PROLOG
Untukmu sahabat…
Assalamualaikum, Sha.
Semoga kau berada di dalam kesihatan yang baik.
Pertama sekali, aku
nak minta kau baca surat ini sampai ke titik penamat. Mungkin ketika kau
menerima surat ini, aku sudah kembali ke rahmatullah, ataupun aku masih
terlantar di atas katil hospital dan menunggu malaikat maut datang menjemput.
Aku nak minta
maaf untuk semua yang telah berlaku kepada kita di zaman persekolahan yang
lalu. Maaf, aku tak sempat meminta maaf dengan kau sendiri. Aku tulis surat ini
di dalam keadaan yang tidak sihat. Dan mungkin kita tidak akan sempat bertemu
di dunia ini lagi.
BARU
beberapa baris ayat yang dibaca. Namun, air matanya sudah laju menitis ke pipi.
Terbayang-bayang wajah Ekin yang kesakitan sambil mengarang surat berjumlah
tiga muka surat ini.
Sha meneruskan lagi bacaan surat itu. Sungguh, dia
ingin tahu semuanya. Tentang Ekin, dan juga tentang Arshad.
Sha… untuk
pengetahuan kau, aku tak pernah salahkan kau. Ya, aku mengaku, pada awalnya aku
memang sedih, marah, dan tidak mampu menerima kenyataan dengan apa yang telah
terjadi. Aku sedih apabila dirogol oleh lelaki yang tidak dikenali. Lelaki
jahat yang aku akan ingat setiap kejahatannya sampai mati. Perasaan sedih
datang bertimpa-timpa apabila mengetahui ada satu nyawa haram yang mula
membesar di dalam rahim aku. Tetapi kemarahan aku mula reda apabila Arshad sudi
menyelamatkan maruah aku.
“Berilah berita gembira kepada orang-orang
yang sabar, iaitu orang-orang yang pada waktu ditimpa musibah mereka berkata;
Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali.
Mereka itulah yang mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka
itulah orang-orang yang memperoleh petunjuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 156-157)
Shad selalu
ulang tafsir surah Al-Baqarah itu apabila berbual dengan aku. Dia juga berusaha
keras untuk menghapuskan trauma aku. Dia banyak bersusah-payah menerima hinaan
orang kerana aku. Maaf sekali lagi, Sha. Aku tahu kau sukakan Shad. Aku juga
tahu Shad sukakan kau. Cuma, ketika itu keadaan benar-benar terdesak. Keluarga aku
memaksa Shad supaya menikahi aku kerana mereka fikir Shad yang lakukan
perbuatan kejam itu kepada aku.
Kau percaya
dengan takdir Tuhan, kan? Sudah tentu ada hikmah tersembunyi di sebalik apa
yang berlaku, kan?
“Dan
sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar kamu mengetahui
orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan
(baik buruknya) hal ehwalmu”. (Surah Muhammad, ayat 31)
Sha menghentikan
bacaan tulisan tangan itu. Air mata yang menitis jatuh ke pipi disapu perlahan.
Sungguh, terasa sesak nafasnya untuk terus membaca isi kandungan surat itu.
Apatah lagi apabila mengetahui satu rahsia yang besar. Rahsia yang tidak pernah
disebut oleh sesiapa pun termasuklah Arshad.
‘Rupa-rupanya Arshad pernah berkahwin dengan Ekin.’
Hati kecil bersuara perlahan.
Nafas ditarik sedalam mungkin. Seribu kekuatan cuba
diserapkan ke dalam hati untuk kembali menatap lembaran surat itu.
Sha… Sekali lagi
aku minta maaf. Tetapi aku nak kau tahu satu perkara. Selepas Shad terjaga dari
koma selama sebulan, dia hilang ingatan. Tetapi dia masih ingat aku walaupun
dia tak ingat apa yang pernah terjadi ketika perkhemahan itu.
Dan maaf, ketika
itu Shad langsung tak ingat kau. Setiap hari aku bercerita pasal kau kepada
dia. Tetapi dia masih tidak mampu mengingati semuanya termasuklah kejadian
ketika perkhemahan itu. Aku mula berhenti bercerita pasal kenangan lama apabila
ibu bapa Shad menasihati aku supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Kami berkahwin,
Sha. Namun aku tahu, Shad tidak pernah cintakan aku. Kadang-kadang, hampir
setiap malam dia bermimpi dan sebut nama kau. Tapi aku pelik, Sha. Apabila
bangun keesokannya, dia langsung tak ingat yang dia mimpi dan sebut nama kau.
Ketika itu aku yakin, separuh jiwanya selalu fikirkan tentang kau. Separuh
jiwanya masih selalu merindui kau, Sha.
Sha menghentikan lagi bacaan surat itu. Senyuman
hambar terlakar di wajahnya. Nafas sesak yang tersekat-sekat menahan sendu
dihela perlahan-lahan.
‘Ekin… kalaulah kau tahu apa yang berlaku kepada
aku, sudah tentu kau tak akan cakap macam ni. Dia bencikan aku, Ekin. Dia
selalu meletakkan kesalahan itu di atas bahu aku seorang. Dan dia juga telah
mencambahkan kebencian yang teruk di dalam hati aku.
Aku benci dia, Ekin. Dia jahat!’
Sha… jangan
salahkan Shad sekiranya dia tak kenal kau bila Tuhan temukan semula kau dan dia
suatu hari nanti. Jangan salahkan Shad sekiranya dia masih menyalahkan kau di
atas apa yang terjadi kepada aku. Yakinlah, aku lebih tahu yang kau tidak
bersalah. Tuhan lebih tahu apa sebenarnya yang terjadi ketika itu.
Sha… boleh tak
aku nak minta satu pertolongan daripada kau? Aku minta tolong, jangan bagi Shad
baca surat ini selagi dia tak maafkan kau. Aku tak nak kerana surat ini dia
menyedari kesilapan dia. Aku nak dia maafkan kau dengan seikhlas hati. Semoga
ketika itu, aku tenang ‘di alam abadi’, Sha. Janji, ya?
Perkara terakhir
yang aku nak cakap adalah tentang kemaafan. Allah SWT ada berfirman dalam surah
An-Nuur, ayat 22 yang bermaksud; “Dan hendaklah mereka memaafkan serta
melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah
mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.”
Aku mengharapkan
keampunan Allah, Sha. Dan aku juga mengharapkan kemaafan daripada orang yang pernah
mengenali aku. Seikhlas hati, aku sudah memaafkan semua kesilapan dan
kekhilafan yang pernah terjadi di antara kita. Aku dah maafkan kau, Shad,
Imran, dan juga Fatin.
Aku juga sudah
memaafkan dua lelaki yang telah merogol aku suatu ketika dahulu. Dan aku
benar-benar berharap yang kau juga akan memaafkan aku sepertimana aku ikhlas
memaafkan kau. Tolong sampaikan juga salam kemaafan aku sekiranya kau berjumpa
kembali dengan Imran dan Fatin. Juga Arshad, Sha.
Itu saja yang
aku nak bagitahu. Semoga selepas ini tidak akan pernah ada kebencian atau
dendam lagi di antara kau, aku, dan juga Shad.
Sha… doakan
semoga aku baik-baik sahaja walau di mana sekali pun aku berada. Di dunia,
ataupun di alam abadi. Doakan semoga aku dapat bertemu dengan ‘DIA’ di dalam
keadaan yang baik. Insya-Allah.
Salam seribu kemaafan,
~ Ekin ~
Tersedu-sedu, esak tangis berlagu pilu setelah Sha menghabiskan
bacaan surat itu. Perlahan surat itu didakap ke dada. Seandainya Tuhan masih
memanjangkan umur Ekin, sudah tentu Sha akan bersungguh-sungguh merayu kemaafan
daripada wanita itu.
“Ekin… seikhlas hati, aku juga telah memaafkan kau.
Dan juga Arshad.
Ekin… terima kasih untuk surat ini.
Sekurang-kurangnya aku tahu yang kau sudah memaafkan aku. Sekarang ini, aku
perlu merayu kemaafan daripada Arshad pula, kan?
Tapi aku tak yakin Arshad dapat memaafkan aku sepertimana
kau dapat memaafkan aku dengan mudah. Aku tak yakin dendam dia akan terhapus
begitu sahaja,” luah Sha walaupun tahu Ekin tidak akan mampu mendengar
luahannya lagi. Untuk Selama-lamanya.
Air mata disapu perlahan. Ulas bibir cuba mengait
senyuman walaupun ketara kelihatan hambar.
“Ekin… aku akan cuba sedaya yang mampu. Apa yang
penting sekarang, aku doakan semoga kau tenang ‘di sana’. Insya-Allah.”
Dan Arshad…
Aku harap, suatu hari nanti Arshad akan terjaga dari
lenanya yang panjang. Semoga suatu hari nanti dia akan melihat kebenaran yang
terpampan jelas di hadapan mata. Dan semoga dia sudi memaafkan aku dengan
seikhlas hati.
‘Aku tak harapkan lebih, Shad. Aku tak harap pun
cinta yang pernah berputik suatu ketika dahulu datang kembali untuk memenuhi
ruang hati ini. Aku tak harap pun kau masih menyimpan perasaan yang sama.
Cuma, aku harap kau sedar dengan apa yang telah kau
lakukan kepada aku selama ini. Aku harap kau sudi memaafkan aku sepertimana aku
juga ikhlas memaafkan setiap perbuatan kejam kau terhadap aku.’
Ya Tuhan, hentikanlah derita ini. Hentikanlah rindu
ini. Semoga selepas ini aku juga mampu menjalani liku hidup dengan lebih tenang
seperti arwah Ekin. Aamiin.
No comments:
Post a Comment