Friday, February 22, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 4


Empat
                                                                                           
TALIAN telefon bimbitnya dimatikan. Satu pandangan kosong yang langsung tidak memberikan apa-apa makna itu dilemparkan ke arah telefon bimbit di tangannya. Kemudian, telefon bimbitnya itu di letakkan semula di atas meja. Sesekali, hati wanitanya terasa tersentuh dan berkecil hati. Sibuk benarkah dia? Begitu sibukkah?
Sudah hampir lima hari Kamarul langsung tidak menghubunginya. Pernah beberapa kali Hana cuba menelefon telefon bimbit Kamarul. Tetapi, semuanya hampa! Kadang-kadang taliannya sibuk. Ada juga Kamarul seperti sengaja mematikan talian. Entahlah! Mungkin dia benar-benar sibuk. Tetapi... tiadakah sekelumit rindu di hatinya terhadap aku..?
Jarak yang jauh menyebabkan dirinya terasa betul-betul jauh daripada Kamarul. Dua minggu, bukan satu jangka masa yang singkat! Betul kata orang, penantian itu suatu penyiksaan! Ah, tak mengapalah! Dua bulan nanti, dia akan sentiasa berada di samping Kamarul sebagai isterinya.
Alangkah bahagianya hidup di alam berumah tangga! Dan nanti... aku akan melahirkan anak-anak yang comel-comel dan baik hati. Ah… bahagianya! Hana mula tersenyum-senyum sendiri apabila memikirkan kebagiaan yang akan dikecapinya tidak lama nanti. Hidup bersama orang yang dicintai dan mempunyai keluarga yang bahagia sepanjang hayat! Betul tu! Kalau nak bahagia, dalam percintaan kita haruslah berfikiran positif kepada orang yang kita cintai. Jangan cepat berprasangka kepadanya! Tak mengapalah Kamarul... Hana tahu, Kamarul sibuk...! Sengaja dipujuk sendiri hati wanitanya.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     
“Hana, tak keluar makan ke?”
Hana sedikit tersentak dengan lamunanannya apabila ditegur oleh satu suara. Kepalanya dipusingkan ke arah orang yang sedang menegurnya itu. Secalit senyuman terukir di bibirnya apabila memandang raut wajah itu. “Kejap lagi lah. Mana Fazy?” Hana menggerakkan anak matanya melilau mencari seraut wajah Fazy. Biasanya, di mana ada Nazrin, di situlah juga ada Fazy. Kedua-dua teman satu pejabatnya ini seringkali digosipkan kerana keakraban meraka berdua.
“Fazy pun cakap, kejap lagi. Berpakat ke?” Nazrin melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan meja Hana.
Hana sekadar tersenyum memandang sahabatnya. “Kalau macam tu, duduklah dulu, Naz. Kita tunggu Fazy dulu ya?”
Nazrin sekadar mengangguk perlahan. Tangannya sudah bermain-main di atas meja Hana. Sebatang pen dicapai, dan menulis sesuatu pada kertas kosong yang diambilnya daripada kotak berhampiran.
Hana yang memandang tingkahlaku Nazrin menggeleng-gelengkan kepalanya. Nazrin... Nazrin... Tangan tu memang tak boleh nak duduk diam! Ada saja bende yang nak dipegangnya!
Sekejap itu, Nazrin menghulurkan kertas yang dicontengnya tadi ke arah Hana. Hana mengangkatkan keningnya, bertanya. Tangannya tetap menyambut huluran kertas yang dihulurkan oleh Nazrin itu dan terus membacanya.

‘Abg awk blom balik lg ke?’

Hana tersenyum memandang kertas itu dan kemudian memandang ke arah Nazrin sekejap. Ooh, nak main sms melalui kertas ya! Okey, no hal! Tangannya mencapai sebatang pen yang tersusun elok di dalam bekas yang terletak di atas mejanya. Terus sahaja dia mencoretkan sesuatu pada kertas itu.

‘Sy anak sulong… jd sy x ada abg.’

Nazrin menyambut semula huluran kertas daripada Hana dan membaca coretan yang ada pada kertas itu. Terbit gelakan kecil di bibirnya.

‘Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu... Iya, sy tahu awk anak sulong. Abg Kamarul blom balik lg ke? Lamanya kat overseas...! x takut kena kebas org ke?’

Dihulurkan semula kertas itu kepada Hana.
Hana mengerutkan dahinya sekejap. Tetapi, dia tetap membalas coretan kertas itu.

‘Overseas...?’

Nazrin tersenyum-senyum sendiri. Tangannya laju semula menulis sesuatu pada ketas yang sama.

‘Iyalah, overseas... Pulau Pinang kan overseas jugak..=)’

Hana tergelak membaca patah perkataan itu. “Sudahlah, Naz! Awak ni, ada-ada aje nak kenakan orang!”
Nazrin mengerutkan dahinya dan berpura-pura membuat muka tidak bersalah. “Isyh, mana ada! Saya tanya aje.”
“Pandailah awak!” Hana sekadar menjeling ke arah Nazrin.
“Memang saya pandai pun. Kalau tidak, macam mana dah lepas universiti dengan cemerlang!” Nazrin tersengih-sengih memandang Hana. Saje nak puji diri sendiri! Kalau kita tak puji diri sendiri, siapa lagi yang nak memuji kita..?!
Hana tergelak kecil. Macam-macam! Cakap, tak pernah nak mengalah!
“Hai, seronok berborak?”
Sapaan suara itu membuatkan kedua-dua mereka menoleh serentak. Sebaik sahaja memandang seraut wajah itu, Hana terus sahaja mematikan senyuman dan mengalihkan pandangannya ke arah skrin komputer di hadapannya. Sungguh, hatinya tidak suka dengan lelaki ini. Siapa tak kenal dengan Anuar, playboy besar dalam ofis ni! Pada mulanya, Hana tidak kisah untuk bertegur sapa dengan Anuar.
Tetapi sejak kebelakangan ini, pandangan dan lirikan mata lelaki itu menimbulkan rasa takut dalam dirinya. Ditambah lagi, matanya sendiri pernah beberapa kali menyaksikan perkara yang tidak senonoh dilakukan oleh lelaki itu. Lagilah hatinya tidak dapat menerima lelaki itu sebagai seorang kawan! Pernah beberapa kali Hana ternampak Anuar bercumbuan dengan wanita bukan muhrim di dalam keretanya sewaktu Hana menuju ke tempat parking di bahagian belakang bangunan tempat kerjanya. Kalau Kay Tee terlambat, biasanya dia akan menunggu di situ. Peliknya, wanita yang bersama Anuar itu, bukanlah wanita yang sama. Lain hari, lain orangnya!
Kerana perkara-perkara seperti itu, Hana membuat tafsiran sendiri bahawa lelaki ini tidak ikhlas dengan perhubungan yang dijalinkan. Hana paling benci pada lelaki yang berkelakuan seperti itu!
“Tak ada apa pun yang dibualkan. Borak-borak kosong sebelum keluar makan.”
Nazrin yang sememangnya seorang peramah, menjawab pertanyaan Anuar yang sudah mula bertenggek di meja Hana. Anuar menganggukkan kepalanya dan sesekali mengetuk-ngetuk permukaan meja. Beberapa kali, anak matanya dilirikkan ke arah sekujur tubuh Hana yang seolah-olah langsung tidak sudi memandang ke arahnya.
“Naz, saya nak ke toilet kejap. Nanti tunggu kat bawah ya?” Tanpa menunggu jawapan Nazrin, Hana terus mencapai handbag dan terus melangkah meninggalkan meja itu. Hatinya meluat dengan pandangan tajam Anuar! Benci!!


HANA menoleh sekilas ke arah jam di pergelangan tangannya. Alamak! Dah pukul 4.45 petang dah! Lupa... hari ni, Kay Tee akan menjempunya lebih awal sepertimana yang dijanjikan. Cepat sahaja Hana mengemas barangnya dan menutup suis komputernya.
Biasanya, Hana akan melangkah keluar dari pejabatnya dalam lingkungan jam enam petang kerana tidak mahu bersesak berebut-rebut lif dengan orang ramai yang turut sama mahu pulang ke rumah. Biarlah lambat. Asalkan tidak tersempit di tengah-tengah orang ramai macam tu. Dahlah bersama-sama dengan bermacam-macam bau yang kurang menyenangkan! Eee... tak sanggup aku!i ni, nak tak nak terpaksa jugak. Takkan nak biarkan Kay Tee menunggu lama-lama kat bawah tu. Dia pun ada kerja yang nak dibuatnya! Nasib badanlah!
Malang! Memang betul-betul malang! Sebaik sahaja kaki kanannya melangkah masuk ke perut lif, sepang lagi kaki turut melangkah memasuki lif yang sama. Hana mendongak seketika ke arah raut wajah itu. Satu senyuman yang dipaksa-paksa, dilemparkan jua kepada lelaki itu. Sungguh, dia pantang benar dengan lelaki ini. Betul-betul tak suka!
Keadaan di dalam perut lif yang sesak itu, dirasakan semakin sesak dengan kehadiran Anuar di sisi kanan Hana! Memang terlalu rapat. Hana benci dengan keadaan seperti itu! Waktu yang berlalu pada ketika itu dirasakan sangat lambat berlalu! Sesekali anak matanya melirik tajam ke arah lelaki itu dengan harapan semoga lelaki itu memahami keadaannya dan mengetahui bahawa dia tidak suka diperlakukan seperti itu! Namun, hati lelaki itu terlalu keras dan langsung tidak mahu memahami dirinya. Hati Hana terasa semakin sakit apabila melihat renungan tajam yang dilemparkan oleh lelaki itu kepadanya. Apatah lagi ada senyuman nakal yang terbit di bibir lelaki itu. Bencinya aku..!
Hana semakin rimas apabila lelaki itu seolah-olah melangkah rapat ke arahnya. Di dalam hati, Hana berdoa sendiri semoga Allah melindunginya daripada sebarang perkara buruk. Sekejap itu, Hana mendongakkan kepala apabila terasa tangan lelaki itu sudah berani berlingkar di pinggangnya. Memang Anuar dah betul-betul gila! Hendak ditepis, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia tersepit di tengah-tengah orang ramai itu!
Sebaik sahaja pintu lif terbuka luas, Hana terus menghayungkan kakinya melangkah keluar daripada kesesakan itu. Dia mempercepatkan langkah apabila terasa seolah-olah ada langkah kaki yang sedang menapak mengikutinya. Namun, Anuar turut mempercepatkan langkahnya seiringan dengan Hana.
“Hana... Kenapa laju sangat ni? Nak kejar apa?”
Hana sekadar membisu dan semakin mempercepatkan langkahnya. Dia benci lelaki ini. Sebenarnya, dalam hatinya lebih kepada rasa takut yang meruap-ruap! Matanya melilau-lilau di persekitaran di hadapannya dengan harapan dapat mencari wajah-wajah yang dikenalinya. Tetapi, dia hampa! Di situ, tiada siapa-siapa yang dikenalinya! Apa aku nak buat sekarang...?
“Hana... Kita keluar makan sama-sama boleh?”
Hana mencebik! Keluar makan dengan kau? Jangan harap, Anuar! Aku bukan seorang perempuan yang senang-senang untuk diajak ke hulu ke hilir seperti perempuan lain. Apatah lagi keluar dengan buaya darat macam kau! Lagilah, tak akan! Namun, kata-kata itu hanya berada di dalam hatinya. Biarlah ia terbuku di situ!
“Maaflah, Anuar. Saya sibuk!” Hana langsung tidak menoleh ke arah Anuar, sebaliknya terus meneruskan perjalanannya.
Patah kata yang dituturkan oleh Hana menimbulkan rasa geram dalam hati Anuar. Sejak dulu, Hana selalu bersikap acuh tak acuh terhadapnya. Dia sendiri tidak pasti, kenapa Hana kelihatan terlalu membenciinya walaupun dia sedaya upaya cuba berbaik dengan perempuan itu.
Tiba-tiba Hana terasa tangannya ditarik kasar. Hana menoleh ke arah Anuar dan cuba merentap semula tangannya daripada gengaman lelaki itu. Tetapi, tangan itu dipegang kemas sehingga menyakitkan pergelangan tangannya.
“Hana, kenapa kau sombong sangat dengan aku?”
Walaupun tidak kuat, tetapi nada suara Anuar jelas kedengaran keras di telinga Hana. Hana tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya terus cuba melepaskan gengaman tangan itu.
“Jawab soalan aku, Hana!”
“Kau ni kenapa, Anuar?” Suara Hana mula meninggi kerana sakit hati dengan tingkah laku Anuar. Sesuka hati dia aje nak pegang tangan anak dara orang! Sememangnya dia paling benci dikasari seperti itu!
“Sepatutnya, aku yang tanya kau, kenapa?!”
Pandangan tajam Anuar terhadapnya, menimbulkan debaran yang kuat di dalam hati Hana. Hana mengalihkan pandangan dan sekali lagi dia mencari-cari raut wajah yang dikenali atau yang boleh dipercayai. Untuk sekejapan waktu, anak matanya tertangkap ke arah seorang lelaki yang kebetulannya sedang melangkah menuju ke arah pintu yang bertentangan dengannya. Nampak macam muka baik! Hati Hana tersenyum kelegaan.
“Dah lah, Anuar. Saya nak balik dengan kawan saya. Tangannya meleraikan pegangan tangan Anuar yang sudah longgar itu dan kakinya terus dilangkahkan dua langkah ke arah lelaki yang sedang melalui sebelah mereka itu. Dia bertindak berani dengan menarik lengan lelaki itu perlahan. Walaupun begitu, anak matanya langsung tidak memandang ke arah lelaki yang tidak dikenalinya itu. Bimbang juga, kalau-kalau dia disalah ertikan oleh lelaki itu. Niatnya cuma untuk mengelak daripada Anuar. Hati Hana tersenyum sendiri apabila melihat lelaki yang kelihatan agak terkejut itu sekadar mengikut arah kakinya.
“Anuar... Ni Fazrul, kawan saya. Saya akan balik dengan dia. Maafkan saya. Kami balik dulu. Assalamualaikum.” Sempat lagi Hana berlagak baik memberi salam kepada Anuar. Fazrul..? Biar benar aku! Tu kan nama kawan Kay Tee... Apasal pulak aku boleh sebut nama tu? Tapi... apa nama lelaki ni? Lantaklah! Hari ni, nama awak Fazrul, okey? Jangan marah...! Tangannya masih lagi menarik tangan lelaki yang berkemeja lengan panjang itu mengikut langkahnya.
Bila terasa jaraknya dengan Anuar agak jauh, Hana menoleh semula ke belakang. Dilihatnya, Anuar sedang berbual-bual dengan seorang perempuan. Entah siapa perempuan itu, Hana tidak tahu. Huh, dasar buaya darat! Tetapi, ketika ini Hana sudah terasa lega apabila terlepas dari mulut buaya! Sekurang-kurangnya dia tidak menjadi mangsa Anuar. Kesian perempuan tu! Harap-harap dia tidak tertipu dengan janji manis Anuar.
Sekejap itu, barulah dia teringat bahawa dia sedang memegang tangan seorang lelaki. Perlahan-lahan, dia melepaskan pegangan tangannya pada lengan lelaki itu. Takut-takut dia mendongak memandang raut wajah yang belum sempat ditengoknya dengan teliti sekejap tadi. Berdebar-debar hati Hana apabila lelaki itu tidak berkelip memandang ke arahnya. Harap-harap, dia seorang lelaki yang baik hati. Atau... adakah dia marah dengan tindakan aku memegang tangannya tadi? Apatah lagi, aku dah bagi nama Fazrul pada dia! Perlahan-lahan Hana mengalihkan pandangannya bersama wajah pucatnya itu.
“Err.. Maaf! Terima kasih, sebab encik sudi tolong saya.” Hana semakin tidak keruan apabila lelaki itu terus diam membisu dan masih merenung raut wajahnya. Hana semakin serba salah! Tapi... aku rasa aku macam pernah jumpa lelaki ni. Tapi di mana, ya? Segaknya dia!
Anak mata lelaki itu menusuk tepat ke dalam anak matanya. Kenapa pandang saya macam tu? Hana bertanya kepada hatinya sendiri! Tiba-tiba jantung Hana terasa berdetak lebih pantas. Bukannya debaran yang disebabkan ketakutan. Tetapi, debaran yang disebabkan oleh perasaan asing yang tiba-tiba menerpa ke hatinya! Ya Allah... Kenapa dengan aku ni?
“Erm... Terima kasih, ya? Jumpa lagi!” Hana bingung! Tidak tahu apa lagi yang patut diperkatakannya. Akhirnya, dia terus berlalu meninggalkan lelaki yang kelihatan masih leka merenungnya itu. Kenapa renung aku macam tu? Cantik Sangat ke aku ni? Ada macam muka Siti Nurhaliza? Tak pun, macam muka Maya Karin ke? Kalau ada macam tu, bertuahnya aku.
Tak betul agaknya! Hana menjungkit bahunya sendiri. Sekejap itu, dia tersenyum sendiri! Sekarang aku pulak yang jadi tak betul!! Nasib kaulah Fazrul... Aku pinjam nama kau! 

No comments:

Post a Comment