BAB 10
Kita
hanya mampu merancang,
tetapi
Allah yang akan menentukan segalanya…
“KAU
ni dah kenapa? Kalau dulu mulut kau macam bertih jagung. Siap boleh minta aku
ajarkan kau untuk mencintai aku. Sekarang ni bisu pulak? Masih kecewa sebab tak
mengandungkan anak Farish? Huh, beranganlah kau sorang-sorang. Aku tak akan
izinkan kau kahwin atau mengandungkan anak Farish! Apatah lagi anak aku. Aku tak
akan biarkan perkara tu jadi.”
Ain berterusan diam. Lantaklah dia nak cakap apa
pun. Yang pasti, bibirnya memang malas mahu berbual panjang-panjang dengan
suaminya. Sejak peristiwa dia mendengar Iqram berbual dengan mamanya, hatinya
jadi beku. Ditambah lagi pada malam hari yang sama, dia mendengar pula Iqram
berbual dengan Dhiya. Bualan yang benar-benar merobekkan hatinya. Ucapan yang
benar-benar meranapkan cintanya sehingga hancur berkecai.
Farish memang jahat. Tetapi Iqram lebih jahat.
Farish merampas maruahnya. Tetapi Iqram melumatkan
perasaan cintanya.
Jahat! Dua beradik ini jahat! Benci! Kalaulah aku
boleh meluahkan benci itu, dah lama aku luahkan.
Sejak hari itu juga Ain menjadi seorang pendiam. Tak
banyak cakap. Apatah lagi bila dengan suaminya. Lagilah malas suaranya ingin
dilontarkan. Dia tahu dia sudah mula cintakan Iqram. Tetapi Iqram langsung
tidak mencintainya. Jika begitu, harus bagaimana lagi untuk dia mengajar
hatinya untuk mencintai suaminya. Sekarang, dia sedang berusaha mengajar
hatinya supaya tidak berharap. Supaya membuang perasaan cinta dan sayang
jauh-jauh. Biarkan berlalu dibawa angin lalu.
“Ain tak mengandung. Saya boleh kahwin dengan awak,
Dhiya. Lepas ni saya akan lepaskan Ain. Kita kahwin ya, Dhiya?”
Suara ceria itu benar-benar merobekkan hati Ain.
Patah kata itu benar-benar membuatkan hatinya berkecai berkeping-keping. Tak
tahu nak sambungkan dan nak ubati macam mana lagi. Iqram jahat! Saya benci
awak, Iqram. Benci!
“Agaknya aku ni tengah bercakap dengan tunggul kayu?
Senyap sunyi macam ni.”
Ya, abang! Memang dari dulu lagi abang anggap Ain ni
macam tunggul kayu, kan? Sejak Ain menapak masuk ke rumah mama, abang langsung
tak pernah panggil Ain dengan panggilan adik. Abang tak pernah terima Ain
sebagai adik, kan? Apatah lagi untuk terima Ain sebagai isteri abang.
“Ain…”
Panggilan lembut itu menyentakkan lamunan Ain. Ain
mengangkat wajah. Sepasang anak matanya menyapa seraut wajah di hadapannya.
Kenapa Dhiya nak jumpa aku? Ada apa sebenarnya? Nak minta kebenaran aku untuk
berkahwin dengan Iqram?
Ya Allah… Kuatkan hati ini. Tabahkanlah hati ini
untuk menerima ketentuanMu, Ya Allah.
“Dhiya… Duduklah.”
“Dah lama Ain tunggu?”
“Ain baru sampai. Ada apa Dhiya nak jumpa Ain?” Ain
melepaskan keluhan kecil. Gaya aku dan dia bercakap bagai kami berdua dah lama
kenal. Padahal ini adalah kali pertama aku dan dia bertemu muka.
Tidak menunggu lebih lama, dia terus menyampaikan
tujuannya mengajak Ain berjumpa. Hampir setengah jam mereka berdua berborak.
Ain lebih banyak diam daripada bersuara. Sesekali dia mengukirkan senyuman
kecil. Sesekali kepalanya diangguk dan digeleng.
Luahkanlah, Dhiya. Luahkanlah semuanya. Supaya Ain
tahu segala-galanya.
Selesai meluahkan segalanya, Dhiya terus meminta
diri. Ada urusan lain yang perlu diselesaikannya. Dan Ain… terus memakukan
duduk di kerusi itu. Terasa berat tubuhnya ingin bangun. Terasa lemah
langkahnya untuk melangkah. Tiada air mata yang mengalir di pipinya. Tetapi
hujan air mata lebat di dalam jiwanya.
Rupa-rupanya Iqram sudah merancang segala-galanya.
Lagi dua bulan mereka berdua akan berkahwin. Selepas hari raya Aidilfitri.
Sampai hati Iqram tak cakap apa-apa dengannya
tentang perkara ini. Jika dia tidak keluar berjumpa Dhiya, dia tidak akan tahu
apa-apa tentang rancangan mereka. Iqram… Betul ke awak akan lepaskan saya?
Seperti apa yang mama cakap? Habis tu saya macam mana, Iqram? Saya nak mengadu
kepada siapa lagi? Saya nak menumpang kasih sayang dengan siapa lagi? Ke mana
saya harus tuju selepas awak berkahwin dengan Dhiya? Awak tak kesiankan saya ke
Iqram?
Ya Allah… Aku benar-benar buntu untuk memikiran apa
lagi.
FARISH
merenung lama seraut wajah itu. Kesian Ain. Tak pasal-pasal jadi mangsa
keadaan. Terpaksa berkahwin dengan orang yang tidak menyukai dia. Iqram… Sejak
dulu lagi Iqram memang tidak pernah sukakan Ain. Sejak kecil lagi. Ada sahaja
yang tak kena tentang Ain di mata Iqram.
Rambutnya diraup perlahan. Nafas juga kedengaran
dihelakan kuat. Ain… Aku minta maaf. Aku dah buat hidup kau huru-hara. Bermula
peristiwa malam tu. Lepas tu aku malukan kau dengan melarikan diri daripada
majlis perkahwinan. Aku dah buat kau terpaksa berkahwin dengan Iqram.
Kau bahagia, Ain?
Iqram tak pernah sukakan kau. Mama langsung tak
cerita apa-apa tentang majlis tu. Sungguh, aku benar-benar pelik bila dapat
tahu Iqram gantikan tempat aku untuk berkahwin dengan kau. Macam mana Iqram
boleh setuju pula? Sedangkan selama ini dia memang tak pernah rapat dengan kau.
Tak pernah menerima kau sebagai adiknya.
“Ain… Aku sukakan kau. Aku nak kahwin dengan kau,
Nurul Ain Insyirah.”
Dia pernah meluahkan perasaan cintanya kepada Ain.
Tetapi Ain menolaknya mentah-mentah tanpa memberikan peluang kepadanya
langsung.
“Apa yang Abang Rish merepek ni? Kahwin dengan Ain?
Abang Rish dah gila ke? Ingat sikit, Ain ni adik Abang Rish. Mana boleh kahwin
dengan Abang Rish.”
“Kau bukan adik aku, Ain. Kau tu anak angkat mama.
Bukan juga adik beradik satu susuan dengan aku. Tak ada benda yang menghalang
untuk aku kahwin dengan kau. So, aku
nak kau kahwin dengan aku. Esok aku bagitahu mama yang aku nak kahwin dengan
kau.”
“Abang Rish! Jangan merepek boleh tak? Ain tak
sukakan Abang Rish. Abang Rish cuma seorang abang pada Ain. Dan Ain tak boleh
cintakan Abang Rish walaupun Ain ni bukan adik kandung Abang Rish.”
Sejak peristiwa cintanya ditolak Ain, dia menjadi
pendendam. Kebencian mula menguasai diri setiap kali terpandangkan seraut wajah
Ain. Bermacam-macam cara dilakukan supaya Ain dapat malu.
Mulai saat itu juga, dia menjadi kaki mabuk. Pulang
lewat malam. Kadang-kadang pagi baru sampai rumah. Bukannya dia tidak tahu yang
mama selalu menangis kerana perangai gilanya. Cinta membuatkan dia jadi begitu.
Cinta membuatkan dia jadi gila dan hampir-hampir memusnahkan hidup Ain. Cinta
membuatkan dia lupa pada Pencipta Yang Maha Esa.
Ain… Aku minta maaf. Aku banyak dosa pada kau, kan?
Aku minta maaf, Ain. Maafkan aku!
Langkah kaki diatur menghampiri seorang perempuan
yang sedang duduk di salah sebuah kerusi di dalam restoran itu.
“Ain…”
Ain mengangkat wajah apabila mendengar suara seorang
lelaki menyebut namanya. Terkejut apabila terpandangkan seraut wajah itu. Jadi,
dia memang ada kat Malaysia? Dia dah balik ke rumah mama ke? Bila? Kenapa aku tak
tahu langsung? Dan macam mana pula dia boleh ada kat sini?
“Bila Abang Rish balik?” Bersahaja. Tanpa riak. Namun
di dalam hati, Tuhan sahaja yang mengetahui betapa dia takutkan lelaki itu.
Betapa hatinya sakit di saat terpandangkan seraut wajah yang selamba melabuhkan
duduk di hadapannya.
“Dah seminggu.”
“Macam mana Abang Rish tahu Ain kat sini?”
“Abang ikut Ain.”
Ain diam. Anak matanya memandang lama seraut wajah
itu. Kenapa? Tak sudah-sudah lagi dengan peristiwa dulu? Kenapa selepas lima
bulan perkahwinan aku dan Iqram, baru dia balik cari aku?
“Ain…” Serba salah dia ingin melontarkan patah kata
apabila melihat riak kurang senang pada wajah Ain. Dia berdosa dengan Ain.
Sepanjang lima bulan ini, selepas dia meninggalkan perkahwinan itu, hatinya
kerap kali dihempap dengan perasaan bersalah. Seringkali dihantui dengan
bayangan Ain dan Iqram. Sungguh, dia takut Ain tak bahagia hidup bersama dengan
Iqram.
“Ain tak mengandung, Abang Rish.” Ain memilih untuk
berterus-terang. Biar lelaki ini tahu. Biar lelaki ini tidak menuntut apa-apa
lagi dengannya. Jujur, dia sangat bersyukur apabila mendapat tahu yang dia
tidak mengandungkan anak luar nikah. Anak Farish.
“Abang tahu.”
Anak mata Ain memandang seraut wajah itu. Dia tahu?
Macam mana dia tahu? Takkanlah dia ikut aku dan Iqram ke klinik? Nampaknya
Farish sedang memerhatikan aku dan Iqram. Agaknya dah berapa lama dia
memerhatikan aku dan Iqram? Dia tahu tentang Dhiya jugak ke?
“Ain dah nak balik.” Dia terus bangun dan bercadang
untuk meninggalkan lelaki itu. Sungguh, jauh di sudut hatinya dia takut rahsia
antara dia dan Iqram terbongkar di hadapan Farish. Dan dia tidak mahu mama juga
tahu tentang rahsia ini.
“Nanti dulu, Ain!” Laju sahaja tangannya mencapai
pergelangan tangan gadis itu.
Pantas juga Ain menolak. “Abang nak cakap apa?” Nada
suaranya masih lagi kedengaran tenang walaupun di dalam hatinya, hanya Tuhan
sahaja yang tahu. Sakitnya… Pedihnya… Pilunya… Semua orang menuduh aku! Abang
Iqram… Sampai mama sendiri pun dah tak percayakan aku. Sedangkan aku tak tahu
langsung apa yang jadi malam tu. Semuanya salah Farish! Semuanya berpunca daripada
dia!
“Abang… Abang…”
“Kalau Abang Rish nak minta maaf pasal perkara yang
lepas tu, Ain dah maafkan. Dua-dua. Kejadian malam tu, dan juga hari majlis. Ain
dah lama maafkan Abang Rish. Ain nak balik.” Sekali lagi kakinya cuba melangkah
untuk meninggalkan Farish.
“Ain, abang…”
“Abang Rish… Please
jangan ungkit lagi pasal tu. Ain dah tak nak dengar apa-apa. Yang berlalu tu,
biarkanlah. Ain dah ada hidup Ain sendiri. Dan Ain tak nak ingat satu benda
lagi pasal tu.”
“Ain, abang… Abang rasa bersalah, Ain.”
Senyuman kecil terkoyak di bibir. Jelas kelihatan
hambar. “Tak ada apa yang nak rasa bersalah lagi, abang. Ain gembira dengan apa
yang Ain ada sekarang. Walaupun Abang Iqram tak sukakan Ain… Walaupun Abang
Iqram sanggup menduakan Ain… Ain dah redha. Ain terima segalanya dengan hati
yang ikhlas.”
“Abang minta maaf.”
“Ain dah lama maafkan. Cuma… Ain harap Abang Rish
boleh mendoakan kebahagiaan Ain dengan Abang Iqram. Itu aje.”
Saat ini, dia benar-benar diserang dengan perasaan
bersalah. Menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Iqram menduakan Ain
sebab tak sukakan Ain. Aku yang menyebabkan Ain terpaksa menerima Iqram sebagai
suaminya. Tanpa sedar, dia terus meraih tubuh Ain lalu memeluk seeratnya.
“Abang minta maaf, Ain. Abang berdosa dengan Ain.”
“Abang Rish… Please
jangan macam ni. Kita berdua bukan adik beradik kandung. Tak halal untuk
bersentuh-sentuhan macam ni. Berdosa, Abang Rish.” Perlahan dia menolak tubuh
itu.
BARU
sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik, tiba-tiba ada tangan menyambar
kasar sepasang tangannya. Terkejut Ain bukan kepalang. Namun dia tak mampu
berbuat apa-apa. Sedar tak sedar, tubuhnya sudah dihempaskan kasar ke dinding.
Sakitnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu!
Kelopak matanya diluaskan. Anak matanya singgah pada
seraut wajah di hadapannya. Terkebil-kebil sekejap. Awak… kenapa awak buat saya
macam ni? Saya ni isteri awak. Kenapa awak berkasar dengan saya? Kenapa awak
langsung tak ada belas kesian kepada saya? “Awak… kenapa…”
“Shut up!”
Bergema suara itu memenuhi ruang rumah itu.
Terkejut sungguh Ain mendengar suara lantang itu.
Menggeletar seluruh tubuhnya. Sudahnya dia memalingkan wajah sambil memejamkan
kelopak matanya. Takut! Dia benar-benar takut! Muka garang itu jelas tergambar
di ruang matanya. Kenapa?
“Pandang sini, Ain!!”
Ain masih mengeraskan tubuh. Tak mahu! Saya tak nak
tengok awak! Saya takut tengok awak macam ni! Kenapa awak marah saya?
Melihat kedegilan isterinya, laju sahaja tangan
kanannya mencengkam muka Ain, lalu dipalingkan menghadapnya.
Ain memejamkan kelopak matanya kejap. Awak… jangan
berkasar dengan saya. Saya tahu awak baik. Awak tak pernah berkasar dengan orang
lain. Tapi… kenapa awak perlu berkasar dengan saya? Apa salah saya, awak?
“Buka mata tu, Ain! Pandang mata aku ni!”
“Tak nak!” Suara terketar-ketar itu jelas
menunjukkan rasa takutnya.
“Kenapa kau selalu buat aku sakit hati, hah? Kau
faham tak yang kau tu isteri aku! Isteri aku, Ain!”
Perlahan kelopak matanya dibuka. Kenapa dia
tiba-tiba mengaku aku isterinya? Bukan ke selama ini memang dia menidakkan
semua itu. Kolam mata yang digenangi air mata itu memandang sepasang anak mata
suaminya. “Kenapa… awak…”
“Kenapa kau jumpa dia, Ain? Kenapa?!”
Sekali lagi suara itu bergema kuat dan sekaligus
menambahkan rasa takutnya. Saat ini tubuhnya sudah menggeletar hebat. “Si...
siapa?”
“Jangan buat tak tahu, Ain! Aku nampak dengan mata
kepala aku sendiri! Kenapa kau jumpa Farish?”
Jadi, itulah sebabnya? Dia nampak? Macam mana dia
boleh ada kat situ? “Di.. dia.. kan adik awak… Adik… Adik ipar saya… juga…”
Menggigil! Suaranya menggigil. Seluruh anggota badannya juga kelihatan
menggigil ketakutan.
“Kau tipu, Ain! Siap peluk-peluk tu apa? Kau jumpa
dia sebab cinta lama kau, kan? Baik kau mengaku sebelum aku lebih berkasar
dengan kau.”
Menitis air matanya satu persatu. Pegangan kejap di
tangan kanan dan di mukanya benar-benar menyakitkan. Hatinya… Lagilah terasa
sakitnya! Kenapa Iqram masih tak sudah-sudah nak menuduh aku? Sejak dulu lagi!
“Jangan nak berpura-pura dengan air mata kau tu, Ain!
Aku benci dengan kau! Aku benci kau!” Cengkaman pada muka Ain dilepaskan kasar.
Tetapi kali ini tubuh Ain pula dihempas kasar ke dinding.
“Ain minta maaf… Ain tak…”
“Tak perlu kau nak minta maaf dengan aku! Aku tak
akan maafkan segala dosa kau dengan aku. Isteri jenis apa kau ni? Hidup kau
hanya menyusahkan aku semata-mata! Kau penghancur kebahagiaan aku! Kau
pengkhianat! Sanggup kau menduakan suami kau, kan? Perempuan jahanam!”
“Ain tak…”
“Tipu!”
“Betul! Ain tak…”
Pang! Laju tangannya menampar pipi Ain. Amarahnya
dilempiaskan juga ke pipi Ain. Sakit hati bila Ain berterusan menidakkan apa
yang telah dilakukan.
Ain terdiam! Berjuraian air mata jatuh ke pipi.
Hancur berkecai sekeping hatinya. Sakit di pipi bukan main lagi. Tetapi sakit
di hati, lebih teruk lukanya. Sampai hati awak tampar saya. Sampai hati awak
berkasar dengan saya macam ni.
Melihat air mata yang berderaian di pipi Ain, Iqram
terus terkaku. Ya Allah… Apa aku dah buat ni? Kenapa aku sanggup naikkan tangan
ke muka Ain? Anak matanya singgah tepat pada pipi yang jelas berbekas
kemerahan.
Untuk beberapa minit, masing-masing masih terdiam
kaku. Sudahnya Iqram mengangkat kaki meninggalkan Ain yang masih menitiskan Ain
mata. Tangannya terasa kebas. Bagaimana pula dengan pipi Ain? Pasti sakit! Rasa
bersalah datang menyerang tangkai hati. Tetapi perasaan sakit hati lebih
bermaharajalela. Tanpa ucapan maaf atau pujukan, dia terus mencapai kunci
kereta lalu meninggalkan rumah.
#
Ajari Aku Untuk Mencintaimu
Sambung please....
ReplyDeletePlease writer...
Saya akan sambung lagi. =) tq
Deleteya ALLAH, kesiannya AIn. tak sudah2 rumah tangganya diuji. :(
ReplyDeletesetiap yang bernama manusia pasti akan diuji, kan? =) tq
DeleteHmmm. Sambung pls. Geram tak hbis dgn iqram nih.
ReplyDeleteMemang geram, kan? =) tq
Delete