tergelak kecil. Memang aku tak percaya pun! “Awak tak cuba minum teh tanpa gula? Cubalah... Kot-kot lah boleh tahan sikit.” Hana teringatkan petua yang pernah diberikan oleh emaknya sewaktu dia mengalami cirit birit suatu ketika dahulu. Sampai sekarang dia mengamalkan petua yang sememangnya agak berkesan itu. Lagipun, Amir pun macam Zairil, takut nak makan ubat. Pernah juga mak buatkan teh tanpa gula macam tu, dan akhirnya petua itu memang terbukti boleh digunakan.
Alamak! Itu pun salah satu benda yang pahit! Tapi aku tahu ke pahit? Aku pernah cuba ke? “Teh tanpa gula...? Boleh ke?”
“Laa... Tak cuba mana nak tahu! Cubalah dulu.” Hana melemparkan pandang ke arah Zairil yang nampak sedang berfikir sekejap. “Kenapa pulak? Fikir apa?”
“Err, tak ada apa. Stok teh baru habis semalam. Nantilah, mintak Saiful tolong belikan.” Kepalanya yang tidak seberapa gatal itu digaru-garu. Malu pulak bila dah cakap pada perempuan ni. Nampak sangat aku ni....
“Kenapa tak cakap awal-awal? Saya boleh tolong buatkan. Tunggu lima minit.” Hana mula melangkah untuk masuk ke dalam rumah, untuk membuat teh tanpa gula untuk Zairil.
“Eh, Hana! Tak payahlah.” Alamak! Malunya aku! Takkanlah teh yang harganya kurang lima ringgit pun tak boleh nak beli? Apa daa..!
Hana menghentikan langkah yang baru ingin dimulakan itu dan berpaling semula ke arah Zairil yang masih berdiri di tepi pagar itu.
Zairil terkulat-kulat sendiri. “Tak apa, masih boleh bertahan ni! Nanti, Saiful balik, saya boleh buat sendiri.” Zairil serba tak kena!
“Kenapa pulak? Nak tunggu Saiful balik, entah pukul berapa nanti. Bukan ke dia habis kerja pukul sembilan ke kalau pagi sabtu? Tak apalah! Awak tunggu sekejap aje. Muka awak tu dah nampak pucat. Nanti tak pasal-pasal masuk hospital pulak. Lagilah kena makan ubat banyak-banyak! Entah-entah kena cucuk.” Sengaja Hana menakut-nakutkan Zairil dengan menyebut tentang hospital dan ubat. Orang lelaki, kata-kata bukan boleh pakai sangat. Cakap nanti buat, entah buat entah tidak. Kesian jugak melihat muka Zairil yang pucat semacam tu.
Zairil sekadar mampu memandang langkah Hana yang mula melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menunggu patah bicaranya lagi. Hana, memang seorang perempuan yang mudah bersimpati terhadap orang lain. Untungnya Abang Kamarul dapat girlfriend macam Hana. Walaupun Hana bukanlah secantik penyanyi Siti Nurhaliza, tetapi seraut wajahnya itu sudah mampu mengundang ketenangan pada mata yang memandang. Harap-harap, Abang Kamarul tidak akan mensia-siakan seorang perempuan sebaik Hana.
Tidak sampai beberapa minit, kelihatan kelibat Hana mula melangkah keluar rumahnya dengan membawa bersama... Apa tu..? “Apa yang banyak sangat ni?”
Hana menghulurkan dulang yang dibawanya itu kepada Zairil. “Dalam taperware tu, ada nasi goreng. Saya buat banyak tadi. Tak habis jugak kalau saya makan dengan Kay Tee berdua saja. Dalam teko tu, ada nescafe. Dalam cawan putih tu ada teh kosong tanpa gula. Kalau tak mampu bertahan, tak sembuh lagi, jangan lupa pergi klinik tau.”
Zairil tersenyum. “Hana... Terima kasih daun keladi. Lain kali nak lagi..!”
Hana tergelak kecil mendengar pantun Zairil! Kemudian dia menjawab semula pantun itu, “Daun keladi tak ada kat sini. Daun etik ada kat belakang rumah.”
Zairil pula yang tergelak dengan jawapan Hana. “Terima kasih ya, Hana.”
“Sama-sama.”


HANA, tengok cerita apa tu?”
            Hana berpusing dan menoleh ke arah Kay Tee yang sedang menuruni anak tangga menuju ke arahnya. Ditoleh ke arah jam pada dinding di suatu sudut di ruang tamu. Baru pukul 10.15 pagi. Nak ke mana pulak minah ni? Pagi-pagi dah bersiap cantik-cantik... ”Tengok cerita kartun. Nak ke mana?”
Kay Tee melabuhkan punggungnya dikerusi di sebelah Hana. “Hana... Boleh tak kau tolong aku? Boleh tak kau temankan aku pergi Mid Valley kejap?”
“Mid Valley...? Buat apa?”
“Fazrul... Dia nak jumpa aku! Marlisa merajuk dengan dia sejak semalam lagi. Kononnya nak mintak petua nak pujuklah tu! Alih-alih aku jugak yang kena tolong kalau salah seorang daripada budak dua orang ni merajuk. Kau tak ada temu janji dengan sesiapa hari ni kan?”
Hana tersenyum mendengar cerita Kay Tee. Kesian pulak! Susah kalau jadi orang tengah macam ni! “Tak ada... Kamarul outstation dua minggu.”
“Kalau macam tu, bolehlah kau tolong aku, kan?” Terpancar sinar kegembiraan pada seraut wajah Kay Tee.
“Demi Fazrul... Aku sanggup lakukan apa saja!” Sungguh syahdu ayat yang dituturkannya.
“Eleh, kau ni cakap tak serupa bikin! Dah banyak kali aku ajak jumpa Fazrul, tak adanya kau sempat jumpa dia!”
“Tak ada rezeki, nak wat macam mana?” Matanya dialihkan semula ke kaca televisyen.
Kay Tee mengerutkan dahinya apabila Hana masih menghadap cerita kartun di hadapannya itu. “Woi, kau tunggu apa lagi! Cepat pergi siap!”
“Sekarang ke...?”
“Iyalah, sekaranglah!”
“Tapi... Ni, tak habis lagi la.” Hana menjuihkan bibirnya ke arah cerita kartun yang masih belum tamat pada kaca televisyen. Berkerut dahinya sekejap.
Kay Tee menggelengkan kepalanya. Budak ni...! Dah tua, tapi perangai macam budak-budak lagi! Tak habis-habis dengan cerita kartunnya! “Weh, cerita ni minggu depan main lagi! Kau tak jemu ke asyik tengok cerita kartun? Macam perangai budak-budak! Jomlah!”
“Minggu depan dah tak sama macam hari ni.” Dengan seribu kemalasan, Hana mengangkat juga punggungnya.
“Bangun! Cepat!” Ditariknya tangan Hana apabila Hana seperti malas untuk bangun daripada duduknya, dan matanya masih belum lepas memandang televisyen.
“Baiklah, tuanku! Hamba menurut perintah...!”


KAY TEE meneruskan pemanduannya dengan penuh berhati hati. Tidak mahu tersilap langkah. Takut benar dia, bila mendengar berita mengenai kemalangan jalan raya yang setiap kali berlaku kepada mereka yang cuai. Eee..seram! Ya Allah, jauhkanlah aku dari malapetaka-malapetaka seperti itu!
            Sesekali anak matanya menjeling ke arah Hana yang juga sesekali kelihatan tersenyum-senyum seorangan. Main mesejlah tu! Kata Kamarul sibuk..! Main mesej dengan siapa pulak minah ni? Takkan lah main kayu sepuluh kot? Macam nak main hoki pulak! Hehehee.. Takkan kot! Tak pernah sekali pun, aku tengok dia pandang lelaki lain selain si Kamarul tu!
Terdengar gelak-gelakan kecil daripada bibir Hana. Kay Tee menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tak betul kot...! Hihii.. “Tadi, senyum sorang-sorang. Sekarang gelak sorang-sorang! Nanti ketawa terbahak-bahak seorang juga! Jangan jadi gila sudahlah!”
Hana menoleh sekilas ke arah Kay Tee yang membebel sendiri dan memerli dirinya. Senyuman terus terukir dibibirnya. Cemburulah tu! “Kay Tee, kau tahu...”
“Tak...”
“Iyalah. Nantilah, nak bagitahulah ni...”
Kay Tee tersengih. “Apa dia?”
“Zairil tu, lawak jugak orangnya ya? Sakit perut aku baca mesej dia!”
“Laa... Kau mesej dengan dia dari tadi?”
Hana mengangguk perlahan dan dia kembali tersenyum sambil jarinya sibuk menaip mesej pada telefon bimbitnya.
“Hana, kau ni... Kalau Kamarul tahu macam mana? Tak ke perang dunia kali ke berapa pulak nanti! Tak serik-serik lagi?” Teringat pulak Kamarul yang cemburu buta! Pernah suatu ketika dahulu, Hana berbual dengan seorang kawan lamanya dulu di hadapan pejabat. Selang dua hari, tak pasal-pasal si lelaki, kawan Hana tu kena penumbuk free! Seram jugak aku, kalau dapat lelaki panas baran dan ditambah pula cemburu buta, macam Kamarul! Eee... tak nak aku! Mintak-mintak dijauhkan!
Tapi, betul jugak kata orang, cinta itu buta, dan cinta itu membutakan! Hana yang lembut hati, cintakan Kamarul yang panas hati. Macam Fazrul jugak! Fazrul yang tak reti memujuk, bercinta dengan Marlisa yang kuat merajuk. Macam mana?? Ah, macam-macam fitrah dunia! Sebab tu aku takut nak bercinta! Tapi, bukankah semua itu adalah untuk menguji kita, sebagai hambaNya? Allah tak akan menguji hambaNya melainkan Dia tahu hambaNya itu mampu menghadapi ujianNya.
“Kay Tee, Zairil tu jiran kita.”
“Iya... Sebab dia jiran kitalah, kita kena berhati-hati. Jangan sampai Kamarul tahu. Nanti tak pasal-pasal pulak, jiran kita yang kena penumbuk si Kamarul pulak!” kay Tee sekadar mengingatkan.
Hana sekadar mendiamkan diri. Dia tahu, kata-kata itu ikhlas dari hati Kay Tee, dan dia tahu kata-kata itu banyak betulnya. Kamarul memang seorang yang panas baran. Dia juga pantang kalau aku berbual dengan lelaki lain. Tetapi aku tahu hati dia..! Dia sebenarnya sangat menyayangi aku. Sebab itulah dia cenburu kalau nampak aku berbual dengan lelaki lain! Tapi yang pastinya, aku senang sekali berbual dengan Zairil. Entahlah...!


KAY TEE, kau pergi dulu ya? Aku nak jumpa Najwa sekejap. Tadi, dia call. Dia cakap dia pun ada kat sini. Aku nak pergi tengok baby dia kejap ya?” Hana terus mengatur langkah dan berkira-kira untuk meninggalkan Kay Tee ketika itu juga. Sudah tiga minggu dia berniat untuk pergi melihat baby Najwa yang baru dilahirkan dua bulan itu.
Najwa adalah salah seorang teman sekolah yang juga sangat akrab dengannya. Setelah menamatkan alam persekolahan, Najwa melanjutkan pelajaran di Indonesia. Sudah lama Najwa mengidam untuk melanjutkan pelajarannya di negara itu. Langsung dia tidak takut akan peperangan ataupun ribut taufan. Dia tekad untuk ke negara itu, dan sehingga sekarang, dia sudah menamatkan pengajiannya selama empat tahun. Kini sudah dua tahun Najwa kembali ke Malaysia.
Namun, kesempatan untuk bertemu dengan sahabatnnya itu langsung tiada. Seringkali ada sahaja halangan yang mendatang apabila keinginannya untuk berjumpa Najwa. Sewaktu Najwa melangsungkan perkahwinan juga Hana tidak dapat menghadirkan dirinya ke majlis itu. Akhirnya, kesempatan untuk bertemu dengan Najwa kesampaian sewaktu Najwa sedang mengandung anak pertamanya. Kali ini aku tidak akan mempersiakan waktu yang ada untuk bertemu dengan Najwa! Najwa cantik. Suaminya juga handsome sangat. Anak dia mesti comel macam mak dia! Eee... geramnya!
“Eh, Hana! Cakap nak kenal dengan Fazrul!” Berkerut dahi Kay Tee melihat Hana yang sudah melangkah beberapa langkah meninggalkan dirinya di situ. Dia mula mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu perlahan-lahan.
“Tak apalah. Lain kali. Nanti kalau sempat aku follow kau ya? Jumpa nanti. Bye!” Hana sekadar melemparkaan senyuman ikhlas kepada sahabatnya itu. Langkah kakinya terus diatur laju. Memang dah lama sangat hatinya mahu melihat baby itu. Kali ini, sudah alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan! Aku tetap nak jumpa dia walau seribu halangan menerpa.
Kay Tee sekadar memandang dan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu! Hana ni...time ni jugak! Saja nak biarkan aku jumpa Fazrul sorang-sorang! Cakap nak kenal dengan Fazrul. Tak ada jodoh kau dengan dia, Hana. Tiap kali nak jumpa, mesti ada penghalangnya! Nasib badan! Hatinya membebel sendirian. Akhirnya, kakinya dilangkahkan juga ke dalam pusat membeli-belah itu sendirian.


ANAK matanya melilau mencari kelibat Najwa sekitar McDonals. Mana pulak ni? Cakap nak jumpa kat sini. Beberapa kali kepalanya ditoleh-toleh ke kiri dan kanan. Jam di pergelangan tangan di tengoknya beberapa kali.
            Dalam pencariannya itu, tiba-tiba Hana terlanggar seseorang. Aduh! Terasa sakit di sebelah bahu kirinya. Hana mendongak ke arah lelaki yang dilanggarnya itu dengan kerutan pada mukanya kerana terasa sakit dan sengal-sengal pada bahunya. “Er.. Sorry ya? Tak sengaja.” Hana membetulkan bahunya sekejap kemudian menunduk mengutip beberapa helai kertas yang berteraburan di atas lantai. Kertas-kertas itu adalah milik lelaki yang dilanggarnya itu.
Lelaki itu sekadar senyum dan turut mengutip kertas kerjanya di atas lantai. Nasib baik pada masa tu, tidak ramai orang yang lalu lalang di situ. Kalau tidak, alamatnya habislah kertas kerja ini dipijak-pijak! Tapi... tak mengapalah! Bukan salah dia seorang aje. Tadi, aku pun tengah berpaling ke arah belakang. Aku pun tak tersedar dia melanggar aku!
Takut-takut, Hana menghulurkan kertas yang sudah habis dikutipnya di atas lantai kepada lelaki yang berpakaian kemas dan berkaca mata hitam itu. “Minta maaf banyak-banyak. Tak sengaja!” Sekali lagi Hana meminta maaf kepada lelaki itu. Matanya tidak dapat menangkap wajah sebenar lelaki itu yang berada di sebalik kaca mata hitamnya. Err... Melayu ke ni?
It’s okey. Thanks for this.” Tangannya mengoyang-goyangkan kertas di gengamannya itu. Bibirnya mengukirkan sekuntum senyuman manis kepada perempuan di hadapannya itu. Cantiknya dia... Nampak sopan dan ayu!
Melayu la kot, faham Bahasa Melayu. Waduh-waduh... senyuman dia... mahu cair hati aku dibuatnya! Mahu pitam jadinya! Hana sekadar membalas senyuman itu seadanya. Matanya terpaku memandang lelaki itu lama. Entah kenapa, terasa seperti ada suatu tarikan untuk memerhati raut wajah lelaki itu dengan lebih lama. Handsome. Macam hero dalam drama Korea. Cerita My Girl! Cumanya, kulit lelaki ini agak gelap sikit.
Astagfirullahalazim... Apa kena dengan aku ni? Dah gila ke apa? Hana... jangan buat hal! Nak kena hentam dengan Kamarul ke?? Cepat-cepat dia beristirafar di dalam hati, menyedarkan dirinya daripada pesona dunia yang melalaikannya.
Melihat lelaki itu juga tidak bergerak dan memandangnya lama, Hana jadi serba salah sendiri. Anak matanya dilarikan memandang ke arah lain. Najwa... mana kau? Cepatlah muncul... Aku dah hampir jadi gila ni! Kalau kau lambat sikit lagi memang aku akan jadi betul-betul gila! Cepat Najwa, cepat selamatkan aku!
“Hana..!!”
Satu suara dari arah belakangnya membuatkan Hana berpaling. Fuh, selamat! Najwa dah datang. Macam dengar-dengar aje jeritan hati aku! Hana tersenyum kelegaan. Sekejap itu dia menoleh semula ke arah lelaki yang dilanggarnya tadi. Eh... mana dia?! Dah hilang?? Kepalanya terjengul-jengul mencari sebatang tubuh lelaki yang berdiri di sebelahnya tadi. Namun, batang tubuh lelaki itu telah lesap bersama bayangnya. Macam biskut Chipsmore pulak. Ah, lantak kau lah!
“Kau cari siapa?” Najwa yang baru sahaja sampai di sebelah Hana, turut menjengukkan kepalanya mencari kalau-kalau ada sesiapa yang dikenali yang dicari oleh Hana.
Hana mula tersedar dan memandang semula ke arah Najwa bersama senyumannya. “Er... tak! Tak cari siapa-siapa pun. Saja nak toleh kat belakang. Kau apa khabar?” Hana menghulurkan salam dan sekejap itu dia terus memandang ke arah troli baby yang dipegang oleh Najwa. “Anak kau?”
Najwa tersenyum dan menganggukkan kepalanya. “Aku sihat aje. Kau macam mana? Bila nak kahwin?”
“Eh, kau ni... Itu pulak ditanyanya! Aku nak pegang anak kau, boleh?” Hana menundukkan wajahnya dan mencium anak kecil yang diam sahaja di dalam troli baby itu.
“Boleh. Elok sangatlah kalau kau nak dukung anak aku ni. Berat!” Najwa tergelak kecil. “Kau dah makan ke?”
Hana mendukung anak itu sekejap. Kelihatan ada senyuman-senyuman pada bibir anak itu apabila diusik-usik. Baik anaknya. Comel macam mak dan ayah dia! “Agak beratlah anak kau ni. Dia ikut siapa? Bukan ke mak dan ayah dia tak gemuk? Aku belum makan. Kau dah makan ke?”
“Entahlah..! Dia ikut nenek dia agaknya. Aku belum makan jugak ni. Jomlah, kita lepak mana-mana dulu. Banyak sangat benda aku nak bercerita dengan kau.”
“Elok jugak tu! Aku pun ada banya soalan nak tanya kau.” Hana tergelak kecil.
Najwa turut tergelak kecil. Apa-apa ajelah, Hana ni. Dari dulu, sampai sekarang... perangai dia tak pernah berubah! Kelakar! “Jom, kita cari tempat dulu!”