Friday, February 22, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 2


Dua

AWAL-AWAL pagi lagi Hana telah bangun. Malam tadi tidurnya tidak seberapa lena. Entahlah! Macam-macam mimpi yang mejelma di dalam lenanya! Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, Hana kerap kali mimpikan Kamarul dan diselangi dengan ayahnya. Padahal, kalau diikutkan, antara mak dan ayah, Hana tidak seberapa rapat dengan ayahnya, tetapi sangat rapat dengan emaknya.
Mimpi-mimpi yang mendatang itu pula bukanlah sebarang mimpi! Tapi mimpi yang yang sangat menakutkannya! Pagi tadi, dia bermimpi lagi! Jam ditoleh sekilas. Jarum jam menunjukkan angka 5.30 pagi. Kerana mimpi yang membuatkan dia terasa takut itu, dia tidak jadi untuk menyambung tidurnya, terus bangun, mandi dan bersedia untuk solat subuh. Entahlah! Kata orang, mimpi hanya mainan tidur! Betul ke mainan tidur? Dalam tidur pun boleh main ke? Tapi... mimpi tu... macam betul-betul la!
Selepas solat subuh, Hana terus turun ke dapur, memasukkan baju kotor ke dalam mesin basuh, mengemas dapur, dan kemudian menyediakan sarapan pagi. Sementara menunggu Kay Tee bangun, Hana menyibukkan diri dengan mengemas rumah. Biasalah... Hujung-hujung minggu macam ni, nak nampak batang hidung Kay Tee bangun awal, jangan haraplah! Terongkang macam bongkang pecah! Ha ha...
Setelah semuanya selesai dikerjakannya, dia berehat di kerusi sofa menghadap siaran televisyen. Apa cerita yang ada pagi-pagi macam ni? Tak bestlah! Bosannya...! Nak kejutkan Kay Tee, tak sampai hati la pulak! Dah lah malam tadi dia tidur lambat. Biar ajelah dia tidur lagi! Hana melayan angannya sekejap! Kali ni nak berangan tentang apa ye? Putera katak lagi? Tak naklah! Zaman tok kaduk tu! Berangan apa ye? Hah! Kahwin dengan putera raja! Okey jugak ni! Tapi... kalau kahwin dengan putera raja, macam mana dengan Kamarul? Nak campak kat mana? Olah ke main campak-campak? Tak boleh! Tak boleh!
Argh...! Nak buat apa ni? Fikirannya sudah buntu untuk berbuat apa-apa! Sungguh, dia tidak boleh duduk diam! Dia bosan dengan suasana seperti ini!! Eh, bukan ke aku tak sidai baju lagi? Boleh lupa pulak! Kakinya terus di langkahkan ke bilik air, kemudian meletakkan pakaian yang sudah siap berbasuh ke dalam bakul. Selepas mengenakan tudung, Hana mengangkat bakul yang berisi pakaian itu ke ampaian yang berada di luar rumah.
Matanya menangkap ke arah pasu bunga yang tersusun di tepi pagar rumah sewanya itu. Hah..! Ada pun kerja yang masih belum buat. Selepas menyidai pakaian, Hana melangkah ke arah pasu-pasu bunga itu. Eee.. ada ulat! Ulat ni suka menyibuk kat bunga aku! Kau makanlah daun lain, jangan makan bunga aku ni! Daun kat rumah sebelah ke... He hee... Macam mana rumah aku nak cantik kalau kau makan bunga-bunga ni! Dicabutnya rumput-rumput yang tumbuh meliar di dalam pasu-pasu yang cantik itu sesambil mulutnya menyanyi kecil.
“Hai, assalamualaikum.”
Hana sedikit terkejut dengan sapaan yang mengejut itu. Kepalanya didongakkan mencari seraut wajah yang menegurnya itu. Siapa? Berkerut dahinya. Bila nampak tuan punya tubuh yang menyapa, barulah dia mengukirkan senyuman.
“Waalaikumussalam. Aik, awal bangun?” Agak pelik! Selama ini kalau hujung minggu, bukankah paling-paling awal pun pukul 11 pagi, baru anak bujang ini akan bangun!
Zairil adalah salah seorang jiran yang bersebelahan dengan rumahnya dan juga seorang jiran yang seringkali mengambil berat mengenai jirannya. Pendek kata, selalu ambil berat tentang dia dan Kay Tee. Lelaki inilah orang pertama yang menegur dia dan Kay Tee sewaktu awal perpindahan mereka ke rumah teres ini lima bulan yang lepas. Mungkin juga disebabkan rumah mereka bersebelahan, Zairil selalu menegur mereka. Lelaki ini dikenalinya sebagai seorang yang peramah dan baik hati budinya.
Rumah teres Hana dan Kay Tee adalah rumah yang berada di tengah-tengah di antara rumah Zairil dan rumah di sebelahnya ini. Jiran sebelah kirinya ini pula, langsung tidak pernah menegur mereka dari awal perpindahan sehinggalah sekarang.
Pernah juga Hana dan Kay Tee bertegur sapa dengan mereka, tetapi dibalasnya dengan jelingan maut dan katanya, jangan menyibuk hal orang lain! Fuh! Memang pedas ayat itu! Sejak itu, Hana dan Kay Tee tidak lagi berani menegur jirannya yang berada di sebelah kiri rumah mereka itu. Sekadar melemparkan senyuman. Tapi, senyuman yang dilamparkan mereka langsung tidak berbalas. Entahlah!
“Saya tak lena tidurlah malam tadi. Perut saya ni, sejak petang semalam lagi buat hal. Asyik nak berulang alik pergi tandas aje! Tersilap makan agaknya! Hana tengah buat apa tu?” Zairil menjengulkan kepalanya ke pagar yang menjadi pemisah antara rumah sewanya dengan rumah sewa Hana.
Hana berdiri sambil menyapu-nyapu tangannya yang sudah dipenuhi pasir-pasir. “Tak ada buat apa pun. Saja tengok-tengok bunga ni. Lama dah tak tengok-tengokan bunga-bunga ni. Ada ulat. Dah pergi klinik?”
 Zairil memandang Hana dengan sengihannya. “Err...em...tak apalah. Kejap lagi baiklah ni.” Tergagap jugak Zairil menjawabnya.
Hana mengerutkan dahinya. Sah! Lelaki ini mesti takut nak makan ubat ni! Tak pun takut jumpa doktor! Takut kena cucuk dengan jarum! Ha ha... Lawaknya! Ada lagi tua-tua macam ni pun taku nak gi klinik! Hana tergelak sendiri di dalam hatinya. “Zairil.... Awak ni.... Besar-besar macam ni pun takut nak makan ubat? Tak mati pun makan ubat beberapa bijik tu! Nanti, kalau dah kahwin, anak-anak pun mengikut perangai awak yang takut makan ubat! Siapa yang susah? Awak jugak kan.”
Zairil tersengih. “Mana ada takut makan ubat. Cuma malas nak pergi klinik aje.” Zairil berdalih. Padahal dia paling enci makan ubat. Pahit! Tak tertelan rasanya!
Hana sekadar tersenyum apabila lelaki itu cuba menyangkal kata-katanya. Eleh, tipulah! Macamlah aku tak dapat nak agak! Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan etinanya! Erk? Tahu ke? Tak logik langsung!
“Kenapa senyum...? Tak percaya ke?”
Hana tergelak kecil. Memang aku tak percaya pun! “Awak tak cuba minum teh tanpa gula? Cubalah... Kot-kot lah boleh tahan sikit.” Hana teringatkan petua yang pernah diberikan oleh emaknya sewaktu dia mengalami cirit birit suatu ketika dahulu. Sampai sekarang dia mengamalkan petua yang sememangnya agak berkesan itu. Lagipun, Amir pun macam Zairil, takut nak makan ubat. Pernah juga mak buatkan teh tanpa gula macam tu, dan akhirnya petua itu memang terbukti boleh digunakan.
Alamak! Itu pun salah satu benda yang pahit! Tapi aku tahu ke pahit? Aku pernah cuba ke? “Teh tanpa gula...? Boleh ke?”
“Laa... Tak cuba mana nak tahu! Cubalah dulu.” Hana melemparkan pandang ke arah Zairil yang nampak sedang berfikir sekejap. “Kenapa pulak? Fikir apa?”
“Err, tak ada apa. Stok teh baru habis semalam. Nantilah, mintak Saiful tolong belikan.” Kepalanya yang tidak seberapa gatal itu digaru-garu. Malu pulak bila dah cakap pada perempuan ni. Nampak sangat aku ni....
“Kenapa tak cakap awal-awal? Saya boleh tolong buatkan. Tunggu lima minit.” Hana mula melangkah untuk masuk ke dalam rumah, untuk membuat teh tanpa gula untuk Zairil.
“Eh, Hana! Tak payahlah.” Alamak! Malunya aku! Takkanlah teh yang harganya kurang lima ringgit pun tak boleh nak beli? Apa daa..!
Hana menghentikan langkah yang baru ingin dimulakan itu dan berpaling semula ke arah Zairil yang masih berdiri di tepi pagar itu.
Zairil terkulat-kulat sendiri. “Tak apa, masih boleh bertahan ni! Nanti, Saiful balik, saya boleh buat sendiri.” Zairil serba tak kena!
“Kenapa pulak? Nak tunggu Saiful balik, entah pukul berapa nanti. Bukan ke dia habis kerja pukul sembilan ke kalau pagi sabtu? Tak apalah! Awak tunggu sekejap aje. Muka awak tu dah nampak pucat. Nanti tak pasal-pasal masuk hospital pulak. Lagilah kena makan ubat banyak-banyak! Entah-entah kena cucuk.” Sengaja Hana menakut-nakutkan Zairil dengan menyebut tentang hospital dan ubat. Orang lelaki, kata-kata bukan boleh pakai sangat. Cakap nanti buat, entah buat entah tidak. Kesian jugak melihat muka Zairil yang pucat semacam tu.
Zairil sekadar mampu memandang langkah Hana yang mula melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menunggu patah bicaranya lagi. Hana, memang seorang perempuan yang mudah bersimpati terhadap orang lain. Untungnya Abang Kamarul dapat girlfriend macam Hana. Walaupun Hana bukanlah secantik penyanyi Siti Nurhaliza, tetapi seraut wajahnya itu sudah mampu mengundang ketenangan pada mata yang memandang. Harap-harap, Abang Kamarul tidak akan mensia-siakan seorang perempuan sebaik Hana.
Tidak sampai beberapa minit, kelihatan kelibat Hana mula melangkah keluar rumahnya dengan membawa bersama... Apa tu..? “Apa yang banyak sangat ni?”
Hana menghulurkan dulang yang dibawanya itu kepada Zairil. “Dalam taperware tu, ada nasi goreng. Saya buat banyak tadi. Tak habis jugak kalau saya makan dengan Kay Tee berdua saja. Dalam teko tu, ada nescafe. Dalam cawan putih tu ada teh kosong tanpa gula. Kalau tak mampu bertahan, tak sembuh lagi, jangan lupa pergi klinik tau.”
Zairil tersenyum. “Hana... Terima kasih daun keladi. Lain kali nak lagi..!”
Hana tergelak kecil mendengar pantun Zairil! Kemudian dia menjawab semula pantun itu, “Daun keladi tak ada kat sini. Daun etik ada kat belakang rumah.”
Zairil pula yang tergelak dengan jawapan Hana. “Terima kasih ya, Hana.”
“Sama-sama.”


HANA, tengok cerita apa tu?”
            Hana berpusing dan menoleh ke arah Kay Tee yang sedang menuruni anak tangga menuju ke arahnya. Ditoleh ke arah jam pada dinding di suatu sudut di ruang tamu. Baru pukul 10.15 pagi. Nak ke mana pulak minah ni? Pagi-pagi dah bersiap cantik-cantik... ”Tengok cerita kartun. Nak ke mana?”
Kay Tee melabuhkan punggungnya dikerusi di sebelah Hana. “Hana... Boleh tak kau tolong aku? Boleh tak kau temankan aku pergi Mid Valley kejap?”
“Mid Valley...? Buat apa?”
“Fazrul... Dia nak jumpa aku! Marlisa merajuk dengan dia sejak semalam lagi. Kononnya nak mintak petua nak pujuklah tu! Alih-alih aku jugak yang kena tolong kalau salah seorang daripada budak dua orang ni merajuk. Kau tak ada temu janji dengan sesiapa hari ni kan?”
Hana tersenyum mendengar cerita Kay Tee. Kesian pulak! Susah kalau jadi orang tengah macam ni! “Tak ada... Kamarul outstation dua minggu.”
“Kalau macam tu, bolehlah kau tolong aku, kan?” Terpancar sinar kegembiraan pada seraut wajah Kay Tee.
“Demi Fazrul... Aku sanggup lakukan apa saja!” Sungguh syahdu ayat yang dituturkannya.
“Eleh, kau ni cakap tak serupa bikin! Dah banyak kali aku ajak jumpa Fazrul, tak adanya kau sempat jumpa dia!”
“Tak ada rezeki, nak wat macam mana?” Matanya dialihkan semula ke kaca televisyen.
Kay Tee mengerutkan dahinya apabila Hana masih menghadap cerita kartun di hadapannya itu. “Woi, kau tunggu apa lagi! Cepat pergi siap!”
“Sekarang ke...?”
“Iyalah, sekaranglah!”
“Tapi... Ni, tak habis lagi la.” Hana menjuihkan bibirnya ke arah cerita kartun yang masih belum tamat pada kaca televisyen. Berkerut dahinya sekejap.
Kay Tee menggelengkan kepalanya. Budak ni...! Dah tua, tapi perangai macam budak-budak lagi! Tak habis-habis dengan cerita kartunnya! “Weh, cerita ni minggu depan main lagi! Kau tak jemu ke asyik tengok cerita kartun? Macam perangai budak-budak! Jomlah!”
“Minggu depan dah tak sama macam hari ni.” Dengan seribu kemalasan, Hana mengangkat juga punggungnya.
“Bangun! Cepat!” Ditariknya tangan Hana apabila Hana seperti malas untuk bangun daripada duduknya, dan matanya masih belum lepas memandang televisyen.
“Baiklah, tuanku! Hamba menurut perintah...!”


KAY TEE meneruskan pemanduannya dengan penuh berhati hati. Tidak mahu tersilap langkah. Takut benar dia, bila mendengar berita mengenai kemalangan jalan raya yang setiap kali berlaku kepada mereka yang cuai. Eee..seram! Ya Allah, jauhkanlah aku dari malapetaka-malapetaka seperti itu!
            Sesekali anak matanya menjeling ke arah Hana yang juga sesekali kelihatan tersenyum-senyum seorangan. Main mesejlah tu! Kata Kamarul sibuk..! Main mesej dengan siapa pulak minah ni? Takkan lah main kayu sepuluh kot? Macam nak main hoki pulak! Hehehee.. Takkan kot! Tak pernah sekali pun, aku tengok dia pandang lelaki lain selain si Kamarul tu!
Terdengar gelak-gelakan kecil daripada bibir Hana. Kay Tee menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tak betul kot...! Hihii.. “Tadi, senyum sorang-sorang. Sekarang gelak sorang-sorang! Nanti ketawa terbahak-bahak seorang juga! Jangan jadi gila sudahlah!”
Hana menoleh sekilas ke arah Kay Tee yang membebel sendiri dan memerli dirinya. Senyuman terus terukir dibibirnya. Cemburulah tu! “Kay Tee, kau tahu...”
“Tak...”
“Iyalah. Nantilah, nak bagitahulah ni...”
Kay Tee tersengih. “Apa dia?”
“Zairil tu, lawak jugak orangnya ya? Sakit perut aku baca mesej dia!”
“Laa... Kau mesej dengan dia dari tadi?”
Hana mengangguk perlahan dan dia kembali tersenyum sambil jarinya sibuk menaip mesej pada telefon bimbitnya.
“Hana, kau ni... Kalau Kamarul tahu macam mana? Tak ke perang dunia kali ke berapa pulak nanti! Tak serik-serik lagi?” Teringat pulak Kamarul yang cemburu buta! Pernah suatu ketika dahulu, Hana berbual dengan seorang kawan lamanya dulu di hadapan pejabat. Selang dua hari, tak pasal-pasal si lelaki, kawan Hana tu kena penumbuk free! Seram jugak aku, kalau dapat lelaki panas baran dan ditambah pula cemburu buta, macam Kamarul! Eee... tak nak aku! Mintak-mintak dijauhkan!
Tapi, betul jugak kata orang, cinta itu buta, dan cinta itu membutakan! Hana yang lembut hati, cintakan Kamarul yang panas hati. Macam Fazrul jugak! Fazrul yang tak reti memujuk, bercinta dengan Marlisa yang kuat merajuk. Macam mana?? Ah, macam-macam fitrah dunia! Sebab tu aku takut nak bercinta! Tapi, bukankah semua itu adalah untuk menguji kita, sebagai hambaNya? Allah tak akan menguji hambaNya melainkan Dia tahu hambaNya itu mampu menghadapi ujianNya.
“Kay Tee, Zairil tu jiran kita.”
“Iya... Sebab dia jiran kitalah, kita kena berhati-hati. Jangan sampai Kamarul tahu. Nanti tak pasal-pasal pulak, jiran kita yang kena penumbuk si Kamarul pulak!” kay Tee sekadar mengingatkan.
Hana sekadar mendiamkan diri. Dia tahu, kata-kata itu ikhlas dari hati Kay Tee, dan dia tahu kata-kata itu banyak betulnya. Kamarul memang seorang yang panas baran. Dia juga pantang kalau aku berbual dengan lelaki lain. Tetapi aku tahu hati dia..! Dia sebenarnya sangat menyayangi aku. Sebab itulah dia cenburu kalau nampak aku berbual dengan lelaki lain! Tapi yang pastinya, aku senang sekali berbual dengan Zairil. Entahlah...!


KAY TEE, kau pergi dulu ya? Aku nak jumpa Najwa sekejap. Tadi, dia call. Dia cakap dia pun ada kat sini. Aku nak pergi tengok baby dia kejap ya?” Hana terus mengatur langkah dan berkira-kira untuk meninggalkan Kay Tee ketika itu juga. Sudah tiga minggu dia berniat untuk pergi melihat baby Najwa yang baru dilahirkan dua bulan itu.
Najwa adalah salah seorang teman sekolah yang juga sangat akrab dengannya. Setelah menamatkan alam persekolahan, Najwa melanjutkan pelajaran di Indonesia. Sudah lama Najwa mengidam untuk melanjutkan pelajarannya di negara itu. Langsung dia tidak takut akan peperangan ataupun ribut taufan. Dia tekad untuk ke negara itu, dan sehingga sekarang, dia sudah menamatkan pengajiannya selama empat tahun. Kini sudah dua tahun Najwa kembali ke Malaysia.
Namun, kesempatan untuk bertemu dengan sahabatnnya itu langsung tiada. Seringkali ada sahaja halangan yang mendatang apabila keinginannya untuk berjumpa Najwa. Sewaktu Najwa melangsungkan perkahwinan juga Hana tidak dapat menghadirkan dirinya ke majlis itu. Akhirnya, kesempatan untuk bertemu dengan Najwa kesampaian sewaktu Najwa sedang mengandung anak pertamanya. Kali ini aku tidak akan mempersiakan waktu yang ada untuk bertemu dengan Najwa! Najwa cantik. Suaminya juga handsome sangat. Anak dia mesti comel macam mak dia! Eee... geramnya!
“Eh, Hana! Cakap nak kenal dengan Fazrul!” Berkerut dahi Kay Tee melihat Hana yang sudah melangkah beberapa langkah meninggalkan dirinya di situ. Dia mula mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu perlahan-lahan.
“Tak apalah. Lain kali. Nanti kalau sempat aku follow kau ya? Jumpa nanti. Bye!” Hana sekadar melemparkaan senyuman ikhlas kepada sahabatnya itu. Langkah kakinya terus diatur laju. Memang dah lama sangat hatinya mahu melihat baby itu. Kali ini, sudah alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan! Aku tetap nak jumpa dia walau seribu halangan menerpa.
Kay Tee sekadar memandang dan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu! Hana ni...time ni jugak! Saja nak biarkan aku jumpa Fazrul sorang-sorang! Cakap nak kenal dengan Fazrul. Tak ada jodoh kau dengan dia, Hana. Tiap kali nak jumpa, mesti ada penghalangnya! Nasib badan! Hatinya membebel sendirian. Akhirnya, kakinya dilangkahkan juga ke dalam pusat membeli-belah itu sendirian.


ANAK matanya melilau mencari kelibat Najwa sekitar McDonals. Mana pulak ni? Cakap nak jumpa kat sini. Beberapa kali kepalanya ditoleh-toleh ke kiri dan kanan. Jam di pergelangan tangan di tengoknya beberapa kali.
            Dalam pencariannya itu, tiba-tiba Hana terlanggar seseorang. Aduh! Terasa sakit di sebelah bahu kirinya. Hana mendongak ke arah lelaki yang dilanggarnya itu dengan kerutan pada mukanya kerana terasa sakit dan sengal-sengal pada bahunya. “Er.. Sorry ya? Tak sengaja.” Hana membetulkan bahunya sekejap kemudian menunduk mengutip beberapa helai kertas yang berteraburan di atas lantai. Kertas-kertas itu adalah milik lelaki yang dilanggarnya itu.
Lelaki itu sekadar senyum dan turut mengutip kertas kerjanya di atas lantai. Nasib baik pada masa tu, tidak ramai orang yang lalu lalang di situ. Kalau tidak, alamatnya habislah kertas kerja ini dipijak-pijak! Tapi... tak mengapalah! Bukan salah dia seorang aje. Tadi, aku pun tengah berpaling ke arah belakang. Aku pun tak tersedar dia melanggar aku!
Takut-takut, Hana menghulurkan kertas yang sudah habis dikutipnya di atas lantai kepada lelaki yang berpakaian kemas dan berkaca mata hitam itu. “Minta maaf banyak-banyak. Tak sengaja!” Sekali lagi Hana meminta maaf kepada lelaki itu. Matanya tidak dapat menangkap wajah sebenar lelaki itu yang berada di sebalik kaca mata hitamnya. Err... Melayu ke ni?
It’s okey. Thanks for this.” Tangannya mengoyang-goyangkan kertas di gengamannya itu. Bibirnya mengukirkan sekuntum senyuman manis kepada perempuan di hadapannya itu. Cantiknya dia... Nampak sopan dan ayu!
Melayu la kot, faham Bahasa Melayu. Waduh-waduh... senyuman dia... mahu cair hati aku dibuatnya! Mahu pitam jadinya! Hana sekadar membalas senyuman itu seadanya. Matanya terpaku memandang lelaki itu lama. Entah kenapa, terasa seperti ada suatu tarikan untuk memerhati raut wajah lelaki itu dengan lebih lama. Handsome. Macam hero dalam drama Korea. Cerita My Girl! Cumanya, kulit lelaki ini agak gelap sikit.
Astagfirullahalazim... Apa kena dengan aku ni? Dah gila ke apa? Hana... jangan buat hal! Nak kena hentam dengan Kamarul ke?? Cepat-cepat dia beristirafar di dalam hati, menyedarkan dirinya daripada pesona dunia yang melalaikannya.
Melihat lelaki itu juga tidak bergerak dan memandangnya lama, Hana jadi serba salah sendiri. Anak matanya dilarikan memandang ke arah lain. Najwa... mana kau? Cepatlah muncul... Aku dah hampir jadi gila ni! Kalau kau lambat sikit lagi memang aku akan jadi betul-betul gila! Cepat Najwa, cepat selamatkan aku!
“Hana..!!”
Satu suara dari arah belakangnya membuatkan Hana berpaling. Fuh, selamat! Najwa dah datang. Macam dengar-dengar aje jeritan hati aku! Hana tersenyum kelegaan. Sekejap itu dia menoleh semula ke arah lelaki yang dilanggarnya tadi. Eh... mana dia?! Dah hilang?? Kepalanya terjengul-jengul mencari sebatang tubuh lelaki yang berdiri di sebelahnya tadi. Namun, batang tubuh lelaki itu telah lesap bersama bayangnya. Macam biskut Chipsmore pulak. Ah, lantak kau lah!
“Kau cari siapa?” Najwa yang baru sahaja sampai di sebelah Hana, turut menjengukkan kepalanya mencari kalau-kalau ada sesiapa yang dikenali yang dicari oleh Hana.
Hana mula tersedar dan memandang semula ke arah Najwa bersama senyumannya. “Er... tak! Tak cari siapa-siapa pun. Saja nak toleh kat belakang. Kau apa khabar?” Hana menghulurkan salam dan sekejap itu dia terus memandang ke arah troli baby yang dipegang oleh Najwa. “Anak kau?”
Najwa tersenyum dan menganggukkan kepalanya. “Aku sihat aje. Kau macam mana? Bila nak kahwin?”
“Eh, kau ni... Itu pulak ditanyanya! Aku nak pegang anak kau, boleh?” Hana menundukkan wajahnya dan mencium anak kecil yang diam sahaja di dalam troli baby itu.
“Boleh. Elok sangatlah kalau kau nak dukung anak aku ni. Berat!” Najwa tergelak kecil. “Kau dah makan ke?”
Hana mendukung anak itu sekejap. Kelihatan ada senyuman-senyuman pada bibir anak itu apabila diusik-usik. Baik anaknya. Comel macam mak dan ayah dia! “Agak beratlah anak kau ni. Dia ikut siapa? Bukan ke mak dan ayah dia tak gemuk? Aku belum makan. Kau dah makan ke?”
“Entahlah..! Dia ikut nenek dia agaknya. Aku belum makan jugak ni. Jomlah, kita lepak mana-mana dulu. Banyak sangat benda aku nak bercerita dengan kau.”
“Elok jugak tu! Aku pun ada banya soalan nak tanya kau.” Hana tergelak kecil.
Najwa turut tergelak kecil. Apa-apa ajelah, Hana ni. Dari dulu, sampai sekarang... perangai dia tak pernah berubah! Kelakar! “Jom, kita cari tempat dulu!”

No comments:

Post a Comment