BAB 11
Kita
hanya mampu merancang,
tetapi
Allah yang akan menentukan segalanya…
BUK!
Terkejut yang teramat sangat apabila satu penumbuk
singgah tepat ke mukanya. Lambat-lambat dia berpaling ke belakang. Sepasang
anak matanya mencari seraut wajah yang sudah melepaskan penumbuk ke mukanya.
Iqram!
“Tak guna kau, kan? Kenapa kau cari Ain lagi? Tak
puas lagi dengan apa yang kau dah buat pada dia?” Seraut wajah Iqram jelas
kelihatan merah menyala menahan amarah yang membuak di dalam dada. Jika
diikutkan hati yang panas, bukan hanya satu! Tetapi berpuluh-puluh penumbuk
yang akan singgah ke muka lelaki di hadapannya ini.
“Abang Ram… Rish nak…”
“Kau nak apa?! Kenapa kau balik, hah? Kalau macam
inilah perangai kau baik kau jangan balik langsung, Rish! Aku benci betul
tengok muka kau ni. Menyakitkan hati!”
Farish diam. Membiarkan sahaja Iqram menghemburkan
amarahnya. Ya, dia tahu! Memang wajar Iqram marahkan dia bersungguh-sungguh.
Silap dia. Dan yang menjadi mangsa adalah Iqram.
“Kau sedar tak apa yang kau dah buat selama ni,
Rish? Yang jadi mangsa adalah aku! Aku yang terpaksa menghadap muka Ain.
Terpaksa jadi kambing hitam. Yang dipersalahkan adalah aku! Kau dah rosakkan
Ain. Lepas tu kau tinggal dia macam tu aje. Boleh pulak kau larikan diri masa
majlis tu! Kau memang sengaja nak malukan mama, kan? Kau memang sengaja nak
susahkan aku, kan?”
Farish |
“Rish minta maaf.” Itu sahaja yang mampu
diperkatakannya. Jujur, dia sendiri sudah menyesal dengan apa yang berlaku.
“Maaf?! Apa guna perkataan maaf tu sekarang ni? Lima
bulan, Rish! Lima bulan baru kau nak balik ke sini? Buat apa lagi? Nak tuntut
anak kau? Huh, sorrylah Rish! Ain tak
mengandung anak kau! Jadi kau jangan harap boleh dapatkan Ain semula. Dia bukan
barang mainan yang boleh kau tolak bila tak nak dan ambil bila kau nak.”
“Abang Ram… Rish tahu silap Rish. Tapi Abang Ram
juga silap sebab tak pernah menghargai Ain. Ain tu…”
Iqram mengecilkan anak matanya. Farish tahu semua ni
ke? Daripada mama? Atau Ain sendiri yang mengadu kepada Farish? Belum sempat
Farish menghabiskan ayatnya, satu lagi tumbukan singgah di muka Farish.
“Ram! Rish!” Suara Puan Aryana kedengaran nyaring di
muka pintu rumah.
Serentak Iqram dan Farish menoleh. Masing-masing
mula terdiam kelu.
“Ya Allah… Apa dah jadi dengan kamu berdua ni?
Kenapa sampai bertumbuk bagai ni? Ram… Rish ni adik kamu. Kenapa perlu
bertumbuk macam ni?” Puan Aryana mula memicit kepalanya perlahan. Pening dengan
kerenah dua anak lelakinya ini.
“Kenapa mama tak pernah bagitahu Ram yang Rish dah
balik? Ataupun mama memang sengaja nak sembunyikan daripada pengetahuan Ram?”
“Ram… Mama bukan tak nak bagitahu Ram. Tapi mama
tahu, kalau mama bagitahu Ram perkara macam ni akan berlaku. Mama tak suka
tengok anak-anak mama bergaduh. Mama tak suka tengok anak-anak mama bertumbuk
macam ni. Ram dan Rish dah besar panjang. Sepatutnya dah tahu fikir yang mana
baik dan yang mana buruk.”
Farish diam membisu. Cuma sesekali jemarinya
mengelap darah yang mengalir melalui celah bibirnya yang terluka akibat
tumbukan padu Iqram. Ya, memang silapnya! Jadi memang wajar jika Iqram mengamuk
macam ni. Kerana yang menjadi mangsa adalah Iqram.
“Hati Ram ni sakit sangat, mama. Bila tengok muka
Rish, Ram terbayang-bayang perkara buruk yang dia lakukan kepada Ain. Tambahan
pula dia berani cari Ain lagi selepas apa yang dia dah buat. Ikutkan hati Ram,
nak saja Ram tumbuk muka dia sampai hancur. Sakit hati sangat!”
“Ram… Jangan macam ni. Perkara dah berlalu. Tak
mungkin masa boleh diundurkan semula. Yang buruk itu jadikan pengajaran. Supaya
kesilaan yang sama tidak akan berulang lagi. Jika hati Ram terluka sekali, hati
mama ni lebih terluka berkali-kali Ram. Makin kecewa bila tengok anak-anak mama
bergaduh macam ni.” Sekali lagi dia memicit kepala yang terasa pening. Selang
beberapa saat, tubuhnya rebah. Kemudian, dia sudah tidak sedar apa-apa.
“Mama!” Serentak Iqram dan Farish melulu ke arah
mama.
“Rish… Hidupkan kereta. Kita bawa mama ke hospital.
Biar Abang Ram bawa mama ke kereta.”
Tanpa menunggu lama, Farish terus mencapai kunci
kereta lalu meluru ke arah keretanya. Iqram pula mencepung tubuh mamanya ke
kereta milik Farish.
Ya Allah… Apa yang dah aku buat ni? Aku dah buat
mama risau. Aku dah buat mama jatuh sakit dengan perangai aku yang
kebudak-budakkan ini. Rasa menyesal datang menjengah. Harap-harap mama tak
apa-apa.
KETUKAN
bertalu-talu di muka pintu biliknya membuatkan Ain tersentak. Keluhan kecil
dilepaskan sebelum tangannya meletakkan novel yang baru ingin dibaca di atas
meja semula. Siapa lagi yang suka ketuk pintu macam tu kalau bukan Iqram?
Sudahlah tak bagi salam!
Kaki dilangkahkan ke arah pintu lalu memulas tombol.
Bukannya berkunci pun! Boleh aje bukak sendiri. Tapi encik suami saya ni memang
suka buat bising malam-malam macam ni! “Nak apa?”
Iqram memandang seraut wajah di hadapannya. Boleh
dia tanya nak apa? Macam tak ikhlas aje soalan macam tu! “Tidur ke?”
“Baca novel.”
“Kita pergi rumah mama sekarang. Mama jatuh pengsan
tadi.”
“Hah?”
“Tak payah nak nganga luas sangat. Pergi tukar baju
sekarang. Lima minit! Kalau kau lambat, aku tinggal!”
Ain melepaskan keluhan kecil sebelum kakinya
dilangkahkan masuk semula ke dalam bilik. Lima minit? Sempat ke? Bersiap ala
kadar sudahlah! Sehelai blause yang tidak perlu digosok dicapai dari dalam
almari. Sehelai skirt labuh berwarna hitam dipadankan. Simple! Tapi nampak kemas.
Selepas mengenakan tudung, Ain melangkahkan kaki ke
muka pintu bilik. Belum sempat tangannya mencapai tombol pintu, daun pintu
bilik itu sudah ditolak dari luar. Ain bergerak ke kanan bagi mengelakkan daun
pintu terkena muka. Anak matanya bertemu pandang dengan sepasang anak mata
suaminya yang jelas terkejut apabila terpandangkan kelibatnya di depan muka pintu.
“Lambat betul! Kau nak ikut ke tidak?” Sempat anak
mata Iqram melirik pandang sekujur tubuh isterinya. Kerutan jelas tergambar
pada dahinya. Dia pakai cantik-cantik sangat buat apa? Nak ke rumah mama aje
pun!
“Belum lima minit pun.” Ain menjawab perlahan.
“Yang kau ni pakai cantik-cantik, nak ke mana? Nak
melawat mama ke nak jumpa Farish? Tukar baju ni sekarang! Aku tak suka kau
pakai baju ni.”
“Apesal pulak? Baju ni cuma…”
“Aku cakap tukar sekarang! Kau pekak ke? Ke nak
suruh aku tolong tukarkan untuk kau? Cakap sekali tak dengar! Nak suruh aku
cakap berapa kali baru nak dengar agaknya?”
Ain mengetap bibir geram. Jelingan tajam dilemparkan
sebelum tangannya menutup daun pintu dengan laju. Sikit lagi nak terkena batang
hidung Iqram. Kalau terkena terus pun tak apa. Menyusahkan orang betullah. Tadi
cakap nak cepat. Lepas tu suruh tukar baju pulak. Padahal bukannya aku pakai
baju ketat dan seksi pun. Blause simple
aje! Haih, geram!
Sehelai baju kurung jenis kain cotton dicapainya
dari dalam almari. Pakai baju kurung senang sikit. Tak adalah harimau jadian tu
nak mengaum lagi. Tak perlu gosok kot! Tak berkedut sangat pun.
Sepantas kilat dia menyarungkan baju kurung ke
tubuhnya. Mana tidaknya? Kat luar rumah dah bising dengan bunyi hon kereta
Iqram. Haih, kalau macam ni gayanya, boleh sakit jantung! Semua nak
cepat-cepat!
Sampai di muka pintu rumah, Ain teragak-agak untuk
melangkah. Kalau aku ke rumah mama, Abang Rish akan ada kat sana ke? Macam mana
dengan Iqram? Sungguh, dia risau Iqram akan marahkan dia lagi. Cukuplah sekali
tangan Iqram singgah ke pipinya. Rasa sakitnya masih terasa sampai sekarang.
Dan dia sudah berjanji pada diri sendiri yang dia tidak akan jumpa Farish lagi.
Tapi…
“Tunggu apa lagi? Jangan nak terhegeh-hegeh sangat
boleh tak?”
Tanpa menunggu lama, Ain menyarungkan sandal. Kaki
dilangkahkan ke kereta. Dia berhenti di sisi pintu kereta. Cermin tingkap di
sisi Iqram diketuknya perlahan.
Tanpa menunggu lama, Iqram menurunkan cermin di
sisinya. “Nak apa pulak?”
“Err… malam ni kita tidur rumah mama ke?” Kalau
tidur kat rumah mama, kena bawak baju spare.
“Tak payah nak mengada.”
“Tapi takkanlah nak tinggalkan mama yang tak sihat
sorang-sorang?”
“Farish ada. Boleh tengok-tengokkan mama. Dah! Tak
payah nak banyak cakap sangat. Naik!”
Ain melepaskan keluhan kecil sebelum menjungkitkan
kedua-dua belah bahunya. Kaki dilangkahkan ke arah pintu kereta lalu meloboskan
diri.
“Pakai baju kurung macam ni lagi elok! Tak adalah
menjolok mata.” Suaranya mengomel perlahan sahaja. Nmaun sempat didengar oleh
sepasang telinga Ain.
Ain menoleh ke sisinya. Sedap-sedap dia aje mengata
aku. Baju yang aku pakai tadi menjolok mata ke? Tak ketat pun! Seksi? Lagilah
tak. “Tadi saya…”
“Pakai seatbelt!”
Iqram terus menyampuk.
Malas mahu mulakan pergaduhan, Ain terus menarik seatbelt. Beberapa kali ditariknya,
masih belum berjaya. Apa hal? Seatbelt
ni pun suka buat perangai macam tuan kereta ni ke?
Iqram menoleh ke sisinya. Lembik! Tarik seatbelt pun tak boleh! “Boleh ke
tidak?”
“Tak boleh!”
Melihat muncung sedepa isterinya, Iqram rasa ingin
tergelak. Namun ditahan senyumnya supaya tidak jelas kelihatan. “Tepilah!” Dia
menolak perlahan tubuh isterinya sebelum merapatkan tubuh untuk menarik seatbelt di sisi Ain.
Ain menahan nafas. Bau perfume Iqram terasa menusuk masuk ke rongga hidungnya. Bulat anak
matanya memandang sekujur tubuh yang dekat dengan mukanya. Sengaja dia tolak
macam tu, kan?
Sekali tarik sahaja, seatbelt itu sudah berjaya ditarik. Senyuman sinis terbit di
bibirnya sebelum dia menoleh ke arah seraut wajah yang dekat dengan mukanya
itu. “Kau memang sengaja, kan? Kau suka kalau aku dekat-dekat dengan kau macam
ni, kan?”
Ain mengetap bibir geram. Apa dia ingat aku hadap
sangat? Suka sangat rapat-rapat macam ni? Nonsense!
Tidak menunggu lama, kedua-dua belah tapak tangannya terus menolak muka
suaminya supaya menjauhi mukanya. “Jangan nak perasan sangat!”
Iqram ketawa sinis apabila tubuhnya sudah kembali
berada di dalam keadaan normal. “Bukannya aku yang perasan. Tapi aku dapat
dengar detak jantung kau yang kuat tu.” Dia terus menukar gear kereta dan
kereta itu terus memecut laju.
Ain diam. Kepala ditoleh ke sisi tingkap. Tipulah
kalau dia cakap tak berdebar. Tapi betul ke Iqram boleh dengar detak jantungnya
yang berirama deras? Tak mungkinlah! Bukan bersentuhan pun!
Melihat Ain yang diam membisu, Iqram turut diam.
Jujur, sebenarnya jantungnya juga turut dipalu kuat saat tubuhnya rapat dengan
tubuh Ain. Ain pakai perfume jenama
apa ya? Aromanya cukup memikat. Aroma yang mampu membuat bulu romanya tegak.
Rasa macam… rasa macam nak peluk aje tubuh dia tadi. Tapi nasib baiklah masih
boleh berfikir dengan waras. Kalau tak… tak tahulah apa akan jadi tadi!
Haih… Iqram! Kau dah gila ke apa ni?
“TAK
tidur kat sini ke Ain?” Lemah suara Puan Aryana menyoal menantunya. Sempat anak
matanya singgah pada raut wajah gelisah Iqram. Sudah pastilah Iqram tak akan
izinkan sebab Farish juga ada di dalam rumah yang sama.
“Err… tak boleh, ma. Ain kena balik. Esok abang
kerja. Baju kerja abang belum gosok lagi.” Alasan! Tapi tak menipu ya. Memang
baju kerja Iqram belum digosoknya. Biasanya dia akan menggosok baju itu di awal
pagi.
“Hmmm… Kalau macam tu Ain dan Ram baliklah dulu. Dah
lewat malam ni. Lagipun esok Ram kerja, kan? Kesian pulak kat Ram tidur lambat.”
Ain mengerlingkan ekor matanya sekilas ke arah
Iqram. Dah cakap tadi, kan? Apa salahnya tidur kat rumah mama malam ni? Mama
sakit macam ni pun dia boleh nak layan cemburu buta dia ke?
Iqram yang perasankan jelingan maut itu sekadar
mencemikkan muka sambil menjungkitkan kedua belah bahunya. Mujur sahaja dia
membelakangi mama. Kalau tak mama memang akan nampak riak mukanya.
“Kalau Ain balik, mama okey ke?” Serba salah Ain
dibuatnya.
“Mama tak apa-apalah. Lepas makan ubat nanti mama
terus tidur. Bangun pagi esok eloklah ni. Lagipun Rish ada. Boleh
tengok-tengokkan mama. Ain baliklah. Dah dekat pukul sebelas ni.”
“Kalau macam tu, Ram dengan Ain balik dululah mama.
Kalau ada apa-apa mama suruh Rish call
Ram terus ya?”
“Call Ain
pun boleh mama.”
“Call Ain?
Tak payahlah, mama. Ain ni kalau tidur memang tak ingat dunia. Bukannya dia
sedar bom meletup kat tepi telinga. Inikan pula nada dering telefon.” Sengaja
dia menokok tambah. Sebenarnya dia takut Farish yang akan menelefon Ain.
Ain mengerutkan muka sambil menjegilkan anak mata ke
arah suaminya.
Iqram sekadar mencebik sambil menjungkitkan
kedua-dua belah bahunya. Sempat juga dia bersuara perlahan. “Telefon kau aku
yang pegang malam ni!”
“Tak payah risaukan mama. Mama dah okey ni.”
“Kalau macam tu, Ram dengan Ain balik dululah ya,
mama? Ain… tak nak balik ke?”
Kalau ikutkan hati
memang tak nak balik pun! “Ain balik dulu, ma. Assalamualaikum.” Selepas
menghulurkan salam, dia terus meminta diri. Maklumlah, angin orang kat sebelah
ni serba tak kena! Bukannya boleh nak duduk lama-lama. Nasib badanlah, Ain.
#
Ajari Aku Untuk Mencintaimu
next please....
ReplyDelete=)
DeleteHishhh. Kuat cmburu btul iqram nih. Kata tak suka. Tak faham btul.
ReplyDeleteCemburu tandanya sayang... =) tq
Deletekata xsuka. tapi cemburunya mengalahkan orang yang tengah bercinta pula. heh Iqram ni ego betulla.
ReplyDeleteMemang ego betul, kan? =) tq
DeleteBest
ReplyDelete