Sunday, June 16, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 27



Dua Puluh Tujuh

KADANG kala hidup ini sangat sukar untuk dimengertikan. Adakalanya seribu kemanisan menerjah dalam kehidupan kita dan adakalanya seribu kepahitan pula yang menerpa-nerpa. Semua anugerah itu sebenarnya datang daripada Allah untuk menguji kita, sebagai hambaNya.
Baik buruknya tidak dapat kita menduganya. Cuma... hidup memerlukan pengorbanan! Dan disebalik apa yang didugaNya itu, sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi.
Tetapi... hati manusia... Seteguh manapun hati kita... Setinggi manapun kesabaran yang dimiliki... Hati ini tidak mungkin akan tegar apabila terus menerus diuji kekuatannya. Apatah lagi sekeping hati wanita! Terlalu sukar untuk dimengertikan! Tidak juga seteguh karang di lautan untuk menempuhi ombak dugaan yang melanda sekeping hatinya!
Betul juga kata orang, apabila kita mencintai seseorang, sebenarnya kita telah merelakan hati kita untuk dilukai. Dan apabila kita menyayangi seseorang, sesungguhnya kita telah membenarkan diri kita untuk dibencii.
Erm.. betul! Kerana menyayangi Fazrul, aku telah membenarkan diri ini untuk dibenciinya. Benci..? Biarlah! Fazrul... benciilah aku sebanyak mana sekali pun. Aku tetap tidak akan mengalah! Aku bukanlah seperti sepohon bunga... Jika tidak disiram pasti akan layu! Aku akan menjadi seperti sepohon kaktus di padang pasir! Walau panas mentari seperit mana sekalipun... walau ketandusan air sekali pun... aku akan tetap mampu berdiri untuk diriku sendiri!
Betulkah, Hana?? Betulkah dirimu sekuat itu..? Hana melepaskan keluhan berat. Kali ini entah untuk yang ke berapa kali dia mengeluh, dia sendiri tidak pasti! Yang pasti, air matanya sudah kering untuk menangis. Dirinya sudah tidak mampu menagisi nasib dan masa depannya yang masih panjang.
Biarlah air mata yang dirembeskan dua malam lepas menjadi air mata terakhir untuk meratapi rasa kekesalan terhadap apa yang dilakukan oleh Fazrul terhadap dirinya. Dia rela andai itu telah tersuarat sebagai dendam Fazrul terhadap dirinya.
Langsung dia tidak menyangka bahawa Fazrul akan meninggalkannya di tengah-tengah malam itu di tepi jalan yang laluannya tidak dilalui oleh sebarang kenderaan awam. Sampai hati Fazrul membiarkan dia sendiri di situ!
Selepas ditinggalkan Fazrul, Hana terduduk di tepi jalan itu. Air matanya mengalir laju. Entah untuk apa, dia tidak pasti. Tetapi yang pasti, dia mengalami luka di hati yang sangat teruk pada malam itu. Hatinya benar-benar dilanda kesedihan yang tidak terhingga! Hati wanitanya cukup kecewa dengan apa yang diperkatakan oleh suaminya itu terhadapnya!
Kata-kata Fazrul itu masih terngiang-ngiang di telinganya sehingga sekarang. Dia cuba untuk melenyapkan patah kata itu, tetapi akal dan fikirannya tidak mahu melupakannya walau sepatah perkataan.
“Sekali kau tak mahu jadi isteri aku, berkali-kali aku tidak mahu menjadi suami kau!”
Pedih sekali kata-kata itu menusuk hatinya. Di saat itu juga, segala hinaan yang pernah dilemparkan oleh Kamarul kepadanya menggamit dirinya. Di saat itu, Fazrul dirasakan seolah-olah Kamarul yang sewenang-wenangnya melemparkan hinaan kepadanya!
Lantas, untuk apa Fazrul memperisterikannya..? Kerana dendam..? Teruskanlah, Fazrul! Teruskanlah dengan dendam yang tiada kesudahannya itu! Ya Allah... Engakau tabahkanlah hatiku untuk terus mengharungi dugaan daripadaMu!
Malam itu, Hana duduk di bahu jalan tanpa kata. Dalam diam, hatinya mengharapkan Fazrul kembali semula untuk membawanya pulang ke rumah. Namun, dia hampa! Fazrul tidak mungkin akan kembali menjemputnya!
Renyai-renyai hujan yang mula turun semakin laju membasahi bumi bersama air matanya yang laju mengalir ke pipinya. Sungguh, dia tidak tahu ke mana arah yang perlu ditujunya. Telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri sejak tadi. Niatnya untuk menelefon Kay Tee terhenti di situ dan anak matanya hanya mampu memandang kosong ke arah telefon bimbitnya yang sudah mati itu.
Hampir setengah jam Hana termanggu di situ keseorangan. Yang menemaninya hanya bunyi unggas malam dan bunyi kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu. Bukannya hati wanitanya tidak diserang perasaan takut di tengah-tengah malam itu, tetapi dia cuba berlagak tenang, memberanikan dirinya seolah-olah dia bukan ditinggalkan di situ!
Ketika itu, hanya satu harapannya, bertawakkal kepada Allah S.W.T. Fikirannya teringatkan satu ayat Al-Quran daripada surah Al-Maaidah ayat 56 yang bermaksud ‘Dan barang siapa yang mengambil Allah dan Rasulnya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah pasti menang!’
Dengan itu, Hana berserah dengan menjadikan Allah sebagai penolongnya dikala ini. Semoga kemenangan akan berpihak kepadanya.
Hana menundukkan wajah memandang jalan di hadapannya. Fikirannya buntu! Sudah tiada lagi jalan lain untuknya selain meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Tapi... mampukah dia? Sedangkan dia sendiri tidak tahu ke mana halanya! Untuk berjalan mencari public phone pun takut, apatah lagi untuk berjalan mencari jalan seorang diri di tengah kepekatan malam itu!
Zairil menghentikan kereta yang dipandunya di bahu jalan. Kalau tak silap... perempuan yang duduk di bahu jalan tadi... Kepalanya ditoleh semula ke belakang mencari kelibat perempuan yang dilihatnya sedang duduk di bahu jalan seperti sedang menangis. Entah kenapa, sewaktu melintasi perempuan itu tadi, dia terasa mahu melihat apa yang dibuat perempuan itu sendirian di tengah malam ini seorang diri sedangkan hari kelihatan seakan-akan mahu hujan.
Hana..? Apa yang dia buat sorang-sorang kat situ? Malam-malam macam ni..? Kepalanya di dongakkan ke dada langit yang mula menitiskan hujan renyai-renyai yang semakin melebat. Sekejap itu, anak matanya beralih semula ke arah perempuan itu. Apa hal minah ni? Dah terkena penyakit gila ke? Tapi... dia menangis!
Ditinggalkan kekasih..? Tapi, bukankah dia sudah bersuami? Takkanlah suaminya pulak yang tinggalkan dia kat situ? Kay Tee..? Tak mungkin pulak Kay Tee yang rapat dengannya sanggup tinggalkan dia sorang-sorang kat situ tengah malam macam ni? Apa kes?
Persoalan demi persoalan yang menerjah ke fikirannya membuatkan dia berfikir sekejap di dalam keretanya. Pandangan terus dilemparkan pada cermin sisi pandang belakang. Perempuan itu kelihatan masih tidak berganjak. Sah! Dia memang Hana! Apa hal dia ni? Pakai cantik-cantik, lepas tu duduk kat tepi jalan macam tu..? Perlukah aku pergi menegurnya..? Matanya memandang rintik hujan yang kian melebat itu.
Jantung Hana semakin berdegup kencang! Dia dapat merasakan bunyi tapak kaki yang sedang menapak itu menuju ke arahnya. Tetapi Hana terus menunduk. Dia langsung tidak berani untuk mengangkat wajahnya untuk melihat gerangan yang sedang melangkahkan kaki menghampirinya itu.
Sungguh, dihatinya tidak lepas-lepas berdoa supaya dia selamat daripada segala bencana yang bakal menimpa. Ya Allah... Selamatkanlah aku... Mak... Ayah... Air matanya menitik lagi! Semakin deras mengikuti rentak hujan yang semakin mula melebat membasahi dirinya.
“Hana..? Buat apa kat sini? Kenapa duduk kat tengah-tengah hujan ni?”
Satu sapaan memeranjatkan Hana. Namanya dikenali..?! Hana menyapu matanya perlahan. Kepalanya diangkat untuk memandang seraut wajah yang mengenali dirinya itu. Seorang lelaki tegak berdiri di hadapannya itu. Fazrul ke..? Matanya memandang tepat ke arah seraut wajah itu. Tekaannya silap. Bukan Fazrul yang berdiri di hadapannya, tetapi... Zairil!
Hana terkedu untuk seketika waktu. Kenapa harus Zairil..? Kenapa tidak Fazrul yang berpatah balik untuk menjemputnya? Kenapa bukan Fazrul..? Hatinya menangis sedih! Sunnguh, hatinya mengharapkan agar suaminya yang datang menjemputnya semula. Tetapi, hati Fazrul sekeras batu! Dendamnya tidak mungkin akan terpadam!
Sedaya upaya di menahan hatinya supaya tidak menangis di hadapan Zairil. Lelaki yang pernah menjadi sahabatnya, dan juga lelaki yang pernah melemparkan cemuhan kepada dirinya. Hati Hana bergetar hebat! Jangan di saat ini lelaki ini pula yang menghinanya! Dia sudah tidak sanggup untuk menerima penghinaan daripada sesiapa pun!
Hana menarik nafasnya dalam. Kepalanya sekadar ditundukkan memandang bumi. Tidak berani mendongak utuk memandang lelaki itu. Bimbang air matanya akan gugur lagi di hadapan lelaki itu. Biarlah Zairil tidak tahu apa yang berlaku kepadanya. Tetapi... bagaimanakah untuk dia amenyembunyikan kesedihannya pada ketika ini..? Sungguh, hatinya benar-benar sedih dengan sikap Fazrul terhadapnya pada hari ini!
“Hana..?”
Hana tersentak daripada lamunannya yang sekejap itu. Terlupa, lelaki di hadapannya ini adalah Zairil! Seaya upaya Hana cuba menenangkan diri daripada perasaan sedihnya. “Err... Zairil... Dari mana?” Entah apa yang ditanyakannya dia sendiri sudah tidak pasti. Tetapi, dia tiada idea yang sewajarnya untuk berkata-kata. Persoalan Zairil tadi, dijawabnya dengan persoalan juga!
Zairil mengerutkan dahinya. Suara Hana jelas kedengaran serak-serak basah. Memang betul, perempuan itu baru lepas menangis. Sangkaannya tidak silap! Sekali lagi mata Hana ditatapnya. Merah! Memang sah dia menangis! Tapi... Kenapa..?
“Dari rumah kawan. On the way nak balik rumah.”
Hana sekadar mengangguk dan mendiamkan diri. Sunnguh, mukanya terasa tebal berinci-inci kerana malu! Kenapa di saat sebegini dia harus terserempak dengan Zairil! Kenapa harus lelaki ini? Kenapa Zairil yang berada di sini, di saat dirinya berada di dalam kesusahan seperti ini..?
“Hana... Hujan makin lebat. Jomlah berteduh di kereta saya dulu.” Merasakan hujan yang semakin lebat jatuh ke kepalanya, Zairil mengambil keputusan untuk mengajak Hana berteduh di keretanya. Dia yakin... Hana bukan sedang menunggu sesiapa pun! Tetapi, dia ditinggalkan oleh seseorang!
“Err... Tak apalah!” Hana menolak. Hatinya terasa benar-benar ingin menangis. Dia tidak mahu menerima simpati daripada Zairil! Dia tidak mahu dihina lagi! Cukuplah! Hana tidak mahu dihina lagi! Dirinya sudah tidak mampu bertahan untuk menerima sebarang hinaan daripada sesiapa pun. Apatah lagi, dirinya baru sahaja dihina oleh Fazrul, suaminya sendiri! Hatinya tidak kuat pada tika dan saat ini.
Zairil... tolong jangan lakukannya lagi! Terasa maruahnya diletakkan di tahap paling rendah oleh lelaki-lelaki yang pernah disayanginya! Kenapa..? Kenapa hari ini..? Kenapa begini..? Air matanya menitis perlahan. Sunnguh, dia tidak mampu menahan kesedihan hatinya tatkala ini!
“Hana... Awak okey?”
Sapaan lembut Zairil membuatkan hatinya semakin diserang hiba. Hana masih menunduk menahan sendu, tetapi dia masih mampu menganggukkan kepalanya.
“Hana… Jom ke kerata saya. Hujan dah semakin lebat! Tak elok untuk kesihatan.” Tangan Hana ditarik perlahan menuju ke keretanya yang terletak tidak jauh dari situ.
Hana tersentak, tetapi entah kenapa kakinya hanya menurut langkah Zairil menuju ke kereta lelaki itu. Dia tahu, dia sudah tiada pilihan lain. Betul... dia memang sudah tiada pilihan lain!
Zairil tidak banyak soal. Sangkaan Hana silap. Zairil tidak menghinanya seperti Fazrul. Zairil sekadar mendiamkan diri dan meminta persetujuan Hana untuk menghantar Hana ke rumah Kay Tee. Hana diam tanpa kata.
Akhirnya tanpa sedar, dia sudah selamat sampai di perkarangan rumah Kay Tee. Jelas di ruang matanya, sekujur tubuh Kay Tee sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya. Tanpa sebarang ucapan terima kasih, Hana terus mengatur langkah keluar daripada kereta itu dan terus menerpa ke arah Kay Tee.
Hidup tanpa sahabat, tiada maknanya! Di saat gentir sebegini, selain mak dan ayah, sahabatlah yang sebenarnya menjadi peneman suka dan duka! Kay Tee adalah seorang sahabat yang sanggup menerimanya seadanya. Sebenarnya itulah erti sahabat yang sebenar-benarnya. Menerima baik buruk kita walau dalam apa jua keadaan! Hanya Kay Tee!


HANA..? Buat apa sorang-sorang kat dapur ni?”
Sapaan Kay Tee memeranjatkan Hana yang sudah jauh tenggelam dalam lamunannya sebentar tadi. Hilang segala bayangan Fazrul..! Hilang segala bayangan Zairil..! Kini, di hadapannya seraut wajah seorang sahabat yang sangat disayanginya.
Sudah hampir tiga hari dia berada di rumah Kay Tee. Alhamdulillah... Selapas dua hari demam, hari ini badannya tidak lagi selemah dua hari ang lepas. Dia tahu, dia kuat. Dia perlu menghadapi dugaan ini dengan hati yang tabah dan kuat. InsyaAllah dia mampu bertahan!
Senyuman dilemparkan kepada sahabatnya itu. “Minum air. Awal balik..?”
“Erm… Balik sekejap. Lepas maghrib nanti, keluar balik. Kau dah okey? Muka kau pucat lagi ni..! Dah makan ubat?” Seraut wajah Kay Tee menunjukkan raut wajah kerisauan.
Hana tersenyum. Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana menganugerahkan seorang sahabat sebaik Kay Tee. “Aku dah okey dah. Baru aje lepas makan ubat.”
“Betul ke dah okey? Aku tak percayalah..! Tengok muka pucat macam ni, aku rasa kau belum okey ni..!” Tangannya diletakkan pada dahi Hana. Masih terasa kehangatan badannya yang masih belum sihat sepenuhnya lagi.
“Kan aku cakap, belum okey ni! Pergilah berehat dulu!”
Hana melemparkan senyuman. Memanglah dia belum sihat sepenuhnya, tetapi dia sudah tidak selemah dua hari yang lepas.
“Hana... Sorry! Aku tak sempat nak beli apa-apa tadi. Kau tunggu Salina balik ya? Tadi aku dah pesan pada Salina favourite kau pada dia.”
“Tak apalah, Kay Tee. Aku dah makan tadi.”
Kay Tee menoleh ke arah Hana dengan dahi yang berkerut. “Makan..? Kau makan apa..? Kau masak..?”
Hana tersenyum. “Favourite aku.”
“Meggi..?”
Hana menganggukkan kepalanya. Memang Kay Tee sudah pandai mengagaknya!
“Kau ni Hana... Tak habis-habis tabiat lama! Meggi tu tak baik untuk kesihatan! Nanti kau makanlah dengan Salina, ya? Aku nak naik mandi sekejap.”
“Kay Tee... Thanks!”
Kay Tee tersenyum ke arah Hana. “No hallah! Kau tu… Rehatlah dulu. Biar cepat sembuh!”
Hana tersenyum dan menganggukkan kepalanya perlahan. Anak matanya dibiarkan mengekori langkah Kay Tee yang mula menuju ke tingkat atas.
Sementara waktu, bolehlah dia menumpang di sini dengan izin dua lagi rakan serumah Kay Tee, Salina dan Nurimah. Selepas ini, entah ke mana hala tujunya, dia sendiri tidak pasti! Ke rumah ayah dan mak... Sudah tentu tak mungkin! Ayah tentu akan lebih kecewa jika mengetahui perkara sebegini berlaku kepadanya. Jangan biarkan ayah kecewa sepertimana dirinya yang mengalami kekecewaan yang teramat sangat ini. Biarlah hanya dia yang menangung segala lara hati ini. Hanya dirinya..!

2 comments: