Sunday, April 7, 2013

Cinta Aku Untuk Dia - Prolog I

PROLOG I

PANDANGAN dilemparkan jauh ke kaki langit. Kelihatan mentari senja mula bersembunyi di kaki langit. Suasana petang yang begitu hening. Sunyi sepi setelah hujan mencurahkan air ke bumi.
Sudah sepuluh minit, masing-masing saling mendiamkan diri. Membiarkan hati saling berbicara tanpa ada jawapan untuk persoalan demi persoalan yang menjengah fikiran.
Kepala ditoleh ke sisi. Anak matanya mencuri pandang ke arah seraut wajah bening yang menunduk pandang ke tanah. Wajah ini, yang selalu aku mimpikan. Wajah ini, yang bakal aku rindukan.
“Sya…”
Terhenti lamunan. Wajah diangkat lalu sepasang anak matanya bersabung pandang dengan sepasang anak mata itu. Tiada suara yang dilontarkan keluar dari kotak suara.
“Kita akan jumpa lagi, kan? Janji dengan Wan yang Sya tak akan pernah berpaling daripada cinta Wan, ya?”
Keluhan kecil dilepaskan. Kemudian, pandangan matanya dilarikan semula ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapan mata.
‘Apa jawapan yang Sya ada, Wan?’ Soalan itu bergema di dalam hati Sya.
Kepala ditoleh ke sisi. “Wan… perjalanan hidup kita masih panjang. Sekarang kita masih di usia remaja. Bila dewasa, kita akan lebih matang dalam membuat pilihan. Waktu itu, kita tak tahu siapa yang akan menjadi pilihan hati kita.”
“Ya, Wan tahu. Tapi Wan benar-benar cintakan Sya. Wan berjanji akan setia mencintai Sya sampai hujung nyawa. Tak akan pernah ada cinta lain yang akan menghapuskan cinta Wan untuk Sya.”
“Kita hanya mampu merancang, Wan. Tuhan yang menentukan segalanya. Mungkin waktu yang berlalu itu akan menemukan Wan dengan seorang perempuan yang lebih baik berbanding Sya. Begitu juga dengan Sya.”
“Tak! Walau sebaik mana pun perempuan yang Wan akan temui, Wan akan setia mencintai Sya. Wan nak Sya berjanji bahawa Sya tidak akan pernah menggantikan cinta Wan dengan cinta yang lain.”
Keluhan kecil meniti ulas bibir Sya. “Wan kena faham…”              
“Wan tak nak faham! Walau apa pun berlaku Wan tetap cintakan hanya seorang Sya Azlynaz. Hari ni satu Muharam, Sya. Bila Wan dah tamatkan pengajian nanti, satu Muharam yang sama, Sya tunggu Wan kat sini. Kita jumpa!” Bersungguh-sungguh Wan Haikal mengungkapkan janjinya.
Sya memandang wajah Wan Haikal lama. Bicaranya tiba-tiba mati.
Cinta…
Janji…
Setia…
Sejujurnya, Sya terlalu cintakan Wan Haikal. Tetapi, mereka masih muda. Perjalanan hidup masih panjang. Ketika diuji di dalam perjalanan, mampukah aku dan dia berpegang pada janji yang dilafazkan?
“Sya… masa tu kita masing-masing sudah dewasa. Ketika itu, Wan akan lamar Sya. Wan akan terima apa sahaja jawapan Sya. Jawapan yang baik, ataupun sebaliknya.”
 “Macam mana kalau Sya tak datang?” Sya sekadar menduga.
“Wan tetap akan tunggu. Jika mentari sudah melabuhkan layarnya, Wan akan faham, bahawa Sya sudah mempunyai pengganti Wan.”
“Tak boleh macam tu, Wan.”
“Wan akan tunggu sampai Sya datang,” tekad Wan Haikal bersungguh-sungguh.
“Macam mana kalau Wan yang tak datang? Maksudnya, Wan yang dah ada pengganti Sya?”
“Tak mungkin, Sya! Wan akan datang. Wan janji!”

2 comments:

  1. BEST....CEPATLAH SAMBUNG YA TQ.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe...
      sebenarnya novel ni masih dlm proses...
      nt sy smbg lg...
      tq...

      Delete