Monday, April 22, 2013

Cinta Aku Untuk Dia - Prolog II

PROLOG II

PANDANGAN dilontarkan jauh ke dasar akuarium besar. Memandang ikan-ikan yang bergerak bebas tanpa sedikit pun bersusah-payah memikirkan masalah kehidupan.
Namun, gembirakah ikan-ikan di dalam kurungan ini?
Pagi-pagi lagi, Sya sudah menapak ke sini. Berjalan seorang diri tanpa arah tujuan. Jujur, Sya benar-benar memerlukan ketenangan.
Menerima kad undangan perkahwinan Wan Haikal dan Nurul Damia semalam, menambahkan lagi lara di hati Sya. Baru sebulan yang lepas mereka mengikat ikatan pertunangan. Cepatnya masa berlalu, dua minggu lagi mereka akan diijab kabulkan pula.
Kerana janji harus ditepati, Sya setia dengan cintanya. Kerana kesetiaan itu mahal harganya, hatinya pula digores luka. Dan luka itu sangat menyakitkan apabila dilukai oleh orang yang dia sayang.
Mutiara jernih yang bertakung di dalam kolam mata sudah cuba dihapuskan. Namun, semakin mengaburkan pandangan.
Hati tersayat luka. Perasaan sedih bertimpa-timpa di dalam dada.
Ya Tuhan, titipkanlah sedikit kekuatan di dalam diriku untuk berhadapan dengan ujian-Mu ini. Sesungguhnya aku benar-benar telah ikhlaskan hatiku untuk segala ketentuan-Mu ini.
Ralit melayan perasaan, tiba-tiba tubuhnya dirempuh oleh sesusuk tubuh sasa. Tiba-tiba sahaja tubuhnya terpelanting ke belakang. Sya cuba menyeimbangkan badan. Mujurlah tangannya sempat memaut tangan seseorang. Jika tidak, memang tubuhnya akan terhempas ke lantai.
“Maaf, saya tak sengaja. Are you okay?”
Mendengar suara seorang lelaki, Sya mendongakkan kepala. Sepasang anak matanya cuba memandang wajah seseorang. Namun, silauan cahaya lampu menghalang pandangannya.
Eh, lelaki?
Tindakan di luar kawal, Sya terus melepaskan pegangan tangannya. Haram! Tak berlapik!
Buk!
Apa lagi? Terjatuh macam nangka busuklah. Sya terjatuh kerana melepaskan pegangan tangannya sebentar tadi.
Serba salah lelaki itu apabila melihat wanita di hadapannya terjatuh ke lantai. “Err… maaf! Kenapa lepaskan tangan? Saya cuma nak tolong saja.”
Suara itu langsung tidak sampai ke corong telinga Sya. Yang dia tahu, ada rasa sakit di pinggang dan tapak tangannya. “Adoi, sakitnya!”
“Awak tak apa-apa ke? Boleh bangun tak? Nak saya tolong?”
Err… saya tak apa-apa. Saya boleh bangun sendiri,” jawab Sya sambil membetulkan duduk.
“Kalau macam tu, saya minta maaf sekali lagi.”
Sya cuma mengangguk sambil menghantar pandang sesusuk tubuh itu dari arah belakang. Terkial-kial Sya bangun. Anak mata singgah pada kedua-dua tapak tangan yang terasa pedih. Melecet rupanya. Patutlah rasa sakit.

Sudahnya, Sya membuat keputusan untuk pulang. Langkah terus diatur keluar walaupun baru sekejap dia di sini. Tak mengapalah. Lain kali boleh datang lagi.

1 comment: