Tuesday, April 2, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 22



Dua Puluh Dua

HANA melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sejak tadi, kedua-dua insan di dalam kereta itu hanya mendiamkan diri. Masing-masing membawa fikiran masing-masing. Di fikiran Hana, hanya satu perkara yang difikirkannya. Fazrul!
Malam tadi, Fazrul tidak pulang ke rumah. Dia langsung tidak tahu ke mana Fazrul pergi. Sihatkah dia..? Sibukkah dia..? Apa yang berlaku sebenarnya..? Kenapa dia tak telefon langsung..? Kenapa?? Pelbagai persoalan menerjah masuk. Tetapi, satu pun tidak terjawab!
Kini di sisinya Kay Tee yang diam membisu! Apa pulak masalahnya..?! Dari awal tadi, Kay Tee nampak tidak ceria! Mulutnya juga seolah-olah berat untuk bertanya khabar seperti selalu. Kenapa..? Apa yang berlaku..? Hatinya betul-betul keliru!!
“Hana, kau okey?” Satu pertanyaan akhirnya terlontar daripada mulut Kay Tee.
Hana menoleh sekilas dan kemudian menganggukkan kepalanya perlahan.
Kay Tee sekadar mendiamkan diri setelah melihat anggukan Hana. Namun, jauh di sudut hatinya, dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada Hana. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang menganggu fikiran Hana. Dan sebenar-benarnya, kini fikirannya juga sedang bercelaru!
“Erm... Kay Tee... Sebenarnya malam tadi Fazrul tak balik rumah.” Akhirnya Hana meluahkan perasaan yang menggangu hatinya sejak pagi tadi.
Fikirannya sarat dengan pelbagai persoalan. Dia tahu, semua itu hanya akan diluahkan kepada Kay Tee seorang sahaja. Teman yang sedia mendengar dan menerima baik buruk dirinya seadanya. Hana memandang lama ke arah Kay Tee. Kelihatan seraut wajah itu selamba sahaja. Langsung tiada riak muka yang menunjukkan perasaan terkejut.
Kay Tee menganggukkan kepalanya perlahan. Tumpuan terus diberikan kepada jalan raya yang kelihatan agak sesak ketika itu. Kepalanya ditolah sekilas ke arah Hana. “Hana... Sebenarnya malam tadi aku nampak Fazrul dan Marlisa. Jalan-jalan kat sekitar KLCC.”
Perlahan nafasnya ditarik sedalamnya sebelum meneruskan kata-katanya. Bimbang juga hati Hana akan terluka dengan setiap kata-kata yang mahu dituturkannya. Jauh di sudut hatinya, dia langsung tidak ingin memberitahu perkara ini kepada Hana. Tetapi hatinya mengatakan bahawa Hana perlu tahu tentang kisah sebenarnya!
“Mula-mula aku tak pasti betul atau tidak. Tetapi entah macam mana, boleh terserempak dengan dia kali kedua. Kali itu jelas di mata aku memang Fazrul dan Marlisa.” Kay Tee menghentikan ayatnya di situ. Tidak sanggup untuk dia memberitahu Hana bahawa dia ternampak Fazrul dan Marlisa sangat mesra seperti orang yang sedang bercinta. Tidak sanggup rasanya untuk memusnahkan kepercayaan Hana terhadap Fazrul.
Sejak akhir-akhir ini dia dapat mengesan cahaya cinta yang mula bersinar pada seraut wajah Hana. Hana seolah-olah gembira dengan perubahan sikap Fazrul akhir-akhir ini. Sebenarnya, begitu juga dengan aku! Dapat merasakan kebahagiaan apabila melihat kebahagian sahabat baikku ini!
Namun... peristiwa malam tadi mengelirukan hati aku! Entah kenapa, hati kecil ini merasakan seperti Fazrul tidak ikhlas bersama Hana. Jauh di sudut hatinya, dia bimbang kalau-kalau Fazrul sekadar mempermainkan Hana!
Hana nampak terkejut dengan berita yang baru sampai ke telinganya itu. Tetapi, Hana seolah-olah cuba mengawal perasaannya. Tidak mahu Kay Tee perasan dengan perubahan air mukanya. Sungguh, di saat itu dia tidak tahu apa yang patut diperkatakannya. Hana sekadar mendiamkan dirinya.
Padahal, sejak kebelakangan ini perasaan sayangnya terhadap Fazrul semakin hari semakin bercambah. Kali ini, hatinya sanggup menafikan kata-kata Kay Tee sebentar tadi. Tetapi tidak diluahkannya kepada Kay Tee. Bimbang sahabatnya itu terasa hati dengan penafiannya itu. Dia yakin, Fazrul juga sudah mula menyayangi dirinya. Mana mungkin Fazrul kembali lagi bersama Marlisa!
Kay Tee menoleh sekilas ke arah Hana yang diam membisu di sebelahnya itu. Tiada sebarang tindak balas yang diterimanya daripada Hana. “Hana... Kau ada apa-apa nak cakap?” Sedaya upaya dia cuba untuk mengetahui gelodak hati sahabatnya itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Hana memendamkan segala perasaannya seorang diri. Dan yang penting... dia bimbang Hana ditipu oleh Fazrul!
Hana sekadar menggelengkan kepalanya dan melemparkan senyuman kelat kepada Kay Tee. “Tak mengapalah, Kay Tee. Atau mungkin mereka sekadar berjumpa sebagai seorang kawan..? Sabtu nanti Fazrul dah confirm nak ajak aku jumpa mak dan ayah dia.”
Jika itu yang dikata Hana, apa lagi yang mampu diperkatakannya..? Kay Tee sekadar mengeluh kecil dan kemudian mengangukkan kepalanya. Mungkin Hana betul-betul yakin dan mempercayai Fazrul. Dia hanya mampu berdoa kepada Allah S.W.T supaya apa yang difikirkan Hana itu adalah betul.


PETANG itu, Hana pulang bersama Nazrin dan Fazy. Selepas tamat waktu pejabat tadi, Nazrin beria-ria  mengajak Hana makan bersama dia dan Fazy. Hana bersetuju memandangkan kerjanya sudah diselesaikan lebih awal dan tidak terlalu banyak untuk disiapkan. Lagipun hari ini dia terpaksa balik menaiki teksi. Kay Tee perlu bekerja lebih masa petang nanti.
Petang itu, Nazrin membawa Hana dan Fazy makan di salah sebuah restoran di Wangsa Maju. Sebelum itu, Nazrin ada singgah di sebuah kedai berhampiran. Katanya mahu belikan sesuatu. Tetapi, apabila ditanya tentang apa yang mahu dibelinya, tidak pula diberitahu! Hari ini, Nazrin dan Fazy seolah-olah ada rahsia yang disembunyikannya daripada pengetahuan Hana.
“Ai..? Nampaknya korang berdua mahu berahsia dengan aku hari ni..?!” Hana melepaskan keluhan kecil yang sengaja dibuat-buatnya untuk meraih simpati kedua sahabatnya itu.
Fazy tersenyum dan tergelak kecil dengan telatah Hana. “Sabarlah, Hana... Sekejap lagi kita orang bagitahulah kat kau. Sabar sikit lagi ya..?” Fazy menepuk-nepuk perlahan bahu Hana.
“Erm... Iyalah tu. Jangan sampai aku tumbuh janggut menunggu sudah..!” Hana berpura-pura merajuk.
“Ai..? Sampai tumbuh janggut? Ala... ala... Tua-tua pun nak merajuk ke mak cik..?” Fazy mengusik Hana.
Hana mengerutkan dahinya. “Mak cik kau panggil aku..?”
Fazy tergelak kecil. “Iyalah... tadi cakap jangan sampai tumbuh janggut. Dah tua lah tu!”
Hana mencebik.
“Hana merajuk..? Aku ni Hana... tak reti nak pujuk orang tua. Kalau pujuk budak-budak bolehlah! Sayang... sayang! Bucuk... bucuk! Jangan merajuk ya? Nanti uncle belikan aiskrim.” Kali ini giliran Nazrin pula yang sengaja mengusik Hana.
“Hey, banyaklah kau punya aiskrim! Aku bukan budak-budak tau!” Hana tergelak besar.
Pecai derai ketawa ketiga-tiga mereka dengan kerenah sesama sendiri. Nazrin terus membelokkan keretanya ke tempat meletakkan kereta di kawasan berhampiran.
Selepas makanan yang dipesan terhidang di meja mereka, Hana cepat-cepat bertanya. “Cepatlah cakap. Apa yang korang rahsiakan sangat ni..? Dah tak sabar nak dengar ni?”
“Hisy... kau ni... Buruk lantak betul! Tak sabar-sabar!”
Hana mencebik. “Iyalah... Dari tadi aku sorang aje yang tertanya-tanya apa yang korang sorok-sorokkan daripada aku. Apa yang surprise sangat ni?” Hana mengaru-garu dahinya yang tidak gatal itu.
Serentak Nazrin dan Fazy saling berpandangan dan kemudian tergelak. Sebenarnya sengaja mereka mahu mengenakan Hana dengan membuat Hana tertanya-tanya. Tetapi, ada saja telatah Hana yang membuatkan mereka terasa ingin ketawa. Lagipun, bukan senang nak tengok Hana merajuk macam ni!
“Kejap! Kejap! Kita makan dulu okey? Sambil-sambil makan nanti kita orang bagitahu.”
Hana melepaskan keluhan kecil. “Encik Nazrin... Nenek saya cakap, masa makan tak baik borak-borak. Hah, apa lagi? Cakap sekaranglah!” Wajah Hana sudah mula mencuka. Geram betul apabila dipermainkan oleh kedua-dua sahabatnya ini. Tadi bukan main lagi si budak dua orang ni ajak aku keluar makan. Alih-alih budak-budak ni main-mainkan aku. Eee...geramnya!
Fazy tergelak lagi apabila melihat mimik muka Hana yang seperti nenek kebayan itu. “Iyalah tu! Selama ini kau tak pernah borak-borak masa makan ye? Tapi, bukankan kau orang yang paling kuat bercakap masa makan?”
“Memang pun.” Perlahan sahaja suaranya menjawab.
Nazrin dan Fazy tergelak lagi.
“Okey... okey..! Hana... Baca doa makan.” Nazrin memberi arahan.
Hana mengerutkan dahinya. “Apa pulak..? Orang lelakilah yang patut jadi ketua untuk baca doa!” Sengaja Hana membantah kerana geram.
Nazrin tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. “Tak bolah! Kau tetamu istimewa kami. Jadi... kau baca doa... Bacalah!”
“Iyalah, aku baca ni! Tadah doa semua...” Hana berlagak seperti pelajar tadika yang mengarahkan rakan-rakannya membaca doa dan dengan perlahan doa makan dibacanya.


HANA terus menanti dengan sabar. Nampaknya dua orang budak ini memang nak permainkan aku hari ni! Okey... aku tak akan tanya lagi! Aku rela menanti pasti! Kalau korang nak cerita, ceritalah..! Kalau tak nak cerita, sudah! Dah merajuk hati ni..! Hatinya membebel sendiri.
Hana terus menyuapkan makanan ke mulutnya sambil anak matanya melilau ke persekitaran restoran yang mula dipenuhi dengan orang ramai itu. Biasalah... baru lepas waktu kerja. Pasti ramai yang singgah untuk minum atau makan. Lebih-lebih lagi pasangan bercinta! Memang ramai pun! Yang datang cuci mata pun ramai jugak!
Pandangan dilemparkan ke sisi kanannya. Tiba-tiba anak matanya terhenti ke arah pasangan lelaki dan seorang perempuan yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi berhampiran dengan meja yang didudukinya. Jantungnya terasa tersentap dan berdegup dengan kencang.
Terhenti suapannya seketika apabila jelas di matanya lelaki yang baru melabuhkan punggung di hadapannya itu adalah Fazrul. Anak matanya beralih ke arah perempuan yang sedang tersenyum mesra yang juga baru melabuhkan punggungnya di sebelah lelaki itu. Marlisa!
“Hana... aku cakap sekarang ya?”
Hana yang masih dalam keterperanjatan itu memandang Nazrin sekejap. Kepalanya dianggukkan dan kemudian tangannya menarik gelas di hadapannya itu. Minuman itu disedutnya perlahan. Namun terasa seperti tersekat dikerongkongnya.
“Okeylah, aku cakap sekarang ni. Sebenarnya, aku dan Fazy akan bertunang.” Nazrin memulakan bicaranya membawa bersama senyuman di bibirnya.
Hana sekadar mendengarnya. Dia tidak mampu membalas kata-kata itu. Bukannya dia tidak gembira dengan berita yang didengarinya itu, tetapi hatinya terasa pedih apabila mendengar gelak tawa daripada meja yang diduduki oleh Fazrul dan Marlisa tadi.
Tiba-tiba hatinya terasa sebak. Apa yang berlaku sebenarnya..? Fazrul... sampai hati awak buat saya macam ni! Kolam matanya sudah mula digenangi air mata yang sudah tidak mampu ditahan-tahannya. Hana menyedut lagi minuman dihadapannya. Tanpa disangkanya, dia tersedak dan terbatuk-batuk kecil.
Fazy menepuk-nepuk perlahan belakang Hana. “Hana... Kau okey..?”
“Itulah, orang tak sabar memang selalu macam ni..!” Sempat Nazrin memerli Hana yang sudah memerah matanya menahan rasa sakit kerana tersedak.
Hana melemparkan pandangan sekejap ke arah Nazrin. Rasanya dia tidak mampu bertahan untuk terus berada di situ. Hatinya betul-betul terasa seperti mahu menangis. “Erm... aku nak ke toilet kejap ya?” Sedaya upaya dia cuba mengawal perasaannya. Punggungnya diangkat dan langkah kaki terus diatur menuju ke tandas berhampiran.
Fazy dan Nazrin saling berpandangan antara satu sama lain. Di dalam fikiran masing-masing ada persoalan yang tidak tertanya oleh mereka.
“Naz... Kenapa dengan Hana? Dia tak suka ke?” Fazy mula bertanya apabila langkah Hana sudah agak jauh daripada meja mereka. Jelas kelihatan di matanya raut wajah Hana yang berubah secara tiba-tiba itu.
Nazrin yang turut terpinga-pinga itu menjungkitkan bahunya.
“Entah-entah Hana...” Fazy mula membuat andaiannya tersendiri. Tujuan mereka membawa Hana ke sini, sekadar untuk memberitahu Hana sebagai sahabat pertama yang mengetahui perihal pertunangan mereka. Bukan untuk menyakitkan hati Hana. Dia terasa hatikah..?
Nazrin mengerutkan dahinya. Fazy tidak menyudahkan ayat seterusnya. “Kenapa, Fazy..?”
Seraut wajah Nazrin dipandangnya lama. “Entah-entah, Hana sukakan awak..?” Terlontar juga andaian yang berada difikirannya sekejap tadi.
“Hisyh... Ada pulak cakap macam tu?!” Cepat sahaja Nazrin menyampuk.
Keadaan menjadi tegang! Fazy telah membuat andaian yang bukan-bukan. Raut wajah Fazy juga sudah hilang keceriaannya. Sekarang, seorang lagi yang mula merajuk kerana Nazrin cuba membela Hana dan menafikan andaian bakal tunangnya itu. Tetapi Nazrin yakin, Hana tiada apa-apa perasaan pun terhadapnya.
“Naz... hati orang, kita tak dapat nak teka.”
“Fazy... Jangan cakap lagi. Nanti Hana dengar pulak. Kita bincang lain kali.” Nazrin tidak mahu keadaan semakin teruk dengan andaian-andaian seperti itu.
Raut wajah Fazy yang tiba-tiba berubah muram, meletakkan Nazrin dalam keadaan serba salah. Dua-dua mereka adalah diantara mereka yang disayanginya. Sebolehnya dia tidak mahu menimbulkan masalah dalam persahabatan mereka yang sudah lama terjalin itu.
Seketika itu, Hana kembali semula ke meja mereka. Fazy memandang seraut wajah itu. Jelas di matanya, mata Hana merah. Hana menangiskah..? Sekejap itu, anak matanya beralih memandang ke arah Nazrin semula.
Nazrin memandang Fazy sekilas dan kemudian mengalihkan pandangan ke arah Hana. Kenapa dengan Hana. Kenapa tiba-tiba jadi macam ni..?
Hana melemparkan senyuman kepada teman-temannya itu. Sungguh, dia tidak mampu mengawal perasaan hatinya sebentar tadi. Kehadiran Fazrul dan Marlisa di situ cukup menghiris hatinya. “Sorry... Tersedak tadi. Tahniah! Bila korang berdua nak bertunang?” Suaranya cuba diceriakan.
Sekejap itu, anak matanya beralih sebentar ke arah Fazrul dan Marlisa. Memang mereka kelihatan seperti pasangan kekasih! Hatinya benar-benar tercalar. Tetapi, dia perlu mengawal dirinya pada ketika ini. Apatah lagi di hadapan Fazy dan Nazrin, bukannya Kay Tee untuk dia mengadu.
“Akhir bulan depan. Hana... kalau kau nak tahu, kau adalah orang pertama yang tahu. Dan kau juga orang pertama yang kita jemput.” Nazrin memandang ke arah Fazy yang sudah mula diam membisu.
“Oh, patutlah berahsia sangat! Sampai aku pun hampir-hampir merajuk! Dalam diam-diam ya... Rupa-rupanya tekaan aku selama ni tak silaplah! Akhirnya gosip-gosip korang menjadi jugak.” Hana tergelak kecil. Gelakan yang sengaja dibuat-buatnya.
Nazrin tersenyum dengan usikan Hana. Tetapi, jauh di dalam hatinya dia tidak tenang melihat kedua-dua wajah di hadapannya itu. “Saja nak surprisekan kau! Apa pendapat kau..?”
“Eh... mestilah aku happy! Aku senang sangat dengar korang dah nak bertunang. Nanti cepat-cepatlah makan nasi minyak ya?” Hana melemparkan pandangan ke arah Fazy.
Dia mula terperasankan sesuatu. Kenapa Fazy tiba-tiba diam dan hanya menundukkan wajah dan buat-buat seperti menyedut minuman. Sekejap itu anak matanya beralih pula ke arah Nazrin. Jelas kelihatan raut wajah Nazrin juga tidak seceria awal-awal tadi.
Kenapa pulak dua orang ni..? Gaduh ke..? Ai, takkanlah dalam jangka masa aku ke toilet beberapa minit tu, diaorang ni gaduh..? Kata dah nak bertunang... apa pulak gaduh-gaduh ni..? Aduh... dugaan betullah!
“Oit... Apasal diam aje?” Hana mencuit lembut bahu Fazy di sebelahnya itu.
Fazy tersenyum kecil. Namun, senyumannya itu kelihatan hambar sahaja. Hana memandang ke arah Nazrin sekejap. Ada perasaan tidak senang pada seraut wajah itu. Hana jadi keliru sendiri. Sekejap anak matanya memandang Nazrin dan sekejap itu anak matanya beralih memandang ke arah Fazy. Sekejap itu, anak matanya melirik ke arah Fazrul dan Marlisa yang jelas nampak mesra dan tergelak-gelak. Sakit hatinya memandang Fazrul seperti itu. Terasa dirinya dipersenda-sendakan oleh lelaki itu.
“Hana... aku baru teringat. Aku ada hal! Aku perlu balik sekarang. Kita borak lain kali ya? Naz, saya balik dulu.” Fazy tiba-tiba meminta diri dan tanpa menunggu jawapan rakan-rakannya itu, dia terus mengangkat punggungnya dan terus beredar.
Hana yang kebingungan memandang ke arah Nazrin yang juga seolah-olah terperanjat dengan tindakan Fazy itu.
“Fazy...” Hanya satu patah perkataan itu sahaja yang dituturkan oleh Nazrin.
Fazy terus melangkah tanpa sepatah kata lagi.
Hana bingung dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya ini. Matanya memandang lama  ke arah Nazrin yang kelihatan serba salah itu. “Kenapa, Naz?”
Nazrin menoleh ke arah Hana sekejap dan kemudian melemparkan pandang ke arah langkah Fazy yang semakin laju meninggalkan dia di situ bersama Hana. “Entahlah.” Ringkas sahaja jawapan Nazrin.
“Laa... pergilah pujuk! Takkan nak biar Fazy balik sorang-sorang!” Hana memberikan jawapan terbaik kepada Nazrin. Dia tahu, lelaki itu dalam keadaan serba salah. Mengejar Fazy atau meninggalkan dia sendiri di situ?!
Nazrin memandang ke arah Hana meminta kepastian dan seolah-olah meminta maaf dengan apa yang berlaku. Hana yang seolah-olah memahami keadaan itu, menganggukkan kepalanya dan melemparkan senyuman.
Sepantas itu, Nazrin terus melangkahkan kakinya untuk menjejaki Fazy yang dirasakan sudah berkecil hati dengannya.
Pemergian Nazrin dan Fazy membuatkan Hana semakin sayu apabila anak matanya melihat kemesraan Fazrul dan Marlisa di hadapan matanya. Dengan seribu perasaan, punggungnya terus diangkat dan kakinya dilangkahkan tanpa arah tujuan. Air matanya dirasakan seperti mengalir lagi!
Fazrul... terima kasih kerana melukakan hati saya!

2 comments:

  1. baby mio:
    nt sy masukkan lagi bab seterusnya...
    masih dalam pembaik pulihan... haha...

    ReplyDelete