Friday, February 22, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 3


Tiga

JAM pada dinding ditoleh sekilas, 9.45 malam. Selepas solat Isyak dan melipatkan telekung sembahyang, Hana mengatur langkah ke dapur. Anak matanya tercari-cari meggi tom yam kegemarannya yang selalu sahaja diletakkannya di dalam kabinet tinggi di dapur itu. Daun pintu kabinet kecil itu diselak dan matanya mencari meggi yang dicarinya tadi. Alamak! Dah habis rupanya. Hana memandang semula ke arah perutnya dan kemudian perutnya itu digosok-gosok perlahan. Dari tadi, perut ni asyik berbunyi meminta diisikan dengan sedikit makanan.
Nak masak? Petang tadi, Kay Tee dah pesan supaya jangan memasak petang ini. Katanya, dia akan belikan makanan. Lambat pulak minah ni balik! Nasib baik aku tak ikut kau balik tadi. Kalau tidak... dengan aku sekali akan balik rumah lambat macam ni! Dahlah esok, pagi-pagi lagi udah nak balik ke Kuantan! Lambat-lambat macam ni, perut aku boleh kempunan tau! Sekarang ni pun, perut ni bukan main enak lagi berlagu menyanyaikan lagu warkah berlagu pilu kerana pilu tidak mendapat sebarang makanan yang diisi oleh tuannya! Kesian kau perut... Sabar ajelah ya? Hatinya membebel-bebel sendiri apabila Kay Tee tidak menepati janjinya untuk balik awal pada hari ini.
Selepas membuat secawan milo, kakinya dilangkahkan semula ke arah biliknya. Laptop di atas meja dicapainya dan dihidupkan. Seperti biasa, sebaik sahaja laptopnya dipasang, anak matanya akan sibuk mencari kiriman email daripada sahabat internetnya. Tak lain tak bukan, itu pastilah ‘peterpan’. Namun, dia hampa! Peterpan langsung tidak mengirimkan email kepadanya pada hari ini.
Sibuk benarkah dia? Hana berfikir sendirian. Nak hantar email...atau tak perlu hantar? Dia berkira-kira sendiri sama ada mahu bertanyakan khabar peterpan ataupun tidak. Argh..tak payahlah! Kalau dia ingatkan aku, dia akan hantar juga emailnya walau sesibuk manapun dia.
Itulah sikap yang ada pada Hana. Dia tidak suka memulakan bicaranya terlebih dahulu. Tetapi, dia bersedia untuk menerima bicara orang lain terlebih dahulu. Ataupun, dengan kata yang betul tidak mahu menganggu ketenteraman orang lain. Betul ke tu..? Betullah agaknya! Mungkin peterpan sedang sibuk benar... Macam Kamarul...!
Kamarul...? Erm... sibuk benar dia sampai langsung tak sempat nak hantar mesej walaupun sekadar sapatah kata. Terbit keluhan kecil di bibir Hana. Sesekali hati wanitanya tersentuh dengan sikap Kamarul yang kadang-kadang semacam senjaga membiarkan dirinya menanggung beban rindu yang teramat sangat seorang diri.
Tapi Hana faham! Sedaya upaya, Hana cuba memujuk hati kecilnya dengan mengatakan bahawa Kamarul sedang sibuk dengan kerjanya. Sudah dua hari Kamarul berada di Pulau Pinang. Sudah dua hari juga Hana langsung tidak mendengar sebarang khabar darinya. Entahlah! Moga Kamarul selamat dan sihat-sihat saja di sana.  
Selepas membalas beberapa email yang diterimanya daripada rakan-rakan, Hana terus menutup laptopnya. Terus sahaja badannya direbahkan di atas katil. Untuk seketika waktu, dia memandang lama ke arah telefon bimbitnya yang berada di atas meja kecil berhampiran dengan katilnya. Tangannya mencapai telefon itu dan anak matanya mula membaca beberapa mesej lama yang dikirmkan oleh Kamarul. Entah kenapa, di saat bersendirian seperti ini, hatinya terasa seperti sangat merindukan Kamarul. Membaca mesej-mesej lama dapat mengubatkan sedirkit penyakit rindu yang bermukim di hati. Ada senyuman kecil terukir pada bibir kecil itu.


HAI, assalamualaikum.”
            Hana meletakkan buku yang dipegangnya di atas meja dan kemudian kepalanya ditoleh ke arah suara yang memberi salam. Untuk sekejapan waktu, anak matanya bertembung dengan sepasang mata yang sejak akhir-akhir ini seringkali menganggu dan menggetarkan hati wanitanya. Tiba-tiba terasa degup jantung mula berdetap-detap, mahu berdegup dengan lebih pantas. Semakin kencang debaran di dada apabila panahan mata lelaki itu tepat menerjah ke dalam matanya.
Apa tidaknya... Inilah jejaka yang selalu dipujanya dalam diam! Ya, memang selama ini dia sedang memendam perasaan terhadap lelaki itu. Tiba-tiba, tanpa disangka, jejaka itu sedang berdiri di hadapannya dan sedang memberi salam kepadanya.
Selama ini dia langsung tidak pernah mengenali lelaki itu, walaupun dia belajar di universiti yang sama. Cuma, satu kebetulan yang kerap kali terjadi, mereka sering kali terserempak di perpustakaan. Selalu sahaja matanya dan anak mata lelaki itu bertaut pandang.
Pernah suatu perkara yang membuatkan diri dan jantungnya bergetar hebat, lelaki itu telah menyelamatkan Hana ketika terjatuh dari tangga sewaktu sedang bertolak-tolak berebut-rebut menaiki bas. Ketika itu, Hana sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Apa yang dirasakannya adalah badannya akan jatuh gedebuk macam nangka busuk di atas bumi.
Namun, tanpa disangkanya, ada tangan kasar yang pantas sahaja memaut bahunya dan menyelamatkan dirinya daripada tunduk menyembah bumi. Di saat itu, anak matanya terpaku lama memandang ke arah lelaki yang telah menyelamatkannya. Dan lelaki itu adalah lelaki yang sama, yang juga kerap kali terserempak di perpustakaan. Sedar tidak sedar, dia sudah berada di dalam pelukan lelaki itu.
“Awak okey?”
Pertanyaan itu membuatkan Hana terpinga-pinga untuk sekejapan waktu. Apa kes aku ni... Kenapa pandang dia lama-lama?! Takkanlah jatuh cinta pandang pertama. Eh, bukan pandang pertama ni. Dah banyak kali terpandang masa kat perpustakaan. Darah panas terasa menyerbu ke mukanya. Malunya aku! Ketika itu, Hana sekadar mengangguk dan terus melangkah semula ke arah bas tanpa mengucapkan terima kasih kepada lelaki yang telah menyelamatkannya itu. Mungkin kerana perasaan terkejut dan perasaan malu bercantum menjadi satu, membuatkan Hana tidak mampu berfikir dengan baik.
Kali ini lelaki itu sedang berada di hadapan matanya. Hana gugup sendirian. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus menerus memandang lelaki itu. Dia cuma tersedar apabila lelaki itu mengangkat sebelah keningnya seperti bertanya sesuatu.
“Boleh saya duduk sini?” Lelaki itu masih memandang dalam ke dalam anak matanya.
“Err... Duduklah.” Hana mengalihkan pandangan ke arah bukunya. Waduh... Lagaknya macam malu-malu kucing! Yang membingungkannya, satu habuk isi kandungan buku itu tidak sampai ke otaknya. Kenapa dengan aku ni? Macam mana aku boleh jadi kalut macam ni? Kenapa gementar semacam aje ni? Sedaya upaya Hana cuba berlagak tenang dan pada masa yang sama dia berusaha menenangkan dirinya sendiri. Selepas kejadian lalu, dalam diam Hana mula menyimpan perasaan kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu. Yang tahu, hanya Hana dan Kay Tee.
Hana memandang sekejap ke arah lelaki yang sudah mula melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengannya. Tepat pada masa itu, lelaki itu sedang asyik merenungnya. Hana semakin resah dan gelisah! Panahan mata yang kuyu itu, membuatkan Hana tidak keruan. Hanya senyuman yang mampu diukirkan kepada lelaki itu. Bertambah getaran di dadanya apabila lelaki itu membalas senyumannya dengan suatu senyuman yang manis. Argh, aku memang sudah angau! Hana menundukkan wajahnya dan berpura-pura membaca buku yang sedang dipegangnya di atas meja itu.
Study apa?”
“Hah..? Err... tak... cari bahan untuk assignment. ” Tergagap-gagap Hana menjawab pertanyaan lelaki itu.
Lelaki itu mengangguk dan tersenyum manis sekali lagi. “Lepas ini, boleh jumpa saya kat cafe bawah tak?”
“Hah..? Err... Ermm..” Hana menganggukkan kepalanya perlahan. Entah kenapa, tiba-tiba senang benar dia menerima perlawaan lelaki itu. Padahal, selama ini bukankah dia adalah seorang perempuan yang payah nak keluar dengan mana-mana lelaki, kecuali berteman? Entahlah..! Mungkin kerana dia menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Kerana itu, senang sahaja dia bersetuju.
Ketika di cafeteria, tanpa disangkanya, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Kamarul itu meluahkan perasaan kepadanya. Berbicara tentang hati dan perasaan! Pada mulanya, memang Hana terperanjat besar dengan pengakuan berani mati yang dituturkan oleh lelaki itu. Mana tidaknya... Dia sendiri sudah lama memendam rasa terhadap lelaki itu. Cuma, dia tidak berani untuk meluahkan walau sepatah perkataan pun. Waa... Indahnya... sepertinya aku berada di kayangan...
Tapi ketika itu, dia keliru sendiri! Maklumlah... Hana bukanlah secantik Siti Nurhaliza atau semanis Preety Zenta. Kalau nak dibandingkan dengan Kamarul yang tampan dan digilai ramai itu, memang macam gagak di rimba dengan merak di kayangan. Gagak? Eh, tak adalah macam gagak! Aku ni berkulit cerah, bukan gelap macam gagak tu.
Seminggu Hana mengambil masa untuk berfikir tentang perkara itu, sama ada mahu menerima, ataupun menolak! Namun, sokongan Kay Tee dan gerak hatinya sendiri mengatakan bahawa dia sepatutnya menerima Kamarul. Sejak itu, hubungan Hana dan Kamarul berkekalan sehinggalah sekarang. Alhamdulillah... Sudah hampir tiga tahun hubungan itu berjalan lancar.
Aduh...!! Rindunya pada Kamarul... Sehari rasanya macam setahun menanggung kerinduan!!


PINTU bilik yang terbuka secara tiba-tiba memeranjatkan Hana yang sedang tersenyum-senyum sendiri di atas katilnya. Tersembul wajah Kay Tee bersama sengihannya dan seraut wajah yang agak kepenatan. Apa hal pulak minah ni? Tersengih-sendih macam kerang busuk.
“Weh, bila kau sampai? Dahlah masuk bilik orang tak reti ketuk pintu! Buat orang terperanjat aje!” Hana bingkas bangun daripada pembaringannya.
Kay Tee melabuhkan punggung di sisi Hana dan kemudian melemparkan jelingan ke arah temannya itu. “Eleh, dia yang berangan... cakap orang pulak yang tak ketuk pintu! Agak-agak kalau pencuri masuk pun kau tak sedar kan? Berangan apa? Nak kahwin dengan anak raja eh?”
“Hisy.. ada pulak nak kahwin dengan anak raja! Kalau aku kahwin dengan anak raja, mana aku nak buang Kamarul?”
“Alah... campak aje kat dalam laut tu! Apa yang payah sangat?! Biar Kamarul kesayangan kau tu kena makan dengan ikan jerung. Kan senang!” Kay Tee ketawa kecil dengan usikannya itu. Dia tahu, Hana menyayangi Kamarul lebih daripada segalanya. Sebab itulah dia berani mengusik seperti itu.
“Amboi... Amboi... Mulut tak ada insurans eh..?”
“Eh, Hana? Apasal tadi kau tinggalkan aku macam tu aje? Kesian aku sorang-sorang tau! Fazrul kirim salam pada kau. Dia cakap, entah bilakah masanya dia akan bertemu dengan puteri impian yang sudah lama ingin ditemuinya. Payah benar kau dan dia nak bertemu. Pasti ada saja halangan yang menerpa.” Kay Tee tidak menjawab persoalan Hana. Sebaliknya, dia mengalihkan topik perbualan mengenai perihal Fazrul.
Hana tergelak kecil mendengar celoteh Kay Tee. “Sorrylah, Kay tee... Bukan niat aku nak blah macam tu aje. Tapi alang-alang Najwa datang sorang-sorang. Apa lagi, menyembanglah lama-lama. Lepas tu, aku temankan dia beli barang sikit. Kau tahu, Kay Tee? Baby dia comel sangat-sangat. Geram betul aku tengok pipi dia yang debab tu. Comel sangat!”
Kay Tee menjuihkan bibirnya dan kemudian tersenyum-senyum sambil mengangkat sebelah keningnya. “Eleh, kalau dah geram sangat tengok baby, tak reti-reti nak kahwin? Buat baby sendiri kan senang!”
Hana membulatkan matanya memandang Kay Tee. “Amboi... sedapnya mulut! Mengata orang aje lebih! Awak tu pun sama aje cik Kay Tee, oii..! Kay Tee, agak-agak bila ya, aku dapat tengok kau naik pelamin?” Hana membuat muka seposen bertanyakan Kay Tee. Sengaja dia mengenakan Kay Tee semula.
Itulah... mengata aku lagi! Bibirnya mengukirkan senyuman yang entah apa-apa dan anak matanya melirik tajam ke arah Kay Tee. Padahal, dia sudah masak benar dengan perangai teman serumahnya itu yang sukar didekati lelaki. Sampai sekarang pun tak ada boyfriend. Mungkin juga Kay Tee takut dikecewakan.
Pernah suatu ketika dahulu, cinta pertamanya tidak kesampaian dan terputus di tengah jalan. Kerana itu juga, Kay Tee tidak berani untuk menjalinkan sesuatu hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki. Begitulah hebatnya penangan cinta pertama dalam hidupnya!
“Dah lah, Hana! Aku nak tengok kau naik pelamin dulu, barulah aku pulak yang menyusul naik pelamin.”
Hana mengerutkan dahinya dan merenung Kay Tee sekejap. “Eh, apa pulak kaitannya diri aku dengan kau?!”
“Dah! Dah! Tadi aku ada belikan nasi bungkus. Jom makan! Aku dah lapar benar ni.” Kay Tee mengalihkan topik perbualan. Dia tahu, dia dan Hana, masing-masing mahu menang! Kalau macam tu, sampai esok pun belum habis berdebat!
“Ha’ah! Perut aku pun dah dari tadi asyik menyanyi lagu yang entah apa-apa, meminta diisi. Jom!” Hana menggosok-gosokkan perutnya beberapa kali, seolah-olah perutnya itu sudah terlalu lapar.
Kay Tee tersenyum-senyum sekejap ke arah Hana. “Hah, bab makan cepat aje kau ya? Makan banyak, tapi badan tak besar-besar pun!”
Hana sekadar melemparkan sengihan kepada Kay Tee. Betul tu! Aku ni memang makan banyak. Tapi, badan aku ni macam ni jugak. Tak nak naik! Bilalah agaknya aku nak jadi gemuk? Erm.. lepas kahwin kot! Hehehee... Hana tersenyum sendiri di dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment