Tuesday, April 2, 2013

Ku Rela Menanti Pasti 13



Tiga Belas

HARI berganti hari. Pejam celik, pejam celik, langsung kita tidak menyedari bahawa masa itu itu telah banyak berlalu pergi meninggalkan kita. Tanpa sedikit pun kita sedar, banyak perkara yang telah berlalu bersama masa yang berlalu pergi. Namun disebalik itu, detik masa sentiasa berlalu tetapi tidak pada kenangan!
Kenangan akan sentiasa berada didalam akal fikiran selagi kita masih tidak mahu menyingkirkannya! Kenangan adalah satu pengalaman! Dan pengalaman yang kita alami itu bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilupakan! Kerana itulah, ada kata-kata yang menyatakan bahawa sandarkan pada kenangan!
Begitu juga pada Hana. Pengalaman adalah satu kenangan! Pengalaman juga adalah satu pengajaran yang susah untuk dia melupakan segala yang terjadi dalam hidupnya walaupun detik-detik waktu sentiasa berlalu pergi meninggalkannya.
Sudah hampir dua bulan usia perkahwinan mereka yang hanya sekadar pada nama ini! Fazrul tidak pernah menyatakan kata putus walaupun sepatah kata! Entahlah...! Pengakhiran kisah dalam ceritanya ini tetap sama walaupun Fazrul memutuskan kata.
Bersama Fazrul ataupun berpisah, pengakhirannya tetap sama. Cuma perbezaannya, sekarang, dia masih berstatus isteri orang. Selepas berpisah, statusnya pula seorang janda. Itu sahaja perbezaannya. Mungkin suatu masa dulu, dia menanti-nantikan ungkapan perpisahan lahir daripada mulut Fazrul kerana mengharapkan dia dapat bersama dengan Kamarul.
Tetapi sekarang... Hana hanya mampu berserah kepada Allah dengan segala ketentuan yang telah ditentukan olehNya Yang Maha Berkuasa. Harapannya itu tidak mungkin lagi akan menjadi kenyataan. Mungkin sekarang, Kamarul sedang gembira dengan perkahwinannya. Semoga kau bahagia Kamarul..!
Air mata yang menitis di pipinya disapu perlahan. Hana... untuk apa menangis..? Jangan ditangisi apa yang bukan milik kita! Redhalah! Tuhan telah menentukan apa yang baik dan apa yang buruk dalam kamus hidup seseorang hambaNya. Mungkin ada sesuatu hikmah yang tersembunyi kukuh, yang masih belum kita ketahui! Sabarlah!
Tetapi Fazrul... Cepat benar manusia berubah! Semenjak peristiwa pertemuannya dengan Fazrul dan seorang perempuan kacukan dia One Utama itu, Hana tiba-tiba menjadi seorang pendiam! Dan Fazrul pula, sudah semakin jarang berada di rumah! Apatah lagi untuk bertegur sapa dengannya.
Ada juga sesekali mereka terserempak di dapur ataupun di hadapan pintu bilik. Tetapi, masing-masing sekadar saling memandang tanpa sepatah kata. Keluar kerja sehari-hari juga tanpa sebarang pamitan! Kalau dulu, sekali sekala Fazrul akan menyelit, menonton televisyen bersamanya. Tetapi kini... susah benar untuk melihat mukanya selagi jarum jam tidak menunjukkan angka 12.00 tengah malam.
Entahlah! Hana sendiri tidak pasti dengan apa yang menerjah ke dalam kehidupannya! Dia tidak pasti dengan apa yang berlaku di antara mereka. Tidak pasti dengan apa yang sebenarnya berlaku! Dia hanya tahu untuk menanti pasti!


ANGIN malam menyapa lembut pipinya dan menerbangkan beberapa helaian anak rambutnya. Hana menarik nafas sedalam-dalamnya, mengharapkan ketenangan menyerap masuk ke segenap tubuh dan fikirannya.
Minggu depan, Hana berkira-kira untuk mengambil cuti beberapa hari untuk pulang ke kampung. Tak sabar rasanya untuk sampai di rumah. Minggu depan, semua ahli keluarga akan berkumpul, termasuklah Amir dan Alia.
Amir akan pulang ke kampung 10 haribulan nanti. Alia pula, sedang cuti panjang. Dua bulan lamanya! Cuti sekolah pula akan bermula minggu hadapan. Sudah lama, ahli keluarga tidak berkumpul penuh seperti itu. Tapi... Fazrul..? Apa kata ayah nanti..?
Sudah tiga kali berturut-turut Hana pulang ke kampung seorang diri. Kalau dulu, Fazrul ada juga mengikut Hana balik ke rumah mak dan ayah. Tetapi sekarang, susah benar nak tengok dia walaupun pada hujung minggu. Mahu diajak, takut pula dikata mengada-ngada atau menyusahkan!
Masih terngiang-ngiang lagi kemarahan Fazrul sewaktu Hana mengajak Fazrul pulang ke kampung bersamanya beberapa minggu yang lepas.
“Kalau kau nak balik, kau balik ajelah! Jangan nak mengada-ngada ajak aku balik sama! Nak tunjuk muka baik konon! Kalau tak menyusahkan orang, tak boleh agaknya!”
Hana sekadar terdiam mendengar amarah yang tidak disangkanya itu. Semenjak itu, Hana malas untuk mengajak Fazrul balik bersama-samanya lagi. Dia lebih rela mendengar bebelan ayah daripada mendengar kata-kata Fazrul yang menyakitkan hatinya.
Tetapi... ituah hakikat yang terpaksa ditempuhinya! Setiap kali sampai di rumah tanpa Fazrul, mak dan ayah tidak akan senang selagi tidak bertanyakan pasal Fazrul! Bila Hana mendiaman diri, ayah tidak habis-habis dengan leterannya. Telinganya sudah lali mendengar semua itu. Biarlah! Kali ini, Hana tekad mahu pulang ke kampung seminggu walaupun tanpa Fazrul!
Hana menutup semula tingkap yang dibukanya tadi. Tekaknya terasa haus. Dia mahu ke dapur melegakan tekak yang terasa kekeringan. Terlalu banyak perkara yang hendak difikirkan sehinggakan dia sendiri tidak memikirkan tentang dirinya! Sabarlah Hana! Sesungguhnya dugaan itu hanya bersifat sementara!
Sebaik sahaja melangkah keluar daripada pintu biliknya, anak matanya tertangkap ke arah pintu bilik Fazrul yang tertutup rapat. Lama anak matanya memandang ke arah pintu itu seolah-olah ada bayangan Fazrul yang ada di hadapan pintu itu. Tetapi, dia tahu semua itu mustahil untuknya!
Petang tadi, Fazrul pulang dari kerja awal. Sewaktu Hana sampai di rumahnya sekitar jam 6.00 petang tadi, kereta Fazrul sudah tersadai di garaj kereta. Entah apa anginnya hari ini?! Tapi sampai sekarang pun tak nampak batang hidung! Memerap aje kat bilik tu! Mungkin banyak kerja kot!
Selepas minum, Hana masuk semula ke biliknya. Penyakit berjangkit! Masing-masing memerap di dalam bilik masing-masing! Hana mencapai laptopnya dan dibukanya. Sudah lama dia tidak melayari internet. Email pun, sudah hampir dua minggu tidak dibukanya!
Sesedang dia menunggu laptopnya hidup sepenuhnya, dia teringatkan sesuatu! Alah... bukan ke tadi, aku buat air milo? Kenapa boleh lupa nak ambik pulak! Entah apa-apa ajelah! Hana bangun semula untuk ke dapur mengambil air milonya.
Pintu biliknya dibuka dari dalam. Serentak, pada masa yang sama pintu bilik Fazrul yang berhadapan dengan biliknya terbuka luas. Masing-masing saling berpandangan antara satu sama lain. Hana mengalihkan pandangannya terlebih dahulu dan menutup pintu bilik sebelum melangkah turun ke dapur.
“Hana!”
Hana menghentikan langkah dan berpaling semula ke arah Fazrul apabila terdengar lelaki itu menyebut namanya.
“Nak ke mana?”
“Dapur.”
“Tolong buatkan nescafe?” Terkulat-kulat Fazrul meminta pertolongan Hana.
Hana sekadar mengangguk dan terus berlalu ke dapur.
Beberapa mint selepas itu, Hana kembali semula dengan dua cawan air di tangan. Satu brisi nescafe, dan satu lagi air milonya. Anak matanya terpandangkan pintu bilik Fazrul yang sudah tertutup rapat. Macam mana aku nak ketuk pintu ni..? Dua-dua tangan aku sedang digunakan!
Akhirnya, Hana melangkah masuk ke biliknya yang terbuka sedikit itu dan meletakkan cawan yang berisi milo panas itu di atas mejanya. Kemudian dia melangkah semula menuju ke bilik Farul untuk menghantar nescafe kepada lelaki itu.
Perlahan pintu bilik itu diketuk.
“Masuklah. Pintu tak kunci.”
Terdengar laungan Fazrul dari dalam bilik. Masuk?? Hana berkira-kira sendiri! Selama dia tinggal di rumah ini, tidak pernah sekalipun dia menjejakkan kakinya melangkah masuk ke bilik Fazrul. Hana terpaku sendiri di hadapan pintu itu. Harap-harap, Fazrul akan datang ambil sendiri!
“Hana... Masuklah! Pintu tak berkunci.”
Sekali lagi Fazrul memanggilnya dari dalam. Hana mengeluh kecil. Mahu tidak mahu, dia memulas tombol pintu bilik itu perlahan. Kakinya melangkah setapak, masuk ke dalam bilik itu, tetapi setakat berdiri di hadapan pintu. Malas mahu menghampiri Fazrul!
Fazrul menoleh ke arah Hana yang sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. “Kenapa berdiri kat situ? Masuklah!” Tangannya kembali ligat menekan-nekan kekuci pada keyboard komputernya.
Sibuk nampaknya. Biliknya betul-betul bersepah dengan kertas-kertas! Hana  melangkah masuk dan meletakkan secawan nescafe di atas meja kecil berhampiran dengan Fazrul. Selepas itu, dia berpusing semula untuk melangkah keluar.
Fazrul memandang ke arah Hana apabila melihat Hana sudah mahu melangkah pergi. “Hana... Tadi awak sedang buat apa?” Dia bertanya selamba dan cawan nescafe itu dicapainya dan disuakan ke mulutnya.
Hana menoleh semula. “Tak buat apa.” Hana bersahaja.
“Boleh tolong saya tak?”
Hana memandang Fazrul sekejap. “Tolong apa?”
“Erm... tolong susunkan kertas-kertas ni sekejap.”
Hana diam seketika. Anak matanya memandang ke arah kertas-kertas yang berteraburan di meja itu dan juga di lantai. Kesiannya. Hana menganggukkan kepalanya. Ketika itu, dia teringatkan air milo yang dibuatnya tadi. Tentu, sekejap lagi air tu dah tak panas! Nasib kau lah air milo!
Fazrul tersenyum apabila Hana bersetuju untuk membantunya. “Thanks. Susun ikut page number ya?”
Hana sekadar diam dan mengatur langkah kakinya ke meja yang dipenuhi kertas-kertas itu dan bertindak mengikut arahan. Kertas-kertas yang bertaburan itu di susunnya mengikut nombor pada setiap helaian kertas.
Fazrul turut sama menyepi sesambil tangannya masih ligat menaip sesuatu pada laptopnya. Sesekali anak matanya menjeling ke arah jari jemari Hana yang kelihatan ligat mengutip dan menyusun kertas-kertas yang diprintkan tadi seperti mana yang disuruh sekejap tadi.
Lidahnya kelu tanpa bicara. Padahal, di dalam hatinya ada pelbagai persoalan yang ingin sekali diajukan kepada lelaki yang kelihatan tekun membuat kerja-kerjanya itu. Tetapi dia tahu... Dia tidak berhak untuk masuk campur urusan Fazrul.
Tetapi, itulah yang hendak dilawannya. Melawan kesepian di hati! Dia ingin sekali bertanyakan perihal Fazrul dan keluarganya. Walaupun satu rumah, dia langsung tidak tahu apakah pekerjaan Fazrul walaupun lelaki itu adalah suaminya! Sepanjang perkahwinan mereka juga, dia tidak pernah tahu siapakah keluarga Fazrul yang sebenarnya!
Cuma, yang dia tahu hanyalah Kak Aisya dan suaminya. Nama along Fazrul pun dia tidak tahu! Tapi dia juga sekadar memanggil abang Fazrul itu dengan panggilan along! Entahlah! Mahu bertanya, itu adalah satu perkara yang mustahil baginya! Silap hari bulan, tak pasal-pasal kena marah dengan Fazrul. Tak mahu aku!
Hana meneruskan susunan kertas itu. Selesai menyusunnya dengan baik, Hana memandang Fazrul sekilas. “Ada lagi?”
Fazrul menoleh ke arah Hana. Tangannya berhenti menaip. Kemudian dia menguntumkan senyuman kepada Hana. “Dah tak ada dah. Thank you.”
Hana menganggukkan kepalanya kemudian mengangkat punggung untuk beredar daripada bilik Fazrul.
“Er... Hana!”
Hana berpaling semula apabila namanya dipanggil lagi.
“Erm... Esok free tak?” Teragak-agak juga Fazrul mahu bertanya.
Berkerut dahi Hana memandang ke arah Fazrul. Esokkan hari Rabu. Takkan tak tahu, esok tentulah kerja! “Esok kerja.” Ringkas jawapan Hana.
“Erm... Maksud saya, lepas waktu kerja.”
Hana diam untuk seketika waktu. Matanya tidak memandang ke arah Fazrul. Dia seolah-olah berfikir sekejap. Kenapa? Kalau free, kenapa? Nak belanja aku makan ke? “Tak pasti.” Lain yang dikata di dalam hatinya, lain pula yang terkeluar daripada mulutnya.
Jawapan Hana membuatkan Fazrul terdiam sendiri. “Erm... tak mengapalah.”
Hana sekadar memandang sekilas ke arah Fazrul dan kemudian terus mengatur langkah kakinya keluar daripada bilik lelaki itu.


HANA kembali semula ke mejanya. Laptop yang dibukanya sejak tadi, dihadapnya. Ada sembila email yang tidak terbaca olehnya. Hana tersenyum sendiri apabila membaca nama-nama yang tertera. Sudah lama dia tidak berhubung dengan Amir.
Satu-satunya anak lelaki dalam keluarga mereka. Tetapi, selepas tamat SPM, Amir meneruskan pelajarannya ke Jepun. Selepas menamatkan diplomanya, Amir terus menyambung ijazah di sana. Selepas menamatkan ijazah pula, Amir diterima bekerja di syarikat perbankan antarabangsa. Disebabkan itu juga dia kerap kali berulang alik ke luar negara. Payah benar untuk berjumpa dengannya.
Walaupun jarang pulang ke rumah, Amir selalu sahaja menghantar surat dan mengirimkan email kepada Hana dan keluarga. Sabarlah Amir..! Tetapi, mungkin tahun depan, dia tidak perlu lagi berulang alik dari Malaysia ke negara lain kerana dia akan menjalani ujian kenaikan pangkat pada bulan depan. Jadi, tak adalah mak dan ayah terlalu risaukan keselamatan dia bila dia berada di dalam negara.
Sejak kecil, Hana memang rapat dengan Amir memandangkan umur mereka hanya berbeza setahun sahaja. Lagipun, di antara mereka selalu bersefahaman dan saling memahami. Sejak kecil juga, segala suka dan duka selalu dikongsi bersama.
Tapi... perihal perkahwinannya dengan Fazrul belum diceritakan kepada Amir sepenuhnya. Amir hanya tahu dia telah berkahwin. Tetapi, Amir masih tidak tahu sebab dan dengan siapa dia berkahwin. Kalau boleh, Hana tidak mahu membebankan fikiran Amir dengan turut memikirkan masalahnya. Biarlah! Tunggu Amir balik dulu, barulah cerita kepadanya.
Selepas membalas kiriman email daripada Amir, Hana membuka kiriman email yang dikiriman oleh peterpan pula. Ada tiga email daripadanya. Salah satu daripadanya baru sahaja dihantar beberapa minit yang lalu. Aik..? Peterpan ni... macam tahu-tahu aje, aku nak buka email! Bibirnya tersenyum sendiri!

‘HR... awak apa khabar..? Lama benar tidak mendengar khabar berita... Nampaknya HR benar-benar sibuk kebelakangan ini..=)’

Hana tersenyum sendiri membaca kiriman email itu. Entah kenapa, dia selalu sahaja berasa senang hati apabila membaca email kiriman daripada peterpan, sahabat internetnya itu. Memang sudah agak lama dia tidak membalas sebarang berita kepada peterpan. Masa terlalu cemburukan dirinya. Apatah lagi dengan kejutan-kejutan yang sering kali menimpa dirinya. Entahlah!
Jemarinya kembali menaip, membalas kiriman email tersebut.

‘Saya sihat2 aje. Peterpan… sorry lama tak kirim khabar. Keadaan tidak mengizinkan. Awak sihat..?’

Sementara menunggu balasan email, Hana melipat pakaiannya yang bertimbun di atas katil.

‘Keadaan tidak mengizinkan..? Maksud awak..? Saya sentiasa sihat sokmo. Cuma... selalu rindukan HR... hehehee...’

‘Awak ni... ada2 ajelah..! Maksud saya... sekarang bukan macam dulu lagi. Dulu saya sorang2... Sekarang, saya dah berdua.’

Berterus terang adalah lebih baik, daripada terus menerus membiarkan peterpan mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Pernah suatu masa dahulu, peterpan beria-ria mahu berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk melamarnya walaupun masih belum mengenali siapa HR.
Tetapi, Hana sudah berterus terang bahawa dia mencintai orang lain. Dan peterpan menerimanya seadanya. Kerana itu, dia mengambil keputusan untuk terus bersahabat dengan peterpan sehinggalah hari ini. Seorang sahabat, adalah seorang yang sanggup menerima baik buruk dan apa-adanya sahabatnya.
Tetapi, peterpan tak habis-habis mengusiknya. Sebenarnya, usikan demi usikan inilah yang lebih merapatkan hubungan mereka. Mesra... dah macam adik beradik pulak!

‘Berdua…? Maksud HR..?’

‘Awak ni… Kan hari tu saya dah cakap, saya akan berkahwin... Sekarang, saya adalah isteri orang...’

Hana terus menantikan balasan email itu. 5 minit... 10 minit berlalu... Kenapa..? Kenapa dia tak balas email aku..? Terasa hatikah? Dah tak nak berkawan dengan aku lagi ke? Tak mungkin..! Beberapa minit selepas itu barulah ada balasan. Lega hati Hana!

‘Awak kahwin tak jemput saya yek..? Alamatnya, tak merasalah saya, nasi minyak awak..! Agak2 bilakah agaknya saya dapat berjumpa dan mengenali HR yang sebenar-benarnya..? Tapi... tak mengapalah. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak sampai ke anak cucu. Tapi... andai suatu masa... ada ruang, saya nak juga menjadi ahli keluarga HR. Berbesan pun, bolehlah...! Awak lahirkan anak lelaki tau... Nanti isteri saya lahirkan anak perempuan. Kita jodohkan anak-anak kita sama-sama ya..? He he hee... (saya bergurau aje…)’

Tersembur tawa Hana membaca ayat-ayat pada kiriman email itu. Ada pulak macam tu..?! Aku pun tak pernah kenal dia… Macam mana nak berbesan..?! Kelakar betullah dia ni..!

‘InsyaAllah... Kalau ada rezeki, adalah tu... Kalau tak ada rezeki, jangan kempunan tau..?! Peterpan... saya dah mengantuk. Setakat ini sajalah untuk hari ini... Lain kali kita berborak2 lagi ya... Selamat malam. Have a nice sleep...’

Walaupun matanya masih belum mengantuk, tetapi Hana sudah menyatakan bahawa dia sudah mengantuk. Biarlah! Maafkan aku peterpan...
Sekejap itu, terdengar bunyi mesej pada telefon bimbitnya. Matanya menjeling ke arah jam di atas meja. Dah jam 12 lebih. Siapa pulak yang hantar sms malam-malam macam ni..?! Tangannya mencapai telefon bimbitnya di atas meja kecil berhampiran katil.
Tertera satu nombor yang cukup dikenalinya. Nombor telefon Kamarul?! Sejak pergaduhannya dengan Kamarul dulu, Hana telah memadamkan nombor telefon Kamarul daripada phone book telefonnya. Tetapi nombor telefon itu masih mampu diingatinya.
Apa tidaknya... bertahun-tahun nombor telefon itu menjadi mainan dalam hidupnya. Tentu sahaja nombor telefon itu pernah dihafalnya suatu masa dahulu.Namun, Hana membaca juga mesej yang diterimanya itu.

‘Hana... dah tidur? Boleh berbual sekejap?’

Untuk seketika waktu, Hana memejamkan matanya serapat mungkin! Untuk apa kita berbual, Kamarul..? Tidak cukup lagikah hati aku kau sakiti..? Tiba-tiba Hana diserang perasaan sedih. Air matanmya mengalir tanpa dipintanya.
Sungguh, dia benci apabila mengingatkan apa yang pernah berlaku antara dia dan lelaki itu. Dua bulan Hana cuba melupakan semuanya. Dua bulan itu jugalah hatinya selalu menangis kesedihan! Luka di hatinya sangat parah sehingga tiada pengubat untuk kesakitan itu!
Ya Allah... Tabahkanlah hatiku ini... Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah! Mesej itu dibiarkan tanpa sebarang balasan. Biarlah! Dia tidak memerlukan Kamarul lagi! Dia dan Kamarul sekarang mempunyai tanggungjawab masing-masing! Cinta mereka dulu... hanyalah satu cinta kenangan silam!
Beberapa minit selepas itu, nyaring telefon bimbitnya berbunyi meminta diangkat. Tertera nombor Kamarul sekali lagi. Hanba terkedu sendiri! Tak boleh! Aku tak boleh angkat! Aku isteri orang! Dia suami orang! Aku benci dia!! Hati Hana memberontak sendiri!
Telefon itu dicapainya dan kemudian diletakkan dibawah bantal supaya bunyinya tidak terlalu kuat. Namun deringan demi deringan itu masih tidak mahu berhenti. Hana tertekan sendiri! Dicapainya cawan milo yang sudah kosong tadi, dan kakinya terus diangkat melangkah ke dapur. Telefon itu dibiarkan sahaja berdering di bawah bantal tidurnya!


HANA! Buat apa dalam gelap ni?”
Terangkat punggung Hana kerana terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba itu. Kepalanya ditoleh ke belakang. Cepat dadanya diurut-urut kerana terkejut. “Awak ni... Buat orang terperanjat aje!”
Fazrul memetik suis lampu dan melangkah ke arah Hana. “Awak pun sama. Kenapa duduk dalam gelap? Nasib baik saya tak ketuk kepala awak dengan batang penyapu tadi! Ingatkan pencuri mana tadi!”
Hana sekadar menjeling ke arah Fazrul. Amboi-amboi... enak-enak aje dia cakap aku ni pencuri?! Nasib baik aku tak mati terkejut kat sini! Hana membebel sendiri di dalam hatinya.
“Buat apa dalam gelap-gelap macam ni?” Fazrul masih bertanya.
“Minum.” Ringkas jawapan Hana menyembunyikan perkara sebenar. Padahal, sebenarnya dia mahu mengelak daripada panggilan telefon daripada Kamarul.
“Minum dalam gelap? Entah apa-apa yang ada kat dalam air tu, tak nampak! Main telan aje!”
Hana sekadar mendiamkan diri. Terus mengangkat punggung dan berlalu ke sinki membawa cawan kotor yang dipegangnya sedari tadi.
Fazrul yang masih kepelikan, sekadar memerhatikan setiap tingkah laku Hana. Di hatinya tertanya-tanya, kenapa Hana termenung di sini tadi?! Dia ada masalah ke? Perasaan ingin tahu tiba-tiba menyerangnya. Kenapa dengan aku ni..? Kenapa hati ini terasa ingin tahu masalah Hana? Ingin tahu kenapa dia termenung di sini? Kenapa aku pulak jadi macam ni..??!!

No comments:

Post a Comment