Sunday, December 20, 2015

Hanya Untuk Dia - Prolog



PROLOG

ZAHRA melajukan langkah sepasang kakinya. Sesambil itu, air matanya menitis jatuh lagi ke pipi. Semuanya sebab Abang Hud! Kenapa dia selalu macam tu? Langsung tak nak jaga hati dan perasaan aku. Asyik ‘buah’ dia sahaja yang betul. Yang aku cakap, semuanya tak betul! Ya Allah, sakitnya hati ini!
Tanpa salam atau sapaan, sepasang kakinya terus menapak ke dalam rumah. Teguran nenek di ruang tamu langsung tidak diendahkan. Anak matanya terus mencari kelibat seorang lelaki. Mana dia?
“Zahra cari apa? Salam tak ada, apa tak ada, main redah masuk rumah macam tu aje?”
“Abang Hud mana, nek?” Nafas deras mengiringi soalannya.
“Hud kat dapur. Kenapa dengan Zahra ni? Zahra menangis ke?”
“Ya, memang Zahra menangis. Abang Hud yang buat Zahra menangis macam ni. Zahra benci Abang Hud.”
Hud mengerutkan dahi. Sayup-sayup, sepasang telinganya seperti mendengar suara seseorang menyebut namanya. Zahra dah balik ke? Langkah kaki diatur menuju ke ruang tamu.
Di depan pintu dapur, dia terserempak dengan seraut wajah yang kelihatan sudah merah padam. Ada sisa air mata yang masih tertinggal di kelopak mata bulat itu. Kenapa? Apa yang dah terjadi? “Zahra? Kenapa…”
“Tak payah tanya Zahra kenapa! Sekarang ni Zahra yang nak tanya Abang Hud!”
Hud mengerutkan dahi. Pelik melihat tingkah yang kelihatan benar-benar marah itu. Dia diam. Tetapi kepalanya tetap mengangguk perlahan. Cuba memberikan peluang kepada adiknya untuk bertanya soalan.
“Kenapa Abang Hud suka sangat buat Zahra macam ni? Apa yang Abang Hud tak puas hati sangat? Cuba berterus-terang dengan Zahra!”
Kepala yang tidak gatal digarunya perlahan. Nak berterus-terang pasal apa ya? Marah betul?! Jangan-jangan pasal…
“Kenapa Abang Hud bergaduh dengan Radzi? Kenapa Abang Hud cakap bukan-bukan kepada Radzi? Zahra tak suka Abang Hud buat macam tu. Berapa kali Zahra nak kena ulang benda yang sama?”
“Zahra… Hud… Ada apa ni? Kenapa Zahra marah-marah ni? Kalau ada masalah, boleh berbincang elok-elok, kan? Bukan bercakap macam nak berperang macam ni.” Puan Atikah cuba menyampuk dalam perbalahan dua beradik itu. Sebelum ini Zahra tidak pernah marah-marah sampai macam ni sekali. Apatah lagi bila dengan Hud. Apa yang Hud dah buat?
“Zahra benci Abang Hud, nek! Zahra benci dia!” Tanpa menjawab soalan nenek, Zahra terus melangkahkan kaki ke anak tangga. Mendaki anak tangga laju ke tingkat atas.
Hud diam tidak berkata apa. Ya, dia mengaku! Memang salah dia. Dia yang cari Badrul Radzi. Kerana marahkan kata-kata lelaki itu, dia melepaskan juga penumbuk sulungnya ke muka Badrul Radzi. Tetapi nasib tak baik. Kena tangkap dengan guru disiplin. Kecoh satu sekolah dengan berita pergaduhan itu. Mungkin sebab itu Zahra nampak marah sangat.
“Apa dah jadi ni, Hud?” Puan Atikah masih tidak berpuas hati. Tiada jawapan daripada kedua-dua cucunya. Persoalan demi persoalan mula mengasak minda.
“Hud… Hud… Err… Nantilah Hud cerita. Hud nak naik solat sekejap ya, nek.” Kali ini giliran Hud pula yang menonong melangkah mendaki anak tangga meninggalkan Puan Atikah yang masih terpinga-pinga sendirian.
Sudahnya Puan Atikah hanya mampu menggelengkan kepala. Pening sungguh kepalanya dengan dua cucunya ini. Kalau sehari tak bergaduh, tak boleh agaknya? Dulu tinggal berdua okey saja. Baik-baik sahaja. Tapi bila dah besar macam ni, semuanya keras kepala. Hari-hari nak bergaduh! Haih, pening betul!


HUD termenung panjang di jendela biliknya. Berkali-kali keluhan kecil dan kasar silih berganti dilepaskan. Terlajak perahu boleh diundur. Tapi jika terlajak perkataan, binasa jadinya.
Kali ini dia meraup wajahnya pula. Menyesal kemudian dah tak ada gunanya, Hud! Sungguh, dia benar-benar menyesal kerana sekali lagi dia menaikkan kemarahan Zahra. Zahra pula merajuk sampai tak turun makan malam. Puas nenek memujuknya. Tetap juga Zahra tidak turun makan.
“Hud… Jangan ambil hati sangat dengan Zahra tu. Dia kan masih budak-budak.”
Pujukan nenek sebentar tadi datang menyapa ke corong telinganya.
Nek… Zahra bukan budak-budak lagi. Zahra dah besar panjang. Dah lima belas tahun, nek. Kalau Hud boleh berdikari sampai macam ni sekali, kenapa tidak Zahra? Sepatutnya Zahra yang boleh jadi lebih matang berbanding Hud. Dia perempuan, nek. Dia sepatutnya lebih berdikari. Lebih faham apa erti tanggungjawab.
Jangan terlalu manjakan Zahra tu, Hud. Dia anak perempuan umi. Umi nak dia jadi seorang muslimah solehah yang bertanggungjawab. Umi nak dia menjadi seorang wanita yang tabah dan kuat jiwa raganya. Lebih kuat dari Hud.”
Kali ini pesanan arwah umi pula yang bergema kuat di dalam benak fikirannya. Umi… Hud gagal umi. Hud gagal membimbing Zahra menjadi seperti yang umi mahu. Hud tak pandai nak bentukkan acuan hidupnya seperti mana yang umi impikan.
“Hud… Anak abah yang baik. Zahra juga anak abah yang baik. Kasih sayang abah buat Hud tak pernah kurang atau lebih. Apa yang Zahra dapat, Hud pun akan dapat sama. Abah tak akan lebih-lebihkan dia kerana dia adalah seorang perempuan. Abah akan bahagi kasih sayang abah sama rata.”
Abah… Hud dah cuba. Hud dah berusaha untuk melimpahkan kasih sayang Hud kepada Zahra sebaik yang mungkin. Seperti mana pesan abah. Tapi Hud juga perlukan kasih sayang Zahra, abah.
Kenapa Zahra tak pernah nak faham Hud? Kenapa Zahra selalu fikir yang Hud kongkong hidup dia? Kenapa Zahra selalu pesongkan niat baik Hud? Hud tak faham semua tu, abah. Hud tak mampu menjadi anak abah yang baik sepertimana yang abah mahukan.
“Nenek tinggal dengan Hud dan Zahra baru tiga tahun. Tapi nenek dah dapat baca hati Hud dan hati Zahra. Hud… Banyakkan bersabar. Zahra masih perlukan bimbingan Hud. Nenek tahu Hud seorang yang penyabar. Seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Nenek suka dengan cara Hud mendidik Zahra. Selagi tidak terpesong, nenek tak akan halang.”
Cuma itu sahaja kekuatannya ketika ini. Cuma nenek seorang. Jika nenek tiada, entah apa yang akan terjadi kepada dia dan Zahra. Umi dan abah dah jauh dari mata. Dah jauh meninggalkan dunia pinjaman Allah ini. Dan di usia tujuh belas tahun ini dia cuma ada seorang nenek yang menjadi tulang belakangnya untuk meneruskan langkah.
Ya Allah… Panjangkanlah usia nenek. Supaya aku sentiasa kuat untuk mendidik Zahra seperti mana impian umi dan abah. Supaya aku terus bersabar dengan kerenah Zahra. Jadikanlah aku dari golongan hambaMu yang bersabar.
Langkah kaki diatur ke bilik yang dihuni Zahra. Daun pintu ditolaknya perlahan. Dalam samar cahaya lampu tidur, dia dapat melihat dengan jelas sekujur tubuh yang sudah berselimut rapi.
Perlahan langkahnya diatur menghampiri gadis itu. Bibirnya mengukirkan senyuman kecil. Sepayah mana pun bibir ini ingin bergerak, dia tetap kuatkan untuk terus mengukirkan senyuman buat satu-satunya adik yang dia ada di atas muka bumi pinjaman Allah ini.
Seraut wajah itu direnungnya lama. Andainya aku mampu, ingin ku belai rambutmu. Menyatakan perasaan kasih dan sayangku untukmu, Zahra. Tetapi aku tak mampu lakukan semua itu. Kerana kau takut hatimu akan terguris luka.
I’m sorry, Zahra. Abang minta maaf sebab meninggikan suara kepada Zahra petang tadi. Abang tak sengaja. Please… jangan merajuk lama-lama dengan abang. Abang risaukan Zahra. Dan abang harap, Zahra akan turun makan sekejap nanti.” Selepas membetulkan selimut Zahra, Hud mematikan suiz lampu sebelum melangkah keluar dari bilik itu.
Sebaik sahaja mendengar pintu biliknya tertutup rapat, Zahra mencelikkan kelopak mata. Suiz lampu dibukanya semula. Kali ini bibirnya mengoyakkan senyuman kecil.
Itulah abang saya! Hud Amirullah. Satu-satunya lelaki dalam hidup saya yang selalu mengambil berat tentang saya. Selalu risaukan saya. Selalu sayangkan saya lebih daripada sayangkan nyawa sendiri.
“Terima kasih sebab risaukan Zahra. Sebenarnya Zahra memang lapar pun. Saja nak tunggu Abang Hud datang pujuk dulu. Kejap lagi Zahra turunlah makan.” Selimut diselak lalu tapak kaki dilabuhkan ke muka lantai. Apa lagi? Curi-curi menyelinap ke dapurlah!
Di satu sudut ruang tamu, dalam kegelapan malam dan dalam samar-sama lampu neon, Hud sekadar menjadi pemerhati. Dalam diam bibirnya menguntum senyum.
Eleh, merajuklah sangat, kan? Rupa-rupanya ada kucing kepala hitam sedang curi makan kat dapur. Siapa lagi kalau bukan adiknya, Az-Zahra Huwaida.
Kali ini Hud sudah mampu melepaskan nafas kelegaan. Mujurlah rajuk Zahra tak lama. Akhirnya dia turun makan juga. Lenyap segala kerisauannya. Berganti pula dengan rasa mengantuk. Apa lagi? Masuk tidurlah pula!


No comments:

Post a Comment