Tuesday, June 11, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 25



Dua Puluh Lima

HANA mengenakan sepasang kurung bewarna merah hati. Baju kurung ini merupakan pemberian Kak Aisya sebagai hadiah perkahwinan mereka dahulu. Sudah lama dia ingin menyarungkan baju ini ke tubuhnya. Tetapi dia segan!
Sekarang, inilah masa yang sesuai untuk memakai baju ini. Sehelai tudung yang bewarna lebih cerah daripada bajunya dikenakan di kepalanya. Nampak sepadan! Hari ini adalah hari yang dinantikan! Apa tidaknya, sudah enam bulan dia dan Fazrul berkahwin. Tetapi baru hari ini dia dapat bertemu dengan mertuanya. Agak-agak... macam manalah penerimaan mertuanya?!
Fikiran Hana merawang mengingatkan kisah-kisah drama dan novel-novel yang mengisahkan sikap ibu mertua yang pelbagai jenis. Ada yang baik, dan ada juga yang banyak kerenahnya. Tiba-tiba dia diserang perasaan takut!
Ya Allah... Berkatilah hidupku. Kuatkanlah keimanan dan kesabaran aku dalam mengharungi hidup yang masih panjang ini. Tabahkanlah hati aku alam menempuhi apa jua dugaan yang Engkau berikan. Sesungguhnya aku adalah hambaMu yang lemah!
“Hana... Termenung apa..?”
Sapaan Fazrul di muka pintu memeranjatkan Hana yang sedang termenung di hadapan cermin itu. Hana menoleh ke arah suara yang menyapanya. Sekuntum senyuman dilemparkan ke arah Fazrul yang sedang tersenyum memandangnya. “Tak... Tak ada apa-apa.”
“Dah siap?”
“Erm..” Hana menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Kakinya mengatur langkah menuju ke arah Fazrul.
“Cantiknya awak...” Satu pujian ikhlas keluar daripada mulut Fazrul. Anak matanya memandang lama ke arah sekujur tubuh Hana. Sememangnya Hana nampak cantik pada hari ini.
Hana malu apabila dipandang sebegitu. “Eee.. janganlah mengada-ngada. Tak habis-habis nak mengusik!” Terus sahaja jemarinya hinggap di lengan Fazrul, mencubit lengan lelaki itu.
“Aduh... Sakitnya...”
Hana tergelak kecil apabila melihat Fazrul menggosok-gosokkan lengannya dengan dahinya yang berkerut akibat cubitannya sekejap tadi. Padan muka. “Nak lagi..?”
“Erm.. nak... Tapi, nak cium!” Serentak, Fazrul terus mencium pipi Hana. Anak matanya berpura-pura tidak memandang ke arah Hana.
Hana tersentak dengan tindakan Fazrul yang pantas itu. Tidak sempat mengelak, ciuman itu sudah hinggap di pipinya. Hana terasa darah merah menyerbu ke mukanya kerana malu. “Apa ni...” Tubuh Fazrul ditolak perlahan menjauhinya. Pipinya disapu perlahan.
Fazrul tersenyum sendiri melihat seraut wajah itu yang sudah kemerah-merahan kerana malu. “Nak lagi..?” Sengaja dia ingin mengusik Hana.
Cepat sahaja Hana menggeleng-gelengkan kepalanya.
Fazrul tergelak besar. Telatah Hana seperti itu membuatkan dia terasa geli hati. Sekejap itu, tangan Hana diraih ke dalam gengamannya.
Hana memandang Fazrul sekejap. Tetapi lelaki itu berpura-pura seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Hana tersenyum sendiri. Dia membiarkan sahaja tangannya  berada di dalam gengaman tangan Fazrul. Sedikit sebanyak, telatah Fazrul pada hari ini menenangkan hatinya. Terasa dia seperti berada diambang kebahagian.


KEHADIRAN Hana dan Fazrul di rumah banglo itu disambut oleh along dan Kak Aisya. Hana terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Kak Aisya, kakak ipar Fazrul.
“Sejuknya tangan... Takut ke..?” Kak Aisya mengusik apabila terasa gengaman tangan Hana yang sejuk menyentuh tangangannya.
Teringat kali pertama dia datang ke rumah ini untuk bertemu dengan ibu dan ayah Farish, begini juga keadaannya. Gementar yang teramat sangat sehingga tangannya juga terasa sejuk pada ketika itu. Sampaikan ibu Farish sendiri menegur kesejukan tangannya ketika bersalaman dengan ibu Farish. Mujurlah ketika itu, Farish pandai mengawal keadaan. Tidaklah dia terasa takut sangat. Senyuman dilemparkan kepada Hana.
Hana membalas senyuman itu seadanya. Terasa segan pula apabila teringatkan peristiwa ketika dia dan Fazrul ditangkap suatu ketika dahulu. Hana memandang sekilas ke arah Fazrul. Lelaki itu sedang memandanganya dengan senyuman di bibirnya. Lega hatinya melihat senyuman pada seraut wajah itu. Sedikit sebanyak, senyuman itu memberikan kekuatan kepada dirinya untuk terus berhadapan dengan keluarga itu.
Hana memandang satu persatu raut wajah di hadapannya bersama senyuman di bibirnya. Langkah kakinya diatur perlahan bertegur sapa dengan ayah Fazrul dan kemudian menghulurkan tangan bersalaman dengan ibu Fazrul. Tiada senyuman pada raut wajah ibu Fazrul.
Tetapi, ibu Fazrul memandangnya dari atas sehinggalah ke bawah seolah-olah sedang meneliti dirinya satu per satu. Entah kenapa, dia sendiri tidak pasti! Hana bertambah gementar dengan situasi seperti itu.
Anak matanya beralih ke arah Fazrul dan kemudian beralih pula ke arah Kak Aisya. Ada senyuman pada raut wajah itu. Hana sedikit lega apabila melihat senyuman itu. Sekejap itu, Hana melemparkan pandang ke arah ayah Fazrul yang juga sedang memandangnya pada ketika itu. Juga ada segaris senyuman pada bibir lelaki itu.
“Masuklah Hana. Tak usah bersegan-segan.”
Sapaan ayah Fazrul membuatkan Hana terasa dirinya diterima di dalam keluarga itu. Walaupun ibu Fazrul seolah-olah tidak mengalu-alukan kedatangannya, tetapi sikap ramah dan mesra ayah, abang dan kakak ipar Fazrul membuatkan hatinya sedikit tenang.
Tak sangka, rupa-rupanya ayah Fazrul lebih ramah berbanding ibunya. Perkiraannya sebelum ini adalah silap. Dalam sangkaannya, ibu Fazrul lebih ramah, tetapi hakikatnya adalah disebaliknya. Hana tersenyum sendiri. Tetapi... wajah ibu Fazrul... macam pernah dilihat sebelum ini... Tapi, kat mana ya..? Atau... pelanduk dua serupa kot..?!
Hana melangkahkan kaki perlahan memasuki ruang rumah itu. Walaupun kali pertama dia menjejakkan kakinya ke dalam rumah itu, tetapi terasa seperti dia sudah pernah menjejakkan kaki ke dalam rumah itu. Hana tersenyum di dalam hatinya.
Ya Allah, bukakanlah pintu kebahagiaan untuk aku menjejakkan kaki ke dalam rumah tangga yang bahagia untuk selamanya. Di dalam hatinya, Hana berdoa sendiri. Dia mula merasakan ada sinar kebahagiaan yang mula mencelah masuk ke dalam dirinya. Semoga kebahagiaan ini akan berkekalan selamanya.


SUASANA makan malam bertambah riuh dengan kehadiran Fasha, anak sulong along dan Kak Aisya yang sudah pandai berceloteh itu dan ini. Walaupun ibu Fazrul kelihatan banyak mendiamkan diri, tetapi Hana rasa gembira dengan sikap ramah ayahFazrul dan kaka ipar Fazrul.
Tetapi, kali ini along nampak lebih banyak mendiamkan diri seperti ibunya. Walaupun pada awalnya along juga kelihatan gembira, tetapi kini along kelihatan diam membisu. Sikap along nampak berbeza dengan pertemuan kali pertamanya dengan along sewaktu ditangkap dahulu.
Atau... mungkinkah along juga sedang mempunyai perasaan yang sama sepertinya..?! Terasa hati dengan sikap Fazrul..? Ah... mungkin itu hanya sekadar perasaan aku! Namun, jauh di sudut hatinya, Hana terasa hati dengan sikap Fazrul.
Sebentar tadi, Fazrul sekadar memperkenalkan dirinya sebagai seorang kawan kepada kedua ibu bapanya. Bukan sebagai seorang isteri. Sungguh, Hana agak terkejut sewaktu Fazrul menyatakan bahawa dia adalah seorang kawan Fazrul.
Tetapi, apabila memandang seraut wajah selamba Fazrul yang seolah-olah tidak bersalah itu, Hana cuba tersenyum dan meniyakannya. Di saat itu, hanaya Tuhan sahaja yang tahu perasaan yang ada di dalam hatinya.
Sedaya upaya dia cuba mengawal keadaan dan perasaan hatinya tatkala itu. Dilemparkan pandangan ke arah seraut wajah along dan juga Kak Aisya. Jelas, air muka mereka juga kelihatan berubah. Hana cuba menarik nafas sedalam mungkin untuk mendapatkan kekuatan diri dan kesabaran yang menggunung.
Apa lagi yang dapat dikatanya, jika itulah yang mahu diperkatakan oleh Fazrul kepada kedua ibu bapanya. Mulutnya terkunci rapat walaupun hatinya memprotes hebat. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja naluri hatinya mula merasakan sesuatu.
Atau... mungkinkah Fazrul sekadar mengujinya..? Fazrul sekadar mempergunakannya..? Entahlah! Hana sendiri tidak pasti! Ya Allah... Engkau kuatkanlah hati aku untuk menhadapi segala apa dugaan yang mendatang. Hanya kepadaMu aku berserah segalanya!


KETIKA Hana sedang asyik melayani kerenah Fasha, Fazrul menghampiri Hana. Hana melemparkan pandangannya ke arah lelaki itu apabila menyedari lelaki itu sedang menghampirinya. Lama anak matanya terpacak pada seraut wajah itu.
Namun, seraut wajah itu nampak bersahaja tanpa sebarang rasa bersalah atau sebarang perasaan. Hana cuba mencari suatu maksud yang tersirat pada seraut wajah di hadapannya itu. Wajah itu dipandang lama.
Namun, sedikit pun anak mata lelaki itu tidak memandang ke arahnya. Fazrul sekadar mengusik-ngusik Fasha yang sedang berada di dukungnya. Hana menyerahkan Fasha kepada Fazrul. Lelaki itu menyambutnya tanpa memandang ke arahnya.
Hati kecil Hana tersa hati dengan sikap dingin lelaki itu. Ada persoalan yang ingin diutarakannya kepada lelaki itu. Sejak tadi lagi, dia mahu membuka mulut untuk bertanya. Tetapi, keadaan seolah-olah tidak mengizinkannya untuk bertanya sesuatu kepada lelaki itu.
Nafasnya ditarik perlahan sebelum memulakan bicaranya. Di dalam hatinya, dia mengharapkan ada kekuatan yang akan menemani persoalannya nanti. “Fazrul...”
“Hana, Kak Aisya mana..?”
Redup mata Hana memandang lelaki itu. Belum sempat dia bertanya, Fazrul sudah memotong percakapannya. Hana terdiam untuk seketika waktu. Sungguh, dia terasa hati dengan Fazrul. Lelaki itu seolah-olah sengaja mengelakkan persoalan yang mahu ditanyakannya dengan mengalihkan topik perbualan.
“Kak Aisya ada kat atas. Dengan along.” Dijawab juga pertanyaan Fazrul seadanya. Hatinya cuba dikerahkan dengan segunung kesabaran untuk menghadapi kerenah Fazrul.
Fazrul terus mencium Fasha dan menghulurkan semula kepada Hana. Langkah kakinya diatur menuju ke tingkat atas. Sebenarna, dia memang sengaja mengelak sebarang pertanyaan daripada Hana. Dia tahu, apa sebenarnya yang mahu dipersoalkan oleh Hana kepadanya.
Tetapi, persoalan itu tidak perlu dijawabnya buat masa sekarang. Yang penting, hatinya sudah terasa lega kerana apa yang dirancangnya sudah hampir menjadi.
Sekejap tadi, dia ada berbual-bual dengan ibunya. Walaupun marah-marah, tetapi ibu seolah-olah setuju dengan pilihan Fazrul. Ibu juga bersetuju membatalkan niatnya untuk meneruskan pertunangan Fazrul dan Natasya. Sekurang-kurangnya Fazrul tidak memilih Marlisa.
Tetapi kini, yang menjadi maslahnya, Fazrul masih tidak tahu bagaimana untuk membuat ibu menerima Marlisa. Selagi ibu tidak dapat menerima Marlisa, selagi itulah Fazrul tidak boleh membiarkan Hana pergi daripada kehidupannya. Hana adalah satu alasan yang kukuh untuk mengelak daripada Natasya.
Ketika Fazrul turun semula ke ruang tamu, kelihatan Hana sedang berbual dengan ayahnya. Entah apa yang dibualkannya, Fazrul sendiri tidak pasti. Biarlah. Semoga ayah akan dapat menerima Hana sepertimana ibu juga dapat menerima Hana.
Kakinya dilangkahkan menghampiri Hana dan ayahnya. “Ayah... Fazrul rasa, eloklah Fazrul hantar Hana balik dulu. Dah lewat benar ni.”
Hana memandang jam di tangannya. 11.35 malam. Matanya memandang ke arah Fazrul sekejap. Hantar aku..? Hantar ke mana..? Bukankah hala tuju aku dan dia adalah ke tempat yang sama..? Fazrul... awak benar-benar menguji perasaan hati saya! Hari ini, awak terlalu banyak buatkan saya terasa hati!
Fazrul... kenapa awak tidak terus berterus terang pada kedua ibu bapa awak..? Awak seperti memperbodohkan saya..! Sekarang, saya faham. Saya adalah mangsa keadaan yang diciptakan oleh awak, Fazrul. Sampai hati awak!
Ayah Fazrul bersetuju dengan kata-kata Fazrul sebentar tadi. Hana mengumpulkan seribu kesabaran di hatinya untuk terus berhadapan dengan permainan yang diciptakan oleh Fazrul itu. Semoga hatinya kuat untuk menghadapi semua itu.
Selepas bersalaman dengan Kak Aisya, Hana terus mengatur langkah ke kereta tanpa menoleh ke arah Fazrul. Hatinya betul-betul sedih dengan sikap Fazrul seperti itu. Dia betul-betul berkecil hati dengan Fazrul!


SEPULUH minit perjalanan, masing-masing saling mendiamkan diri. Di dalam fikiran Hana Cuma ada satu perkara yang sedang difikirkannya. Kenapa Fazrul memperbodohkannya..?! Sungguh, dia berkecil hati dengan sikap Fazrul!
Di rumah Fazrul tadi, dia sempat bersembang dengan ayah Fazrul. Kalau tidak kerana ayah Fazrul yang membocorkan rahsia itu kepadanya, mungkin sampai sekarang Hana tidak akan tahu bahawa dia sedang diperbodohkan oleh Fazrul!
“Kamu jangan berkecil hati sangat dengan sikap ibu Fazrul tu. Sebenarnya dia seorang yang baik. Cuma, mungkin dia berkecil hati dengan Fazrul aje tu. Sebab tu, dia tak berapa nak berbual hari ni.”
Hana mengerutkan dahinya, tidak faham dengan kata-kata tersebut. “Kenapa pulak dia berkecil hati dengan Fazrul?”
Terdengar gelakan kecil terbit daripada bibir lelaki di hadapannya itu. “Dulu, ibu Fazrul nak jodohkan Fazrul dengan Natasya, anak kawan baik dia. Tapi Fazrul tak setuju. Dia tak berkenan dengan budak Natasya tu. Sebab itulah ibu Fazrul ada mengugut Fazrul. Kalau Fazrul tak bawak calon menantu dalam tempoh sebulan ini, ibu dia tetap nak jodohkan Fazrul dengan Natasya. Ibu Fazrul memang selalu macam tu. Tapi, hati dia baik.”
Hana tersentak sendiri mendengar setiap ungkapan yang terkeluar daripada mulut ayah Fazrul itu. Ketika itu, barulah Hana tersedar sesuatu. Dia sedang diperbodohkan oleh Fazrul! Fazrul bukan membawa dia berjumpa dengan ibu dan ayahnya kerana dia adalah isteri Fazrul. Tetapi sebagai satu sandaran untuk mengelakkan dirinya daripada dijodohkan dengan Natasya!
Serta merta, kata-kata yang pernah dituturkan oleh Kay Tee menerjah ke fikiran Hana.
“Fazrul kalau bercinta, dia akan setia pada cintanya.”
Mungkin betul... Fazrul terlalu sukar untuk melepaskan Marlisa daripada hidupnya. Tetapi... Kenapa aku yang dijadikan mangsanya..? Kenapa aku..?! Apa-apa sekalipun, kali ini Hana bertekad untuk mendapat penjelasan Fazrul!
Lama anak matanya terpaku ke arah seraut wajah yang kelihatan tenang memandu di sebelahnya itu. Perlahan nafasnya ditarik untuk mendapat kekuatan hati dan perasaan sebelum bertanya kepada Fazrul. “Fazrul...”
“Apa dia..? Nak tidur, tidur ajelah.”
Hana meneguk liur perlahan. Fazrul memotong percakapannya sebelum dia meneruskan patah kata seterusnya. Ayat yang dituturkannya pula seakan acuh tidak acuh sahaja! Hati Hana bertambah geram dan sakit hati mengingatkan sikap Fazrul yang seperti itu.
“Fazrul… Kenapa awak buat saya macam tu?” Hana terus menyuarkan rasa tidak puas hatinya.
Fazrul sekadar diam dan terus meneruskan pemanduannya.
Hana mengumpulkan seribu kekuatan dan kesabaran di dalam dirinya. Harapan di hatinya, semoga dia tabah untuk menghadapi kerenah Fazrul seperti itu.
“Selama ini awak dah memperbodohkan saya! Kenapa awak buat saya macam tu..?” Hana menyoal dengan suara yang sedikit membentak. Dia benci Fazrul yang sekadar buat-buat tidak mengerti seperti itu! Sakit hatinya!
So..? Kau dah sedarlah ya..?”
Sinis sekali ungkapan yang dituturkan oleh Fazrul yang terus menyentapkan tangkai jantung Hana! Hatinya terasa seperti ingin menangis di saat itu. Memang itu yang mahu didengarnya, pengakuan Fazrul. Tetapi, Fazrul terlalu berterus terang sehinggakan hatinya terasa hati yang teramat sangat! “Awak kejam, Fazrul!”
“Diamlah!” Suara Fazrul tiba-tiba kuat dan meninggi!
Hana semakin terasa tersentap. Rupa-rupanya, selama ini sikap Fazrul terhadapnya hanyalah satu kepura-puraan! Hatinya menangis sedih menangisi perkara yang sudah berlalu.
“Kenapa kau cakap aku yang kejam, hah?! Sebenarnya kau tu yang bodoh! Dari dulu lagi aku dah cakap... Aku tak akan jatuh cinta pada perempuan macam kau! Sekali pun, tak akan! Itu dendam aku pada kau!”
Setiap perkataan yang dituturkan Fazrul terasa seperti duri tajam yang sedang mencucuk-cucuk hatinya. Hana dilanda kesedihan sendiri. “Kenapa..? Kenapa awak masih nak berdendam dengan saya?! Besar sangatkah silap saya sampai awak nak berdendam dengan saya macam ni sekali?!” Hana cuba menahan rasa sebak yang menerjah di dalam hatinya.
Tatkala ini, dirasakan kata-kata Fazrul seolah-olah suara Kamarul yang pernah menghinanya suatu ketika dahulu! Hatinya terasa tersentuh dan terluka sangat!
“Kau tanya apa silap kau?! Kau tak ingat..? Kaulah perempuan yang menjadi penghalang antara aku dan Marlisa! Sepatutnya aku kahwin dengan Marlisa, bukan dengan kau! Kau yang telah menyebabkan perkahwinan kita terjadi! Dan sekarang, aku terpaksa berhadapan dengan kerenah Marlisa yang semakin kuat merajuk dan sekarang menghilangkan diri! Semuanya kerana kau!”
Hana tersentap lagi! Kali ini, air matanya tidak segan silu untuk menitis jatuh ke bumi. Tuduhan Fazrul meremukkan hati wanitanya! Tapi... kalau itulah yang dirasakan oleh Fazrul selama ini, kenapa lelaki itu tidak melepaskan dia sejak dulu lagi..? Seawal perkahwinan mereka..?!
Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Suara dikawal agar tangisannya tidak disedari oleh lelaki di sebelahnya itu. “Kalau itulah sebabnya... Kenapa awak tak lepaskan saya sejak dulu lagi..?” Sayu sekali suara Hana bersama air mata yang semakin laju mengalir di pipinya. Dia tidak mahu menuturkan kata-kata seperti itu. Tetapi dia terpaksa juga menuturkannya jika itu yang sebenarnya mahu didengar oleh Fazrul! Sungguh, di saat ini hatinya terasa sangat sebak!
No! Jangan harap aku akan lepaskan kau setelah apa yang kau dah buat pada kehidupan aku! Kau dah banyak musnahkan hidup aku! Malam tu, kau memang sengaja perangkap aku! Sekarang, aku nak kau sendiri rasa, apa itu erti siksa!”
“Kenapa awak buat saya macam ni Fazrul? Kenapa awak cakap macam tu..?!” Semakin lirih suaranya menahan sedih yang semakin meruap-ruap.
“Sudahlah! Jangan nak tunjuk muka sedih kau kat sini pulak! Aku akan terus menyiksa kehidupan kau selagi aku tak puas hati. Biar kau tak dapat mendampingi mana-mana lelaki selagi aku masih suami kau. Aku akan pastikan supaya kau betul-betul merasakan apa itu siksa dalam kehidupan!”
Kata-kata itu cukup menyentapkan hulu hati Hana. Sungguh, hatinya terasa hancur, perit dan pedih dengan setiap apa yang dituturkan oleh Fazrul! “Kenapa Fazrul..? Kalau sekalipun awak nak berkahwin degan Marlisa, saya tak akan menghalang. Kahwinlah sebanyak mana sekalipun awak mahu. Saya tak akan marah. Cuma satu... Lepaskan saya! Saya tak sanggup nak hidup macam ni... Tolong jangan jadi kejam, Fazrul..!”
Tiba-tiba Fazrul terasa sakit hati dengan kata-kata Hana. Kereta yang dipandunya dibrek mengejut di sisi jalan raya itu.
Kepala Hana terhentak ke hadapan. Terkejut benar dia dengan tindakan Fazrul yang diluar jangkaannya itu. Di dalam hatinya, dia beristirafar banyak kali. Entah kenapa Fazrul bersikap seperti ini terhadapnya!
Fazrul memanah tajam anak matanya kepada Hana. Dadanya beromabak menahan amarah yang tiba-tiba menerjah ke dalam hatinya. “Kenapa kau cakap aku kejam, hah? Sebenarnya kau yang lebih kejam, Hana! Aku benci kau!” Kemarahan Fazrul menbuak-buak tiba-tiba.
Hana yang masih dengan rasa terkejutnya, memandang ke arah Fazrul lama. “Fazrul... lepaskan saya! Saya tak nak jadi isteri awak!” Hana membentak tegas. Entah kenapa tiba-tiba kesabarannya meruntuh! Hatinya betul-betul sakit hati dengan kelancangan mulut Fazrul yang terus menerus menuduhnya.
Fazrul tersenyum sinis. “Sekali kau tak mahu jadi isteri aku, berkali-kali aku tak mahu jadi suami kau! Tapi... aku tak akan sekalipun akan lepaskan kau! Biar kau tersiksa! Dan yang paling penting, aku tak akan membiarkan kau bersama Kamarul sepertimana aku tidak dapat bersama Marlisa!”
Hana menarik nafas sedalamnya. Kata-kata Fazrul cukup menyiat-nyiatkan hatinya. Perasaan kecewa sedang menguasai dirinya. Tetapi... kenapa Kamarul yang harus dilibatkan..? Kamarul langsung tiada kaitan dengan kisah hidup aku lagi!
“Suka hati awaklah, Fazrul. Buatlah apa yang awak suka. Cakaplah apa sekalipun awak nak cakap. Sakitilah hati saya ini sebanyak mana pun yang awak mahu.” Hana bersuara setelah agak lama mendiamkan dirinya. Lain yang bermain di hatinya, lain pula yang dituturkan oleh mulutnya! Tetapi, dia sudah tidak berkuasa mahu melawan kerenah Fazrul. Hatinya sudah cukup pedih dan terluka. Bimbang lukanya akan lebih parah dan ketika itu dia akan terasa sukar untuk memaafkan lelaki itu lagi! Jangan sampai amarahnya sampai ke tahap itu!
“Kenapa? Dah kalah..?” Fazrul bertanya sinis.
Hana berpura-pura senyum dan menggelengkan kepalanya. “Saya tak akan pernah mengaku kalah pada awak Fazrul.” Lembut kata-katanya, tetapi mempunyai maksud yang tersirat.
Fazrul tiba-tiba terasa tercabar dengan kata-kata lembut itu. Betul-betul terasa tercabar dengan sikap dan kesabaran Hana. Terasa seolah-olah dirinya pula yang kalah pada ketika ini! Tidak! Aku tidak mungkin akan kalah ditangan Hana!
“Okey..! Aku nak tengok, sejauh mana kau akan menang! Sekarang, keluar daripada kereta aku!” Fazrul mengarah tegas. Sedikit pun wajah Hana tidak dipandangnya. Kalau dia rasa dia kuat dan tabah, aku nak tengok sejauh mana kekuatan dan ketabahan dia! Rasakan apa itu siksa, Hana!
Hana tersentak sendiri. Seraut wajah keangkuhan Fazrul dipandangnya sekejap. Keluar sekarang..? Habis... aku nak balik naik apa..? Begitu kejamkah dia pada aku..?
Seraut wajah Fazrul dipandangnya, meminta kepastian. Lidahnya kelu untuk menuturkan perkataan walaupun sepatah kata. Air matanya terasa mahu menitis jatuh di saat itu kerana raut wajah di sebelahnya itu penuh dengan keangkuhan dan kekejaman! Tetapi, air matanya ditahan supaya tidak terjatuh ke bumi untuk diperlekehkan lagi oleh lelaki itu.
“Keluar sekarang!”
Kuat sekali kata-kata itu menusuk masuk ke corong telinga Hana. Hana menahan rasa sedih hatinya. Pandangan dilemparkan sekejap ke luar tingkap cermin kereta. Sunyi... gelap... ada manik-manik hujan yang mula jatuh menyentuh tanah! Fazrul... sampai hati awak buat saya macam ni...!
“Keluar!!”
Arahan kuat yang untuk keberapa kalinya itu cukup membuatkan hati Hana sedih dan terluka teruk. Perlahan pintu kereta itu dibukanya dan langkah kaki diatur keluar daripada kerata itu.
Sebaik sahaja daun pintu kereta itu ditutup, Fazrul terus memecut laju keretanya meninggalkan Hana sendirian di malam itu.
Hana hanya mampu memandang kerata yang melucur laju membelah jalan raya itu. Akhirnya, air matanya laju menuruni pipi menangisi kesedihan kehidupannya. Semakin lebat air matanya gugur bersama rintik-rintik hujan yang juga sekain lebat jatuh ke bumi. Di saat ini, dia hanya berserah segalanya kepada Allah S.W.T.

2 comments: