Tuesday, June 11, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 24



Dua Puluh Empat
                                                            
SUDAH menjadi lumrah semulajadi alam ciptaan Allah... DiciptaNya laut dan pantai... Kerana itulah adanya fenomena pasang surut air. Pasang dan surutnya pula seperti laut dan pantai. Bila-bila masa tanpa kita menjangkakannya!
Begitu juga dengan hati Fazrul! Ah.. betapa sukarnya untuk mengerti isi sekeping hati itu! Seminggu lepas, Fazrul bersikap seolah-olah menyenangi dan menyayangi dirinya sehinggakan dia mula merasakan ada benih cinta yang mula bermekar di dalam hatinya untuk menerima Fazrul.
Namun, seminggu ini, Fazrul langsung tidak seperti mingu lepas! Diamnya tanpa khabar berita... Sepinya seolah-olah tiada patah kata yang mahu dituturkannya... Dan dirinya pula, seperti biskut chipsmore, sekejap ada, sekejap menghilang! Sibuk benarkah Fazrul..?
Atau... Fazrul sedang sibuk dengan Marlisa..?! Hendak ditanya, itu adalah mustahil! Dia sedar siapa dirinya di sisi Fazrul. Seorang perempuan yang hanya menumpang kasih sayang seorang lelaki bergelar suami! Tapi... hatinya keliru!
Fazrul... cakaplah! Cakaplah apa pun awak nak cakap! Tapi... tolonglah jangan diam membisu seperti ini! Jangan biarkan saya dengan seribu persoalan yang bermukim di hati! Fazrul... saya mahu mendengar suara awak, walaupun sepatah kata! Hatinya memberontak sendirian..!
Hana termenung di katilnya. Tika dan saat ini hatinya terasa sedih. Laptop di atas mejanya dicapai dan dibuka. Hati kecil terlalu banyak bermonolog sendiri. Yang pasti, dia sedang berada di dalam kebingungan!
Kadang-kadang dia terfikir sendiri tentang apa kesudahan kehidupannya bersama Fazrul! Adakah mungkin ada bahagian untuknya..? Atau... mungkinkah di sebaliknya? Entahlah! Sukar untuk dia menafsirkan segalanya. Hatinya benar-benar dilanda seribu kekeliruan!
Pandangan matanya dilemparkan ke arah beberapa email yang diterima di dalam inbox emailnya. Satu per satu nama-nama itu diperhatikannya. Namun, tiada satu pun nama tertera sepertimana yang diharapkan. Langsung tiada kiriman email daripada peterpan! Sibuk benarkah dia? Hatinya semakin diserang perasaan sedih! Dia perlukan teman untuk berbicara meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya! Tetapi, teman yang dicarinya tiada mengirimkan khabar berita.
Tangannya menekan keyboard laptopnya.

‘Peterpan...’

Hanya sebaris ayat itu sahaja yang mampu dikirimkan kepada temannya itu. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia harus menulis perkataan itu. Tetapi tangannya tetap menekan butang send. Sekarang dia hanya perlukan seorang teman berbual untuk menghilangkan kesedihan yang semakin berlagu dihatinya. Dia perlu melawan kesedihan itu. Dia bimbang hatinya tidak kuat dan paling risau air matanya yang mungkin akan mengalir.
Oh, hati... tabahlah! Hana menarik nafas panjang dan kemudian menyandarkan kepalanya pada katil. Anak matanya kembali terasa cerah apabila email yang dihantarnya itu menerima balasan. Cepat sahaja dia membaca kiriman email itu.

‘Hai... Peterpan aje..?’

Bibirnya mengukirkan senyuman. Tetapi hatinya terasa tawar! Tawar untuk mebalas kiriman email tersebut. Entah apa yang tidak kena pada dirinya, dia sendiri tidak pasti! Pdahal, sekejap tadi dia terasa teringin untuk berbicara dengan seseorang, tetapi kini... hatinya sayu dan sama sekali terasa malas untuk membalas kiriman email itu.
Pandangan dilemparkan memandang laptopnya tanpa apa-apa perasaan. Namun, fikirannya melayang jauh ke suatu tempat yang dirasakan begitu jauh daripadanya. Cuma satu yang ada di dalam fikirannya. Fazrul...
Kenapa Fazrul langsung tidak keluar daripada biliknya..? Ke ruang tamu tidak, ke dapur pun tidak..! Fazrul!! Sekali lagi nama itu tersebut di hatinya. Betul! Kali ini hatinya betul-betul merindui bayangan Fazrul!
Tidak sampai beberapa minit, satu lagi kiriman email sampai ke kotak inboxnya. Tertera nama peterpan di situ. Anak matanya mendarat pada setiap patah perkataan yang tertera di hadapannya.

‘Saat ini... hati seolah-olah ingin berbicara... Namun... bicara ini mati di hati... Mungkin kerana ada hati yang sedang resah gelisah... Atau, mungkin juga ada hati yang sedang merindu... Mungkin juga kesedihan itu membunuh bicaranya... Atau, mungkin sahaja sudah tiada lagi kesudian untuk meneruskan bicara itu...’

Hana tersenyum dan tergelak kecil. Akhirnya, jemari halusnya bergerak menekan keyboard laptopnya untuk membalas kiriman email itu. Kesian peterpan! Tak pasal-pasal dia risaukan aku pulak!

‘Alamak! Sejak bila pulak peterpan jadi seorang yang jiwang karat macam ni..? Hehee... Tak sangka pulak..!’

Hana cuba menyembunyikan perasaan hatinya yang sebenar. Peterpan adalah seorang sahabat yang baik. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu peterpan sedih kerananya. Satu lagi kiriman email diterimanya.

‘Erm... ingatkan dah cabut lari dah..! HR sihat? Lama tak dengar khabar..?’

‘Hmm… Sihat! Peterpan?’

‘Macam biasa… Tapi kadang-kadang hati saya macam demam...’

‘Hati demam? Macam mana tu..?’

‘Entahlah! Bila terasa rindukan seseorang, hati saya akan demam. Hehee... saya main-main aje!’

‘Awak ni… buat saya risau aje! Sekarang hati awak demam lagi..?’

‘Erm… mungkin jugak..! HR… apa yang awak akan buat bila awak rindukan seseorang..?’

Hana tersenyum. Persoalan ini adalah persoalan sama yang pernah diajukan olehnya kepada peterpan suatu masa dahulu, sewaktu dia sedang merindui Kamarul. Otaknya mengimbas kembali, mencari patah kata yang pernah dituliskan oleh peterpan kepadanya sewaktu dia bertanyakan tentang soalan ini.

‘Nampaknya, peterpan sudah mula rindukan seseorang... Agaknya, orang itu pastinya seseorang yang istimewa..? Erm... Kalau rindukan seseorang, sebutlah nama dia sebanyak mana yang awak mahu. Epas tu, tengoklah gambar dia puas-puas.’

‘Tapi... macam mana kalau gambarnya tiada bersama saya..?’

‘Gambar tiada..? Sebenarnya peterpan... Orang kata, kalau kita kat sini rindukan seseorang, orang kat sana pun sedang rindukan kita. Tak percaya..? Kejap lagi, dia tentu akan call awak. Ataupun… kejap lagi tentu awak akan terjumpa dia kat mana-mana...’

Hana memulangkan semula ayat yang pernah diperkatakan oleh peterpan kepadanya suatu ketika dahulu.

‘Amboi... amboi... Nampaknya HR cakap apa yang pernah saya cakap dulu ya... Tapi, kalau tak silap, saya tak ada cakap pun akan terjumpa kat mana-mana..? Agak-agak kat mana ya?’

Hana tergelak kecil. Sebenarnya, dia masih ingat peterpan tidak pernah tulis pun akan terjumpa kat mana-mana, tetapi Hana saja mahu menambah.

‘Awak tak tahu, peterpan..? Tentulah terjumpa dalam mimpi... Hehee...’

‘HR… seronoknya awak kenakan saya..! Awak tunggulah... suatu hari nanti, saya akan kenakan awak cukup-cukup...’

‘Maaflah, peterpan... Dalam hidup kita, kadang-kadang kita kena bergurau... Barulah hidup kita ceria... Betul tak?’

‘Erm... Betullah tu... HR, saya perlu pergi... Nak jumpa orang yang saya rindui... Hehee...’

‘Oh... semoga bahagia milik awak... Selamat malam... Have a nice sleep!’

Hana menyudahkan ayat terakhir dan kemudia menutup laptopnya. Hatinya sedikit terhibur setelah dapat berbual dengan peterpan. Hilang sedikit kesedihan yang mengganggunya tadi. Hana mengangkat kaki untuk ke dapur.
Seketika, kakinya terpaku di hadapan pintu biliknya apabila sebaik sahaja pintu biliknya dibuka, serentak pintu bilik Fazrul terut terbuka. Mereka saling berpandang untuk sekejapan waktu. Fazrul melemparkan senyuman. Hana sedikit kaget, tetapi masih mampu membalas senyuman itu seadanya.
“Nak ke mana?”
“Ke dapur.” Ringkas sahaja jawapan Hana.
Anak mata Fazrul merenung seraut wajah itu untuk sekejapan waktu. Hati perempuan itu harus dimilikinya dalam masa terdekat ini. Tetapi, dia perlu banyak bersabar. Fazrul senyum lagi. Harap-harap senyumannya itu dapat melembutkan hati Hana.
Hana rimas direnung sebegitu! “Err... Awak nak pesan apa-apa?” Sedaya upaya dia cuba mengawal perasaannya.
“Erm... Boleh tolong buatkan nescafe?” Lembut sahaja permintaan yang terkeluar daripada mulutnya.
Hana menganggukkan kepalanya dan terus menutup pintu biliknya sebelum mengatur langkah kaki ke dapur.
“Hana!”
Hana menoleh semula ke arah Fazrul apabila namanya dipanggil oleh lelaki itu.
Thanks!” Sekuntum senyuman dihulurkan lagi kepada perempuan itu.
Hana sekadar membalas senyuman itu dan kembali meneruskan langkahnya. Sungguh, hatinya bergetar hebat memandang senyuman Fazrul! Lelaki itu sangat pelik! Bila-bila masa sahaja moodnya boleh berubah! Entah kenapa, hari ini dia macam happy semacam aje..?!
Hatinya tersenyum sendiri. Senyuman Fazrul melegakan segala keresahan di hatinya. Melagakan segala kerinduan dan kesedihannya sebentar tadi. Hampir seminggu Fazrul tidak bertegur sapa dengannya. Tetapi hari ini, Fazrul menegurnya dengan senyaman di bibirnya. Hati mana yang tidak berbunga jika mendengar sapaan yang lembut dengan dihiasi senyuman manis di bibir orang yang disayanginya..?!


HANA mengetuk pintu bilik Fazrul.
“Masuklah. Pintu tak berkunci!”
Perlahan tombol pintu bilik itu dipulasnya. Walaupun teragak-agak, Hana tetap melangkah masuk apabila Fazrul memandangnya dengan senyuman. “Air awak.”
Fazrul menyambut huluran itu dengan ucapan terima kasih. “Duduklah dulu. Kita berbual sekejap.”
Tutur kata Fazrul yang lembut itu membuatkan hati Hana berdegup kencang! Sekilas, anak matanya bertemu pandang dengan sepasang mata Fazrul. Fazrul menganggukkan kepalanya, meminta Hana duduk sekejap bersamanya.
Hana melabuhkan punggungnya di atas kerusi berhadapan meja Fazrul. Fazrul memandang seraut wajah itu sekejap. Kemudian punggungnya diangkat dan dilabuhkan di sisi Hana.
Perasaan Hana semakin bercelaru. Degupan jantungnya terasa seperti tidak stabil! Bukannya tidak pernah Fazrul duduk di sebelahnya seperti ini. Tetapi, entah kenapa dia terasa segan apatah lagi sudah seminggu lelaki itu tidak menegurnya.
Fazrul terus menerus merenung Hana. Hana rimas! Betul-betul rimas dengan pandangan mata Fazrul!
“Kenapa?” Satu soalan dipersoalkannya. Geram juga dengan sikap Fazrul yang seolah-olah mahu mengujinya itu.
Fazrul tergelak kecil.
“Kenapa gelak?” Fazrul ni, nak kena..! Suka benar gelakkan orang tanpa sebab!
“Tak ada apa-apa. Cuma... lucu tengok wajah awak macam ni. Awak takut saya terkam awak ke?” Fazrul ketawa lagi.
Hana mengerutkan dahinya. “Apa pulak? Dah tu, yang awak tersengih-sengih tu, apa hal?”
“Kenapa..? Nak senyum pun tak boleh ke?” Fazrul tersenyum lagi.
“Bukan tak boleh... Tapi melebih-lebih macam ni, kenapa? Angau ke apa..?” Hana nampak sedikit marah.
“Awak ni, Hana... Saya nak usik sikit pun tak boleh! Tapi saya suka awak marah-marah macam ni. Awak nampak makin cantik pulak!” Ada gelak kecil di hujung ayatnya.
Hana membulatkan matanya memandang Fazrul. Malu diusik macam tu! “Banyaklah awak! Dahlah, saya nak masuk tidur dah!” Hana mengangkat punggungnya ingin beredar daripada bilik itu. Tetapi, dia tidak jadi melangkah apabila terasa tangannya ditarik perlahan.
“Cepatnya awak nak tidur... Saya belum habis cakap lagi!” Tangan Hana ditarik perlahan menghampirinya.
Hana duduk semula di sebelah Fazrul. “Nak cakap apa lagi?” Hana berlagak tenang. Padahal, di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hatinya berdebar-debar di saat Fazrul menggengam erat jari jematinya.
Fazrul merenung Hana sekejap. “Ahad nanti, kita jumpa ibu dan ayah saya, ya?”
Hana terdiam sekejap. Dipandangnya seraut wajah Fazrul yang sedang menantikan jawapannya itu. Kali pertama dia dapat memandang tepat ke dalam mata Fazrul. Jantungnya berdegup kencang dan semakin kencang. Ikhlaskah dia? Mata itu terus dipandang untuk mendapatkan kepastian.
Fazrul mengangkat keningnya.
Hana mula tersedar sendiri. Dilarikan anak matanya menunduk ke lantai. Kemudian kepalanya mengangguk perlahan.
Fazrul tersenyum dan menarik tangan Hana ke bibrnya sebelum mengucup dahi perempuan itu. Hana tersentak sendiri. Dipandangnya seraut wajah yang sedang tersenyum ke arahnya itu. Tiba-tiba dia diserang rasa malu. Belum pernbah Fazrul mencium dahinya bila mereka berduaan seperti ini. Kali pertama dia merasakan kebahagiaan seperti ini.
“Terima kasih.”
Hana menjawabnya dengan anggukkan. Hatinya tersenyum berbunga. Terasa keindahan alam rumah tangga yang belum pernah dikecapinya sebelum ini. Ya Allah... Seribu kesyukuran aku panjatkan kepadaMu atas segala kenikmatan hidup yang Engkau berikan. Inilah lumrah sebenar kehidupan! Dalam kepahitan yang menerjah, pasti ada kegembiaraan yang akan menyapa. Sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu, Ya Allah!

1 comment: